Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Menyingkir ramuan tersembunyi majerin



Versi baru majerin mempunyai kurang 60 peratus kandungan lemak pilihan diet sihat

LEMAK memberikan atau menambah rasa yang lebih enak kepada makanan. Lebih kurang 50 peratus penduduk dunia bergantung kepada lelemak untuk penyediaan makanan seharian manakala selebihnya menggunakan minyak. Bagaimanapun, lelemak digunakan dengan lebih meluas di dalam penyediaan produk bakeri dan sebagai salah satu ramuan di dalam makanan yang diproses.

Sehingga Perang Dunia Kedua, lelemak kebanyakannya diperoleh dari sumber haiwan - sebahagian besarnya daripada lepa susu dan lemak haiwan. Kekurangan bekalan lelemak itu di Negara Barat selepas Perang Dunia Kedua telah mendorong kepada penghasilan dan penggunaan majerin dan lelemak yang bersesuaian.


Majerin terbentuk dari 80 peratus lelemak (minimum), 16 peratus air (maksimum) dan selebihnya bahan aditif makanan. Versi baru majerin yang lebih dikenali sebagai sapuan rendah lemak mempunyai 60 peratus atau kurang kandungan lemak.

Ia dipromosikan sebagai alternatif yang lebih sihat berbanding lepa susu dan lemak dari sumber haiwan yang mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi yang mana meningkatkan paras kolesterol serta risiko penyakit jantung pada manusia.

Selama ini, majerin poli tak tepu telah menjadi pilihan untuk diet yang sihat. Kajian menunjukkan risiko penyakit jantung berkurangan berikutan pemakanan majerin berkenaan.

Bagaimanapun, sejak 1990-an, gambaran ini telah dicabar oleh fakta yang mengaitkan asid lemak trans (trans fatty acids - TFA) dan majerin.

Majerin, shortening, lelemak bakeri, lelemak gorengan dan vanaspati memerlukan profil lelemak untuk memberikan tekstur dan kekonsistenan kepada produk-produk berkenaan.

Tekstur yang dikehendaki tidak dapat diperoleh sekiranya minyak poli tak tepu atau mono tak tepu digunakan dengan sifat asalnya kerana akan menghasilkan produk yang cair dan tidak dapat disapukan pada roti. Oleh itu, pihak industri telah menghasilkan proses penghidrogenan untuk menangani masalah berkenaan.

Proses penghidrogenan dilakukan dengan menambah hidrogen kepada lemak tak tepu disertai oleh pemangkin untuk meningkatkan takat cair dan keliutan minyak berkenaan. Proses ini secara tidak langsung membentuk asid lemak trans yang akan melibatkan produk bakeri, makanan bergoreng dan majerin untuk sapuan.

Seperti asid lemak yang lain, asid lemak trans senang diserap oleh badan dan diproses sepenuhnya kepada karbon dioksida dan air. Ianya juga bergabung dengan tisu adipose dan organ-organ yang lain



Asid Lemak Trans dan Kesihatan

Sehingga awal 1990-an, penggunaan lemak separa terhidrogen menjadi pilihan utama sebagai asid lemak asas untuk produk lelemak terutamanya majerin. Penggunaan lemak separa terhidrogen telah disokong kuat oleh pengeluar-pengeluar minyak sayuran, tanpa mengira aspek-aspek pengawalan mutu dan kesihatan yang penting.

Sekiranya asid lemak trans dikenakan penelitian yang rapi seperti mana yang dikenakan kepada bahan-bahan lain yang digunakan di dalam industri makanan, kesan buruk dari penggunaannya akan telah dapat dikesan beberapa dekad yang lalu.

Bagaimanapun, penelitian terhadap bahayanya asid lemak trans hanya dilakukan setelah lebih 50 tahun ia ditetapkan sebagai selamat. Pandangan terhadap asid lemak trans juga semakin berubah selepas kajian menunjukkan ia mempunyai kesan negatif terhadap kolesterol darah, metabolisma lipoprotein dan sistem jantung.

Kajian ke atas asid lemak trans yang dibuat oleh Mensink dan Katan mengenai kesan pemakanan yang mengandungi asid lemak trans ke atas paras kolesterol HDL (high density lipoprotein) dan HDL pada individu yang sihat menjadi bahan rujukan utama. Hasil daripada kajian berkenaan telah dilaporkan di dalam New England Journal of Medicine pada 1990.

Kajian itu telah menunjukkan bahawa asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tubuh dan kolestorol LDL. Ianya juga mengurangkan kolesterol HDL yang berguna. Ini akan meningkatkan ratio kolesterol tubuh dan kolesterol LDL. Secara tidak langsung ini akan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kajian ini juga disahkan dan disokong oleh beberapa kajian lain. Ini membuktikan bahawa asid lemak trans memberikan kesan yang amat negatif kepada tubuh badan berbanding dengan lemak tepu yang digantikan.

Kajian yang dijalankan selama lapan tahun oleh penyelidik-penyelidik dari Universiti Harvard mendapati bahawa kematian akibat penyakit jantung dan asid lemak trans mempunyai kaitan yang tinggi. Makanan yang mengandungi sumber asid lemak trans termasuk majerin dan biskut juga mempunyai hubung kait yang serupa.

Satu lagi kajian ke atas lelaki yang mengalami penginfarkan miokardium juga menunjukkan peningkatan ke atas paras kolesterol keseluruhan dan kolesterol LDL serta mengurangkan kolesterol HDL. Pengambilan makanan yang mengandungi asid lemak trans juga meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 27 peratus. Dianggarkan sebanyak 80,000 kematian di Amerika Syarikat dikaitkan dengan pengambilan makanan yang mengandungi asid lemak trans secara berterusan. Kajian terbaru pula menunjukkan bahawa asid lemak trans juga meningkatkan risiko diabetes.

Hasil daripada kajian itu meningkatkan kebimbangan orang ramai terhadap asid lemak trans. US Institute of Medicine of the National Academies of Sciences, Engineering and Research telah memutuskan bahawa tiada sebarang data yang menunjukkan asid lemak trans mendatangkan apa-apa kebaikan untuk kesihatan. Oleh itu, institut berkenaan telah menetapkan bahawa ‘pengambilan sifar’ asid lemak trans langkah yang terbaik.

Hepatitis B lebih mudah berjangkit


Oleh Hafizah Iszahanid


TANPA rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa HBV.

JANGAN culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu melalui pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu.

Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus.

Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus.


Pakar Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius.

Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati.

"Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya.

WANITA hamil perlu mengambil ujian hepatitis B.

Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik.

"Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya.

Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian.

Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juta orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati.

Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi ada yang mengalami jaundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi.

Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juta penduduk.

"Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya.

Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik.

Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum, HBV tidak menunjukkan simptom yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius.

"Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simptom ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya.

Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun.

Rawatan

Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV.

Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. Di Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2002, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan.

Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HBV kronik.

Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak.

Ada pelbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antara yang terbaru ialah Sebivo yang dibangunkan Novartis.

FAKTA : Bagaimana HBV merebak?

  • HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV

  • Virusnya boleh ditemui dalam dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina.

  • HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan.

  • Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan.

  • Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik.

  • Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan.

  • Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah.

  • Lebih daripada 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simptom.

  • Kadangkala jika simptom muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah.

Vaksin bina sistem imuniti kanak-kanak


Oleh Hafizah Iszahanid

Imuniti penting untuk hasilkan antibodi melawan virus, bakteria bawa penyakit

APAKAH vaksin masih relevan untuk kanak-kanak? Dalam dunia moden dengan seribu satu macam ubat di pasaran, masihkah vaksin perlu dipertimbangkan?

Di Malaysia kes batuk kokol (pertusis) meningkat daripada 27 kes 2003 kepada 42 kes (termasuk empat kematian) pada 2004 manakala 65 kes dicatatkan pada 2005 termasuk satu kematian.


Malah secara umum, pada 2001 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 2 juta kematian kanak-kanak seluruh dunia disebabkan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Justeru, WHO menyarankan vaksin yang sudah dibangunkan bagi mencegah pelbagai jenis penyakit yang boleh mengancam nyawa diberikan kepada kanak-kanak. Walaupun di satu pihak lain, pemberian vaksin dilihat sebagai kontroversi tetapi bagi WHO ia adalah cara yang terbukti boleh mengawal penyakit.

Pakar Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, berkata vaksin penting untuk kanak-kanak kerana mereka tidak memiliki imuniti yang diperlukan dan antibodi menentang penyakit.

“Kanak-kanak yang mendapat imunisasi membantu melindungi kesihatan komunitinya terutama mereka yang tidak mendapat imuniti. Selain itu, imunisasi juga boleh memperlahankan atau menghentikan wabak penyakit,” katanya.

Sebagai contoh, polio misalnya satu ketika dulu penyakit paling ditakuti di Amerika menyebabkan kematian dan lumpuh. Mangsa polio terkenal tentu saja Presiden Amerika, Franklin Roossevelt.

Selepas polio diperkenalkan pada 1955, polio bukan lagi masalah kesihatan yang mengancam nyawa. Di Malaysia, kes terakhir polio dicatatkan pada pertengahan 1980an. Kemudian, negara bebas polio melalui pemberian imunisasi yang diwajibkan menerusi jadual pemberian vaksin kebangsaan. Hanya pada awal 1990an, tiga kes polio dicatatkan di Malaysia. Bagaimanapun semua kes itu membabitkan warga asing.

Dr Musa berkata, di sesetengah negara apabila sesuatu penyakit itu tidak lagi menjadi kebiasaan masyarakat mula mempersoalkan kewajaran pemberian vaksin itu. Antaranya pertikaian dan desakan antara orang awam di United Kingdom (UK) dengan kementerian kesihatannya mengenai pemberian vaksin batuk kokol pada 1970an.

Berikutan desakan awam, UK menghentikan pemberian vaksin pencegah batuk kokol. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, epidemik batuk kokol muncul semula dengan membabitkan 100,000 kes termasuk 36 kematian.

Mengapa vaksin untuk kanak-kanak sangat penting?

a) Bayi yang baru lahir imun terhadap banyak jenis penyakit kerana antibodi yang diperoleh daripada ibu mereka. Bagaimanapun, durasi imuniti ini hanya bertahan antara sebulan hingga setahun. Apatah lagi kanak-kanak tidak memiliki imuniti ‘maternal’ melawan sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti batuk kokol.

b) Jika kanak-kanak tidak menerima imunisasi dan terdedah kepada bakteria membawa penyakit, tubuhnya mungkin tidak cukup kuat untuk melawan penyakit. Sebelum adanya vaksin, kebanyakan kanak-kanak meninggal dunia disebabkan penyakit seperti batuk kokol, campak dan polio. Walaupun penyakit itu masih wujud hingga kini, ia sudah boleh ditangani dengan vaksin.

Bagaimana vaksin melindungi kanak-kanak dari penyakit?

Setiap kanak-kanak lahir dengan sistem imun yang terdiri daripada sel, kelenjar, organ dan cecair yang terletak di seluruh tubuhnya dan berupaya melawan bakteria dan virus.

Sistem imun yang sihat dan normal memiliki keupayaan menghasilkan berjuta-juta antibodi untuk menentang serangan bakteria setiap hari. Banyak antibodi akan ‘hilang’ selepas ia memusnahkan sel asing tetapi sel yang terbabit dalam penghasilan antibodi (disebut memori sel) akan kekal.

Sel ini akan mengingati antigen (sebatian luar yang merangsang penghasilan antibodi) asal dan akan mempertahankan sistem tubuh jika ia cuba menyerang lagi. Perlindungan itu dinamakan imuniti.

Vaksin memiliki antigen yang sama atau sebahagian antigen yang menyebabkan penyakit tetapi antigen dalam vaksin adalah sama ada yang sudah dilemahkan atau sudah dimatikan. Apabila ia disuntik dalam tisu lemak atau otot, antigen vaksin tidak cukup kuat untuk menghasilkan simptom dan tanda penyakit tetapi cukup kuat untuk sistem imun menghasilkan antibodi menentangnya.

Memori sel yang ada mencegah jangkitan sekali lagi jika ia berlaku pada masa depan. Justeru melalui vaksinasi, kanak-kanak membina imuniti tanpa menderita penyakit sebenar.

Contoh paling mudah yang diberikan Dr Musa adalah demam pelentung. Ali mengambil vaksin manakala Ah Chong menderita demam pelentung. Ali tidak diserang pelentung begitu juga Ah Chong tetapi imuniti yang dibina Ah Chong perlu dibayar dengan harga kesakitan dan kesengsaraan manakala harga vaksin Ali mungkin kurang daripada RM100 saja.

Turunkan berat badan perlu disiplin diri


Oleh Halina Mohd Noor

GEMUK adalah musuh setiap orang, apatah lagi bagi wanita. Bukan saja kerana ia menjadikan penampilan kurang menarik tetapi lebih menakutkan, boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan.

Akhir tahun lalu, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon, mendedahkan, sejuta wanita berusia lingkungan 25 hingga 64 tahun mengalami masalah kegemukan berbanding hanya 850,000 lelaki.

Sememangnya ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan berdasarkan gaya dan taraf hidup masyarakat yang semakin baik dan mewah. Malah, jumlah kanak-kanak dan bermasalah gemuk dan obesiti juga semakin meningkat.


Pengurus Besar, Slimming Sanctuary Malaysia, Lau Sieu Keng yang ditemui baru-baru ini, berkata pusat berkenaan yang menawarkan khidmat mengurangkan masalah berat badan turut dikunjungi remaja berusia seawal belasan tahun.

“Cara kita makan, bekerja dan bergerak adalah faktor utama yang menyumbang kepada masalah berat badan. Kanak-kanak hari ini lebih cenderung makan makanan segera mana kala orang dewasa pula lebih selesa makan di luar. Makanan ini kurang sihat kerana dipenuhi dengan lemak dan kolesterol. Lebih teruk, jika ia tidak seimbang dari segi zat dan khasiatnya,” katanya.

Katanya sambil merujuk kepada rekod pelanggan, kebanyakan pengunjung yang datang ke pusat berkenaan mengadu mengalami masalah pengumpulan lemak pada bahagian perut, pinggang dan paha. Berbanding lelaki yang sering berdepan masalah perut buncit, wanita pula mempunyai lemak berlebihan pada bahagian abdomen termasuk pinggang dan paha.

Katanya masalah berat badan boleh diatasi dengan disiplin diri yang tinggi iaitu menerusi amalan diet seimbang serta senaman tetap. Bagaimanapun, tidak semua individu boleh melakukannya.

Memang sukar untuk mendisiplinkan diri terutama apabila ia membabitkan gaya hidup serta tabiat yang sudah diamalkan sekian lama. Bagi mencapai matlamat menurunkan berat badan, anda memerlukan semangat kuat.

“Kebanyakan orang menjalani amalan diet salah seperti sanggup berlapar untuk kurus. Ini tidak betul kerana ia boleh menjejaskan kesihatan anda. Anda mungkin kelihatan kurus secara luaran tetapi pucat dan nampak sakit. Kehilangan berat badan yang mendadak juga boleh memberikan risiko seperti kehilangan tenaga yang menyebabkan anda pitam secara tiba-tiba,” katanya.

Justeru, nasihat pakar pemakanan diperlukan sebelum menjalani sebarang program diet. Masalah berat badan bukan saja dilihat secara luaran tetapi banyak lagi faktor lain turut diambil kira umpamanya, peratus lemak dalam badan, kolesterol, indeks jisim dan sebagainya. Bantuan pakar kecantikan juga diperlukan bagi mengembalikan bentuk tubuh lebih menarik.

“Slimming Sanctuary menyediakan teknologi canggih bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak. Ia dikenali sebagai Gelombang Thermic (Thermic Wave) iaitu kaedah saintifik bagi membentuk tubuh melalui proses pemanasan menggunakan frekuensi gelombang radio. Menggunakan gelombang ini, suhu ideal ditetapkan bagi memperbaharui sel, mengurangkan selulit, memecahkan tisu lemak, melancarkan peredaran darah, meningkatkan pengeluaran kolagen dan merehatkan otot,” katanya.

Lau ditemui di cawangan terbaru Slimming Sanctuary yang ke 12, baru-baru ini yang terletak di tingkat tujuh (7th Heaven), Pavilion, Kuala Lumpur. Katanya, tingkat 7th Heaven adalah ruang eksklusif untuk wanita saja membolehkan pelanggan setianya menikmati ketenangan apabila mengunjungi butik mewah berkenaan.

“Butik baru ini menawarkan rawatan secara peribadi, ideal untuk golongan eksekutif yang ingin menjalani rawatan teraputik ketika waktu rehat tengah hari dan kembali segar bekerja. Setiap sesi rawatan yang mengambil tempoh dua jam sesuai untuk mereka yang memilih untuk menenangkan jiwa dan fizikal di spa kami,” katanya.

Sempena pembukaannya, Slimming Sanctuary meraikan pelanggan dengan promosi rawatan istimewa berharga RM 12 sehingga akhir Januari ini bagi rawatan tubuh eksklusif, spa dan terapi wajah. Disamping itu, Slimming Sanctuary juga turut memberikan baucer rawatan bernilai RM 200 untuk memanjakan tubuh atau wajah serta set produk kecantikan mewah dari Perancis yang bernilai RM 168. Mereka yang menjalani rawatan untuk 12 terapi juga layak menerima 12 sesi percuma untuk rawatan sama.

Butik berkenaan dilengkapi 10 bilik persendirian, bilik berkembar dan bilik VIP dengan tab jakuzi. Terdapat juga bilik mandi wap, jakuzi, ruang perundingan dan laci peribadi.

Banjir sebar kuman leptospirosis


Oleh Hafizah Iszahanid


BAHAN makanan yang terdedah pada air banjir mudah tercemar.

Air tercemar seperti kencing atau najis haiwan punca penyakit berbahaya membawa maut kepada mangsa bah

LEPTOSPIROSIS antara penyakit yang kerap dikaitkan dengan banjir. Penyakit ini berpunca daripada bakteria leptospira yang bukan saja terdapat dalam air kencing dan najis tikus malah pada haiwan mamalia termasuk kucing.

Oleh itu setiap kali banjir antara panduan yang kerap diingatkan kepada mangsa ialah memasak makanan dan minum air daripada sumber yang bersih.


Manusia boleh berhadapan dengan leptospirosis sekiranya terdedah atau berhubung secara langsung dengan air atau air banjir yang tercemar dengan air kencing atau najis haiwan yang dijangkiti leptospira.

Leptospirosis sebenarnya satu daripada penyakit bawaan air. Ada pelbagai lagi jenis penyakit boleh menyerang jika tiada langkah diambil, antaranya demam kepialu, kolera dan hepatitis A.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anis Salwa Kamarudin, berkata selain penyakit bawaan air, penyakit bawaan vektor juga perlu diberi perhatian, antaranya termasuk denggi, malaria dan demam kuning.

“Banjir memang dikaitkan dengan peningkatan risiko jangkitan. Bagaimanapun, risiko ini boleh ditangani jika mangsa banjir berhati-hati.

“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kes risiko jangkitan penyakit bawaan air banjir di Malaysia sehingga menyebabkan satu ‘outbreak’ kerana Kementerian Kesihatan mempunyai pelan tindakan tersusun,” katanya.

Mengikut catatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dalam 14 kes banjir besar yang terjadi di seluruh dunia antara 1970 dan 1994, hanya satu kes saja yang menyebabkan wabak cirit-birit yang besar iaitu di Sudan pada 1980. Kejadian itu dikaitkan dengan penempatan populasi yang rumit.

“Penyakit bawaan air juga boleh terjadi jika mangsa banjir mempunyai hubungan terus dengan air yang tercemar. Misalnya bila banjir, mereka menjadikan bencana alam itu sebagai pesta main air. Sedangkan air banjir itu tercemar dengan pelbagai bakteria, apatah lagi jika ada luka pada badan,” katanya.

Beliau berkata, masalah itu menyebabkan jangkitan pada luka selain masalah kulit, sakit mata (konjuktivitis) selain jangkitan pada telinga, hidung dan tekak. Bagaimanapun, penyakit seperti ini tidak cenderung menjadi epidemik.

Menurut WHO, jangkitan yang boleh menjadi epidemik tentu saja leptospirosis kerana pemindahan bakteria itu daripada air yang tercemar kepada manusia boleh berlaku melalui kulit dan membran mukus.

Beberapa kes membabitkan leptospirosis menjadi igauan mangsa banjir membabitkan kes di Brazil (1983,1988 dan 1996), Nicaragua (1995) dan Thailand (2000).

“Selain berwaspada dengan penyakit bawaan air, penyakit bawaan vektor juga perlu diberi perhatian. Ini kerana banjir secara tidak langsung meningkatkan kes bawaan vektor melalui pertambahan jumlah dan rangkaian habitat,” katanya.

Air bertakung yang disebabkan hujan lebat dan limpahan sungai boleh menjadi sarang nyamuk. Ketika banjir mungkin nyamuk tidak dapat bertelur tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila banjir pulih.

Ada banyak kes banjir di seluruh dunia yang menyaksikan malaria menjadi epidemik menakutkan antaranya banjir di Costa Rica pada 1991 dan Republik Dominika pada 2004.

Risiko kesihatan lain disebabkan banjir

  • Lemas, kecederaan dan trauma.

  • Suhu badan yang terlalu rendah (hypothermia) juga mungkin menjadi masalah terutama di kalangan kanak-kanak jika terperangkap dalam banjir terlalu lama.

  • Peningkatan risiko jangkitan pernafasan selain batuk dan demam.

    Leptospirosis

  • Jika tidak dirawat, leptospirosis boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, meningitis, kegagalan hati malah dalam kes yang lebih teruk ialah kematian.

  • Leptospirosis didiagnos dengan ujian makmal terhadap contoh darah atau air kencing.

  • Leptospirosis selalunya terjadi kerana pendedahan pada air yang dicemari air kencing binatang yang dijangkiti bakteria leptospira.

  • Selain tikus, organisma letospira boleh juga menjangkiti kucing, kuda, anjing, babi dan haiwan lain.

  • Manusia dijangkiti melalui hubungan langsung dengan air, makanan atau tanah yang tercemar.

  • Biasanya seseorang yang sudah terdedah dengan sumber tercemar letospira mula jatuh sakit dalam dua hari hingga empat minggu.

  • Ia boleh berlaku dalam dua fasa.

  • Fasa pertama ialah demam, sejuk, sakit kepala, sakit otot, muntah atau cirit-cirit. Pesakit akan pulih sebelum kembali jatuh sakit.

  • Fasa kedua keadaan pesakit lebih teruk termasuk kegagalan buah pinggang, hati atau meningitis. Fasa ini disebut juga sebagai penyakit “Weil’ (Weil’s disease)

  • Leptospirosis berlaku antara beberapa hari hingga beberapa minggu atau lebih. Tanpa rawatan, tempoh untuk pulih mengambil masa beberapa bulan.

  • Leptospirosis berlaku di seluruh dunia tetapi lebih biasa ditemui di negara beriklim tropika.

    Mengenal tanda-tanda leptospirosis

  • Demam

  • Sakit kepala

  • Loya, muntah

  • Sakit otot

  • Ruam kulit

  • Sakit pada abdomen

  • Batuk

  • Sakit pada betis

  • Jaundis

  • Air kencing kehitaman (seperti teh pekat)

    Panduan untuk mengendalikan makanan dengan selamat

    Jaga kebersihan

  • Cuci tangan dengan sabun dan air bersih sebelum mengendalikan, menyediakan makanan dan selepas ke tandas.

  • Cuci peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan

  • Cuci keseluruhan tempat permukaan penyediaan makanan

  • Lindungi kawasan dapur dan makanan daripada lipas, lalat, tikus dan haiwan lain.

    Asingkan makanan mentah daripada makanan yang sudah dimasak

  • Asingkan daging, ikan dan makanan laut daripada makanan yang sudah dimasak

  • Gunakan peralatan seperti pisau dan papan pemotong yang berlainan untuk bahan mentah dengan bahan yang sudah dimasak

    Masak dengan sempurna

  • Masak dengan sempurna terutama daging, telur dan makanan laut

  • Pastikan sup dan bubur dimasak hingga mendidih

  • Pastikan daging cincang, daging panggang dan ketulan daging dimasak secukupnya

  • Bagi masakan yang perlu dipanaskan, pastikan ia dilakukan dengan sempurna

    Simpan makanan pada suhu yang selamat

  • Jangan biar makanan pada suhu bilik melebihi dua jam

  • Simpan semua makanan yang mudah rosak dalam peti sejuk

  • Kekalkan suhu makanan yang dimasak melebihi 60 darjah celsius sebelum dihidang

    Gunakan air dan bahan mentah yang selamat

  • Pilih makanan segar dan bermutu

  • Pastikan makanan itu dikendalikan dengan selamat

  • Cuci buah-buahan atau sayur-sayuran dengan sempurna

    Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Bengkung moden punyai ciri khas cantikkan badan


    Oleh Siti Nur Almizan Aripin


    SET bengkung mengembalikan bentuk badan wanita dapat memberi keyakinan apabila berdepan orang ramai.

    Kebanyakan produk dihasilkan memiliki tetulang dapat bantu perkuatkan struktur tulang belakang

    ANAK sudah berderet namun bentuk badan masih cantik. Mereka juga lebih yakin ketika berhadapan dengan orang ramai atau mengenakan apa jua pakaian tanpa rasa risau.

    Kaedah berbengkung yang dulunya menjadi amalan paling sinonim dengan wanita dalam pantang kini kembali popular apabila konsepnya dipelbagaikan.


    Pengedar produk korset, seluar dalam panjang (girdle) dan bengkung untuk kesihatan serta kecantikan, Norhasrina Hassan, berkata suatu ketika dulu, wanita memandang sebelah mata amalan berbengkung tetapi selepas transformasi dan kehebatan teknologi, wanita kembali mengamalkan amalan tradisional itu.

    Beliau berkata, bengkung moden kini mempunyai ciri khas yang lebih baik untuk kesihatan dan kecantikan wanita.

    "Kebanyakan produk korset dan girdle yang ada dalam pasaran mempunyai ciri tambahan seperti benang yang disulam dengan cahaya infra merah memberikan nafas baru dari sudut kesihatan secara menyeluruh," katanya.

    Kajian mendapati FIR akan menyebabkan molekul air dalam sel pada organ dan tubuh badan manusia bergetar dalam lingkungan frekuensi yang sama.

    Pemakaian set bengkung moden yang disulam dengan teknologi ini akan memberi tindak balas kepada badan dan menghasilkan lebih banyak haba menyebabkan saluran darah mengembang, perjalanan darah lebih lancar, penghantaran nutrien ke seluruh badan lebih sempurna.

    Selain itu, ia turut membantu memudahkan proses pengeluaran bahan buangan daripada sel badan sekali gus membuatkan badan menjadi lebih bertenaga, cergas, sihat dan ceria.

    Kebanyakan produk itu juga mempunyai tetulang stereoskopik pada belakang dan depan badan. Tetulang ini diakui dapat membantu memperbaiki serta mengukuhkan struktur tulang belakang dan berfungsi mengatasi masalah tulang belakang bongkok, diska tergelincir dan sakit pinggang.

    Malah, ada juga produk yang mempunyai chitosan pada mangkuk colinya dan ia dipercayai menjadi ejen utama mengesan kanser payudara selain mangkuk berbentuk piramid yang dapat menampung payudara supaya tidak jatuh.

    Norhasrina berkata, walaupun kebanyakan produk korset dan seluar dalam panjang dijual dengan harga tinggi di pasaran, kebanyakan wanita yang mempunyai pengalaman memakainya pasti akan mengesyorkan pada rakannya yang mengalami masalah berkaitan kecantikan atau sakit belakang untuk memakainya.

    "Dalam memilih, mereka disarankan supaya bijak memilih produk yang diyakini berkualiti. Teliti terlebih dulu material yang digunakan dan pastikan ia mendapat pengiktirafan pakar misalnya Persatuan Pakar Tulang Belakang.

    "Faktor keselesaan juga perlu diambil kira. Jika fabriknya tidak menyerap peluh dan tidak membenarkan kadar peredaran udara terjadi, baik anda lupakan hasrat untuk menggunakannya kerana khuatir akan mendatangkan mudarat pada badan," katanya.

    INFO: Bagaimana FIR berfungsi?

    1- FIR menembusi kulit
    2 - Tindak balas resonan ke atas molekul air
    3 - Molekul air bergetar lebih kuat
    4 - Lebih banyak tenaga digunakan
    5 - Lebih haba dihasilkan
    6 - Salur darah mengembang
    7 - Perjalanan darah lebih lancar
    8 - Penghantaran nutrien dan pembuangan toksik lebih berkesan sel badan lebih segar
    9 - Badan menjadi segar, cergas dan ceria.

    Keistimewaan FIR

  • Melancarkan perjalanan darah dalam tubuh
  • Meningkatkan kadar metabolisma
  • Memperbetulkan dan memulihkan sistem pernafasan
  • Mengeluarkan peluh asid
  • Menggalakkan tumbesaran lebih teratur
  • Mengekalkan kesegaran badan
  • Mengurangkan kandungan asid dalam darah
  • Membetulkan sistem urat saraf dalam badan secara automatik
  • Membantu menghalang pembiakan sel kanser dalam badan

    Penggunaan FIR merawat

  • Antikanser terutama kanser payu dara
  • Lemah tenaga batin
  • Kencing manis
  • Darah tinggi
  • Lemah jantung
  • Gout, migrain
  • Asma
  • Sakit belakang dan pinggang
  • Batu Karang
  • Milk thistle baik untuk nyah toksin



    HATI adalah organ dalaman tubuh yang terbesar dan mempunyai pelbagai fungsi. Hati merembeskan hempedu, iaitu cecair yang penting untuk penghadaman; metabolisme protein, karbohidrat dan lemak, selain pelbagai fungsi lain. Penghadaman yang sempurna penting untuk memastikan kesihatan seperti penyerapan nutrien daripada makanan, selain mengurangkan risiko sembelit, cirit-birit, kembung perut, loya, muntah, kurang selera makan, pedih ulu hati dan kesakitan pada abdomen.

    Penghadaman adalah proses yang mana makanan dan minuman dipecahkan kepada molekul nutrien yang lebih kecil untuk membolehkan ia digunakan untuk membina dan menyuburkan sel dan memberi tenaga serta pelbagai fungsi lain. Ia turut membabitkan proses yang kompleks serta pelbagai kelenjar sistem penghadaman, yang mana mereka menghasilkan jus untuk memecahkan makanan dan hormon yang membantu mengawal proses berkenaan.

    Tidak dapat dinafikan hati turut berperanan penting dalam melancarkan sistem penghadaman dengan menghasil hempedu untuk pemecahan lemak untuk penghadaman. Ketidaksempurnaan sistem penghadaman akan menimbulkan pelbagai ketidakselesaan seperti sembelit.


    Herba seperti Dandelion adalah antara herba yang turut membantu memperbaiki penghadaman, mempermudahkan penyingkiran serta melegakan sembelit melalui beberapa cara seperti merangsang saliva dan jus gastrik, merangsang penghasilan hempedu serta mempertingkatkan alirannya ke usus. Ia turut mempunyai kesan laksatif yang bermanfaat untuk menggalak pergerakan usus secara normal serta melegakan sembelit.

    Pendedahan berterusan kepada pencemaran seperti persekitaran, tekanan dan pemakanan yang tidak sihat meningkatkan risiko kehadiran radikal bebas yang merosakkan dan melemahkan sistem pertahanan tubuh.

    Pengambilan milk thistle mungkin membantu anda dalam memperbaiki fungsi usus dengan mempertingkatkan keupayaan hati untuk membersih dan menyingkirkan toksin.

    Banyak kajian yang menjelaskan bagaimana silymarin mempertingkatkan proses penyingkiran toksik. Bahan berkenaan didapati membantu mencegah penyusutan glutasi. Glutasi penting dalam mengikat toksin larut lemak (seperti logam berat, pelarut dan racun serangga) dan menukarkannya kepada kompaun yang sedia untuk disingkirkan melalui buah pinggang.

    Kandungan flavonoid dalam milk thistle juga menambah kesan tindakan antioksida dan meningkatkan keupayaan menyahtoksik badan. Silymarin juga melindungi membran sel hati daripada toksin berbahaya. Namun, apa yang paling menarik mengenainya adalah keupayaan flavonoid dalam merangsang keupayaan hati untuk memulih dengan sendiri.

    Bagi mereka yang mengalami masalah peningkatan tahap kolesterol tentunya turut mendapat manfaat apabila mengambil gabungan kedua-dua herba ini. Ini kerana banyak kajian yang membuktikan milk thistle membantu merendahkan kolesterol dan mungkin memperbaiki kolesterol bermanfaat (HDL).

    Herba itu bukan saja mencegah penyumbatan atau pembentukan plak pada arteri, tetapi juga merendahkan risiko pembentukan batu hempedu.

    Banyak kajian klinikal mengenai milk thistle direkodkan dalam keberkesanannya menangani masalah yang berkaitan dengan gangguan hati. Bagi mereka yang sedang mengambil ubat untuk tempoh yang lama juga mungkin mendapat manfaat dengan pengambilan gabungan Milk thistle dan Dandelion.

    Sekiranya anda sering mengalami gejala ketidakhadaman, anda sebaiknya:

    • Elakkan pengambilan kafein, produk tenusu, makanan bergoreng dan minuman berkarbonat.
    • Tingkatkan makanan yang tinggi dengan kandungan fiber seperti bijirin penuh dan sayuran berdaun hijau.
    • Elakkan daripada berbaring sebaik saja selepas makan serta elakkan daripada mengambil makanan sekitar tiga jam sebelum tidur.
    • Senaman ringan juga bermanfaat dalam memperbaiki masalah ketidakhadaman.
    • Mengamalkan pengambilan probiotik yang membantu menyeimbangkan mikroflora usus.


    Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE di talian 03-7728 7407, Sarawak: 082-241820, Sabah: 088-230148 (9 pagi hingga 6 petang) atau e-mel kami di health@biolife.com.my.

    Minyak sawit tepati keperluan pemakanan


    Susunan Razita Abdul Razak

    Kandungan olein terbukti mampu mengekalkan paras kolesterol, hindari penyakit jantung

    TIDAK disangkal lagi, minyak sawit dapat mengurangkan tahap kolesterol darah dan risiko penyakit jantung. Ini terbukti hasil dari kajian saintifik.

    Minyak sawit bersifat separa tepu ini bermakna ia mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi berbanding minyak sayuran yang lain. Sifat ini memberikan banyak kelebihan dalam formulasi makanan dan mengundang pelbagai persoalan mengenai kesan jangka panjangnya ke atas paras kolesterol darah dan penyakit jantung.


    Hampir 90 peratus daripada hasil minyak sawit dunia digunakan untuk makanan, membuktikan minyak sawit dan pecahannya memenuhi keperluan khasiat pemakanan. Ada banyak minat pada peringkat global dalam mengawal kuantiti dan kualiti pengambilan lemak dalam makanan untuk membantu mengurangkan penyakit jantung koronari.

    Pada masa ini, pakar pemakanan mengesyorkan orang ramai memilih pemakanan rendah kalori yang dikira baik untuk kesihatan jantung. Kebanyakan pakar juga berpendapat bahawa kandungan lemak di dalam pemakanan yang optimum ialah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan keperluan tenaga harian.

    Sukar bagi kebanyakan masyarakat Barat mematuhi syarat ini kerana kandungan lemak dalam pemakanan harian mereka secara purata adalah antara 33 peratus - 35 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga harian.

    Penduduk kebanyakan negara membangun amat selesa dengan tahap optimum pengambilan lemak yang ditetapkan. Pengambilan lemak oleh penduduk di sesetengah negara di Afrika dan Asia pula harus ditingkatkan untuk memenuhi syarat itu.

    Di Malaysia, pengambilan lemak menyumbang kepada 26 peratus tenaga harian. Pemakanan begini membantu ahli sains mengkaji keberkesanan minyak sawit ke atas kolesterol darah.

    Hasil Penyelidikan

    Beberapa kajian ke atas manusia berdasarkan pemakanan yang menyumbangkan 30 peratus keperluan tenaga daripada lemak menunjukkan hasil seimbang dan lebih jelas.

    Minyak sawit, apabila digunakan sebagai sebahagian dari pemakanan rendah lemak (30%) tenaga membuktikan ia berkesan dalam mengekalkan paras kolesterol darah yang diingini. Minyak mono tak tepu seperti minyak zaitun, minyak biji sesawi dan minyak canola yang kaya dengan asid oleic adalah antara minyak sayuran yang baik untuk kesihatan.

    Khasiat minyak itu sama dengan minyak sawit dan olien sawit, kerana kandungan asid lemaknya yang sama iaitu asid lemak oleic mono tak tepu yang tinggi. Asid mono tak tepu yang ada dalam minyak sawit adalah sebanyak 48 peratus dan lebih 60 peratus dalam minyak zaitun, sesawi dan canola.

    Satu kajian pemakanan dijalankan ke atas manusia untuk mendapatkan kepastian mengenai keberkesanan asid oleic mono tak tepu yang wujud di dalam minyak sawit ke atas profil kolesterol darah dalam memberi perlindungan terhadap penyakit jantung.

    Didapati pengambilan minyak silih berganti antara olein sawit, zaitun, sesawi dan minyak canola (˜ 30%) dari sumber tenaga memberi kesan yang setara kepada nilai kolesterol darah. Ini menunjukkan, olien sawit dan minyak mono tak tepu yang lain boleh digunakan silih berganti tanpa memberi kesan negatif ke atas kolesterol darah atau risiko penyakit jantung.

    American Heart Association (AHA) amat dikenali sebagai satu badan yang berpengaruh ke atas polisi kesihatan di Amerika. AHA amat peka terhadap insiden penyakit jantung yang tinggi di negara itu dan mengesyorkan pemakanan Step-1 dari sumber lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu yang seimbang dalam pembekalan 30 peratus tenaga dari lemak. Pemakanan Step-1 ini menjadi rujukan sebagai pemakanan yang disyorkan.

    Matlamat asal untuk mengurangkan pengambilan lemak yang berlebihan dalam pemakanan rakyat Amerika memberikan kesan positif ke atas kolesterol darah yang sering dikaitkan dengan risiko penyakit jantung. Penggunaan minyak dan lemak secara bersendirian tidak mampu untuk mendapatkan kadar asid lemak yang ditetapkan oleh pemakanan Step-1 berkenaan.

    Satu kajian dijalankan saintis MPOB berpandukan syor AHA dengan menggunakan campuran minyak kacang soya, minyak sawit dan minyak canola untuk menghasilkan ratio 1:1:1 lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu. Apabila formulasi pemakanan Step-1 AHA ini diuji pada manusia, ianya memberi kesan yang neutral kepada paras kolesterol darah.

    Didapati paras kolesterol HDL (yang melindungi daripada penyakit jantung) meningkat dengan ketara. Hasilnya, nisbah kolesterol baik meningkat berbanding dengan kolesterol tidak baik. Ini memberi khasiat yang amat berguna kepada pengguna.

    Kajian ini juga mendapat perhatian ramai dan tiga paten difailkan untuk khasiat pemakanan AHA berasaskan minyak sawit. Potensi komersial untuk formulasi ini dikenal pasti sebuah syarikat pengeluar makanan dari Amerika dan kini berjaya menghasilkan dan memasarkan jenama marjerin sapuan `Smart Balance’ yang kaya dengan khasiat.

    Pemilihan Makanan Secara Bijak

    Kebanyakan makanan mengandungi lemak yang dapat dilihat dan tersembunyi serta campuran asid lemak. Kesan campuran asid lemak ini ke atas kolesterol darah adalah seperti mana kebanyakan asid lemak, yang kadang kala bertentangan sesama sendiri.

    Oleh itu, penting untuk kita memahami jenis asid lemak untuk mengetahui kesannya ke atas kolesterol darah.

    Pengambilan asid lemak tepu yang berlebihan semestinya akan meningkatkan paras kolesterol darah. Untuk menguji hipotesis ini, saintis menggunakan minyak kelapa dan lemak tenusu untuk membuat kajian. Kedua-dua jenis lemak ini mengandungi asid lemak tepu yang tinggi (lebih dari 80%) dan mengandungi kombinasi lemak tepu dikenali sebagai asid laurik dan myristik. Apabila dibandingkan dengan pemakanan berasaskan sawit, minyak kelapa dan lemak tenusu didapati meningkatkan paras kolesterol darah.

    Kesimpulan hasil kajian ini ialah kandungan asid myristik yang tinggi dalam kelapa dan lemak tenusu adalah penyebab utama peningkatan kolesterol darah. Oleh itu, makanan yang tinggi kandungan asid lemak haruslah di hindari.

    Asid Lemak Trans (TFA) ialah satu lagi jenis lemak yang merbahaya kepada kesihatan dan tidak diperlukan dalam makanan. TFA terhasil apabila minyak dan lelemak, terutama sekali minyak yang mengandungi asid lemak tak tepu yang melalui proses penghidrogenan.

    Ini adalah tindak balas kimia yang menghasilkan minyak atau lemak tepu dengan pemangkin. Proses penghidrogenan akan meningkatkan takat cair minyak atau lelemak tak tepu dan seterusnya membolehkannya digunakan dalam formulasi lelemak untuk bahan makanan.

    TFA akan meningkatkan paras kolesterol darah dan mempunyai implikasi atserogenesis yang tidak dapat dijangka. Ini adalah faktor kenapa lemak terhidrogen harus diganti dengan lemak tepu semula jadi dalam kebanyakan bahan makanan. Lemak tepu yang menggantikan lemak terhidrogen dalam formulasi pemakanan harus dapat memberi kesan neutral terhadap plasma lipid dan risiko penyakit jantung lain.

    Walau apa pun yang diperkatakan tentang kolesterol darah dan penyakit jantung, pemakanan yang seimbang adalah penting untuk kesihatan yang baik. Dari sudut saintifik, lemak tepu adalah sesuatu yang tidak sihat tetapi pada hakikatnya ia memainkan peranan biologikal yang penting kepada kesihatan badan dan pemakanan.

    Oleh itu, menghindar lemak tepu adalah mustahil dan tidak wajar.

    Urutan kaki nyahkan toksin dalam tubuh


    Oleh Siti Nur Almizan Aripin

    Refleksologi diperakui berkesan pulihkan sistem badan selain meredakan kelenguhan

    SEJAK kebelakangan ini, pusat refleksologi dengan khidmat urutan kaki dan pelbagai terapi urutan bercambah menjadi industri diminati ramai terutama kalangan individu yang bekerja dalam suasana stres.

    Penyelia Pusat Terapi Reborn di Sunway Pyramid 2, Karen Lee, berkata teknik refleksologi mempunyai banyak kelebihan khususnya untuk kesihatan tubuh.


    “Refleksologi membabitkan urutan pada 62 titik utama yang ada pada tapak kaki seseorang. Semua titik berkenaan mempunyai hubungan dengan organ utama pada tubuh antaranya jantung, paru-paru, ginjal, organ seks dan otak.

    “Apabila seseorang itu berasa penat dan letih, pasti ada sesuatu yang tidak kena pada sistem tubuh mereka. Justeru, refleksologi adalah jawapannya kerana selain murah, ia juga diakui berkesan,” katanya.

    Pasti ada yang bingung memikirkan apa kaitannya urutan kaki dengan kesihatan sistem badan manusia. Sebenarnya, semua toksin yang tidak dapat dinyah keluar daripada badan berkumpul pada kaki, jadi apabila urutan dibuat, toksin akan mengalir dan keluar melalui sistem perkumuhan.

    Karen berkata, apabila teknik urutan kaki dibuat secara berkala misalnya seminggu sekali, kaki yang lenguh juga akan berasa lebih ringan.

    “Malah, sesiapa yang mengalami masalah tidur juga disarankan melakukan refleksologi kerana selepas sesi urutan, pesakit akan berasa lebih sihat. Mereka juga disarankan supaya meminum air lebih banyak daripada biasa bagi membolehkan toksin yang berkumpul keluar melalui peluh dan air kencing,” katanya.

    Beliau berkata, bagi mengetahui jika ada masalah pada bahagian organ tubuh seseorang, mereka biasanya akan berasa sakit ketika tekanan lembut dibuat pada bahagian tertentu di tapak kaki.

    “Rasa sakit menandakan bahagian berkenaan bermasalah. Bagaimanapun, selepas beberapa sesi urutan dibuat, pesakit biasanya akan meneruskan urutan kerana yakin dengan keberkesanan rawatan.

    “Ada yang mengakui selepas mengamalkan refleksologi, badan lebih sihat malah sistem imunisasi juga lebih baik,” katanya.

    FAKTA: Kelebihan refleksologi

  • Melancarkan pengaliran darah

  • Meningkatkan daya tahan individu

  • Mengurangkan risiko tulang reput

  • Menyeimbangkan kedudukan badan

  • Melancarkan pergerakan

  • Menguatkan otot kaki

  • Mengurangkan risiko kencing tidak lawas

  • Menguatkan tulang dan pinggul

  • Mengurangkan risiko sakit sendi

  • Mengurangkan rasa letih

  • Mengelak risiko sembelit

  • Mengurangkan masalah usus

  • Mengurangkan masalah pada bahagian peranakan.

  • Kaki adalah anggota yang sangat kompleks, mempunyai 26 tulang, 57 sendi, 107 ligamen dan 19 otot. Jika berlaku sebarang kemalangan sehingga mencederakan tulang, sendi dan ligamen kaki, ia mampu memberi komplikasi kesihatan tubuh antaranya rasa lenguh pada lutut, tegang pada bahu dan masalah buang air besar. Malah, amalan dulu kala, wanita dalam pantang dinasihatkan supaya menjaga ibu jari kaki bagi mengelakkan berlaku tumpah darah.

  • Apa yang terjadi apabila toksin berlebihan berkumpul dalam badan?

    Toksin yang berkumpul dalam badan boleh mengakibatkan tubuh berasa letih dan lemah. Mereka juga akan mudah dihidapi penyakit.

  • Bagaimana toksin terjadi?

    - Amalan memakan makanan segera, berlemak, zat pengawet, perisa tambahan, pewarna tiruan dalam makanan dan minuman.

    - Radiasi daripada alatan elektronik seperti komputer, telefon bimbit dan televisyen.

    - Merokok

    - Memakan buah-buahan atau sayuran yang diawet dengan bahan kimia

    - Memakan daging merah yang diawet atau disejuk beku.
  • Cendawan Reishi perlahan kanser prostat: Penyelidik



    BAITULMAQDIS: Ekstrak cendawan 'Reishi' atau nama saintifiknya 'Ganoderma lucidum' mampu memperlahankan kadar penularan sel kanser prostat, menurut penemuan penyelidik Universiti Haifa, Israel.

    Kajian yang diketuai Penyelidik Institut Evolusi universiti berkenaan, Dr Ben Zion Zaidman mendapati bahawa ekstrak molekul daripada kulat itu mampu menyekat tindak balas hormon androgen terhadap sel kanser.

    Zaidman berkata, tanpa tindak balas itu, hormon berkenaan sebaliknya akan bertindak selaku suis kimia yang merangsang sel � terutama di peringkat awal jangkitan - untuk merebak tanpa dapat dikawal ke dalam tisu tumor.


    "Hasil kajian ini memberi harapan semoga satu ubat baru dapat dihasilkan untuk merawat kanser prostat," katanya.

    Masyarakat Cina sebelum ini menggelar cendawan Reishi sebagai 'kulat bertuah' kerana ia mampu mengurangkan kesakitan artritis, insomnia dan sakit dada.

    Setiap tahun, hampir 700,000 lelaki didapati menghidap kanser berkenaan, termasuk Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

    Zaidman berkata, walaupun kajian masih diteruskan, pihaknya berharap semoga satu kaedah bagi melawan penyakit itu akan ditemui suatu hari nanti.

    Katanya, terdapat beberapa jenis ubat, termasuk Flutamide yang turut menghalang tindak balas saraf androgen itu, tetapi kesan ekstrak molekul cendawan berkenaan didapati memberi kesan yang lebih 'dramatik'.

    "Ekstrak ini berfungsi dengan cara yang berbeza, kami fikir ia sebenarnya menghalang saraf androgen daripada terikat ke dalam DNA," katanya.

    Cendawan Reishi yang banyak ditemui di kawasan hutan tebal di Amerika Utara, Eropah dan Asia sudah digunakan sebagai ubatan tradisional sejak berabad-abad lalu.

    Bagaimanapun ia kini kembali popular dan menjadi pilihan di kalangan penduduk yang mementingkan penjagaan kesihatan sehingga ia diproses menjadi makanan untuk kesihatan dan dijual di pasaran seluruh dunia.

    "Kebelakangan ini, ekstrak cendawan daripada pelbagai jenis sangat mudah diperoleh, tetapi ia perlu disediakan dengan melarutkannya ke dalam air sekali gus menyebabkan kesannya menjadi lemah.

    "Anda perlu memakan banyak sup cendawan untuk memperoleh kesannya," katanya � Agensi.

    Silap bergaya undang padah


    Oleh Siti Nur Almizan Aripin


    KASUT tumit tinggi antara penyumbang utama penyakit osteoporosis.

    Kasut tumit tinggi, tas tangan berat penyumbang penyakit sendi

    MEMILIKI gaya dengan penampilan serba anggun menjadi dambaan setiap wanita. Malangnya golongan yang gila berfesyen sering mengabaikan soal kesihatan dan keselesaan tubuh ketika memilih pakaian, aksesori atau pakaian dalam untuk digayakan.

    Walaupun kesilapan dalam bergaya tidak sehingga membahayakan nyawa namun dari sudut kesihatan, jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan kesihatan. Misalnya melalui pemilihan kasut bertumit tinggi atau busana ketat semata-mata untuk mengikuti arus fesyen semasa.


    Antara aksesori kecantikan dan pakaian yang boleh mendatangkan mudarat pada kesihatan adalah beg besar, kasut bertumit tinggi, seluar ketat dan seluar dalam bertali halus (thong).

    Tas tangan besar dan berat

    Sesetengah wanita yang ditemui ketika membawa tas tangan besar dengan perincian besi yang berat berkata, pemilihan tas tangan besar dan berat menjadi trend terkini.

    TAS tangan terlalu berat boleh menyebabkan tekanan pada tulang bahu.

    Lagipun, mereka mengakui lebih selesa menyandang tas tangan yang besar kerana ia boleh memuatkan semua barangan keperluan yang diperlukan sama ada ketika ke tempat kerja atau bersiar-siar.

    Bagaimanapun, kajian pakar tulang mendapati barangan yang banyak di dalam tas tangan akan memberikan tekanan kepada tulang bahu sekali gus menyakitkan otot pada satu sisi badan.

    Lebih serius, tekanan itu akan mendatangkan kesan kepada punggung dan bahu.

    Untuk mengurangkan kadar tekanan jika tidak mampu mengurangkan isi di dalam tas anda, ada pilihan yang boleh dicuba antaranya memilih beg sandang belakang yang boleh membuatkan beban isi beg terbahagi secara seimbang pada kedua-dua belah bahu.

    Jika tidak mahu mengubah gaya ketika trend beg sandang besar sedang hangat dalam pasaran, gilirkan letak tali beg sandang anda pada kedua-dua belah bahu bagi mengurangkan kesakitan otot pada hanya sebelah bahu.

    Satu lagi kaedah yang dapat membantu adalah usahakan untuk berdiri tegak ketika menyandang tas tangan dan sesekali rehatkan bahu anda dengan cara meletakkan beg di bawah jika ada kesempatan.

    Celana Dalam

    Ada yang mengatakan seluar dalam seksi seperti model bikini atau thong membuatkan rasa yakin diri seseorang itu bertambah. Tanpa sedar, tali itu bagaimanapun mampu memindahkan bakteria dari kawasan rektum anda ke kawasan vagina.

    Akibatnya, jangkitan pada vagina dan saluran kencing akan terjadi. Jika tetap juga ingin berada di dalam mood seksi, elakkan memakainya ketika jadual harian anda padat dengan pelbagai aktiviti.

    Celana Panjang Terlalu Ketat

    Ramai wanita yang selesa berseluar ketat untuk menampakkan kaki kelihatan ramping dan panjang. Bagaimanapun, seluar yang terlalu ketat sehingga tidak memberi ruang untuk kulit anda bernafas bisa mengundang penyakit.

    Antaranya alahan pada kulit, tekanan pada saraf kaki dan penyumbatan pada kelenjar peluh. Jika anda berasa sakit pada bahagian kulit seperti rasa tertusuk atau panas di paha, tandanya seluar anda terlalu ketat.

    Atau jika timbul jerawat sekitar perut atau sekitar garisan seluar dalam, bermakna wujud bakteria akibat kelenjar peluh tersumbat.

    Kasut tumit tinggi

    Pemakaian kasut tumit tinggi membuatkan wanita berasa yakin diri. Malah, ia antara aksesori harus ada dalam almari seorang wanita. Kasut tumit tinggi memberikan tekanan pada lutut.

    Kajian dibuat Persatuan Ortopedik Kaki Amerika Syarikat menyatakan bahawa seorang wanita yang mengenakan sepatu bertumit tinggi sekurang-kurangnya tiga sentimeter (sm) akan meningkatkan tekanan pada lutut sehingga 26 peratus.

    Keadaan ini akan mengundang penyakit osteoporosis dan penyakit sendi. Malah, ia juga boleh mengakibatkan rasa sakit pada kuku, bengkak jari kaki sehingga menjadi radang kulit, menyebabkan kesakitan pada punggung dan inflamasi pada tendon sehingga mengundang kesakitan pada bahu, lutut, siku, pergelangan kaku juga tangan.

    Bagi mengelak mengalami penyakit itu, persatuan berkenaan menyarankan wanita supaya memakai sepatu dengan tumit tidak melebihi 2 sm. Pakai tidak melebihi tiga jam secara berterusan.

    sumber: www.conectique.com

    Epal sumber serat, cegah pembentukan kolesterol


    Oleh Hafizah Iszahanid

    Ramai tidak sedar atau ketahui sumber vitamin C terdapat paling banyak di bawah kulit buah

    SEBIJI epal merah menyala bukan saja memukau pandangan malah mudah membuat seseorang itu terliur. Bukan saja warna dan penampilannya yang kelihatan menyelerakan, epal selalu mengingatkan kita pada ungkapan sebiji epal sehari mengelak dari penyakit(an apple a day keep the doctor away).

    Walaupun masih belum dapat dipastikan sebiji epal boleh membantu anda sihat tetapi ia menjadi permulaan yang betul untuk sihat. Epal rendah kalori dan mudah ditemui, selain enak dijadikan snek sihat mengisi menu anda.


    Sebenarnya, tiada siapa tahu tempat asal sebenar epal dengan tepat, tetapi ramai percaya ia datang dari kawasan antara Laut Caspian dan Laut Hitam. Malah, ada bukti sisa fosil epal ditemui dalam tasik zaman pra sejarah di Switzerland. Ia menunjukkan manusia sudah menikmati epal sejak 750,000 tahun lalu. Malah, epal adalah buah-buahan kegemaran pada zaman Greek purba dan Rom.

    Epal diperkenalkan di Amerika oleh pendatang yang membawa benih epal bersama mereka. Rekod di

    Massachusetts Bay Company melaporkan epal ditanam di New England seawal 630.

    Malah, epal muncul dalam pelbagai tradisi agama dan selalunya dirujuk sebagai buah yang mistik dan terlarang. Zaman dahulu sukar untuk membezakan epal dengan buah-buahan lain sebab itu epal digunakan merujuk kepada semua buah-buahan termasuk kacang dan beri.

    Dari sudut kesihatan, epal adalah sumber serat yang mudah dilarut. Ia membantu mencegah pembinaan kolesterol dalam dinding salur darah sekali gus mengurangkan risiko masalah jantung. Bagaimanapun, pada masa yang sama epal adalah sumber serat tidak mudah larut, membantu salur usus membersih dan membuang makanan dengan pantas melalui sistem pencernaan.

    Hampir separuh kandungan vitamin C pada sebiji epal berada di bawah kulitnya. Malah, sel kulit epal juga membentuk lebih banyak aroma dan rasa. Justeru, epal bagus dimakan dengan kulitnya sekali.

    Sejarah epal yang panjang menyaksikan hari ini terdapat tidak lebih daripada 7,500 jenis epal diusahakan. Setiap jenis hanya sesuai ditanam di negara atau lokasi tertentu berdasarkan suhu dan cuaca.

    Selain rasa, tarikan pada sebiji epal juga bergantung kepada kulit dan baunya. Bagaimanapun, rasa epal tidak bergantung pada warnanya. Kadangkala epal yang berwarna merah terang juga tidak sesedap mana.

    Satu ketika dulu, bentuk epal tidak sama bulat dan berkulit kasar. Ia juga mempunyai tekstur dan warna yang pelbagai. Bagaimanapun, epal jenis ini dikatakan lebih sedap tetapi kerana masalah komersial seperti mudah diserang penyakit dan busuk untuk proses penyimpanan dan pengangkutan ia tidak begitu popular di pasaran.

    Kebanyakan epal yang ada di pasaran sekarang adalah epal jenis baru dan lebih manis, seperti yang boleh ditemui di Amerika Utara dan Eropah. Ada juga epal yang diusahakan hanya untuk masakan seperti pie epal dan untuk membuat cuka epal. Bagi epal yang dijual di pasaran Asia, selalunya epal manis dengan rasa berasid.

    Secara umum, kualiti sebiji epal boleh dibahagikan kepada dua faktor tekstur dan rasa. Seperti juga rasa dan jenis yang pelbagai, epal juga memiliki pelbagai nama dan jenama. Antara yang popular Washington Apple yang ditanam di Washington.

    INFO: Khasiat sebiji epal

  • Sebiji epal sehari memberi anda sejumlah lima gram serat.

  • Mengandungi anti oksidan yang menurunkan risiko masalah jantung dan barah

  • Membantu kesihatan membran paru-paru

  • Membantu kesihatan tulang dengan menambah bahan kimia (boron) pada mineral tulang

  • Membantu kesihatan sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolesterol darah

  • Membantu mengekalkan berat badan

    FAKTA

  • Sekurang-kurangnya 55 juta tan epal ditanam di seluruh dunia pada 2005 dengan nilai sekitar RM33 juta. China menghasilkan 40 peratus daripada jumlah itu, diikuti Amerika (7.5 peratus) dan selebihnya dari Turki, Perancis, Itali dan Iran.

    Di Amerika, lebih daripada 60 peratus epal yang dijual secara komersial ditanam di Washington State. Ia menerima saingan hebat daripada epal New Zealand dan beberapa negara lain.
  • Terapi muzik berkesan pulih tekanan mental, perasaan


    Oleh Siti Nur Almizan Aripin


    KANAK-kanak mudah terangsang dengan muzik.

    Kajian dapati karya klasik Mozart bantu rawat kes trauma, gangguan emosi

    TERAPI muzik kedengaran asing pada sesetengah individu tetapi ia sebenarnya berguna untuk meredakan tekanan akibat kekangan waktu kerja, tersepit dalam pergolakan hidup berumahtangga atau stres menghadapi peperiksaan.

    Ia adalah alternatif rawatan moden dan satu bidang profesional yang menggunakan muzik bertujuan untuk pemulihan, pemeliharaan dan peningkatan taraf kesihatan mental serta fizikal.


    Perubahan dari segi kognitif, sosial dan emosi mampu dicapai melalui teknik muzik tertentu. Malah, seramai antara 6,000 hingga 10,000 pakar terapi muzik terlatih ada di seluruh dunia dan bersedia memberi perkhidmatan kepada masyarakat terutama yang menghadapi trauma, gangguan emosi, terencat akal, ketegangan, penyakit kanser, juga AIDS.

    Antara matlamat utama terapi jenis ini untuk memulihkan kekuatan fizikal, menyediakan pesakit dalam keadaan bersedia menanggung kesakitan akibat rawatan, memberi sokongan emosi kepada pesakit dan keluarga, serta memberi peluang kepada mereka meredakan ketegangan perasaan dan fikiran.

    Terapi muzik mempunyai teknik rawatan tertentu yang memerlukan seseorang pesakit itu melalui penafsiran klinikal khusus. Melalui teknik itu, pakar terapi akan menjalankan program muzik terapi membabitkan teknik mendengar pilihan muzik tertentu, memainkan alat muzik, menyanyi, perbincangan lirik muzik, mengarang dan mengubah lagu, membuat persembahan berkumpulan, hipnosis muzik, menari atau melukis menggunakan muzik.

    Tujuannya untuk mengalih kesakitan dan tekanan yang sesak ditanggung pesakit menggunakan medium muzik.

    Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitannya terapi muzik dengan kecantikan? Jangan anda lupa, tahap kesihatan mental sebenarnya banyak mempengaruhi kesihatan emosi dan jasmani kita.

    Malah, ada yang mengaitkan jiwa yang tenang terpancar melalui air muka seseorang. Justeru, apabila mental bebas daripada sebarang tekanan, pasti wajah akan kelihatan awet muda dan berseri-seri secara semula jadi.

    Dalam sejarah kebudayaan Islam sendiri, muzik tidak sekadar sebagai hiburan tetapi turut mempunyai peranan penting dalam kehidupan.

    Al-Farabi menghasilkan buku dan teori mengenai muzik dan ia dijadikan rujukan Barat sehingga sekarang. Begitu juga barisan ulama termasuk Dr Yusuf al-Qaradawi dikatakan pernah mengaitkan muzik dengan naluri dan perasaan seseorang sehingga membentuk bakat, perasaan dan keperibadian.

    Katanya, jika tujuan seni itu digunakan untuk kebaikan, begitu jugalah hukumnya. Justeru, seni itu bersifat neutral, tidak sekadar untuk hiburan malah membawa banyak kebaikan tersirat jika diselidik penggunaannya.

    FAKTA:

    • Ada kajian menunjukkan bahawa muzik klasik karya Mozart boleh diguna untuk mengurangkan penderitaan pesakit dan meredakan tekanan.
    • Terapi muzik boleh digunakan dalam rawatan pesakit yang mengalami trauma, gangguan emosi, terencat akal, ketegangan, penyakit kanser, juga AIDS.

    Probiotik baik untuk diet






    JIKA anda keliru dengan istilah probiotik yang berbunyi seperti uji kaji kimia berbanding suplemen (makanan tambahan) diet, anda tidak keseorangan. Probiotik, yang bermakna 'untuk kehidupan', digunakan sebagai satu kaedah rawatan untuk pelbagai penyakit gastrousus seperti sindrom kerengsaan usus, intolerans laktosa, diarea kembara dan diarea cetusan antibiotik.

    Mengikut sejarah, probiotik sudah digunakan berkurun-kurun lamanya sebagai komponen semula jadi dalam makanan yang berteraskan kesihatan. Ahli fisiologi Rusia dan pemenang hadiah Nobel, Elie Metchnikoff (1845 - 1916) dianggap sebagai pencipta probiotik. Beliau adalah orang pertama yang mengesyorkan bahawa pemakanan bakteria boleh memberi manfaat kepada kesihatan.

    Pada 1907, beliau mencadangkan organisma pengeluar asid tertentu boleh mencegah apa yang beliau panggil `fouling’ dalam usus besar dan jika dimakan secara kerap, boleh menjana kehidupan yang lebih lama serta lebih sihat. Penyelidikan mikrobiologikal dan akhirnya penyelidikan asas serta klinikal selama beberapa dekad menyokong teori asal Metchnikoff bahawa probiotik tertentu boleh meningkatkan keupayaan beberapa fungsi usus.


    Ekosistem kompleks bakteria yang mendiami trek usus dipanggil mikroflora usus. Apabila kita dilahirkan, kita tidak mempunyai ekosistem bakteria usus. Ia mula terbentuk selepas kita dilahirkan dan menjadi lebih sofistikated selepas makanan ditambah dalam diet.

    Masa berlalu, jenis dan bilangan bakteria dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk tekanan, antibiotik, sakit, usia lanjut dan diet anda. Penyelidikan yang dijalankan mengesyorkan bahawa apabila tiada keseimbangan mikroflora usus (bakteria `mesra badan” tidak mencukupi), ia boleh menjejaskan keseluruhan kesihatan kita.

    Sebenarnya terdapat kira-kira 100 trilion sel bakteria dalam trek usus. Walau pun kebanyakan bakteria ini tidak berbahaya, mesra badan atau baik (memberi manfaat dan penting untuk tumbesaran normal), ada sebahagiannya yang boleh menyebabkan penyakit (bakteria tidak mesra badan). Dalam keadaan biasa, bilangan bakteria `mesra badan’ jauh mengatasi bakteria `tidak mesra badan’ tetapi sebarang perubahan dalam keseimbangan bakteria `baik’ atau `mesra badan’ dengan `tidak mesra badan’ boleh menjejaskan keupayaan fungsi trek gastrousus kita.

    Sejak akhir-akhir ini, penggunaan probiotik dan manfaat kesihatannya menjadi topik hangat dan ada saranan tegas bahawa setiap orang perlu menambah probiotik dalam diet mereka untuk menjana kesihatan yang baik.

    Yang menjadi persoalan bagaimana probiotik berfungsi? Beberapa kajian menunjukkan bahawa apabila probiotik atau bakteria `mesra badan’ dimakan, ia boleh menyekat pertumbuhan bakteria `tidak mesra badan’ atau kuman dalam trek usus.

    Kajian lain mencadangkan bahawa bakteria `mesra badan’ memastikan trek usus berada dalam keadaan berasid, satu keadaan yang mana bakteria `tidak mesra badan’ tidak boleh bertahan lama. Trek pencernaan kita dibarisi oleh lebih 400 jenis bakteria `mesra badan’ yang berbeza untuk membantu melawan jangkitan dan menjadikan kita sihat. Dengan memakan probiotik, kita boleh menambah bilangan bakteria `mesra badan’ yang boleh meningkatkan daya ketahanan dan memastikan sistem pencernaan kita sentiasa sihat.

    Perlu diingat probiotik bukanlah penyelesaian ajaib untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit. Probiotik menampilkan barisan pertahanan hadapan yang cepat dan mudah di samping diet yang sihat.

    Untuk maklumat lanjut mengenai probiotik dan manfaatnya, sila telefon Merck Sdn Bhd di talian 03-74943514.

    Maklumat pendidikan pemakanan kurang tepat



    SEJAK akhir-akhir ini, masyarakat didedahkan mengenai risiko yang dihadapi rakyat Malaysia berkaitan penyakit kronik dan masalah kesihatan yang berpunca daripada makanan dan sikap pemakanan masyarakat.

    Berikutan itu, tercetus reaksi menuding jari di kalangan masyarakat untuk mencari punca masalah berkenaan, antaranya mengaitkannya dengan makanan segera dari premis yang banyak di negara ini.

    Ada pula yang mengaitkan punca penyakit berkenaan dengan pembukaan restoran dan premis makanan 24 jam yang mendorong pengguna makan di restoran berkenaan, tanpa mengira masa.


    Sebenarnya, pendidikan berkaitan pemakanan di Malaysia tidak menyeluruh dan kurang berkesan. Ini dibuktikan dengan pelbagai maklumat yang kurang tepat yang dihebahkan pihak yang terbabit secara langsung dengan makanan; pengeluar produk dan pengiklanan yang mengakibatkan masyarakat keliru mengenai pemakanan.

    Sebagai contoh, minyak sawit tanpa kolesterol yang pastinya minyak sawit tidak mengira apa jenama sekalipun tidak mempunyai sebarang kolesterol kerana produk berasaskan tumbuhan tiada sama sekali mengandungi bahan bahan itu. Kolesterol adalah produk yang dihasilkan oleh haiwan dan manusia saja.

    Masyarakat perlu disedarkan bahawa penyebab penyakit jantung bukan kolesterol semata- mata, sebaliknya membabitkan banyak faktor lain seperti gaya hidup, tahap kesihatan dan persekitaran hidup yang turut menyumbang risiko penyakit jantung.

    Mengenai kaitan penyakit kencing manis dengan gula, memang benar kandungan gula dalam darah yang banyak menyumbang kepada kencing manis. Bagaimanapun, perlu diingat, sumber gula tidak boleh dihadkan kepada gula pasir semata-mata.

    Penyumbang gula utama masyarakat Malaysia pastilah nasi kerana nasi adalah sumber karbohidrat yang diubah kepada gula ringkas dalam badan ketika proses pencernaan dan penyerapan nutrien.

    Berikutan itu, tiada guna seseorang itu meminum teh tarik kurang manis tetapi memakan nasi lemak sambal udang yang penuh sepinggan; kononnya hendak mengurangkan risiko kencing manis. Malah, lebih menyihatkan meminum air kosong selepas makan kerana sumber gula kompleks terkandung dalam makanan berkarbohidrat memang tinggi, terutama dalam nasi, kuih dan roti.

    Kesimpulannya, adalah penting untuk pendidikan pemakanan diperkasakan sepenuhnya supaya masyarakat memperoleh maklumat yang tepat bagi mengatasi masalah kegemukan dan penyakit kronik.

    Pendidikan pemakanan ini akan meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat dan menjadi titik permulaan kepada masyarakat yang cergas dan cerdas.

    PAK AN,
    Kulai, Johor.

    Penanaman implan ganti gigi kekal



    MEMILIKI senyuman menawan menjadi impian setiap wanita, malah ada yang sanggup membelanjakan wang sehingga ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan barisan gigi yang tersusun indah apabila senyuman dilemparkan.

    Bagaimanapun, apabila usia semakin meningkat ditambah dengan pemakanan dan gaya hidup yang tidak terjaga, seseorang cenderung mengalami masalah kehilangan gigi. Satu kajian kesihatan oral bagi orang dewasa di Malaysia mendapati, akan berlaku kejadian kehilangan gigi apabila umur meningkat.

    Kehilangan gigi hadapan atau belakang biasanya digantikan dengan gigi implan atau dikenali sebagai teknik menanam gigi.


    Pensyarah Pembedahan Mulut dan Maksilofasial di Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM), Dr Michael Ong Ah Hup, berkata secara klinikal, penanaman implan dilakukan pesakit berusia yang berdepan masalah kesihatan seperti penyakit gusi dan tabiat merokok.

    Katanya, implan diperbuat daripada titanium yang mana permukaannya direka bagi menguatkan integrasi tulang (osseointegration) supaya mampu bertahan lebih lama dan memenuhi jangkaan di kawasan gusi yang mengalami penyusutan.

    “Apabila pesakit menjalani rawatan ini, mereka cenderung untuk memberi lebih perhatian terhadap prosedur pembedahan oral dan maksilofasial yang lain,” katanya ketika menyampaikan syarahan Pemuliharaan Tulang Yang Mengalami Penyusutan Dengan Implan bagi Mencapai Senyuman Menawan dan Perfungsian di UM, baru-baru ini.

    Michael berkata, setiap manusia mahu kelihatan muda dan merasai dirinya muda. Mereka juga ingin menikmati gaya kehidupan aktif sehingga umur lanjut.

    “Tujuan menjalani pembedahan oral dan maksilofasial bukan saja untuk menjadikan pesakit kelihatan muda dan menawan seperti pembedahan rekonstruktif tetapi ia juga bagi memudahkan pesakit mengamalkan pemakanan sempurna selepas pemuliharaan oral, menjadikan mereka sentiasa ceria dan sihat,” katanya.

    Ada pelbagai sistem implan pergigian yang digunakan bagi pemuliharaan oral di kalangan pesakit muda dan yang berusia. Malah, teknik itu juga berjaya secara klinikal walaupun di kalangan pesakit berusia yang menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular atau arthritis rheumatoid dengan kekeringan mulut.

    Terapi Yoga tingkat sistem imun badan


    Oleh Siti Nur Almizan Aripin


    LENGKUNGKAN badan dapatmembantumelegakan ketegangan otot serta menyingkirKan lemak.

    Teknik senaman dari India boleh diamalkan ketika Ramadan, perbaiki kesihatan tubuh

    MELIHAT liuk lentuk dan pergerakan guru yoga yang lembut serta berseni membuatkan hati tertanya-tanya apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik keindahan senaman itu. Malah, tiada lemak mengelebir, yang kelihatan hanya otot pejal dengan wajah ceria dan bersinar menguatkan lagi keinginan untuk mata terus memerhati setiap gerak langkah senaman yang dikatakan berasal dari India ini.

    Satu saja halangannya, yoga atau apa saja senaman memerlukan komitmen yang tinggi. Namun, percayalah setiap kejayaan bermula dengan satu langkah pertama. Justeru, bagi yang ingin kekal sihat, terapi yoga adalah jawapannya.


    Ketua Unit Yoga di Pusat Kecergasan True Fitness, Diptom Bose, berkata terapi yoga adalah sejenis senaman bersifat terapeutik (untuk tujuan rawatan) dan sesuai diamalkan pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak dan warga emas.

    "Ia juga adalah jenis yoga yang sememangnya disarankan untuk individu yang berada pada awal peringkat mendalami teknik yoga selain soft yoga, ananda, hatha, asana dan pranayama.

    "Mungkin ada yang keliru melihat pelbagai jenis yoga termasuk yang diajar untuk kumpulan yang sudah mahir tetapi teknik yoga berkenaan berbeza dan mempunyai kelebihan tersendiri," katanya.



    Keistimewaan terapi yoga dicipta khusus untuk mereka yang mengalami kecederaan akibat bersukan atau masalah kesihatan seperti tekanan, darah tinggi, sakit tengkuk dan belakang, asma, gastrik dan sembelit.

    Selain itu, dalam kesibukan seharian di tempat kerja, duduk dalam posisi yang sama berjam-jam, mengadap komputer atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya menyebabkan individu mengalami ketegangan otot pada belakang dan tengkuk serta stres.

    "Justeru, teknik tertentu dalam terapi yoga dapat membantu untuk melegakan ketegangan otot, melancarkan perjalanan darah dan meningkatkan sistem imun badan.

    "Terapi yoga juga dapat memperbaiki kesihatan dalaman wanita seperti perjalanan haid yang tidak normal dan senggugut," katanya.

    Diptom berkata, terapi yoga sesuai dijadikan aktiviti riadah dan senaman ringan yang boleh diamalkan ketika Ramadan kerana sifatnya yang tidak terlalu lasak dan agresif.

    "Mungkin ramai yang beranggapan ketika bulan puasa, dengan tenaga yang terhad dan perut kosong, kita tidak digalakkan bersenam tetapi ia sebenarnya tidak betul sama sekali.

    "Malah, dalam ajaran Islam sendiri, puasa adalah untuk kesihatan dan jika diperhalusi sebaiknya, ada beberapa jenis teknik yoga dengan pergerakan tertentu yang tidak mengeluarkan peluh boleh membantu meningkatkan kecergasan ketika sedang berpuasa," katanya.

    Bagaimanapun, Diptom menegaskan bahawa tindakan segelintir individu yang membuat yoga secara melulu misalnya berdasarkan pemerhatian daripada video atau buku adalah tindakan yang tidak betul.

    "Guru adalah individu yang terbaik untuk dijadikan rujukan apabila membuat apa jua jenis yoga termasuk terapi yoga kerana mereka sememangnya terlatih dan kebanyakannya mempunyai sijil khas untuk mengajar teknik yoga," katanya.

    Jangan sangsi atau bimbang kerana teknik yoga tidak mempunyai hubung kait dengan amalan spiritual, Diptom berkata, terapi yoga adalah teknik untuk individu mencari ketenangan dan keharmonian yang selari dengan sistem anatomi tubuh sekali gus mendapatkan tahap kesihatan seimbang.

    Diptom berkata, teknik yoga menjadi satu amalan kesihatan yang semakin diterima dalam masyarakat negara ini terutama wanita bekerjaya. Malah, kelas yoga di True Fitnes yang terletak di Desa Sri Hartamas, Subang Jaya dan Petaling Jaya sentiasa padat.

    "Mereka sangat teruja untuk terus mempelajari teknik yoga dan sanggup datang ke kelas seawal 6.15 pagi sebelum ke tempat kerja setelah mendapati badan semakin ringan dan sihat selepas mengamalkannya," katanya.

    INFO: Yoga

  • Jangan lakukan senaman yoga ketika perut kenyang atau selepas makan.

  • Amalkan teknik yoga untuk 20 hingga 30 minit setiap sesi sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
  • Dr Shirota pelopor hasilkan bakteria sihatkan manusia


    Oleh Ziauddin Sharuddin

    GAYA kehidupan moden dan tabiat pemakanan tidak sihat menyebabkan perut yang melalui sistem penghadaman menjadi sarang penyakit.

    Ini yang menyebabkan hari ini, probiotik menjadi istilah penting dalam penjagaan kesihatan kerana peranannya yang menyeimbangkan flora usus dalam organ ini supaya memberi kesan positif kepada tubuh manusia.

    Probiotik? Perkataan yang berasal dari bahasa Greek bermaksud `untuk kehidupan’. Dari segi saintifik, probiotik adalah mikro organisme hidup yang apabila dikendalikan dalam jumlah mencukupi memberi manfaat kesihatan kepada perumah.


    Antara syarat keperluan probiotik ialah selamat, menghasilkan kesan yang boleh dipercayai, tiba ke usus dalam keadaan hidup dan berkembang, boleh dimakan sebagai makanan dan harga yang berpatutan.

    Antara pelopor probiotik terkemuka dunia ialah Yakult, sebuah syarikat pengeluar produk makanan dari Jepun.

    Memperkatakan probiotik dan Yakult tidak dapat dipisahkan dengan pelopor probiotik, Dr Minoru Shirota yang dilahirkan di Nagano pada 1899.

    Menarik mengenai Dr Shirota ialah beliau membuat kajian selepas melihat keadaan sekelilingnya. Kira-kira 100 tahun lalu, Jepun bukan negara kaya seperti sekarang. Banyak kematian berlaku di kalangan kanak-kanak akibat jangkitan penyakit seperti keracunan makanan dan taun.

    Beliau membuat kajian terhadap probiotik selepas mendapati mikro organisme menyebabkan pelbagai penyakit di kalangan penduduk Jepun.

    Doktor perubatan dari Universiti Kyoto itu berpandangan bahawa walaupun mikro organisme boleh membahayakan kesihatan, ia juga memberi manfaat kepada manusia menyebabkannya membuat kajian untuk mencegah penyakit merebak di kalangan manusia.

    Penyelidikan Dr Shirota juga didorong oleh penyelidikan saintis terdahulu seperti Elie Metcnikoff dari Bulgaria pada 1907 yang membuat kajian mengenai mengenai kesan yogurt terhadap memanjangkan hayat manusia.

    Dr Shirota membuat kajian mengenai asid bakteria laktik yang kehadiran dalam usus mempunyai hubungan simbiotik.

    Pada 1933, Dr Shirota muncul sebagai orang pertama di dunia berjaya mengkulturkan probiotik istimewa yang memberi manfaat kepada manusia yang dinamakan Lactobacillus casei Shirota strain.

    Antara manfaatnya termasuk menjadikan usus lebih sihat, menyekat pertumbuhan bakteria jahat dalam usus dan menolong mengaktifkan kuasa imunisasi semula jadi tubuh manusia.

    Dua tahun selepas penemuan itu, minuman Yakult diperkenalkan di pasaran Jepun dengan falsafah Shirotaisme bahawa manusia mampu hidup lebih lama dengan menjaga kesihatan usus, iaitu tempat makanan diserap dalam tubuh.

    Selain itu, Dr Shirota menekankan perubatan pencegahan dengan keutamaan terhadap usaha mencegah penyakit berbanding merawat selepas penyakit dihidapi.

    Beliau juga mahu menyediakan kesihatan yang baik, yang diperlukan oleh semua orang dan seramai mungkin dengan harga berpatutan.

    Antara fakta menarik berhubung Yakult ialah Lactobacillus casei Shirota strain melepasi pelbagai ujian keselamatan dan mempunyai sejarah penggunaan yang selamat sepanjang 70 tahun lalu.

    Penyelidik kanan di Institut Yakult Pusat, Dr Masaaki Watanuki, menyatakan bahawa satu kajian membuktikan terdapat hubungan antara pengambilan secara lazim Yakult dan risiko kanser pundi kencing.

    Kajian itu meliputi 180 pesakit kanser pundi kencing yang dirawat di hospital di tujuh wilayah Jepun dalam tempoh tiga tahun. Seramai 445 orang yang sihat dijadikan perbandingan dari segi umur dan jantina.

    Orang yang minum Yakult, perokok dan pelbagai tabiat lain dalam tempoh antara 10-15 tahun diselidik dengan menemubual pesakit dan kumpulan yang sihat.

    Hasil kajian menunjukkan, mereka yang mengambil Yakult mencatatkan penurunan risiko menghidap kanser pundi kencing, manakala mereka yang merokok meningkat peluang menghadapi penyakit itu.

    Secara keseluruhan, L casei strain Shirota, memperbaiki mikro flora usus, mencegah jangkitan usus, mengurangkan mutagen dan karsinogen, menghalang usus membusuk, mengurangkan tekanan darah tinggi, kecelaruan sistem imunisasi dan mencegah barah.

    Fakta menarik di Jepun yang mempunyai piawaian produk kesihatan yang tinggi, Yakult mendapat pengiktirafan Foshu atau makanan khusus untuk kegunaan kesihatan selepas melalui pelbagai ujian yang membuktikan mempunyai kesan positif dari segi pemakanan dan perubatan.

    Kenali ulam: Pucuk gajus, terung bulu, penyedap rasa masakan




    BIJI gajus makanan kudapan popular.

    Janggus
    Anacardium occidentale
    Famili:
    Anacardiaceae
    Nama Lain: Gajus, Jambu golok, Jambu monyet, Ketereh

    POKOK gajus berasal dari Brazil dan diperkenalkan orang Portugis ke Melaka melalui Goa. Kini pokok gajus ditanam di sekitar negara tropika, terutama India.

    Pokok gajus tergolong dalam famili Anacardiaceae. Tingginya kira-kira 10 hingga 12 meter dan silaranya rendang terbuka dengan daunnya malar hijau. Ketika muda daunnya berwarna merah keunguan.


    Bunganya banyak, kecil dan hermafrodit, berwarna putih kemerahan pada bulir (bahagian bijirin) sepanjang 20 hingga 25 sm. Buahnya berbentuk buah pinggang, 3 sm panjang dan 1.2 sm lebar. Kulitnya keras, berwarna hijau atau keperangan, mengandungi testa berwarna perang kemerahan dan dua kotiledon serta embrio yang kecil.

    Buah ini tergantung pada pedisel yang membesar seperti buah jambu, berwarna hijau bertukar menjadi kuning atau merah apabila masak, berjus dan rasanya kelat-kelat manis. Pedisel yang membesar seperti buah Jambu ini sering dianggap sebagai buah. Sebenarnya ia tidak berfungsi sebagai buah.

    Masyarakat Melayu menanam pokok gajus kerana keunikan bentuk buahnya, sehingga menjadi teka teki " Apa buah bijinya di luar" Penanaman secara perladangan juga diusahakan di Pantai Timur Semenanjung tetapi tidak menghasilkan buah yang baik.

    TERUNG bulu penyedap rasa masakan tradisional Melayu.

    Resipi laksa tidak lengkap jika tidak dicampur dengan pucuk gajus. Keenakan laksa timbul kerana campuran pucuk gajus. Pucuk gajus juga ulam yang digemari masyarakat desa. Pucuk yang masih muda dicolek dengan sambal udang kering dan dimakan di samping nasi. Kanak-kanak juga gemar memakan buahnya, sama ada dimakan segar atau dicicah dengan kicap.

    Biji gajus yang diproses adalah makanan kudapan popular. Selain itu, biji gajus penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional seperti nasi minyak, beriani dan dalca.

    Biji gajus mengandungi khasiat makan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 4.9 g, protein 21.2 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 4.5 g, serat 6.4 g, kalsium 43 miligram (mg), fosforus 35 mg, ferum 7.7 mg, natrium 20 mg, kalium 410 mg, vitamin A 51 ug, vitamin B1 0.67 mg, vitamin B2 0.1 mg, niasin 2.5 mg vitamin C 60 mg.

    Buahnya pula, dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 88.6 g, protein 0.6 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 9.5 g, serat 0.8 g, kalsium 3 mg, fosforus 15 mg, ferum 0.3 mg, natrium 9 mg, karotena 35 ug vitamin A 5 ug, vitamin B1 0.02 mg vitamin B2 0.03 mg. niasin 2.5 mg vitamin C 140 mg

    Pucuk mudanya mengandungi: air 89.0g, protein 3.8 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 4.5 g, serat 1.5 g, kalsium 53 mg, fosforus 29 mg, ferum 3.7 mg, natrium 7 mg, karotena 2076 ug vitamin A 326 ug, vitamin B1 0.0 mg vitamin B2 1.19 mg. niasin 0.5 mg vitamin C 91 mg

    Pokok gajus mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih. Percambahan mengambil masa yang lama. Bagi mendapatkan klon terpilih, cantuman mata tunas atau tunas boleh dilakukan. Penanamannya memerlukan tanah berpasir dan iklim panas bagi merangsang pengeluaran bunga dan buah.

    Terung bulu
    Solanum lasiocarpum
    Famili:
    Solanaceae
    Nama Lain: Terung asam

    Terung bulu atau terung asam adalah sayuran yang semakin dilupakan. Pada satu ketika, terung ini sering ditemui di desa, ditanam dalam konsep parak atau tanaman dapur. Buahnya penyedap rasa dalam masakan tradisional Melayu seperti masak lemak ikan darat atau kari.

    Rasa masam terung ini, bukan saja dapat merangsang selera tetapi juga menghilangkan bau hanyir ikan darat. Tidak diketahui mengenai khasiat terung ini.

    Batang pokok renek setinggi 60 hingga 90 meter ini agak besar dan tidak bercabang banyak. Daunnya bergaris bentuk bujur, bercuping yang tidak ketentuan bentuknya, kira-kira 10 hingga 40 sentimeter (sm) panjang dan 5 hingga 30 sm lebar. Batang, dahan dan urat daun berduri tajam. Bunganya berwarna putih keunguan. Buahnya globos, berbulu halus, 1.5 hingga 3 sm diameter, berwarna hijau dan bertukar kuning emas apabila masak dan berbiji banyak. Rasanya agak masam.

    Terung ini mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Ia mudah hidupnya dan tidak memerlukan jagaan yang rapi.