Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

9.2.10

DHA untuk wanita hamil dan bayi



Pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung dan menyusu, dengan ketaranya dapat meningkatkan paras DHA pada janin dan bayi yang telah lahir.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, DHA (asid docosahexaenoic) menjadi tajuk perbualan hangat dalam bidang pemakanan. Pengeluar makanan menunjukkan daya cipta mereka dengan memasukkan DHA ke dalam produk makanan agar pengguna memperolehi DHA yang diperlukan.

Kini DHA boleh didapati dalam kebanyakan susu formula bayi, telur (Omega-3), tairu, jus, makanan kesihatan dan lain-lain.

Setelah kesedaran tentang kepentingan DHA meningkat, maka lebih banyak perhatian ditumpukan terhadap persoalan sama ada ibu mengandung dan yang sedang menyusu (susu ibu) akan memperolehi manfaat daripada tambahan DHA dalam diet mereka.

DHA untuk ibu mengandung dan yang sedang menyusu susu ibu

DHA ialah sejenis asid lemak omega-3 yang berantai panjang, ianya boleh didapati dalam setiap sel dalam badan kita. DHA merangkumi kira-kira 97 peratus dan 93 peratus daripada semua asid lemak omega-3 dalam otak dan mata.

Bayi yang sedang membesar tidak mempunyai kecekapan untuk mengeluarkan DHA mereka sendiri dan ia mesti memperolehi nutrien penting ini melalui uri semasa kehamilan dan daripada susu ibu selepas lahir. Berapa banyak DHA yang diperolehi oleh janin bergantung kepada berapa banyak DHA yang dapat disalurkan daripada DHA ibunya. Sekiranya pengambilan DHA oleh ibunya itu sederhana atau rendah, maka paras DHA pada bayi juga akan turut menurun. Kajian menunjukkan ibu mengandung yang mengambil suplemen DHA akan melahirkan bayi yang mempunyai paras DHA yang dengan ketaranya lebih tinggi dalam otak mereka.

Oleh itu, kita boleh mengesahkan di sini pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung dan menyusu, dengan ketaranya dapat meningkatkan paras DHA pada janin dan bayi yang telah lahir.

DHA daripada Sumber Diet

"Alga (rumpair) - Sesetengah alga merupakan sumber semulajadi bagi DHA. Manakala ramai orang percaya ikan dapat mengeluarkan DHAnya sendiri, tetapi sebenarnya, alga yang dimakan oleh ikan itu menjadikannya sebagai sumber yang kaya dengan DHA.

"Jenis ikan yang berlemak, termasuk ikan bilis, ikan salmon, ikan hering, ikan tenggiri, tuna dan ikan halibut.

"Daging organ, seperti hati.

"Sejumlah yang kecil didapati dalam kuning telur.

Nasihat memakan ikan dan amaran pemakanan daripada badan-badan pakar di USA

American Heart Association, United States Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA) semuanya telah mengeluarkan nasihat tentang pemakanan ikan. Amaran ini dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap penemuan sesetengah ikan mengandungi methylmercury, iaitu sejenis pencemar yang sekiranya berada pada paras yang tinggi boleh membahayakan sistem urat saraf janin yang sedang membesar, bayi yang baru lahir dan juga kanak-kanak yang baru bertatih. Adalah dianggarkan hampir 60,000 kanak-kanak setiap tahun dilahirkan dengan dibebani risiko masalah neurologi yang disebabkan oleh pendedahan kepada methylmercury semasa dalam rahim ibu.

Untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada raksa ini, FDA mengesyorkan ibu mengandung dan menyusu dan juga anak-anak kecil supaya memakan tidak lebih daripada 12 auns ikan yang dimasak setiap minggu serta memilih pelbagai jenis ikan daripada memakan hanya satu jenis sahaja. Mereka hendaklah mengelakkan diri daripada memakan ikan besar seperti ikan yu, todak, tile dan ikan tenggiri raja yang semuanya mengandungi methylmercury pada paras paling tinggi.

DHA daripada susu ibu berbanding DHA daripada minyak ikan

Minyak ikan diperolehi daripada tisu ikan yang berminyak dan ia mengandungi DHA dan EPA (asid eicosapentaenoic). Meskipun demikian, suplemen minyak ikan biasa mengandungi EPA dengan jumlah yang agak tinggi dan sebaliknya mengandungi DHA hanya sekadar sederhana sahaja. Pada orang dewasa, DHA dan EPA dapat dihadam serta diserap. Tetapi, pada bayi dan janin, EPA mungkin bersaing dengan DHA untuk merebut tempat dalam membran sel saraf, dan ini mungkin membahayakan otak yang sedang berkembang, dan juga perkembangan mata dan sistem saraf. Dalam susu ibu manusia, jumlah DHA adalah empat kali lebih tinggi daripada jumlah EPA - Sememangnya, alam semulajadi adalah yang terbaik!

Penyulingan molekular

Sesetengah pengilang mengeluarkan minyak ikan melalui proses yang dikenali sebagai 'penyulingan molekular' untuk menghapuskan methylmercury dan toksin lain yang wujud dalam ikan. Bagaimanapun, proses ini tidak mungkin dapat menghapuskan 100% methylmercury kerana dengan kaedah yang digunakan sekarang ini, pasti masih boleh meninggalkan sedikit sebanyak kesan toksin - mungkin pada paras yang tidak boleh dikesan. Ia banyak bergantung kepada kesan sensitif alat ujian yang diguna.

DHA daripada sumber sayuran (Alga) - Pilihan yang lebih selamat

Suplemen DHA yang diperbuat daripada alga kini boleh didapati. Ia menyediakan pilihan lebih selamat untuk ibu mengandung dan menyusu yang ingin memperolehi manfaat DHA untuk bayi mereka tanpa berasa cemas tentang toksin methylmercury atau kandungan EPA yang tinggi.

Martek Biosciences, dari USA, merupakan satu-satunya syarikat di dunia yang berjaya mengeluarkan DHA daripada jenis-jenis alga yang dipatenkan dan ditanam secara besar-besaran dalam tangki penapaian yang ditempatkan jauh dari laut dengan menggunakan air yang ditapis - semuanya ini dikawal ketat di bawah syarat perkilangan GMP.

Dosej yang disyor

Pakar dari Institut Kebangsaan National Institute of Health dan International Society for the Study of Fatty Acids and Lipids (NIH/ASSFAL) telah mengesyorkan pengambilan sebanyak 300 miligram DHA setiap hari bagi ibu mengandung dan menyusu. Terdapat banyak formula susu untuk diambil semasa hamil dan untuk bayi yang mengandungi DHA, tetapi parasnya selalunya rendah. Suplemen tambahan adalah disyorkan.

Di samping itu, sesetengah kajian menyarankan paras DHA yang mencukupi dalam diet seorang ibu yang baru melahirkan anak, mungkin memainkan peranan dalam membantu mewujudkan kesejahteraan emosi ibu selepas melahirkan anak.

DHA Bersalut Enteric

Suplemen DHA yang diperbuat daripada kapsul sayuran bersalut enteric juga mempunyai keistimewaan. Salutan enteric melindungi kapsul itu daripada tindakan asid dalam perut, oleh itu memastikan kapsul itu akan hancur di dalam usus, dan tidak di dalam perut. Penyerapan DHA adalah lebih baik apabila ia diserap dalam usus. Selain itu, tidak akan terdapat rasa hanyir apabila sendawa. Ini merupakan perkara penting bagi ibu mengandung kerana beliau mungkin berasa terlalu sensitif terhadap bau-bau tertentu.

Membeli suplemen

Untuk memilih suplemen DHA yang baik kualitinya bagi ibu mengandung dan menyusu, pastikan sumbernya adalah daripada sayuran (alga) kerana ia tidak mengandungi sebarang toksin mahupun EPA yang selalunya terdapat dalam kebanyakan suplemen yang sumbernya daripada ikan.

l Artikel ini disumbangkan oleh Live-well. Untuk maklumat lanjut mengenai DHA daripada sayuran, sila hubungi Live-well INFOline 03-6140 7605 (Isnin-Jumaat: 9pg-5ptg) atau e-mail kepada livewell2u@pahangpharmacy.com.my

Penjagaan tulang


TULANG bukan sekadar ketulan kalsium. Ia hidup - sentiasa terhapus dan terbina dengan sendiri. Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang sepatutnya.

Nutrien yang paling penting untuk tulang adalah kalsium. Mineral ini bukan saja diperlukan untuk pembentukan tulang tetapi juga fungsi badan yang lain seperti penjagaan saraf dan otot. Disebabkan badan mengambil kalsium daripada tulang maka kita perlu terus mengisi semula bekalan kalsium untuk mengelakkan tulang kehilangan terlalu banyak mineral tersebut.

Sumber terbaik bagi kalsium adalah susu dan produk berasaskan susu yang lain seperti keju dan tairu. Bagaimanapun, terdapat juga sumber kalsium yang lain sekiranya anda tidak suka minum susu. Anda boleh mendapat kalsium daripada sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu dan taufu fah dan juga ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dan bilis.

Dan jangan pula lupa tentang makanan tidak berasaskan tenusu dan diperkaya dengan kalsium yang boleh didapati di pasaran. Jus oren, minuman malt dan tairu dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti telah diperkaya dengan kalsium. Oleh it, bacalah label makanan dan periksa kandungan kalsiumnya.

Tetapi seperti apa juga dalam hidup ini, kita perlu bersederhana. Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Kumpulan umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan. Berapakah yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh memeriksa cadangan pengambilan nutrien bagi kalsium dalam jadual berikut:

Sebagai tambahan kepada kalsium, anda juga perlu memastikan mendapat vitamin D yang mencukupi setiap hari. Vitamin ini membantu tulang anda menyerap lebih kalsium. Tambahan pula, badan anda akan menghasilkannya sendiri dari pendedahan kepada cahaya matahari. Jadi, janganlah malu berjemur kerana ia baik untuk tulang anda! Tetapi, bagi wanita yang sudah mencapai menopaus, penghasilkan vitamin D dari pendedahan kepada cahaya matahari sahaja mungkin tidak mencukupi, Jadi, selain pengambilan tambahan kalsium, pengambilan tambahan vitamin D juga sangat penting.

Selain kalsium dan vitamin D, tulang kita juga memerlukan senaman. Ini kerana tulang adalah tisu hidup dan ia bertindak balas kepada aktiviti tekanan yang dikenakan manusia ke atasnya. Ia terbina dari kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terdiri daripada kalsium dan fosfat. Matrik kolagen inilah yang membenarkan tulang mengembang dan mengecut tanpa patah.

Dalam kata lain, tulang akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menghadapi tekanan yang kerap dikenakan senaman ke atasnya. Begitulah juga jika tidak aktif secara fizikal, tulang akan menjadi semakin lemah, lalu mendedahkannya kepada risiko keretakan yang lebih besar.

Apa juga senaman yang memerlukan anda membawa berat badan dan melawan graviti akan membantu anda memperbaiki atau mengekalkan jisim tulang. Tekanan akibat membawa berat anda sendiri dan tindak balas tolak dan tarik otot anda akan merangsang pembentukan tulang dan menjadikannya lebih kuat. Contoh senaman menahan berat termasuklah berjalan, berjoging, berlari, tai chi dan bermain permainan seperti badminton, tenis dan golf.

Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi anda. Ini penting bagi mengelakkan jatuh bagi warga tua. Jadi janganlah menghalang ibubapa atau datuk nenek anda bersenam kerana ia bagus untuk mereka. Cuma pastikanlah mereka melakukannya dengan selamat.

Tulang sihat sepanjang hayat adalah satu komitmen seumur hidup. Inilah sebab mengapa penjagaan tulang yang baik tidak seharusnya bermula ketika anda sudah tua atau disahkan menghidap osteoporosis. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari muda dan sepanjang hayat kita.

l Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.

HIV punca mak nyah berubah



ATUK tidak mahu meminta simpati masyarakat tetapi hanya mahu mereka memahami.


ADA awalnya saya sukar menerima nasihatnya, saya lihat dia lembut. Seperti tidak percaya seorang mak nyah akan memberi kita nasihat dan motivasi.’’ Seorang pesakit membuka bicara ketika ditemui di persidangan HIV antara universiti di Kampus Universiti Monash Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penghidap HIV yang hanya mahu dikenali sebagai Atuk, 51, tersenyum mendegar kata-kata tersebut. Baginya, mak nyah atau tidak bukan ukuran kerana mereka senasib. HIV menyatukan dan mengubah kehidupan mereka. Mereka berkongsi cerita untuk saling membantu. Oleh kerana pendekatan Atuk yang mudah diterima, wanita tersebut menerima takdir kehidupannya dengan positif.

“Individu yang dijangkiti mempunyai pengalaman dan penerimaan yang berbeza. Jangan terlalu yakin hingga hujung nyawa tidak dijangkiti. Macam Atuk, luaran nampak tenang, Atuk menangis dalam bilik tiada siapa yang tahu,” katanya.

Bagi Atuk, kisah hidupnya yang lampau biarkan berlalu kerana apa yang penting adalah kehidupan seterusnya.

Apa yang penting dalam masyarakat adalah penerimaan terhadap orang sepertinya. Dia mengakui bukan mudah berkongsi cerita kerana ramai lelaki yang dijangkiti melalui seks tetapi tidak ramai yang berani tampil. Atuk tidak memerlukan simpati tetapi pemahaman.

“Biar masyarakat tahu setiap yang berlaku ada sebabnya. Seperti orang lain, Atuk juga pada awalnya sukar menerima hakikat. Atuk tutup telefon bimbit dan menyendiri. Namun, Atuk akur setiap kenangan silam biarkan berlalu. Atuk perlu teruskan kehidupan dan kerana HIV Atuk hargai setiap kehidupan,” ujarnya.

Atuk meneruskan cerita, katanya, HIV tidak pernah menjadi beban dalam hidupnya. Dia reda dengan semua yang berlaku.

Baginya, semua orang berisiko dijangkiti.

“Sekaya dan setinggi darjat seseorang itu, mereka tidak boleh membeli takdir sendiri. Masyarakat juga perlu fahami, dan jangan menghukum. Setiap manusia telah diberi hak oleh Allah. Kepada-Nya jua kita memohon taubat dan keredaan hidup,” katanya mengakhiri perbualan.

Ego atasi keinginan lelaki rawat penyakit





SIAPA lebih peka perihal penyakit dan mendapatkan rawatan? Wanita atau lelaki? Persoalan itu memang biasa dibangkitkan. Wanita selalunya lebih terbuka membincangkan masalah kesihatan mereka.

Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Adakah mereka terbuka untuk berbuat demikian apatah lagi jika penyakit itu berkaitan dengan seksual dan urologi? Atau lebih tepat lagi, sanggupkah anda bertemu pakar untuk mendapatkan nasihat profesional andai mempunyai masalah sedemikian?

Persoalan yang menarik kerana lelaki secara keseluruhan jarang mengambil berat mengenai tahap kesihatan mereka dan kurang kesedaran berbanding wanita. Seperkara lagi lelaki biasanya enggan mengakui kelemahan diri apatah lagi jika berkaitan dengan kekurangan dari sudut keupayaan seksual.

Perunding Pembedahan Urologi, Prof. Madya George Lee Eng Geap mengakui kaum lelaki tidak begitu peka perihal penyakit sambil menarik perhatian empat sebab mengapa mereka bersikap demikian.

Pakar dari Pusat Perubatan Gleneagles Intan Kuala Lumpur menghuraikan sebab-sebab itu iaitu:

l Malu

Sikap malu menjadi sebab utama lelaki enggan bertemu doktor apabila mengalami masalah. Mereka risau jika keadaan mereka diketahui oleh rakan, saudara atau jiran dan menjadi bualan orang ramai.

l Takut

Sukar dan takut menerima hakikat mereka sakit. Kebanyakan berfikiran kalau ditakdirkan sudah sampai ajal (akibat diserang penyakit), maka mereka akan mati tanpa mahu berusaha mengubati penyakit tersebut.

l Tidak tahu

Tidak seperti kebanyakan penyakit yang menyerang wanita, penyakit lelaki kurang dihebahkan. Kita sering mendengar kempen kanser payu dara, kanser pangkal rahim dan sebagainya, tetapi kurang kempen prostat dan masalah lelaki yang lain.

l Tidak kisah

Jika diadakan kempen pun, mereka tidak kisah. Tidak seperti wanita yang aktif untuk menyertai sebarang aktiviti berkaitan dengan kesihatan mereka.

Tanggapan

Prof. Lee berkongsi penglibatan awalnya dalam bidang urologi. Niatnya kerana ingin memecah tembok kepercayaan lelaki yang tidak selesa membicarakan masalah kesihatan mereka apatah lagi bila menyentuh mengenai masalah seksual dan urologi.

Di awal pertemuan, beliau merujuk kepada tempoh hayat manusia di seluruh dunia. Secara umumnya jangka hayat wanita lebih panjang berbanding lelaki sebanyak lima tahun.

Di Malaysia sendiri, katanya, secara purata hayat wanita sehingga 75 tahun manakala lelaki 70 tahun tetapi adakah gambaran itu bermakna lelaki lemah.

Tahap kesihatan lelaki dilihat daripada dua aspek iaitu semula jadi (nature) dan penjagaan (nurture).

Semula jadi menurutnya, adalah faktor genetik yang tidak boleh diubah tetapi penjagaan perlu dititikberatkan untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

"Wanita biasanya menghidap banyak penyakit, tapi peratus survivor adalah lebih tinggi manakala lelaki kurang dibebani penyakit, namun mereka kerap menemui ajal akibat penyakit yang menyerang secara senyap dan tiba-tiba," katanya.

Sikap

Semua ini kata beliau bergantung kepada sikap lelaki itu sendiri yang tidak suka diri mereka menjadi bahan bualan. Semestinya keadaan itu berkait rapat dengan psikologi lelaki yang dirumuskan oleh pakar perubatan itu sebagai sangat kompleks.

Lelaki akan rasa malu seandainya rakan-rakan mengetahui mereka mempunyai masalah kesihatan apatah lagi yang berkaitan dengan seksual.

Sebab itu dalam kes pasangan yang tidak mempunyai anak, wanita sering dipersalahkan biarpun ia mungkin disebabkan suami tidak subur.

Senario itu, menurut Dr. Lee adalah biasa biarpun masyarakat semakin terbuka tetapi mereka tetap meletakkan kesalahan kepada wanita.

Soal tahap kesedaran mengenai penyakit lelaki juga boleh dilihat menerusi jumlah jumlah Pakar Sakit Puan (Ginekologi) yang lebih ramai berbanding Pakar Urologi atau Sakit Tuan.

Di GIMC sendiri, pakar Urologi hanya sekitar lima orang manakala pakar Ginekologi jumlahnya dua kali ganda.

"Keterbukaan wanita menyebabkan mereka selesa berbicara dengan pakar Ginekologi lelaki mengenai masalah berkaitan seksual mereka tetapi lelaki pula sebaliknya. Tidak hairanlah jika negara ini hanya mempunyai seorang pakar Urologi wanita," katanya.

Kaedah psikologi terbalik

Meneruskan perbincangan mengenai tahap kesedaran lelaki mengenai kesihatan mereka, Dr. Lee sambil tersenyum mengakui secara dasarnya lelaki adalah insan yang sensitif dan mengambil berat.

Justeru untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang penjagaan kesihatan diri perlu menggunakan psikologi terbalik (reverse psychology). Misalnya, peringatan mengenai kesan kepada isteri dan keluarga akibat ketiadaan mereka kelak.

Mereka akan diingatkan tentang isteri dan anak-anak yang terpaksa meneruskan hidup bersendirian jika ditakdirkan mereka meninggal dunia.

Dr. Lee mengambil contoh mudah keberkesanan kempen yang dijalankan di United Kingdom.

Kempen yang berbunyi, "Anda akan mati jika memandu dalam keadaan mabuk" kurang berkesan berbanding mesej "Anda akan membunuh isteri dan anak seandainya memandu dalam keadaan mabuk."

Pendekatan

Ditanya pendekatan yang digunakan dalam merawat pesakit lelaki, beliau berkongsi rahsia iaitu dengan menganggap mereka sebagai kawan dan berkongsi masalah dengan mereka.

"Kerana itu saya cipta ruang yang lebih selesa untuk mereka mendapatkan rawatan di sini kerana pesakit lelaki mementingkan suasana," katanya.

Prof. Lee juga menyarankan agar pesakit lelaki yang mengalami masalah membawa rakan ketika mendapatkan nasihat profesional seandainya mereka malu.

"Kadangkala rakan mereka yang akan menjelaskan mengenai masalah tersebut. Lelaki biasanya lebih selesa memberitahu rakan," katanya.

Menyentuh sikap wanita yang tidak kisah dengan ruang dalaman klinik, katanya, lelaki akan berfikir berkali-kali untuk mendapatkan rawatan di klinik andainya mempunyai jururawat wanita dan poster di sekeliling pula hanya mengenai penyakit wanita.

Seksual lelaki dan urologi

Bercerita lebih lanjut mengenai masalah urologi. Dr. Lee menegaskan, ia berkait rapat dengan kesihatan seksual lelaki.

Tiga masalah kesihatan utama yang sering menyerang lelaki adalah berkaitan dengan kardio (jantung), risiko kanser dan kesihatan seksual serta penjagaan prostat.

Antara masalah seksual yang biasa dialami oleh lelaki adalah jangkitan penyakit seksual (STD), mati pucuk (ED), ejakulasi pramatang (PE), kemandulan, saiz dan bentuk zakar serta testis.

Manakala urologi pula seperti batu karang, kanser prostat, kanser testikular, pembesaran saiz prostat dan pelbagai lagi.

Lelaki muda, menurut beliau, malu untuk bertemu doktor sekiranya mempunyai masalah dengan alat kelamin mereka. Sedangkan perlu diingat kanser testikular hanya berlaku di kalangan lelaki muda.

Kebiasaannya pesakit hanya datang bertemu beliau ketika penyakit sudah pun melarat.

Sentuhan membantu pesakit strok



Kaedah senaman atau fisioterapi akan menjadi lebih berkesan sekiranya penjaga mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang pesakit strok.


PANIK dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba diserang strok. Insan yang tersayang kini tidak mampu bergerak mahupun menguruskan diri.

Oleh kerana itu, sokongan dan bantuan emosi dari keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu proses pemulihan pesakit strok.

Selain itu, kemahiran yang betul dapat membantu pesakit strok pulih dan berasa lebih selesa.

Bagi membantu orang perseorangan mempelajari teknik penjagaan pesakit strok, sebuah pusat dikenali dengan nama Akademi Energy menawarkan kursus yang berkaitan.

Pengasasnya, Datin Ramona Suleiman memberitahu, pengalaman menjaga ibunya yang diserang strok memberi idea kepadanya untuk menganjurkan kursus tersebut.

Kebetulan Pengarah Eksekutif Akademi Energy, Rahatul Baney bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini kerana ramai pesakit strok kurang selesa disebabkan penjaga mereka tidak tahu apa sebenarnya keperluan pesakit.

Akademi itu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin mengikuti kursus penjagaan khusus untuk pesakit strok dan diabetes.

"Rupa-rupanya di Malaysia tidak ada kursus yang dijalankan secara profesional tentang penjagaan pesakit strok. Kebanyakan penjaga tidak mempunyai pengalaman. Keadaan ini menyebabkan pesakit tidak selesa," jelasnya Datin Ramona.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan penjaga adalah pemeriksaan darah, mengemas katil pesakit, memindahkan pesakit dari kerusi roda ke katil dan senaman seperti fisioterapi.

Berkongsi pengalamannya, Ramona memberitahu tidak mudah menjaga pesakit strok. Apatah lagi jika pesakit mempunyai berat badan yang lebih daripada penjaga mereka.

"Namun, saya yakin jika kita melakukannya dengan teknik yang betul, kita dapat memberi keselesaan kepada pesakit. Mereka akan lebih positif dan bersemangat," jelasnya.

Antara silibus menarik di akademi itu adalah mempelajari senaman yang betul untuk pesakit strok.

Bagi Baney pula, kaedah senaman atau fisioterapi akan menjadi lebih berkesan sekiranya penjaga mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang pesakit strok.

"Ini penting untuk diadaptasikan dengan teknik senaman yang memberi keselesaan kepada pesakit strok. Dalam masa yang sama, kita boleh membantu pelancaran aliran darah dalam badan mereka," ujarnya.

Tambah Baney, teknik ini melibatkan sentuhan manusia kerana ia penting dan setiap orang memerlukannya.

Dengan teknik yang betul, katanya, boleh meredakan kesakitan, memberi ketenangan serta mengurangkan tekanan.

Ia berbeza dengan senaman menggunakan mesin, penjaga yang terdiri daripada ahli keluarga pesakit tidak dapat berinteraksi dan bersentuhan.

Sentuhan membantu pesakit strok



Kaedah senaman atau fisioterapi akan menjadi lebih berkesan sekiranya penjaga mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang pesakit strok.


PANIK dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Begitulah reaksi jika ada antara ahli keluarga anda tiba-tiba diserang strok. Insan yang tersayang kini tidak mampu bergerak mahupun menguruskan diri.

Oleh kerana itu, sokongan dan bantuan emosi dari keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu proses pemulihan pesakit strok.

Selain itu, kemahiran yang betul dapat membantu pesakit strok pulih dan berasa lebih selesa.

Bagi membantu orang perseorangan mempelajari teknik penjagaan pesakit strok, sebuah pusat dikenali dengan nama Akademi Energy menawarkan kursus yang berkaitan.

Pengasasnya, Datin Ramona Suleiman memberitahu, pengalaman menjaga ibunya yang diserang strok memberi idea kepadanya untuk menganjurkan kursus tersebut.

Kebetulan Pengarah Eksekutif Akademi Energy, Rahatul Baney bersetuju dengan cadangan tersebut. Ini kerana ramai pesakit strok kurang selesa disebabkan penjaga mereka tidak tahu apa sebenarnya keperluan pesakit.

Akademi itu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin mengikuti kursus penjagaan khusus untuk pesakit strok dan diabetes.

"Rupa-rupanya di Malaysia tidak ada kursus yang dijalankan secara profesional tentang penjagaan pesakit strok. Kebanyakan penjaga tidak mempunyai pengalaman. Keadaan ini menyebabkan pesakit tidak selesa," jelasnya Datin Ramona.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan penjaga adalah pemeriksaan darah, mengemas katil pesakit, memindahkan pesakit dari kerusi roda ke katil dan senaman seperti fisioterapi.

Berkongsi pengalamannya, Ramona memberitahu tidak mudah menjaga pesakit strok. Apatah lagi jika pesakit mempunyai berat badan yang lebih daripada penjaga mereka.

"Namun, saya yakin jika kita melakukannya dengan teknik yang betul, kita dapat memberi keselesaan kepada pesakit. Mereka akan lebih positif dan bersemangat," jelasnya.

Antara silibus menarik di akademi itu adalah mempelajari senaman yang betul untuk pesakit strok.

Bagi Baney pula, kaedah senaman atau fisioterapi akan menjadi lebih berkesan sekiranya penjaga mempunyai pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang pesakit strok.

"Ini penting untuk diadaptasikan dengan teknik senaman yang memberi keselesaan kepada pesakit strok. Dalam masa yang sama, kita boleh membantu pelancaran aliran darah dalam badan mereka," ujarnya.

Tambah Baney, teknik ini melibatkan sentuhan manusia kerana ia penting dan setiap orang memerlukannya.

Dengan teknik yang betul, katanya, boleh meredakan kesakitan, memberi ketenangan serta mengurangkan tekanan.

Ia berbeza dengan senaman menggunakan mesin, penjaga yang terdiri daripada ahli keluarga pesakit tidak dapat berinteraksi dan bersentuhan.