21.3.11

Sakit orang muda


Oleh Suzan Ahmad

Makin ramai hidap diabetes perosak ginjal pada usia awal

KITA tidak menyedari bahawa penyakit buah pinggang dan penyakit jantung saling berkaitan. Jika seseorang disahkan menghidap penyakit buah pinggang, risiko pesakit itu menghidap penyakit jantung adalah tinggi jika ia tidak dikawal.

Menyedari betapa kesedaran terhadap kesihatan ginjal dan jantung masih sangat rendah berbanding jumlah kematiannya yang semakin meningkat setiap tahun, sambutan Hari Ginjal Sedunia disambut 10 Mac setiap tahun. Dan Sabtu lalu, Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengadakan sambutan bagi menghebahkan kepentingan program tahun ini yang bertemakan ‘Lindungi Buah Pinggang Anda, Selamatkan Jantung Anda.’

Ditanya perkembangan semasa penyakit berkaitan ginjal itu, Ketua jabatan itu, Datuk Dr Ghazali Ahmad, berkata kajian di peringkat kebangsaan mendapati lebih ramai menghidap diabetes dan darah tinggi berbanding penyakit ginjal atau buah pinggang.

Mengikut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, penyakit yang tidak berjangkit akan bertambah seiring peningkatan kualiti hidup dan ekonomi sesebuah negara.

“Di negara maju kebanyakan penduduknya mati akibat sakit jantung, strok, diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol, obesiti dan sindrom metabolik. Negara maju mengenal pasti masalah ini dan mengambil langkah pencegahan dari segi menukar gaya hidup masyarakat mereka dengan pendedahan kepada unsur-unsur penjagaan kesihatan dengan insentif kesihatan tertentu supaya mereka tidak mendapat penyakit itu atau jika sebaliknya, ia boleh dikawal.

“Amalan ini menunjukkan trend peningkatan penyakit berkurangan dan ada juga yang menunjukkan kestabilan. Masalahnya, bagi negara yang baru mahu mencapai tahap maju seperti Malaysia, trendnya meningkat dan kadar pertumbuhan di Asia Pasifik misalnya sangat membimbangkan.
“Sebagai contoh diabetes, bukan saja jumlah pesakit meningkat tetapi usia pesakitnya lebih muda berbanding rantau lain.

“Di negara lain, diabetes biasanya dijangkiti pada usia 40 hingga 50 tahun tapi di negara ini usia baru 20 hingga 30 tahun, sudah dijangkiti diabetes jenis 2. Jika fakta ini disatukan dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes, bukankah ia akan menjadi satu maklumat yang sangat menggerunkan kepada masyarakat, ketua masyarakat, mereka yang membelanjakan wang kepada kesihatan dan memberi rawatan kepada masyarakat,” katanya.

Dr Ghazali berkata, kemajuan dalam kemudahan kesihatan seperti pelbagai jenis mesin haemodialisis dan ubat-ubatan menyaksikan ramai pesakit dapat hidup lebih lama namun kos makin meningkat.

“Jika agenda begini diteruskan, anda boleh bayangkan sebuah negara yang lama kelamaan akan mengalami krisis sosio ekonomi dan keduanya walaupun negara mampu membelanjakan berbilion ringgit, tetapi bayangkan kualiti hidup mereka.”

Katanya, selama ini masyarakat mungkin tidak faham dan tak tahu bahawa penyebab utama penyakit buah pinggang adalah jantung dan kardiovaskular di mana 50 peratus mengalami kegagalan jantung, sakit jantung koronari atau mati mengejut.

Risiko mendapat komplikasi itu jika dibanding dengan tekanan darah tinggi, mencecah lebih 100 kali ganda. Malah, ramai yang di tahap 4 dan 5 sakit buah pinggang, mati tiba-tiba akibat sakit jantung. Dan di sijil kematian, puncanya tertulis sakit jantung.

“Sakit buah pinggang tidak timbul langsung, oleh itu dalam usaha mencegah sakit jantung kita perlu cegah sakit buah pinggang dengan mengenali buah pinggang. Cara terbaik adalah kembali beberapa langkah ke belakang iaitu mencegah lebih baik dari merawat. Bukan saja mencegah sakit buah pinggang tetapi cegah juga penyakit yang menyebabkan penyakit buah pinggang seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti,” katanya.


·Kerajaan belanjakan lebih RM33,000 untuk rawatan hemodialisis bagi seorang pesakit (tidak termasuk ubat-ubatan).

·Majoriti penerima rawatan haemodialisis adalah 55-65 tahun.

·Sebanyak 58 peratus penerima rawatan hemodialisis adalah pesakit diabetes.

·Seramai 24,000 pesakit ginjal di Malaysia yang mana 2,000 menunggu pembedahan pemindahan organ.

Tibi belum reda


5,000 mati sehari akibatnya di seluruh dunia

TUBERCULOSIS atau batuk kering sudah lama mengancam manusia iaitu sejak lebih 5,000 tahun dulu. Malah, jutaan menemui ajal sebelum punca sebenar jangkitan maut ini dikenal pasti.

Penyakit yang turut dikenali tibi itu disebabkan sejenis bakteria, mycobacterium tuberculosis pernah dianggap sebagai angkara roh atau semangat jahat pada abad ke-17 dan ke-18. Penemuan puncanya oleh Dr Robert Koch yang menghebahkannya pada 24 Mac 1882, membawa kepada sambutan Hari Tibi Sedunia pada tarikh sama yang jatuh Khamis ini.

Di peringkat kebangsaan, sambutan bertemakan ‘Bergerak Membanteras Tibi…Transformasi ke arah penyingkiran,’ akan diadakan di Institut Perubatan Respiratori di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang bakal disempurnakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman.

Perunding Kanan Perubatan Dada dan Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, berkata gejala tibi termasuk batuk berpanjangan (biasanya lebih dua minggu), hilang berat badan, hilang selera, demam dan berpeluh malam dan batuk berdarah. Bila pesakit tibi batuk, bersin atau meludah, mereka menyebarkan kuman ke udara dan ia mampu menjangkiti secara purata 10 hingga 15 orang setahun.

Sesiapapun dengan gejala yang disebutkan tadi perlu mendapatkan nasihat perubatan segera dan menjalani pemeriksaan untuk mengesahkan penyakit berkenaan. Cara paling mudah dan murah ialah dengan pemeriksaan kahak bagi mengesan organisma ini. Sekiranya pesakit menghasilkan spesimen kahak yang baik, hanya 30 minit saja diperlukan bagi mengenalpasti organisma itu.

Dan, selepas pelbagai usaha dijalankan pakar perubatan era lalu, banyak antibiotik yang lebih efektif ditemui dan pada 1960-an di mana satu rejimen rawatan berkesan diperkenalkan termasuk pada 1970-an apabila diperkenalkan rawatan enam bulan (rawatan ringkas) berbanding dua tahun untuk penyakit Tibi.
“Apa yang membimbangkan, sejak 10 hingga 15 tahun ini, jangkitannya muncul semula yang membuktikan ancaman batuk kering atau tibi ini belum tamat.

“Setiap tahun di seluruh dunia, sembilan juta manusia dijangkiti tibi dan dua juta mati akibatnya. Bahkan, dalam seminit tiga maut akibat tibi dan dalam sehari 5,000 nyawa melayang akibatnya.

“Oleh itu, amat penting jangkitan ini dapat dikesan seawal mungkin dan merawatnya kerana tibi boleh diubati. Manusia tidak seharusnya mati akibatnya,” tegasnya.

Malah, kata Dr Abdul Razak, di Malaysia, kes tibi masih dikesan lewat atau pada peringkat serius dan ada yang lebih suka mendapatkan rawatan tradisional berbanding perubatan moden yang berkesan.

“Di negara ini, program kawalan tibi, menyelamatkan ribuan nyawa, sejak diperkenalkan pada 1961. Langkah yang diambil untuk membanteras tibi, seharusnya bergerak lebih pantas untuk mengurangkan jumlah kes ke paras lebih rendah dan mengurangkan jumlah kematian akibat tibi.

“Kematian akibat tibi adalah jumlah kematian yang disebabkan oleh penyakit berjangkit di Malaysia,” katanya.

Menurut Dr Abdul Razak, pusat perubatan awam dan persendirian harus memainkan peranan yang sama penting bagi program kawalan ini, memandangkan tibi adalah masalah kesihatan awam.

Masyarakat juga, katanya, perlu lebih dididik mengenai penyakit, cara mudah untuk didiagnos dan rawatan memainkan peranan utama bagi menyingkirkan tibi.
“Cara mudah boleh dicapai dengan mewujudkan kemudahan perubatan dilengkapi microscopy dan X-ray oleh Kementerian Kesihatan.

“Apa dikesali, masih ada yang mendapatkan nasihat perubatan dari pengamal perubatan tradisional bila tanda-tanda batuk berdarah, hilang berat badan dan hilang selera. Mereka percaya ia disebabkan oleh sihir padahal itu adalah gejala penyakit paru-paru kronik dan tibi adalah penyebab paling lazim.

“Justeru, amat penting bagi pesakit dengan gejala berkenaan mendapatkan diagnosis dan rawatan. Banyak kes termasuk pelajar sekolah yang lambat mendapatkan rawatan dan mati kerana lewat dikesan akibat terlalu percaya pengubat tradisional,” katanya.

Dr Abdul Razak berkata, senario menyedihkan ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai gejala dan sikap berlengah mendapatkan bantuan.

“Sikap berlengah ini akan mengakibatkan jangkitan tersebar kepada individu yang tinggal bersama dengan mereka sama ada di rumah, tempat kerja, institusi atau sekolah. Satu lagi cara untuk mengesan Tibi ialah melalui X-ray dada. Selain itu, ujian Mantoux (mencucuk jari), akan membuktikan seseorang dijangkiti Tibi walaupun individu itu belum lagi mengalami penyakit klinikal itu.”

INFO

·Sambutan Hari Tibi Sedunia 2011 pada 28 Mac ini berlangsung di Auditorium Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang di Kuala Lumpur, jam 8.30 pagi. Perasmian akan disempurnakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman. Masuk adalah percuma.