Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

21.9.09

Trend baru HIV/Aids


Oleh Hafizah Iszahanid

Faktor hubungan seks tidak selamat atasi penagihan dadah di Malaysia

TREND peningkatan kes HIV/Aids di Malaysia ketika ini bukan lagi disebabkan masalah penagihan dadah dan penggunaan jarum suntikan, sebaliknya hubungan seks yang tidak selamat lelaki dengan perempuan serta aktiviti homoseksual.

Sejak 1994, kes jangkitan HIV membabitkan wanita mencatat peningkatan kepada 104 berbanding 66 kes pada tahun sebelumnya, manakala kes Aids tertinggi dicatatkan pada 2006 membabitkan 222 kes. Pada 2007, 745 kes baru HIV dicatatkan di kalangan wanita, manakala 131 kematian direkodkan untuk tahun sama.


Mungkin ada yang mengaitkan peningkatan itu disebabkan ‘perkhidmatan’ pekerja seks. Namun, perangkaan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 1986 hingga 2007 menunjukkan hanya 482 kes membabitkan golongan itu.

Sebaliknya, kes jangkitan HIV paling ramai dikesan membabitkan suri rumah sepenuh masa atau 2,438 kes, manakala kes Aids untuk suri rumah pula sebanyak 497 kes.

Setakat akhir Disember 2008, sejumlah 704 kes baru HIV dikesan di kalangan wanita, manakala 114 kematian wanita disebabkan Aids dicatatkan untuk tahun sama bagi wanita ialah sebanyak 114. Malah di negara ini, lebih 80,000 orang positif dengan HIV dikesan sejak 1986.

Senario membimbangkan dan mengejutkan kerana menyaksikan perubahan trend itu turut diakui Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.

“Trend ini sudah berubah. Jika dulu, sebut saja kes HIV/Aids di Malaysia, ia pasti dikaitkan dengan penagihan dadah, tetapi pada masa sekarang, faktor hubungan seksual antara suami isteri serta golongan homoseksual juga menjadi punca meningkatnya kes HIV/Aids,” katanya.

Hakikatnya, peningkatan HIV/Aids disebabkan hubungan seks tidak selamat sudah bermula sejak pertengahan 1990 dan semakin ketara sejak kebelakangan ini. Sebagai perbandingan, bagi 2003, 70.2 peratus kes HIV di Malaysia disebabkan hubungan heteroseksual, 23.2 peratus penggunaan jarum suntikan dan selebihnya faktor lain.

Bagi 2006 pula, 875 kes baru jangkitan HIV dicatatkan di kalangan wanita dengan 222 kes Aids, manakala setakat Disember lalu, kurang 10 peratus daripada keseluruhan 84,630 kes yang dilaporkan, membabitkan wanita dan gadis. Secara purata, 19 peratus kes baru membabitkan wanita - jumlah tertinggi dilaporkan sejak HIV mula dikesan di Malaysia.

Malah sejak permulaan epidemik HIV/Aids di negara ini, penyebab utamanya ialah penggunaan jarum yang tercemar di kalangan penagih dadah, diikuti faktor golongan heteroseksual. Bagaimanapun sejak lima tahun kebelakangan ini, trend baru peningkatan kes HIV dicatat dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Untuk tahun lalu saja, golongan wanita dan kanak-kanak adalah satu per lima atau 20 peratus daripada keseluruhan kes baru di seluruh negara.

Di seluruh Asia misalnya, sejumlah lima juta orang disahkan HIV positif pada 2007. Namun pasti ramai terkejut apabila mengetahui Malaysia menjadi antara negara tertinggi mencatat kes HIV/Aids di Asia Tenggara.

Bagi rantau Asia, penggunaan jarum suntikan masih menjadi faktor utama, misalnya di China, India, Pakistan dan Vietnam. Apa yang pasti, faktor hubungan heteroseksual dan homoseksual semakin meningkat, khususnya di India, Indonesia, Pakistan dan Afghanistan. Kajian di Bangkok, Thailand dan Ho Chi Minh di Vietnam turut menunjukkan peningkatan kes HIV/Aids berkait rapat dengan hubungan golongan homoseks.

Pengarah Institut Kesihatan Global Antarabangsa, sebuah agensi di bawah Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata walaupun HIV dan Aids sudah dikenali sejak dua dekad lalu tetapi ia masih kekal sebagai masalah yang belum lagi berkesudahan.

Walaupun ada antiviral yang melewatkan Aids di kalangan pesakit yang positif HIV tetapi usaha mengawal HIV daripada tersebar dilihat masih mencabar.

Di seluruh dunia, jumlah mereka yang positif HIV meningkat, begitu juga kematian disebabkan Aids. Malah 33 juta penduduk dunia hidup dengan HIV. Bagi 2007, sejumlah 2.7 juta orang yang positif HIV adalah golongan dewasa dan kanak-kanak.

Hari ini di Malaysia, walaupun kes baru yang positif HIV berkurangan berbanding lima tahun lalu, namun peningkatan kes baru pula, kebanyakannya membabitkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita, selain lelaki dan lelaki. Ia perkembangan yang menakutkan kerana membabitkan golongan isteri dan kanak-kanak.

“Kebanyakan golongan ini tidak didiagnosis. Mereka tidak tahu status HIV mereka. Ada yang sudah sakit tetapi tidak tahu masalah kesihatan yang mereka hadapi. Sebenarnya, kembali kepada pegangan agama adalah jalan terbaik. Bagi golongan agama, membuang stigma dan bersikap terbuka untuk membantu mereka kembali pada agama memberi dimensi baru bagi pencegahan HIV/Aids di Malaysia,” kata Dr Mohamed Salleh.

Pengerusi PT Foundation, Hisham Hussien, berkata jalan terbaik mengekang penularan HIV/Aids ialah dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing. Namun, jika ia terlalu berat untuk dilakukan, mengamalkan seks selamat adalah cara terbaik.

Katanya, dengan peningkatan kes HIV/Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak, ia sebenarnya menzalimi mereka yang tidak berdosa.

“Sayangi isteri dan keluarga, amalkan seks selamat dan ketahuilah setiap orang berpotensi dijangkiti HIV/Aids,” katanya.

Katanya, walaupun isteri setia dengan suami dalam hubungan intim, suami mungkin tidak jujur dalam perhubungan. Selain itu faktor suami penagih dadah juga memungkinkan isteri dijangkiti HIV.

Seperti yang kerap ditekankan kerajaan, setiap orang perlu memahami bagaimana HIV/Aids berjangkit kerana ia tidak merebak melalui sentuhan atau duduk berdekatan dengan pesakit, sebaliknya berjangkit melalui jarum suntikan dan hubungan seks tidak selamat.

Justeru, sesiapa saja yang tidak berhati-hati seperti kerap bertukar pasangan dan tidak mengamalkan seks selamat, perlu menyedari mereka bukan lagi berdepan risiko jangkitan penyakit kelamin, tetapi juga dijangkiti HIV/Aids.

Sokongan keluarga bantu pesakit

PENGHIDAP HIV, Narina Ali (bukan nama sebenar) disahkan positif HIV ketika berusia 29 tahun.

Pada usia itu, apalah sangat diketahuinya mengenai penyakit itu kecuali nasib dirinya yang dijangkiti HIV bukan kerana tindakan sendiri, tetapi bersuamikan seorang penagih dadah.

Beliau yang kini berusia 38 tahun juga tidak menyalahkan suaminya yang sudah disahkan menghidap HIV beberapa tahun lebih awal daripadanya.

Namun, seperti juga kebanyakan yang lain, jauh di sudut hatinya, Narina tidak menyangka beliau boleh dijangkiti HIV.

Menyedari kehidupan perlu diteruskan, Narina berfikiran positif. Malangnya, akibat terlalu kerap menukar kerja berikutan keadaan suami yang tiada pendapatan tetap, membuatkan wanita itu kurang prihatin terhadap kesihatan dirinya.

Akibatnya, tubuhnya terlalu lemah dan beliau tiada daya untuk ke tempat kerja, jauh sekali melakukan pekerjaan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Pada mulanya saya mendapatkan rawatan kerana masalah seperti kerap demam serta keadaan tubuh yang lemah. Namun, ujian darah mengesahkan saya positif dengan HIV.

“Tuhan saja tahu betapa remuknya hati ini apabila disahkan penghidap HIV. Tetapi rasa sedih itu hadir seketika saja kerana saya tahu, saya harus reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Ketika disahkan menghidap HIV, Narina sudah dikurniakan seorang cahaya mata. Malah anak keduanya lahir selepas beliau bergelar penghidap HIV. Bagaimanapun, Narina bersyukur kerana kedua-dua anaknya bebas HIV.

Jika orang lain sudah pastinya tertekan apabila disahkan positif HIV, Narina sebaliknya menerima berita itu dengan tenang. Beliau tidak berasa tertekan atau marah pada suaminya, sebaliknya beranggapan semua kejadian itu ada hikmahnya.

“Saya menerima dengan penuh reda. Mungkin antara sebabnya saya mampu tenang adalah faktor keluarga yang tidak pernah putus-putus memberi sokongan. Mereka tidak pernah menyisihkan saya.

“Malah selepas kematian suami, mereka tetap setia memberi semangat, selain sudi menjaga anak-anak dan saya.”

Ternyata, dugaan Nurina tidak setakat itu. Ketika mengharungi kehidupannya, Narina diuji lagi apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu ketika pulang dari kerja.

Kemalangan itu menyebabkan Narina lumpuh. Sejak itu, semua kebajikan dirinya dan anak-anak dijaga oleh keluarganya. Kehidupannya disara sepenuhnya oleh adik beradiknya yang lain.

“Saya sentiasa berfikiran positif untuk terus hidup. Apa lagi yang boleh saya katakan. Suami sudah meninggal dunia, hendak salahkan beliau pun tidak berbaloi. Saya kini hanya mahu mendidik anak-anak sehingga berjaya dan bersyukur mereka bebas HIV,” katanya.

INFO: Kategori wanita yang dijangkiti HIV/Aids di Malaysia

  • Pengguna jarum suntikan - wanita membentuk dua peratus daripada populasi penagih dadah.
  • Suri rumah - paling tinggi dilaporkan di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan 300 kes baru setiap tahun adalah golongan ini.
  • Pekerja seks - 543 pelacur dijangkiti HIV hingga Disember 2008
  • Remaja - semakin ramai gadis remaja yang memulakan aktiviti seks di luar perkahwinan dan sebelum usia 18 tahun.

Penyakit golongan pekerja


Oleh Hafizah Iszahanid




Seramai 135,000 rakyat Malaysia pada usia produktif hidap sakit sendi rheumatoid arthritis

ARTHRITIS dan penyakit yang berkaitan dengan otot, adalah antara punca utama morbiditi atau masalah kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai penyakit ini sehinggalah ia dialami oleh diri sendiri atau ahli keluarga.

Tidak kurang juga yang mungkin memandang ringan terhadap penyakit ini dan menganggapnya sekadar sakit sendi biasa biarpun hakikatnya ini boleh menjejaskan kualiti hidup individu itu serta kegiatan sehariannya.


Secara umumnya, arthritis berpunca disebabkan radang pada sendi dan perubahan struktur sendi yang kemudian menjejaskan kehidupan pesakit. Kebanyakan pesakit menghidapnya bagi tempoh yang lama atau ia mungkin terjadi sebagai penyakit kronik.

Penyakit arthritis yang biasa adalah rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis dan ankylosing spondylitis (masalah struktur tulang belakang). Walaupun lazimnya ia dikenali arthritis atau radang sendi, setiap penyakit memiliki manifestasi sendiri dan dialami kumpulan usia berbeza.

RA misalnya menyebabkan kesakitan, menyekat keupayaan fizikal dan menjejaskan kehidupan pesakit mahu pun ahli keluarganya.

Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA.

Presiden Yayasan Arthritis Malaysia, Dr Amir Azlan Zain, berkata kebanyakan pesakit yang menghidap RA adalah dalam usia bekerja dan kesakitan itu mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan.

“RA tidak hanya menjejaskan sendi, tetapi turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Malah ada kira-kira 135,000 penghidap RA di Malaysia.

“Penghidap tidak hanya mengalami sakit sendi dan sukar bergerak, malah turut menjejaskan mutu kerja, sentiasa cuti sakit dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya.

Malah ia turut memerlukan kos rawatan tinggi terutama di kalangan pesakit yang menderita bagi jangka masa yang lama. Jumlah wang dibelanjakan bukan hanya untuk ubat-ubatan dan bil hospital tetapi meliputi rawatan pemulihan dan menggaji pengasuh.

Imej imbasan jari jemari yang diserang RA.

Maklumat Statistik Ubat Malaysia 2005 mendapati, kos ubat untuk RA ialah RM50.7 juta manakala jumlah kos tidak langsung dianggarkan kira-kira RM202.8 juta atau empat kali ganda berbanding kos langsung.

Justeru, pengesanan dan rawatan awal RA amat penting dan ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan imbasan ultrasound atau imbasan resonan magnetik (MRI). Namun, kos imbasan MRI menelan belanja yang tinggi.

Satu pilihan untuk pesakit RA adalah melakukan imbasan ultrasound rangka otot. Kosnya murah berbanding MRI dan ia boleh mengesan sendi yang radang. Diagnosisnya lebih tepat terutama di peringkat awal penyakit, sekali gus membantu petugas perubatan memantau kesan rawatan ke atas pesakit.

Pakar Rheumatologi, Universita Politecnica delle Marche, Itali, Prof Walter Grassi berkata, dalam dunia perubatan rheumatologi, teknologi imbasan sudah dikenal pasti membantu pesakit. Imbasan ultrasound rangka otot (MSUS) membantu diagnos dan merawat keadaan kesihatan dengan memberi imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

“Melalui MSUS, perubahan struktur sendi pada peringkat awal dapat dikesan. Mesin imbasan ultrasound membantu mengesan sendi bermasalah serta tisu lembut di sekelilingnya. Kaedah ini disifatkan tidak mahal dan mengelak pendedahan radiasi,” katanya.

Pengesanan dan rawatan awal RA penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi kronik dan mengurangkan beban sosio ekonomi negara.

“Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA pada peringkat awal. Kemajuan mesin pengimbas membantu pakar rheumatologi memberi maklumat lebih baik dan tepat. Ia juga memberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit,” katanya.

Grassi berkata, MSUS dapat membantu terutama bagi mengesan hakisan awal pada sendi, menilai keradangan pada tisu kenyal sinovia pada sendi, memantau kesan rawatan selain menilai keadaan radang antara otot tulang dan tulang.

Sebenarnya, bagi dunia perubatan antarabangsa, mesin imbasan rangka otot ini sudah lama diperkenalkan dan terbukti membantu petugas perubatan melihat imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

Cuma di Malaysia, MSUS agak asing kerana baru diperkenalkan. Ia bagaimanapun sudah ditempatkan di beberapa hospital utama di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan Sabah. Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang dan Hospital Seremban.

RA cenderung berlaku kepada wanita

RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan. RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khusunya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup.

Ada 23.7 juta penghidap RA di seluruh dunia manakala di Malaysia pula dianggarkan seramai 135,000 pesakit.

RA antara dua hingga tiga kali lebih cenderung terjadi pada wanita berbanding lelaki. Umumnya, RA muncul antara usia 40 ke 60 tahun. Namun RA juga boleh menyerang kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Tiada ubat untuk RA. Cuma, dengan rawatan yang teratur sendi boleh dilindungi daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA.

RA yang progres sifatnya menyebabkan sel synovial (sel antara tulang dan sekitar sendi yang menghasilkan cecair melincirkan sendi) menjadi tidak normal. Ia masuk ke dalam rawan sendi dan menjejaskan otot, ligamen juga tendon di sekeliling sendi yang secara lazimnya bekerja menyokong dan menstabilkan sendi.

Radang sendi yang kronik disebabkan RA boleh menyebabkan otot, ligamen dan tendon menjadi lemah menyebabkan ia tidak boleh berfungsi.

Setakat ini RA tidak boleh diubati. Rawatan RA tertumpu pada mengurangkan keradangan pada sendi bagi memperlahankan kerosakan sendi dan melegakan kesakitan. Selain ubat-ubatan, rawatan RA juga mungkin membabitkan pembedahan bagi kes kerosakan sendi yang serius.

INFO

Simptom RA


  • Sakit sendi

  • Sendi bengkak

  • Sendi sakit apabila disentuh

  • Tangan bengkak dan merah

  • Ada benjol keras di lengan

  • Penat

  • Kekejangan pada sendi sekurang-kurangnya 30 minit pada waktu pagi dan mula surut apabila hari mula meninggi

  • Demam

  • Berat badan turun
  • Cuci tangan elak kuman


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    AIDILFITRI yang bakal disambut seminggu lagi sudah terasa kemeriahannya. Beberapa hari lagi sanak saudara mula berkumpul dan ketika ini banyak perkara perlu diberi perhatian, terutama aspek kebersihan.

    “Setiap hari kita dikelilingi hampir 60,000 jenis kuman tetapi hanya satu hingga dua peratus yang berbahaya kepada orang yang mempunyai daya ketahanan badan normal,” kata Pengarah Mikrobiologi dan Imunologi Klinikal, Universiti New York, Philip Tierno,

    Tidak kira berapa kerap anda membersihkan rumah, kemungkinan mendapat jangkitan sentiasa ada, terutama apabila bilangan isi rumah bertambah secara mendadak dan banyak pergerakan keluar masuk seperti pada musim perayaan.

    Tahukah anda, banyak barang kegunaan harian mempunyai potensi besar menjadi tempat pengumpulan dan pembiakan kuman berbahaya, termasuk virus yang boleh mendatangkan masalah kesihatan seperti selesema dan influenza.



    Antara pengumpul kuman itu ialah:

  • Lap dapur — Di seluruh dunia, kain lap dapur adalah ‘peralatan’ rumah paling kotor, tercemar dan mengandungi banyak kuman. Kajian menunjukkan lebih 89 peratus rumah di seluruh dunia mengandungi bakteria pada tahap tidak memuaskan, manakala 78 peratus lagi dikategorikan sebagai tercemar dan kotor.

    Kajian Kebersihan Rumah Antarabangsa mendapati 100 peratus rumah responden Malaysia mempunyai kain lap dapur yang sangat kotor dan tercemar. Kita boleh mengubah keadaan ini dengan menukar kain lap dapur sekerap mungkin dan gunakan kain lap berlainan bagi tujuan berbeza.

    Contohnya, kain lap tangan mestilah hanya untuk mengeringkan tangan dan tidak digunakan untuk membersihkan permukaan dapur atau papan pemotong. Menggunakan satu kain lap untuk semua kegunaan sebenarnya membantu menyebarkan bakteria seperti Escherichia coli (E coli) ke seluruh dapur.

    Cuci kain lap dengan sabun dan jemur hingga kering. Jangan guna kain lap yang lembap kerana kelembapan dan cuaca hangat seperti di negara kita memberi persekitaran terbaik untuk pembiakan bakteria.

  • Papan pemotong — Menurut pensyarah mikrobiologi Universiti Arizona, Profesor Charles Gerba, secara purata papan pemotong mengandungi 200 kali ganda bakteria berbanding penutup tandas. Ini kerana kebanyakan orang hanya membilas papan pemotong dan bukan mencuci dengan sabun, terutama jika ia digunakan untuk memotong buah atau sayur-sayuran.

    Ganti papan pemotong yang usang dan mempunyai tompok hitam. Untuk mengelak jangkitan silang, guna papan pemotong berbeza untuk bahan mentah dengan makanan yang sudah dimasak.

  • Alat kawalan jauh — Biasanya apabila berkumpul, televisyen ‘bertugas’ lebih lama daripada biasa kerana masing-masing ada rancangan kegemaran tersendiri. Ketika musim perayaan, alat kawalan jauh paling kerap bertukar tangan dan kemungkinan ia dicemari adalah sangat tinggi, khususnya apabila ia lebih banyak dikuasai kanak-kanak.

    Rasanya tidak ramai membersihkan alat kawalan jauh. Bagaimanapun pada musim perayaan ini adalah masa terbaik untuk memulakan tabiat membersihkan alat kawalan jauh sekurang-kurangnya seminggu sekali sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan, terutama pada kanak-kanak kecil.

    Bersihkan alat ini dengan lebih kerap jika ada ahli keluarga diserang selesema atau demam. Pada masa sama minta anak tidak makan di depan televisyen dan jika ia tidak dapat dielakkan, pastikan mereka tidak menyentuh alat kawalan jauh. Ini kerana jika mereka menyentuh alat kawalan jauh dengan tangan kanan, perjalanan kuman dari alat berkenaan ke mulut menjadi lebih cepat.

  • Telefon bimbit atau rumah — Siapa yang pernah membersihkan telefon mereka dengan pencuci anti kuman? Kuman yang terkumpul pada telefon datang dari dua sumber iaitu tangan dan mulut (percikan air liur). Dalam satu kajian dijalankan di Israel mendapati, sekurang-kurangnya 20 peratus telefon bimbit kakitangan hospital ada beberapa jenis bakteria berbahaya.

  • Dompet duit — Walaupun fungsinya sama, dompet duit wanita dan lelaki mengumpul kuman dengan cara berbeza. Wanita biasanya membimbit dompet mereka jika tidak membawa beg tangan. Kerap juga dompet diletakkan di atas lantai. Walaupun selalu dibersihkan, lantai masih tidak bebas daripada kuman berbahaya, apatah lagi jika ada anak rancak bermain keluar-masuk rumah.

    Malah bagi keluarga yang ada anak kecil, pastikan anda membentangkan lapik khas ketika menukar lampin. Bersihkan lapik ini menggunakan sabun dan air serta jemur hingga kering sebelum disimpan. Elak membaringkan anak di atas lantai tanpa lapik kerana cara ini memindahkan bakteria atau virus daripada lampin ke lantai yang akhirnya boleh menjangkiti orang lain.

    Duit adalah benda paling cepat bertukar tangan dan dompet lelaki boleh menjadi medan pembiakan kuman. Suhu badan yang menghangatkan dompet adalah suhu ideal untuk bakteria membiak dan keadaan menjadi lebih teruk jika ada wang kertas lembap disimpan bersama.

  • Troli beli-belah — Kalau anda perhatikan, ramai orang meletakkan anak di dalam troli bagi memudahkan mereka membeli barang. Dalam satu kajian didapati hampir 50 peratus troli beli-belah mempunyai bakteria E coli yang boleh berpindah dengan mudah kepada pengguna, kanak-kanak dan barang yang dibeli. Ini mungkin sedikit berbeza dengan troli mempunyai tempat duduk khusus bagi kanak-kanak, tetapi risiko jangkitan tetap ada.

    Tidak kira apapun anda lakukan, penyebaran bakteria dan virus berbahaya boleh dicegah dengan mudah melalui amalan mencuci tangan sama ada menggunakan sabun mahupun cecair anti kuman tanpa bilas.

    Mencuci tangan adalah kaedah paling mudah, murah dan berkesan untuk menyekat penularan penyakit, terutama ketika semua ahli keluarga berkumpul pada musim perayaan.
  • Pulih mata


    Oleh Hafizah Iszahanid

    Rawatan Lasek, Lasik rawat masalah penglihatan dalam beberapa saat

    PENGGUNAAN kanta lekap atau menggunakan kaca mata adalah antara pilihan bagi memperbaiki penglihatan yang terjejas. Namun, satu lagi pilihan untuk anda yang 'letih' menggunakan kaca mata dan kanta lekap adalah dengan menjalani rawatan pemulihan penglihatan dengan kaedah laser.

    Ada dua jenis kaedah laser yang boleh anda pilih, iaitu Lasik (Laser-assisted In Situ Keratomileusis) dan Lasek (Laser-assisted Subephithelial Keratomileusis).


    Pakar Mata, Pusat Pakar Mata Optimax, Dr Norazlina Bachik, berkata masalah seperti rabun jauh, rabun dekat, penuaan mata (presbyopia) dan silau misalnya, boleh juga dipulihkan melalui pembedahan laser.

    “Berbanding dulu, teknik terkini dalam rawatan menggunakan laser semakin baik dengan penemuan teknologi terkini. Hari ini rawatan dengan laser hanya hanya mengambil masa beberapa saat saja,” katanya.

    Berbanding Lasek, Lasik lebih popular. Namun, Lasek adalah pilihan jika seseorang itu memiliki kornea yang tebal.

    Lasik prosedur dengan laser eksimer yang bertindak secara kekal bentuk kornea. Sedikit tisu kornea dikeluarkan bagi membentuk flap (lapisan nipis di permukaan kornea). Dua teknik yang ada bagi membentuk flap adalah microkeratome atau femtosecond. Walaupun tujuannya menghasilkan flap, namun kedua-duanya ada sedikit perbezaan.

    Microkeratome memerlukan sedikit tisu di bawah kornea dibuang menggunakan laser excimer, iaitu sejenis laser yang menggunakan cahaya ultra ungu untuk membuang dan membentuk tisu kornea.

    Apabila kornea dibentuk semula, ia mampu memfokus cahaya ke dalam mata dan retina sekali gus memberi penglihatan yang jelas. Flap kornea akan diletakkan ke tempatnya untuk menutup kawasan tisu kornea yang dibuang.

    Dalam teknik laser femtosecond pula, flap kornea dihasilkan dengan panahan laser berpandukan komputer. Sinar laser akan bergerak di kornea, menghasilkan lapisan buih nipis di laluannya. Bagaimanapun, buih itu cepat hilang dan tisu di bawah buih membentuk flap kornea yang mudah dimanipulasikan oleh pakar bedah.

    Jelas Dr Norazlina, walaupun Lasik dijalankan di bawah permukaan tisu pelindung kornea, risiko kekaburan kornea sangat sedikit manakala risiko ketidakselesaan pasca-pembedahan sedikit atau tiada langsung. Tempoh perubahan pasca perubahan juga pendek.

    Untuk Lasek, Dr Norazlina menjelaskan ia sebenarnya pengubahsuaian pada kaedah sedia ada PRK (Photo Refractive Keratectomy).

    Dalam prosedur ini lapisan atas kornea tidak dikeluarkan sebelum rawatan sebaliknya dilonggarkan dengan larutan alkohol dan dilipat sebelum rawatan laser dibuat. Lasek adalah pilihan yang baik kepada kaedah Lasik, jika ketebalan kornea menjadi isu.

    Beberapa titik alkohol dititiskan ke atas kornea selama 20 ke 30 saat, epitalium kemudian dilipat ke belakang sama dalam prosedur Lasik dan dijauhkan daripada pancaran laser. Tisu epitelial kemudiannya dikembalikan ke tempat asal dan doktor akan meletakkan kanta sentuh sebaik pembedahan selesai.

    Kanta ini bertindak seperti pembalut luka dan mempercepatkan proses pemulihan dan menjadikan tempoh pemulihan itu lebih selesa. Lazimnya, ia akan dikeluarkan antara empat ke tujuh hari berikutnya.

    Penting untuk tidak mengeluarkan pembalut berupa kanta sentuh sebelum masa kerana tanpanya, epitelium yang separa sembuh akan terdedah dan mata akan lebih sakit.

    Begitupun, Lasek mengalami masa pemulihan yang lebih lama berbanding Lasik. Manakala fungsi penglihatannya tidak akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

    Satu lagi kaedah rawatan yang ditawarkan, adalah Epi-lasik. Epi-lasik ( Epithelial Laser In-Situ Keratomileusis) satu lagi pilihan bagi mereka yang tidak mahu memilih Lasik atau Lasek. Umumnya, ia Epi-lasik tidak jauh beza antara Lasik dan Lasek.

    Namun, Epi-lasik biasanya disarankan kepada mereka yang memiliki kornea yang nipis dan tisu yang tidak sesuai untuk dibuat flap menerusi kaedah Lasik.

    Ia juga mungkin pilihan mereka yang terbabit dalam sukan lasak misalnya gusti atau di kalangan pegawai keselamatan.

    Sama seperti Lasik dan Lasek, Epi-Lasik adalah rawatan pemulihan permukaan kornea terkini bagi menangani masalah rabun jauh, dekat atau silau (astigmatism).

    Dalam prosedur epilasik, microkeratome membuat satu flap nipis pada lapisan kornea (epithelium). Ia dilakukan tanpa sebarang pemotongan. Malah tiada solusi alkohol digunakan bagi melonggarkan atau menanggalkan permukaan epithelium seperti dalam Lasek.

    Jadi bagaimana anda tahu rawatan mana yang terbaik untuk anda?

    Disebabkan mata berubah mengikut usia, jenis pembedahan laser dan pemulihan penglihatan juga harus sepadan. Ada sesetengah pilihan rawatan lebih sesuai digunakan oleh orang muda. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan rawatan kaedah laser adalah;

    • 1) Mereka yang berusia bawah 20 tahun tidak boleh menggunakan rawatan kaedah laser kerana mata mereka masih dalam proses tumbesaran seiring dengan sistem badan
    • 2) Penghidap diabetes atau penyakit yang menjejaskan proses penyembuhan luka
    • 3) Ukuran ketebalan kornea anda
    • 4) Manakala wanita mengandung atau menyusukan badan tidak boleh melakukan rawatan pemulihan mata dengan kaedah laser disebabkan perubahan hormon boleh menjejaskan rawatan.

    • 5) Gaya hidup dan jenis kerjaya juga berperanan penting dalam memilih jenis rawatan. Misalnya mereka yang banyak menggunakan komputer memerlukan penglihatan tahap sederhana berbanding juruterbang.

    Lampin bantu ibadat


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    SYAWAL baru bermula tetapi sudah ada bakal jemaah haji mula membuat persediaan untuk ke Makkah, terutama daripada segi ibadat dan penjagaan kesihatan.

    Namun, lebih membimbangkan kebanyakan jemaah wanita, khususnya yang berumur, ialah masalah terkencing sedikit apabila mereka batuk, bersin, ketawa atau bangun daripada duduk.

    Masalah ini membelenggu jemaah wanita kerana akan membatalkan air sembahyang dan menjejaskan tumpuan untuk beribadat.

    Dianggarkan satu daripada empat wanita di Malaysia berumur 35 tahun ke atas mengalami masalah pundi kencing lemah.



    Perkara ini bukan saja menyebabkan wanita enggan terbabit dalam kegiatan masyarakat, malah tidak mahu keluar rumah kerana malu.

    Masalah pundi kencing lemah atau inkontinens disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal kebocoran air kencing dan sering mengalami desakan memuncak untuk pergi ke tandas walaupun baru saja buang air kecil.

    Walaupun ia biasanya berlaku pada orang berumur, kajian menunjukkan 10 hingga 30 peratus masalah ini dilaporkan dialami wanita dalam lingkungan usia 15 hingga 64 tahun. Kadar kelaziman masalah pundi kencing lemah di kalangan wanita dua kali lebih tinggi berbanding lelaki.

    Ada beberapa perkara boleh merangsang masalah inkontinens iaitu:

  • Otot pundi kencing terlalu aktif

  • Otot pelvik (yang menyokong pundi kencing, rahim dan rektum) lemah

  • Gangguan sistem saraf

    Punca kelemahan pundi kencing boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu:

    a. Punca jangka pendek:

  • Jangkitan saluran kencing (sangat lazim)

  • Jangkitan atau keradangan vagina

  • Sembelit

  • Kehamilan dan melahirkan anak

    b. Punca jangka panjang:

  • Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)

  • Berlaku perubahan akibat penuaan

  • Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik

  • Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson

  • Kecacatan sejak lahir

    Inkontinens boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  • Tekanan — Pelepasan beberapa titik air kencing sewaktu pergerakan fizikal (batuk, bersin, bersenam)

  • Desakan — Pelepasan air kencing pada kadar yang banyak di luar jangkaan, termasuk sewaktu tidur

  • Pundi kencing terlalu aktif — Kerap dan tidak dapat menahan air kencing, sama ada dengan atau tanpa kawalan

  • Batasan fungsi — Kencing tidak teratur disebabkan kecacatan fizikal, halangan luaran atau masalah pemikiran atau berkomunikasi yang menghalang seseorang daripada sampai ke tandas

  • Melimpah — Pelepasan kecil air kencing di luar jangkaan kerana pundi kencing penuh

  • Gabungan — Biasanya berlaku disebabkan tekanan dan kegagalan mengawal kencing

  • Tidak tetap — Pelepasan berlaku secara sementara (disebabkan jangkitan, pengambilan ubatan yang baru, demam dan batuk)

    Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah (umumnya disebabkan kelahiran anak) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

    Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus.

    Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung, malah menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat.

    Namun, masalah inkontinens tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mengerjakan haji atau umrah kerana ia boleh diatasi.

    Allah mewajibkan setiap umatnya mengerjakan haji dan mengunjungi Baitullah bila sampai waktunya, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, kata pendakwah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

    Menurutnya, mendapat haji mabrur adalah lebih utama daripada dunia dan isinya.

    Masalahnya, bagaimana hendak mendapat haji mabrur jika hati sentiasa bimbang berlaku ‘kebocoran’ menyebabkan mereka sentiasa rasa ibadat tidak sah dan tidak diterima Allah.

    “Wanita yang ada masalah begini tidak perlu bimbang, asalkan mereka bersih daripada hadas kecil dan besar serta sentiasa mempunyai wuduk. Soalnya, bagaimana wanita inkontinens boleh sentiasa dalam keadaan bersih? Jawapannya mudah iaitu dengan memakai lampin atau pelapik seluar pakai buang supaya pakaian tidak terkena najis.

    “Sebelum berangkat lagi, semua jemaah yang ada masalah ini perlu mendapatkan pelapik khas yang direka khas untuk menampung air kencing. Ini penting bagi mengelak mengalami kesukaran menukar pakaian dan menjejaskan tumpuan beribadat,” katanya.

    Kata Nor Bahyah, dalam keadaan ini Islam memberi kelonggaran kepada wanita. Contohnya terbatuk ketika mengerjakan tawaf dan terkencing sedikit, jemaah boleh meneruskan tawaf hingga selesai; dengan syarat mereka memakai lampin pakai buang yang mampu menyerap air kencing dan melindunginya daripada terkena seluar dalam atau pakaian.

    “Konsep sama juga digunakan untuk ibadat harian seperti solat. Syaratnya, anda perlu membersihkan diri dulu, pakai lampin pakai buang yang baru, ambil wuduk dan terus menunaikan solat atau ibadat fardu yang lain.

    “Bagaimanapun perlu diingat, wuduk yang diambil sebelum terkencing sedikit tadi hanya untuk satu ibadat fardu. Maknanya anda perlu membersihkan diri, menukar lampin pakai buang dan ambil wuduk baru sebelum menunaikan ibadat fardu lain. Dalam keadaan ini, anda dimaafkan dan ibadat anda dikira sah,” katanya.

    Bagi wanita yang ada masalah ini, sebelum berangkat, carilah lampin atau pelapik seluar dalam yang direka khusus untuk menyerap air kencing.

    Lampin ini berbeza dengan lampin wanita biasa kerana berupaya menyerap air dengan lebih baik, sedangkan lampin wanita biasa direka untuk menyerap darah haid yang lebih pekat.

    Malah, lampin pakai buang penyerap air kencing dilengkapkan dengan granul khas penyerap bau supaya jemaah berasa lebih bersih dan selesa.

    Ia sepatutnya bebas daripada sebarang bau atau wangian sebagai syarat sah mengerjakan haji atau umrah.

    “Apabila anda bertekad menunaikan haji atau umrah, kena buat pengorbanan. Pengorbanan ini termasuk persediaan sebelum pergi, terutama daripada segi kebersihan. Jangan sia-siakan peluang untuk beribadat sebanyak mungkin kepada Allah. Pada masa sama, banyakkan berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan untuk beribadat dan antara doa yang boleh diamalkan ialah surah Hud ayat 44 supaya masalah anda dihentikan,” katanya.

    Wanita boleh melakukan senaman untuk menguatkan lantai pelvik dan otot pada pundi kencing iaitu senaman Kegel atau kemut.

    Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Caranya, bernafas seperti biasa ketika anda ‘mengecutkan’ otot. Tarik nafas dan ‘kecutkan’ otot faraj ketika anda menghembuskan nafas dan bernafas seperti biasa. Jangan tahan nafas kerana ia akan menekan lantai pelvik ke bawah dan memburukkan keadaan.

    Senamannya sama seperti ketika kita menahan kencing. Ia boleh dilakukan di atas katil (sebaik bangun daripada tidur), sambil duduk atau ketika anda berdiri.

    Sebaik-baiknya buat 10 hingga 20 kali kali bagi satu sesi senaman dan ulang dua kali sehari atau seberapa kerap yang anda mahu. Bagi wanita yang melahirkan anak, sebaik-baiknya buat empat sesi setiap hari.
  • Kurangkan ambil gula


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    MINUMAN dan kuih-muih manis menjadi hidangan wajib pada musim perayaan. Ke mana saja anda pergi, tuan rumah menghidangkan minuman manis atau ada yang mengambil jalan mudah menyediakan beraneka perisa minuman berkarbonat untuk dipilih mengikut cita rasa tetamu.

    Biasanya pada minggu pertama hari raya, pengambilan gula sangat tinggi. Malah pada hari dua tiga pertama hari raya, sangat sedikit air masak diminum, terutama di kalangan kanak-kanak.

    Pada kanak-kanak tarikan air manis, khususnya minuman berkarbonat, sangat kuat dan mereka boleh menghabiskan beberapa tin minuman ringan dalam satu hari jika tidak dikawal.

    Tidak salah meraikan hari gembira ini dengan makanan dan minuman yang enak, tetapi kita perlu ingat untuk sentiasa bersederhana.



    Tahukah anda bahawa semua orang tidak kira kanak-kanak, remaja atau dewasa, sebenarnya tidak memerlukan gula. Gula hanya perisa yang mengandungi kalori tetapi tiada khasiat.

    Ia digunakan hanya untuk menaikkan rasa makanan supaya lebih mudah diterima, terutama kanak-kanak. Manis dan masin adalah rasa yang dipelajari sejak kanak-kanak.

    Berbanding rasa masin garam, kemanisan gula lebih memikat selera. Ini sebabnya ada ibu bapa memasukkan gula dalam makanan anak untuk menggalakkan mereka makan. Namun kesilapan kecil ini merangsang cita rasa anak terhadap makanan manis dan ia biasanya berlanjutan hingga dewasa.

    Kajian Kementerian Kesihatan mendapati, rakyat negara kita mengambil kira-kira 125 gram sehari atau 875 gram seminggu; lebih dua kali ganda daripada had disaran iaitu hanya 50 gram atau tidak melebihi 10 camca teh.

    Penyelidik mendapati tindakan fruktosa dalam badan berbeza daripada gula jenis lain kerana ia dimetabolismakan dengan cara yang boleh menyebabkan pertambahan berat badan kerana ia tidak menghalang tindakan ghrelin iaitu hormon rasa lapar.

    Maknanya, fruktosa meningkatkan kecenderungan kita untuk makan dan makan berlebihan itu adalah penyumbang utama kenaikan berat badan.

    Ini juga sebabnya apabila kita makan bersulam minuman manis, terutama minuman berkarbonat (yang sememangnya tinggi kandungan gula), kita boleh makan banyak dan berulang kali. Tidak hairan jika ramai mengalami pertambahan berat badan dalam masa seminggu berhari raya.

    Gula sebenarnya adalah karbohidrat yang boleh diperoleh daripada nasi, ketupat, lemang, bihun, mi, pasta, roti, makanan berubi dan buah-buahan.

    Jadi kita tidak perlu risau akan mengalami masalah kekurangan gula kerana kebanyakan makanan tempatan, khususnya pada musim perayaan ini, mengandungi karbohidrat yang akan ditukar kepada gula ringkas untuk digunakan sebagai tenaga.

    Bagaimana gula boleh menjejaskan kesihatan?

  • Gula putih menyekat sistem imun. Didapati gula putih boleh mengurangkan hayat dan jumlah sel darah putih yang menjadi ejen utama kepada sistem imun kita untuk menghalang jangkitan atau kemasukan benda asing ke dalam badan. Ada yang mengatakan gula juga membuatkan badan kita bersifat asidik yang menyebabkan kita lebih mudah diserang bakteria dan virus. Gula juga menjadi makanan utama kepada bakteria dan fungus jika berlaku jangkitan.

  • Gula putih dikategorikan sebagai makanan tinggi glisemik. Ia menyebabkan paras gula darah meningkat cepat dan menjejaskan paras insulin. Maka ia dianggap makanan terlarang, terutama bagi pesakit kencing manis, kerana ia menyukarkan kawalan paras gula darah.

  • Gula juga ada kaitan rapat dengan kanser. Walaupun kebanyakan doktor tidak mengenakan pantang larang makanan kepada pesakit kanser yang menerima rawatan, mengawal kandungan gula dalam darah membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit. Kawalan paras gula dalam darah melalui penjagaan makanan, senaman, makanan tambahan dan ubat antara komponen penting dalam rawatan kanser.

  • Mengurangkan pengambilan gula dianggap langkah penting untuk membantu menurunkan berat badan. Masalah dihadapi kebanyakan orang ialah mempunyai bekalan tenaga harian berlebihan daripada makanan dan minuman. Tenaga berlebihan, ditambah pula tenaga daripada gula dalam minuman, turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.

  • Gula dan makanan manis adalah penyebab utama kepada kerosakan gigi seperti kerap dialami kanak-kanak. Bakteria dalam mulut menggunakan gula ini untuk menjadikan keadaan mulut lebih berasid bagi memecahkan lapisan enamel (lapisan gigi paling luar). Lama kelamaan gigi akan berlubang. Apabila ini terjadi, banyak masalah lain menyusul, termasuk sakit gigi, jangkitan dan kehilangan gigi.

    Dalam kajian lain mendapati, masalah kesihatan gigi boleh menjadi penyumbang langsung kepada masalah jantung. Untuk mengelak masalah kesihatan lebih serius, kurangkan pengambilan gula dalam makanan harian.

    Setiap 355 mililiter minuman ringan atau karbonat mengandungi kira-kira 10 camca teh gula. Ini bersamaan dengan saranan pengambilan gula harian daripada makanan dan minuman. Minuman ringan adalah sumber gula tambahan paling utama dalam diet kanak-kanak Amerika Syarikat.

    Senario ini tidak banyak berbeza dengan keadaan kanak-kanak di negara kita yang dibesarkan dengan pelbagai minuman ringan. Ia juga menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kanak-kanak obes di negara kita.

    Kajian di Amerika mendapati, kanak-kanak mengambil kira-kira 235 kalori kosong daripada minuman manis setiap hari. Kalori kosong bermakna makanan atau minuman tidak berkhasiat tetapi mengandungi kalori, contohnya makanan ringan dan minuman berkarbonat.

    Pengambilan minuman manis bermakna kita menambah kemasukan kalori atau tenaga ke dalam badan. Jadi badan menerima kalori daripada dua sumber iaitu makanan dan minuman. Kalori yang tidak digunakan disimpan sebagai lemak yang akhirnya membuatkan berat badan bertambah dan kegemukan.

    Bagi ibu bapa yang mempunyai ahli keluarga, terutama anak kecil yang gemuk, kurangkan memberi mereka minuman manis. Pengurangan setiap satu peratus pengambilan minuman ringan bersamaan penurunan sekurang-kurangnya enam kalori.

    Kajian Universiti California Selatan mendapati kanak-kanak yang mengurangkan 47 gram gula (bersamaan satu tin minuman berkarbonat) mempunyai paras gula dalam darah yang lebih baik.

    Bagi kanak-kanak yang mengambil banyak makanan berserat (lima gram serat sehari) menunjukkan pengurangan 10 peratus lemak viseral iaitu lemak berbahaya yang berkumpul pada organ. Pendekatan sama digunakan penyelidik Belanda di Pusat Perubatan Universiti VU di Amsterdam.

    Seramai 1,108 kanak-kanak berumur 12 hingga 13 tahun mengambil bahagian dalam program lapan bulan yang mengehadkan pengambilan minuman manis yang ternyata dianggap pendekatan lebih baik ke arah tabiat pemakanan sihat.

    Ternyata langkah mengehadkan pengambilan minuman manis dan minum lebih banyak air kosong berjaya meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak.

    Apa yang boleh anda lakukan?

    Untuk hari raya ini, kurangkan penggunaan gula sama ada dalam masakan atau minuman. Jika membancuh teh atau kopi, biar ia ‘manis buah’ saja. Ketika sarapan pagi, sediakan segelas air suam bagi setiap orang untuk diminum selepas habis menikmati juadah.

    Apabila mengunjungi rumah sanak-saudara, bawa bekal air kosong dan letakkan di dalam kereta. Minta anak anda minum air kosong terlebih dulu sebelum turun dari kereta. Ini untuk menambah pengambilan air di kalangan kanak-kanak.

    Malah tidak keterlaluan jika meminta tuan rumah menghidangkan air masak untuk anda sekeluarga sebagai minuman tambahan. Beritahu anak, setiap gelas air manis yang mereka minum perlu diseimbangkan dengan air masak.

    Jika anda membancuh minuman manis, kongsi dengan ahli keluarga yang lain. Jangan minum semuanya sendirian kerana ia tidak membantu mengurangkan pengambilan gula harian.

    Untuk makan tengah hari dan malam, sediakan air kosong saja. Jadikan minuman manis sebagai ‘larangan’ ketika makan tengah hari atau malam.
  • Kawal kalori elak gemuk


    Oleh Hafizah Iszahanid




    SELEPAS berakhirnya puasa yang menjadi peluang terbaik mendapatkan berat badan sesuai, kehadiran Aidilfitri turut disulami keluhan ramai yang mengalami peningkatan semula berat badan.

    Jangan salahkan pengambilan makanan berkalori, tetapi bagaimana anda mengawal kalori yang merujuk unit tenaga. Apabila sejenis makanan itu mengandungi 100 kalori, ia sebenarnya menggambarkan berapa banyak tenaga yang boleh diperoleh tubuh apabila menikmati makanan itu.

    Hakikatnya, tubuh memerlukan kalori. Namun pengambilan terlalu banyak kalori tetapi tidak membakarnya menerusi aktiviti fizikal, hanya menyumbang kepada pertambahan berat badan. Jika anda mengambil terlalu banyak makanan berkalori yang tidak sepadan dengan keperluan tubuh, ia akan bertukar menjadi lemak. Seperti yang diketahui lemak berlebihan memudaratkan kesihatan.


    Tubuh memerlukan kalori untuk berfungsi - mengekalkan retak jantung, mengepam darah dan menyempurnakan sistem pernafasan.

    Begitupun, setiap individu itu unik. Justeru, setiap orang memiliki keupayaan membakar kalori yang berbeza. Namun, sesuatu yang pasti kalori tidak banyak terbakar ketika anda menonton televisyen atau bermain permainan video. Menonton televisyen hanya membakar satu kalori untuk satu minit, jumlah sama yang boleh anda peroleh jika tidur.

    Bagi sesetengah orang, mereka tidak peduli dengan berapa banyak kalori yang diambil. Pada mereka, mengira kalori dalam pemakanan sesuatu yang meremehkan. Namun, tidak kiralah kalori atau lemak tetapi dalam jumlah yang terlalu banyak ia mampu menjejaskan kesihatan.

    Selepas genetik, pengambilan makanan juga mempengaruhi kesihatan anda. Contoh mudah, lemak boleh menyebabkan masalah jantung.

    Jika anda mengetahui fakta nutrisi setiap pemakanan yang anda nikmati, ia memastikan anda memperoleh diet yang sihat. Sebagai contoh, dalam satu gram karbohidrat dan protein, masing-masing terdapat empat kalori. Manakala dalam satu gram lemak terdapat sembilan kalori.

    Jadi berapa banyak kalori yang perlu anda ambil? Oleh kerana setiap individu itu unik, keperluan kalori seseorang itu juga berbeza. Namun secara umum setiap orang memerlukan 2,000 kalori setiap hari. Namun, tubuh anda mungkin memerlukan jumlah yang kurang dari itu atau mungkin lebih.

    Ketinggian, berat badan, jantina dan umur selain tahap aktiviti anda menjadi asas keperluan kalori. Ada tiga faktor utama dalam mengira jumlah keperluan harian kalori anda; kadar asas metabolik, aktiviti fizikal dan kesan ‘thermic’ makanan yang dipilih (jumlah tenaga yang tubuh gunakan untuk mencerna makanan yang diambil)

    Paling utama, dalam mengawal berat badan adalah melakukan aktiviti fizikal. Bersenam membantu membakar kalori.

    Kencing tidak lawas


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    TEMAN sekerja mengadu bimbangkan kesihatan ayahnya berumur 60 tahun apabila dia disahkan mengalami masalah pembesaran kelenjar prostat atau istilah perubatannya prostat hiperplasia benigna (BPH).

    Dia bimbang jika penyakit ayahnya bertukar kepada kanser prostat yang perlu dibedah, sedangkan ayahnya fobia dengan jarum dan ubat.

    Kebimbangannya tercetus selepas mendengar perkataan ‘benigna’ yang sering dikaitkan dengan kanser. Bagaimanapun hakikatnya BPH dan kanser prostat adalah dua perkara berbeza. BPH tiada kaitan dengan kanser prostat dan tidak akan bertukar menjadi kanser.

    Dianggarkan 80 peratus masalah membabitkan prostat disebabkan BPH. BPH adalah pembesaran bukan kanser kelenjar prostat yang menyempitkan saluran kencing dialami lebih 50 peratus lelaki berusia 60 tahun dan jumlah ini meningkat kepada 90 peratus di kalangan lelaki veteran melebihi 85 tahun.



    Namun menurut Pakar Bedah Urologi, Dr Chua Chong Beng, kajian mendapati 25 peratus kes BPH berlaku pada lelaki muda iaitu dalam lingkungan 40 tahun atau lebih awal, khususnya bagi lelaki yang ada sejarah masalah kelenjar prostat di kalangan keluarga rapat (ayah, adik beradik atau datuk).

    Kajian di Malaysia mendapati masalah BPH banyak dialami lelaki dalam lingkungan 50 dan 60 tahun dengan semua kaum menunjukkan insiden lebih kurang sama.

    Pakar perubatan menganggarkan menjelang 2020 jumlah pesakit mengalami BPH akan meningkat kepada 45 juta orang di seluruh dunia.

    Walaupun BPH tidak merebak, ia memberi pengaruh besar dalam hidup lelaki. Ini kerana apabila kelenjar prostat yang mengelilingi saluran kencing membengkak, ia akan menekan dan menyebabkan saluran kencing menjadi sempit.

    Akibatnya lelaki mengalami masalah aliran kencing yang perlahan, tersekat-sekat, meleleh atau menitis, sakit, pedih dan berasa tidak puas setiap kali buang air kecil walaupun kerap berulang ke tandas.

    Kelenjar prostat adalah sebahagian daripada sistem reproduktif lelaki yang saiznya sebesar kacang walnut atau buah langsat dengan berat sekitar 20 gram saja.

    Kelenjar ini terletak di depan rektum (bahagian hujung usus besar yang bersambung dengan dubur) dan betul-betul di bawah pundi kencing. Kelenjar prostat ini juga terbentuk mengelilingi salur kencing atau uretra.

    Kelenjar prostat berfungsi sebagai pengepam yang menolak cecair ke dalam salur kencing apabila sperma dikeluarkan ketika mengadakan hubungan kelamin. Cecair ini yang menjadi sebahagian daripada air mani memberi tenaga kepada sperma dan mengurangkan keasidan ruang faraj supaya persenyawaan sperma dan telur boleh berlaku.

    Saiz kelenjar prostat bertambah melalui dua peringkat. Pertambahan saiz kali pertama berlaku ketika kanak-kanak lelaki akil baligh dan kali kedua apabila berumur 25 tahun. Pertambahan saiz kali kedua inilah yang dipercayai boleh menyebabkan masalah BPH ketika tua.

    Kelenjar prostat boleh membengkak melebihi 10 kali ganda saiz asalnya iaitu sehingga kira-kira 280 gram atau sebesar sebiji epal. Pun begitu tiada lelaki sedar kelenjar prostatnya membesar kecuali menimbulkan pelbagai masalah dan ketidakselesaan apabila buang air kecil.

    Apabila usia meningkat, saiz kelenjar prostat terus bertambah. Lapisan sel luar kelenjar menghalangnya daripada mengembang, menyebabkan ia menekan dan mencengkam salur kencing kerana kelenjar prostat mengelilingi salur kencing.

    Ini mengakibatkan pundi kencing menjadi tebal dan terganggu; akhirnya mengalami pengecutan untuk mengeluarkan cecair, walaupun hanya mengandungi sedikit air kencing di dalamnya.

    Ini sebabnya lelaki yang mengalami masalah BPH kerap buang air kecil. Lama kelamaan pundi kencing menjadi lemah dan hilang keupayaan mengeluarkan air kencing sepenuhnya. Masih ada air kencing tertinggal dalam pundi walaupun lelaki berkenaan buang air kecil berulang kali.

    Walaupun semua lelaki mengalami pertambahan saiz kelenjar prostat, bukan semua mengalami masalah BPH. Ia bergantung kepada arah pembesaran kelenjar prostat itu. Masalah hanya timbul jika pembesaran berlaku secara melintang dan menekan salur kencing.

    Jika pembesaran berlaku secara menegak, lelaki berkenaan tidak mengalami masalah kerana pundi kencingnya tidak terganggu atau tertekan dan boleh berfungsi dengan baik. Malah saiz bengkak juga bukan penentu tahap masalah kerana jika ia besar pun tetapi jika tidak mengganggu salur kencing, lelaki berkenaan tidak perlu menjalani rawatan.

    Kekerapan berulang ke tandas untuk buang air kecil melebihi lapan kali pada waktu siang dan dua kali pada waktu malam tetapi masih tidak berasa puas adalah antara tanda penting BPH. Ia boleh berlaku pada semua bangsa tetapi tidak ramai lelaki bersedia membincangkan masalah mereka hinggalah keadaan menjadi serius.

    “Oleh kerana BPH adalah penyakit lazim di kalangan lelaki berumur, sangat penting untuk setiap lelaki mengambil tahu mengenai penyakit ini dan kesannya terhadap kualiti hidup seseorang. Ini kerana BPH juga sering dikaitkan dengan masalah mati pucuk dan kegagalan fungsi ejakulasi yang boleh menjejaskan hubungan kelamin dan menyebabkan kemurungan serta hilang keyakinan.

    “Justeru sebaik memasuki umur 50 tahun, lelaki disaran menjalani pemeriksaan kesihatan kelenjar prostat atau setidak-tidaknya mula mengambil tahu mengenai gejala penyakit sebagai persediaan kerana risiko mengalaminya meningkat dengan pertambahan umur,” katanya.

    Dalam satu kajian lain BPH menimbulkan gangguan dan kebimbangan pada pasangan. Antara isu dibangkitkan pasangan ialah tidur mereka terganggu (akibat suami kerap bangun kencing), bimbang mengadakan hubungan seks dan risaukan kesihatan suami. Kebimbangan pesakit biasanya berkisar kepada pembedahan dan hubungan seks.

    Gejala

    BPH mempunyai banyak gejala dan antara yang penting ialah:

  • Pancutan air kencing yang lemah (terputus, tersekat atau meleleh)

  • Kencing tidak lawas dan pundi kencing tidak dikosongkan sepenuhnya setiap kali kencing (terasa tidak puas selepas kencing)

  • Sukar memulakan kencing

  • Kerap bangun malam untuk kencing

  • Tidak dapat menahan kencing

  • Kerap kencing pada waktu siang (melebihi lapan kali)

  • Sakit apabila kencing (bagi kanser peringkat serius, kesakitan biasanya terasa pada tulang)

    Tanda BPH serius:

    BPH serius

  • Tidak boleh buang air kecil

  • Jangkitan air kencing (kerana air kencing tersimpan dalam badan)

  • Kencing berdarah (hematuria)

  • Kerosakan buah pinggang

    Bagaimanapun gejala yang disenaraikan di atas bukan eksklusif untuk BPH kerana gejala sama turut ditunjukkan penyakit pada saluran kencing bahagian bawah seperti kanser pundi kencing, batu karang (dalam pundi kencing), jangkitan pundi kencing (UTI), kanser prostat, jangkitan pada kelenjar prostat atau salur kencing tersekat. Gejala BPH juga berbeza antara pesakit dan yang membimbangkan kebanyakan orang ialah jika masalah ini disebabkan kanser prostat.

    Pemeriksaan dan rawatan

    Beberapa kaedah boleh dijalankan untuk pemeriksaan BPH iaitu:

  • Ujian digital rektal iaitu pemeriksaan kelenjar prostat. Dalam kaedah ini, doktor masukkan jari melalui rektum untuk mendapat maklumat kasar mengenai saiz dan keadaan kelenjar prostat. Bagaimanapun kaedah ini tidak disukai kerana dianggap ‘sangat kurang selesa’. Malah pemeriksaan ini menyebabkan ramai lelaki menunggu hingga masalah tidak dapat dibendung baru datang mendapatkan bantuan

  • Ujian aliran kencing untuk mengetahui kelajuan pancutan air kencing. Ini diikuti imbasan pundi kencing bagi melihat air kencing yang tertinggal dalam pundi kencing selepas buang air kecil. Doktor juga menjalankan ujian untuk memastikan pesakit tidak mengalami jangkitan air kencing akut

  • Ujian darah untuk mengukur tahap antigen PSA. Ini adalah ujian mengesan kanser prostat. Jika keputusan tidak normal, pesakit dinasihatkan menjalani ujian seterusnya iaitu biopsi kelenjar prostat dengan mengambil sedikit sel kelenjar untuk diperiksa. Ia prosedur mudah dan pesakit dilayan sebagai pesakit luar

    Lelaki yang mengalami BPH hanya dirawat jika ia menyebabkan masalah pembuangan air kencing. Jika BPH tidak menyebabkan masalah, ia tidak perlu dirawat. Namun jika disahkan menghidap kanser, pesakit perlu dirawat dengan segera bagi mengelak ia merebak.

    Dr Chua berkata, BPH adalah sejenis penyakit progresif dan menjadi lebih serius jika tidak diberi rawatan sewajarnya seawal mungkin. Malah tanpa rawatan sesuai, BPH boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti pembentukan batu karang dalam pundi kencing, risiko sekatan air kencing teruk (AUR), jangkitan salur kencing dan penyakit buah pinggang.

    Kajian mendapati sekurang-kurangnya satu daripada 10 lelaki dalam lingkungan umur 70-an mengalami AUR dan risiko meningkat kepada satu daripada tiga lelaki apabila mencecah umur 80 tahun.

    “BPH boleh dirawat melalui dua cara iaitu pengambilan ubat dan pembedahan. Kebanyakan pesakit (60 peratus) memilih untuk makan ubat walaupun ia perlu diambil sepanjang hayat. Antara ubat yang ada kini ialah alpha-blocker seperti tamsulosin hidroklorida dan alpha reductase inhibitor (perencat alfa reduktase). Fungsi alpha-blocker ialah menghalang dan merehatkan otot pada kelenjar prostat supaya salur kencing boleh kembali ke saiz asal dan meningkatkan aliran air kencing. Ubat ini tidak mengecutkan BPH, cuma merehatkan otot kelenjar prostat dan ia kurang berkesan pada pesakit yang alami masalah saiz prostat terlalu besar.

    “Manakala alpha reductase inhibitor bertindak dengan menghalang hormon testosteron yang menyebabkan pertambahan saiz prostat dan ia berkesan sehingga 25 peratus. Ubat ini bertindak perlahan dan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk kelenjar prostat mengecut dan memperbaiki aliran kencing. Namun biasanya doktor memberikan pesakit kedua-dua jenis ubat bagi mendapatkan kesan lebih baik,” katanya pada pelancaran Harnal OCAS, ubat alpha-blocker baru yang mengandungi tamsulosin hidroklorida.

    Kelebihan ubat baru ini ialah ia hanya perlu diambil sekali sehari dengan sedikit kesan sampingan. Malah ia tidak berinteraksi dengan ubat lain dan ini bermakna ia selamat diambil oleh pesakit darah tinggi atau ada masalah jantung.

  • Terapi pancaran laser (laser prostatektomi). Dalam kaedah ini, alat pancaran laser akan dimasukkan melalui salur kencing. Ia menggunakan mesin khas yang memancar sinar-X bertenaga tinggi untuk membakar kelenjar prostat sehingga mencapai saiz yang dikehendaki.

  • Pembedahan pembahagian Transuretral prostat (TURP) — Kaedah ini tidak memerlukan sebarang insisi (luka bedah) kerana alat pembedahan dimasukkan melalui salur kencing untuk memotong kelenjar prostat. Jadi isu bimbang luka pembedahan besar tidak timbul, malah pesakit diberi bius menyeluruh yang membuatkan mereka ‘tidur’ sepanjang prosedur dilakukan.

    Soalnya, siapa layak diberi ubat dan siapa pula perlu dibedah? Lelaki yang alami gejala teruk, kencing berdarah atau kencing tiba-tiba terhenti (tidak boleh buang air kecil) dengan fungsi buah pinggang yang baik biasanya disaran menjalani pembedahan. Manakala lelaki yang gejalanya tidak terlalu teruk biasanya memilih untuk mengambil ubat sepanjang hayat.
  • Pil multivitamin bawa keburukan



    SEBAHAGIAN besar pengguna sebenarnya tidak memerlukan pil multivitamin.


    PENGAMBILAN pil multivitamin di kalangan jutaan penduduk dunia adalah langkah sia-sia kerana ia sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada kesihatan.

    Menurut bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain, Brian Ratcliffe, sejumlah RM3.6 bilion dihabiskan dalam pengambilan multivitamin setiap tahun yang sebenarnya sihat dan tidak memerlukan pil tersebut.

    Jelasnya lagi, antara keburukan pengambilan pil tersebut seperti minyak ikan sebagai multivitamin ialah ia mampu meningkatkan fenomena tulang rapuh pada masa akan datang kerana pengambilan vitamin A secara berlebihan tanpa disedari.

    Kebanyakan pengguna mengambil pil multivitamin kerana kebimbangan tidak berasas terhadap kesihatan mereka serta dipengaruhi oleh iklan pihak farmasi.

    7.9.09

    Syarat derma paru-paru


    Oleh Hafizah Iszahanid


    Imbasan sinar-X paru-paru pesakit.

    Selain ada pertalian, penderma masih hidup dapat tingkatkan hayat penerima 90 peratus

    PENDERMAAN paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan dengan pesakit dilihat pilihan terbaik bagi pesakit yang berdepan dengan masalah paru-paru yang amat serius.

    Ini berikutan senario pendermaan organ khususnya paru-paru, di Malaysia yang menyedihkan seperti masalah senarai menunggu organ yang panjang dan memungkinkan ramai pesakit meninggal dunia tanpa rawatan.


    Justeru, pendermaan paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan dilihat sebagai pilihan rawatan terbaik.

    Pakar Runding Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara, Dr Mohd Ezani Md Taib, berkata pilihan menerima organ daripada penderma hidup yang ada hubungan keluarga adalah antara pilihan perubatan yang cuba diperkenalkan di Malaysia.

    “Di Malaysia, senario pendermaan organ terutama paru-paru memang sedikit terkebelakang berbanding jantung misalnya. Jadi, kaedah rawatan ini adalah antara pilihan rawatan yang terbaik.



    “Secara asasnya, kaedah ini sama seperti pendermaan buah pinggang. Bezanya, pendermaan paru-paru mesti membabitkan penderma yang mempunyai hubungan keluarga. Kita juga tahu menunggu penderma kadaverik atau yang sudah mati memakan masa terlalu lama,” katanya.

    Malah, mungkin ramai tidak menyedari, di negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun serta China, amalan pendermaan paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan sudah menjadi amalan perubatan biasa.

    Ini diakui Pakar Bedah Torasik Universiti Kyoto, Jepun, Prof Dr Hiroshi Date, pendermaan paru-paru menjadi pilihan rawatan kepada pesakit yang mengalami masalah paru-paru kritikal dan mungkin tidak boleh bertahan lama dalam senarai penerima organ.

    Katanya, berbanding senario pendermaan organ yang lain, pendermaan paru-paru sebaliknya memerlukan dua penderma yang sihat iaitu mesti ada pertalian atau hubungan kekeluargaan yang rapat dengan pesakit atau pun suami/isteri pesakit itu sendiri.

    Pendermaan membabitkan mereka yang tiada hubungan kekeluargaan, sememangnya tidak dibenarkan.

    Bagi pendermaan paru-paru, setiap penderma akan mendermakan sebahagian paru-paru bawah (lobus) di sebelah kanan atau kiri. Proses ini mengambil masa yang agak panjang dan membabitkan penilaian kesihatan penderma terlebih dulu.

    Dr Date berkata, idea pendermaan paru-paru daripada dua orang yang berbeza tidak diterima bagi mengelak kemungkinan berlaku penolakan oleh salah satu lobus.

    “Setiap orang ada lima lobus paru-paru. Tetapi bagi sesetengah orang, tindakan mendermakan satu lobus boleh mengurangkan fungsi paru-parunya daripada 50 peratus ke 20 peratus.

    “Oleh itu, penderma melakukan pengorbanan yang amat besar kepada penerima. Atas alasan itu juga, tahap kesihatan penderma perlu dipastikan. Bagi penderma yang sihat, pengurangan satu lobus tidak menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya.

    Katanya, tiada sebarang unsur paksaan dalam pendermaan organ dan setiap satu komplikasi pendermaan organ perlu diberitahu kerana ia membabitkan penderma hidup.

    Namun, bukan semua orang boleh menjadi penderma. Hanya mereka yang sihat dan berusia antara 20 ke 60 tahun boleh berbuat demikian.

    “Antara cabaran utama pendermaan paru-paru ialah sukarnya mencari saiz lobus yang tepat. Pesakit kanak-kanak boleh menerima paru-paru daripada ibu bapanya, pesakit wanita boleh menerima paru-paru daripada lelaki dewasa, namun pesakit lelaki dewasa sukar mendapat saiz paru-paru yang sesuai. Justeru banyak penilaian dan ujian perlu dilakukan,” katanya.

    Berbanding penderma kadaverik, penerima paru-paru daripada penderma hidup terbukti lebih banyak kelebihannya. Antaranya peluang untuk terus hidup adalah 90 peratus dalam tempoh lima tahun berbanding menerima organ daripada penderma kadaverik - 50 peratus dalam tempoh lima tahun.

    Selain itu organ yang diterima disifatkan ‘lebih segar’ dan pemindahannya dilakukan dalam prosedur yang lebih berhati-hati dan terancang.

    “Prosedur membabitkan penderma kadaverik pula perlu dilakukan secara pantas iaitu bermula daripada saat ia diambil dari penderma,” katanya.

    Dr Date berkata, pemindahan organ dilakukan antara ahli keluarga juga mengurangkan kemungkinan berlaku sebarang penolakan disebabkan persamaan genetik.

    Ditanya mengenai pesakit yang sesuai melakukan prosedur pemindahan paru-paru, Dr Date berkata, antara kemungkinan yang menyebabkan pesakit memerlukan paru-paru baru ialah masalah hipertensi pada paru-paru (primary pulmanory hypertension) dan masalah fibrosis (idiophatic pulmanory fibrosis).

    Di Amerika pada 2005, kebanyakan pembedahan pemindahan paru-paru membabitkan 27 peratus pesakit (sekatan paru-paru kronik - COPD), 16 peratus masalah fibrosis paru-paru, 14 peratus masalah sista fibrosis paru-paru, manakala bakinya disebabkan hipertensi di paru-paru dan radang paru-paru serius.

    Di Jepun, pemindahan paru-paru membabitkan penderma hidup lebih popular berbanding menerima organ daripada penderma kadaverik. Malah, Dr Date sudah memulakan prosedur berkenaan sejak 1998.

    Info

  • Pemindahan paru-paru membabitkan penderma hidup bermula pada 1990, tetapi ia tidak begitu dikenali.

  • Bagaimanapun, ia mula menjadi pilihan kebanyakan negara memandangkan waktu yang lama untuk menunggu organ daripada penderma kadaverik.

  • Pendermaan paru-paru memerlukan dua penderma. Setiap seorang akan mendermakan satu daripada lobus (sama ada bahagian kiri atau kanan).

  • Dua lobus itu akan dipindahkan kepada pesakit berdasarkan jumlah dan saiz yang berpadanan.

  • Walaupun membabitkan penderma yang memiliki pertalian keluarga, pesakit masih perlu mengambil ubat antipenolakan seumur hidup.
  • Teknik ikat perut


    Oleh Hafizah Iszahanid


    Bahagian perut yang diikat

    Mereka yang mencatat BMI 30 ke atas perlu menitikberatkan pengurusan berat badan

    OBESITI atau kegemukan ialah masalah sejagat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015 ada 2.3 bilion orang yang berusia 15 tahun ke atas boleh dikategorikan sebagai terlebih berat, manakala 700 juta yang lain dalam kategori obes.

    Selain itu 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun didapati terlebih berat pada 2005.


    Kadangkala tindakan mengawal pemakanan, mengambil pil diet, bersenam atau kaedah menyedut lemak bukan lagi jawapan terbaik untuk menurunkan berat badan. Apatah lagi jika anda memiliki jisim berat badan (BMI) melebihi 37.2! Dikategorikan sebagai morbid obesiti, anda sebenarnya memerlukan kaedah pengurusan berat badan yang lebih baik.

    Ada banyak prosedur perubatan yang selamat untuk anda pilih apabila berat badan mula mencecah kategori obes. Jangan tunggu sehingga BMI 37.2, sebaliknya jika BMI anda sudah mencatat angka 30 ke atas, ditambah dengan faktor rekod perubatan keluarga yang buruk, anda layak untuk memilih jalan pintas untuk kurus.

    Pakar Runding Am, Gastrousus dan Pembedahan Laparaskopik, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr Lukman Mohd Rashid, berkata ada banyak prosedur perubatan yang selamat boleh dipilih mereka yang obes dengan syarat merujuk kepada doktor pakar untuk kaunseling dan nasihat.

    Imbasan belon intragastrik dalam tubuh pesakit.

    "Nasihat doktor membantu seseorang itu membuat pilihan terbaik berdasarkan kemampuannya. Ada sesetengah prosedur pula tidak boleh dilakukan kepada kanak-kanak," katanya.

    Dr Lukman berkata, antara prosedur perubatan yang boleh dipilih ialah balon intragastrik atau pembedahan ikat perut (gastrik banding).

    "Jika dibanding antara kedua-duanya, balon intragastrik ialah prosedur tanpa pembedahan, tidak kekal dan agak murah jika dibanding dengan teknik yang lain), manakala gastrik banding membabitkan pembedahan dan lebih mahal," katanya.

    Belon intragastrik

    Prosedur belon intragastik sudah dikenali sejak 1980. Berbanding pembedahan 'gastrik banding', prosedur ini bersifat sementara dan dianggap sebagai terapi menurunkan berat badan.

    "Belon intragastik tidak membabitkan pembedahan. Sebaliknya, satu belon silikon akan dimasukkan ke bahagian perut dalam prosedur ringkas yang mengambil masa sekitar 30 minit," katanya.

    Dalam prosedur ini, belon yang dibuat daripada silikon lembut akan dimasukkan ke dalam perut melalui mulut berpandukan kamera endoskopik. Bius am digunakan (atau sedation 'bius separa' boleh digunakan), membantu otot lebih rehat dan memudahkan prosedur.

    Apabila belon dimasukkan, ia akan diisi dengan saline (cecair) bersteril menerusi tiub kecil yang dilekat bersama belon. Belon mampu menampung cecair antara 400 cc hingga 700 cc bergantung kepada kesesuaian pesakit) yang mengisi sebahagian besar ruang perut. Disebabkan prosedur yang singkat, pesakit juga boleh pulang ke rumah selepas 24 jam.

    "Bagaimanapun, belon tidak boleh lama berada dalam perut untuk mengelak komplikasi pecah jika digunakan selama lebih daripada enam bulan. Selepas itu, ia akan dikeluarkan dalam satu lagi prosedur ringkas. Ia adalah teknik pilihan, terutama kanak-kanak obes," katanya.

    Kata Dr Lukman, belon yang mengisi sebahagian perut menyebabkan pesakit berasa kenyang dan kurang berselera makan. Tanpa pembedahan, prosedur ini hanya menyelaraskan diet dan mengubahsuai tingkah laku.

    Dalam tempoh enam bulan, seseorang itu mampu menurunkan berat badan sehingga 15 kilogram. Malah dalam dua minggu pertama, pesakit mampu mengurangkan hingga empat kilogram.

    "Sebenarnya mengekalkan berat badan itu yang lebih sukar berbanding menurunkan berat badan. Walaupun belon akan dikeluarkan selepas enam bulan, tetapi mereka yang berdisiplin mampu mengekalkan berat badan. Mereka akan memperoleh berat badan ideal dan mempertahankannya tanpa bantuan belon," katanya.

    Pembedahan ikat perut (gastrik banding)

    Pembedahan ikat perut ialah satu lagi prosedur pembedahan mengawal berat badan yang popular. Tidak seperti belon intragastrik, prosedur ini membabitkan pembedahan dan memakan masa antara satu ke dua jam.

    "Bagaimanapun, prosedur ini disarankan kepada mereka yang mengalami masalah morbid obesiti dan mengelak komplikasi penyakit yang berkaitan dengan obesiti. Ia bukan pembedahan kosmetik," katanya.

    Kata Dr Lukman, morbid obesiti mahupun obesiti adalah ancaman kesihatan yang membawa kepada komplikasi penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit sendi dan masalah berdengkur atau pernafasan. Malah, kemandulan juga boleh dikaitkan dengan morbid obesiti.

    Justeru, ia seharusnya tidak disalah guna oleh mereka yang tidak sepatutnya. Misalnya, model yang ingin kekal kurus.

    Dalam prosedur pembedahan ikat perut, gegelung silikon penyekat akan diletakkan di sekeliling perut untuk membentuk perut seperti punjut kecil. Bahagian yang dijerut dengan silikon menyebabkan laluan atas perut itu sempit.

    Ini membuatkan pesakit berasa kenyang walaupun pengambilan makanan dihadkan. Malah dalam sesetengah kes, jika pesakit itu masih menikmati makanan sesuka hati, dia akan termuntah. Namun, prosedur begini memerlukan kerjasama dan disiplin pesakit.

    Dr Lukman berkata, walaupun makanan pejal tidak boleh melepasi ikatan perut tetapi makanan dalam bentuk cecair boleh melepasinya. Justeru, pembedahan ini tidak akan mencapai sasaran jika pesakit masih mengambil minuman dengan kadar kalsium atau karbohidrat yang tinggi.

    Dalam prosedur ini, bahagian atas perut akan diikat tetapi kedua-dua bahagian akan disambungkan ruang saluran kecil. Makanan akan melalui ruang ini daripada bahagian atas perut dengan lebih perlahan menyebabkan rasa kenyang lebih lama.

    Gegelung yang mengikat bahagian perut boleh dilaraskan kerana bahagian permukaan dalamnya boleh diisi dengan larutan bergaram atau dikempiskan untuk mengubah saiz ruang, seperti gelung tekanan darah.

    Ia disambungkan menerusi tiub ke takungan larut garam yang diletakkan di bawah kulit dan lemak ketika pembedahan. Takungan ini tidak boleh dilihat tetapi dirasai apabila anda menekan abdomen. Selepas pembedahan, doktor boleh mengawal larutan bergaram dalam gegelung memasukkan jarum halus menerusi kulit.

    Pembedahan ini membantu pesakit menurunkan hingga 40 peratus berat badannya. Bagaimanapun, jumlah itu berbeza untuk setiap orang. Ikatan pada perut juga boleh dibuka jika pesakit sudah mendapatkan berat badan yang sesuai atau berubah fikiran.

    Kata Dr Lukman, berbanding belon intragastrik, prosedur ini agak mahal bergantung pada pusat rawatan yang dipilih pesakit.

    INFO: Obesiti dan prosedur ikat perut

  • Senaman, diet dan pil kurus bukan jawapan terbaik untuk anda yang mengalami morbid obesiti

  • Prosedur menurunkan berat badan boleh dilakukan sekiranya BMI anda melebihi 30

  • Belon intragastrik adalah prosedur tanpa bedah dan dilakukan dalam masa 30 minit

  • Belon intragastrik bagaimanapun bukan prosedur kekal. Belon perlu dikeluarkan enam bulan selepas prosedur.

  • Pembedahan ikat perut adalah prosedur popular menurunkan berat badan bagi mereka yang morbid obesiti.

  • Pembedahan ini membabitkan jerutan bahagian atas perut dengan gegelung boleh laras

  • Selepas pembedahan, pesakit perlu mematuhi diet yang disarankan dan membuat rawatan susulan.
  •