5.3.12

Bahaya sedak susu

KES bayi tersedak susu sebenarnya sering berlaku. Namun keadaan ini yang boleh dikawal dengan teknik tertentu, menjadi sesuatu yang amat ditakuti berikutan meningkatnya laporan kes bayi yang mati akibat tersedak susu.
Umum mengetahui tumbesaran awal bayi bergantung sepenuhnya kepada pemakanan berbentuk cecair iaitu susu. Sebaik dilahirkan, bayi yang masih kecil perlu secara automatik menyelaraskan mulut, bibir dan lidah untuk menyedut susu.
Faktor yang boleh mengganggu penyusuan bayi dan menyebabkan tersedak ialah gejala seperti selesema, bayi tidak cukup bulan, tidak sihat atau menyusukan bayi dalam keadaan yang tidak betul. - Dr Anthony James Mansul, Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court
Selepas menelannya, ia perlu diselaras pula dengan otot di belakang tekak. Semua proses itu jika difikirkan, sangat rumit bagi seorang bayi kerana ia bukan saja membabitkan satu otot sebaliknya banyak otot berbeza.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul berkata, bagi bayi yang masih kecil, ada saraf yang belum matang terutama bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau pra-matang.

Dr Anthony berkata, pengamal perubatan perlu berhati-hati dengan bayi pra-matang di bawah 34 minggu terutama apabila menyusu menggunakan botol atau susu badan.

“Agak sulit untuk menjelaskan kepada setiap ibu bapa mengenai penyelarasan otot ini. Jadi sebagai langkah pertama, perkara terbaik ialah usah berfikiran negatif dan anggap semua bayi yang dilahirkan tiada masalah serta secara automatik pandai menyusu.
“Ini kerana 90 peratus bayi yang baru lahir tidak menghadapi masalah ini,” katanya kepada Sihat & Selamat.

Dr Anthony berkata, faktor yang boleh mengganggu penyusuan bayi dan menyebabkan tersedak ialah gejala seperti selsema, bayi tidak cukup bulan, tidak sihat atau menyusukan bayi dalam keadaan yang tidak betul.

"Kebanyakan kes tersedak susu yang kita lihat selalunya disebabkan masalah penyelarasan seperti mungkin ketika menyusu ada sedikit mukus atau kahak yang masuk atau susu tiba-tiba terlampau laju, contohnya susu badan bagi ibu dan bayi yang baru pertama kali menyusu badan.

“Akibat tekanannya laju, kita selalu lihat bayi tersedak,” katanya.
Dr Anthony berkata, lazimnya nasihat doktor kepada ibu yang anaknya kerap tersedak ialah memerah sedikit susu dari payu dara bagi mengurangkan tekanannya ketika bayi menyusu atau periksa puting botol susu untuk memastikan lubangnya tidak terlalu besar.

“Jika bayi masih lagi tersedak, jumpa doktor untuk pastikan keseluruhan saluran udara, pernafasan, lidah dan mulut bayi tiada masalah dan tidak sakit.

“Jika semuanya baik, mungkin teknik penyusuan yang diamalkan tidak betul dan kebanyakan hospital dan bidan-bidan boleh membantu menasihati ibu mengenai teknik penyusuan yang betul,” katanya.

Apa yang kita perlu buat jika bayi tersedak - pertama sekali jangan panik sebab ibu bapa sering bimbang susu akan masuk ke saluran udara. Berikutan rekaan saluran udara manusia yang baik, jika ada sesuatu yang tidak betul, ia akan tertutup serta merta (dipanggil spasm).

Bagaimanapun, bayi akan kelihatan sedikit biru atau mungkin pucat pada permulaan. Apa yang perlu dilakukan ialah dukung bayi dan tepuk belakang badan di mana lazimnya teknik itu sudah mencukupi.

Dalam kes yang agak kurang bernasib baik, kemungkinan susu itu masuk ke dalam paru-paru sehingga pernafasan terganggu. Jika ini berlaku, bantuan pernafasan mulut ke mulut atau CPR diperlukan untuk bayi. Sehubungan itu, ibu bapa sangat digalakkan mempelajari teknik CPR kerana ia bukan saja baik untuk bayi, malah orang dewasa.

Bagi ibu bapa yang terpaksa meninggalkan bayi di pusat jagaan kanak-kanak, disaran memantau pusat jagaan terbabit sebelum menghantar anak-anak. Cuba selidik dan bertanya dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan sama, lawat dan luangkan masa beberapa jam sambil memerhatikan keadaan kebersihan, persekitaran dan cara penjaga mengendalikan bayi dan kanak-kanak. Selain itu, pastikan jumlah kanak-kanak tidak terlalu ramai hingga sukar dikawal.

Paling penting, pilih pusat jagaan berdaftar secara sah dan pastikan pengusaha serta kakitangan yang mengendalikan pusat berkenaan cukup terlatih serta cekap mengenal pasti bayi bermasalah. Selain itu, pusat penjagaan kanak-kanak yang memiliki sijil bantuan pernafasan mulut ke mulut adalah satu kelebihan dan pada masa sama, mempunyai pelan kecemasan terancang dan terletak berhampiran pusat perubatan

Bahana pendam

BUKAN resam orang kita untuk bercakap soal seksual. Ini kerana pada dasarnya, budaya masih menganggap seks sebagai perkara terlarang untuk dibicarakan secara terbuka - tidak kira bagi lelaki atau wanita. Sebenarnya, seks adalah suatu perkara serius dan bagi kebanyakan pasangan, isu ketegangan ereksi bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan lawak.

Mengikut laporan kajian terhadap 300,000 lelaki di rantau Asia, apa yang berlaku ialah apabila individu mengalami masalah seksual, tidak mungkin pesakit akan terus berjumpa doktor dan menceritakan masalah yang dihadapinya itu.
Profesor Psikologi di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya Prof Dr Low Wah Yu berkata, melalui kajian terhadap kesihatan lelaki yang dikendalikan di Malaysia termasuk di peringkat antarabangsa, jumlah lelaki yang mengalami penyakit kronik adalah lebih tinggi berbanding wanita.
“Biasanya kaum lelaki berjumpa doktor untuk masalah tekanan darah tinggi, diabetes atau jantung. Ini menjadikan masalah seksualiti dianggap sekadar isu sampingan,” katanya yang juga menggalas tugas sebagai Ketua Jabatan Unit Kajian Pembangunan Kesihatan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

Kenyataan ini membawa kepada hakikat bahawa lelaki teragak-agak mendapatkan bantuan dan akhirnya lambat untuk dirawat. Ini kerana rata-rata lelaki, tidak kira jenis penyakit yang dihadapi agak kurang bersedia untuk menceritakannya. Dalam hal ini, pasangan atau wanita digalak mendorong lelaki untuk cepat mendapatkan rawatan atau bantuan.

“Setiap kali bengkel atau ceramah mengenai kesihatan lelaki dibincangkan, sangat sedikit lelaki yang hadir pada majlis ini. Jadi, apa yang kami lakukan ialah menggalakkan wanita atau pasangan membawa orang tersayang bagi mendengar dan menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dalam hal ini, kualiti ketegangan ereksi yang tidak memuaskan akan menjejaskan keperluan emosi dan psikologi pasangan. Bagi seorang lelaki, apabila keperluan emosi dan psikologi dicapai, ia akan memberi imej diri yang baik serta menjadikan mereka lebih berkeyakinan. Dengan memenuhi keinginan seks, pasangan mereka lebih merasa disayangi.
Dr Low berkata, doktor dilatih untuk menilai masalah yang dihadapi lelaki sebagai sesuatu yang serius. Ini kerana katanya, apabila pesakit datang, mereka tidak pasti sama ada mereka bercakap dengan doktor yang betul.

“Sebagai contoh, pesakit datang kerana masalah tekanan darah tinggi dan merawat masalah itu, dalam masa sama pengamal kesihatan ini sedar bahawa ada kemungkinan penyakit kronik lain seperti kegagalan ketegangan atau Disfungsi Erektil (ED) disebabkan penghidap tekanan darah tinggi cenderung mendapat ED.

“Jadi kami perlu mendidik pengamal perubatan untuk membincangkan isu seksual dengan pesakit. Ini kerana kaji selidik yang dijalankan menunjukkan pesakit sentiasa bersedia untuk mendengar perkembangan berkaitan isu seksual, malah mereka sanggup menunggu untuk mendapat nasihat pakar perunding mengenainya,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Low berkata, amat penting bagi doktor memulakan perbincangan mengenai isu seksual dengan pesakit menyedari hakikat bahawa pesakit kurang bersedia untuk bercerita mengenai perkara itu.

Menyentuh soal apakah ketegangan maksimum menjadikan pasangan lebih bahagia dan puas, ia berbalik kepada keputusan kaji selidik terhadap lebih 3,000 lelaki di Malaysia yang mendapati majoriti lelaki dan wanita mengakui ereksi berkait rapat dengan kepuasan seks, sekali gus mengesahkan bahawa ketegangan maksimum memberi kepuasan kepada pasangan.

Dr Low berkata, dengan adanya ubat-ubatan menguruskan ED, lelaki melihat rawatan tidak terhad kepada memulihkan masalah kesihatan tetapi turut menggembirakan dan memuaskan pasangan mereka.

“Adakah ini juga bermakna wanita Malaysia masa kini lebih mementingkan kepuasan yang lebih lama, sekali lagi ia bergantung kepada isu usia. Apabila kita bercakap mengenai pasangan walaupun sudah mencecah 40-an, fasa sebelum dan selepas menopause atau lelaki yang melalui fasa endropause, mereka masih ada keinginan terhadap aktiviti seksual tetapi berikutan usia yang makin meningkat, frekuensi aktiviti seksual makin berkurangan.

“Kita perlu ingat bahawa setiap manusia punya saraf seksual masing-masing, selagi anda aktif dari segi seksual dan sihat tidak kiralah pada usia 80 atau 90 tahun, anda masih boleh berfungsi dengan normal baik lelaki mahupun wanita,” katanya.

Dr Low berkata, kebanyakan individu yang mengalami ED adalah disebabkan oleh masalah kesihatan seperti hypertensi, diabetes serta angina dan mesejnya sangat jelas, penyakit kronik sangat berkait rapat dengan amalan gaya hidup.

“Disebabkan masyarakat kini bergerak pantas selari dengan kemajuan dunia yang sangat dinamik, selagi kita mampu mengubahsuai gaya hidup ini, tiada sebab mengapa penyakit kronik tadi tidak dapat dicegah.

“Jika terpaksa menghadapi masalah ini, setiap pasangan tidak harus menolak isu ketegangan ereksi berkualiti. Ini kerana selain menjejaskan keintiman antara pasangan, ia juga boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan kesihatan,” katanya.

Dr Low berkata, dengan pendekatan dan pengurusan betul, semua pesakit dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti bersama pasangan mereka

Bakteria bahaya

IMUNISASI anak-anak adalah benteng pertama melindungi nyawa mereka dari jangkitan pelbagai bakteria berbahaya.
Walaupun Malaysia bertuah kerana program imunisasi yang disediakan Kementerian Kesihatan adalah berpandukan Perluasan Program Imunisasi (EPI) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan diberi percuma kepada bayi dan kanak-kanak, namun masih ada vaksin yang tiada dalam jadual imunisasi kementerian seperti vaksin jangkitan pneumokokal.
Perunding Pediatrik dan Neonatologi Sunway Medical Centre, Dr Khoo Boo Aik menjelaskan, pneumokokal ialah satu kumpulan jangkitan berbahaya yang disebabkan oleh bakterium Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Jangkitan bakteria ini boleh mengakibatkan beberapa penyakit lazim seperti jangkitan saluran pernafasan termasuk otitis media (keradangan pada telinga tengah); sinusitis dan jangkitan paru-paru (pneumonia).

Dr Khoo berkata, ia juga boleh menyebabkan sepsis iaitu sejenis jangkitan pada aliran darah dan meningitis (jangkitan pada selaput otak).

“Dalam kata lain, jangkitan ini boleh menyebabkan hilang pendengaran secara kekal, sawan, kelumpuhan, cacat otak, diabiliti dan kematian dalam kes tertentu.

“Malah dianggarkan sejuta kanak-kanak mati setiap tahun akibat pneumokokal di seluruh dunia,” katanya kepada kolum Sihat.
Individu yang termasuk dalam kategori berisiko dijangkiti penyakit ini ialah kumpulan usia seawal bawah lima tahun dan melebihi 65 tahun. Ini kerana sistem imun tubuh yang rendah.

Faktor lain termasuk tidak mempunyai limpa atau tidak berfungsi dengan betul; pernah mendapat rawatan akibat pneumonia; menghidap diabetes; masalah jantung kronik, masalah paru-paru; masalah buah pinggang atau hati; sistem imun yang lemah; mewarisi gangguan immunodeficiency atau menghidap virus human immunodeficiency (HIV) atau acquired immune deficiency syndrome (AIDS) serta implan koklea.

Dr Khoo berkata, antara gejala yang lazim dikesan pada kanak-kanak termasuk batuk berkahak; demam panas; sakit telinga atau lelehan telinga; mudah meragam; menangis berpanjangan; kurang aktif; kelesuan dan nampak sakit.
Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tidak semua akan mengalami gejala yang dinyatakan ketika diagnosa.

Beliau berkata, pneumokokal didiagnosa secara klinikal iaitu berdasarkan hasil ujian klinikal dan ujian pemeriksaan fizikal. Namun, menurutnya, ada beberapa lagi ujian yang dapat membantu mendapatkan keputusan positif tetapi kadangkala masih gagal untuk dikesan. Ini termasuk x-ray dada, kultur dan sensitiviti (C+S) kahak, (C+S) darah, (C+S) air kencing serta (C+S) cecair cerebrospinal.

Dr Khoo berkata, sekalipun berbahaya dan sukar didiagnosa, penyakit ini boleh dicegah dengan langkah-langkah pencegahan am seperti mengekal penjagaan diri yang baik dan pengambilan makanan berkhasiat bagi membina sistem imun sihat. Bagaimanapun, kaedah paling efektif dalam usaha pencegahan pneumokokal adalah dengan vaksin.

“Vaksin diberi dalam bentuk suntikan di mana jumlah dos yang diperlukan pesakit bergantung pada usia mereka.
Suntikan vaksin ini berfungsi dengan memberi stimulasi pada tubuh untuk menghasilkan antibodi bagi menentang bakteria pneumokokal. Antibodi ini melindungi anda daripada penyakit sekiranya anda dijangkiti bakteria pneumokokal. Ia juga melindungi daripada banyak (tidak semua) jenis bakteria pneumokokal,” katanya.

Beliau berkata, pneumokokal boleh merebak melalui sentuhan antara orang yang sakit atau pembawa bakteria itu pada tekak mereka. Anda juga boleh mendapat pneumokokal pneumonia daripada titisan air melalui pernafasan dari hidung atau mulut orang yang dijangkiti.

Dr Khoo berkata, antara pilihan rawatan adalah antibiotik secara Intravenous bersama ubatan yang melegakan gejala. Bagaimanapun, dunia berhadapan dengan peningkatan jenis bakteria yang kebal antibiotik. Ini menyukarkan proses rawatan jangkitan bakteria serius ini sekali gus pencegahan melalui vaksin adalah cara terbaik sebagai pilihan rawatan.

Beliau berkata, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius malah maut selain ibu bapa dan penjaga berdepan kebimbangan yang tidak berkesudahan. Kesan psikologikal yang ditinggalkan penyakit ini mampu terlihat pada ibu bapa dalam bentuk beban kewangan bagi menampung kos rawatan hospital.

“Jangan lupa bahawa doktor adalah penjaga yang bertanggungjawab merawat pesakit sehingga sembuh. Sehubungan itu, doktor sangat menekankan pencegahan menerusi kaedah vaksin.

“Ibu bapa perlu sedar bahawa pneumokokal adalah penyakit yang serius dan membawa maut. Sehubungan itu, mereka perlu sedar bahawa pencegahan terhadapnya boleh dilakukan.

“Sekiranya anak-anak tidak mendapat suntikan vaksin ini, ibu bapa perlu peka dan mengambil perhatian terhadap sebarang gejala yang dialami serta segera berjumpa doktor untuk mengesan dan memberi rawatan segera bagi mengelak komplikasi menjadi bertambah buruk,” katanya.

Dr Khoo berkata, ibu bapa harus sedar pneumokokal adalah penyakit yang serius tetapi boleh dicegah.

Sehubungan itu, berikan suntikan vaksin kepada anak anda kerana melalui vaksin ia terbukti lebih efektif dari segi kos sebagai kaedah memerangi jangkitan termasuk penyakit pneumococcal.

Tindakan pantas selamatkan Amir

DILAHIRKAN sihat dan sempurna pada 27 Jun 2010 di Hospital Sungai Buloh, Muhammad Amir Reza, 2, diberi imunisasi lengkap seperti kanak-kanak lain kecuali pneumococcal dan rotavirus.

Disapa manja sebagai Amir oleh ahli keluarga, anak kedua pasangan Mohd Khairil Reza Atan dan Siti Norbaizura Baharudin adalah bayi cerdik dan cepat belajar berbanding abangnya, Muhammad Aqil Reza, 4.

Namun, Jun lalu, kehidupan Norbaizura dan Khairil tiba-tiba berubah apabila Amir mula demam dan disahkan menghidap pneumokokal meningitis.

“Pada mulanya, saya cuba beri ubat demam dan memantau suhu badannya di rumah. Masuk hari kedua, Amir muntah-muntah setiap kali selepas menyusu badan atau diberi makanan pejal seperti bubur dan biskut.

“Kekerapan Amir muntah amat membimbangkan kerana dia menjadi sangat lemah dan tidak bermaya. Namun, Amir masih berselera untuk makan bubur sehingga habis walaupun dengan mata terpejam,” luah Norbaizura yang selesa disapa Zura kepada kolum Sihat baru-baru ini.

Zura berkata, pada mulanya beliau menyangka dirinya tersalah makan kerana menyusu Amir.

“Maklumlah setiap pemakanan ibu akan memberi kesan kepada anak. Tetapi melihat kepada tanda-tanda awal yang ditunjukkan seperti demam berlarutan dengan kadang-kadang surut; muntah-muntah; tidak memberi tindak balas terhadap sentuhan atau objek yang diberi selain menjadi lemah serta tidak bermaya, saya sedar Amir perlu diberi bantuan profesional dengan segera,” katanya.

Sangkaannya benar belaka, apabila suhu badan Amir meningkat dan terus muntah-muntah, Zura dan suami membawa Amir ke hospital.

Doktor yang memeriksa di wad kecemasan bertanya pelbagai soalan sebelum anaknya dimasukkan ke wad. Di wad, keadaan Amir makin teruk dengan tidak memberi tindak balas kepada rangsangan sentuhan atau objek. Ketika itu, doktor yang merawat mula membincangkan perihal Amir dan langkah seterusnya yang harus diambil. Doktor mencadangkan Amir dipindahkan ke unit jagaan intensif (ICU) untuk dipantau 24 jam.

Kebimbangan Zura akhirnya terjawab apabila Amir disahkan menghidap pneumokokal meningitis.

Zura mengakui pernah mendengar mengenai penyakit itu dari doktor kanak-kanak yang selalu mereka kunjungi.

“Kami tidak sempat melakukan imunisasi kerana kos satu dos suntikan adalah RM300 dan bayi di bawah 12 bulan memerlukan tiga dos ditambah satu dos lagi selepas 12 bulan.

“Selepas doktor mencadangkan prosedur lumbar puncture dan menerangkan kepada kami mengenai penyakit ini, saya mula mencari lebih maklumat di internet,” katanya.

Amir bertuah kerana ibu bapanya pantas bertindak hingga pulih dari pneumokokal meningitis.

Lebih bersyukur lagi, Amir tidak mengalami sebarang komplikasi berbeza daripada pesakit lain yang menghadapi kemungkinan menjadi buta, pekak, cacat dalam otak, tidak dapat berjalan dan sebagainya akibat bakteria merebak teruk ke dalam lapisan otak.

“Mungkin juga kerana kami bersetuju membuat lumbar puncture untuk mengetahui penyakit dan ubat yang sepatutnya untuk merawat Amir, dia berjaya pulih sepenuhnya.

“Kami bersyukur dapat melalui ujian ini dengan penuh reda. Tidak saya nafikan sangat-sangat terganggu, sehingga tidak dapat fokus kepada perkara lain, malah saya mengambil cuti tanpa gaji selama 15 hari untuk menjaganya di hospital.

“Nasib baik Aqil sangat berdikari dan boleh tinggal dengan suami selama saya berada di hospital. Kami juga bernasib baik kerana mengambil kad perubatan dengan sebuah syarikat insuran. Bayangkan saja kos yang mencecah RM17,000 yang perlu kami tanggung tanpa perlindungan insuran,” katanya.

Bagi ibu bapa yang anaknya mengalami komplikasi selepas dijangkiti pneumokokal meningitis, mereka boleh mendapatkan nasihat doktor untuk memulihkan semangat diri dan keluarga. Namun, sayang ketika ini, Malaysia belum ada badan yang boleh membantu termasuk pusat maklumat am pneumokokal yang boleh memberi panduan mengendalikan pesakit.

Sehubungan itu, Zura berkata, sebuah badan khas perlu ditubuhkan bagi membantu pesakit pneumokokal meningitis.

“Kita perlu membentuk badan khas yang boleh memberikan maklumat dan menekankan betapa pentingnya kerajaan memasukkan imunisasi dalam jadual imunisasi kanak-kanak.

“Ini kerana imunisasi terhadap pneumokokal meningitis adalah perlindungan pilihan, jadi ibu bapa kerap memilih untuk tidak mengambil imunisasi ditambah pula harganya yang agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya yang mengajak ibu bapa melayari laman web www.abc4pneumococcal.com dan menandatangani ikrar bagi memasukkan pneumokokal konjugat vaksin dalam Program Imunisasi Malaysia.

INFO

Faktor risiko lain pneumokokal


* Tidak ada limpa atau tidak berfungsi dengan betul
* Pernah mendapat rawatan akibat pneumonia
* Menghidap diabetes
* Masalah jantung kronik
* Masalah paru-paru
* Masalah buah pinggang atau hati
* Sistem imun yang lemah, mewarisi gangguan immunodeficiency atau menghidap virus human immunodeficiency (HIV) atau acquired immune deficiency syndrome (AIDS)
* Implan koklea

Jerat kardiovaskular

GAYA hidup tidak sihat, diet tinggi lemak, merokok dan kurang bersenam berpotensi meletakkan anda dalam risiko bahaya dijangkiti penyakit penyakit kardiovaskular yang kini menjadi punca utama kematian di seluruh dunia seawal usia 25 tahun.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2008 mengenai punca kematian individu berusia kurang 70 tahun di Asia mendapati, 70 hingga 80 peratus kematian penyakit kardiovaskular adalah penghidap diabetes tahap dua.
Kajian terbaru juga menunjukkan Asia Tenggara menduduki tangga kedua tertinggi bagi penghidap kencing manis iaitu 161 peratus, dengan jumlah sebanyak 22.3 juta orang pada 2000 serta dianggar melonjak kepada 58.1 juta pada 2030.

Ketua Perkhidmatan, Jabatan Terapi dan Perubatan serta Ketua Bahagian Endokrinologi dan Diabetes, Hospital Prince of Wales, Universiti China Hong Kong, Dr Francis CC Chow, berkata sukar untuk meyakinkan orang ramai mengubah tabiat buruk dan gaya hidup berikutan peningkatan bilangan penghidap serta jumlah kematian akibat penyakit kardiovaskular setiap tahun.

"Semua pihak harus proaktif mengenalpasti faktor risiko penyakit ini. Mengubah gaya hidup adalah satu kunci berikutan peningkatan taraf hidup dan kemajuan Hong Kong turut merangsang ke arah peningkatan bilangan pesakit kardiovaskular.

"Penyakit kardiovaskular kebiasaannya berhubung kait dengan penyakit serangkai lain antaranya kolesterol tinggi, tekanan darah rendah, mahupun diabetes dan kolesterol tinggi," katanya pada Sidang Kemuncak Asian CardioCare Summit di Hong Kong, baru-baru ini.
Bagi menangani masalah itu, Chow mengambil strategi yang lebih agresif dengan mendekati pesakit, menggalakkan rawatan intensif dan mewujudkan kumpulan rakan sebaya pesakit bagi mewujudkan jaringan komuniti membantu antara satu sama lain dalam mengatasi masalah penyakit mereka.

Profesor Emeritus, Jabatan Perubatan, Universiti California, San Francisco, Dr David Waters berkata, pertambahan bilangan obesiti dalam kalangan masyarakat Asia menjadi punca pembangunan penyakit diabetes dan kardiovaskular.

Dr David berkata, senario itu merangsang pertambahan kolesterol tinggi sekali gus mewujudkan plak yang menghalang aliran darah terutama di dalam arteri koronari.

“Walaupun orang ramai dimaklumkan mengenai risiko kolesterol tinggi, ramai terus mengabaikannya. Satu masalah besar bagi pesakit kencing manis apabila mereka gagal menyedari bahawa ketika diagnosa, mereka perlu mengambil dos ubatan berbeza setiap hari dan pakej menghidap sakit jantung menyebabkan pertambahan kuantiti ubat serta kos perubatan yang lebih tinggi.

"Pesakit diabetes perlu sentiasa memantau tekanan darah, kolesterol dan komplikasi berkaitan penyakit kardiovaskular. Ia satu proses yang sangat rumit dan mengambil masa dan wang menyebabkan ramai pesakit tidak berjaya dalam mengekalkan rawatan," katanya.

Dr Waters berkata, antara keistimewaan pengambilan Statin iaitu sejenis ubat bagi mengurangkan risiko serangan jantung, mampu membantu mencegah penyakit kardiovaskular, sekali gus tidak mengehadkan pesakit jantung dengan pengambilan ubat kolesterol.

Dalam beberapa kes, doktor menetapkan rawatan Statin bagi pesakit kencing manis yang masih belum menunjukkan tanda menghidap penyakit kardiovaskular.

Statin iatu sejenis ubat yang dikatakan mampu mengurangkan risiko serangan jantung dicipta pada pertengahan 1990-an dan digunakan bagi menstabilkan kolesterol ke tahap lebih rendah. Jualan Statin di seluruh dunia berjumlah lebih daripada AS $ 20 bilion (RM60.9 bilion) setiap tahun.

Biarpun adanya Statin yang turut digelar ‘aspirin abad ke-21’ dan diterima menyeluruh dalam perubatan kardiovaskular kerana kesan sampingan relatif kurang, bilangan pesakit baru akibat kolesterol tinggi terus berkembang berikutan tingkah laku pemakanan dan pilihan gaya hidup yang kurang baik.

Sementara itu, Perunding Terapi dan Kardiologi, Hospital Pantai, Datuk Dr N Arumugam menasihatkan masyarakat Malaysia supaya berhenti merokok segera bagi mengelakkan risiko serangan jantung.

"Rokok punca utama serangan jantung. Jika anda amalkan gaya hidup sihat seperti bersenam tanpa berhenti merokok, anda sebenarnya menempah maut kerana risikonya masih sama.

"Masyarakat kita sering kali kurang berwaspada apabila tiada sejarah penyakit serangkai dalam keluarga masing-masing. Pembangunan restoran makanan 24 jam ternyata satu faktor ke arah seriusnya penyakit kardiovaskular di negara kita," katanya.

Arumugam berkata, jika tidak mengamalkan gaya hidup yang aktif, anda berkemungkinan menghidap penyakit jantung dalam usia muda. Bagaimanapun, penyakit Kardiovaskular lebih kerap menyerang individu lelaki berusia lebih 40-an dan wanita menapous.


Syukur diberi peluang kali kedua

BERSEDIA melepaskan tabiat merokok sejak 15 tahun lalu, Kamaruzaman Ahmad, 41 menganggap ia pengorbanan terbesar yang dilakukan pesakit jantung sepertinya bagi mencapai tahap kesihatan lebih baik.

Ketika ditemubual kolum Sihat, baru-baru ini, Kamaruzaman tampak lebih aktif, sihat dan gembira dengan perkembangan terbarunya walaupun masih bergelar pesakit.

Bercerita mengenai tanda awal sakit yang dialaminya, bapa kepada tiga anak itu tidak menyangka gejala 'gastrik' pada bahagian abdomen adalah permulaan gejala sakit kardiovaskular.

Kamaruzaman berkata, segala-galanya bermula pada September 2006 lalu apabila beliau mengalami serangan gastrik yang teruk sebelum menjalani pemeriksaan doktor. Malang baginya, apabila disahkan kedua-dua koronari jantung tersumbat dengan potensi 80 peratus dan 90 peratus pada setiap bahagian.

"Selepas diagnosa, saya masih tidak menyangka mengalami penyakit jantung kerana tiada gejala seperti serangan dan sebagainya. Tambahan pula, ketika itu isteri sedang sarat mengandung anak ketiga menyebabkan saya bersikap sambil lewa.

"Doktor berkeras mahu menjalankan rawatan ECG dengan segera walaupun saya menolak pada awalnya. Dalam masa tiga hari, saya diberikan rawatan perubatan segera dan bersyukur kerana tindakan segera itu menyelamatkan nyawa saya sekarang," katanya.

Kamaruzaman berkata, sukar baginya menjalani kehidupan sebelum diberikan rawatan perubatan berikutan sering kali mengalami gejala mudah penat, sukar bernafas dan termengah-mengah apabila melakukan sebarang aktiviti.

Terbaru, beliau masih menjalani rawatan perubatan bagi mengekalkan kesihatan serta kestabilan jantungnya dengan pengambilan pelbagai ubatan kolesterol, darah tinggi dan diabetes selain meninggalkan tabiat merokok!

Isterinya, Latifah Mohamed Sani, 38 dan keluarga menjadi tulang belakang yang sentiasa menyokong kekuatan mental dan emosi beliau sejak disahkan menghidap penyakit jantung.

"Tiada sejarah keluarga menyebabkan saya cuai menjaga kesihatan diri. Bagaimanapun, saya bersyukur diberi peluang kedua untuk memulakan hidup baru dengan kesihatan yang lebih baik.

"Malah, keluarga amat memahami masalah saya dan sentiasa mengingatkan mengenai penyakit ini. Sebarang pantang larang terutama membabitkan makanan berlemak dan tinggi kalori sentiasa mendapat perhatian mereka," katanya.

Pesan Kamaruzaman kepada masyarakat di luar sana supaya menjalani kehidupan aktif, sentiasa bersenam dan ulangi pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Nafas tercungap

GOLONGAN dewasa yang normal bernafas lebih dari 20,000 kali sehari. Namun, cuba bayangkan, setiap kali menarik dan menghembus nafas, anda umpama bergelut dengan nyawa akibat saluran udara yang sempit.
Begitulah bahana yang dilalui pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD) iaitu sejenis penyakit progresif akibat saluran udara menjadi sempit yang boleh mengancam nyawa.
Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk memanaskan rumah. - Prof Dr Roslina Abdul Manap, Presiden Persatuan Thoracic Malaysia
Ramai mungkin tidak pernah mendengar atau mengetahui apa itu COPD berbanding asma atau bronkitis. COPD sering dikaitkan dengan tabiat merokok tegar, udara yang tercemar serta terdedah pada persekitaran kerja tertentu hingga berlakunya sekatan pada laluan udara paru-paru. Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas. Tidak hairanlah, lama kelamaan individu yang mengalami keadaan ini menjadi tidak aktif.

Mengikut perangkaan, COPD menjejaskan 210 juta orang di seluruh dunia malah dijangka menjadi penyebab ketiga tertinggi kematian pada 2020. Merokok adalah penyebab utama COPD, dengan perokok wanita sebanyak 13 kali manakala perokok lelaki 12 kali lebih cenderung mati akibat COPD berbanding mereka yang bukan perokok.

Namun, merokok bukan satu-satunya punca COPD. Faktor lain termasuk terdedah kepada asap atau pencemaran luaran mahupun dalaman, juga boleh meningkatkan peluang menghidap COPD.

Ada antara pesakit COPD dijangkiti penyakit itu akibat terlalu lama berada di persekitaran berdebu dan berasap. Persatuan Thoracic Amerika Syarikat melaporkan, terdedah kepada amalan kerja menyumbang 10 hingga 20 peratus kepada gejala atau kegagalan fungsi yang konsisten dengan COPD.
Presiden Persatuan Thoracic Malaysia, Prof Dr Roslina Abdul Manap, COPD lazimnya dihidapi lelaki tetapi kini turut menjejaskan wanita.

“Ini disebabkan peningkatan dalam penggunaan tembakau dan risiko tinggi terdedah kepada pencemaran dalaman seperti bahan api pejal yang digunakan untuk memasak dan memanaskan makanan.

“Ada sesetengah kes pesakit COPD hidup di kediaman yang dipenuhi asap dari dapur memasak atau asap dari alat pemanas yang digunakan untuk memanaskan rumah,” katanya kepada kolum Sihat.

Prof Roslina yang juga Ketua Unit Respiratori Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, gejala COPD paling lazim ialah mencungap atau sesak nafas; kahak luar biasa; batuk kronik; nafas berdehit (wheezing) dan dada ketat.

“Kadangkala, aktiviti rutin dan mudah seperti berjalan menaiki atau menuruni tangga lama kelamaan boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan,” katanya.

Beliau berkata, COPD didiagnosa menggunakan ujian ringkas dikenali sebagai spirometri yang berfungsi mengukur kekuatan pernafasan (menarik dan menghembus) serta selaju mana ia dihembus keluar.

“Malangnya kebanyakan pesakit COPD terlepas proses diagnosa atau tidak diuji dengan sempurna hingga penyakit itu bertambah parah,” katanya.

Prof Roslina berkata, pakar perubatan hanya menjalankan ujian spirometri apabila pesakit menunjukkan tanda seperti batuk kronik, menghasilkan kahak, Dyspnea (sesak nafas), terdedah terlalu lama kepada asap tembakau, habuk dan bahan kimia di tempat kerja serta asap dari aktiviti di rumah.

Beliau berkata, akibat kebanyakan pesakit cenderung mengaitkan gejala COPD dengan tabiat merokok dan usia yang meningkat, mereka mengabaikan pemeriksaan kesihatan hingga keadaan bertambah parah. Akibatnya ketika diagnosa dilakukan, lebih 50 peratus fungsi paru-paru mengalami kegagalan.

“Walaupun COPD tidak boleh sembuh sepenuhnya, ia boleh dirawat dan dicegah, jadi sasaran utama rawatan adalah untuk mengurangkan gejala dan mengelak komplikasi atau mengawal dari melarat dengan kesan sampingan minimum,” katanya.

Beliau berkata, ubat Bronchodilators yang menenangkan dan membuka laluan udara dalam paru-paru memainkan peranan penting dalam menguruskan gejala COPD.

“Kebanyakan bronchodilators diambil menggunakan alat sedut. Bergantung kepada betapa teruk penyakit yang dihidapi, tidak kira cepat atau lambat tindak balasnya, sedutan bronchodilator mungkin akan diberi,” katanya.

Prof Roslina berkata, bronchodilators sedut yang cepat tindak balasnya iaitu dalam tempoh 15 hingga 20 minit serta mampu bertahan dari empat hingga enam jam boleh membantu mengurangkan cungap malah dikenali sebagai ubatan penyelamat.

Menurutnya, bronchodilators yang lambat kesannya digunakan setiap hari bagi membuka laluan udara dan memastikan ia terbuka sehingga 12 jam malah dalam kes tertentu sehingga 24 jam.

“Rawatan COPD merangkumi sama ada satu ubat atau kombinasi beberapa ubat dalam satu alat sedut seperti bronchodilators, corticosteroid, kombinasi bronchodilators, atau kombinasi bronchodialators dan corticosteroid.

”Selain itu, COPD juga boleh dirawat dengan antibiotik, terapi oksigen, pemulihan pulmonari dan pembedahan,” katanya.

Beliau berkata, vaksin kegagalan paru-paru (pneumonia) dan influenza juga perlu diberi kepada pesakit COPD.

Kesimpulannya, pesakit COPD perlu mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam, berhenti merokok dan jauh dari sebarang bentuk pencemaran.

Ubah gaya hidup selepas diserang COPD

“SAYA menyesal kerana terlalu mengikut hati dan degil untuk berhenti merokok. Sekarang, bukan saja penyakit ini menyusahkan diri, keluarga serta rakan-rakan, malah amat membebankan dari segi kewangan,” luah hati Lau Swe Teng, 66, yang menghidap COPD sejak 11 tahun lalu.

Cerita Lau yang berasal dari Morib, Selangor, beliau mula merokok sejak di bangku sekolah dan tabiat itu sukar ditinggalkan sehingga Februari 2001 apabila terasa dadanya sempit dan sukar bernafas.

Bimbang melihat keadaan Lau yang agak tenat, keluarganya terus membawa ke hospital dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Selepas insiden pertama itu, Lau yang juga bapa kepada dua cahaya mata mula menyesuaikan diri sambil belajar mengenali karakter penyakitnya itu. Pada awalnya, Lau masih lagi berdegil mengikut sepenuhnya nasihat doktor.

“Tetapi selepas disahkan menghidap COPD, saya belum berhenti merokok sepenuhnya, malah pemakanan juga masih mengikut selera.

“Namun, serangan makin kerap dan kebanyakan insiden berlaku bukan saja di rumah tetapi juga ketika berada bekerja. Pernah suatu hari, ia menyerang ketika saya sedang membeli keperluan dapur bersama isteri di mana saya tiba-tiba rebah.

“Bayangkan, betapa susahnya hati isteri dan keluarga akibat kedegilan saya selama ini,” ceritanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan alat sedut Onbrez Breezhaler keluaran Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan itu saja, Lau pernah panik apabila diserang COPD ketika sedang mengendalikan mesyuarat dengan rakan perniagaan.

Cerita Lau, apabila berhadapan penyakit kronik begini, keputusan memilih pusat rawatan yang tepat amat penting. Walaupun Lau memiliki skim perlindungan insuran kesihatan, ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan sepanjang 11 tahun menghidap COPD.

Malah, wang simpanannya terpaksa digunakan untuk menampung kos perubatan yang tinggi - begitulah beban kewangan yang perlu ditanggung selain kesan terhadap emosi dan psikologi Lau sekeluarga.

“Selepas pengalaman mendapatkan rawatan di beberapa hospital, akhirnya saya dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan terus mendapatkan rawatan lanjut di Institut Perubatan Respiratori (IPR).

“Saya bertuah dan sangat bersyukur kerana selepas mendapat bantuan pakar dan staf terbaik di pusat berkenaan, serangan penyakit ini makin berkurangan dan boleh dikawal dengan ubat-ubatan termasuk alat sedut. Malah, saya sendiri sudah mula mengubah gaya hidup dan berhenti merokok.

“Kini saya seperti orang biasa, boleh bekerja dan menjalani rutin harian tanpa rasa bimbang. Walaupun sesekali masih diserang COPD jika tidak menjaga pemakanan atau minum ais, namun ia masih terkawal dan tidak serius.

“Ternyata pengambilan ubat yang teratur selain mendengar nasihat doktor sangat membantu proses pemulihan kerana COPD boleh dirawat,” katanya.

Lau berkata, mesej dan kesedaran mengenai COPD sangat penting kepada masyarakat kerana melalui pengalaman berjumpa pesakit COPD di hospital dan di tempat lain, kebanyakan orang tidak tahu bahaya COPD kepada perokok dan kaedah rawatan terbaik mengatasinya.

“Orang ramai perlu tahu bahawa COPD amat menyusahkan diri pesakit, keluarga dan rakan-rakan. Cuba bayangkan azabnya keadaan apabila anda hanya mampu menarik nafas tetapi sukar untuk menghembuskan keluar akibat laluan udara yang sempit.

“Nasihat saya, sekiranya anda dan ahli keluarga menghidap penyakit ini cepatlah berjumpa pakar, dengarlah nasihat mereka dan cubalah untuk berubah kerana COPD bukan saja boleh dikawal tetapi boleh diubati,” katanya.

Lau kini lebih selesa mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif dengan berjalan selama sejam setiap pagi, mengamalkan diet seimbang, mengelak minuman sejuk dan makanan yang terlalu pedas serta tidak mengangkat bebanan.

Buah pinggang untuk hidup

HANYA pesakit buah pinggang kronik tahu betapa sengsaranya hidup bergantung pada mesin dialisis. Sekadar melaksanakan 30 peratus fungsi buah pinggang sebenar, pesakit berdepan pelbagai situasi menekan malah berdepan risiko kematian lebih awal.
Namun, harapan masih ada, melalui pembedahan pemindahan organ, penderita masalah ginjal berpeluang kembali menikmati kehidupan berkualiti dan lebih sempurna.
Di Malaysia, lebih 12,000 pesakit buah pinggang kronik yang sedang menjalani dialisis berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan pemindahan buah pinggang - jumlah yang terlalu banyak jika dibandingkan dengan organ yang diterima.

Terbukti, pemahaman, penerimaan dan maklum balas masyarakat terhadap mesej dan kempen kesedaran yang dikendalikan pelbagai pihak sejak lama dulu masih jauh dari garis selamat. Hakikatnya soal kematian dan pendermaan organ sulit untuk dibicarakan apatah lagi membabitkan orang tersayang begitu juga di kalangan pengamal perubatan yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Perunding Nephrologist Hospital Selayang, Dr Rafidah Abdullah menjelaskan, tahun lalu hospital itu menerima 22 pasang buah pinggang dan berjaya menjalankan 40 pembedahan pemindahan buah pinggang, namun jumlahnya masih jauh dari sasaran sebenar.

“Begitu juga halnya apabila kita bercakap mengenai jumlah penderma organ kadaverik (orang mati) atau mati otak yang mencatatkan jumlah sangat rendah.
“Bayangkan, tahun lalu hanya lapan pemindahan dikendalikan di sini. Begitu juga Hospital Kuala Lumpur (HKL)... keadaan ini sangat membimbangkan,” katanya kepada kolum Sihat.

Hari ini, sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 Peringkat Kebangsaan dilancarkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Dr Rafidah berkata, walaupun dengan pelbagai hebahan media seperti media cetak, penyiaran, laman web dan blog, masih ramai orang bukan saja tidak tahu manusia boleh hidup normal dengan hanya bergantung satu buah pinggang, malah mereka mempunyai persepsi salah mengenai konsep derma organ dari sudut agama.

“Tiada istilah putus asa dalam Islam termasuk dalam soal merawat penyakit. Secara asasnya, hukum pemindahan dan pendermaan organ ialah harus. Ini kerana pemindahan dan pendermaan organ memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia iaitu salah satu daripada objektif syariah.

“Ini kerana kaedah rawatan pemindahan organ terbukti berjaya merawat pesakit yang menghidap masalah kegagalan organ peringkat akhir,” katanya.

Dr Rafidah berkata, Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 memilih slogan ‘Kidneys For Life’ atau ‘Buah Pinggang Untuk Hidup’ sebagai tema sambutan bagi mempromosi dan menerapkan kesedaran mengenai derma organ.

“Bayangkan, bagaimana organ dan tisu yang anda derma mampu mengubah kehidupan individu yang mengalami kegagalan organ dan tisu. Anda menyelamatkan nyawa dan memberi mereka dan keluarga mereka masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Mengikut statistik Pusat Sumber Transplan Negara, sehingga 31 Januari 2012, jumlah pendermaan organ sebenar yang direkodkan membabitkan 361 individu manakala jumlah pengikrar pendermaan organ seramai 188,147 orang. Ini menunjukkan negara sangat memerlukan organ.

Petugas perkhidmatan kerajaan kini berdepan pelbagai halangan kerana dikatakan mengikut rekod terkini, negara hanya ada 50 pakar buah pinggang. Bayangkan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan segera. Betapa tertekan pengamal perubatan yang pada masa sama cuba mengubati pesakit serta memberi kesedaran, menganjurkan pelbagai kempen dan mempromosi maklumat dan kesedaran mengenai buah pinggang kepada masyarakat.

“Berpandukan kepada graf, pesakit yang dikesan mengalami masalah buah pinggang pada usia muda makin meningkat dan ini amat menakutkan. Namun, secara purata peningkatannya setara bagi setiap kumpulan usia. Bayangkan dalam masa sehari, tiga hingga empat pesakit baru dikesan mengalami kegagalan buah pinggang.

“Kami bekerja siang dan malam untuk menjayakan usaha ini. Kita berharap media massa dapat memberikan sokongan dengan menyampaikan mesej yang tepat serta memainkan peranan penting dalam mengubah stigma dan pemikiran masyarakat terhadap pemeriksaan kesihatan serta derma organ,” kata Dr Rafidah.

Dalam hal ini, hanya populasi sihat dapat membebaskan negara dari kemelut ini. Untuk melahirkan masyarakat yang celik kesihatan, pendidikan dan kesedaran perlu diterapkan dari awal.

Mengetahui faktor risiko dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat penting kerana penyakit buah pinggang adalah pembunuh senyap. Pesakit tidak akan mengesan tanda mahupun merasa kesakitan pada peringkat awal. Namun sebaik ia berjaya dikesan, semuanya sudah terlambat kerana pada peringkat ini buah pinggang sudah gagal. Sehubugan itu, sayangilah buah pinggang anda dan hargailah kesihatan.

Info:

* Anda boleh mendaftar menjadi penderma organ dengan Registri Pendaftar Organ Nasional
* Maklumat lanjut layari www.nkf.org.my dan www.agiftoflife.gov.my



Misi Siti Hanim sebar maklumat derma organ

TIDAK seperti pesakit buah pinggang lain, masalah buah pinggang polisistik iaitu kewujudan sista pada ginjal menyebabkan ia membesar seperti dialami Siti Hanim Jamil, 64, lebih bersifat warisan.

Redha dengan kecelaruan genetik yang diwarisi secara turun temurun melalui ibunya, Siti Hanim teguhkan hati, menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dan mempercayai sepenuhnya kepakaran sepasukan pegawai perubatan di Hospital Selayang.

Tanggal 25 Disember 2009, Siti Hanim selamat menerima pemindahan buah pinggang yang didermakan anak sulung yang juga wira hatinya, Razman Omar.

“Semua adik beradik saya mengalami buah pinggang polisistik. Adik lelaki bongsu saya sendiri sudah menderita masalah buah pinggang selama 10 tahun dan masih bergantung pada mesin dialisis,” cerita ibu lima anak yang menderita masalah buah pinggang selama empat tahun dan terpaksa bergantung pada mesin dialisis selama dua tahun.

Bercerita mengenai pengalamannya, bekas Eksekutif Pembangunan Pemasaran ini mengakui pendedahan, pendidikan awal dan sikap terbukanya terhadap pendermaan dan pemindahan organ menjadikan diri dan keluarganya tidak pernah culas dengan temujanji doktor. Pada masa sama, Siti Hanim menjaga disiplin pemakanan dan mematuhi semua nasihat pakar.

“Saya percaya sepenuhnya pada qada dan qadar tuhan dan nasihat doktor saya. Ia cukup penting kerana biasanya mereka yang mengalami masalah buah pinggang adalah pesakit yang tidak mengikut nasihat doktor dan mengambil ‘sikap tidak apa’ kerana tidak merasa sakit.

“Padahal lama kelamaan ia membawa kepada maut, lebih-lebih lagi jika pesakit turut mengalami kencing manis, pengawasan tahap gula sangat penting,” katanya.

Seperkara lagi, Siti Hanim mengalami tekanan darah tinggi sejak berusia 17 tahun lagi. Ketika itu, tiada siapa menyangka ia ada kena mengena dengan buah pinggangnya. Hanya selepas ibunya mengalami sakit teruk 30 tahun lalu dan dibawa ke hospital, barulah mereka menyedari keadaan sebenar yang dialami keluarga itu.

“Biarpun kami mewarisi penyakit ini dari ibu, ia tidak pernah menghalang kami dari menjalani kehidupan normal dan sempurna,” katanya.

Malah, Siti Hanim yang sentiasa ditemani anaknya, Sofina yang juga penghidap ginjal polisistik, masih bekerja sehinggalah buah pinggangnya gagal berfungsi ketika usianya mencapai 60 tahun.

Pengalaman abang iparnya yang menjalani pemindahan buah pinggang diderma adiknya di Australia, membuatkan keluarga Siti Hanim terbuka dalam soal derma organ. Malah sebelum meneruskan rancangan untuk melakukan pemindahan organ, Siti Hanim dan anak-anaknya menjadi pengikrar pendermaan organ berdaftar.

“Secara peribadi, apabila kita bercakap mengenai pemindahan organ, ramai orang gerun dan takut untuk memberi termasuk menerima organ biarpun sudah ada penderma. Saya percaya kekuatan itu datang dari rasa yakin dan percaya kepada doktor anda,” tambahnya mengakui Hospital Selayang adalah hospital transplan terbaik di Malaysia dan setanding dengan kepakaran antarabangsa.

Setiap kali berpeluang bertemu pesakit lain ketika berulang alik ke hospital untuk dialisis, Siti Hanim selalu menerangkan kepada mereka jika ada adik beradik atau saudara mara yang kurang jelas mengenai pemindahan organ beliau sanggup meluangkan masa untuk menjelaskan.

“Ramai tidak tahu pembedahan ini sangat berjaya dan selamat malah pesakit boleh menjalani kehidupan normal. Anak lelaki saya yang menderma buah pinggang juga sangat aktif dan sihat selepas pembedahan itu, malah terlalu sibuk dengan kerja dan semakin nakal,” ceritanya sambil ketawa.

Etak selamat dimakan

ETAK dalam dialek Kelantan adalah sejenis hidupan cengkerang dan amat popular dijadikan menu hidangan harian serta dijadikan snek ketika bersantai bersama keluarga dan rakan.

Dikenali sebagai corbicula fluminea dalam bahasa saintifik, ia amat mudah didapati di sepanjang sungai di negeri berkenaan.

Malah, hidupan tersebut turut menjadi sumber mata pencarian kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan pinggir sungai kerana permintaan yang tinggi di pasaran terutamanya etak yang telah disalai dengan ramuan khas.

Selain itu, etak merupakan spesies yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi penduduk tempatan terutamanya di Kelantan sebagai salah satu makanan yang paling popular bagi penduduk di negeri ini sejak dahulu lagi.

Ia bukan sahaja dihidangkan dalam menu makanan seharian, malah etak salai dijadikan snek pada waktu bersantai bersama keluarga dan rakan.

Etak sama seperti lala atau kepah. Tetapi saiznya lebih kecil dan boleh dimasak bersama sayur, masak lemak, masak rebus dan kebiasaannya etak salai lebih popular.

Kerana keenakan dan kelazatannya itu, etak salai menjadi buruan namun masih ramai yang ragu sama ada etak itu selamat dimakan atau sebaliknya?

Bagi mencari jawapan tersebut, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terdiri daripada Dr. Lee Seong Wei, Zalina Che Manan, Prof. Awang Soh Mamat dan Dr. Md. Ruhul Amin menjalankan kajian bagi mengkaji tahap kandungan yang terdapat dalam hidupan sungai itu.

Menurut Seong Wei, meskipun etak telah lama dijadikan makanan, namun masih belum ada maklumat pangkalan data mengenai antibiogram dan tahap kerintangan logam berat bakteria yang terdapat pada spesies tersebut.

Beliau yang juga pensyarah kanan FASA memberitahu, satu kajian sedang dijalankan oleh kumpulannya sejak tahun 2010 bagi mengasingkan dan mengenal pasti bakteria yang terdapat dalam etak hidup dan yang disalai.

Selain itu, ia juga bertujuan mencirikan antibiogram dan pola kerintangan logam berat oleh bakteria dalam etak hidup atau etak salai dan seterusnya untuk mencirikan sifat genom bakteria tersebut.

''Etak merupakan spesies pemakan menapis yang boleh dijumpai hidup di dasar sungai yang berpasir seperti di sungai utama Kelantan dan sungai lain di Kelantan termasuk anak sungai dan tali air.

''Antara makanan yang ditapis adalah tumbuh-tumbuhan mikroskopik, fitoplankton dan bahan organik yang terdapat dalam mendapan," katanya.

Masalah pencemaran sungai dan proses penyediaan etak salai khususnya merupakan dua faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran dan jangkitan bakteria di dalam etak, sekali gus dianggap sebagai penyebab penyakit gastroenteritis kepada pelanggan.

Daripada kajian yang dijalankan, penyediaan etak salai sangat ringkas kerana hanya melibatkan proses pengasinan etak bersama rempah (bawang putih, garam, jintan, serai, ajinomoto dan halia) sebelum disalai selama 15 hingga 30 minit dan kemudian sedia dimakan.

''Hasil pemerhatian yang dijalankan, etak salai boleh dianggap makanan yang separuh masak dan tidak begitu selamat untuk dimakan," katanya.

Kajian itu katanya, amat penting untuk kumpulan penyelidik mengenalpasti dan menyediakan maklumat tentang tahap antibiotik serta logam berat yang terkandung di dalam etak salai dan etak hidup yang terdapat di negeri Kelantan serta tahap selamat etak dimakan.

Menurut Seong Wei, selain itu pihak UMK juga akan membuat kajian terperinci tentang cara penyalaian etak dengan menggunakan teknologi terkini dan bersih iaitu melalui kaedah Vakum Dry Oven sebagai alternatif.

"Dalam kajian yang dijalankan, kumpulan penyelidik akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memantau tahap keselamatan penggunaan etak salai manakala kerjasama menerusi Kementerian Industri Asas Tani bagi tujuan mempromosikan kaedah vakum dry oven untuk proses penyalaian etak," katanya.

Sementara itu, ketika dimaklumkan hasil keputusan kajian tentang tahap keselamatan etak salai, Seong Wei menjelaskan keputusan penuh kajian penyelidikan masih dalam proses dan jawapan serta maklumat hasil kajian itu akan dilaporkan kepada umum pada penghujung tahun tahun ini

Pengesanan awal bantu penderita

PERNAHKAH anda terfikir mengapa warna biru dan putih menjadi warna latar Facebook?Di sebalik populariti laman web sosial ini, pengasasnya, Mark Zuckerberg sebenarnya lelaki tampan yang rabun warna.

Mengikuti temubualnya bersama Time, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna.

Namun, Zuckerberg tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuknya memiliki rangkaian kawan dari seluruh dunia.

Walaupun penglihatannya tidak seperti orang normal, beliau berjaya menyesuaikan diri walaupun rabun warna.

Mungkin masih ramai lagi tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan rabun warna?

Buta warna sebenarnya bukanlah istilah tepat bagi pesakit yang memiliki persepsi berbeza terhadap warna.

Dunia mereka tidaklah terhad kepada warna hitam dan putih. Sebaliknya, mereka dapat melihat warna-warna lain cuma tidak dapat mengenal warna-warna tertentu.Sebab itulah kita kategorikan mereka sebagai rabun warna.

Lelaki lebih berisiko

Pakar Perunding Mata Hospital Pantai Ampang , Dr. Go Eng Soon berkata, jenis dan tahap keseriusan rabun warna adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain.

"Dalam hal ini, tiada pengecaman ton warna yang sama antara dua orang penderita rabun warna .

"Kebanyakan kes rabun warna berpunca daripada faktor genetik," katanya.

Dr. Eng Soon menjelaskan, di belakang mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina.

Di lapisan retina terdapat dua jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap cahaya.

"Sel-sel rod sangat sensitif pada cahaya dan mampu bertindak balas terhadap cahaya walaupun dalam keadaan berkabus atau cahaya malap. Bagaimanapun, sel ini tidak dapat membezakan warna .

Terdapat tiga jenis sel kon iaitu setiap satunya bertindak balas dengan warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon," katanya.

Menurut Dr. Eng Soon, golongan lelaki lebih berisiko mendapat masalah ini khususnya dalam membezakan warna jenis merah-hijau.

Ini berlaku kerana gen penyebab defek merah-hijau ini diwarisi oleh kromosom X.

"Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka gen ini bersifat dominan apabila bertemu dengan kromosom lain (Y). Lelaki biasanya mewarisi 'kekurangan' ini daripada ibunya yang merupakan pembawa," katanya.

Sebaliknya, sekiranya ibu ialah pembawa gen rabun merah-hijau (satu X normal dan satu X terubah), anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak lelaki yang akan mewarisi penyakit genetik tersebut.

Beliau menjelaskan, anak perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal kecuali jika ibunya ialah pembawa dan ayahnya pula rabun warna .

Bermula daripada kanak-kanak

Walaupun rabun warna bukan satu masalah serius, Dr. Eng Soon berharap golongan ini diberikan sokongan dan pemahaman oleh ahli keluarga.

Tambah beliau, pesakit biasanya berada dalam dunia mereka sendiri kerana tidak sedar sebenarnya warna yang dilihat tidak betul.

Justeru apabila mereka mengetahui kekurangan tersebut, mereka mungkin rasa terpencil.

"Kita tidak mahu ada pesakit menganggap diri cacat kerana mereka juga boleh berjaya seperti orang lain. Mereka oleh dibantu sekiranya ibu bapa dapat mengesan dari awal," ujarnya.

Dr. Eng Soon menekankan pentingnya pengesanan awal kerana ia boleh mencegah mereka yang mengalami rabun warna daripada membesar dengan kekeliruan warna .

"Sekiranya anda rabun warna, cuba uji penglihatan anak-anak anda. Jika ibu bapa tahu anak mengalami rabun ini, sejak awal lagi bolehlah latih mereka mengingati dan tidak keliru dengan warna.

"Mungkin kita biasa menguji kanak-kanak tentang jenis warna. Jika mereka tidak dapat membezakan contohnya antara merah dan hijau, bawalah berjumpa pakar mata," ujarnya.

Ini kerana tanpa menjalani ujian penglihatan warna dan kepekaan ibu bapa, sukar untuk masalah rabun warna ini dikesan.

Beliau menjelaskan, ujian penglihatan warna kebiasaannya dilakukan dengan menggunakan carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna hasil ciptaan Dr. Ishihara dari Jepun.

"Apabila rabun warna dikesan, ujian selanjutnya akan dijalankan untuk mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami," ujarnya.

Setelah diagnosis diperoleh, satu surat khas akan dikeluarkan untuk menyatakan status penglihatan warna bagi orang rabun warna tersebut.

Jelas beliau lagi, rabun warna juga boleh berpunca daripada sesetengah jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit dewasa.

"Rabun warna boleh disebabkan faktor penuaan, masalah mata seperti glukoma, katarak dan diabetes, kecederaan mata dan kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat artritis reumatoid," katanya

Apa yang dapat dilakukan

Walaupun rabun warna boleh mengganggu kehidupan seharian seperti memandu kereta atau suai padan pakaian, masih ada cara yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka.

"Kita boleh membantu mereka melabelkan warna. Bagi pemandu, mereka boleh diajar mengenal warna-warna pada lampu isyarat," katanya.

Bagi ibu bapa pula, anda boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna.

Ini dapat mengelakkan dirinya daripada diejek oleh rakan-rakan.

Dr. Eng Soon menjelaskan, kelemahan ini juga boleh diperbetulkan dengan sejenis cermin mata tinta khas.

"Toyohashi Tech dari Jepun berjaya mencipta satu cermin mata unik untuk membantu mereka yang rabun warna. Namun, ini bukanlah satu kaedah rawatan yang dapat membantu untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal tetapi hanya untuk membolehkan seseorang mengecam warna dengan lebih baik," ujarnya.

Mengenai lesen memandu, kebanyakan negara membenarkan orang yang rabun warna mengambilnya asalkan tiada masalah persepsi atau masalah mata yang lain.

Menurut Dr. Eng Soon, mereka selalunya boleh belajar daripada susunan lampu isyarat itu sendiri bukannya melalui warnanya.

Sekiranya seseorang itu gagal ketika mengambil ujian warna semasa mengambil lesen, jangan lekas kecewa dan berputus asa, pergilah mendapatkan pengesahan doktor mengenai tahap kerabunan warna anda.

Daripada pengesahan itu barulah pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

Elak gejala tersedak susu

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Diet pesakit kanser

Diet untuk pesakit atau bekas pesakit kanser amat penting kerana risiko penambahan berat badan adalah tinggi semasa proses penyembuhan.

Ubat yang digunakan semasa rawatan boleh menyebabkan berat badan meningkat dengan drastik dan boleh mengembalikan kanser.

Statistik kanser meningkat secara mendadak di seluruh dunia tanpa diketahui puncanya.

Mungkin gaya hidup termasuk faktor pemakanan serta persekitaran mendorong kepada peningkatan berkenaan.

Kini masyarakat lebih terdedah kepada makanan diproses, tekanan hidup, kurang senaman dan persekitaran yang tidak sihat.

Justeru seluruh masyarakat sama ada pesakit, bekas pesakit atau mereka yang tidak menghidap kanser perlu mengamalkan gaya hidup sihat.

Salah satunya adalah diet sihat bagi mengawal berat badan berlebihan terutama bagi pesakit dan bekas pesakit kanser.

Pakar Pemakanan dan Diet, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing berkata, berat badan bekas pesakit kanser biasanya bertambah kerana tabiat pemakanan, tidak bersenam selain penggunaan ubat.

"Justeru pesakit serta bekas pesakit kanser disaran mengurangkan pengambilan daging merah dan daging yang diproses serta makanan tinggi tenaga dan lemak.

"Mereka digalakkan mengambil makanan berasaskan tumbuhan dengan tiga hingga empat hidangan sehari," katanya semasa Forum Awam mengenai pemeriksaan kesihatan berkala dan pengesanan awal kanser sempena Hari Kanser Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Lemak dan gula boleh dikatakan sebagai makanan kepada kanser.

"Diet yang tinggi lemak dan gula seperti makanan manis dan bersantan boleh meningkatkan kalori dan menyumbang kepada peningkatan berat badan," katanya.

Selain risiko kanser kembali berulang, gula dan lemak turut menyumbang kepada penyakit kronik lain termasuk darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Yen Sing berkata, nutrisi yang baik amat penting bagi menjadikan pesakit lebih bertenaga dan tidak keletihan.

"Sebenarnya ramai pesakit kanser mati kerana kekurangan zat makanan,'" katanya.

Namun pesakit perlu memastikan pengambilan lemak tidak berlebihan dengan memantau apa yang dimakan.

"Misalnya, jika pesakit mengambil makanan berat pada waktu tengah hari, maka sebelah petang atau makan malam, kurangkan jumlah yang dimakan.

"Mereka hanya perlu mengambil satu cawan nasi atau bubur nasi atau dua keping roti bijirin dengan lauk-pauk yang tidak digoreng berserta sayur-sayuran," katanya.

Kekurangan berat badan memang biasa dalam kalangan pesakit kanser dengan 50 hingga 90 peratus mengalami masalah berkenaan.

Keletihan juga adalah perkara biasa kesan rawatan dan ubat yang digunakan.

Bagi mengatasi masalah keletihan, Yen Sing berkata, pesakit memerlukan makanan dalam kuantiti sedikit secara berterusan. Mereka disaran mengambil makanan yang mudah disediakan seperti sandwich dan biskut rendah lemak.

Pesakit biasanya mengalami rasa pahit di tekak dan bagi mengatasinya cubalah ambil makanan yang masam atau herba.

Mereka juga digalakkan mengambil karbohidrat kompleks seperti roti gandum, beras perang dan oat.

Seelok-eloknya ambil makanan yang dikukus, rebus, bakar atau panggang.

"Penyediaan dan penyimpanan makanan juga penting bagi pesakit kanser kerana makanan perlu disediakan dengan bersih dan disimpan secara betul.

"Misalnya baki makanan perlu disimpan di dalam tempat sejuk beku bagi mengurangkan pembiakan bakteria," katanya.

Sediakan makanan dengan peralatan yang bersih, asingkan papan pemotong untuk memotong sayur-sayuran dan buah-buahan dengan ikan, daging dan ayam.

Basuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan bagi memastikan segalanya dalam keadaan bersih.

Uban di usia muda

UBAN bukan lagi dikaitkan dengan proses penuaan walaupun sebelum ini hanya mereka yang berusia saja mempunyainya.

Melayari Internet semasa mencari maklumat mengenai uban, penulis terserempak ramai remaja yang mengadu rambut beruban malah ada yang ditumbuhi uban seawal usia 13 tahun. Justeru mereka sibuk mencari penawar bagi menangani masalah itu.

Walaupun mewarnakan rambut adalah salah satu alternatif bagi mereka yang beruban tapi puncanya perlu diketahui dan ditangani.

Kajian yang dijalankan mendapati kepadatan warna rambut ditentukan oleh jumlah melanin yang dihasilkan oleh badan.

Biasanya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, melanin boleh dihasilkan dengan jumlah yang banyak.

Namun apabila umur semakin meningkat, kebolehan semula jadi untuk menghasilkan melanin mula berkurangan dan akhirnya kepala akan dipenuhi uban.

Punca rambut beruban yang paling utama adalah faktor genetik, iaitu ia diwarisi daripada ibu atau bapa.

Selain itu, rambut beruban juga boleh disebabkan oleh kurangnya zat besi dan zink atau penggunaan ubat-ubatan.

Menurut Pakar Runding Dermatologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Guru Ratnavelu, uban yang muncul pada usia muda biasanya disebabkan oleh faktor nutrisi tidak seimbang.

"Nutrisi tidak seimbang seperti pengambilan makanan segera secara kerap boleh menyebabkan pengeluaran pigmen pewarna rambut yang dinamakan melamin terbantut.

"Pigmen berkenaan dihasilkan oleh sel tubuh yang dikenali sebagai melanosit dan rambut menjadi putih kerana melanosit tidak lagi menghasilkan melanin," katanya.

Biasanya pengeluaran pigmen yang terhenti hanya bersifat sementara bagi mereka yang kekurangan nutrisi.

Jika mendapat nutrisi yang seimbang, secara automatik, pengeluaran pigmen akan kembali normal dan rambut putih akan hilang dengan sendirinya dan kembali menjadi hitam.

"Ini jika uban berlaku kerana kekurangan nutrisi," katanya.

Dr. Guru berkata, nutrisi yang tidak seimbang bukan hanya menyebabkan uban tetapi juga mengganggu kesihatan rambut secara umum.

Itu sebabnya kanak-kanak yang mengalami gangguan gizi yang teruk, rambutnya kelihatan kemerahan dan tidak sihat.

Dr. Guru berkata, ini biasanya dapat dilihat di negara-negara dunia ketiga yang mengalami masalah kebuluran.

"Pengambilan gizi yang cukup saja tidak menjadi jika terdapat gangguan fisiologi yang menyebabkan nutrisi tidak dapat diserap dengan baik sehingga makanan bergizi terbuang begitu saja," katanya.

Bagaimanapun keadaan agak berbeza jika uban disebabkan oleh keturunan.

Selain makanan seimbang, faktor keturunan juga adalah penyebab yang paling biasa munculnya uban pada usia muda.

Informasi mengenai rambut putih yang tumbuh lebih awal tersimpan di dalam gen.

Ini bererti bila ibu bapa dan saudara terdekat mula beruban pada usia muda, kemungkinan untuk cepat beruban akan lebih besar.

Adakah penggunaan sesetengah syampu membawa kepada uban? Dr. Guru berkata, syampu tidak ada kena mengena dengan uban.

"Pengambilan ubat-ubatan misalnya ubat anti malaria seperti Chloroquine boleh membawa kepada kemunculan uban," katanya.

Malah beliau berkata, terdapat juga pesakit yang tiba-tiba saja mempunyai rambut beruban disebabkan gangguan fisiologi.

Dr. Guru berkata, punca mengenai fenomena berkenaan masih belum dapat dijelaskan sehingga kini.

Gaya hidup yang sihat juga turut menyumbang dalam melambatkan tumbuhnya uban.

"Bagi melambatkan proses rambut beruban seeloknya amalkan gaya hidup sihat dengan makanan seimbang dan lakukan senaman.

Menyentuh mengenai mereka yang mewarnakan rambut bagi menutup uban, Dr. Guru berkata, mewarna rambut tidak mendatangkan kesan negatif.

"Malah ini akan memberikan keuntungan kepada ekonomi negara," katanya.

Mengenai kaedah tradisional menggunakan minyak kelapa atau minyak zaitun pada kulit kepala, Dr. Guru berkata, ini satu cara untuk mengurangkan rambut kering.

"Ini baik bagi negara tropika yang panas , penggunaan minyak pada rambut akan melembapkan kulit kepala dan membuatkan rambut lebih sihat," katanya.

Bagaimanapun tidak terdapat bukti dimana kaedah tradisional dapat menghentikan pengeluaran uban.

Dr. Guru berkata, sebenarnya tiada ubat bagi uban kecuali mereka harus mengamalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang dan lakukan senaman dari awal.

Rawatan angioplasti terkini

Berdasarkan data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2011, bilangan kematian akibat penyakit jantung koronari (CHD) di Malaysia mencapai sehingga 22,701 orang atau 22.18 peratus daripada jumlah keseluruhan.

CHD berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin menyempit.

Apabila ia berlaku di arteri koronari, jantung tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi lalu menyebabkan CHD.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai rawatan CHD terkini termasuk pengambilan ubat-ubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) dan percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti.

Angioplasti adalah rawatan apabila doktor memasukkan tiub ke dalam salur arteri koronari dan mengembungkan belon di dalamnya lalu 'stent' yang menyerupai dawai kasa dibiarkan bagi memastikan arteri terbuka dan tidak menyempit kembali.

Antara kelebihan teknik rawatan CABG dan angioplasti, kebarangkalian pesakit menerima serangan sakit jantung koronari lebih rendah dan ia juga memendekkan tempoh rawatan di dalam hospital serta pemulihan.

Rawatan angioplasti juga hanya dilakukan secara pembedahan kecil berbanding pembedahan pintasan.

Terdapat pelbagai jenis stent yang digunakan dalam teknik angioplasti iaitu yang menggunakan logam (BMS), ubat (DES) dan kejuruteraan biologi (BES).

Terbaru dalam rawatan angioplasti adalah penggunaan stent terkini yang lebih efisien dikenali sebagai Dual Therapy Stent (DTS).

DTS yang bakal diperkenalkan di Malaysia pertengahan tahun ini menggabungkan teknik DES dan BES yang lebih cepat pulih selepas dimasukkan belon dan merendahkan kebarangkalian darah tersumbat selepas rawatan.

Rawatan DTS menggunakan teknologi lapisan antibodi di permukaan darah dan lapisan ubat bagi melindungi dinding arteri dan ia mengurangkan berlakunya penyempitan pada arteri koronari.

Menurut Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Yap Yee Guan, masyarakat masih kurang maklum tentang pelbagai jenis stent dalam rawatan angioplasti yang lebih berkesan berbanding rawatan lain.

"Terdapat pelbagai jenis stent yang boleh digunakan bagi rawatan angioplasti dan setiap daripadanya ada kebaikan dan keburukan bergantung kepada masalah dihidapi pesakit.

"Pesakit disyorkan berunding dengan pakar kardiologi terlebih dahulu bagi memastikan jenis stent yang sesuai digunakan kerana setiap pesakit berbeza," katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan teknologi terbaru untuk rawatan CDH baru-baru ini.

Berdasarkan kajian yang dijalankan OrbusNeich, DTS ternyata lebih berkesan dari segi proses pemulihan dan ia lebih menyeluruh.

"Selain itu, kita dapat lihat dalam tempoh sembilan bulan, pesakit yang menerima rawatan menggunakan DTS mendapat perlindungan lebih menyeluruh.

"Ia juga mengurangkan risiko pesakit mendapat trombosis berbanding penggunaan stent yang lain.

"Penemuan terbaru ini boleh dikatakan sesuatu yang baik dalam bidang perubatan dan saya rasa akan mengambil masa yang agak lama untuk menandingi rawatan tersebut," tambahnya.