Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

2.5.09

Ancaman virus selesema babi



Kajian sampel mengenal pasti jenis virus selesema yang dijalankan di Makmal Kesihatan awam di California, Amerika Syarikat.


Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demam Coxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.

Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.

Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.

Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.

Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.

''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.

Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.

Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.

Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.

Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.

Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.

''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.

Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.

Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.

Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.

Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.

Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.

''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.

Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted) gen-gen di antara virus unggas (avian), babi dan virus selesema manusia.

Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.

Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.

Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.

Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.

WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.

Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.

Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.

Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.

Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.

Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.

Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.

Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.

Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.

Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.

21.4.09

TSS - jangkitan dalam darah



Dr. Bervery Whipple menunjukkan cara memasukkan instead softcup, alat penadah haid atau gegelung instead.


DI Malaysia, sindrom kejutan toksin (toxic shock syndrome - TSS) jarang berlaku berbanding Amerika. TSS sering dikaitkan sebagai jangkitan dalam darah khususnya bagi mereka yang kerap menggunakan tampon berdaya penyerapan tinggi ketika haid.

Darah haid sebenarnya datang daripada lapisan tisu yang mengalas dinding rahim dipanggil endometrium.

Bagi wanita negara ini, penggunaan tampon tidak popular dan bukan menjadi kebiasaan ketika datang haid. Kebiasaannya, golongan ini memilih tuala wanita yang dianggap sesuai dengan budaya Asia dan mudah dibasuh. Di Amerika, kira-kira 70 peratus wanita menggunakan tampon atau tuala wanita dan menyebabkan kes TSS banyak berlaku di negara itu.

Setiausaha Persatuan Kesihatan Seksualiti Sedunia, Dr Bervery Whipple, memberitahu TSS memang kes yang kerap berlaku di Amerika, namun jumlah itu semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Misalnya, pada 1980, 814 kes TSS dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), berbanding hanya lima kes TSS dilaporkan pada 1997.

TSS dihasilkan kerana toksin terhasil oleh bakteria dalam faraj kita.

"Tidak dinafikan kebanyakan kes TSS dikaitkan dengan penggunaan tampon ketika haid tetapi tiada bukti mengaitkan TSS dengan tampon. Namun, ramai pakar percaya, tampon menyebabkan TSS kerana ia memiliki daya penyerapan yang tinggi hingga menyebabkan jangkitan dalam darah haid. Selain itu, ia dapat menyerap darah dengan cepat hingga menyebabkan kekeringan vagina," katanya pada majlis pelancaran Instead Softcup, alat penadah haid atau gegelung instead.

Dalam pada itu, Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Abd Aziz Yahya, memberitahu, walaupun TSS boleh terjadi pada lelaki dan kanak-kanak, ia lebih kerap menyerang wanita datang haid yang menggunakan tampon.

"Kajian populasi merumuskan risiko TSS dikaitkan dengan daya penyerapan tampon. Lebih tinggi kadar penyerapannya lebih tinggi risiko TSS. Ini kerana wanita sering menggunakan tampon dalam tempoh yang lama. Justeru, tampon perlu ditukar setiap tiga hingga empat jam (sama seperti tuala wanita) untuk mengelak masalah," katanya.

Selain tampon, Amerika turut memperkenalkan sejenis pelapik haid berbentuk cawan yang menadah di pintu vagina. Ia dinamakan instead, seakan cawan yang diperbuat daripada material bebas alahan bukan lateks dan dimasukkan hingga ke pintu vagina. Instead dipakai di dalam, bukan di luar seperti tuala wanita.

Kejayaan instead dipasarkan di Amerika membawa kepada pengenalannya di Malaysia, baru-baru ini. Berbanding tuala wanita biasa, instead boleh bertahan selama 12 jam tanpa perlu ditukar.

Jika tuala wanita bertindak menyerap darah kotor, instead pula menadah atau menakung darah haid. Mungkin ramai wanita yang terfikir jumlah darah haid boleh mencapai hingga dua cawan tetapi sebenarnya ia sekitar dua hingga enam sudu teh saja.

Secara purata kuantiti darah haid antara 30 hingga 40 mililiter atau dua hingga empat sudu makan saja.

Pemakaian instead seharusnya tidak terasa dan selesa. Ia digunakan dengan cara dimasukkan hingga ke pintu rahim dan gegelungnya akan bertindak seperti cawan menadah di permukaan pintu rahim.

Wanita hanya perlu menolak lebih dalam menggunakan jari tangan sekiranya dapat merasai instead tersebut di dalam faraj.

Pemakaian instead lebih mudah dan ringkas kerana anda tidak perlu membasuhnya sebaliknya hanya membiarkan tisu menyerap darah kotor dan membuangnya atau dengan hanya membuang terus darah kotor yang terkumpul.

Ia juga tidak mendatangkan bau hanyir seperti yang biasa dialami sesetengah wanita yang datang bulan.

Namun, wanita yang baru bersalin, keguguran atau baru menjalani pembedahan akibat masalah perbidanan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan alat ini.

Hal yang sama perlu dilakukan bagi wanita yang ingin menjaga dara kerana instead boleh menyebabkan selaput dara wanita terkoyak.

Kitaran haid

Haid merupakan satu proses bulanan yang normal. Purata kitaran haid berlangsung dalam tempoh 28 hari.

Walau bagaimanapun, kitaran yang normal mungkin berlangsung di antara 21 hingga 35 hari. Semasa kitaran ini, ovari mengeluarkan hormon-hormon estrogen dan progesteron.

Hari pertama kitaran adalah hari pertama haid bulanan datang. Pada hari kelima, dinding dalaman rahim di bawah pengaruh hormon estrogen, mula dibentuk sebagai persediaan untuk mengandung.

Pada hari ke-14, telur akan dikeluarkan oleh salah satu dari ovari, ini dipanggil ovulasi. Selepas ovulasi, paras progesteron meningkat. Seandainya telur tidak disenyawakan oleh sperma, paras progesteron akan jatuh.

Ini akan memaklumkan pada dinding dalaman rahim yang kesediaan untuk menerima hasil persenyawaan tidak akan berlaku dan seterusnya penanggalan lapisan yang dinamakan darah haid, berlaku pada hari ke- 28.

Penanggalan lapisan ini (haid) menandakan permulaan kitaran haid bulanan yang baru.

Sejarah

Wanita zaman dulu menggunakan tuala atau kain yang boleh dicuci dan digunakan semula untuk menghalang darah haid terkena pakaian.

Tuala wanita pakai buang yang pertama dicipta pada 1890 di Jerman.

Hanya menjelang 1927 baru tuala pakai buang dihasilkan, diikuti tampon pada yang diperkenalkan secara komersial pada 1933.

Tuala wanita sentiasa mengalami perubahan dan tuala berpelekat pertama ada di pasaran pada 1970. Penyelidikan menghasilkan 'cawan' penadah haid bermula pada 1960-an.

Simptom TSS

1) Demam

2) Muntah pening cirit-birit

3) Ruam merah diikuti kulit yang menggelupas selepas satu atau dua minggu terutama di tapak tangan atau kaki

4) Mata, mulut dan tekak merah

5) Keliru

6) Sakit kepala

7) Hipertensi

8) Kegagalan fungsi organ selalunya ginjal dan hati.