21.4.09

TSS - jangkitan dalam darah



Dr. Bervery Whipple menunjukkan cara memasukkan instead softcup, alat penadah haid atau gegelung instead.


DI Malaysia, sindrom kejutan toksin (toxic shock syndrome - TSS) jarang berlaku berbanding Amerika. TSS sering dikaitkan sebagai jangkitan dalam darah khususnya bagi mereka yang kerap menggunakan tampon berdaya penyerapan tinggi ketika haid.

Darah haid sebenarnya datang daripada lapisan tisu yang mengalas dinding rahim dipanggil endometrium.

Bagi wanita negara ini, penggunaan tampon tidak popular dan bukan menjadi kebiasaan ketika datang haid. Kebiasaannya, golongan ini memilih tuala wanita yang dianggap sesuai dengan budaya Asia dan mudah dibasuh. Di Amerika, kira-kira 70 peratus wanita menggunakan tampon atau tuala wanita dan menyebabkan kes TSS banyak berlaku di negara itu.

Setiausaha Persatuan Kesihatan Seksualiti Sedunia, Dr Bervery Whipple, memberitahu TSS memang kes yang kerap berlaku di Amerika, namun jumlah itu semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Misalnya, pada 1980, 814 kes TSS dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), berbanding hanya lima kes TSS dilaporkan pada 1997.

TSS dihasilkan kerana toksin terhasil oleh bakteria dalam faraj kita.

"Tidak dinafikan kebanyakan kes TSS dikaitkan dengan penggunaan tampon ketika haid tetapi tiada bukti mengaitkan TSS dengan tampon. Namun, ramai pakar percaya, tampon menyebabkan TSS kerana ia memiliki daya penyerapan yang tinggi hingga menyebabkan jangkitan dalam darah haid. Selain itu, ia dapat menyerap darah dengan cepat hingga menyebabkan kekeringan vagina," katanya pada majlis pelancaran Instead Softcup, alat penadah haid atau gegelung instead.

Dalam pada itu, Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Abd Aziz Yahya, memberitahu, walaupun TSS boleh terjadi pada lelaki dan kanak-kanak, ia lebih kerap menyerang wanita datang haid yang menggunakan tampon.

"Kajian populasi merumuskan risiko TSS dikaitkan dengan daya penyerapan tampon. Lebih tinggi kadar penyerapannya lebih tinggi risiko TSS. Ini kerana wanita sering menggunakan tampon dalam tempoh yang lama. Justeru, tampon perlu ditukar setiap tiga hingga empat jam (sama seperti tuala wanita) untuk mengelak masalah," katanya.

Selain tampon, Amerika turut memperkenalkan sejenis pelapik haid berbentuk cawan yang menadah di pintu vagina. Ia dinamakan instead, seakan cawan yang diperbuat daripada material bebas alahan bukan lateks dan dimasukkan hingga ke pintu vagina. Instead dipakai di dalam, bukan di luar seperti tuala wanita.

Kejayaan instead dipasarkan di Amerika membawa kepada pengenalannya di Malaysia, baru-baru ini. Berbanding tuala wanita biasa, instead boleh bertahan selama 12 jam tanpa perlu ditukar.

Jika tuala wanita bertindak menyerap darah kotor, instead pula menadah atau menakung darah haid. Mungkin ramai wanita yang terfikir jumlah darah haid boleh mencapai hingga dua cawan tetapi sebenarnya ia sekitar dua hingga enam sudu teh saja.

Secara purata kuantiti darah haid antara 30 hingga 40 mililiter atau dua hingga empat sudu makan saja.

Pemakaian instead seharusnya tidak terasa dan selesa. Ia digunakan dengan cara dimasukkan hingga ke pintu rahim dan gegelungnya akan bertindak seperti cawan menadah di permukaan pintu rahim.

Wanita hanya perlu menolak lebih dalam menggunakan jari tangan sekiranya dapat merasai instead tersebut di dalam faraj.

Pemakaian instead lebih mudah dan ringkas kerana anda tidak perlu membasuhnya sebaliknya hanya membiarkan tisu menyerap darah kotor dan membuangnya atau dengan hanya membuang terus darah kotor yang terkumpul.

Ia juga tidak mendatangkan bau hanyir seperti yang biasa dialami sesetengah wanita yang datang bulan.

Namun, wanita yang baru bersalin, keguguran atau baru menjalani pembedahan akibat masalah perbidanan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan alat ini.

Hal yang sama perlu dilakukan bagi wanita yang ingin menjaga dara kerana instead boleh menyebabkan selaput dara wanita terkoyak.

Kitaran haid

Haid merupakan satu proses bulanan yang normal. Purata kitaran haid berlangsung dalam tempoh 28 hari.

Walau bagaimanapun, kitaran yang normal mungkin berlangsung di antara 21 hingga 35 hari. Semasa kitaran ini, ovari mengeluarkan hormon-hormon estrogen dan progesteron.

Hari pertama kitaran adalah hari pertama haid bulanan datang. Pada hari kelima, dinding dalaman rahim di bawah pengaruh hormon estrogen, mula dibentuk sebagai persediaan untuk mengandung.

Pada hari ke-14, telur akan dikeluarkan oleh salah satu dari ovari, ini dipanggil ovulasi. Selepas ovulasi, paras progesteron meningkat. Seandainya telur tidak disenyawakan oleh sperma, paras progesteron akan jatuh.

Ini akan memaklumkan pada dinding dalaman rahim yang kesediaan untuk menerima hasil persenyawaan tidak akan berlaku dan seterusnya penanggalan lapisan yang dinamakan darah haid, berlaku pada hari ke- 28.

Penanggalan lapisan ini (haid) menandakan permulaan kitaran haid bulanan yang baru.

Sejarah

Wanita zaman dulu menggunakan tuala atau kain yang boleh dicuci dan digunakan semula untuk menghalang darah haid terkena pakaian.

Tuala wanita pakai buang yang pertama dicipta pada 1890 di Jerman.

Hanya menjelang 1927 baru tuala pakai buang dihasilkan, diikuti tampon pada yang diperkenalkan secara komersial pada 1933.

Tuala wanita sentiasa mengalami perubahan dan tuala berpelekat pertama ada di pasaran pada 1970. Penyelidikan menghasilkan 'cawan' penadah haid bermula pada 1960-an.

Simptom TSS

1) Demam

2) Muntah pening cirit-birit

3) Ruam merah diikuti kulit yang menggelupas selepas satu atau dua minggu terutama di tapak tangan atau kaki

4) Mata, mulut dan tekak merah

5) Keliru

6) Sakit kepala

7) Hipertensi

8) Kegagalan fungsi organ selalunya ginjal dan hati.

Berjalan kaki untuk jantung



KEKERAPAN berjalan kaki berkesan memperbaiki sistem jantung manusia.


BERJALAN kaki merupakan satu senaman yang ringkas dan mudah dilakukan jika kita tidak dapat memperuntukkan masa untuk berjogging atau ke pusat gim.

Kekerapan berjalan kaki selama 30 minit dan dilakukan tiga kali seminggu berkesan memperbaiki sistem jantung manusia.

Hanya dengan berjalan kaki, ia mampu melancarkan peredaran darah dalam badan.

Senaman seperti ini memainkan peranan penting dalam hidup seharian kita. Ini kerana senaman menentukan tahap kecergasan kita dan seterusnya menentukan tahap tenaga yang kita punyai untuk menjalankan kegiatan seharian. Kecergasan boleh dibahagikan kepada kecergasan fizikal dan kecergasan mental. Secara amnya, seseorang dianggap cergas dari segi fizikal sekiranya dia masih bertenaga untuk menikmati masa lapangnya selepas seharian bekerja.

Ini berbeza dengan mereka hanya duduk di depan meja selama lapan jam sehari menyebabkan suatu kelesuan yang tidak dapat dihilangkan pada akhir hari kerja dan dengan itu mereka tidak ada baki tenaga untuk menikmati masa lapang yang bermutu dengan keluarga.

Dalam pada itu, satu kajian di Amerika Syarikat mendapati 83 peratus daripada kematian akibat penyakit jantung membabitkan pesakit berumur 65 tahun ke atas.

Apabila usia meningkat, jantung mula tidak berfungsi dengan sempurna.

Pembuluh darah menjadi semakin keras dan kurang kenyal menyebabkan jantung terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengepam darah ke otot jantung. Apabila usia meningkat juga, seseorang itu lebih kerap menghidap penyakit lain yang berkaitan seperti diabetes dan hipertensi (tekanan darah tinggi), setiap satunya boleh meninggikan risiko mendapat penyakit jantung.

Gaya hidup sedantari Orang yang kurang bersenam dan mengamal gaya hidup sedantari (tidak aktif) berisiko untuk mendapat penyakit jantung.

Senaman membakar lemak dan kalori badan, lantas mengawal berat badan. Ia meninggikan tahap kolesterol-HDL (kolesterol baik), mencegah dan mengawal kandungan gula darah sambil menguatkan jantung.

Senaman yang baik membabitkan senaman aerobik seperti berjalan laju, berlari, berbasikal dan berenang selama 30 hingga 60 minit sehari, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman sebegini memberi keupayaan penuh kepada badan dan organ untuk mengambil oksigen yang dibawa dalam darah.

Namun, soal selidik mendapati 70 peratus golongan dewasa tak bersenam dan 60 peratus daripadanya memberi alasan tiada masa. Cuma 11 peratus golongan dewasa di Malaysia bersenam tiga kali atau lebih seminggu.

Sebagai satu usaha menggalakkan rakyat Malaysia agar lebih prihatin terhadap penjagaan jantung untuk menjamin kesihatan yang lebih baik, Yayasan Jantung Negara dan Nestle Omega Plus dengan kerjasama akhbar Mingguan Malaysia mengambil langkah bijak, menganjurkan sebuah projek murni yang diberi nama Walk A Mile.

Objektif penganjuran program yang berkonsepkan bukan pertandingan ini adalah untuk mengajak orang ramai berjalan sejauh sekurang-kurangnya 1 kilometer sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat Malaysia menjadikan berjalan sebagai salah satu aktiviti riadah rutin dalam kehidupan seharian.

Ia merupakan tahun kesembilan program ini dianjurkan. Pada tahun ini, Mingguan Malaysia dipilih sebagai rakan media program kerana diyakini dapat menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia dengan lebih berkesan.

Bagi memperkukuhkan usaha ini, Mingguan Malaysia akan menyiarkan artikel-artikel yang berkaitan dengan program bermula pada hari ini hingga kemuncak acara pada 18 Oktober depan.

Walk A Mile akan membuka tirai di Dataran Pahlawan, Jalan Tunku Bendahara, Alor Setar pada 25 April 2009 sebelum bergerak ke Melaka pada 24 Mei, Kuantan pada 21 Jun, Pulau Pinang pada 26 Julai dan lokasi terakhir di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2009, sempena Hari Jantung Sedunia.

Baru-baru ini, satu sidang media Walk A Mile diadakan sebagai tanda kerjasama para penaja.

Majlis ringkas ini dihadiri Pengurus Acara Nestle Sdn. Bhd., Yang Kalsom Omar, Pengarah Yayasan yang mewakili Yayasan Jantung Negara, Datuk Gurbakhash Singh, sementara Utusan Malaysia (M) Berhad, diwakili oleh Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat, Yusnita Moslin.

Pelbagai aktiviti sampingan akan diadakan untuk memeriahkan lagi program seperti pemeriksaan kesihatan, persembahan artis, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai lagi.

300 peserta pertama yang membuat pengesahan pendaftaran akan menerima kemeja T dan hadiah-hadiah sampingan penyertaan serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Paling menarik tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan untuk menjadi peserta.

Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut sila hubungi Dino atau Zura di talian 03-92877777 sambungan 259/392.

Senaman baik untuk jantung!

Semua orang sedar betapa pentingnya senaman untuk menjaga kesihatan jantung tetapi tidak melakukannya kerana tidak tahu tentang manfaatnya. Berikut adalah beberapa faedah bersenam untuk jantung:

l Mengurangkan risiko sakit jantung dengan meningkatkan aliran darah di seluruh badan

l Mengawal berat badan

l Memperbaiki tahap kolesterol darah

l Mencegah dan menguruskan tekanan darah tinggi

l Meningkatkan tenaga

l Membantu mengurangkan tekanan

l Mengurangkan ketegangan

l Melegakan kebimbangan dan kemurungan dan menaikkan minat dan semangat

l Memupuk amalan yang menyihatkan jantung di kalangan kanak-kanak dan mengurangkan masalah yang menyebabkan sakit jantung dan strok (kegemukan, tekanan darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi, amalan gaya hidup kurang baik dan sebagainya) apabila usia lanjut

l Di kalangan orang yang lebih tua, ia membantu mencegah atau mengelakkan penyakit kronik dan penyakit yang dikaitkan dengan proses penuaan dan mengekalkan kualiti kehidupan dan kemampuan untuk berdikari.

Arus pemodenan telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan selesa. Pernahkah anda tertanya mengapa moyang dan datuk nenek kita hidup lebih lama daripada anak-anak kita hari ini.

Puncanya mungkin sikap pemalas dan kurang melakukan kegiatan fizikal. Sudah tiba masanya kita menjaga kesihatan jantung dengan bersenam hari ini!

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:

l Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan. Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolaholah ada sesuatu yang mencekik.

l Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat

l Sukar bernafas seolaholah ada sesuatu yang menikam pada dada

l Pedih perut iaitu seperti ada agin atau menghidap gastrik.

l Kepala berpusing

l Badan lemah serta berpeluh sejuk.

Cara-cara untuk mengurangkan risiko

l Oleh kerana penyakit jantung rata-ratanya berkait rapat dengan cara dan gaya hidup, langkah yang paling sesuai adalah untuk mengubahnya.

l Perokok mesti berhenti daripada meneruskan tabiat yang tidak berfaedah itu. Berat badan mesti dikawal supaya tidak berlebihan.

l Pemakanan sepatutnya bercirikan kesihatan iaitu yang kurang lemak, kurang manis, kurang masin dan berpatutan dari segi sukatannya.

l Pesakit yang menghidap kencing manis semestinya perlu mengikut nasihat doktor, dan mengamalkan pemakanan yang tidak berasaskan gula atau karbohidrat yang terlalu tinggi.

l Bersenam memang sudah diketahui akan menyihatkan badan, apatah lagi menjauhi seseorang dari gejala penyakit jantung koronari.

l Sememangnya seseorang itu tidak dapat mengubah nasib keluarga yang berisiko tinggi ataupun genetik atau keturunan penghidap penyakit ini tetapi amalan cara hidup sihat telah terbukti dapat menjauhi kita dari gejala-gejala penyakit yang amat berbahaya ini.

Rempah dapur untuk kawalan gula darah



KAYU manis dan Banaba.


DIANGGARKAN satu daripada 10 rakyat Malaysia yang berada di pertengahan umur mempunyai diabetes dan satu daripada lima mempunyai pra-diabetes.

Jumlah penghidap pra-diabetes juga akan meningkat bila rakyat meningkat usia dan berat badan.

Pra-diabetes bukan sahaja berisiko untuk menghidap diabetes tetapi juga serangan jantung, angin ahmar, kegagalan buah pinggang, kebutaan, kerosakan saraf dan pemotongan anggota badan.

Risiko untuk anda mendapat serangan jantung atau angin ahmar adalah antara dua ke empat kali lebih tinggi berbanding mereka yang sihat. Ianya 1.5 kali lebih tinggi jika anda menghidap pra-diabetes.

Ketahanan Insulin

Pra-diabetes dan diabetes jenis kedua biasanya bermula dengan kerentanan insulin. Takat gula darah (glukosa) dalam badan dikawal atur oleh insulin, sejenis hormon yang dikeluarkan dalam pankreas.

Insulin membantu membawa glukosa dari darah melalui membran sel dan kemudiannya masuk ke dalam sel badan.

Selagi membran sel sensitif terhadap insulin, pergerakan ulang-alik glukosa ke dalam sel berlaku dengan cepat.

Apabila membran sel tidak sensitif (juga dikenali sebagai kerentanan insulin), pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin untuk memaksa glukosa masuk ke dalam sel.

Kesannya ialah peredaran gula darah yang tinggi menjadi biasa. Lama kelamaan pankreas tidak lagi berupaya untuk mengeluarkan insulin dengan cukup untuk mengawal gula darah dan diabetes jenis kedua akan terbentuk.

Sebelum didiagnosis sebagai pesakit diabetes, anda mempunyai keadaan yang dikenali sebagai pra-diabetes.

Keadaan ini berlaku apabila takat gula darah anda lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk dianggap diabetes dan kebanyakan orang tidak menyedarinya.

Pemakanan yang sihat, senaman dan mengambil suplemen boleh mencegah atau melambatkan masa mula diabetes dan mengurangkan risiko komplikasi.

Pati kayu manis

Ahli kimia di Jabatan Pertanian US (USDA), Dr. Richard Anderson menemui sejenis kelas bahan larut air dalam kayu manis yang dikenali sebagai polimer Polifenol Jenis-A dengan keupayaannya untuk meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali ganda.

Sifat peningkatan insulin kayu manis akan mendatangkan faedah kepada individu yang mempunyai takat gula tinggi (pra-diabetes dan diabetes).

Pada Jun 2006, satu kajian menunjukkan pengambilan suplemen pati kayu manis boleh membantu mengawal takat gula darah bagi individu yang mengalami diabetes jenis kedua.

Dalam kajian ini, 79 pesakit diabetes mengambil suplemen tiga kali sehari. Selepas empat bulan, takat gula darah berpuasa mereka bertambah baik sebanyak 10.3 peratus.

Pada Oktober 2006, suatu kajian dikemukakan pada sidang Kolej Pemakanan Amerika ke-47, menunjukkan pati kayu manis larut air mungkin mendatangkan kesan antioksidan dalam mengurangkan kerosakan radikal bebas yang berkaitan dengan takat gula darah tinggi.

Kajian ini juga menunjukkan pengawalan gula darah yang bertambah baik. Hasil kajian tersebut seterusnya menyokong peranan pati kayu manis dalam membantu mereka yang mengalami gangguan fungsi insulin dan pra-diabetes.

Polimer Polifenol Jenis A pati kayu manis larut air adalah 70 peratus lebih berkesan daripada kayu manis asli itu sendiri dan ia mengelakkan kesan alahan sampingan berbahaya yang mungkin berlaku apabila mengambil dos kulit kayu manis asli yang tinggi.

Pati Banaba

Beberapa jenis tumbuhan perubatan dari India, China dan Jepun juga telah digunakan untuk merawat diabetes. Salah satu yang ditemui adalah asid korosolik dari daun pokok Banaba (Lagestroemic specious).

Profesor Sains Farmaseutikal, Fakulti Perubatan Universiti Hiroshima Jepun, Dr. Yamazaki telah mengkaji kesan asid korosolik yang seakan insulin sifatnya.

Kajian beliau menunjukkan asid korosolik mengaktifkan pengangkutan gula darah melintasi membran sel ke dalam sel menghasilkan penurunan gula darah.

Kajian klinikal di Amerika Syarikat dan Jepun menunjukkan asid korosolik adalah selamat digunakan dan berkesan dalam penurunan takat gula darah bagi pra-diabetes dan diabetes jenis kedua.

Mengawal gula darah*

Secara berasingan, pati kayu manis dan Banaba menambah sensitiviti insulin yang membantu dalam penurunan takat gula darah, tetapi apabila keduanya digabungkan, keduanya bertindak dengan lebih berkesan.

Kebanyakan kaji selidik ke atas kayu manis melibatkan penggunaan pati larut air yang dipiawaikan untuk mengandungi Trimerik dan Polimer Tetramerik Jenis-A (polimer polifenol Jenis A) dan bagi Banaba, ia adalah dipiawaikan untuk mengandungi satu peratus asid korosolik.

*Suplemen tersebut harus diambil bersama dengan ubat dan tidak digunakan untuk menggantikan ubat dan nasihat doktor.

Jika anda mempunyai risiko pra-diabetes, sila berjumpa doktor untuk menjalankan ujian darah. Walaupun anda beranggapan tidak mempunyai risiko, pakar menasihatkan mereka yang berusia lebih 35 tahun untuk membuat pemeriksaan takat gula darah mereka setiap tahun.

Akan tetapi, jika anda tahu anda mempunyai pra-diabetes, anda masih boleh mencegah diabetes berlaku pada peringkat awal dan mengurangkan kerosakan kepada badan anda melalui perubahan gaya hidup, pemakanan, bersenam dan juga mengambil suplemen seperti pati kayu manis dan Banaba yang dipiawaikan.

Walaupun banyak faedah diperkatakan mengenai kayu manis dan Banaba, anda harus juga mengetahui kepentingan untuk mengambil suplemen multivitamin dan mineral yang baik yang telah diformulasikan khas bagi pesakit dan individu pra-diabetes demi memelihara kesihatan optimum dan mencegah penyakit.

Contoh paling tepat adalah zat makanan utama yang diperlukan dalam kuantiti lebih tinggi oleh pesakit diabetes daripada kuantiti dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa - Vitamin B1, B6,B12, Biotin, Niasinamid, Vitamin C, Vitamin E, Manganese, Vanadium, Zink, Kromium dan Selenium.

Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik, sejenis antioksidan sejagat yang boleh berfungsi dalam kawasan sel-sel berair dan berlemak.

Oh, peningnya kepalaku!


Tidak stabil atau rasa hendak pitam. Dalam keadaan normal, keseimbangan deria dikawal oleh isyarat otak yang menerima isyarat dari beberapa lokasi, mata, saraf sensori dan telinga. Keseimbangan yang terbaik bergantung kepada sekurang-kurangnya dua dari tiga sistem yang sensori berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, tutup mata semasa berdiri, tidak bermakna anda hilang keseimbangan. Isyarat dari telinga tengah dan saraf sensori membantu anda tegak.

Walau bagaimanapun, jika sistem saraf pusat tidak boleh memperoses isyarat dari semua lokasi atau sistem sensori tidak berfungsi sepenuhnya atau mesej bercanggah, anda mungkin hilang keseimbangan. Kebanyakan pening akan berakhir dengan cepat tetapi ia mungkin gejala keadaan yang lebih teruk.

Penyebab pening:

1. Pening- perasaan berpusing pusing atau rasa persekitaran bergerak

*Gangguan telinga tengah

*Sekali sekala, pening berkaitan dengan perubahan kedudukan.

*Radangan pada mastoid

*Kurang aliran darah ke telinga tengah akibat plak lemak dalam salur darah terutama pesakit kencing manis, darah tinggi dan berlebihan kolestrol dalam darah.

2. Sakit kepala yang ringan

*Gangguan telinga dalam

*Gangguan kerisauan seperti serangan panik dan perasaan gerun melintasi tempat lapang

*Pernafasan cepat

*Hilang cecair badan contoh peluh berlebihan.

*Perubahan tekanan darah disebabkan oleh ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat diuretik dan ubat kemurungan.

*Keadaan medikal seperti diabetis dan penyakit Parkinson.

*Anaemia

3. Muntah-muntah

* Loya dan muntah apabila menaiki kereta, kapal terbang, bot atau kapal.

Tanda dan Gejala

*Perasaan persekitaran berpusing atau bergerak

*Hilang keseimbangan

*Loya

*Tidak stabil

*Sakit kepala sedikit

*Pitam

*Lemah

*Letih lesu

*Sukar memberi tumpuan

*Pandangan kabur selepas menggerakkan kepala dengan cepat

*Perasaan penuh dalam telinga, berdengung atau berdesing dalam telinga dan kadang kala hilang pendengaran .

Komplikasi

Walaupun pening, selalunya sedikit, jumpalah doktor jika anda pening berpanjangan dan diikuti dengan gejala berikut:

Sakit kepala bertambah.

*Pandangan kabur.

*Hilang pendengaran.

*Gangguan pertuturan.

*Lemah pada kaki dan tangan.

*Hilang tahap kesedaran.

*Jatuh atau sukar berjalan.

*Kebas atau rasa menyucuk

*Sakit dada atau sedar denyutan jantung cepat.

Pening boleh menyebab risiko tinggi untuk jatuh dan membawa kecederaan kepada anda. Jika berlaku semasa membawa kereta atau mengendalikan jentera berat boleh menyebabkan kemalangan.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada penyebab.

1. Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV).

2. Keadaan telinga dalam.

Senaman latih keseimbangan digunakan untuk merawat gangguan telinga tengah.

3. Penyakit Meniere's

*Kurangkan cecair melalui ubatan diuretik (buang cecair badan) atau perubahan makanan contoh kurangkan garam dalam makanan)

*Pembedahan mungkin diperlukan

4. Migrain Vestibular

*Elak sesetengah makanan

*Kurangkan tekanan perasaan

*Tetapkan corak tidur

*Doktor mungkin memberi ubat untuk migrain dan pening.

5. Gangguan kerisauan

*Kaunseling

*Ubat anti-kerisauan mungkin diberi

Sasaran malaria sifar



KITARAN malaria dari nyamuk kepada manusia, dan disebarkan semula nyamuk lain kepada mangsa seterusnya.


MALARIA mungkin semakin pudar dari ingatan kebanyakan penduduk negara ini berbanding denggi, mahupun chikungunya. Namun, jangan diambil remeh kerana seperti mana-mana penyakit berjangkit, malaria cuma memerlukan satu sumber, satu pesakit (patient zero) untuk menjadi satu wabak besar.

Malaria boleh dikatakan penyakit yang seangkatan dengan denggi, chikungunya, demam kuning, filariasis (untut), encephalitis dan juga virus west nile dari segi penyebarannya. Kesemua penyakit tersebut disebarkan atau boleh disebarkan melalui vektor tertentu, terutamanya nyamuk.

Walaupun spesies nyamuk dan cara pembiakan parasit malaria berbeza dengan virus denggi, akibatnya tetap sama iaitu demam dan simptom jangkitan lain yang boleh membawa maut kepada pesakit. Mengambil kira situasi semasa, perkara utama untuk dikongsi bersama orang ramai bukan lagi kaedah rawatan ataupun parasit Plasmodium yang menjadi punca malaria.

Apa yang penting, kerjasama. Kerjasama dalam mengesan patient zero dengan secepat mungkin serta mencegah penyebaran parasit tersebut dengan menyekat aktiviti vektornya, nyamuk betina spesies Anopheles (tiruk), daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

- Terus menular

Perkataan malaria sendiri datang dari bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair (tempat pembiakan nyamuk).

Malaria bukannya penyakit baru dan dipercayai mula menjangkiti manusia sejak lebih 50,000 tahun dengan beberapa spesies rapat parasit tersebut masih boleh ditemui dalam cimpanzi.

Rekod sejak 2,700 Sebelum Masihi di China juga menunjukkan demam berperingkat yang menjadi ciri khusus malaria telah dikenalpasti.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Chan sendiri memperakui malaria telah menewaskan masyarakat dunia bertahun-tahun dahulu lagi.

“Kita tidak boleh membenarkan ini berulang sekali lagi. Satu rancangan bertindak global untuk kawalan malaria yang menerima sokongan meluas semua pihak adalah satu faktor penting untuk kita berjaya (mengawal malaria),” katanya.

Setiap tahun malaria menyerang lebih 500 juta dan membunuh sehingga 3 juta penduduk dunia di 109 negara benua Afrika, Asia dan Amerika Latin. Eropah dan Amerika Syarikat juga tidak terkecuali dengan kes malaria mula muncul sejak 60 tahun lalu dan dijangka boleh meningkat jika pemanasan global menambah sebaran habitat nyamuk Anopheles.

Di Malaysia, malaria yang secara umumnya sudah terkawal dan hampir berjaya dihapuskan dilihat kembali meningkat dalam tempoh dan di kawasan tertentu. Ini dikaitkan dengan kebanjiran warga asing, terutamanya pendatang tanpa izin yang masuk tanpa melalui pemeriksaan kesihatan dan juga kuarantin (pengasingan) jika mereka membawa penyakit berjangkit.

Ini terbukti dari kenyataan mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menyatakan hampir empat peratus atau lebih 45,000 dari 1.3 juta pekerja asing yang ‘diperiksa’ pada 2007 mempunyai penyakit berjangkit. Jumlah itu juga merupakan satu peningkatan melebihi 7,000 kes berbanding catatan sepanjang 2005 dan melibatkan penyakit seperti HIV/AIDS, hepatitis B, siflis, tibi, kusta dan malaria.

Berasaskan konsep patient zero, terdapat kemungkinan yang tinggi penularan kes malaria secara tiba-tiba di kawasan tertentu di Malaysia lebih melibatkan warga asing. Ini kerana beberapa laporan penularan malaria turut membabitkan pekerja asing (sah atau tanpa izin) dalam kelompok sam dengan warga tempatan. Ini meningkatkan kebarangkalian mereka menjadi punca bermulanya sebaran parasit Plasmodium (patient zero).

- Menghapus

Pengerusi Bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, Bill Gates menyatakan beliau percaya bahawa jika orang ramai ditunjukkan satu masalah dan juga cara penyelesaiannya, mereka akan mula bertindak.

“Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) menunjukkan rangka tindakan untuk menentang malaria dan sekarang adalah masanya untuk dunia mengambil tindakan,” tegasnya.

Pada tahun 2005, yayasan tersebut telah menderma berjuta-juta dolar kepada Fakulti Perubatan Tropika Liverpool untuk menjalankan kajian ke atas penyakit malaria. Pada 2007, Gates sekali lagi menyumbangkan AS$23 juta (RM82.96 juta) kepada Fakulti sama untuk kajian penyakit bawaan nyamuk dan serangga lain yang menjadi punca penularan penyakit berjangkit kepada lebih 150 juta penduduk miskin di kawasan tropika.

Pengarah Eksekutif Perkongsian Roll Back Malaria (RBM), Awa Marie Coll-Seck pula berpendapat amat penting untuk langkah pencegahan dan rawatan berjuta-juta mangsa malaria dunia berjaya dicapai.

“GMAP akan menjadi panduan dan menyatukan masyarakat dunia dalam usaha menyediakan bantuan segera dan berkesan bagi negara yang terlibat menentang malaria.

“Dengan pembiayaan dan sokongan politik yang cukup, rancangan ini dapat membantu kita mencapai kejayaan besar menentang malaria bagi tahun-tahun mendatang,” tegasnya.

Memandangkan malaria mempunyai beberapa peringkat jangkitan, terdapat pilihan pencegahan sama ada untuk mensasarkan parasit Plasmodium itu sendiri atau vektornya, nyamuk betina Anopheles. Oleh kerana parasit tersebut mampu menyorok di dalam sel darah merah dan sel hati, agak sukar untuk mengesan mahupun membunuhnya.

Dengan itu, langkah paling mudah dan rendah kos adalah kawalan vektor, sama seperti kawalan denggi, dengan mengawal habitat pembiakan mahupun menyekat nyamuk daripada menggigit dan menyebarkan malaria kepada manusia.

Nyamuk Anopheles lebih suka bertelur dalam air yang bersih tetapi tetap boleh membiak dalam air masin, mahupun air kotor. Larva nyamuk ini telah dikesan di dalam air paya, paya bakau, sawah padi, tebing sungai dan juga lopak air selepas hujan atau banjir, juga pada pokok atau mana-mana struktur yang boleh menakung air. Kawalan habitat bukan sahaja perlu bertumpu kepada tompok air bersih, malahan mana-mana takungan air, terutamanya selepas banjir atau di musim hujan.

Penggunaan racun serangga atau kelambu pula dilihat dapat mencegah nyamuk (Anopheles mahupun Aedes) daripada menggigit mangsa. Ini penting untuk mengelakkan penyebaran parasit, mahupun virus, dari mangsa yang sudah dijangkiti kepada individu sihat.

Kementerian Kesihatan mensasarkan malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara 2015 hingga 2018. Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan.

Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria.

- Tempoh kritikal

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers menegaskan GMAP memberi asas kukuh untuk kita melabur dalam usaha menentang malaria.

“Saya menggesa penyokong-penyokong usaha ini di peringkat negara mahupun global untuk menggunakan rancangan ini bagi menggerakkan sumber sedia ada untuk kawalan malaria dan menyokong panggilan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon untuk menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan malaria,” ujarnya.

Tahun 2009 dan 2010 menjadi pertaruhan besar dalam usaha membasmi malaria menjelang 2015. Ini kerana semua usaha menyediakan kemudahan pencegahan dan rawatan perlu dimulakan dalam dua tahun ini bagi membolehkan sasaran tersebut dicapai.

Buat masa ini, dianggarkan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat malaria setiap 30 saat dan setiap kematian ini sebenarnya boleh dicegah. Usaha kini giat dijalankan untuk menyalur kemudahan asas seperti kelambu dan racun serangga ke kawasan-kawasan utama yang dilanda malaria. Walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui, terutamanya di kawasan luar bandar.

Selain itu, ubat dan kaedah rawatan yang jauh lebih murah dan berkesan turut diperkenalkan bagi membolehkan individu kurang berkemampuan mendapatkan rawatan untuk malaria.

Kerajaan Brazil dan Agensi Inisiatif Penggunaan Dadah Bagi Penyakit yang Diabaikan tahun lalu turut mengumumkan ubat terbaru untuk malaria dengan menggabungkan ubat sedia ada iaitu artesunate dan mefloquine dalam satu tablet. Dengan pengambilan satu atau dua biji pil berkenaan setiap hari untuk tiga hari, pesakit didakwa dapat pulih daripada jangkitan parasit malaria.

Kerajaan Brazil sendiri dikatakan akan mengedarkan ubat yang dikenali sebagai ASMQ itu secara percuma kepada mereka yang memerlukan serta akan memindahkan teknologi menghasilkannya ke India bagi pengedaran ke Asia Tenggara dengan anggaran kos rawatan hanya sekitar AS$2.50 (RM9.02).

Jika kerajaan sebuah negara sanggup melepaskan peluang keuntungan besar atas dasar perikemanusiaan untuk merawat pesakit miskin, tiada lagi alasan untuk kita tidak bekerjasama menghapuskan malaria. Tidak kira banyak atau sikit sumbangan dan bantuan yang dapat diberikan, ianya jauh lebih bermakna daripada hanya memerhatikan usaha orang lain dari jauh.

Bersama kita mulakan usaha mencapai malaria sifar menjelang 2015, bekerjasama menghapuskan penyakit berjangkit yang meragut paling banyak nyawa di dunia ini.

Rancangan Bertindak Malaria Global (GMAP) dihasilkan oleh Perkongsian Roll Back Malaria (RBM) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sila layari laman web www.rbm.who.int/worldmalariaday/

resources.html untuk maklumat lanjut mengenai malaria, GMAP, RBM atau laporan penuh malaria 2008.

Gynaecomastia



INDIVIDU dengan berat badan berlebihan atau obes juga menghadapi risiko gynaecomastia yang melibatkan pengumpulan lemak di dada.


PERKATAAN gynaecomastia berasal daripada perkataan Greek gynae (seperti perempuan) dan mastia (payudara).

Gynaecomastia boleh didefinisikan sebagai pembesaran payudara di kalangan kaum lelaki yang tidak normal dan menyerupai payudara wanita.

Gynaecomastia kerap berlaku di kalangan remaja lelaki. Walaubagaimanapun, 90 peratus daripada mereka akan pulih dengan sendiri dalam beberapa bulan atau apabila mereka mengakhiri zaman remaja. Keadaan ini juga boleh berlaku di kalangan anak yang baru lahir dan orang tua.

Punca

Ada beberapa punca yang boleh menyebabkan gynaecomastia. Asas utama terjadi gynaecomastia adalah ketidakseimbangan hormon wanita, oestrogen (yang berlebihan) dan kekurangan hormon lelaki, testosteron.

Kadangkala, tindak balas berlebihan tisu terhadap hormon wanita boleh juga menyebabkan gynaecomastia.

Namun, 25 peratus daripada mereka yang mengalami keadaan ini tidak mempunyai sebab yang tertentu dan digolongkan sebagai jenis idiopatik.

Punca-punca lain termasuklah:

1. Fisiologi

Ini adalah proses semula jadi di mana terdapat hormon wanita berlebihan pada bayi yang baru lahir atau ketidakseimbangan hormon di kalangan remaja yang mula cukup umur (baligh). Ia juga berlaku di kalangan orang tua akibat kekurangan hormon testosteron.

2. Ubat-ubatan

Pengambilan ubat-ubat tertentu dalam jangka panjang juga boleh menyebabkan gynaecomastia. Ubat terbabit bertindak mengubah payudara secara terus atau dengan menganggu aktiviti biasa kelenjar pituitari.

Antara ubat-ubat ini ialah:

a. cimetidine, omeprazole, spironolactone, imatinib mesylate, finasteride dan ubat antipsikotik.

b. Rawatan kanser prostat dengan anti-androgen dan analog GnRH akan menyebabkan gynaecomastia.

c. Androstenedione - terdapat dalam makanan tambahan untuk rangsangan badan.

3. Obesiti

Walaupun gynaecomastia kerap berlaku di kalangan orang gemuk, entiti ini tidak boleh disamakan dengan gynaecomastia yang sebenar.

Ini kerana pembesaran payudara golongan ini berpunca dari lemak berlebihan. Lebih tepat lagi, ia dipanggil lipomastia atau pseudogynaecomastia.

4. Penyakit Kronik

Beberapa penyakit kronik dikenal pasti boleh menyebabkan gynaecomastia seperti:

- Penyakit genetik seperti Sindrom Klinefelter (Sindrom XXY)
- Ketumbuhan dalam zakar
- Hyperthyroidism
- Sirosis hati
- Ketumbuhan dalam kelenjar adrenal
- Penyakit yang menyebabkan kekurangan hormon testosteron saperti penyakit pada kelenjar pituitari atau hypothalamus.
- AIDS

5. Lain-lain punca

Penyalahan gunaan bahan kimia atau ubatan untuk tujuan tertentu

- Steroid anabolik dan androgen
- Alkohol
- Amphetamine
- Marijuana
- Heroin

Diagnosis

Gynaecomastia biasanya dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan fizikal oleh pengamal perubatan.

Walaubagaimanapun, pemeriksaan tertentu seperti imbasan CT, ultrasound dan ujian darah mungkin diperlukan untuk memastikan punca terjadinya penyakit ini.

Perlu diingat, 25 peratus daripada mereka dengan keadaan ini tidak mempunyai sebab yang tertentu dan digolongkan sebagai idiopatik.

Rawatan

Gynaecomastia tidak menyebabkan sebarang risiko penyakit fizikal. Walaubagaimanapun, ia boleh menyebabkan gangguan perasaan yang mungkin memberi impak kepada kehidupan harian.

Kebanyakan masa, gynaecomastia tidak memerlukan sebarang rawatan. Apa yang diperlukan ialah pemeriksaan berjadual untuk mengetahui perkembangan penyakit ini. Sebilangan besar gynaecomastia akan hilang dalam masa dua hingga tiga tahun.

Untuk kes gynaecomastia yang berpunca dari sebab tertentu seperti ubat dan penyakit, keadaan pesakit akan lebih baik apabila penyakit itu dirawat atau ubat tersebut dihentikan atau diganti dengan ubat lain.

Penggunaan beberapa jenis ubat saperti tamoxifen, clomiphene dan letrozol mungkin dapat membantu mengubah kesan ketidakseimbangan hormon. Walaubagaimanapun, rawatan sebegini belum di terima secara menyeluruh.

Rawatan secara endokrin pula hanya berkesan pada dua hingga tiga tahun pertama. Selepas itu gynaecomastia akan menjadi keras akibat fibrosis.

Buat masa ini, rawatan menggunakan ubat tidak berkesan dan ia memerlukan pembedahan untuk mengembalikan payudara kepada keadaan asal.

Pembedahan yang di lakukan termasuklah liposuction, gland excision, skin sculpture atau reduction mammoplasty.

Oleh kerana pembedahan ini berbentuk kosmetik, kebiasaannya ia tidak ditanggung oleh pihak insurans.

Gynaecomastia boleh didefinisikan sebagai pembesaran payudara di kalangan kaum lelaki yang tidak normal dan menyerupai payudara wanita.

Kebanyakan kes gynaecomastia tidak menyebabkan sebarang risko penyakit fizikal tetapi ia boleh menyebabkan gangguan perasaan yang mungkin memberi impak kepada kehidupan harian.

Sekiranya ia tidak berpunca dari penyakit atau ubatan tertentu, rawatan pada awalnya berbentuk konservatif. Pembedahan mungkin dilakukan selepas dua atau tiga tahun.

Terdapat juga pesakit yang tidak melakukan sebarang rawatan dan menerima hakikat hidup dengan keadaan yang ada.

8.4.09

Sindrom otak bayi bergegar


Buaian paling kerap menyebabkan kecederaan bayi.


ELAKKAN bayi terlepas daripada dukungan atau buaian kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius.



Dr. Zulkifli Ismail





n 20 Januari 2005 - Mohamad Nabil Nazwan Zainal Abidin, sembilan bulan, dari Kampung Kenanga, Rawang, Selangor tidak sedarkan diri selepas terjatuh. Doktor yang memeriksa mangsa mendapati ada kesan lebam dan bengkak di kepalanya.

n 13 April 2006 - Anak lelaki penyanyi pop terkenal, Britney Spears, Sean Preston yang berusia tujuh bulan dimasukkan ke hospital akibat terjatuh di rumah penyanyi itu di Malibu, California, Amerika Syarikat.

n 14 April 2006 - Di Kampung Putat, Jalan Kodiang, Kedah, seorang bayi lelaki, Iskandar Zulkarnain terpaksa menerima 24 jahitan di kepalanya akibat cedera parah selepas terjatuh daripada motosikal yang ditendang oleh seorang peragut.

Tahukah anda perbuatan menidurkan bayi di dalam buaian mendedahkan anak kecil itu kepada risiko kecederaan terutama di bahagian kepala jika si bayi terjatuh?

Menurut pakar pediatrik dan mantan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, menidurkan bayi dalam buaian sememangnya tidak digalakkan.

"Jangan terkejut jika diberitahu bahawa peratusan bayi yang dimasukkan ke wad akibat jatuh berpunca daripada buaian serta penggunaan alat bantuan berjalan (walker) adalah tinggi," katanya.

Malahan, bukan sekadar risiko jatuh atau terhantuk ke dinding, gegaran terhadap otak bayi turut boleh berlaku sekiranya henjutan buaian terlalu kuat

Jelas Zulkifli, sindrom gegaran bayi yang lazimnya berlaku pada bayi yang digoncang kuat turut ditemui pada bayi yang ditidurkan di dalam buaian.

"Hayunan dan henjutan buaian sudah cukup untuk mendedahkan bayi kepada kecederaan otak, termasuklah terhantuk pada dinding atau terhempas ke lantai.

"Perkara ini memang amat mudah berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja," katanya.

Tambahnya, meskipun tiada kecederaan fizikal atau mental yang boleh berlaku pada masa hadapan akibat terjatuh daripada buaian, namun ia menjadi parah jika berlaku pendarahan dalam otak.

"Benjolan atau lebam (hematoma) yang wujud akibat jatuh harus dipandang berat oleh ibu bapa. Apatah lagi kalau ia diikuti muntah-muntah atau sawan.

"Keadaan tersebut menandakan kemungkinan ada bahagian tengkorak yang retak," katanya.

Menyentuh mengenai mudahnya bayi mendapat kecederaan kepala, Zulkifli menjelaskan ia bergantung kepada jenis permukaan serta jarak ketinggian anak itu jatuh.

Menurutnya, agak sukar gegaran otak untuk berlaku kerana otak manusia dilindungi oleh tempurung kepala dan dikelilingi cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat akibat terjatuh.

"Yang menjadikan keadaan bayi tersebut parah adalah apabila dia berusia kurang daripada 18 bulan kerana ubun-ubunnya masih lembut. Justeru, risiko untuk tempurung kepala tercedera agak besar," jelasnya.

Di samping itu, keadaan fizikal kepala bayi yang lebih besar dan berat daripada badan membuatkan mereka mudah terjatuh kepala dahulu kerana tidak dapat mengimbangi badan.

Jelas Zulkifli, bayi yang mula berjalan akan lebih banyak terjatuh. Ibu bapa harus memberi perhatian yang lebih pada peringkat ini.

"Bukan saja lebam disebabkan terhantuk malah tangan dan kaki mereka juga boleh patah dan terseliuh," katanya.

Menurut beliau, andaian yang mengatakan bayi tidur lebih lama di dalam buaian harus dikikis oleh ibu-ibu.

Ujarnya, jangan kerana tidak mahu diganggu ketika membuat kerja rumah, ibu-ibu mengambil langkah mudah dengan menidurkan bayi di dalam buaian.

"Tali pengikat, spring serta kain penyokong buai amat berbahaya. Andai salah satu tidak berfungsi, kebarangkalian bayi anda terjatuh atau dihempap spring atau besi sangat tinggi," katanya.

Penemuan


RUANGAN Penemuan minggu ini akan membawa kepada anda fakta-fakta saintifik mengenai pijat, peti sejuk, insomnia dan seks lelaki lembam.

Pijat tidak berbahaya

JEROME GODDARD, pakar entomologi dari Universiti Mississippi membuktikan bahawa isu serangga katil atau pijat memuncak apabila laporan kepada jabatan kesihatan dan tindakan undang-undang terhadap hotel-hotel di Amerika Syarikat meningkat.




Malah, ramai yang tidak sedar digigit serangga itu dan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tetapi sesetengah lagi membengkak dan gatal di tempat gigitan. Ada juga yang memberi reaksi alergi seperti serangan asma.

Jelasnya, kehadiran serangga ini tiada kaitan dengan kebersihan atau sanitasi. Ia adalah berkenaan pergerakan manusia.

EKSTRA: Pijat paling aktif menjelang subuh atau beberapa jam sebelum matahari terbit. Ia memanjat dinding ke siling dan melompat ke bawah setelah mengesan kehadiran gelombang haba dan gas karbon dioksida.

Peti sejuk bukan penyelamat

RAMAI konsumer yang tidak faham bahawa menyimpan makanan di dalam peti sejuk hanya melambatkan pertumbuhan bakteria, bukan membunuhnya, menurut Janet B. Anderson, profesor klinikal nutrisi dan sains pemakanan di Universiti Utah, Amerika Syarikat.




Antara langkah untuk memastikan keselamatan bekalan makanan anda ialah dengan mengawasi tarikh pembelian dan bila bekas makanan itu dibuka.

Berikan juga perhatian kepada tempoh penyimpanan yang disarankan iaitu di bawah 4.4 darjah Celsius. Lebih tinggi daripada itu, peti sejuk itu akan menjadi tempat pembiakan bakteria.

EKSTRA: Peti sejuk membenarkan isi rumah menikmati sayuran dan buah-buahan segar ketika makan tanpa perlu memiliki taman atau kebun.

Insomnia kurang selera makan

MEREKA yang menghadapi masalah gangguan tidur merembeskan 30 peratus lebih rendah hormon ghrelin yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan kawalan selera makan.




Penemuan yang dilaporkan dalam Psychoneuroendocrinology, membuktikan bahawa hormon tersebut berkait secara spesifik dengan metabolisma tenaga dan selera makan boleh dipengaruhi tidur yang sedikit, menurut Dr. Sarosh J. Motivala, dari Universiti California Los Angeles.

EKSTRA: Insomnia adalah perkara biasa dalam kalangan mereka yang kehilangan insan tersayang.

Seks lelaki lembam tidak selamat

LELAKI dewasa yang bermasalah dalam pembelajaran sering terjebak dalam hubungan seks yang tidak selamat walaupun mereka memahani risiko tersebut.




Dr. Evan Yacoub, dari Springfield Hospital di London memberitahu, pendidikan sahaja tidak memadai bagi menyekat penyebaran penyakit berkaitan seks walaupun mereka tahu apa itu Aids, siflis dan sebagainya.

EKSTRA: Kemerosotan mental bukan saja melibatkan golongan warga emas malah mereka yang masih muda, menurut Timothy A. Salthouse, profesor psikologi di Universiti Virginia.

Bukan setakat menggeletar


Keadaan menggeletar pesakit Parkinson boleh hilang setelah mendapat bantuan ubat-ubatan serta pembedahan.







“TERUS TERANG saya katakan, stigma masyarakat membuatkan kami pesakit Parkinson ‘mati’ sebelum masanya,” luah Niamat Ali Raukee, 68.

Bercerita lanjut, insiden diketawakan, dipandang sebagai objek pelik serta diperlekehkan sudah menjadi asam garam kehidupan Niamat dan pesakit Parkinson yang lain.

Malah, semenjak disahkan menghidap penyakit pergerakan dan rangsangan otot itu kira-kira 14 tahun lalu, terlalu banyak insiden yang membuatkan beliau berasa lebih selesa duduk di rumah sahaja.

“Saya pernah diketawakan kerana meminta tolong bangunkan saya dari kerusi ketika hendak membayar bil. Orang itu anggap saya berpura-pura,” katanya.

Walaupun Niamat mengambil ubat-ubatan sebanyak tujuh kali sehari, fenomena ‘baik sekejap’ membuatkan beliau hanya mampu berjalan sempurna selama dua jam selepas mengambil ubat.

“Anggapan yang pesakit Parkinson ini selalu menggeletar tangan tidak tepat. Tangan saya menggeletar pada waktu tertentu sahaja.

“Masalah utamanya ialah apabila kita tidak mampu menggerakkan tubuh. Itulah yang orang ramai tidak faham,” katanya.

Nyata, melihat keadaan Naimat ketika diwawancara, tiada langsung tanda yang beliau menghidap penyakit yang sering dikaitkan dengan warga emas itu.

Bekas guru ini juga memberitahu, agak sukar pada mulanya untuk beliau menerima hakikat dirinya menghidap Parkinson. Hanya selepas menjalani diagnosis di beberapa buah hospital barulah beliau dapat menerima kenyataan.

“Hingga kini, masih ada rakan yang tidak percaya saya mengalaminya kerana pada zahir semuanya kelihatan sempurna.

“Namun sebenarnya ia sangat menakutkan. Segalanya bermula dengan kesukaran menggerakkan kaki kiri beberapa tahun lalu dan kini, saya disahkan menghidap Parkinson,” katanya.

Pakar Runding Neuro dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Chew Nee Kong menjelaskan, penyakit misteri ini sering disalah anggap oleh masyarakat.


NIAMAT cekal menjalani hidup sebagai pesakit Parkinson.


“Paling utama, ramai mengaitkan ia dengan keadaan tangan serta tubuh yang menggeletar. Hakikatnya, ia bergantung kepada pesakit dan cuma 30 peratus pesakit akan menunjukkan simptom ini,” katanya.

Menurut Nee Kong, keadaan menggeletar ini boleh hilang setelah beberapa tahun mengambil ubat-ubatan serta menjalani pembedahan.

Jelas beliau, penyakit ini juga boleh muncul tanpa simptom yang melibatkan saraf motor. Dan sememangnya simptom menggeletar adalah cara paling mudah untuk kita mengetahui seseorang mengalaminya atau tidak.

Namun, menurut Nee Kong, ia bukanlah simptom utama. Adakalanya ia hanya muncul pada peringkat tertentu, malah selepas beberapa tahun.


TANGAN menggeletar merupakan simptom paling mudah penyakit Parkinson.


Tegasnya, kini penyakit ini dikategorikan sebagai penyakit neuro-psikiatri kerana ia turut membabitkan gangguan emosi di samping pergerakan pesakit.

“Mengasingkan diri, malu serta tiada keyakinan diri seolah-olah menjadi pakej kepada penyakit ini. Justeru, di samping merawat simptom, terapi dan kaunseling juga diberikan,” ujarnya.

Menangani obesiti ibu hamil


Hospital Northwestern Memorial di Chicago kini mewujudkan satu program percubaan khas untuk mencegah obesiti dalam kalangan ibu-ibu hamil.


ELENA NIEVES (kiri) yang sedang hamil mendengar arahan daripada seorang pengajar Psikologi Senaman, Lindsey Hanna di Hospital Northwestern Memorial, Chicago.


ELENA NIEVES, 23, yang mempunyai ketinggian 1.7 meter kelihatan seperti seorang gadis poster untuk satu program khas obesiti dalam kalangan ibu-ibu hamil. Sebelum disahkan hamil oleh doktor, dia baru kehilangan 23 kilogram (kg) dan kelihatan sihat.

Tetapi menjelang minggu ke-15 dia hamil, berat badan Nieves naik mendadak.

"Rupa-rupanya, saya hamil pada Disember tahun lalu, dan hanya berjumpa doktor pada pertengahan bulan Januari. Ketika itu, berat badan saya sudah meningkat sebanyak tujuh kg," kata Nieves.

Ekoran pernah berdepan dengan masalah berat badan ketika hamil, Nieves nekad untuk melakukan sesuatu.

Nieves menjadi ahli terbaru dalam satu program yang masih dalam tempoh percubaan di Hospital Northwestern Memorial di Chicago. Ia diwujudkan bagi memberi peluang kepada ibu-ibu hamil mengawal berat badan.

Berdasarkan kajian terbaru, berat badan berlebihan dalam kalangan ibu-ibu hamil boleh memberi kesan kepada kandungan dan si ibu. Ini kerana obesiti boleh meninggalkan komplikasi sepanjang proses mengandung sekali gus meletakkan risiko bayi menghidap penyakit diabetes dan juga obesiti.

"Kami tahu sejak dulu lagi, anak yang dilahirkan oleh ibu yang berlebihan berat badan akan mengalami masalah yang sama setelah dilahirkan," kata Pengarah Northwestern Comprehensive Center on Obesity, Dr. Robert Kushner.

Menurutnya, para pengkaji membuat kesimpulan itu kerana ibu-ibu yang obesiti boleh mewarisi tabiat makan mereka kepada bayi yang dilahirkan.

Malah, hasil kajian kemanusiaan turut melaporkan bahawa persekitaran fetus berkembang di bawah pengaruh genetik.

"Ia seperti lahir dengan gari di tangan. Dalam persekitaran seperti itu, bagaimana mereka boleh terlepas? soal Kushner yang merujuk kepada epidemik obesiti yang menjejaskan 17 peratus daripada kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS menganggarkan hampir suku daripada empat juta kelahiran pada setiap tahun melibatkan wanita yang obes.


WANITA hamil wajar menjaga pemakanan dan kesihatan tubuh mereka untuk kesejahteraan bayi dalam kandungan.


Obesiti meningkatkan risiko diabetes, hipertensi, penyakit jantung, strok, kanser dan banyak lagi.

Dalam satu laporan pada tahun 2000, pakar bedah AS menganggarkan kos untuk merawat obesiti mencecah RM424 bilion setiap tahun.

Kushner memberitahu, program yang dijalankan di Northwestern merupakan yang pertama di negara itu yang kini berusaha mengatasi masalah obesiti ketika hamil.

Katanya, wanita hamil selalu tidak mengendahkan masalah berat badan mereka kerana mereka bimbang mengawal berat badan boleh menjejaskan kandungan.

Tetapi, jika mereka tidak melakukan apa-apa, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi.

Doktor telah merujuk 20 kes wanita hamil yang obes sejak program itu bermula pada November lalu. Hasilnya, program itu kini menerima peserta baru pada setiap minggu.

Wanita-wanita tersebut akan diberikan kelas mengenai nutrisi, tekanan, senaman dan menyimpan log mengenai diet dan juga aktiviti harian.

Jururawat yang mengendalikan program itu, Charlotte Niznik memberitahu, kumpulan tersebut akan memberikan perkhidmatan melalui dalam talian tidak lama lagi.

"Segalanya kini semakin mudah. Jika kita masih malas, kita tidak akan mengambil bahagian," katanya.

Selain itu, bantuan dana yang diberikan untuk tiga tahun membolehkan mereka mengadakan program tersebut secara percuma.

Mereka berharap dapat menarik perhatian golongan kulit hitam dan juga Hispanik yang paling berisiko untuk mendapat komplikasi obesiti.

Niznik juga berkata, beberapa wanita dalam program ini telah menjalani pembedahan pintasan gastrik kerana takut berat badan mereka bertambah.

"Mereka berusaha untuk mengekalkan berat badan normal ketika mengandung iaitu tidak lebih daripada tujuh kg. Ini kerana mereka adalah wanita yang obes yang mempunyai berat antara 136kg hingga 180kg," katanya.

Dengan 90kg, berat Nieves dikira masih tidak terlalu berbahaya tetapi peningkatan sebanyak 10kg setakat ini, menjadikan dia salah seorang daripada wanita hamil yang obes.

Semasa mengandungkan anak yang sebelumnya, Nieves berasa tertekan dengan pakar perbidanannya yang menyuruh dia menambah berat badan.

"Ketika itu, berat saya adalah 100kg. Saya beritahunya bahawa saya sudah berlebihan berat dan saya tidak mahu menambahnya lagi.

"Tetapi dia memberitahu bahawa saya perlu menambah berat badan sebanyak satu paun setiap minggu sehingga saya bersalin. Ini bermakna berat saya akan bertambah sebanyak 40 paun," katanya.

Dia berharap, program yang disertainya itu dapat mengurangkan tekanannya yang bimbang mengalami masalah berat badan.

"Saya seorang Hispanik. Ibu mertua saya pula memaksa saya makan banyak kerana katanya, bayi yang dilahirkan perlu sihat dan gemuk," ujarnya.

Seorang ahli obstetrik, Dr. Alan Peaceman yang mengendalikan program itu berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk membantu wanita seperti Nieves hamil secara sihat.

Mereka berharap dapat mengumpul data bagi mengurangkan komplikasi ibu dan bayi daripada mempunyai berat badan yang boleh mendatangkan bahaya.

"Jika kami boleh membuktikan bahawa mengawal berat badan ketika hamil boleh mengubah trend sedia ada, ia akan menyelesaikan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak," katanya. - Reuters

Bila ginjal gagal berfungsi


Buah pinggang yang dipanggil nefron berfungsi mengkumuhkan kotoran dari dalam badan. Apakah kesannya jika ia tidak lagi berfungsi?




AHMAD Saadan, 52, pada mulanya tidak percaya apabila doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (end stage renal failure).

Doktor memaklumkan Ahmad bahawa dia perlu menjalani rawatan dialisis menggunakan mesin untuk mencuci darah seumur hidup. Sebelum ini, dia telah beberapa kali menjalani pembedahan di lengan, leher, dada dan terakhir pada kaki akibat komplikasi yang dihidapinya.

Menurut Ahmad, segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992. Dia, kemudiannya pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.

Dengan wang pampasan sebanyak RM60,000 yang diterimanya bagi tempoh 16 tahun perkhidmatan, dia membuka sebuah gerai buah-buahan pada waktu siang dan mengendalikan restoran pada sebelah malam.

"Selepas empat tahun berniaga, saya mula mengalami demam dan lenguh-lenguh badan. Walaupun begitu, saya tidak ambil kisah kerana menyangka ia adalah sakit biasa akibat seharian penat bekerja.

"Sehinggalah saya jatuh pengsan semasa berniaga di restoran. Saya dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang.

"Doktor memberitahu, puncanya bukanlah disebabkan penat bekerja tetapi kerana pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan," kata bapa kepada lima orang anak itu. Ahmad mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan penyakit gout yang dideritainya.


HARAPAN Ahmad kini cuma bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.


Hasil bedah siasat, doktor mendapati buah pinggang Ahmad telah rosak. Malah pemeriksaan doktor juga mendapati kedua-dua buah pinggangnya mengecut dan tidak lagi boleh berfungsi.

Buah pinggang merupakan satu unit kecil yang dipanggil nefron. Ia terletak di kiri dan kanan pinggang tubuh manusia dan berfungsi mengeluarkan bahan kotoran dari badan.

Selain itu, buah pinggang membantu mengeluarkan air berlebihan dari dalam badan serta mengawal keseimbangan garam, asid, alkali, dan bahan-bahan kimia di dalam badan.

Buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah, membantu mengawal proses penghasilan sel darah merah dan mengawal ketumpatan tulang.

"Doktor memberitahu, penyakit saya sudah di peringkat akhir. Saya terkejut kerana penyakit ini tidak memberi sebarang tanda pada peringkat awal, selain mengalami demam dan lenguh-leguh badan sahaja," katanya ketika ditemui semasa melakukan rawatan dialisis di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini.


AHMAD sentiasa ditemani isterinya untuk berulang-alik ke Hospital Taiping sebanyak tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan dialisis.


Ahmad yang mendapat bantuan daripada Kementerian Pertahanan mula menerima rawatan dialisis sejak tahun 2001.

Pada peringkat awal, beliau dikehendaki menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD).

Namun Ahmad mengalami komplikasi usus bocor sewaktu pembedahan meletakkan katerer tenckhoff di dalam perut nya.

Rongga perut beliau tidak boleh menampung rawatan CAPD sekali gus memaksanya melakukan rawatan hemodialisis. Bagaimanapun, semua fistula iaitu sambungan salur darah nadi kepada salur darah vena yang perlu untuk rawatan hemodialisis turut gagal.

Satu daripada fistula tersebut telah menyebabkan tangan Ahmad bengkak dan otot pada tangan kanannya yang mengawal genggaman tangan juga separa rosak.

"Akibat penggunaan katerer hemodialisis pada leher dalam jangka masa panjang, semua salur darah vena utama di bahagian dada saya menjadi sempit dan tidak sesuai untuk dialisis melalui katerer.

"Ikhtiar terakhir ialah mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai dan saya berjaya memperolehnya. Malangnya, pemindahan tersebut juga gagal," katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Aniza Jamaludin, 45, selama beliau perlu berulang-alik ke hospital tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital.

Ibarat kata pepatah, sudah jatuh di timpa tangga. Kini, harapannya bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.

Ahmad yang menderita penyakit buah pinggang selama 13 tahun, berkata, kos rawatannya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk seumur hidup.

5.4.09

Panik mudah serang wanita


Panik melampau melibatkan perasaan cemas, takut dan gelisah terhadap sesuatu yang tidak rasional.








PESAKIT berupaya mencetuskan imaginasi di luar kawalan.








"GANGGUAN kecelaruan panik atau panic disorder memang sukar dikesan sehinggalah keadaan menjadi serius. Malah ramai yang menganggap panik atau cemas yang dialami mereka adalah perkara biasa," ujar Prof. Dr. Azhar Mohd. Zain.

Dekan dan Profesor di Psikiatri Klinikal, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Klinikal, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mendedahkan, banyak pihak menganggap kehadiran simptom panik melampau sebagai sesuatu yang boleh diperlekehkan.

"Kecelaruan panik merupakan satu keadaan saraf di dalam otak yang menjadikan seseorang itu cukup mudah panik. Dalam erti kata lain, otak seolah-olah mencetuskan kepanikan tersebut," katanya.

Daya sensitiviti otak terhadap kawasan yang melibatkan saraf katastrospik mencetuskan panik tersebut tidak kira tempat atau masa. Jadi apabila terdapat perkara atau perkataan yang boleh 'mengaktifkan' saraf tersebut, pesakit akan mengalami panik.

Azhar berkata, serangan panik melampau itu kebanyakannya melibatkan wanita kerana daya semangat mereka kurang berbanding lelaki.

Ceritanya, terdapat kes sepasang suami isteri bercerai kerana suaminya tidak tahan dengan serangan panik yang dialami oleh isterinya.

"Dia rasa dipermainkan kerana setiap kali si isteri mengalami panik melampau, si suami akan bergegas pulang ke rumah. Namun apa yang didapati ialah isterinya 'sihat'.

"Lama-kelamaan si suami tidak tahan lagi apabila si isteri kerap mengatakan dia takut untuk ke mana-mana atas alasan bimbangkan serangan itu berlaku di luar dan menyebabkannya mati," jelas Azhar.

Berbeza dengan agorafobia, panik melampau melibatkan perasaan cemas, takut dan gelisah terhadap sesuatu yang tidak rasional.

"Malah, pesakit berupaya mencetuskan imaginasi di luar kawalan yang selalunya berkait rapat dengan perasaan tidak selamat, bahaya atau mati," ujar Azhar.

Kajian yang dilakukan Azhar pada tahun 1994 yang melibatkan sekumpulan pesakit kecelaruan panik dan pelajar perubatan membuktikan mereka bukan saja menghadapi ketidakselanjaran mental malah masalah biologi.

Menerusi kajian tersebut yang kini diguna pakai sebagai asas memahami pesakit mendapati cara pesakit kecelaruan panik mengakses sesuatu benda atau perkara tidak sama dengan manusia normal.

"Paling menonjol, mereka ini mudah melihat benda sebagai sesuatu yang negatif dan katastropik. Sebagai contoh, bagi perkataan neutral, mereka akan tenang.

"Namun apabila pakar menggunakan perkataan yang tertentu seperti mati, sesak atau lemas, mereka akan 'terangsang'. Malah, ada di antara mereka seolah-olah turut mengalaminya ketika itu," kata Azhar.

Pendekatan biologi dan psikiatri amat perlu bagi merawat kecelaruan panik kerana pendedahan seseorang kepada penyakit itu dalam jangka masa panjang akan mengundang masalah.

"Masalah itu bukan saja pada diri mereka malah juga kepada pasangan, ahli keluarga, tempat kerja malah persekitaran pesakit. Hingga adakalanya ia mengganggu rutin hidup pesakit itu sendiri," katanya.

'Serangan' yang berlaku di tempat kerja juga boleh menyebabkan prestasi seseorang itu menjunam kerana tekanan daripada mereka yang tidak faham akan penyakit itu.

Penyakit panik melampau juga tidak berakhir di situ. Jelas Azhar, gejala kemurungan, agorafobia hingga akhirnya melibatkan tekanan jiwa akan melengkapkan 'rantaian' penyakit itu.

Lebih membimbangkan, serangan panik melampau turut melibatkan kanak-kanak. Malah satu kajian oleh beberapa pakar di Persatuan Psikiatri Amerika Syarikat mendapati sebanyak 40 peratus perlakuan itu bermula sebelum pesakitnya berumur 20 tahun.

Cara rawatan, tegasnya, tidak hanya bergantung kepada ubatan serta terapi tetapi melibatkan kekuatan pesakit untuk melawan imaginasi panik tersebut.

"Memang ada ubatan khusus namun ia akan menyekat saraf katastropik daripada berfungsi sewajarnya. Dalam kata lain, pesakit akan tiada tindak balas langsung terhadap persekitarannya.

"Justeru, ubatan yang diberi hanya bersifat pelindung bagi menyekat saraf itu daripada menjadi terlalu sensitif di samping rutin terapi yang harus diikuti oleh pesakit," jelasnya.

Tebuk leher ganti lamina



Dr. Mohd. Saffari Mohd. Haspani


SEGALANYA bermula tanpa disengajakan. Asalnya batuk yang tidak henti-henti, demam dan tidak selesa di seluruh badan. Pemeriksaan terakhir rupa-rupanya memberi berita yang cukup mengejutkan.

Tidak tahan dengan kesakitan yang sering membataskan pergerakannya, Abdul Razak Yunus, 59, mendapatkan rawatan termasuk menjalani beberapa ujian dan imbasan di bahagian tulang belakangnya.

Malah, jika tidak kerana desakan anaknya, pastinya sehingga hari ini Abdul Razak akan menganggap apa yang dialaminya itu hanya simptom demam biasa.


PEMBEDAHAN hanya melibatkan kawasan sepanjang 10 sentimeter.


“Apabila jari tangan tiba-tiba membengkok dan kadangkala kebas, anak saya menggesa saya berjumpa dengan doktor pakar. Setelah pemeriksaan dan imbasan MRI dilakukan, mereka mendapati cakera (disk) tulang belakang saya telah beralih tempat.

“Menurut doktor, pergerakan cakera yang menyokong tulang belakang tersebut telah mengakibatkan saraf tunjang saya dihimpit,” katanya yang semasa ditemui baru saja menjalani pembedahan.

Disebabkan himpitan tersebut, tangan dan kakinya menjadi kejang malah menyentap-nyentap pada masa tertentu.

Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Saffari Mohd. Haspani, berkata simptom tersebut telah mengganggu kawasan leher atau torasik. Justeru, tanpa pembedahan, suara pesakit kemungkinan akan hilang.

Bukan itu sahaja, keupayaan pesakit untuk menelan makanan juga akan terjejas kerana kesakitan dialami setiap kali berlakunya pergerakan di kawasan antara leher dan tulang belakang.


KEDUDUKAN plat titanium setelah siap dipasang di kedudukannya.


Bagi memulihkan pesakit, pembedahan dilakukan dengan membuka lamina sebelum cakera pada enam dan tujuh tulang belakang digantikan dengan plat bagi menstabilkan leher.

“Bahagian leher merupakan anggota yang paling banyak bergerak. Lebih lama dibiarkan, cakera tersebut akan terus menipis serta menekan saraf tunjang yang akhirnya melumpuhkan pesakit,” jelasnya sambil menunjukkan gambar sinaran X pesakit.

Ujarnya lagi, plat yang menggantikan lamina akan disokong dengan penggunaan pelindung leher dalam tempoh tertentu. Ia memberi peluang kepada saraf di sekeliling lamina yang ditukar supaya serasi.

Tempoh pemulihan bagi pembedahan ini juga cukup singkat. Dalam kes Abdul Razak, ia mengambil masa tidak sampai 24 jam untuknya kembali berjalan dan makan seperti biasa.


PLAT titanium yang fleksibel ini mampu menyokong kedudukan saraf tunjang.


“Rawatan fisiologi akan membantu anggota tangan serta kakinya yang sedikit terjejas akibat himpitan saraf sebelum ini untuk kembali normal,” katanya.

Mohd. Saffari juga menambah, plat titanium khas yang menggantikan lamina tersebut adalah selamat untuk digunakan. Malah ia tidak perlu dilaras atau dibuka lagi.

Mohd. Saffari menjelaskan penipisan cakera pada lamina berlaku tanpa mengira usia dan jantina. Malah, golongan muda juga tidak terlepas daripada mengalaminya.

“Simptomnya juga berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Namun secara asasnya, ia melibatkan kekejangan dan kesakitan pada tulang belakang ketika melakukan aktiviti tertentu seperti mengangkat barang,” jelasnya.

Ubat cegah kehilangan suara





KAJIAN yang dilakukan oleh Centre Hospitalier Regional et Universitaire de Tours mendapati pesakit kanser larinks mampu menyelamatkan peti suara mereka dengan menerima kombinasi ubatan berbanding hanya satu atau dua rawatan. Antara kombinasi ubatan tersebut ialah docetaxel, cisplatin dan 5-fluoruracil (TPF) ketika cetusan kemoterapi bagi menghalang kombinasi cisplatin dan 5-fluoruracil (PF).

Ekstra: Pakar bius dari Sekolah Perubatan Mayo, Dr. Robert Wilder memberi amaran bahawa penggunaan ubat bius pada kanak-kanak yang melebihi tiga kali sebelum mencecah umur tiga tahun didapati menyebabkan mereka mengalami kesukaran belajar apabila dewasa nanti.