Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Ujian darah penting pada awal kehamilan


Oleh Prof Madya Dr Shah Reza (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, HUSM)


WANITA hamil akanmenjalani ujian darah pada peringkat awal kehamilan.

Keguguran spontan, kandungan luar rahim boleh berlaku jika antigen ibu tidak sama dengan bayi

APA yang anda tahu mengenai masalah rhesus? Atau tahukah anda apa yang dirujuk sebagai rhesus? Secara ringkas, rhesus (Rh) bermaksud antigen atau secara spesifik ialah protein yang wujud pada permukaan sel darah merah.

Sekiranya rhesus darah ibu tidak sama dengan rhesus darah janin, beberapa masalah akan terjadi. Antaranya membabitkan masalah keguguran spontan, keguguran yang terpaksa dilakukan dan kandungan luar rahim (kandungan ektopik).


Bagi sesetengah wanita hamil, mereka tidak langsung tahu mengenai rhesus atau kumpulan darah. Oleh itu, apabila pergi ke klinik kerana kehamilan buat kali pertama, ibu hamil akan membuat ujian darah. Ada yang tahu dan ada yang tidak tahu kepentingan ujian ini dibuat.

Sebenarnya, darah diambil untuk memastikan kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Seperti yang anda tahu, ada empat kategori umum darah: A, B, O, dan AB yang mana setiap jenis darah dilabelkan sebagai positif atau negatif merujuk pada faktor rhesus dalam darah.

Kumpulan dengan faktor rhesus bermaksud mereka memiliki antigen dalam darah dilabelkan sebagai RH-positif. Jadi, jika seseorang itu memiliki darah jenis A dan memiliki faktor rhesus, dia dirujuk sebagai A positif.

Kumpulan yang tidak memiliki antigen dalam darah atau kekurangan faktor rhesus dilabel sebagai Rh negatif. Bagaimanapun, kekurangan faktor Rh tidak bermaksud ia akan menjejaskan kesihatan.

Kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai Rh positif. Di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebagai contoh, kurang daripada satu peratus mempunyai darah Rh negatif dan kebanyakannya berbangsa Melayu.

Bila faktor Rh memberikan kemudaratan?

Faktor Rh ada kalanya menimbulkan kemudaratan kepada bayi. Masalah berlaku apabila darah ibu tidak mempunyai faktor Rh manakala darah janin mempunyai faktor Rh. Permasalahan faktor Rh ketika mengandung berlaku apabila seorang wanita yang negatif mempunyai pasangan rhesus positif.

Dalam kes ini, ada 50 peratus kemungkinan yang anak dalam kandungan itu positif. Perlu diketahui yang ibu tidak akan mendapat apa-apa reaksi daripada sensitasi (tindak balas tubuh terhadap kehadiran bendasing dalam badan) yang berlaku.

Jika janin dalam kandungan yang pertama positif, sel darahnya dapat bercampur dengan darah ibu terutama ketika bersalin. Sel ini, walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi yang memusnahkan sel darah rhesus positif bayi.

Sebagai contoh, ibu hamil tidak mempunyai faktor Rh, dilabelkan sebagai rhesus negatif, kandungannya pula Rh positif. Darah janin ini akan memasuki darah ibu dan menyebabkan sensitasi berlaku.

Ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang faktor Rh janin, sebagaimana antibodi melawan bendasing atau kuman yang memasuki badan. Jenis darah bapa juga perlu diketahui dan sekiranya bapa tidak mempunyai faktor Rh, janin juga tidak mempunyai faktor Rh, semuanya rhesus negatif. Bagaimanapun, jika bapa mempunyai faktor Rh, janin akan menjadi rhesus positif. Masalah sensitasi timbul sebab ibu memiliki rhesus negatif.

Anda perlu tahu, ketika mengandung ibu dan janin tidak berkongsi sistem darah. Bagaimanapun, sedikit darah daripada janin boleh menyeberangi plasenta (uri) dan memasuki sistem darah ibu. Sensitasi yang berlaku ini merangsang pembentukan antibodi terhadap faktor Rh pada sel darah anak. Ia menyerang sel merah darah anak dan kemusnahan berlaku.

Janin akan mendapat anemia (kekurangan darah), banyak penyakit susulan timbul, otak boleh musnah, kematian juga boleh berlaku sekiranya rawatan tidak diberikan.

Kandungan pertama lazimnya selamat daripada masalah ini kerana ibu tidak sempat mengeluarkan banyak antibodi yang boleh mencetuskan kemusnahan. Bagaimanapun, kandungan berikutnya akan terjejas. Semakin jumlah kandungan bertambah, semakin teruk keadaan ini berlaku.

Wanita hamil di Malaysia dianggap bernasib baik kerana sistem darah mereka akan diuji pada setiap kali mereka mengandung.

Bagaimana masalah boleh dicegah?

Lazimnya untuk saringan, darah diuji untuk jenis kumpulan darah dan juga faktor rhesus. Ujian saringan antibodi dilakukan sekiranya didapati ibu sudah pun terdedah dengan darah yang tidak mempunyai faktor Rh.

Sensitasi pada ibu dikurangkan dengan penggunaan ubat Immunoglobulin Rh (Rh IgG). Ubat ini dihasilkan daripada rawatan darah secara berkawal. Ia digunakan untuk menghalang ibu yang tidak mempunyai faktor Rh daripada disensitasikan. Dengan kata lain, ia menghalang badan ibu daripada berinteraksi dan bertindak balas. Sekiranya ibu sudah disensitasikan, penggunaan ubat ini mungkin tidak berkesan pada dos yang biasa digunakan. Ujian lanjutan seperti ‘titer’ kehadiran antibodi dan juga jumlah sebenar kehadiran darah bayi di dalam darah ibu perlu diketahui supaya jumlah Immunoglobulin yang diberikan dapat mengatasi sensitasi yang mungkin berlaku.

Ubat Rh IgG ini diberikan secara suntikan di bahu atau punggung. Ia akan diberikan ketika hamil dan selepas kehamilan.

Sekiranya ibu yang Rh negatif belum lagi disensitasikan, ubat ini boleh diberikan pada minggu ke 28 dan juga minggu 34 mengandung. Ia bertujuan untuk menghalang sensitasi yang mungkin berlaku pada sesetengah ibu pada tiga bulan terakhir kehamilan.

Lazimnya dos akan diulang sekiranya ibu masih belum melahirkan anak selepas 12 minggu daripada ubat mula disuntik. Ubat ini hanya berada di dalam sistem darah ibu untuk tempoh enam minggu saja.

Selepas kelahiran, dos perlu diberikan sekali lagi untuk mengelakkan ibu menghasilkan antibodi terhadap faktor Rh sel darah merah janin ketika mengandung dan juga ketika kelahiran. Sekiranya diperlukan, darah ibu juga diambil untuk penentuan antibodi yang sudah terhasil supaya pemberian ubat Rh IgG dapat diopitimakan mengikut rangsangan. Ubat yang diberikan ini hanya dapat mencegah komplikasi mengandung semasa, ubat perlu diulang pada setiap kandungan.

Bagaimanapun, ubat tidak diberikan sekiranya bayi tidak mempunyai faktor rhesus di sel darah merahnya.

Walaupun ibu yang memiliki rhesus negatif tidak mahu lagi mengandung pada masa hadapan atau akan melakukan langkah pencegahan kehamilan kekal seperti pengikatan kedua-dua tiub falopian, ubat Rh IgG ini masih lagi perlu diberikan kerana;

  • Pada masa hadapan mungkin wanita mengubah fikiran dan berhasrat untuk membuka kembali pengikatan yang dilakukan (pembalikan ini sukar dan memakan masa selain memerlukan pembedahan kaedah mikro).

  • Melahirkan anak secara kaedah makmal (fertilisasi in vitro - IVF).

  • Kegagalan langkah pencegahan (pengikatan kedua-dua tiub falopian), kebarangkaliannya kecil saja.

    Justeru, rawatan yang diberikan mungkin dapat mencegah pembentukan antibodi sekiranya terjadi keadaan yang memerlukan wanita melakukan pemindahan darah pada masa hadapan. Kehadiran antibodi menyebabkan ujian kesaksamaan darah menjadi sukar.

    Sebab-sebab lain mengapa ubat suntikan Rh IgG diberikan

  • Ibu yang memiliki rhesus negatif perlu diberi suntikan segera sekiranya berlaku pencampuran di antara darah janin dengan ibu. Keadaan ini boleh berlaku ketika keguguran dan juga pengguguran yang dipaksakan dan kandungan luar rahim.

  • Melakukan prosedur diagnosa pra natal seperti (external cephalic version). Suntikan ubat Rh IgG perlu supaya dapat mencegah kemungkinan ibu menghasilkan antibodi yang akan menyerang janin rhesus positif pada masa hadapan.

  • Kelahiran trauma, kelahiran secara pembedahan dan juga proses pengeluaran uri ketika kelahiran juga mendedahkan wanita pada darah janin.

    Apa akan berlaku sekiranya antibodi sudah terbentuk?

    Ibu perlu membuat ujian lanjut bagi melihat tindak balas sistem darahnya terhadap sensitasi yang sudah berlaku. Ini bagi memastikan risiko yang bakal dihadapi janin.

    Jika pembentukan antibodi itu sudah keterlaluan, janin yang kekurangan darah mungkin terpaksa dilahirkan awal atau mungkin terpaksa menerima pemindahan darah ketika masih lagi dalam kandungan.

    Jika pembentukan itu tidak keterlaluan, bayi boleh dilahirkan pada masa yang normal dan selepas kelahiran, bayi akan diuji darahnya. Mungkin pemindahan darah akan dilakukan untuk menggantikan darah bayi yang mengalami kerosakan akibat serangan daripada antibodi ibu.

    FAKTA:
    Pendedahan faktor darah anak ke dalam sistem darah ibu menyebabkan


  • Keguguran spontan

  • Keguguran yang terpaksa dilakukan

  • Kandungan luar rahim (kandungan ektopik)

  • Pendarahan ketika hamil
  • 0 comments: