Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

9.12.08

Gingko untuk otak dan telinga


“SAYA berminat untuk mencuba suplemen gingko sebagai suplemen harian. Saya berusia 57 tahun dan bermasalah dengan telinga berdengung. Ahli farmasi ada menyatakan bahawa pengambilan gingko bermanfaat untuk otak. Diharap maklumat daripada pihak tuan dapat membantu saya dalam membuat pilihan dan adakah pada usia begini sudah terlewat untuk saya mengambil suplemen?,’’

Jawapan:

Walau apapun usia kita, masih belum terlambat untuk memulakannya. Ini kerana terdapat banyak kajian yang menunjukkan pengambilan makanan tambahan bermanfaat untuk memperbaiki tahap kesihatan. Contohnya, kajian klinikal ke atas gingko mendapati bahawa ia bermanfaat kepada mereka yang menghidap Alzheimer (masalah otak yang menjejaskan keupayaan seseorang dari segi ingatan, pemikiran dan percakapan) yang banyak menjejaskan mereka yang berusia lanjut.

Berdasarkan kajian, pengambilan sebanyak 120 hingga 240 miligram (mg) gingko sehari selama tiga hingga enam bulan memberi kesan yang signifikan ke atas fungsi kognitif di kalangan penghidap Alzheimer. Keberkesanannya adalah setanding dengan donepezil, ubat yang digunakan dalam rawatan penyakit Alzheimer.

Tinitus atau masalah telinga berdengung boleh dikaitkan dengan banyak faktor seperti jangkitan, pengumpulan tahi telinga yang serius, kecederaan kepala dan leher, pengambilan ubat tertentu dan juga penyakit kardiovaskular (arteri-arteri kecil yang menghala ke bahagian dalaman telinga boleh tersumbat dengan kolesterol yang boleh menjejaskan pendengaran).

Selain itu, elakkan daripada terdedah kepada bunyi yang kuat secara berterusan. Pendedahan kepada bunyi kuat merosak dan memusnahkan sel rerambut yang dipanggil silia dalam telinga. Bunyi yang kuat juga boleh menjadikan arteri kejang dan mengurangkan bekalan darah ke koklea.

Mereka yang menghidap tinitus juga memperoleh manfaat dengan pengambilan gingko. Dalam ujian ke atas 103 orang penghidap tinitus peringkat awal, 50 peratus daripadanya memperoleh perubahan positif atau simptom tinitus semakin hilang dalam masa 70 hari berbanding kumpulan plasebo.

Rambut sihat perlukan nutrien


“RAMBUT saya mengalami keguguran yang agak serius dan tidak bermaya. Dengan bantuan rawatan rambut, saya memperoleh kesan yang lebih baik. Adakah suplemen yang dapat membantu saya melengkapkan rawatan sedia ada dan menyihatkan rambut?,’’

Jawapan:

Rambut yang sihat memerlukan nutrien yang mencukupi untuk menyuburkan folikel rambut. Stres, diet yang tidak seimbang, perubahan hormon (yang banyak dialami semasa kehamilan), jangkitan kulat pada kulit kepala dan sesetengah penyakit seperti lupus, rawatan kemoterapi boleh menyumbang kepada keguguran rambut.

Namun begitu, ia juga mungkin disebabkan oleh kekurangan nutrien dan juga faktor genetik. Tanpa rawatan ia boleh menjurus kepada masalah botak. Dengan itu, adalah penting untuk mengenalpasti punca masalah terlebih dahulu.

Mineral zink penting dalam mencegah keguguran rambut dan menguatkan akar rambut. Ia merangsang pertumbuhan rambut yang sihat dan mungkin memperlahankan keguguran rambut.

Memandangkan zink boleh memainkan peranan untuk meningkatkan fungsi tiroid, ia juga mungkin bermanfaat untuk mereka yang mempunyai masalah kuku yang rapuh atau kekurangan rambut akibat tiroid kurang aktif. Dalam masa yang sama, mengambil vitamin dan mineral juga bermanfaat untuk mencegah keguguran rambut.

Pengambilan vitamin B kompleks juga mungkin membantu terutamanya jika ia berpunca daripada stres yang berpanjangan dan kekurangan nutrien. Tingkatkan pengambilan ikan, khususnya ikan dengan asid lemak yang ditangkap dari perairan sejuk seperti makerel dan salmon yang tinggi dengan kandungan asid lemak omega-3.

Legakan iritasi mata dengan bilberi


“MATA saya mudah berair dan kering yang mendatangkan ketidakselesaan. Adakah ini menunjukkan mata saya memerlukan nutrien tambahan untuk fungsi yang lebih abaik?

Atau adakah ia berkait rapat dengan kerja saya yang memerlukan penggunaan komputer sepanjang masa dan juga tabiat gemar menonton televisyen?,’’

Jawapan:

Mata boleh terbeban apabila kita terlibat dengan aktiviti yang memerlukan penumpuan mata seperti menonton televisyen atau menggunakan komputer untuk suatu tempoh yang lama. Sekiranya keadaan ini berterusan, mata mudah mendapat iritasi seperti mata yang kering, pedih dan letih.

Tanpa usaha mengelak iritasi, ia boleh mendatangkan ketidakselesaan, kurang daya tumpuan dan menjejaskan produktiviti. Elakkan merenung skrin komputer terlalu lama. Jarakkan juga penglihatan daripada televisyen pada anggaran yang selamat.

Rehatkan mata dengan lebih kerap bagi mengurangkan tekanan pada mata dengan memejamkannya selama beberapa ketika atau dengan melakukan senaman mata. Antara senaman mata yang boleh dilakukan ialah dengan menggerakkannya dalam gerakan membulat tanpa menggerakkan kepala.

Formulasi herba yang menggabungkan ekstrak buah bilberi, herba Eyebright dan ekstrak Lycium, sangat baik untuk penjagaan mata. Ekstrak bilberi mengandungi paras bioflavonoid yang tinggi terutamanya antosianin, iaitu sejenis antioksida yang berkesan dan penting untuk kesihatan mata dan tisu vaskular.

Ekstrak bilberi terbukti boleh mempercepatkan pemulihan semula rodopsin iaitu pigmen yang sensitif pada cahaya. Rodopsin terdapat pada bahagian rod retina dan terlibat dalam memperbaiki ketajaman penglihatan dalam cahaya yang malap.

Eyebright pula ialah sejenis lagi herba yang terkenal untuk merawat masalah penglihatan dan jangkitan mata seperti konjuntivitis, melegakan rasa tidak selesa, iritasi, kegatalan dan kemerahan. Ianya kaya dengan beta-karotena yang penting untuk mata yang sihat. Sebagai sumber karotenoid, Lycium membantu memperbaiki rabun malam dan penglihatan yang kabur.

Pemakanan juga boleh membantu dalam penjagaan mata. Adalah digalakkan untuk meningkatkan pengambilan sayur-sayuran hijau dan segar secara mentah. Aprikot, mangga, beri biru, lobak merah dan keladi adalah contoh buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh membantu meningkatkan tempoh daya penglihatan yang baik. Kesemuanya kaya dengan vitamin A bagi menyihatkan mata dan mencegah mata dari mudah menjadi letih, gatal, sensitif pada cahaya dan rabun malam.

Mengenal pasti jika anak anda mengambil dadah


IBU bapa kadang-kala berkata, mereka langsung tidak menyedari anak mula mengambil minuman beralkohol dan najis dadah.

Ini adalah kerana mereka tidak menyedari petunjuk yang ada di sekitar mereka. Jangan biarkan ini berlaku kepada anda.

Berikut merupakan beberapa tanda yang anda perlu cari:

1. Kesan melalui deria bau

Anak remaja anda masuk ke dalam rumah pada malam hujung minggu selepas menghabiskan masa dengan rakan-rakan. Bagaimana anda mengenal pasti sama ada dia telah minum atau menghisap rokok?

Cuba memulakan perbualan dengan anak anda tetapi bukan dengan menjerit dari jauh (menerusi beberapa bilik) atau dalam bilik tertutup, tetapi dengan perbualan secara langsung.

Anda juga perlu berasa sangsi jika anak anda masuk ke dalam rumah dengan mengunyah gula-gula getah, nafas berbau pudina, ataupun anda mencium bau losyen yang baru sahaja digunakan. Anak anda mungkin cuba menyembunyikannya dengan haruman tersebut.

2. Teliti lebih dekat

Jika anak remaja anda menggunakan atau menyalahgunakan bahan haram, terdapat bukti visual yang boleh dikesan.

Cuba teliti mata anak anda, ia boleh menunjukkan tanda sebarang penggunaan bahan dadah.

Jika anak anda mengambil ganja, matanya akan menjadi merah dan anak mata akan mengecil.

Jika anak anda mengambil alkohol, anak mata akan membesar, dan dia mungkin menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan.

Selain daripada itu, alkohol turut memberi kesan dengan menyebabkan muka dan pipi menjadi merah.

Penggunaan suntikan dadah meninggalkan tanda, kebiasaannya di tangan, tetapi ia juga mungkin terdapat di kaki.

Menghidu kokain menyebabkan hidung berdarah dan lama-kelaman akan mengikis septum di dalam hidung.

Jika terdapat tanda terbakar di bibir atau jejari anak anda, dia mungkin menghisap bahan mengkhayalkan melalui kaca panas atau paip besi.

Lebam atau tanda di sekeliling mulut di samping tanda cat di badan atau pakaian, bau kimia atau hidung selesema juga menunjukkan penggunaan ubat sedut atau inhalan iaitu amalan menghidu asap daripada bahan kimia untuk khayal.

Pil ekstasi menyebabkan kesakitan gigi, meningkat rangsangan dan kehilangan kepekaan kepada persekitaran.

Cuba juga mengenal pasti tanda-tanda ketaksuban (peka) terhadap cahaya dan bunyi, pengambilan air berlebihan dan bertindak keanak-anakan.

3. Perubahan mood

Cuba lihat sebarang perubahan terhadap mood anak anda. Bagaimana keadaannya? Adakah anak anda membuat bising dan kecoh, atau ketawa mengilai tanpa sebab.

Adakah anak anda menunjukkan kemarahan, dan letih tanpa sebab sepanjang malam? Adakah dia kelihatan tidak sihat dan terjatuh dalam bilik air?

Ini merupakan tanda-tanda yang menunjukkan mereka berkemungkinan menggunakan bahan haram seperti alkohol, ganja, dan sebagainya.

Anda juga perlu memberi perhatian terhadap kelakuan anak remaja anda pada setiap masa.

Jika dia menjadi pendiam, marah, kurang berkomunikasi yang berlangsung selama lebih kurang beberapa minggu, kemungkinan sesuatu telah berlaku kepada anak anda.

Anak anda berkemungkinan menjadi marah jika anda cuba membantu dan dengan tegas meminta anda tidak mengganggu, tetapi anda perlu mengetahui apakah yang sedang berlaku.

Walaupun terdapat pelbagai alasan yang menyebabkan anak anda merasa naik angin, anda perlu mempertimbangkan kemungkinan yang dia telah menunjukkan tabiat penggunaan bahan larangan.

4. Kemalangan kereta

Bagi kebanyakan remaja yang lebih dewasa, kenderaan mereka adalah kehidupan mereka.

Jika anda mengesyaki bahawa anak anda menggunakan dadah, cuba periksa kereta mereka untuk sebarang petunjuk.

Jika anda berasa syak-wasangka, periksa dalam kenderaan mereka; kebanyakan anak remaja malas membersih dan mengemaskan kereta mereka.

Adakah bahagian dalaman kenderaan berbau asap ganja atau alkohol? Adakah terdapat sebarang botol, paip, paip air atau dadah jenis paraphernalia di lantai kereta dan disorokkan di dalam laci kereta?

Jika anda menjumpai sesuatu, bersemuka dengan anak anda dengan segera; berterus-teranglah dan beritahu anak anda apa yang anda temui dan kenapa anda berasa bimbang.

5. Penipuan atau berahsia

Tiba-tiba anda mendapati anak-anak yang jujur mula menipu setiap masa. Rancangan pada petang hari dan hari minggu mula kelihatan meragukan.

Anak anda sama ada tidak pasti ke mana hala tujunya atau alasan yang tidak kukuh (anak anda tidak mampu menceritakan wayang yang baru ditontoni, atau rakan yang sepatutnya keluar dengan anak anda telah menelefon dan mencari anak anda).

Malah, jika anda menemui sebarang penggunaan bahan mengkhayalkan (satu tin bir atau rokok ganja dalam bilik anak anda), anak anda mungkin mempunyai seseorang atau sesuatu yang lain untuk dipersalahkan.

Apabila sebarang alasan gagal, anak anda membalas pertanyaan dan kebimbangan anda dengan memberitahu ia bukan masalah anda.

Sesuatu pasti telah berlaku, dan anda perlu mengenal pasti apakah yang disembunyikan oleh anak anda.

6. Kurang motivasi

Gred anak anda semakin menurun dan tiada alasan jelas mengenai puncanya. Dia memberi penjelasan yang sukar dipercayai dan memberi jaminan kepada anda bahawa dia boleh mengendalikan situasi tersebut, tetapi gagal mengatasinya.

Dia mungkin ponteng kelas dan mengabaikan masa untuk menyiapkan kerja rumah. Dia juga kelihatan hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti lain.

Anda menerima panggilan daripada guru, jurulatih, guru besar, kesemuanya menyatakan perkara yang sama iaitu anak remaja anda ponteng kelas, aktiviti atau latihan, dan apabila dia menghadiri kelas-kelas tersebut, dia langsung tidak menunjukkan sebarang usaha.

Ini boleh menunjukkan tanda masalah penyalahgunaan bahan larangan, di mana keinginan untuk mabuk atau khayal telah menjadi keutamaan dalam hidup anak anda.

7. Kehilangan alkohol, rokok, duit atau barang berharga

Bagi remaja yang ingin mabuk atau membeli dadah, rumah ibu bapa boleh menjadi sumber utama sebagai punca wang tunai.

Sesetengah ibu bapa menyimpan beberapa jenis minuman beralkohol dalam rumah, sama ada tin bir, botol wain, atau kabinet yang merupakan tempat meletak pelbagai jenis arak.

Jika mereka memerlukan duit untuk membeli dadah, mereka akan mula menyelongkar dompet ibu bapa, mencuri duit, atau mencuri barang-barang berharga seperti barang kemas untuk dipajak atau dijual.

Anda juga perlu memantau jumlah alkohol dalam rumah anda. Jika anda menyedari terdapat botol arak yang hilang atau arak yang dicairkan dengan air, anda perlu mengunci tempat tersebut supaya anak remaja anda tidak boleh mendapatkannya.

Maklumkan kepada anak anda bahawa anda mengetahui apa yang sedang berlaku dan anda tidak akan bertoleransi dalam tabiatnya mencuri daripada anda.

8. Masalah aliran tunai

Anda menyedari sesuatu berlaku apabila duit anda mula hilang. Terdapat kaedah berkaitan wang tunai yang boleh mengesan masalah ini.

Sudah tentunya, dadah dan alkohol membabitkan wang, malah dadah yang tidak begitu mahal juga lama-kelamaan akan menyebabkan kehilangan duit.

Kemungkinan anak anda menggunakan wangnya sendiri (elaun, gaji dan bantuan, apa sahaja) untuk membeli dadah tersebut.

Pada masa sama, jika dia tiba-tiba mempunyai lebih banyak duit untuk pakaian, cakera padat, atau barang-barang lain, menjangkaui apa yang mampu dimilikinya, beri pertimbangan bahawa anak anda mungkin mengedar dadah. Dalam situasi sebegini, memeriksa bilik anak anda mungkin dapat menjelaskannya.

9. Perubahan rakan taulan

Anda menyedari bahawa anak remaja anda melepak dengan kumpulan yang berbeza. Adalah perkara biasa bagi para remaja untuk mendapat kawan baru, tetapi malangnya rakan-rakan baru ini membimbangkan anda.

Kemungkinan rakan-rakan baru ini adalah lebih berumur dan kelihatan lebih nakal dan berdikari, dengan kurang pengawasan ibu bapa dan kurang berminat di sekolah.

Walau apapun kesnya, anak remaja anda berkemungkinan akan mempertahankan pilihan rakan sebaya mereka, dengan menyatakan kawan baru tersebut lebih menyeronokkan dan memahami.

Tetapi, jika anda berasa sangsi dengan apa yang mereka lakukan, pantau dan perhatikan mereka dan ikutlah naluri anda.

Pedih ulu hati ketika hamil


SAKIT atau rasa tidak selesa adalah lumrah yang harus dialami oleh semua wanita hamil. Alahan, sakit belakang, sembelit, pening kepala dan sebagainya merupakan antara simptom yang tidak boleh dielakkan.

“Sebutkan saja penyakitnya, ibu hamil pasti akan merasainya,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar.

Meski pun begitu, kata beliau yang juga pemilik Pusat Perubatan Primanora, kehamilan adalah salah satu tempoh yang cukup menggembirakan buat semua wanita dan mereka akan melupakan semua kesakitan tersebut sejurus melihat wajah comel lahir ke dunia.

Menurutnya, semua ketidakselesaan yang dialami adalah disebabkan perubaha dari segi fizikal, hormon dan emosi.

Salah satu ketidakselesaan yang banyak dialami oleh wanita hamil adalah masalah pedih ulu hati yang disebabkan peningkatan paras hormon estrogen dan progesteron.

Perubahan hormon ini juga menyebabkan mood berubah terutama ketika trimester pertama dan terakhir.

Sebanyak 10 peratus wanita mengandung terdedah kepada kemurungan kehamilan. Simptom termasuk sukar memberi tumpuan dan tidur, letih melampau, cepat marah dan kerisauan.

Dalam keadaan ini, wanita hamil memerlukan sokongan daripada suami dan keluarga serta perlu sentiasa positif.

Apakah pedih ulu hati?

Menurut Dr. Nor Ashikin, sehingga 75 peratus wanita hamil mengalami pedih ulu hati.

“Ia berlaku apabila kandungan dalam perut ditolak kembali ke esofagus (saluran makanan) menyebabkan ia dalam keadaan terapung (reflux), lalu mengganggu lapisan lembut dalam saluran tersebut,” jelasnya.

Bagi wanita hamil, peningkatan hormon kehamilan menyebabkan otot sfinkter esofagus bawah (LES) mengendur antara esofagus dan perut. Tekanan di dalam abdomen yang meningkat sejajar dengan perkembangan bayi menyebabkan kandungan perut mudah ditolak semula ke esofagus.

Mereka yang mengalami pedih ulu hati akan berasa pedih pada bahagian atas dada, perut tidak selesa, sukar menelan, kandungan makanan ditolak kembali, rasa pahit atau asid dalam mulut.

“Pedih ulu hati yang kronik boleh mengganggu tidur dan menjejaskan selera makan,” ujar Dr. Nor Ashikin.

Bagaimana merawat pedih ulu hati:

1. Antasid.

Ia bertindak meneutralkan asid perut, namun jika diambil dalam kuantiti berlebihan boleh menyebabkan sembelit (elakkan penyediaan yang mengandungi sodium atau aluminium). Rawatannya pantas tetapi dalam bentuk jangka pendek.

2. Penghalang H2, penyekat pam proton (pengurang asid)

Ia menyerap ke dalam saliran darah untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut. Tetapi kaedah ini tidak disyorkan ketika mengandung.

3. Alginates

Dihasilkan daripada rumpai laut coklat iaitu laminaria hyperborea. Ia tidak diserap dalam saluran darah dan disahkan secara klinikal memberi kelegaan untuk pedih ulu hati ketika mengandung. Contoh ubatan yang mengandungi alginates adalah Gaviscon.

Alginate menghasilkan satu penghalang kuat yang seakan terapung apabila ia bertemu asid perut. Kandungan apungan di bahagian atas menghalang asid daripada bertemu dengan esofagus.

Apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan pedih ulu hati?

1. Ambil hidangan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.

2. Kunyah dengan perlahan setiap kali makan. Jangan tergopoh-gapah.

3. Elakkan makanan mengandungi rempah, pedas, menggunakan banyak perasa, berlemak, coklat, alkohol, kafein dan berpudina.

4. Pakai pakaian yang longgar di sekitar perut.

5. Duduk dengan selesa. Jangan lakukan pergerakan seperti melipat badan yang menyebabkan bahagian perut diasak.

6. Jangan membongkok ketika mengambil barang.

7. Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki secara sederhana.

8. Elakkan berbaring atau tidur dalam masa dua jam selepas makan.

9. Jangan merokok.

10. Biarkan minuman panas sejuk sebentar sebelum diminum.

11. Tangani stres dengan tenang.

12. Cuba kawal pertambahan berat badan. Dapatkan berat badan seperti yang disyorkan.

Ibu sejahtera, bayi sihat.

Ibu-ibu hamil perlu menjaga kesihatan diri dan lebih proaktif dalam memahami perkara yang berkaitan dengan kehamilan mereka.

“Jaga pengambilan nutrien anda, pengambilan vitamin dan suplemen ketika hamil amat penting iaitu asid folik, multivitamin dan kalsium.

“Dengan menjaga kesihatan diri, anda juga menjaga kesihatan bayi dari mula konsepsi hingga ia dilahirkan. Ini adalah permulaan terbaik yang boleh diberi oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka,” kata Dr. Nor Ashikin lagi.

Berkhatan elak AIDS


Pendedahan bahawa berkhatan boleh mengurangkan risiko dijangkiti virus HIV sehingga 60 peratus menyebabkan ribuan lelaki Swaziland mencuba teknik itu.




NELSON MDLOVU melangkah keluar dari sebuah klinik dengan loncatan kecil dan senyuman di bibirnya, hanya beberapa minit selepas dikhatankan.

Mdlovu memberanikan dirinya dengan beratur bersama sembilan lelaki yang sama gementar sepertinya untuk pembedahan selama 30 minit itu.

Mereka adalah antara ratusan lelaki Swazi yang telah memilih untuk berkhatan, selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu menyatakan bahawa tindakan itu boleh mengurangkan risiko menghidap virus HIV sehingga 60 peratus.

Dengan bantuan latihan daripada pakar bedah dari Israel, Swaziland kini mendahului jutaan rakyat Afrika yang mencuba satu pembedahan purbakala itu.

Minat besar itu lahir daripada keadaan terdesak. Swaziland merupakan negara yang mempunyai kadar tertinggi AIDS dunia - hampir 40 peratus wanita mengandung dan 19 peratus daripada 1.1 juta populasinya yang dijangkiti penyakit tersebut.

Mdlove berkata, beliau merasakan semua itu akan mengubah hidupnya.

Namun demikian, terdapat ketakutan bahawa 'luka kebaikan' itu sebenarnya sebuah pedang bermata dua, sekiranya lelaki menipu diri mereka bahawa berkhatan akan memberikan mereka imuniti dan mengamalkan aktiviti seksual berisiko.

"Ia tidak bermakna anda dilindungi 100 peratus," kata jururawat Prudence Mkhatshwashe kepada para lelaki yang sedang memegang nombor giliran dalam bilik menunggu yang baru dicat itu.

"Anda hanya 60 peratus dilindungi dan anda boleh dijangkiti dengan baki 40 peratus lagi."


JUMLAH mereka yang hidup dengan HIV/AIDS di benua Afrika sudah menjadi epidemik yang menakutkan.


Dengan intonasi yang tegas sebelum memberikan arahan penjagaan dan kebersihan seperti tidak boleh berlari dan bermain bola sepak serta yang paling penting, tiada seks selama enam minggu sehingga luka pulih sepenuhnya, Mkhatshwashe berkata: "Sentiasa gunakan kondom. Jangan sesekali berkompromi."

Keadaan itu berulang setiap hari di klinik yang dikendalikan oleh Persatuan Kehidupan Keluarga Swaziland.

Epidemik AIDS telah mengundurkan kesemua keuntungan ekonomi dan sosial yang diterimanya sejak kemerdekaan yang dicapai daripada British, 40 tahun lalu.

Berkhatan beramai-ramai, yang memerlukan kehadiran seorang pakar bedah dan anestetik, akan menambah permintaan tambahan untuk fasiliti yang sememangnya telah terlalu padat di sebuah negara yang hanya mempunyai 170 orang doktor.

Tetapi kedua-dua kerajaan dan persatuan keluarga itu bertekad untuk meneruskan usaha itu dengan berkata manfaat daripada pembedahan itu akan melebihi kos yang perlu ditanggung.

"Sekiranya anda mempunyai vaksin dengan kadar efektif 60 peratus, setiap kerajaan akan memaksa rakyatnya beratur dan melakukannya," kata Derek von Wissel, Pengarah Jawatan kuasa Respons Kecemasan Terhadap HIV/AIDS Swaziland.

Berkhatan di benua sub-Sahara Afrika boleh mengelakkan 5.7 jangkitan baru dan tiga juta kematian dalam jangka masa 20 tahun, menurut sebuah kajian model yang dipetik PBB.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan agensi-agensi lain sedang mencuba untuk membekalkan sokongan teknikal kepada kerajaan Swaziland.

Pasukan-pasukan pakar bedah Israel - yang telah mengkhatankan ribuan lelaki dewasa seiring dengan tradisi keagamaan semasa migrasi beramai-ramai rakyat Yahudi daripada bekas negara Soviet - telah melatih 10 orang doktor Swazi dan kakitangan sokongan bagaimana untuk melakukan pembedahan itu dengan cepat dan selamat walaupun sumber yang terhad.

Inon Schenker, yang mengkoordinasi misi Israel ke Swaziland, berkata organisasinya - Projek AIDS Jurusalem - mempunyai beberapa dozen pakar bedah yang bersedia untuk membantu negara-negara Afrika meningkatkan jumlah lelaki berkhatan.

Swaziland merupakan satu-satunya negara di mana warga Israel itu ditugaskan, sungguhpun mereka telah menerima permintaan dari Rwanda, Namibia dan Zambia serta beberapa buah negara lain.

Dianggarkan 665 juta lelaki, atau 30 peratus jumlah masyarakat dunia, berkhatan mengikut amalan agama dan budaya.


BERKHATAN antara teknik untuk mengurangkan risiko jangkitan HIV.


Tetapi di Swaziland dan pelbagai negara selatan Afrika, amalan itu amat jarang dilakukan.

Guntingan kulit khatan itu hanyalah satu bahagian kecil daripada pakej pencegahan AIDS yang lebih meluas, termasuk ujian, kaunseling dan promosi mengenakan kondom ketika seks.

Di kebanyakan negara Afrika - termasuk Swaziland - kurang daripada 10 peratus golongan lelakinya menjalani ujian pengesanan AIDS.

WHO dan UNIADS pada tahun lalu telah mengesyorkan lelaki yang positif HIV tidak berkhatan.

Tetapi, Kim Eva Dickson, seorang pakar pencegahan HIV di WHO berkata negara-negara yang menawarkan perkhidmatan berkhatan hanya boleh menggalakkan lelaki terbabit mengambil ujian pengesanan AIDS terlebih dahulu dan bukannya memaksa mereka.

"Apa yang cuba kita elakkan ialah lelaki yang berkhatan berfikiran bahawa mereka negatif HIV," katanya sambil menambah kepentingan penyebaran mesej yang sama kepada golongan wanita juga.

Sterilisasi selepas bersalin


PUAN mungkin pernah mendengar perkataan ‘ikat salur peranakan’ sekiranya sudah mengalami proses bersalin melalui pembedahan sebanyak tiga kali.

Sebenarnya prosedur ini dinamakan sterilisasi dan ianya satu prosedur pembedahan untuk menghalang puan mengandung lagi.

Prosedur sterilisasi ini dilakukan dengan keizinan puan dan direstui oleh suami. Ianya dilakukan sama ada secara pembedahan iaitu ketika bersalin secara pembedahan, selepas bersalin ataupun secara laparoskopi.

Sterilisasi menghalang dari berlakunya persenyawaan di antara benih telur dan sperma. Prosedur ini tidaklah begitu rumit tetapi mengambil sedikit masa untuk dijalankan. Sebenarnya sterilisasi suami adalah lebih cepat dan lebih selamat untuk mengelakkan daripada mengandung.

Sebelum puan serta suami mengambil keputusan menjalani sterilisasi, seharusnya puan mengetahui bagaimana sterilisasi dilakukan, kebaikan prosedur yang dipilih dan juga risiko-risiko yang berkaitan dengan prosedur berkenaan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa keputusan ini perlu dibincangkan serta dibuat sebelum kelahiran bayi. Jangan membuat keputusan secara mendadak!

Sistem pembiakan wanita berada di dalam badan dan berbeza dengan sistem pembiakan lelaki yang berada di luar badan.

Puan mempunyai dua ovari yang bersilih bulan mengeluarkan benih (ovulasi) yang akan disenyawakan di tiub falopian oleh sperma yang berenang di dalam tiub tersebut.

Lazimnya, sekiranya kitaran haid puan teratur, ovulasi berlaku antara 12 hingga 14 hari sebelum bermulanya kitaran haid yang berikutnya.

Sekiranya benih tidak disenyawakan, ianya mereput dengan sendiri. Paras hormon yang menguatkan dinding dalaman rahim akan menurun dan ini memberi isyarat pada dinding dalaman rahim supaya gugur sebagai pendarahan haid.

Sekiranya hubungan kelamin berlaku sekitar tarikh ovulasi, benih yang dikeluarkan akan disenyawakan oleh sperma, yang berenang melalui pangkal rahim ke dalam rahim dan memasuki tiub falopian untuk bertemu dengan benih pada bulan tersebut.

Benih telur yang disenyawakan akan diimplantasikan pada dinding rahim dan akan membesar sebagai janin.

Proses sterilisasi adalah kekal dan sukar untuk dikembalikan kepada fungsi asal. Oleh itu puan perlulah nekad dan pasti semasa memilih keputusan ini.

Hubungan kelamin dan fungsi organ kelamin juga tidak akan terjejas. Puan serta suami seperti biasa boleh menikmati hubungan kelamin tanpa memikirkan masalah mengandung secara tidak sengaja.

Ditegaskan di sini, sterilisasi tetap tidak melindungi puan daripada penyakit tularan seksual (STD) mahupun penyakit yang menghasilkan keradangan pada sistem pembiakan.

* Membuat keputusan

Keputusan yang dibuat adalah satu keputusan yang penting. Walaupun kebarangkalian untuk mengandung dari prosedur ini adalah teramat kecil, prosedur ini haruslah dianggap sebagai ‘berkekalan’ dan sukar untuk ‘berpatah balik’.

Puan serta suami perlu bermuafakat bahawa bilangan ahli keluarga sudah mencukupi dan tidak akan ada pergolakan atau penambahan lagi kelak.

Hubungan suami isteri hendaklah stabil. Sekiranya ada was-was serta kesukaran permuafakatan atau penerimaan, masih terdapat banyak kaedah kontraseptif lain yang berkesan dan boleh digunakan.

Sebelum membuat keputusan, puan perlulah mengetahui risiko dan kebaikan berkaitan prosedur yang dipilih, serta pilihan-pilihan lain yang ada.

Berapa lama puan harus berada di hospital? Jika di hospital swasta, berapa kosnya dan juga berapa lama harus puan menjauhi aktiviti sosial serta riadah?

Sebenarnya sterilisasi pada suami iaitu vasektomi, lebih senang, ringkas dan kurang berisiko berbanding dengan kaedah sterilisasi pada isteri.

Walaupun keputusan perlu dibincangkan, keputusan muktamad adalah di tangan tuan punya badan.

Jangan membuat keputusan terburu-buru, semasa dalam ketegangan perhubungan atau semasa kandungan bermasalah.

Jangan membuat keputusan kerana dipaksa atau terpaksa. Berbincanglah dengan doktor pakar perbidanan yang akan melakukan prosedur tersebut terlebih dahulu.

* Berubah fikiran

Ingatlah bahawa prosedur sterilisasi ini satu prosedur elektif (pilihan). Segala keputusan adalah di tangan puan.

Sekiranya masih kurang yakin, walaupun pada hari pembedahan itu sendiri, maklumkan kepada doktor, dan sterilisasi boleh dibatalkan.

Ada yang menyesal apabila selesai menjalani sterilisasi, terutamanya mereka yang berumur kurang daripada 30 tahun. Begitu juga mereka yang membuat keputusan terburu-buru semasa institusi perkahwinan mengalami keretakan serta permasalahan, atau membuat keputusan akibat dipaksa atau tertekan (terpaksa).

Sekiranya sterilisasi telah dilakukan dan puan ingin mengembalikan fungsi tiub falopian, terdapat kemungkinan prosedur membaik pulih akan gagal di samping pembedahan mengambil masa yang lama.

Sekiranya ada kejayaan, ini bergantung kepada:

* Jenis sterilisasi

* Umur semasa pelaksanaan sterilisasi

* Panjang berbaki tiub setelah sterilisasi

Katakanlah membaik pulih tiub berjaya dilakukan, peratusan mengandung juga tidak lagi seperti sebelum sterilisasi dilakukan, dan berkemungkinan masalah mengandung di luar rahim boleh berlaku.

Kebiasaannya, prosedur sterilisasi dilakukan dalam masa satu hingga dua hari selepas bersalin. Walaupun begitu, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi keputusan masa prosedur dijalankan, termasuklah:

* Adanya masa serta doktor untuk melakukan prosedur tersebut.

* Kesihatan bayi yang dilahirkan.

* Kesihatan ibu setelah bersalin.

* Prosedur

Biasanya puan dimasukkan ke wad sehari sebelum ataupun pada pagi hari pembedahan (bergantung kepada polisi kemasukan wad hospital, termasuklah juga pada penelitian doktor bius dan doktor yang akan melakukan prosedur tersebut).

Jenis bius bergantung kepada sejarah kesihatan puan, pilihan puan sendiri dan juga atas penelitian doktor bius. Dalam sesetengah kes, prosedur dilakukan semasa pembedahan kelahiran.

Sekiranya kaedah pembedahan terbuka dilakukan, jenis bius mungkin secara keseluruhan dan juga secara separa iaitu dengan pembiusan spinal ataupun epidural. Dengan pembiusan separa, puan akan sedar sepanjang pembedahan tetapi tidak berasa sakit.

Sekiranya menggunakan laparoskopi pula, jenis pembiusan adalah jenis penuh dan puan tidak akan sedar sepanjang prosedur dijalankan.

Satu alat bantuan penglihatan khas akan dimasukkan melalui pusat, saiz kemasukan mungkin dari lima milimeter (mm) hingga kepada 10 mm.

Ini membantu doktor melihat dan mengenal pasti anatomi reproduksi dan kedua-dua tiub yang akan dipotong serta ‘diikatkan’ (ini bergantung pada kemudahan yang ada di hospital berkenaan). Prosedur ini memakan masa sekitar 30 minit.

* Kebaikan kaedah sterilisasi

Selepas prosedur, puan tidak perlu lagi mengamalkan mana-mana kaedah perancangan yang lain.

Aktiviti hubungan kelamin tidak terbantut serta tergendala, malah boleh dilakukan walaupun semasa hari-hari subur.

Kitaran haid juga tidak terganggu, tetapi sekiranya puan pernah mengamalkan penggunaan pil perancang keluarga, puan akan mendapati haid puan tidak lagi tetap serta jumlah darah haid mungkin tidak sedikit seperti masa-masa sebelum ini.

Selain itu, prosedur ini juga mungkin mengurangkan risiko kanser tertentu dan juga penyakit keradangan pinggul.

l Risiko

Mana-mana kaedah perancangan keluarga tetap ada kebarangkalian untuk mengandung, tetapi secara statistiknya, peluang itu adalah tipis.

Untuk kaedah sterilisasi ini, peratus kemungkinannya adalah satu dalam 100 untuk tempoh kitaran haid 10 tahun.

Perlu ditegaskan di sini, sekiranya puan tiba-tiba tidak datang haid untuk bulan tersebut, periksalah dengan ujian mengandung melalui air kencing kerana dikhuatiri berlakunya kandungan di luar rahim.

Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan ultrasound untuk kepastian. Di antara komplikasi-komplikasi lain yang mungkin dialami termasuklah:

* Pendarahan pada bahagian abdomen di mana pembedahan dilakukan.

* Pendarahan di dalam rongga abdomen.

* Jangkitan.

* Komplikasi dari pembiusan.

* Kecederaan pada usus dan juga pundi kencing.

* Kecederaan melecur elektrik pada kulit dan juga usus.

Komplikasi berkemungkinan meningkat sekiranya puan:

* Mempunyai penyakit kencing manis.

* Mempunyai sejarah pembedahan pada abdomen dan juga pinggul.

* Mempunyai penyakit paru-paru.

* Sejarah penyakit serta keradangan pada organ reproduksi.

* Mempunyai berat badan yang berlebihan mengikut umur serta ketinggian.

* Penjagaan susulan

Seperti mana-mana pembedahan, puan mungkin akan mengalami rungutan-rungutan seperti berikut:

* Ketidakselesaan ataupun sakit di bahagian pembedahan dan juga pada abdomen itu sendiri.

* Loya-loya serta mual dari ubat-ubat yang digunakan.

* Sakit pada hujung bahu.

* Rasa tidak selesa di dalam tekak, mungkin juga serak (ini sekiranya pembiusan menyeluruh digunakan).

* Kekejangan pada otot-otot.

* Rasa tidak selesa badan dan letih.

* Pening-pening lalat.

Biasanya rungutan ini akan hilang selepas 24 hingga 72 jam. Sebab itulah puan akan dibekalkan dengan ubat penahan sakit di dalam wad dan juga untuk kegunaan di rumah selepas keluar wad.

Pastikan tempat luka itu dicuci bersih dan dibiarkan kering. Sekiranya puan curiga akan proses penyembuhan pada luka pembedahan tersebut, segeralah berjumpa doktor.

Aktiviti harian boleh diteruskan seperti biasa. Kembali berjumpa doktor yang merawat mengikut arahan untuk pemeriksaan susulan.

Puan juga masih memerlukan pemeriksaan berkala lain seperti pemeriksaan payudara, ujian saringan ‘pap smear’ dan sebagainya.

Yang pastinya, hubungan kelamin akan lebih berwaja sebab puan tidak lagi perlu runsing serta takut akan mengandung secara tidak sengaja.

Bukan hanya rawatan kosmetik



GAMBAR dada dua pesakit pectus excavatum sebelum (kiri) dan selepas menjalani pembedahan prosedur Nuss (kanan).


NORMAL, tenggelam atau timbul? Berbanding golongan wanita, sebarang masalah struktur bentuk dada golongan lelaki lebih sukar dikesan, kecuali ianya amat menonjol.

Perbezaan pada struktur rangka dada (tersembul atau tenggelam) juga kurang diamati golongan lelaki kerana ramai yang memikirkan ianya normal bagi setiap individu mempunyai bentuk badan berbeza.

Ini turut diakui oleh individu dengan masalah bentuk dada berbeza dan rakan-rakannya yang tidak perasan akan sebarang perbezaan struktur, walaupun ketika mereka tidak berbaju selepas bermain bola sepak.

Dengan kadar satu dari setiap 1,000 kelahiran (kira-kira 30,000 kes), masalah struktur dada bukan sesuatu yang amat jarang berlaku, malahan mungkin semakin ramai menghidapinya berikutan kaitan dengan beberapa penyakit lain lagi.

Tambahan pula, ianya boleh membawa kepada masalah kesihatan kelak, terutamanya pada jantung dan paru-paru, jika tidak diberi rawatan sewajarnya.

* Pectus

Terdapat dua masalah struktur dada yang biasa ditemui iaitu dada tenggelam (pectus excavatum) dan dada tersembul (pectus carinatum). Kedua-duanya merupakan masalah struktur kerangka dada yang berkembang sejak lahir dan paling ketara pada usia remaja sebelum kekal bentuknya selepas tumbesaran badan berhenti.

Bagaimanapun, antara kedua-dua masalah struktur dada tersebut, pectus excavatum lebih banyak berlaku (90 peratus) dan merupakan abnormaliti dinding dada kongenital (sejak lahir) yang paling biasa berlaku.

Pakar Bedah dan Perunding Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Jeswant Dillon menjelaskan, pectus excavatum (PE) berkembang sejak lahir lagi dengan usia dan menyebabkan sternum (tulang dada) dan bahagian dalam dada tenggelam (pengalihan posterior).

“Ini menyebabkan dada kelihatan tenggelam (sedikit atau teruk). PE juga mungkin mempunyai pertalian keluarga dengan 35 hingga 45 peratus kes dilaporkan berlaku di dalam keluarga yang sama.

“Selain itu, PE juga lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dengan nisbah tiga penghidap lelaki berbanding satu penghidap wanita,” katanya.

Menurut beliau, PE yang turut dikenali sebagai dada cerobong, dada tenggelam, dada cengkung (lekuk) dan dada tukang kasut, paling jelas kelihatan selepas akil baligh ketika pembesaran remaja meningkat dengan pesat.

Masalah PE boleh menyebabkan dada tenggelam teruk, seterusnya mengganggu fungsi kardiovaskular (jantung dan salur darah), sistem pernafasan (paru-paru), dan juga pembesaran organ dalaman kelak. Ini bergantung kepada sejauh mana perkembangan masalah struktur ini dan berapa banyak tekanan yang dialami bahagian dalaman dada.

Pectus juga boleh membawa kepada gangguan psikologi terutamanya jika penghidap perasan akan perbezaan struktur dadanya dan mula berasa rendah diri apabila membandingkannya dengan rakan sebaya lain.

Punca sebenar pectus kurang difahami tetapi dikaitkan dengan faktor genetik, antaranya terdapat penghidap yang juga mengalami Sindrom Ehlers-Danlos, Sindrom Poland dan juga Sindrom Marfan (masalah genetik tisu penyambung).

Dr. Jeswant memaklumkan masalah PE boleh menyebabkan tekanan fizikal kepada jantung dan paru-paru dan mengganggu fungsi mengepam darah serta pernafasan.

“PE juga boleh menyebabkan peralihan jantung (yang berada di bawah tulang sternum) ke sisi dada sementara tekanan akibat dada yang tenggelam boleh mengganggu aliran darah daripada memenuhi ventrikel kanan jantung.

“Dada yang menjadi kurang anjal (fleksibel) dan menekan paru-paru pula memberi kesan kepada kadar pernafasan dan mengekang fungsi penuh sistem pernafasan,” ujarnya.

Tambahnya, penghidap PE juga sering kali menghadapi tekanan psikologi seperti rasa rendah diri, menjauhkan diri dari aktiviti sosial dan mengelakkan aktiviti yang akan mendedahkan dada mereka kepada umum.

l Kesan dan tanda

Bagi penghidap dewasa PE, ianya mungkin mudah dikesan dengan struktur dada yang jelas sekali tenggelam. Namun, bagi penghidap yang masih muda (kanak-kanak dan remaja), ianya mungkin tidak begitu jelas dan memerlukan beberapa ujian dilakukan sebagai pengesahan.

Dr. Jeswant menyatakan PE boleh disahkan dan juga ditentukan tahap (kedalaman) dada cengkung melalui ujian imbasan CT atau imbasan sinar-X.

“Imbasan sinar-X dapat menunjukkan struktur sternum dan rusuk cengkung ke dalam dan juga kecacatan tisu penyambung pada dada.

“Imbasan CT pula dapat menunjukkan lebih banyak lagi, sama ada jantung mengalami tekanan atau teralih dari kedudukannya,” jelasnya.

Selain itu katanya, imbasan CT juga dapat digunakan untuk kiraan indeks Haller bagi menentukan betapa teruk dada pesakit tenggelam. Sebarang bacaan indeks Haller melebihi 3.25 menandakan masalah pectus yang teruk.

Kesan PE kepada jantung boleh dikesan menggunakan ujian elektrokardiogram (ECG), untuk kehadiran arrhythmia (rentak denyut jantung abnormal), dan ekokardiogram untuk kehadiran masalah aliran darah memenuhi ventrikel kanan jantung.

Ujian fungsi pulmonori penghidap PE juga biasanya akan menunjukkan penurunan fungsi sistem pernafasan di bawah 80 peratus berbanding individu biasa.

* Bukan hanya

kosmetik

Dengan kebarangkalian menyebabkan masalah kesihatan dengan perkembangan PE, tekanan psikologi dan juga bagi membolehkan penghidap masalah ini menikmati hidup sepenuhnya, beberapa kaedah rawatan telah dan sedang diperkembangkan.

Terdapat beberapa faktor yang menentukan pesakit memerlukan rawatan (pembedahan) atau tidak iaitu gangguan fungsi badan seperti denyut jantung abnormal, kurang ketahanan bersenam, mudah letih, sakit dada dan belakang, serta jangkitan paru-paru berulang (pneumonia).

Dr. Jeswant menjelaskan, antara kaedah rawatan awal yang diperkenalkan untuk PE adalah prosedur Ravitch yang diperkenalkan pada 1949 dan memerlukan pembedahan terbuka yang besar.

“Prosedur ini sukar dan memerlukan hirisan besar pada dada pesakit, serta mengambil masa sehingga enam jam bagi mengeluarkan dan membentuk semula tulang dada.

“Pesakit juga berisiko kehilangan banyak darah, perlu tinggal lebih lama di hospital, lebih menyakitkan (selepas pembedahan) dan meninggalkan parut besar,” katanya.

Pembedahan besar ini biasanya dijalankan ke atas pesakit yang mengalami masalah kesihatan teruk akibat daripada PE. Di Malaysia, kebanyakan doktor dikatakan tidak gemar menjalankan prosedur ini, kecuali untuk kes yang teruk, berikutan kesan pembedahan ke atas pesakit.

Terkini, pembedahan Pembaikan Kurang Invasif Pectus Excavatum (MIPER) yang juga dikenali sebagai prosedur Nuss telah diperkenalkan di negara ini, dengan IJN sebagai perintis menjalankan prosedur tersebut ke atas dua penghidap PE berumur 14 dan 18 tahun.

Dr. Jeswant menjelaskan prosedur yang diperkenalkan Dr. Donald Nuss pada 1997 ini melibatkan satu pembedahan kecil dan kurang invasif untuk memasukkan bar besi tahan karat di bawah tulang dada pesakit.

“Satu bar besi tahan karat dimasukkan di bawah tulang dada pesakit untuk menolak tulang tersebut keluar dan membentuk semula bahagian dada yang tenggelam.

“Prosedur ini menjadi pilihan kerana kurang invasif serta hanya memerlukan hirisan kecil untuk memasukkan besi dan diperhatikan melalui kamera kecil (endoskop),” ujarnya.

Menurut beliau, prosedur Nuss paling sesuai dijalankan ke atas pesakit berumur antara 11 hingga 14 tahun, sebelum tulang dan rawan dada matang sepenuhnya.

Tambahnya, bar besi itu perlu dipakai untuk sekurang-kurangnya dua tahun dan mungkin sehingga lima tahun bagi pesakit dewasa. Bar besi berkenaan kemudian boleh dikeluarkan melalui satu prosedur pesakit luar yang mudah.

Walaupun prosedur Nuss (MIPER) ini lebih berkesan, Dr. Jeswant tetap menegaskan ia bukannya satu prosedur untuk tujuan kosmetik (rupa bentuk dada) semata-mata.

“Tujuan utama IJN mencari dan memberi rawatan kepada pesakit PE adalah bagi membantu memulihkan struktur dada yang boleh memberi tekanan psikologi dan menjejaskan kesihatan mereka kelak.

“Walaupun PE jarang membawa maut, tetapi dengan menyediakan rawatan untuk penghidap masalah ini dapat meningkatkan kualiti hidup mereka. Pemulihan rupa paras dada hasil rawatan boleh dikira sebagai bonus,” jelas beliau.

Pectus sebenarnya biasa ditemui, termasuk di kalangan beberapa individu ternama di dalam dan luar negara. Ianya bukan sesuatu yang memberi ancaman besar kepada nyawa atau kesihatan tetapi boleh menyebabkan kualiti hidup terjejas teruk.

Banyak maklumat mengenai pectus boleh diperoleh dengan mudah melalui Internet atau dengan bertanya kepada doktor anda. Untuk maklumat lanjut mengenai prosedur Nuss (MIPER) pula, anda boleh menghubungi IJN di talian 03-26178200.

5.12.08

Perawatan kemandulan

Artikel ini pula susulan artikel tersebut untuk menjelaskan mengenai kaedah-kaedah perawatan kemandulan.

Ditegaskan sekali lagi, kemandulan bermakna ketidakupayaan puan untuk mengandung walaupun kerap mengadakan hubungan kelamin selama enam hingga 12 bulan.

Puan dinasihatkan mengelak membeli ubat subur tanpa penelitian dan perbincangan utuh dengan doktor kerana masalah kemandulan mempunyai banyak faktor penentu yang berbeza.

Pada amnya doktor akan menasihati puan supaya mengubah gaya hidup yang lebih sihat, memberi preskripsi ubat-ubatan dengan pengawasan berkala, dan mungkin juga melalui pembedahan atau teknologi bantuan reproduksi.

Perlu puan fahami bahawa kebarangkalian pasangan untuk mengandung pada mana-mana kitaran haid adalah 20 peratus sahaja.

Peratusan ini menurun sebaik sahaja puan mencecah umur 30 tahun dan menurun mendadak selepas umur 37 tahun. Penurunan juga berlaku kepada suami tetapi pada kadar lebih perlahan.

Ramai pasangan memilih untuk berkeluarga lambat dan disebabkan faktor umur yang semakin matang, masalah untuk mengandung menjadi isu.

Umur puan menjadi faktor sama ada pemeriksaan, penyiasatan dan perawatan kemandulan perlu dipercepatkan berbanding wanita yang jauh lebih muda usianya.

Penyebab kemandulan

Kemandulan mungkin berasal dari puan, suami, kedua-duanya sekali atau mungkin juga dari gaya hidup. Penyakit tularan seksual (STD) juga mempengaruhi kemandulan.

Di antara faktor-faktor yang biasa dialami oleh pasangan termasuklah masalah pengeluaran telur (ovum), saluran falopian yang terhalang (sperma serta telur tidak dapat bertemu untuk persenyawaan) dan juga tahap kualiti serta kesihatan sperma.

Secara umumnya, 35 peratus faktor kemandulan berkait dengan tiub dan patologi saluran falopian, 35 peratus lagi bersangkut rapat dengan sperma, 15 peratus mungkin disebabkan oleh keabnormalan fungsi ovulasi telur, dan lima hingga 15 peratus yang tidak diketahui puncanya, termasuklah permasalahan di luar kemampuan perubatan.

Perawatan

Doktor akan menasihatkan puan supaya mengambil ubat kesuburan, menjalani pembedahan dan juga langsung ke arah teknologi bantuan reproduksi.

Lebih baik jika puan serta suami dirujuk kepada doktor khusus yang mengendalikan isu kemandulan.

Puan harus mengambil tahu akan ramalan peratusan kejayaan serta bagaimana kejayaan sesuatu prosedur diambil kira.

Di antara parameter kejayaan yang ditentukan termasuklah bilangan kelahiran hidup dan kejayaan untuk mengandung.

Sekiranya puan mempunyai faktor yang berkaitan dengan gaya hidup, doktor mungkin menasihati puan bila dan sekerap mana sepatutnya hubungan kelamin diadakan untuk tujuan reproduksi, sama ada perlu menurunkan ataupun menaikkan berat badan, meningkatkan ataupun mengurangkan senaman dan juga berhenti dari merokok serta pengambilan minuman beralkohol. Ubat-ubat yang diambil juga perlu diteliti.

Ubat kesuburan

Ubat makan yang digunakan ialah clomiphene citrate. Ianya digunakan untuk beberapa kitaran dengan pengawasan kesuburan telur.

Perlu diingatkan yang ubat subur ini boleh memudaratkan sistem fisiologi badan jika pengambilan tidak diawasi keberkesanannya.

Sekiranya ubat subur ini gagal ataupun tidak mencukupi, suntikan ubat subur lain yang dikenali sebagai gonadotropins boleh digunakan.

Ujian darah dan juga pemeriksaan ultrasound melalui faraj dilakukan untuk mengesan tumbesaran serta saiz dan bilangan telur yang optimum.

Perawatan akan dihentikan sekiranya puan didapati terangsang dengan benih telur yang banyak kerana ini menyebabkan puan boleh mengalami sindrom stimulasi ovari berlebihan.

Ramai wanita berkemungkinan akan mengandung dalam masa perawatan sehingga enam kitaran haid.

Sekiranya gagal, ujian lanjutan lain akan disyorkan dan juga rawatan menjadi lebih rumit, sebaiknya dijalankan oleh pakar yang mengetahui selok belok kemandulan.

Penggunaan ubat kesuburan suntikan gonadotropin juga berkemungkinan menyebabkan puan mengandung anak kembar ataupun lebih.

Pembedahan

Sekiranya tiub falopian tersumbat, pembedahan disyorkan sekiranya difikirkan berkesan serta boleh membantu.

Pembedahan juga disyorkan untuk kes-kes seperti:

- Membuang polip ataupun fibroid

- Membuang pelekatan serta parut-parut dari pembedahan lampau, jangkitan dan juga endometriosis

- Merawat endometriosis sekiranya ada

Teknologi bantuan reproduksi

Teknologi bantuan reproduksi merupakan satu cara pemprosesan benih serta sperma untuk tujuan persenyawaan. Ianya dijalankan di hospital peringkat termaju.

Sperma diperoleh daripada suami tanpa melalui hubungan kelamin dan benih telur pula disedut dari ovari sebelum ovulasi spontan sempat berlaku.

Ianya dilakukan melalui faraj dengan menggunakan bantuan ultrasound. Terdapat dua cara bagaimana sperma disatukan dengan benih telur:

- Satu atau lebih benih telur dicampurkan dengan sperma yang sihat dan diawasi sama ada berlakunya persenyawaan ataupun tidak

- Menyuntikkan terus sperma ke dalam telur, pilihan ini bagus sekiranya bilangan sperma yang sihat terhad (kaedah penyuntikan intra-sitoplasmik sperma)

Telur yang disenyawakan akan dipindahkan, apabila mencukupi syarat tumbesaran, ke dalam rahim melalui faraj.

Ini dinamakan perpindahan embrio. Kejayaan bergantung pada umur puan dan juga sebab mengapa kemandulan terjadi.

Ini juga boleh menyebabkan kandungan kembar atau lebih seperti pengambilan ubat kesuburan atau sindrom stimulasi berlebihan ovari.

Terdapat dua lagi kaedah lain tetapi kos rawatannya agak mahal sedikit:

- Perpindahan gamet melalui tiub falopian - benih telur disenyawakan di dalam badan puan, di mana benih telur dan sperma diletakkan pada lokasi tiub falopian melalui pembedahan laparoskopi dan diharapkan supaya persenyawaan berlaku.

- Perpindahan zigot melalui tiub falopian - kaedah persenyawaan yang dilangsungkan di makmal dan perpindahan ke tiub falopian dilakukan melalui laparoskopi dan diharapkan puan berjaya mengandung.

Kedua-dua kaedah ini mahal disebabkan elemen pembedahan terlibat. Doktor pakar kemandulan akan berbincang terlebih dahulu dengan puan sebelum mengesyorkan mana-mana kaedah.

“Makanlah apa yang ada”


BAGI seorang wanita yang sudah lanjut usia, kerja-kerja seharian di rumah seperti membasuh serta menjemur kain, menyapu lantai dan memasak bukan lagi satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

Sendi yang semakin longgar serta kudrat yang sedikit mengehadkan pergerakan dan tidak memungkinkan sebarang perlakuan yang memerlukan kekuatan tenaga.

Apatah lagi jika usia sudah melebihi 100 tahun, kerana jika mengikut hukum alam terutama pada zaman ini, mereka yang mencecah usia sedemikian kebanyakannya bergantung harap kepada ahli keluarga untuk melakukan perkara asas dalam hidup seperti menyuapkan makan dan menyalinkan pakaian.

Namun, keadaan berbeza bagi Wook Kundur, 106, kerana walaupun usia sudah lebih sedekad, beliau masih cergas jika dibandingkan dengan usia.

Dari segi fizikal, Wook memang jelas ketuaannya, dengan tubuh sedikit bongkok, kulit berkedut seribu dan rambut memutih, namun deria penglihatan, pendengaran dan pertuturan masih berfungsi dengan baik.

Gagah

Wanita itu juga masih gagah berjalan tanpa memerlukan bantuan tongkat malah duduk bangkit mengerjakan solat lima waktu masih tidak mendatangkan masalah kepadanya.

‘‘Saya memasak, membasuh dan buat kerja rumah yang lain. Layan suami juga saya buat,” katanya yang bersuamikan Mohd. Nor Musa, 37, yang muda 69 tahun daripadanya sejak tiga tahun lepas.

Wook ketika ditemui mengakui tidak mempunyai pantang-larang terutama dari segi pemakanan untuk menjaga kesihatannya.

Dalam hal ini, Wook berkata, kesempitan hidup tidak memungkinkannya menikmati makanan-makanan sedap dan moden yang sudah tentu mempunyai kandungan garam dan lemak yang tinggi.

Sebaliknya seperti penduduk kampung lain dietnya cukup dengan nasi dan lauk yang ringkas.

‘‘Makanlah apa yang ada,” ujarnya.

Namun, di sebalik semua itu, Wook tetap berhati-hati dalam soal pemakanan. Minuman manis serta makanan pedas dijauhi kerana boleh memudaratkan tekak dan badan.

Minuman berais juga sama-sekali tidak disentuh kerana ia akan membuatkan tubuhnya berasa panas, sebaliknya air suam dan milo panas menjadi pilihannya untuk tenaga.

Jarang memakan lauk yang dimasak gulai dan bersantan, Wook lebih gemar memilih makanan bergoreng seperti ikan dan ayam goreng sebagai sajiannya termasuk jika menjamu selera di warung.

Dalam hal ini, Mohd. Nor turut mengakui menjaga Wook amat mudah kerana warga emas itu jarang dihinggap penyakit.

Jika ada pun hanya sakit perut sekali-sekala dan ia beransur hilang selepas diurut.

Malah, menurut Mohd. Nor, tidak pernah sekali pun Wook menjejak kaki ke klinik atau hospital sepanjang tempoh tiga tahun perkahwinan mereka kerana dihinggapi penyakit.

‘‘Wook masih sihat, tak biasa sakit. Kadang-kadang tu ada juga sakit perut, tapi lepas urut sikit-sikit, okey, tak susah jaga,” ujarnya.

Diabetes dan suplemen nutrisi


HARI ini hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes dan lebih 240 juta manusia di seluruh dunia hidup dengan diabetes. Malangnya, lebih separuh daripada mereka tidak menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit ini.

Dua puluh tahun akan datang, angka ini dijangka meningkat kepada 380 juta. Kanak-kanak sekalipun tidak terlepas daripada wabak yang membawa kepada komplikasi-komplikasi yang begitu menakutkan serta mengancam nyawa ini.

Diabetes berlaku apabila pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi, atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.

Insulin ialah hormon yang diperlukan untuk menukar gula, kanji dan makanan menjadi tenaga untuk keperluan harian.

- Jenis-jenis Diabetes

Diabetes jenis pertama berlaku apabila sistem imun menyerang dan melumpuhkan buat selama-lamanya sel-sel pembuat insulin dalam pankreas.

Sejenis diabetes lagi mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang menjadi penyakit diabetes sepenuhnya.

Ia bermula apabila otot dan sel-sel lain berhenti memberi tindak balas terhadap isyarat ‘buka pintu untuk glukosa’ yang diberi oleh insulin.

Badan bertindak balas dengan membuat lebih banyak insulin, sebenarnya ia cuba menggasak dan memaksa gula darah ke dalam sel-sel.

Akhirnya, sel-sel pembuat insulin menjadi lemah dan mengalami kegagalan. Ini dikenali sebagai diabetes jenis kedua.

Penghidap pra-diabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes sepenuhnya.

Penghidap pra-diabetes mempunyai glukosa semasa berpuasa yang terjejas (lebih 6.1 tetapi kurang daripada 7 mmol/l).

Paras ini boleh menunjukkan wujudnya risiko tinggi untuk menghidapi diabetes jenis kedua dalam masa 10 tahun yang berikutnya.

Sama ada pra-diabetes akan berkembang menjadi diabetes jenis kedua turut bergantung kepada individu itu sendiri, yang seharusnya mengambil perhatian terhadap berat badan dan kegiatan senaman.

Cara pemakanan bukan sahaja dapat mencegah pra-diabetes daripada menjadi diabetes, tetapi juga dapat mengembalikan semula paras glukosa darah ke julat yang normal.

- Gejala-gejala diabetes

Diabetes mungkin dan seringkali berkembang tanpa dapat didiagnosis kerana gejalanya kelihatan tidak membahayakan dan selalunya kelihatan normal sahaja.

Tanda-tanda dan gejala biasa termasuk:

- Kerap membuang air

Kekerapan membuang air kecil menjadi lebih banyak apabila terdapat terlampau banyak glukosa dalam darah.

Jika insulin tidak wujud ataupun tidak berkesan, maka buah pinggang tidak dapat menapis glukosa untuk mengembalikannya semula ke dalam darah.

Oleh itu, buah pinggang akan dipenuhi glukosa dan ia cuba menarik lebih banyak air keluar daripada darah untuk mencairkan glukosa. Ini menyebabkan pundi kencing sentiasa penuh dan membuatkan anda selalu berlari ke bilik air.

- Rasa dahaga yang berterusan

Sekiranya anda sentiasa tidak puas minum dan minum lebih dari biasa, ini mungkin suatu tanda diabetes, terutamanya jika ia datang dengan kencing yang kerap.

Jika badan anda menarik lebih banyak air keluar daripada darah dan anda lebih kerap ke bilik air, anda akan mengalami dehidrasi, maka lebih banyak lagi anda perlu minum untuk menggantikan air yang telah hilang itu.

- Berat badan turun dengan sendiri

Gejala ini lebih jelas pada diabetes jenis pertama. Dalam diabetes jenis pertama, pankreas berhenti membuat insulin, kemungkinan disebabkan oleh serangan virus terhadap sel-sel pankreas ataupun kerana sesuatu tindak balas autoimun yang membuatkan badan menyerang sel-sel yang mengeluarkan insulin.

Badan akan mencari sumber tenaga lain kerana sel-sel tidak memperoleh bekalan glukosa. Ia mula memecahkan tisu otot dan lemak untuk mendapatkan sumber tenaga.

Diabetes jenis kedua berlaku secara beransur-ansur dengan penentangan insulin semakin berperingkat. Oleh itu kehilangan berat badan tidaklah begitu terserlah.

- Rasa lemah dan letih

Glukosa daripada makanan yang kita makan bergerak masuk ke dalam aliran darah di mana insulin akan membantu memudahkannya masuk ke dalam sel-sel badan.

Sel akan menggunakannya untuk mengeluarkan tenaga yang kita perlu untuk hidup. Apabila insulin tiada ataupun jika sel-sel tidak lagi bertindakbalas dengannya, maka glukosa akan terus berada di luar sel-sel, di dalam aliran darah. Sel-sel akan mengalami kekurangan tenaga dan anda akan berasa letih dan lemah.

- Denyutan atau kebas pada tangan, betis atau kaki

Ini dikenali sebagai neuropati. Ia berlaku secara perlahan dalam masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf, khususnya di tangan dan kaki.

Diabetes jenis kedua muncul secara beransur-ansur dan ramai orang tidak menyedari mereka menghidapinya.

Oleh itu, gula darah mungkin sudahpun berada pada tahap yang tinggi buat beberapa tahun lamanya sebelum pengesahan diabetes dilakukan.

Kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari. Keadaan neuropati kerap kali boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan.

- Tanda-tanda dan gejala lain yang boleh berlaku

Penglihatan yang kabur, kulit kering dan gatal-gatal, selalu mendapat jangkitan, atau luka dan lebam yang mengambil masa yang lama untuk sembuh, semua ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

- Komplikasi diabetes

Penghidap diabetes berkemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan serius seperti penyakit jantung, strok, darah tinggi, masalah peredaran darah, kerosakan saraf, kebutaan dan kegagalan buah pinggang.

i) Penyakit jantung dan penyakit saluran darah.

Penyakit jantung merupakan penyebab utama kematian bagi mereka yang menghidapi diabetes. Tiga daripada empat kematian yang berkaitan dengan diabetes adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan penyakit saluran darah (kardiovaskular).

Penghidap diabetes adalah dua hingga empat kali lebih berkemungkinan untuk mengalami penyakit jantung berbanding mereka yang tidak menghidapi diabetes.

ii) Kebutaan

Pesakit diabetes hendaklah memeriksa mata setiap tahun untuk memastikan kesihatan mata dan menjaga penglihatan.

Paras gula darah yang tinggi boleh merosakkan saluran darah yang menyalurkan khasiat ke retina mata.

Kekurangan aliran darah dan bekalan oksigen kepada urat saraf dianggap oleh ramai para penyelidik sebagai penyebab kerosakan saraf.

iii) Kegagalan buah pinggang

Walaupun terdapat ubat dan diet yang dapat mengawal diabetes, penyakit ini boleh membawa kepada penyakit buah pinggang (nefropati diabetes) serta kegagalan buah pinggang.

Buah pinggang yang rosak tidak dapat membersihkan darah dengan baik. Oleh itu, sisa buangan dan cecair akan terkumpul di dalam darah.

iv) Ulser kaki

Mereka yang berpenyakit diabetes mempunyai risiko kecederaan kaki oleh kerana rasa kebas yang disebabkan oleh kerosakan saraf dan aliran darah yang rendah ke urat saraf di bahagian paha dan kaki.

Kehilangan fungsi saraf ini boleh membawa kepada pemborokan (ulser), penyakit kelenayuh dan pemotongan anggota.

Ulser kaki akibat diabetes berisiko amat tinggi untuk dijangkiti dan kadangkala tidak dapat diubati. Ulser kaki yang tidak dapat disembuhkan ini seringkali menjadi sebab pemotongan kaki bagi penghidap diabetes.

- Suplemen nutrisi dan herba

Dalam semua keadaan gula darah tinggi, adalah penting untuk memastikan pesakit mengambil diet yang sesuai, iaitu yang rendah gula dan kanji serta mengambil suplemen formula multivitamin khas untuk pesakit diabetes yang mengandungi nutrien penting seperti asid alfa lipoik, kromium, biotin dan vanadium untuk membantu menguruskan paras gula darah.

Ini merupakan empat nutrien penting untuk pesakit diabetes kerana ia membantu meningkatkan sensitiviti insulin, menstabilkan paras gula darah dan mencegah perkembangan komplikasi kencing manis.

Herba seperti pati kayu manis dengan banaba juga penting kerana ia mempunyai ciri-ciri yang boleh menurunkan paras gula darah.

Pilihlah pati kayu manis larut air yang dipiawaiankan kerana ia mengandungi Polifinol jenis A Polimer yang telah terbukti dapat meningkatkan aktiviti insulin sebanyak 20 kali, oleh itu ia membuatkan paras gula darah dalam kawalan.

Banaba mengandungi asid korosolik yang juga selamat dan berkesan untuk menurunkan paras gula darah. Bila digabungkan, kedua herba ini berfungsi secara bersinergi dan mengawal paras gula darah dengan lebih berkesan lagi.

MAKLUMAT dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Hapuskan HIV/AIDS menjelang 2020


JURNAL British online, The Lancet melaporkan rumusan satu kajian bahawa diagnosis awal dan kemudahan rawatan antiretroviral dapat mengurangkan jangkitan baru HIV sehingga 95 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Kajian tersebut menekankan pemeriksaan universal secara sukarela dan penyediaan rawatan (ubat) kepada yang telah dijangkiti HIV dapat mengurangkan bilangan jangkitan baru kepada hanya satu bagi setiap 1,000 individu.

Penemuan ini menyokong penekanan dalam membantu setiap individu mengetahui status HIV mereka lebih awal seterusnya akan menggalakkan hubungan seks lebih selamat.

Selain itu, penyediaan rawatan koktel ubat HIV (HAART) juga mungkin mengurangkan risiko menyebarkan virus tersebut kepada individu lain.

Laporan itu menjangkakan langkah ujian pemeriksaan HIV universal secara sukarela dan pemberian segera terapi antiretroviral dapat mengurangkan penyebaran HIV ke tahap ‘penghapusan sepenuhnya’ mungkin boleh dicapai menjelang 2020.

HIV/AIDS paling teruk berlaku di benua Afrika dengan 5.5 juta daripada 47 juta penduduknya dijangkiti virus HIV, sementara secara keseluruhan sekitar 33 juta hidup dengan HIV/AIDS di seluruh dunia.

Satu kumpulan pemerhati menyalahkan faktor kewangan, kemudahan rawatan (ubat) dan pengumpulan maklumat pesakit sebagai halangan utama kawalan AIDS.

Ubat kanser hentikan diabetes?

DUA jenis ubat yang digunakan untuk merawat kanser dilaporkan dapat menghentikan perkembangan diabetes jenis pertama pada tikus makmal, dengan 80 peratus daripadanya tidak lagi menghidap penyakit tersebut.

Ubat-ubat tersebut, imatinib dan sunitinib, berfungsi dengan mengurangkan aktiviti sistem imuniti, dan dilihat dapat mengekalkan tahap gula darah yang normal walaupun selepas rawatan dihentikan.

Tidak banyak ubat yang ada untuk merawat diabetes jenis pertama, terutamanya selepas ia bermula. Penemuan kesan dadah yang sudah terbukti selamat dan berkesan kepada pesakit kanser itu kini berpotensi dapat membantu pesakit diabetes pula.

Penyelidik kajian tersebut menyatakan pengekalan paras gula darah normal selepas rawatan dihentikan mungkin menunjukkan ubat-ubat berkenaan memprogram semula sistem imuniti badan secara kekal.

Diabetes jenis pertama banyak menyerang kanak-kanak akibat daripada masalah aotoimun yang memusnahkan sel-sel yang menghasilkan hormon insulin di dalam pankreas.

Hasil kajian ini dikatakan bakal membuka ruang kepada satu bidang penyelidikan baru untuk diabetes jenis pertama serta penghasilan terapi untuk merawatnya dan juga penyakit autoimun lain.

Sajian buah 1,001 khasiat


WARNANYA yang merah menyala dengan sulur batangnya tumbuh menjalar seperti naga merupakan buah-buahan yang semakin diminati ditanam di negara ini.

Buah yang berasal dari Mexico dan banyak ditanam di negara seperti Vietnam dan Afrika Selatan itu telah mendapat tempat di sajian selera masyarakat di sini.

Buah naga atau nama latinnya, Hylocereus Undatus tergolong dalam keluarga Cactacese atau kaktus, mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran yang baik. Buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu jenis isi putih (Hylocereus Undatus), merah (Hylocereus Polyrhizus dan kuning (Hylocereus Megalanthus).

Berat buah antara 200 gram hingga 800 gram dan mempunyai khasiat yang banyak malah diiktirafkan sebagai buah 1,001 khasiat.

Buah naga ini dipercayai boleh menurunkan kadar kolesterol, mengimbangi kadar gula dalam darah, mencegah kanser, mencegah pendarahan, mengelak keputihan, menguatkan fungsi ginjal dan tulang, menguatkan minda, meningkatkan ketajaman mata serta sebagai bahan kosmetik.

Selain itu, pokok yang boleh hidup selama 15 tahun ini juga boleh membantu mengurangkan masalah sembelit, darah tinggi, menghaluskan kulit wajah dan sesuai sebagai pemakanan untuk pesakit diabetis.

Malah, buah pelbagai khasiat ini juga mampu memanjangkan jangka hayat produk bakeri seperti roti, kek dan mufin yang kebiasaannya disediakan melalui adunan beberapa bahan mentah seperti mentega, tepung, telur, serbuk penaik, yis dan juga gula.

Justeru itu, sekumpulan chef dari Hotel Eastin, Petaling Jaya dengan diketuai oleh Senior Sous Chef, Mohd. Azli Lahasi, Chef Mohd. Sori Mohd. Zan, Chef Bakri Abu Bakar, Chef Zaidi Muhammad, Chef Adam Lee dan Zairyah Ibrahim (pelatih dari Kolej Damansara Utama) telah mencipta dan memperkenalkan enam jenis masakan yang berasaskan buah naga ini.

Masakan merangkumi pembuka selera, sup dan makanan utama daripada buah naga diperkenalkan bagi mempromosikan lagi khasiat yang terdapat di dalamnya, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan petani yang mengusahakan tanaman ini. Melalui promosi berterusan masyarakat boleh menyedari kehadiran dan penggunaan buah ini, selain boleh dimakan mentah dan dibuat jus.

Menurut Chef Mohd. Azli, khasiat yang pelbagai terkandung di dalamnya yang menyebabkan beliau dan rakan-rakannya memilih untuk mempromosikan buah ini.

‘‘Ia mengandungi vitamin yang baik untuk kesihatan, selain bijinya yang boleh membantu pelawasan dan kaya dengan fiber.

‘‘Sebanyak enam juadah berasaskan buah naga menjadi sajian pelanggan sekiranya berkunjung ke sini,’’ katanya.

Tambah beliau, masakan yang diperkenalkan itu ialah ayam gulung panggang bersama buah naga Ambrosia, peha itik panggang sumbat bersama buah naga dan pic, kombinasi daging, kambing dan makanan laut bersama salsa buah-buahan, panacotta dihidang bersama buah naga, buah naga bersama air gula kayu manis dan udang koktel bersama mangga dengan buah naga.

‘‘Dalam setiap masakan yang diperkenalkan itu, buah naga bertindak mengimbangi antara rasa masam dan manis sesuatu masakan tersebut,’’ katanya.

Bagi peminat atau yang ingin mencuba masakan yang berasaskan buah naga ini, bolehlah berkunjung ke Swez Brasserie, Hotel Eastin, Petaling Jaya.

Mampu kekal sihat dan cergas



PERKONGSIAN jarum suntikan dadah (IDU) kekal sebagai cara penyebaran utama virus HIV.


TARIKH 5 Jun 1981 merupakan kali pertama Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menerima laporan kes AIDS. AIDS mula diguna pakai CDC sejak September 1982 sebagai satu definisi seragam untuk penyakit tersebut yang berpunca daripada jangkitan virus kekurangan imuniti manusia (HIV).

AIDS kini adalah satu wabak pandemik dengan lebih 30 juta orang telah dijangkiti HIV di seluruh dunia dan lebih 2 juta daripadanya maut akibat AIDS.

Benua yang paling teruk diserang wabak ini adalah Afrika yang merekodkan lebih 75 peratus jumlah kematian berkaitan AIDS, diikuti Asia Selatan dan Asia Tenggara. Seseorang yang dijangkiti HIV hanya akan menghidap AIDS apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) telah teruk dirosakkan virus tersebut, sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).

AIDS memberi kesan kepada semua anggota badan dan mempunyai beberapa peringkat dari jangkitan hinggalah kepada AIDS. Peringkat-peringkat tersebut ditentukan melalui kiraan jumlah sel darah putih (jenis CD4) yang masih ada dan kehadiran jangkitan kuman tertentu pada pesakit. Tempoh perkembangan jangkitan HIV kepada AIDS berbeza mengikut individu, seawal dua minggu hinggalah 20 tahun (selalunya antara lapan ke 10 tahun).

Malaysia

Mengikut catatan rekod kes HIV/AIDS yang diterima Pusat Sumber Majlis AIDS Malaysia, kes pertama jangkitan HIV dan penghidap AIDS berlaku pada 1986. Jangkitan HIV pada tahun itu melibatkan tiga pesakit lelaki sementara seorang pesakit lelaki dilaporkan menghidap AIDS.

Dua kes jangkitan HIV wanita pertama kali dikesan pada 1988 sementara penghidap AIDS wanita pertama direkodkan pada 1991. Golongan lelaki sentiasa merangkumi peratusan utama jangkitan HIV (lebih 80 peratus) dan penghidap AIDS sejak 1986 sehinggalah rekod terbaru enam bulan pertama 2008.

Presiden Persatuan Perubatan HIV Malaysia (PPHIVM), Dr. Christopher Lee Kwok Choong menjelaskan, secara keseluruhannya, lebih 10,000 kematian berkaitan AIDS dicatatkan di negara ini sejak ia mula dikesan pada 1986.

“Analisis sejak enam tahun lalu bagaimanapun menunjukkan penurunan jumlah kes jangkitan baru HIV di Malaysia dan ianya berterusan menurun sehingga kini.

“Itu merupakan satu berita baik, tetapi terdapat juga berita buruk. Walaupun bilangan pesakit baru semakin menurun, bilangan dan peratusan wanita yang dijangkiti HIV setiap tahun dilihat semakin meningkat,” tegasnya.

Menurut beliau, trend peningkatan mendadak sejak 1989 ini (setahun selepas jangkitan HIV wanita pertama) adalah membimbangkan dan perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rekod menunjukkan peratusan jangkitan HIV di kalangan wanita hanya 1.5 peratus pada 1989 dan terus meningkat sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007. Sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada 18.57 peratus.

Dr. Lee yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan (Penyakit Berjangkit) Hospital Sungai Buloh menyatakan trend tersebut mungkin dipengaruhi perubahan cara jangkitan.

“Mungkin jangkitan HIV mula beralih dari perkongsian jarum suntikan dadah (IDU) kepada transmisi seksual.

“Sebelum ini, kira-kira 75 peratus jangkitan berlaku melalui IDU tetapi kini telah berkurangan kepada sekitar 66 peratus, sedangkan jangkitan HIV melalui hubungan heteroseksual semakin meningkat,” jelasnya.

Rekod menunjukkan pengambilan dadah IDU menjadi punca utama penyebaran HIV dan menghidap AIDS (secara keseluruhan dan sepanjang enam bulan pertama 2008) di negara ini. Hubungan seks heteroseksual menjadi punca kedua utama penyebaran HIV dan menghidap AIDS (secara keseluruhan dan sepanjang enam bulan pertama 2008) tetapi dilihat semakin meningkat. Jangkitan HIV di Malaysia turut direkodkan berlaku melalui pemindahan darah tercemar, pemindahan organ (hanya tiga kes) hubungan seks songsang (homo/biseksual) atau dari ibu kepada anak.

Halangan utama

Dengan kehadiran HAART, kawalan HIV/AIDS bukan lagi menjadi halangan utama untuk pesakit hidup sihat dan menjalankan aktiviti harian seperti individu sihat lain.

Bagaimanapun, Dr. Lee membangkitkan dua halangan utama dalam kawalan penyakit ini di Malaysia.

“Salah satu isu penting di sini adalah menggalakkan pesakit untuk datang mendapatkan dan memulakan rawatan.

“Pesakit yang mendapat rawatan berkesan dapat kekal sihat dan meneruskan kehidupan harian mereka atau bekerja seperti biasa,” jelasnya.

Halangan kedua katanya, adalah masalah kepatuhan pengambilan ubat kerana jika tidak dijaga mungkin akan menyebabkan rintangan virus terhadap ubat baris pertama berkenaan.

Tambahnya, jika ubat baris pertama sudah tidak berkesan, pesakit boleh beralih kepada ubat baris kedua atau ketiga tetapi ianya bukan percuma dengan harga sekitar RM1,000.

Oleh itu, pesakit HIV/AIDS perlu memastikan rawatan ubat baris pertama HAART terus berkesan kerana ubat baris kedua atau ketiga bukan sahaja lebih mahal, malahan mungkin kurang berkesan dalam mengawal virus tersebut.

Dr. Lee mendedahkan banyak kelas baru ubat untuk penyakit ini ditemui dalam tiga tahun kebelakangan ini yang didapati lebih berkesan membunuh virus di samping kurang kesan sampingan.

“Ubat-ubat baru ini bagaimanapun amat mahal dan boleh mencecah RM1,200 setiap satu. Ianya digunakan sebagai ubat baris ketiga bagi pesakit yang gagal mengawal keadaan mereka.

“Tetapi, dari sudut positif, sekurang-kurangnya ubat untuk HIV/AIDS ada dan semakin murah setiap hari,” ujarnya.

Menurut beliau, 12 tahun lalu kos mencecah lebih RM1,000 tetapi kini hanya sekitar RM160, menjadikan HIV/AIDS satu jangkitan yang boleh dikawal.

Dr. Lee menegaskan pencegahan adalah langkah terbaik menentang penyakit ini tetapi jika dijangkiti, pengesanan awal amat penting untuk mengawalnya.

“Fahami bahawa HIV/AIDS ada ubat dan rawatannya. Jika anda syak atau ragu-ragu dijangkiti virus tersebut, lakukan ujian saringan.

“Rawatan awal dapat mengelakkan pesakit diserang penyakit lain pula. Jika sakit teruk dan ditahan wad, bukan sahaja sukar dirawat malahan untuk bekerja atau hidup juga susah,” katanya.

Lelaki liat jumpa doktor



Golongan lelaki harus bersikap lebih terbuka dalam melakukan pemeriksaan rutin kesihatan. – Gambar hiasan


PETIKAN ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Faizah Mohd. Tahir ketika merasmikan Simposium Kesihatan Lelaki-Keprihatinan Dunia di Institut Sosial Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini, menarik perhatian sebahagian besar peserta yang hadir.

Ramai yang tersenyum simpul bagai mengakui kebenarannya apabila beliau menyatakan lelaki hanya akan pergi berjumpa doktor sekiranya ditemani pasangan mereka, itupun setelah dipujuk dan dipaksa beberapa kali.

Walaupun ia satu senario biasa dan dianggap normal oleh kebanyakan lelaki, persepsi tersebut haruslah diubah kerana kesihatan lelaki kini menjadi agenda penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Atas keprihatinan untuk mengubah situasi itu, Persatuan Endrologi dan Kajian mengenai Penuaan Lelaki Malaysia (MSASAM) telah mengadakan kajian tentang kesihatan lelaki di bandar.

Kajian membabitkan responden lelaki di sekitar kawasan Subang dan Kelana Jaya, Selangor. Dua kawasan ini telah dipilih bagi mewakili keseluruhan lelaki yang bekerja, mempunyai kedudukan ekonomi yang baik serta menjalani kehidupan sosial yang seimbang.

Kajian yang dibiayai sepenuhnya oleh KPWKM ini telah diketuai Datuk Profesor Tan Hui Meng, dari MSASAM serta beberapa doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Hasil kajian, yang telah menemukan beberapa fakta mengejutkan mengenai kesihatan lelaki, telah dibentangkan pada simposium tersebut oleh Dr. Ng Chirk Jenn, mewakili Malaysian Men's Health Initiative.

Antaranya, kajian mendapati 77 peratus daripada 1,046 responden yang berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah berat badan atau obesiti.

Selain itu, 59.4 peratus responden yang boleh dianggap mewakili lelaki di bandar mengalami kegagalan ereksi, 48 peratus mengalami tekanan darah tinggi, diabetis mellitus (28.5 peratus), masalah jantung (12 peratus) dan masalah prostat (30 peratus).

Menurut Chirk Jenn, kesemua responden dipilih secara rawak daripada senarai calon mengundi tahun 2004 membabitkan lelaki Cina 48 peratus, 34 peratus Melayu (34 peratus) dan India (15 peratus), pada purata umur 56 tahun.

Kajian tersebut telah dijalankan menggunakan teknik kaji selidik, penilaian oleh para doktor terlatih dan ujian darah di makmal.

“Kami telah memulakan kajian ini sejak 2003 dengan objektif untuk melihat sejauh mana tahap kesihatan lelaki moden di Malaysia.

“Kajian ini juga meliputi pandangan lelaki tentang kesihatan mereka dan apa yang mereka lakukan tentangnya,” jelasnya.

Beliau menjelaskan lagi, penyakit yang banyak menyerang golongan lelaki di bandar terbahagi kepada dua kategori iaitu melibatkan sistem kardiovaskular seperti, obesiti, diabetis, tekanan darah serta kolesterol tinggi, merokok dan ketagihan arak.

“Kategori kedua pula ialah melibatkan kesihatan lazim lelaki seperti kegagalan ereksi, masalah berkaitan prostat serta penurunan kadar hormon testosteron lelaki,” tambah beliau.

Temuduga dengan beberapa responden juga turut menemukan fakta menarik yang boleh dikongsi bersama.

Antaranya, pendapat seorang warga emas berusia 59 tahun yang menyatakan kebanyakan lelaki muda hanya akan bekerja dan terus bekerja untuk mendapatkan kekayaan dan apabila tua kelak, mereka akan menggunakan kekayaan itu untuk 'membeli kesihatan.

“Daripada kenyataan lelaki ini kami merumuskan bahawa keutamaan lelaki berubah mengikut masa. Pada awal pembabitan lelaki dalam karier, kekayaan, keseronokan dan keluarga adalah fokus utama mereka.

“Kesihatan mereka hanya akan menjadi isu utama apabila mereka telah berhadapan dengan masalah tersebut," jelasnya.

Kajian tersebut turut menemukan beberapa pendapat yang agak melucukan namun perlu diberi perhatian serius.

Seorang lelaki mendakwa bahawa dia hanya akan berjumpa doktor sekiranya beliau benar-benar sakit, manakala seorang lelaki lain pula mendakwa hanya akan berjumpa doktor setelah isterinya membebel panjang.

“Kesimpulan daripada dua kes di atas ialah pasangan memainkan peranan utama mempengaruhi lelaki untuk mendapatkan pertolongan kepada masalah kesihatan mereka.

“Ada juga responden yang mengharapkan wujudnya satu garis panduan pemeriksaan rutin kesihatan lelaki sebagaimana servis yang dilakukan terhadap kenderaan kesayangan mereka,” katanya.

Daripada kajian tersebut Chirk Jenn dan pasukannya turut mendapati bahawa lelaki inginkan lebih banyak maklumat tentang kesihatan mereka.

Mereka juga mahu agar pihak berkuasa dan pengamal perubatan mempunyai inisiatif dalam melakukan rawatan dan pemeriksaan terhadap pesakit lelaki.

“Sikap para doktor yang merawat pesakit lelaki juga perlu diubah dan lebih prihatin kerana situasi di mana doktor hanya bertanya tentang apa penyakit mereka sering berlaku di mana-mana pusat kesihatan,” jelas Ng.

Untuk tidak membiarkan kajian tersebut berlalu begitu sahaja, KPWKM dan MSASAM telah menerbitkan buku yang mencatatkan secara terperinci tentang kajian yang dilakukan oleh MSASAM. Buku bertajuk Stay Healthy-Your Choice dan About Men's Health juga mengandungi saranan pengamal perubatan mengenai masalah kesihatan lelaki.

Disyor pakar optometri


Apakah kriteria yang perlu diambil kira sebelum membeli kanta lekap?




KEBANYAKAN wanita yang bercermin mata biasanya tidak akan teragak-agak untuk beralih kepada kanta lekap. Satu sebab utama adalah untuk kelihatan cantik. Kedua, lebih selesa dan mudah diuruskan.

Alasan pertama tadi mungkin senang diterima. Sebabnya, itulah kenyataan yang berlaku kepada sebahagian besar pengguna kanta lekap khasnya wanita. Tetapi, jika pemakaian kanta lekap dikatakan lebih mudah berbanding cermin mata, apakah kriteria yang perlu diambil kira sebelum membeli kanta lekap? Lebih-lebih lagi bagi pengguna kanta lekap kali pertama?

Kanta lekap merupakan satu alat perubatan terapeutik yang memiliki pelbagai aplikasi. Sama ada untuk memperbaiki masalah pembiasan, kornea bermasalah ataupun keadaan patologi yang lain.


PENGGUNAAN kanta lekap dalam jangka masa panjang lebih cenderung untuk mendapat jangkitan kornea.


Dengan kira-kira 70 peratus pengguna kanta lekap di Malaysia berusia antara 18 hingga 34 tahun, adakah mereka ini mengetahui prosedur penyesuaian kanta lekap yang betul?

Pakar kesihatan mata yang juga ahli Akademi Optometri Amerika (AAO), Dr. David Hansen berkata, pengguna perlu mendapatkan penilaian pakar sebelum membeli kanta lekap daripada sumber lain kecuali kedai optikal.

"Kanta lekap tidak boleh dibeli terus daripada kaunter seperti komoditi lain, misalnya berus gigi. Ia memerlukan nasihat, penyesuaian dan pemantauan yang betul serta penilaian susulan daripada doktor bertauliah," katanya ketika berada di ibu negara baru-baru ini.

Jika anda baru kali pertama menggunakan kanta lekap, apakah prosedur yang perlu diketengahkan oleh seorang pakar optometri?


DAVID HANSEN


Menurut Dr. David, pemeriksaan visual yang menyeluruh diperlukan untuk menilai keadaan pembiasan mata, susunan atau koordinasi mata dan penglihatan serta penilaian patologi komprehensif.

"Penilaian patologi ini merujuk kepada mengesan kehadiran glaukoma, keadaan retina dan sebarang keabnormalan pada keseluruhan sistem visual. Pemerhatian yang lebih juga perlu diberikan kepada bahagian kornea, adneksa serta sifat-sifat fizikal mata dan kelopak mata," jelasnya.

Proses suai padan atau pemilihan kanta lekap juga harus dilakukan oleh seseorang yang bertauliah. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, kanta lekap hanya boleh disyorkan oleh pakar optometri berlesen atau pakar oftamologi.

Proses pemilihan dan suai padan kanta lekap pesakit juga tidak mengambil masa yang lama. Selepas pemeriksaan visual awal yang menyeluruh, lazimnya proses suai padan kanta lekap pesakit hanya memakan masa kira-kira sejam. Kanta lekap diagnostik akan digunakan untuk menilai kejelasan, kesesuaian dan keselesaan si pemakai.

"Keadaan yang lebih rumit seperti kornea yang bermasalah, keadaan patologi yang berlanjutan ataupun masalah pembiasan yang tinggi mungkin memerlukan pertemuan dengan pakar mata beberapa kali.

"Tambahan pula, pesakit juga perlu tahu definisi kesesuaian sesebuah kanta lekap," tambahnya.


PEMAKAIAN kanta lekap baik untuk tujuan riadah.


Perimeter-perimeter untuk menentukan kesesuaian sesebuah kanta lekap antaranya termasuk penilaian biomikroskop. Penilaian biomikroskop diperlukan untuk menguji kejelasan kornea, kualiti lapisan prakornea dan kadar kelembapan dan saiz serta struktur kornea dan tisu-tisu okular. Selain itu, ia juga merangkumi pemeriksaan kelopak mata untuk menilai kelipan mata dan tahap ketajaman penglihatan.

"Malah, keselesaan dan penentuan kanta lekap yang sesuai juga perlu bergantung kepada taburan air mata atau lembapan yang sekata di bahagian belakang kanta lekap," katanya.

Menyentuh tentang pemakaian kanta lekap, tidak kurang yang menggunakannya untuk tempoh yang lama. Adakah ini syorkan oleh seorang pakar mata seperti David?

Jelasnya, pemakaian kanta lekap untuk tempoh masa yang lama sememangnya memberi banyak kebaikan. Lebih-lebih lagi bagi pesakit yang memerlukan jadual pemakaian khas ekoran keadaan kerja atau untuk tujuan riadah.

"Satu kebaikannya ialah untuk mereka yang tidak upaya. Sebabnya ketidakupayaan itu membuatkan mereka sukar untuk memakai dan mengeluarkan kanta lekap atau bagi mereka yang tidak mempunyai jadual kerja yang sistematik.

"Keburukannya pula ialah kajian klinikal telah menunjukkan pesakit yang memakai kanta lekap untuk tempoh lama adalah empat kali ganda lebih cenderung mengalami jangkitan kornea. Ini berpotensi menjurus kepada komplikasi lain yang biasanya berlaku apabila pesakit tidak menguruskan kanta dengan baik," tekannya.

Mungkin ada juga yang berpendapat penggunaan kanta lekap mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Malah, dengan rejim penjagaan yang disifatkan 'leceh' oleh sesetengah orang, bagaimanakah pandangan David dalam hal ini?

"Kanta lekap sebenarnya satu pilihan rawatan dan pemulihan untuk pesakit yang mempunyai masalah penglihatan. Jika pengguna dididik secara betul, maka penggunaan kanta lekap adalah selamat.

"Tahap kesihatan yang baik memerlukan perhatian sistematik dan ketelitian. Begitu juga dengan pengurusan kanta lekap," tambahnya.

Memadai gosokan lembut


GOSOKAN lembut pada kanta lekap berkesan untuk membersihkan alat tersebut.


Dari segi penjagaan kanta lekap pula, bagaimanakah pengguna perlu arif memilih kaedah pembersihan yang betul?

Pelbagai kajian dalam beberapa tahun kebelakangan ini mendapati gosokan lembut ke atas kanta lekap adalah kaedah paling berkesan untuk membersihkan alat tersebut.

Terang Dr. David, 99 peratus mikroorganisma boleh dikeluarkan daripada permukaan kanta menerusi gosokan ringkas disertai dengan bilasan.

Namun, sejak cecair pelbagai guna formula ‘tanpa gosokan’ untuk kanta lekap dikeluarkan, ramai pengguna mengaplikasikan teknik yang salah.

Maknanya, kebanyakan pengguna kanta lekap nampaknya lebih cenderung merendam kanta lekap selama empat hingga enam jam sebagai satu-satunya kaedah untuk menjaga peralatan itu.

“Cecair tanpa gosokan pada awalnya diperkenalkan untuk memudahkan rejim penjagaan kanta lekap pengguna. Malangnya, ia telah menjurus kepada masalah pengguna melupakan bilasan sebelum merendam alat tersebut.

“Bilasan prarendam ini penting untuk menyingkirkan habuk dan mikroorganisma. Gosokan lembut pada kanta lekap perlulah dilakukan secara sistematik. Iaitu dari bahagian tengah ke arah luar tanpa memerlukan pergerakan berpusing-pusing,” katanya.

Kaedah ini katanya dapat mengurangkan kanta lekap daripada terkoyak dan berupaya menyingkirkan habuk daripada bahagian luar kanta lekap.

Di samping itu, kebersihan penggunaan kanta lekap juga tidak hanya terhad kepada penggunaan cecair pembersih. Pakar penjagaan mata profesional perlu menekankan tentang perlunya kebersihan, persekitaran yang bersih, penggantian kanta lekap, rejim gosok dan bilas, pembasmian kuman serta pertukaran kotak kanta lekap dan pemeriksaan susulan.

Bagaimanakah pula pengguna kanta lekap mengurangkan ketidakselesaan akibat kekeringan mata? Menurut Dr. David, penilaian menyeluruh oleh seorang pakar profesional terhadap punca berlakunya mata kering boleh membantu menentukan program rawatan sewajarnya.

Jelas Dr. David lagi, masalah mata kering yang berlanjutan tanpa rawatan boleh memberi sedikit kesan kepada kesihatan okular.

“Masalah itu akan menjurus kepada masalah patologi sehingga menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat dan juga berpotensi mengakibatkan hilang penglihatan jika tidak dirawat,” katanya.

Info Sihat

KEKALKAN BERAT BADAN

PELBAGAI cara dibuat untuk memastikan berat badan sentiasa ideal dan tidak bertambah. Namun, usaha menurunkan berat badan berlebihan adalah sesuatu yang perlu dilakukan dengan betul agar sasaran yang dikehendaki menjadi kenyataan.

Antara yang perlu dibuat untuk mencapai sasaran itu adalah dengan mengenal pasti ‘formula’ yang boleh memberi motivasi jangka panjang supaya terus bersenam atau menjaga diet. Kemudian, seseorang perlu realistik dengan sasaran berat badan dengan mengambil kira tempohnya.


"AMBIL kira nisbah pengambilan kalori dan kadar penggunaannya semula."


Selain memberi perhatian kepada nisbah pengambilan dengan pembakaran kalori, seseorang juga boleh membiasakan diri dengan tabiat membeli barangan dapur yang sihat. Simpan rekod makanan yang dimakan, termasuk jumlah kalori dan kekerapan bersenam.

Juga tidak perlu untuk menimbang berat setiap hari. Memadai dengan sekali setiap minggu. Sebagai tambahan, fikirkan dahulu tentang pengurangan kiraan inci berbanding penurunan kiraan berat.

ANGGUR RENDAHKAN TEKANAN DARAH

SEBUAH kajian yang tercatat dalam Journal of Gerontology: Biological Sciences, memberitahu bahawa buah anggur boleh membantu masalah pesakit yang mengalami tekanan darah tinggi.

Penemuan itu mengukuhkan teori mengenai kandungan anggur yang memberi impak secara langsung terhadap penurunan kadar tekanan darah seterusnya menangani risiko penyakit kardiovaskular.


SEJAK zaman dahulu, anggur sudah diketahui mempunyai banyak khasiat dan kesan perubatan untuk kelancaran fungsi kardiovaskular.


Hasil uji kaji selama 18 minggu yang telah dijalankan ke atas tikus makmal di University of Michigan itu mendapati kumpulan tikus yang diberi makan serbuk anggur (memiliki nutrien yang serupa dengan anggur segar) mempunyai tekanan darah yang lebih rendah.

Berbanding kumpulan tikus yang diberi diet bergaram, tikus yang memakan serbuk anggur itu menunjukkan fungsi jantung yang lebih baik, selain pengurangan kesan radang di seluruh tubuh, serta kadar kerosakan otot jantung yang rendah.




TOMBOL PINTU ‘SANTUARI’ KUMAN

SAINTIS dari University of Virginia, Amerika Syarikat, mendapati bahawa kuman dan virus selesema paling banyak ditinggalkan di permukaan tertentu yang sering disentuh manusia dalam kediaman mereka.

Antara tempat-tempat perkumpulan kuman yang paling nyata adalah seperti tombol pintu, alat kawalan jauh televisyen dan juga tombol pemegang peti sejuk.

Pada tempat dan peralatan seperti inilah tanpa kita sedari, kuman dan virus mudah disebarkan. Ini terjadi kerana tangan kita menjadi tempat ideal pembiakan disebabkan faktor suhu, kelembapan, serta di situlah juga bendasing seperti minyak, sisa makanan dan kekotoran lain terkumpul.


"TOMBOL pintu adalah tempat yang paling banyak mengumpul bakteria dan virus lantaran ia sering disentuh oleh manusia, sama ada dalam kediaman mahupun pejabat."


Virus selesema pula misalnya, boleh hidup selama dua hari atau lebih di permukaan objek berkenaan terutamanya apabila pesakit selesema itu mengambil mudah tabiat mengesat hidung yang berair dengan tangan,

Kumpulan penyelidik itu pernah membuktikan bahawa kuman boleh terus hidup di dalam bilik hotel yang telah ditinggalkan penginap yang sakit. Virus selesema yang ditinggalkan boleh dijangkiti penginap bilik yang berikutnya.

Maka, antara tempat yang perlu diberi perhatian lebih ketika membersihkan rumah adalah suis elektrik, pili air di tandas dan bilik mandi, serta gagang telefon.

MENGAPA RAMBUT GUGUR?

KEGUGURAN rambut sering menjadi isu besar di kalangan lelaki dan wanita. Rambut merupakan komponen yang terhasil daripada protein. Maka, terdapat banyak penyebab masalah keguguran rambut yang berkait rapat dengan soal diet. Kekurangan nutrien, gaya hidup yang stres, dan penggunaan bahan kimia penggaya rambut turut menjadi punca.

Terdapat banyak tabiat lazim yang kita lakukan tetapi tanpa disedari meninggalkan kesan terhadap kesihatan rambut, akar rambut dan kulit kepala. Antaranya adalah seperti merosakkannya dengan pewarna rambut tanpa mengikut panduan pakar, menggunakan alat pengering rambut dengan kerap dan juga terus tidur malam tanpa mencuci dan mengeringkan rambut terlebih dahulu.

Mungkin sebelum menyalahkan perubahan hormon, komplikasi organ dalaman dan obsesi diet yang salah, seseorang perlu menjaga tahap kebersihan di kepala masing-masing. Walaupun bukan kriteria yang menentukan sifat empunya diri, pasti ramai yang mengakui bahawa rambut adalah penyeri penampilan.

KESAN SAMPINGAN SEDATIF

MAYO Clinic di Minnesota, Amerika Syarikat mendapati penggunaan ubat-ubatan penenang seperti sedatif propofol mempunyai kaitan dengan risiko komplikasi tinggi malah kematian di kalangan pesakit yang menghidap sawan berpanjangan.


BERWASPADA dengan pengambilan ubat kerana pesakit RSE yang dirawat dengan propofol berisiko mendapat kesan sampingan.


Kajian telah dijalankan ke atas para pesakit yang menghidap refraktori status epileptikus (RSE) iaitu sawan berpanjangan yang tidak bertindak balas terhadap rawatan asas. Keadaan ini terjadi di kalangan pesakit epilepsi primer dan mereka yang mengalami trauma, ketumbuhan dan juga jangkitan yang menjejaskan fungsi otak.

Propofol digunakan untuk merawat pesakit RSE, tetapi ia lebih lazim digunakan sebagai sedatif ketika pembedahan atau prosedur rawatan bagi penyakit lain. Dalam kes sedemikian, propofol yang digunakan hanyalah dalam dos rendah dan untuk jangka masa pendek.

Pesakit RSE yang dirawat dengan propofol berisiko mendapat kesan sampingan akibat propofol kerana kadar kemasukan propofol yang tinggi dan jangka masa rawatan yang berpanjangan. Hakikat ketoksinan propofol sememangnya tidak boleh dipandang remeh.

Biasa atau kronik?


Batuk yang sering kita alami adalah petanda sistem pertahanan imunisasi sedang cuba dilemahkan oleh sesuatu.


DENGAN mengetahui jenis batuk yang dialami, seseorang boleh membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan perubatan jika perlu.


MASALAH sering bermula dengan rasa gatal pada tekak. Seterusnya, tekak terasa semakin gatal dan tidak lama kemudian, kita mula mengalami batuk-batuk yang teruk.

Semua orang pernah diserang batuk sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan pengalaman ini sememangnya kurang menyenangkan terutamanya jika kita sedang melakukan sesuatu yang penting seperti menghadiri mesyuarat, memberi ucapan atau menyertai telepersidangan.

"Sebenarnya batuk ialah sejenis mekanisme pertahanan fisiologi yang penting. Ini merupakan cara semula jadi tubuh untuk melindungi sistem pernafasan dengan mengeluarkan bahan rengsa atau rembesan daripada saluran udara," kata Dr. Patrick Chan, perunding Pediatrik dan Dada.


DR. PATRICK CHAN


Refleks batuk berlaku secara spontan apabila bahan pencemar merangsang lapisan saluran udara, menyebabkan pembebasan udara secara kuat daripada paru-paru untuk mengeluarkan sebarang bahan rengsa dan penghalang.

Masalah batuk biasanya pulih selepas tempoh masa tertentu. namun begitu, ada juga kes batuk yang dialami lebih kerap dan berpanjangan apabila sistem pernafasan dijangkiti atau terus terdedah kepada bahan cemar alam sekitar seperti wasap kenderaan, asap atau jerebu.

"Apabila ini berlaku, batuk boleh membawa kesan serius kepada pesakit, kerana akan mengganggu tidur dan selera makan. Batuk kronik boleh menyebabkan seseorang terasa terlalu letih untuk pergi ke sekolah atau bekerja," terang Patrick.


SESEORANG perlu pergi berjumpa doktor jika batuk berpanjangan.


Kebanyakan orang menganggap batuk sebagai satu masalah kecil. Namun begitu, batuk yang berterusan dan teruk boleh menyebabkan kerumitan kerana tekanan intratoraks dan intraabdomen kepada sistem badan

Ini mungkin termasuk sakit kepala, disritmia kardium (denyutan jantung tak sekata), masalah tidur, pendarahan subkonjunktiva (mata merah), muntah disebabkan batuk, hernia inguinal dan refluks gastroesofagus.

"Dengan mengetahui jenis batuk yang dialami, anda boleh membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan perubatan jika perlu dan bukannya menunggu sehingga masalah batuk pulih secara sendiri," katanya.




Menurutnya, seseorang perlu pergi berjumpa doktor jika batuk berpanjangan lebih daripada tiga minggu, sesak nafas, atau mengalami kesakitan teruk atau pengsan.

Batuk juga perlu dirujuk pada doktor jika membawa kepada masalah lain seperti muntah darah, batuk anda begitu teruk sehingga tak dapat tidur malam atau anda bimbang tentang punca batuk.

"Batuk terbahagi kepada dua iaitu batuk kering atau yang berkahak. Batuk kering tidak menghasilkan mukus, manakala batuk berkahak kedengaran seperti berair dan menyebabkan pengeluaran kahak (mukus)," jelas Patrick tentang jenis batuk.

Batuk yang kering dan nyaring mungkin menandakan radang larinks, manakala batuk yang kerap dialami secara berulang dengan nafas yang ditarik panjang seperti berdesis mungkin menandakan jangkitan salur pernafasan yang disebabkan oleh pertusis. Batuk berdengking pula mungkin disebabkan oleh jangkitan virus pada pita suara, larinks dan trakea.

"Jika anda mengalami batuk berkahak, perhatikan warna dan rupa kahak untuk menentukan jenis jangkitan yang anda alami," terangnya.

Kahak yang bernanah dan berwarna keperangan menunjukkan jangkitan bakteria, manakala mukus kelabu keputihan menandakan alahan atau jangkitan virus, sementara kahak berbuih dikaitkan dengan edema pulmonari (bengkak paru-paru), iaitu kesan kegagalan jantung.

"Pesakit dengan kegagalan jantung biasanya batuk teruk pada waktu malam apabila berbaring, manakala perokok dan penghidap asma biasanya mengalami batuk sekali-sekala pada awal pagi yang kadangkala berdehit. Dalam keadaan lebih serius, kahak yang keluar mungkin berdarah," tambah Patrick.

Masalah batuk kerap yang dialami kurang daripada dua minggu boleh diklasifikasikan sebagai batuk akut, yang biasanya berpunca daripada jangkitan pernafasan virus seperti selesema biasa dan flu.

"Batuk yang berlarutan lebih daripada dua minggu dianggap batuk kronik. Walaupun batuk kronik biasanya tidak mengancam nyawa, punca asasnya perlu disiasat jika batuk berpanjangan," Patrick mengingatkan.