Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17.1.10

Cemburu akibat sakit otak



Pakar Perunding Neurologi dan pakar Parkinson, Dr. Chew Nee Kong, Presiden Persatuan Parkinson Negeri Sembilan, Gharizah Hashim dan Dr. Teck Hoe pada majlis pelancaran buku panduan penyakit mental dan Parkinson baru-baru ini yang bertajuk Two Sides of the Same Brain.


SETIAPkali saya menerima panggilan telefon di rumah, suami saya akan bergegas menuju ke arah saya untuk bertanya siapakah yang membuat panggilan telefon. Apabila saya memberitahunya bahawa adik saya yang menelefon, dia menuduh saya menyembunyikan sesuatu daripadanya.

Apa saja yang saya buat di rumah sentiasa menimbulkan perasaan syak wasangka pada suami saya. Setiap hari, dia akan membaca setiap SMS pada telefon bimbit saya. Apabila saya bertanya kenapa dia berbuat demikian, dia terus naik angin dan berkata, "Sebagai suami kamu, saya ada hak untuk tahu siapa yang menghantar SMS kepada kamu." saya amat terkejut apabila diberitahu oleh abang ipar bahawa suami saya mengesyaki ada orang menghantar SMS romantik kepada saya. Suami saya semakin hari semakin ganas. Dia berkeras hendak mengikut saya ke mana-mana sahaja, malah ke pasar, kerana bimbang saya akan bertemu dengan kekasih saya. Setiap kali saya menafikan tentang hubungan sulit ini, kami akan bergaduh siang dan malam.

Pada suatu hari apabila saya tidak dapat bersabar lagi, saya bertanya apakah yang menganggu fikirannya, serta-merta dia menjerkah. "saya sudah tahu tentang hubungan sulit antara kamu dan bekas kekasih di sekolah menengah dulu. Jangan cuba berselindung lagi!"

Saya menjawab, "Apa? Kamu sudah hilang akal! Siapa yang akan jatuh hati dengan seorang wanita berusia 70 tahun macam saya? lagipun, bekas kekasih saya itu sudah berusia 75 tahun dan baru diserang angin ahmar tahun lepas."

Ini antara delusi yang dialami pesakit Parkinson. Pesakit dan keluarga tidak menyedari Parkinson bukan melibatkan simptom motor (fizikal) tetapi turut melibatkan penyakit mental seperti delusi. Menurut Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Yen Teck Hoe, penyakit mental dan Parkinson ialah dua daripada penyakit otak penting di Malaysia, dari segi kekerapan dan impak ke atas masyarakat.

"Secara amnya, penyakit mental ialah salah satu daripada masalah kesihatan yang paling berleluasa di negara ini. Berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Nasional (2006), 11.2 peratus daripada golongan dewasa di Malaysia menghidapi penyakit mental seperti depresi dan keresahan," katanya dalam majlis pelancaran buku panduan penyakit mental dan Parkinson di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor.

Tambah beliau, Parkinson ialah suatu penyakit otak yang biasanya berlaku di kalangan warga emas.

Parkinson ialah penyakit degeneratif yang menyebabkan kerosakan sel-sel otak di ganglia basalis, suatu bahagian otak yang memainkan peranan penting di dalam pergerakan badan manusia.

"Hal ini seterusnya mengakibatkan kekurangan dopamin, suatu 'pembawa utusan kimia' yang penting bagi fungsi normal ganglia basalis. Kekurangan dopamin membawa kepada simptom motor seperti pergerakan badan yang lambat, kekejangan otot dan tremor (tangan atau kaki yang menggeletar),"ujarnya.

Semenjak laporan pertama oleh Dr. James Parkinson (seorang pakar perubatan British) pada tahun 1817, Parkinson telah lama dikenali sebagai sejenis penyakit yang menjejaskan pergerakan badan.

Dalam pada itu, lebih daripada 60 peratus pesakit Parkinson mengalami satu atau lebih simptom mental sepanjang hidup mereka (Aarsland D, 1999). Depresi (kemurungan) ialah komplikasi yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit Parkinson iaitu 40 peratus hingga 50 peratus pesakit parkinson, satu peratus lebih tinggi berbanding dengan masyarakat am. Keresahan berlaku dalam kalangan 40 peratus pesakit Parkinson dan merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan masyarakat am. Laporan menunjukkan bahawa 30 peratus pesakit Parkinson mengalami halusinasi manakala 40 hingga 60 peratus mengalami demensia(nyanyuk).

Gangguan mental dan penyelesaian



PESAKIT mental terdorong melakukan perlakuan di luar kewarasan jika tidak dirawat segera. - Gambar hiasan.


TRAGEDI pembunuhan empat sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini menyentuh hati rakyat Malaysia. Bagi kita yang mengikuti perkembangan tragedi hitam itu tentu sukar untuk menggambarkan bagaimana seksanya mangsa melalui detik-detik terakhir sebelum ajalnya.

Lebih menyedihkan, suspek dalam kes ini adalah ahli keluarga terdekat.

Tentu terlintas di fikiran bagaimana ahli keluarga tergamak bertindak sedemikian bukan terhadap seorang tetapi empat mangsa.

Pelbagai andaian dibuat antaranya suspek mengalami gangguan mental dan ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.

Bukan ingin mencurah air garam ke hati keluarga mangsa yang masih diselubungi kesedihan, yang pasti kes ini masih dalam siasatan polis. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan keputusannya.

Kesihatan minggu ini sekadar ingin merungkai permasalahan gangguan mental dan juga berkongsi maklumat mengenai beberapa kejadian seumpama yang pernah berlaku sebelum ini.

Peristiwa empat sekeluarga itu bukan yang pertama berlaku. Sebelum ini terdapat pelbagai tragedi seumpama yang melibatkan nyawa disebabkan masalah berkaitan gangguan psikologi.

Fenomena semasa

Pakar Psikologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, jika melihat kepada laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, 11 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental.

“Ini bermakna kira-kira 2.6 juta daripada keseluruhan penduduk mengalami gangguan berkaitan psikologi dan jumlah ini agak ketara,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan Universiti Malaya dalam bidang ini.

Menurut beliau, jika kini penyakit berkaitan gangguan mental (termasuk disebabkan pengambilan dadah) berada di tangga ke 10 dalam senarai penyakit membebankan, dianggarkan menjelang 2020, masalah ini akan menduduki tangga kedua iaitu selepas penyakit jantung.

“Ini berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan masalah mental akan mewakili 15 peratus daripada penyakit global pada tahun tersebut,” katanya.

Jelas beliau, gangguan mental juga boleh dikaitkan dengan kesan sampingan kemajuan yang dicapai sesebuah negara.

Katanya, sesetengah individu gagal menyesuaikan diri dengan kemajuan, ditambah pula dengan punca-punca lain menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan mental.

Di Malaysia, ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Di PPUM sahaja kata beliau, berbanding sepuluh tahun lalu yang mencatatkan satu atau dua pesakit setiap hari bertemu pakar psikiatri kini bertambah menjadi tujuh hingga lapan pesakit sehari.

Dr. Muhsin berkata dari segi kepakaran pula kita masih lagi ketinggalan iaitu dengan hanya sekitar 200 pakar psikiatri.

“Kekurangan kepakaran sangat ketara kerana kebanyakan bertumpu di sekitar Lembah Klang sahaja. Menakala kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak hanya mempunyai satu atau dua psikiatri sahaja,” katanya.

Punca

Menurut Dr Muhsin, terdapat dua sebab utama menyumbang kepada masalah kesihatan mental iaitu sejarah keluarga (dalaman) dan persekitaran.

“Pelbagai sebab seperti stres, tekanan kerja, hubungan sosial, personaliti introvert iaitu seorang yang cepat putus asa, tak suka bergaul dan sebagainya mudah terdedah kepada masalah mental,” kata beliau.

Menurutnya, masalah mental ada yang serius dan ada yang minor. Bergantung kesedaran awal pesakit dan sejauh mana dia berusaha untuk menanganinya, ia boleh membantu.

Jika mereka mendapatkan nasihat daripada profesional, peratusan untuk pulih adalah tinggi tetapi. Sebaliknya jika mendapatkan nasihat daripada rakan atau saudara berkemungkinan untuk menjadi lebih parah. Begitu juga seandainya pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan, masalah akan menjadi bertambah rumit.

Selain itu katanya, masalah gangguan mental 15 kali berisiko tinggi andai pesakit terlibat dengan pengambilan dadah.

Pelakuan di luar kawalan

Merujuk kepada peratusan WHO Dr Muhsin berkata, sebanyak 14 peratus kematian di kalangan remaja berusia 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia adalah disebabkan oleh keganasan seperti amuk, rompakan dan kecurian yang mendorong kepada bunuh, pergaduhan, buli dan sebagainya.

Kes-kes seperti ini ada kaitan dengan gangguan mental, yang mana pembunuh akan melakukan sesuatu diluar jangkaan seperti kes yang berlaku di Gemencheh.

“Bagi orang yang waras fikiran dan memang berniat untuk membunuh, mustahil dia akan meninggalkan bukti malah tidak akan mengaku bersalah jika ditangkap polis,” kata Dr. Muhsin.

Dalam kebanyakan kes seperti ini kata beliau, mangsa biasanya adalah orang yang paling rapat sekali dengan pembunuh seperti ayah, ibu, anak, suami, isteri dan adik-beradik terdekat.

Bagaimana untuk mengesan?

  • Individu sendiri atau saudara terdekat boleh sedar kelainan yang dialami.
  • Rasa tidak selesa.
  • Terdengar suara-suara ganjil yang menyuruh melakukan sesuatu.
  • Nampak bayangan-bayangan aneh.
  • Sukar tidur dan kerap terjaga ketika tidur.
  • Hilang selera makan.
  • Penyelesaian

    Dr. Muhsin menasihatkan mereka yang mempunyai simptom gangguan mental agar mendapatkan rawatan awal supaya masalah tidak berlanjutan.

    “Kebanyakan pesakit di Malaysia bertemu pakar selepas 24 bulan mengalami masalah. Berbanding di Amerika Syarikat, jika mereka tidak boleh tidur dalam masa tiga hari sahaja mereka terus bertemu doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

    Beliau berkata, persepsi masyarakat mengenai gangguan mental perlu diubah. Selama ini, orang mengaitkan pesakit mental sebagai ‘orang gila’ dan mereka disisihkan keluarga.

    “Sepatutnya orang terdekat dengan pesakit perlu memberi sokongan dan membawa pesakit mendapatkan rawatan agar ia berlanjutan,” katanya.

    Selain itu katanya, rawatan yang ada di negara ini masih lagi mengikut akta lama iaitu mengurung pesakit atau menempatkan pesakit di suatu tempat tertentu misalnya hospital sakit jiwa.

    Jelas beliau, keadaan ini akan menyebabkan pesakit lebih tenat kerana merasa diri mereka disisihkan dan terkongkong.

    “Saya percaya jika pesakit dapat bergaul dengan masyarakat dan meneruskan kerja mereka seperti biasa, mereka lebih cepat sembuh kerana merasa diri disayangi serta boleh melakukan perkara seperti orang lain,” katanya.

    Di PPUM sendiri menurut beliau, pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dibenarkan mengendalikan kafe di bawah pengawasan doktor.

    Dalam pada menjalani rawatan Dr. Muhsin menekankan pesakit perlu mengambil ubat seperti antipsikotik dan antidepression yang telah diberi doktor untuk membantu penyembuhan.

    “Orang kita kadang kala lebih percayakan bomoh dalam hal ini. Nasihat saya, kalau ingin bertemu bomoh sekali pun tak mengapa, asalkan jangan lupa mengambil ubat yang telah diberikan doktor,” katanya.