Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Minyak sawit tepati keperluan pemakanan


Susunan Razita Abdul Razak

Kandungan olein terbukti mampu mengekalkan paras kolesterol, hindari penyakit jantung

TIDAK disangkal lagi, minyak sawit dapat mengurangkan tahap kolesterol darah dan risiko penyakit jantung. Ini terbukti hasil dari kajian saintifik.

Minyak sawit bersifat separa tepu ini bermakna ia mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi berbanding minyak sayuran yang lain. Sifat ini memberikan banyak kelebihan dalam formulasi makanan dan mengundang pelbagai persoalan mengenai kesan jangka panjangnya ke atas paras kolesterol darah dan penyakit jantung.


Hampir 90 peratus daripada hasil minyak sawit dunia digunakan untuk makanan, membuktikan minyak sawit dan pecahannya memenuhi keperluan khasiat pemakanan. Ada banyak minat pada peringkat global dalam mengawal kuantiti dan kualiti pengambilan lemak dalam makanan untuk membantu mengurangkan penyakit jantung koronari.

Pada masa ini, pakar pemakanan mengesyorkan orang ramai memilih pemakanan rendah kalori yang dikira baik untuk kesihatan jantung. Kebanyakan pakar juga berpendapat bahawa kandungan lemak di dalam pemakanan yang optimum ialah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan keperluan tenaga harian.

Sukar bagi kebanyakan masyarakat Barat mematuhi syarat ini kerana kandungan lemak dalam pemakanan harian mereka secara purata adalah antara 33 peratus - 35 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga harian.

Penduduk kebanyakan negara membangun amat selesa dengan tahap optimum pengambilan lemak yang ditetapkan. Pengambilan lemak oleh penduduk di sesetengah negara di Afrika dan Asia pula harus ditingkatkan untuk memenuhi syarat itu.

Di Malaysia, pengambilan lemak menyumbang kepada 26 peratus tenaga harian. Pemakanan begini membantu ahli sains mengkaji keberkesanan minyak sawit ke atas kolesterol darah.

Hasil Penyelidikan

Beberapa kajian ke atas manusia berdasarkan pemakanan yang menyumbangkan 30 peratus keperluan tenaga daripada lemak menunjukkan hasil seimbang dan lebih jelas.

Minyak sawit, apabila digunakan sebagai sebahagian dari pemakanan rendah lemak (30%) tenaga membuktikan ia berkesan dalam mengekalkan paras kolesterol darah yang diingini. Minyak mono tak tepu seperti minyak zaitun, minyak biji sesawi dan minyak canola yang kaya dengan asid oleic adalah antara minyak sayuran yang baik untuk kesihatan.

Khasiat minyak itu sama dengan minyak sawit dan olien sawit, kerana kandungan asid lemaknya yang sama iaitu asid lemak oleic mono tak tepu yang tinggi. Asid mono tak tepu yang ada dalam minyak sawit adalah sebanyak 48 peratus dan lebih 60 peratus dalam minyak zaitun, sesawi dan canola.

Satu kajian pemakanan dijalankan ke atas manusia untuk mendapatkan kepastian mengenai keberkesanan asid oleic mono tak tepu yang wujud di dalam minyak sawit ke atas profil kolesterol darah dalam memberi perlindungan terhadap penyakit jantung.

Didapati pengambilan minyak silih berganti antara olein sawit, zaitun, sesawi dan minyak canola (˜ 30%) dari sumber tenaga memberi kesan yang setara kepada nilai kolesterol darah. Ini menunjukkan, olien sawit dan minyak mono tak tepu yang lain boleh digunakan silih berganti tanpa memberi kesan negatif ke atas kolesterol darah atau risiko penyakit jantung.

American Heart Association (AHA) amat dikenali sebagai satu badan yang berpengaruh ke atas polisi kesihatan di Amerika. AHA amat peka terhadap insiden penyakit jantung yang tinggi di negara itu dan mengesyorkan pemakanan Step-1 dari sumber lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu yang seimbang dalam pembekalan 30 peratus tenaga dari lemak. Pemakanan Step-1 ini menjadi rujukan sebagai pemakanan yang disyorkan.

Matlamat asal untuk mengurangkan pengambilan lemak yang berlebihan dalam pemakanan rakyat Amerika memberikan kesan positif ke atas kolesterol darah yang sering dikaitkan dengan risiko penyakit jantung. Penggunaan minyak dan lemak secara bersendirian tidak mampu untuk mendapatkan kadar asid lemak yang ditetapkan oleh pemakanan Step-1 berkenaan.

Satu kajian dijalankan saintis MPOB berpandukan syor AHA dengan menggunakan campuran minyak kacang soya, minyak sawit dan minyak canola untuk menghasilkan ratio 1:1:1 lemak tepu, mono tak tepu dan poli tak tepu. Apabila formulasi pemakanan Step-1 AHA ini diuji pada manusia, ianya memberi kesan yang neutral kepada paras kolesterol darah.

Didapati paras kolesterol HDL (yang melindungi daripada penyakit jantung) meningkat dengan ketara. Hasilnya, nisbah kolesterol baik meningkat berbanding dengan kolesterol tidak baik. Ini memberi khasiat yang amat berguna kepada pengguna.

Kajian ini juga mendapat perhatian ramai dan tiga paten difailkan untuk khasiat pemakanan AHA berasaskan minyak sawit. Potensi komersial untuk formulasi ini dikenal pasti sebuah syarikat pengeluar makanan dari Amerika dan kini berjaya menghasilkan dan memasarkan jenama marjerin sapuan `Smart Balance’ yang kaya dengan khasiat.

Pemilihan Makanan Secara Bijak

Kebanyakan makanan mengandungi lemak yang dapat dilihat dan tersembunyi serta campuran asid lemak. Kesan campuran asid lemak ini ke atas kolesterol darah adalah seperti mana kebanyakan asid lemak, yang kadang kala bertentangan sesama sendiri.

Oleh itu, penting untuk kita memahami jenis asid lemak untuk mengetahui kesannya ke atas kolesterol darah.

Pengambilan asid lemak tepu yang berlebihan semestinya akan meningkatkan paras kolesterol darah. Untuk menguji hipotesis ini, saintis menggunakan minyak kelapa dan lemak tenusu untuk membuat kajian. Kedua-dua jenis lemak ini mengandungi asid lemak tepu yang tinggi (lebih dari 80%) dan mengandungi kombinasi lemak tepu dikenali sebagai asid laurik dan myristik. Apabila dibandingkan dengan pemakanan berasaskan sawit, minyak kelapa dan lemak tenusu didapati meningkatkan paras kolesterol darah.

Kesimpulan hasil kajian ini ialah kandungan asid myristik yang tinggi dalam kelapa dan lemak tenusu adalah penyebab utama peningkatan kolesterol darah. Oleh itu, makanan yang tinggi kandungan asid lemak haruslah di hindari.

Asid Lemak Trans (TFA) ialah satu lagi jenis lemak yang merbahaya kepada kesihatan dan tidak diperlukan dalam makanan. TFA terhasil apabila minyak dan lelemak, terutama sekali minyak yang mengandungi asid lemak tak tepu yang melalui proses penghidrogenan.

Ini adalah tindak balas kimia yang menghasilkan minyak atau lemak tepu dengan pemangkin. Proses penghidrogenan akan meningkatkan takat cair minyak atau lelemak tak tepu dan seterusnya membolehkannya digunakan dalam formulasi lelemak untuk bahan makanan.

TFA akan meningkatkan paras kolesterol darah dan mempunyai implikasi atserogenesis yang tidak dapat dijangka. Ini adalah faktor kenapa lemak terhidrogen harus diganti dengan lemak tepu semula jadi dalam kebanyakan bahan makanan. Lemak tepu yang menggantikan lemak terhidrogen dalam formulasi pemakanan harus dapat memberi kesan neutral terhadap plasma lipid dan risiko penyakit jantung lain.

Walau apa pun yang diperkatakan tentang kolesterol darah dan penyakit jantung, pemakanan yang seimbang adalah penting untuk kesihatan yang baik. Dari sudut saintifik, lemak tepu adalah sesuatu yang tidak sihat tetapi pada hakikatnya ia memainkan peranan biologikal yang penting kepada kesihatan badan dan pemakanan.

Oleh itu, menghindar lemak tepu adalah mustahil dan tidak wajar.

0 comments: