6.12.09

Gangren serang genital





PUNCANYA cukup kecil. Hanya tercucuk mata kail ketika memancing seminggu yang lalu. Namun, kini luka kecil tersebut menyebabkan jari Nizam membiru, sakit dan bernanah.

Biarpun tidak mempunyai sejarah menghidap penyakit diabetes, luka tersebut membuatkan jari Nizam mengalami gangren.

Menurut Pakar Perubatan Am dan Kardiologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Kol (B) Dr. Abdul Rahman Mohd. Ali, situasi mengalami luka yang berakhir dengan gangren dihadapi oleh ramai orang

“Dalam istilah mudahnya, ia adalah kemerosotan sel dan tisu akibat pengurangan pengaliran darah dan oksigen.

“Lama-kelamaan tisu tersebut akan mati manakala bahagian luka menjadi hitam dan berbau busuk,” ujarnya.

Secara asasnya, terdapat tiga jenis gangren iaitu gangren basah, gangren kering dan gangren gas.

“Gangren berair atau basah terjadi di bahagian tubuh yang mengalami kecederaan dan tisu itu dijangkiti oleh bakteria. Ini mengakibatkan pengaliran darah ke tisu tersebut terencat.

“Lama-kelamaan sel-sel akan mati. Tisu terlibat akan menbengkak, berair, bernanah dan mengeluarkan bau busuk seperti bangkai,” terang Abdul Rahman.

Kurang oksigen

Keadaan tisu kekurangan oksigen ini meransang pembiakan bakteria dan merebak pantas ke bahagian tisu yang lain.

Sebagai contoh, jika ia bermula dengan ibu jari kaki, ia boleh merebak ke paras lutut dengan cepat jika tidak dirawat segera.


LUKA biasa yang kecil mampu menyebabkan gangren.


Lazimnya, tahap jangkitan tidak kelihatan di luaran kerana ia merebak dari dalam tisu. Justeru, gangren basah lebih mudah terjadi pada pesakit yang kurang daya tahan seperti pesakit diabetes atau kencing manis dan pesakit buah pinggang.

Gangren kering pula berpunca daripada kekurangan aliran darah pada tisu atau organ akibat saluran darah tersumbat.

Ia lazimnya berlaku pada hujung jari tangan atau kaki. Gangren jenis ini sering berlaku pada pesakit yang menghidap arteriosklerosis yang kebanyakannya terdiri daripada penghidap diabetes, darah tinggi dan perokok.

Bahagian yang terkena penyakit ini akan mula mengering, mengecut dan bertukar kehitaman.

“Warna hitam tersebut menunjukkan sel sudah mati,” katanya.

Sekiranya tidak diberi rawatan segera, bahagian yang bergangren itu boleh tercabut atau tertanggal dengan sendirinya.

Tidak rasa sakit

“Apa yang menarik mengenai jenis gangren kering ini ialah pesakit tidak merasa sakit, hanya kebas pada kawasan terbabit,” kata Abdul Rahman.

Berlainan dengan dua jenis gangren tadi, bakteria bertoksin iaitu Clostridium perfringens yang sering ditemui di dalam tanah merupakan faktor utama berlakunya gangren gas.

Jangkitan kuman ini kerap melibatkan bahagian bawah lapisan otot, usus serta organ dalaman.

Rawatan untuk penyakit gangren bergantung kepada jenis, tahap jangkitan serta latar belakang kesihatan pesakit.

“Sebagai contoh, bagi penghidap gangren kering yang berpunca daripada saluran darah tersumbat, ubat mencairkan darah akan diberikan,” jelas Abdul Rahman.

Dalam kes ekstrem, amputasi terpaksa dilakukan terutama apabila kematian sel tisu telah merebak sehingga melibatkan otot serta tulang. Ini bagi menyelamatkan bahagian tisu yang sihat.

“Bagi gangren gas, rawatan perlu cepat dan agresif kerana jangkitan itu sangat cepat merebak.

“Justeru rawatan melibatkan pembedahan untuk membuka bahagian yang luka diperlukan bagi membuang sel dan tisu yang sudah mati,” ujarnya.


ABDUL RAHMAN


Selain itu, teknik rawatan oksigen tulen bertekanan tinggi (HBOT) juga boleh digunakan bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

“Pesakit akan diletakkan di dalam sebuah bilik khas dengan tekanan bilik itu ditinggikan melebihi suhu atmosfera,” terang Abdul Rahman.

Dengan itu, sel-sel yang ‘kelaparan’ oksigen tersebut mendapat lebih banyak oksigen dan seterusnya hidup kembali,” katanya.

Biarpun gangren ini sering saja dikaitkan dengan anggota tangan dan kaki, ia turut berlaku pada bahagian genital, usus serta organ lain.

“Selagi kawasan tersebut mempunyai sel, potensi untuk berlakunya gangren tetap tinggi. Justeru, kesedaran dalam menguruskan kecederaan termasuk luka kecil tidak harus diambil mudah,” tegasnya.

Ereksi beri hitam



SELAIN beri hitam, beri biru juga memberi khasiat kerana kandungan antioksidanya.


BUAH-BUAHAN berwarna gelap seperti beri hitam mempunyai kandungan antosianin yang tinggi. Antosianin ialah agen antioksida yang berkuasa dan boleh menggembirakan lelaki.

Kemampuan zakar mencapai ketegangan maksimum bergantung kepada bekalan nitrik oksida iaitu kimia yang mencairkan laluan saluran darah. Apabila terdapat terlalu banyak radikal bebas dalam saluran darah, tahap nitrik oksida menurun dan secara tidak langsung melemahkan keupayaan zakar. Apabila diet dibekalkan dengan antosianin, bahan ini menyerang radikal bebas tersebut sebelum sempat tahap nitrik oksida berkurangan.

EKSTRA: Ketua penyelidik di Universiti Indiana, Amerika Syarikat, David Bell memberitahu, antioksida mampu mengekang radikal bebas daripada mengawal fungsi nitrik oksida. Antosianin jelas dapat menggalakkan pengaliran darah dan oksigen yang lancar ke organ seksual lelaki.

Rawatan kanser lebih cepat



REKOD akan tercipta pada hari esok apabila Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur menjadi yang pertama melancarkan mesin TomoTherapy di negara ini.


SETELAH lebih 80 tahun terapi radiasi digunakan dalam merawat kanser dengan pelbagai kekangan seperti kesan radiasi pada sel yang sihat dan ketepatan pancaran radiasi, kini teknologi terbaru dalam bidang onkologi terbukti mampu mengatasi isu tersebut.

Terima kasih pada mesin rawatan TomoTherapy yang telah digunakan di dunia sejak tahun 2003.

"Ia seumpama mesin imbasan CT. Di samping mendapatkan diagnosis keadaan sel kanser secara 360 darjah, rawatan radioterapi turut diberikan pada masa yang sama.

"Jadi, dos radiasi yang diberikan pada sel kanser lebih tepat termasuk kawasan yang diliputi kanser," jelas Jururunding Perubatan dan Onkologi Radiasi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. G. Selvaratnam.

Pusat perubatan itu merupakan yang pertama menggunakan mesin itu di negara ini dan akan dilancarkan secara rasmi esok.

Berbanding mesin rawatan konservatif, mesin ini bukan sahaja boleh dilaraskan dos radiasinya malah mengikut saiz kanser.

Dengan penyelarasan tersebut, dos dapat diberikan pada kawasan kanser dengan lebih tepat tanpa menjejaskan sel tisu di kawasan lain termasuk organ tubuh lain seperti mata dan otak.

"Rawatan yang diberikan juga meliputi pelbagai jenis kanser. Kalau sebelum ini rawatan terapi radiasi pada pesakit kanser berulang boleh meningkatkan risiko dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh tertentu, dengan TomoTherapy, ia boleh dilakukan," ujarnya.

Lebih menarik, tempoh pancaran radiasi yang perlu dilalui pesakit hanya mengambil masa selama lima hingga tujuh minit.

Di samping itu, tempoh ulangan rawatan juga cukup pendek iaitu selama empat hingga lima minggu berbanding tempoh sehingga lapan minggu dengan mesin yang biasa digunakan sebelum ini.

"Ini terbukti apabila pesakit kanser prostat hanya mengambil masa rawatan selama lima minggu dan sel kansernya semakin mengecil," kata Selvaratnam.

Menurutnya, kebaikan paling utama penggunaan mesin rawatan ini ialah ia berjaya mengurangkan kesan sampingan selepas rawatan.

"Tiada lagi aduan mengenai sakit pada bahagian belakang serta pengalaman muntah serta dehidrasi yang teruk," jelasnya.

Dalam pada itu, mesin radiasi terbaru ini juga cukup berkesan dalam rawatan yang melibatkan tulang sum-sum seperti leukemia.

Mesin ini akan membantu mematikan sel kanser yang terdapat pada tulang sum-sum dan seterusnya membolehkan pemindahan sum-sum tulang dilakukan. - SHANIKA ABDULLATIB

Profesor ternak gamat



RIDZWAN sudah 26 tahun mengkaji serba-serbi mengenai gamat.


TIMBALAN Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, Pahang, Prof. Ridzwan Hashim merupakan antara pakar biologi perubatan negara ini yang membuat penyelidikan tentang timun laut dan gamat sejak awal tahun 1983 lagi.

Penemuan gamat emas (Stichopus hermanii) iaitu antara spesies terbaik gamat, adalah hasil usaha beliau ketika ditugaskan sebagai Ketua Unit Sains Marin di Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Sabah.

Prof. begitu obses dengan gamat. Kenapa?

Semasa membuat penyelidikan di Sabah, saya dapati banyak sumber laut diguna pakai sama ada sebagai makanan, hiasan, sumber ubatan atau kerana kepercayaan semata-mata.

Antara sumber ini ialah bat atau balat iaitu nama umum tempatan bagi timun laut di Sabah manakala di Semenanjung disebut gamat.

Haiwan inveterbrata ini sering dijual di tamu (pasar minggu) Sabah secara kecil-kecilan dalam bentuk basah. Bagaimanapun, kebanyakan timun laut dieksport selepas melalui beberapa proses termasuk direbus dan dikeringkan.

Bentuk badan haiwan itu yang seperti timun membuatkan saya tertarik untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut termasuk terpaksa tinggal dengan beberapa kaum etnik termasuk di dalam perahu kaum Bajau dan Suluk.

Sebab itulah sering saya temui sebutan nama-nama timun laut yang berbeza mengikut spesies di kalangan penduduk tempatan.

Apakah perbezaan gamat dan timun laut?

Majoriti masyarakat negara ini keliru apabila menganggap timun laut dan gamat ialah haiwan yang sama.

Sebenarnya gamat adalah timun laut dan tidak semua timun laut itu merupakan gamat. Sifat pembiakan timun laut berbeza. Ada yang membiak secara seksual, aseksual, fusion dan autotomi.


GAMAT boleh mencecah satu meter panjang.


Lazimnya timun laut mempunyai habitat. Sesetengahnya mendiami kawasan berlumpur, rumpai laut, berpasir dan berbatu karang. Pencapaian tumbesaran sesetengah spesies adalah hingga tiga kilogram dan sebahagiannya memanjang sehingga satu meter.

Kebanyakan penduduk di pesisiran pantai makan timun laut secara mentah atau membuat kerabu atau masakan sup.

Rasanya kadang-kadang seperti sotong rendam. Kalau dicampur dalam stimbot, kita tidak sedar telah memakannya.

Prof. diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai orang pertama menternak gamat di Malaysia. Sukarkah untuk melakukannya?

Terdapat lebih kurang 50 spesies timun laut dan tujuh jenis gamat dikenal pasti berada di perairan Malaysia. Hanya beberapa spesies timun laut setakat ini telah dikaji berpotensi sebagai sumber ubat-ubatan.

Sebenarnya, dari sudut pembiakan dan penternakan gamat, belum ada di Malaysia. Jika ada pun cuma berasaskan projek yang saya lakukan pada awal tahun 1980-an.

Namun, pihak MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) baru-baru ini telah meluluskan geran Techno-Fund dengan saya dilantik sebagai ketua penyelidik.

Timun laut mungkin diternak di beberapa negara seperti China, Indonesia dan Jepun.

Saya percaya gamat boleh diternak dan ternakan ini pernah saya buat di pantai Karambunai, Sabah dan Pulau Pangkor, Perak.

Kaedah menternaknya memerlukan keadaan laut yang tidak tercemar selain kadar kemasinan yang sesuai.

Coklat tenaga batin


Usahawan Azian Razak telah menghasilkan coklat gamat yang mempunyai fungsi afrodisiak. Berita buruknya, gamat semakin sukar ditemui di negara ini.


AZIAN mengambil masa selama empat bulan sebelum dapat mengkomersialkan coklat gamat.


COKLAT gamat sebagai hadiah perkahwinan? Kedengaran seperti janggal, namun fakta tersebut mungkin menggembirakan kaum lelaki.

Seperti tongkat ali, gamat juga diketahui mempunyai khasiat yang berkaitan dengan daya ketahanan seksual - sesuatu yang amat sensitif bagi golongan Adam.

Jika sebelum ini gamat sering hadir dalam bentuk pil dan minuman, kini ia boleh dinikmati dalam bentuk coklat pula.

Apa yang menarik, ia bukan dicetuskan daripada pemikiran lelaki tetapi seorang wanita bernama Azian Razak, 30.

Cerita bermula dengan obses Azian menjual secara sambilan produk coklat semasa menjadi pembantu penyelidik di bahagian teknologi makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Minatnya bukan sekadar menjual coklat tetapi berusaha memperkenalkan produk baru berkaitan coklat.

"Di UPM, rakan saya membuat kajian mengenai gamat. Jadi saya terfikir kenapa coklat dan gamat tidak boleh digabungkan menjadi coklat gamat.

"Produk coklat diminati ramai orang manakala gamat telah terbukti banyak kelebihan seperti mampu mempercepatkan penyembuhan luka luaran dan dalaman, mengurangkan rasa sakit sendi, badan dan lengoh otot, menghindari masalah alahan dan lelah, melawan radang dan meredakan bengkak, selain melancarkan pengaliran darah dan menguatkan tenaga batin, " ujar Azian yang pada masa sama melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di universiti itu.

Namun, bukan mudah untuk menghasilkan coklat gamat. Azian terpaksa mengambil masa selama empat bulan untuk mendapatkan resipi terbaik dan melakukan beratus-ratus kali percubaan.

"Pelbagai faktor juga perlu diambil kira terutama stigma orang ramai terhadap gamat seperti bau, tekstur dan ciri fizikalnya," ujarnya yang meminati coklat sejak kecil.

Tambah beliau: "Ironinya bagi orang Eropah, mereka tidak kisah kerana mereka kurang mengenali gamat.

"Masyarakat Asia Tenggara sukar sedikit memandangkan gamat dekat dengan kehidupan mereka.

"Tetapi dengan rasa yang diperbaharui serta penggunaan ekstrak gamat emas pada kadar lima peratus sahaja, produk coklat gamat nampaknya semakin digemari," tutur Azian.

Hasil penat lelah Azian itu berbaloi kerana sejak coklat gamat beliau diperkenalkan lebih setahun lalu, ia mendapat sambutan yang cukup mengalakkan.

Selain itu, Azian turut menjual kira-kira 20 jenis coklat lain, antaranya roasted almond, hazelnut dan coklat untuk pesakit diabetes menerusi syarikat beliau, Zyraz Technology Sdn. Bhd.

Menurut Azian, beliau memperoleh stok gamat emas mentah daripada pengedar hidupan itu di Terengganu.

"Bagi empat biji gamat seberat 50 gram, ia dijual pada harga RM8," ujar beliau.

Pulau gamat


PERUSAHAAN minyak gamat sangat sinonim dengan Langkawi.


Menyentuh tentang khasiat gamat, Dr. Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri, pengasas sebuah syarikat jualan langsung, Gamat Emas Sdn. Bhd. memberitahu, pekara itu telah diketahui penduduk dunia sejak 200 tahun lalu.

"Gamat sebenarnya sudah lama digunakan oleh penduduk asal Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Redang dan juga Sabah yang bekerja sebagai nelayan.

"Ia juga merupakan salah satu punca pendapatan dan juga sumber perubatan," katanya yang menganggap gamat emas sebagai spesies terbaik hidupan itu.

Menurut Syid Ayob, syarikatnya mendapat bekalan gamat daripada nelayan di Pulau Pangkor.

"Gamat di perairan pulau itu boleh mencecah berat tiga kilogram seekor. Harga seekor gamat ialah RM4," beritahunya yang kini menghasilkan 25 jenis produk ekstrak gamat termasuk produk berkaitan kecantikan, kesihatan dan minuman.

Bagaimanapun, Syid Ayob meluahkan kebimbangan tentang bekalan gamat yang semakin berkurangan disebabkan pencemaran laut selain faktor perubahan iklim.

"Justeru, saya bercadang untuk mewujudkan sebuah pulau gamat di Pulau Pangkor.

"Caranya mudah iaitu hanya letakkan anak gamat di laut dan kita biarkan ia membesar untuk tempoh tertentu secara semula jadi sebelum diambil semula," jelasnya.

Pengurus Gamat Nusantara Maju Enterprise (Gamat Nusantara), Muhammad Yahaya, pula memberitahu, beliau tidak menghadapi masalah mendapatkan stok gamat untuk pengeluaran produk syarikat beliau.

"Tidak wujud masalah kepupusan gamat. Stok gamat syarikat saya diperoleh dari pembekal di Thailand iaitu jenis gamat emas dalam kuantiti 100 hingga 200 kilogram gamat kering dan hidup.

"Saya tidak mengambil bekalan dari sumber tempatan kerana harga gamat di Thailand lebih murah," bicaranya yang terkenal sebagai pengeluar minyak gamat di Langkawi.

Tambahnya: "Bekalan gamat tersebut cukup untuk digunakan sebagai bahan bagi menghasilkan produk berasaskan gamat untuk tempoh satu hingga dua tahun."

Serat bantu elak obesiti





MEREKA yang memasukkan serat di dalam diet mereka lebih mudah mengurangkan berat badan kerana serat memerlukan lebih tenaga untuk dikunyah dan meresap perlahan-lahan.

Menurut kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Nutrition, keadaan serat tersebut akan memanipulasi tubuh dengan menjadikan perut lebih kenyang.

EKSTRA: Pemanis tiruan yang terbukti membantu mengurangkan berat badan kini turut menunjukkan kesan dalam menurunkan tekanan darah dan paras kolesterol. Kajian oleh Dr. Dan Qu dari Hospital Changhai di Shanghai, China mendapati kandungan substitut pemanis tiruan tersebut iaitu oligofruktosa atau OFS berfungsi mengurang kandungan kalori dalam makanan.

Mengurus diabetes cara sihat



Para peserta mengikuti acara senaman beramai-ramai sempena kempen 'Hidup Sihat Dengan Diabetes' anjuran MSD Malaysia baru-baru ini.


REKOD menunjukkan bahawa ada kira-kira 1.2 juta pesakit diabetes di negara ini. Namun lebih daripada separuh tidak sedar bahawa mereka menghidap diabetes melitus sehinggalah mereka dirawat apabila berlaku salah satu komplikasi yang serius.

Sebagai usaha menggalakkan pengurusan diabetes yang berkesan, Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) bersama MSD Malaysia, syarikat farmasutikal antarabangsa, menganjurkan kempen membantu rakyat Malaysia memahami penyakit ini dengan lebih baik.

Sebanyak sepuluh acara diadakan sepanjang kempen itu untuk menyampaikan beberapa petua yang penting tentang cara mengurus penyakit berbahaya itu.

Acara yang diadakan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November setiap tahun, juga merupakan sebahagian daripada kempen 'Hidup Sihat Dengan Diabetes' yang berterusan oleh MSD.

Acara tahun ini diadakan di Taman Tasik Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan berjaya menarik penyertaan beratus peserta termasuk pesakit diabetes.

Setiausaha Am Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad, berkata, sebagai negara yang diberkati makanan yang lazat masyarakat Malaysia sering tidak berfikir tentang kandungan gula dan kalori makanan yang kita makan.

Ini, digabungkan pula dengan gaya hidup moden yang kurang aktif, telah menyumbang kepada peningkatan kes diabetes yang ketara di negara ini.

"Kita tidak patut bersikap endah tak endah dengan anggapan bahawa kita tidak akan terkena penyakit ini.

"Sebelum ini, penyakit ini biasanya berlaku kepada orang separuh umur dan warga emas, tetapi kini diabetes jenis 2 (jenis diabetes yang paling lazim dihidapi dalam kalangan kira-kira 90 peratus pesakit diabetes seluruh dunia) lebih lazim dihidapi segenap lingkungan usia.

"Bahkan sekarang semakin diperhatikan pada golongan pesakit yang semakin muda," katanya.

Justeru beliau menggesa mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit diabetes supaya kerap menjalani pemeriksaan aras gula kerana engesanan awal dapat mencegah komplikasi.

Katanya, komplikasi yang berkait dengan diabetes kini merupakan salah satu punca kematian yang utama di banyak negara terutamanya melalui peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.

"Setiap 10 saat seorang mati akibat punca yang berkait dengan diabetes. Diabetes juga merupakan sebab kematian akibat penyakit yang keempat tertinggi di dunia dengan 3.8 juta kematian.

"Persekutuan Diabetes Antarabangsa juga menganggarkan bahawa jangka hayat berjumlah 23 juta tahun hilang disebabkan ketidakupayaan dan mutu hidup yang merosot akibat komplikasi diabetes yang boleh dicegah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSD Malaysia, Ewe Kheng Huat, berkata, tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut MSD Malaysia mengadakan kempen 'Hidup Sihat Dengan Diabetes' sejak dimulakan pada tahun 2007.

"Pada tahun ini, kami memilih pendekatan yang menyeluruh melalui acara pendidikan yang penuh ceria untuk menekankan kepentingan pemakanan, senaman dan langkah-langkah yang patut diambil bagi menguruskan diabetes dengan baik.

"Dengan tema, 'Perlumbaan Ke Sasaran', tujuannya adalah untuk menyampaikan mesej bahawa penghidap diabetes perlu mengekalkan aras glukosa darah mereka dalam lingkungan sasaran rawatan. Ini dapat mencegah komplikasi akibat penyakit itu dan mengekalkan mutu hidup yang baik," katanya.

Kupang bantu atasi masalah artritis



John E. Croft bersama NT-Flam yang berasaskan kupang.


JIKA disebut penyakit sendi atau artritis, ia adalah salah satu masalah kesihatan yang amat ditakuti orang dan cuba dielak sepenuhnya.

Artritis boleh didefinisikan sebagai kehilangan 'cecair pelincir' penting bagi melancarkan pergerakan sendi seluruh badan terutama bahagian lutut dan siku hingga menimbulkan kesakitan kepada penghidapnya apabila berjalan atau bergerak.

Punca masalah ini banyak namun hasil kajian yang dibuat pakar kesihatan menunjukkan antara penyumbang utamanya adalah aktiviti kecergasan secara kerap, umur yang semakin meningkat dan tekanan minda.

Pada peringkat serius, ia akan menyebabkan penghidapnya tidak mampu bergerak atau berjalan dan menyebabkan sendi membengkak.

Pakar saintis perairan laut dari New Zealand, John E. Croft,, setiap individu berpotensi mendapat artritis sama ada menjalani gaya hidup sihat atau sebaliknya.

"Penyakit artritis terbahagi kepada dua jenis iaitu Rheumatoid yang dihidapi sejak kecil dan Osteo yang menyerang individu apabila mereka meningkat tua.

"Kebiasaannya faktor umur menjadi penentu seseorang mendapat artritis terutama bagi yang berumur antara 40 hingga 60 tahun.

"Namun mereka yang aktif melakukan aktiviti kecergasan atau lasak seperti memanjat gunung, merentas hutan dan ahli sukan juga berpotensi besar mendapat masalah itu kerana kerap menggunakan sendi secara maksimum dan melakukan regangan otot," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berada di Kuala Lumpur bagi memperkenalkan produk hasil daripada kajiannya, NT-Flam Joint Formula (NT-Flam), iaitu ekstrak daripada kupang (mussel) dari New Zealand

Produk edaran Nuvanta Sdn. Bhd. (Nuvanta) itu membantu menghentikan kesakitan akibat artritis hanya dalam tempoh antara tiga hingga enam minggu.

Croft berkata, NT-Flam dihasilkan sepenuhnya daripada ekstrak kupang yang hanya terdapat di perairan laut New Zealand.

Beliau mula menjalankan kajian ke atas khasiat hidupan laut itu sejak tahun 1972 apabila dipelawa membantu syarikat pengkaji produk laut.

Katanya, kajian itu juga bertujuan membantu pesakit artritis yang semakin bertambah di seluruh dunia dan menderita akibat masalah berkenaan.

"Kupang mengandungi khasiat dan galian yang mampu membantu mengurangkan kesakitan sendi. Ini mendorong saya memulakan kajian untuk mengetahui sejauh mana ia mampu membantu menghentikan penyakit artritis.

"Proses menghasilkan produk ini mengambil tempoh lama dan dijalankan menggunakan teknologi tinggi bagi mendapat keputusan terbaik berhubung keberkesanannya," katanya.

Ujarnya, setiap benih kupang yang ditabur di perairan laut New Zealand mengambil masa lebih setahun untuk membesar sepenuhnya.

Menurut Croft, selepas dikutip proses mengumpul cecair di dalam kerang hijau akan dijalankan menggunakan teknologi canggih dalam tempoh satu jam setengah.

"Banyak proses lain dilakukan termasuk menyejuk beku cecair tersebut yang dijalankan selama 12 hingga 16 jam sebelum ia dikeringkan dalam tempoh 23 jam untuk menukarkannya ke dalam bentuk ekstrak," katanya yang juga terkenal dengan panggilan Mr. Musle di New Zealand kerana kejayaannya.

Selepas produk itu terhasil, katanya, beliau sendiri mencubanya dalam tempoh tertentu bagi mengetahui sejauh mana keberkesanannya.

"Sembilan tahun lalu saya juga mengalami artritis hingga seluruh sendi badan sakit apabila bangun tidur dan bergerak, namun selepas mengamalkan pemakanan produk ini ia berkurangan dan sembuh sepenuhnya.

"Kini pada usia saya 77 tahun, saya amat gembira dengan kehidupan dilalui dan bebas melakukan aktiviti lasak serta mengembara ke seluruh dunia sama ada untuk melancong atau memberi ceramah," tambahnya.

Menurutnya NT-Flam, bertindak seolah-olah 'minyak pelincir' yang membantu melancarkan pergerakan sendi seseorang terutama yang sudah kering hingga berlaga atau berbunyi sehingga menimbulkan kesakitan.

Selain mengurangkan sakit dan bengkak, ia turut melindungi kerosakan tulang rawan dan membantu membinanya semula.

"Selepas sakit berkurangan pengguna boleh mengurangkan kuantitinya atau berhenti terus. Namun dalam jangka masa panjang apabila umur meningkat atau melakukan aktiviti lasak, mungkin artritis akan kembali menyerang jadi lebih baik meneruskan pengambilannya sebagai makanan tambahan harian," katanya. - FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Ubah stigma kegemukan



MEREKA yang bersaiz besar boleh meneruskan kehidupan secara sihat dengan melakukan senaman secara konsisten.


SIAPA yang tidak kenal dua personaliti ini, Syanie dan Enot. Kedua-duanya memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar tetapi sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah mereka. Oleh kerana saiz badan mereka juga, Syanie dan Enot kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.

Tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Berbeza pula dengan Enot, dia berjaya membuktikan saiz badan bukan penghalang untuk dia menyertai Sehati Berdansa 3. Siapa sangka artis berbadan montel dan comel macam Enot pun ada semangat tari yang tinggi.

Namun, masyarakat kini terpaksa bersedia berdepan dengan masalah kegemukan atau obesiti yang kian meningkat. Persoalannya, adakah golongan ini perlu menurunkan badan atau meneruskan kehidupan dengan persekitaran atau gaya hidup yang sihat?

Kedua-dua personaliti tadi membuktikan mereka cuba memperbaiki diri dan bersikap optimis.

Bagi generasi muda, pencegahan awal perlu dilakukan agar tidak menyesal kemudian hari.

Apa perbezaan obesiti dan terlalu gemuk? Menurut Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO), Profesor Dr. Ismail Noor, obesiti dan terlalu gemuk sering kali bertukar ganti.

"Sebenarnya ia tidak sama. Obesiti ditakrifkan sebagai lebihan pengumpulan lemak badan yang membahayakan kesihatan. Pada waktu yang sama terlalu gemuk pula pada tahap yang lebih rendah dari obesiti. Kedua-dua ini berlaku apabila pengambilan (dalam bentuk makanan) melebihi tenaga yang diperlukan (metabolisme dan aktiviti fizikal)," katanya.

Tambah beliau, gaya hidup negatif akan memburukkan keadaan dan seseorang itu boleh menjadi terlalu gemuk iaitu obesiti.

Selain itu, baka, faktor fisiologi dan psikologi juga perlu diambil kira. Ada pendapat yang mengatakan bahawa 70 peratus individu menjadi terlalu gemuk kerana baka ibu bapa. Sudut fisiologi pula menunjukkan mereka mengambil makanan ketika emosi tidak stabil seperti bosan, sedih dan bimbang.

Justeru itu, langkah pengurusan iaitu mengehadkan makanan, melakukan banyak kegiatan fizikal, mengubah tingkah laku, rawatan menggunakan ubat menguruskan badan dan pembedahan adalah salah satu cara untuk mengurangkan masalah ini.

Katanya, paling utama kikis tabiat makan yang buruk.

"Makanan perlu mengandungi nutrien yang cukup, saiz makanan yang sesuai dengan keperluan badan dan waktu makan yang tetap. Rawatan lain perlu mengambil kira kesan terhadap kehilangan berat badan dan usaha mengekalkannya kerana bimbang berlakunya kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan," ujarnya.

Dr. Ismail mengulas, penurunan berat badan memainkan peranan penting dalam usaha mencegah dan melengahkan kemunculan diabetes.

Data baru-baru ini mendedahkan bahawa penularan diabetes telah meningkat daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

"Seorang daripada enam dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidap diabetes iaitu dianggarkan berjumlah 1.4 juta orang. Penularan diabetes telah meningkat hampir sekali ganda pada dekad lepas sejajar dengan penggandaan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan atau gemuk," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Kegemukan Antarabangsa, Profesor Philip James pula berkata, kegemukan adalah satu masalah yang perlu ditangani kerana ia adalah punca kepada pelbagai penyakit.

"Kajian perubatan mendapati bahawa mereka yang mempunyai BMI 25 ke atas akan meningkatkan risiko menghadapi diabetes di samping serangan jantung. Kehilangan berat badan walaupun dalam kuantiti antara lima hingga 10 kilogram dapat membantu melegakan banyak masalah yang berkaitan dengan obesiti," katanya.

Beliau berkata, antara penyebab utama berlakunya obesiti ialah banyak dipengaruhi oleh gaya hidup yang diamalkan oleh individu tersebut.

Prof Philip memberitahu, diabetes adalah salah satu daripada penyakit berkait paling umum yang dialami oleh 61 peratus daripada pesakit yang gemuk dan 90 peratus daripada diabetes jenis dua disebabkan berat badan yang berlebihan.

Kegemukan juga meningkatkan risiko mengalami pradiabetes iaitu keadaan yang dicirikan glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal.

Beliau menyarankan, betapa perlunya seseorang yang mempunyai berat badan berlebihan yang mendapati sukar mengurangkan berat badan untuk mendapat nasihat profesional daripada pakar pemakanan, pakar diet dan doktor.

Ini memudahkan individu mengetahui pilihan yang ada untuk mengurangkan berat badan termasuk farmaskoterapi dan pembedahan dalam badan yang serius.

Namun, dalam segala hal, stigma kegemukan boleh diubah sekiranya setiap individu mula mengubah gaya hidup mereka.

Kenali usus anda



CONTOH masalah penyakit dalam sistem penghadaman.


RAMAI tidak mengendahkan kepentingan untuk mengekalkan sistem penghadaman yang sihat hinggalah kesihatan mereka terjejas.

Seorang yang normal akan mengambil lebih kurang satu kilogram makanan sehari. Ini bermakna kita akan makan lebih kurang 365 kilogram makanan setiap tahun!

Walaupun kita memasukkan banyak makanan ke dalam usus kita, namun kita masih belum benar-benar menghargai kepentingan kesihatan sistem penghadaman.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit sistem penghadaman menjadi punca keenam utama kematian di hospital kerajaan sepanjang 2008.

Kita perlu ingat bahawa keadaan sistem penghadaman seseorang akan mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan diri secara keseluruhan.

Ia bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penghadaman dan penyerapan nutrien, malah turut merupakan sebahagian daripada sistem imun dan saraf. Sudah tiba masanya untuk kita mengutamakan sistem penghadaman kita!

Bagaimana usus berfungsi

Sistem penghadaman adalah penting untuk memastikan makanan yang dimakan akan dihancurkan, dihadam dan diserap untuk memberi kita tenaga.

Makanan yang kita makan akan melalui saluran makanan (mulut, esofagus, perut, usus kecil dan besar) dengan bantuan organ "tambahan" sistem penghadaman (hati, pankreas dan pundi hempedu).

l Mulut - Penghadaman akan bermula sebelum makanan memasuki mulut. Bau makanan akan merangsang air liur. Inilah sebabnya mengapa air liur akan keluar apabila anda lalu di hadapan sebuah kedai biskut. Penghasilan air liur akan bertambah apabila anda mula menggigit makanan. Air liur yang mengandungi enzim seperti amilase akan menyumbang kepada proses kimia penghadaman, iaitu proses yang memecahkan nutrien kompleks kepada bentuk yang lebih ringkas, serta membantu menjadikan makanan lebih lembut dan mudah ditelan.

l Esofagus - Dari mulut, makanan akan melalui esofagus, suatu tiub sepanjang 10 inci. Makanan akan ditolak ke dalam perut menerusi pergerakan peristalsis (pergerakan seakan ombak) oleh dinding esofagus yang berotot. Makanan biasanya akan mengambil masa lebih kurang 10 saat untuk sampai ke perut setelah ditelan.

l Perut - Anda boleh menganggap perut sebagai pusat pemproses makanan badan. Ia akan menggaul, mengisar dan melumatkan semua makanan di dalam perut. Apabila makanan digaul, perut akan menghasilkan jus gastrik, yang mengandungi asid hidroklorik, bagi membantu penghadaman. Pada kebiasaannya, makanan akan tinggal di dalam perut selama 4 jam. Persekitaran berasid perut (pH 1 hingga 2) akan membolehkan makanan menjadi cecair pekat yang boleh dihadam dan diserap dengan mudah.

l Usus kecil - Dari perut, makanan akan melalui usus kecil. Jangan terpedaya dengan perkataan 'kecil' ini kerana usus kecil anda sebenarnya melebihi 6 meter panjang. Ia merupakan tempat utama bagi penyerapan nutrien. Pada permukaan usus kecil terdapat struktur seakan jari yang dikenali sebagai 'vili' dan pada permukaan vili ini pula terdapat struktur yang seakan jarum. Struktur vili yang unik ini akan menambah luas permukaan usus kecil dan membolehkan penyerapan nutrien yang lebih baik. Apabila dibentangkan, luas permukaan usus kecil anda adalah sebesar satu gelanggang tenis. Penyerapan bermula apabila molekul makanan menembusi vili untuk memasuki rangkaian kapilari darah. Aliran darah akan membawa molekul- molekul halus ini ke bahagian-bahagian tubuh yang lain untuk menjalani penukaran kimia yang seterusnya menjadi nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh tubuh untuk meneruskan kehidupan.

l Usus besar - Tujuan utama usus besar adalah untuk menyerap sebanyak air yang boleh daripada makanan yang dimakan. Bahagian yang tidak diserap akan membentuk fesis yang terdiri daripada 75 peratus lembapan dan 25 peratus pepejal. Fesis akan disimpan di dalam bahagian terakhir usus besar yang dikenali sebagai rektum, dan akhirnya akan keluar daripada tubuh dalam bentuk tinja.

l Hati - Hati menghasilkan hempedu, sejenis bahan penghadaman yang memecah lemak dan meneutralkan asid makanan. Hempedu akan dihantar ke pundi hempedu untuk disimpan.

l Pundi hempedu - Fungsi utama organ ini adalah untuk menyimpan hempedu yang akan dirembes ke dalam usus kecil apabila terdapat kehadiran makanan.

l Pankreas - Pankreas merembes enzim yang akan memecahkan lemak, karbohidrat dan protein secara kimia.

Walau bagaimanapun, sistem penghadaman tidak mampu melaksanakan semua tugas-tugas ini dengan sendiri. Sebagai contoh, tidak semua makanan yang kita makan boleh dihadam. Untuk tujuan ini, tubuh memerlukan bantuan tambahan - ia memerlukan bakteria. Ya, memang betul, bakteria.

Koloni

Percaya atau tidak, terdapat bertrilion bakteria yang sedang tinggal dalam sistem penghadaman anda. Bakteria yang turut dikenali sebagai mikroflora usus ini akan menyokong kesihatan usus dengan membantu sistem penghadaman.

Sesetengah kesan bermanfaat mikroflora usus adalah untuk membantu proses penghadaman dengan menghasilkan enzim penghadaman dan merangsang penghasilan sel-sel imun pada lapisan dinding usus.

Otak dan jantung sering dilabel sebagai organ 'penting' di dalam tubuh. Namun demikian, kita tidak boleh terus hidup tanpa sistem penghadaman kita.

Tambahan lagi, tanpa sistem penghadaman, kita akan ketinggalan satu daripada keseronokan utama dalam kehidupan - makanan!

Bayangkan hidup tanpa rasa stik yang digril atau brownie yang suam dan lembap.

Oleh itu, anda digalak untuk lebih menghargai kesihatan penghadaman, bukan sahaja dari segi pencegahan penyakit tetapi untuk mempertingkatkan keseronokan dalam kehidupan, seperti memakan semua makanan lazat yang dimasak oleh ibu atau ayah, isteri atau suami, mahupun teman wanita atau teman lelaki!

l Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan merupakan mantan Presiden Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia. Artikel ini merupakan sumbangan Persatuan Gastroenterologi & Hepatologi Malaysia serta disokong oleh geran pendidikan daripada Program Perut Sihat VITAGEN.

Benda asing dalam mata


SAYA sering merasakan ada benda bergerak di depan mata saya tetapi orang lain tidak nampak objek itu. “Ia kelihatan seperti rambut dan titik hitam. Kenapa hanya saya yang alami masalah ini dan apa sebenarnya berlaku pada mata saya?”

Masalah ini biasa dialami individu pertengahan umur. Walaupun mata tidak terasa sakit, kehadiran ‘benda asing’ dalam ruang pandangan mereka dianggap sebagai gangguan.

Keadaan ini dipanggil apungan atau ‘floaters’. Ia disebabkan perubahan pada gelemaca (vitreous) iaitu struktur di dalam biji mata.

Struktur

Gelemaca adalah bahan lut sinar yang menyerupai putih telur (jernih) atau jeli yang memenuhi tiga suku daripada isipadu biji mata dan antara fungsinya ialah menstabilkan bentuk mata.

Apungan mata berlaku apabila ada gangguan pada kejernihan gelemaca. Perlu diingat, apungan ini (bintik atau jaluran hitam) hanya dilihat oleh mereka yang mengalaminya.

Apungan berlaku disebabkan proses kematangan yang normal. Apabila umur seseorang meningkat, gelemaca mengecut dan menjadi cair.

Sebahagian gelemaca menjadi lebih pekat, hilang kejernihannya dan berkumpul di beberapa kawasan di dalam mata.

Apabila gelemaca yang tidak jernih dan pekat ini bergerak di depan retina, individu berkenaan melihat bintik hitam dalam pandangan mereka.

Masalah ini biasanya berlaku kepada golongan berumur 55 tahun ke atas.

Selalunya mereka mengeluh apabila melihat seolah-olah ada nyamuk atau objek kecil bergerak di depan mata.

Tindakan

Apa akan berlaku jika seseorang mengalami apungan yang sedikit dan tidak mengambil sebarang langkah susulan?

Selalunya masalah apungan hilang selepas beberapa minggu. Bagaimanapun, kadang kala jika gelemaca yang melekat kuat kepada beberapa bahagian di retina menjadi lekang (tertanggal), ia boleh menyebabkan koyakan pada retina.

Keadaan ini boleh menyebabkan perdarahan dan pesakit mengalami banyak apungan secara tiba-tiba.

Koyakan retina boleh menyebabkan retina melekang dan ia dikategorikan keadaan kecemasan.

Pesakit perlu segera berjumpa doktor dan menjalani pembedahan untuk mencegah kebutaan.

Perlu dinyatakan, gelemaca melekang berlaku disebabkan proses kematangan tetapi ia juga boleh terjadi jika pesakit mengalami trauma atau radang dalam mata.

Bahaya

Individu yang mempunyai masalah rabun jauh mungkin mengalami apungan lebih awal (sekitar usia 35 tahun).

Ini disebabkan mata yang rabun jauh mengalami kemerosotan gelemaca lebih awal sebelum mencapai umur 55 tahun.

Pencairan gelemaca berlaku lebih awal dan apungan berlaku.

Apungan mungkin menunjukkan kewujudan penyakit berbahaya apabila ia berlaku secara tiba-tiba, ada banyak apungan dan pesakit seolah-olah melihat pancaran cahaya yang kelihatan seperti kilat. Ia boleh menjadi tanda kepada retina melekang.

Pakar mata boleh menjalankan pemeriksaan sepenuhnya dan menentukan sama ada keadaan ini berbahaya atau tidak.

Simptom apungan termasuk:

* Penglihatan objek bergerak yang mempunyai pelbagai bentuk.

* Apungan akan bergerak dengan pergerakan mata anda.

* Ia hanya dilihat pada hari terang.

Mencegah

Mereka yang mengalami masalah apungan harus berjumpa pakar jika apungan berlaku secara tiba-tiba dan ada terlalu banyak apungan, atau jika ia mengganggu penglihatan.

Jika berlaku komplikasi atau simptom di atas, segera jumpa pakar mata bagi memastikan rawatan yang perlu diberi.

Rawatan yang diberikan pakar akan bergantung kepada punca apungan berlaku.

Apungan juga dianggap boleh membahayakan penglihatan jika berlakunya:

* Pendarahan di dalam gelemaca pada pesakit kencing manis yang mengalami retinopati diabetis yang teruk.

* Retina melekang yang mungkin berlaku kepada individu rabun jauh.

Sinar baru OKU



Rawatan kaki bengkok bertujuan mendapat dan mengekalkan kaki yang hampir dengan kaki normal. Selain pembedahan pesakit juga menggunakan pendakap kaki.


KISAH gadis kaki terbalik di New York tahun lalu menarik perhatian masyarakat dunia. Sejak dilahirkan 15 tahun lalu, Jingle Luis, tidak pernah tahu bagaimana rasanya berjalan menggunakan tapak kaki tetapi gadis itu reda dengan keadaannya.

Dilahirkan di Filipina dengan bahagian kaki depan menghala ke belakang dan tapak kaki berada di atas, Jingle cuma menggunakan tongkat ketiak

untuk mengheret apa yang sepatutnya menjadi bahagian atas kakinya.

Namun, jika segala-galanya berjalan lancar, Jingle tidak perlu lagi berdepan dengan keadaan itu. Dia dan ibunya meninggalkan Filipina untuk mengunjungi sebuah hospital di New York bagi menjalani pembedahan dan rawatan susulan untuk membetulkan keadaan kakinya sehingga dia dapat berjalan seperti orang normal.

Kes Jingle nyata lebih teruk berbanding yang biasa dilihat oleh doktor di negara -negara maju.

"Bercakap secara jujur, dengan teknologi moden, ia tidak sampai ke tahap ini," kata Dr Terry Amaral, pakar bedah ortopedik pediatrik yang melakukan pembedahan itu di Hospital Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Montefiore.

Keadaan kaki terbalik atau kaki bengkok (clubfoot) adalah bentuk kecacatan biasa, yang terjadi kira-kira satu dalam 1,000 kelahiran. Kanak-kanak biasanya dirawat ketika masih bayi dengan acuan dan alat sokongan dapat membetulkan kedudukan kaki.

Ia menjadi semakin sukar untuk dirawat jika tidak dibetulkan sejak awal. Amaral berkata, kes Jingle sukar dengan hakikat keadaannya dikaitkan dengan kerosakan pada tulang belakang. Petikan kisah ini sebahagian daripada pesakit yang terpaksa menerima keadaan dirinya yang cacat.

Pakar bedah ortopedik Pusat Perubatan Mahkota (MMC), Melaka, Dr. Thirukumaran Subramaniam memberitahu, kaki bengkok atau lebih dikenali sebagai clubfoot merupakan salah satu daripada kecacatan pada kaki yang kerap dialami oleh seseorang bayi sejak dilahirkan.

Sehingga kini punca sebenar masalah ini masih tidak diketahui.

Terdapat pelbagai teori dikaitkan berhubung punca masalah ini. Bagaimanapun, ibu-ibu yang mempunyai anak yang mengalami masalah ini tidak perlu bimbang kerana ia bukan berpunca daripada sebarang tindakan atau perlakuan mereka yang dilakukan semasa hamil.

Dr. Thirukumaran menjelaskan, semasa tempoh kehamilan otot-otot dan ligamen kaki tersebut gagal untuk berkembang seiring dengan pembentukan kaki tersebut.

Sehubungan itu, otot dan ligamen pada bahagian belakang kaki menjadi pendek. Keadaan ini menyebabkan kaki bengkok ke bawah dan terpusing ke dalam. Malah, keadaan ini juga menyebabkan tulang kaki berada dalam kedudukan yang tidak betul.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan, lama-kelamaan bentuk tulang akan berubah.

Sekiranya kanak-kanak tersebut dibiarkan tanpa rawatan, kecacatan ini akan menjadi lebih teruk dan akan berkekalan.

Ini termasuklah kesukaran untuk berjalan dan memakai kasut.

Pembedahan

Rawatan kaki bengkok ini bertujuan mendapat dan mengekalkan kaki yang hampir dengan kaki normal. Bagaimanapun, rawatan ini menggunakan pelbagai kaedah bergantung kepada keadaan kaki tersebut.

Namun, rawatan membetulkan masalah kaki bengkok ini haruslah dilakukan seawal mungkin.

Misalnya, pada peringkat awal rawatan kaki bayi tersebut akan diperbaiki secara berperingkat-peringkat dengan melonggarkan otot-otot dan ligamen yang ketat dengan menggunakan simen.

Simen yang dipasang pada kaki bayi terbabit akan ditukar dengan simen yang baru pada setiap minggu.

Penggunaan simen dalam tempoh permulaan ini bertujuan untuk meluruskan kaki yang bengkok berperingkat-peringkat.

Namun, sekiranya rawatan ini tidak begitu berkesan, doktor akan mengesyorkan untuk menjalankan pembedahan ke atas kanak-kanak terbabit.

Menurut Dr. Thirukumaran, pembedahan untuk penyusunan semula anggota kebiasaannya dibuat di pusat universiti dan jarang dilakukan di hospital swasta mahu pun kerajaan.

Pembedahan ini juga sangat mahal dan ramai pesakit yang tidak mampu membayar kos pembedahan.

"Namun, MMC menerima menerima pesakit sama ada tempatan atau luar negara. Ramai pesakit yang mendapat rawatan berasal dari Melaka," katanya.

Dr. Thirukumaran menjelaskan, asas kepada pembedahan ini ialah, apabila anda tidak boleh membaikinya, anggota anda akan disusun semula.

Tambah beliau, ada kes yang susah untuk dipulih dan pembedahan ini bukan satu alternatif yang baik.

Namun, pembedahan ini penting untuk mereka yang tempang, capik atau lumpuh sebelah kaki.

Dengan kemajuan teknologi dan sains, pesakit yang dibedah akan berasa lebih selesa dan dapat menempuh kehidupan yang normal. Justeru itu, ia membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada kecacatan khususnya yang melibatkan anggota badan seperti kaki.

Kecacatan kaki terbalik ini terdiri daripada beberapa situasi. Ada yang mengalami kecacatan sejak lahir. Terdapat juga kes kecacatan akibat kemalangan dan trauma yang perlukan pembedahan.

"Kira-kira 80 peratus keputusan kes terjadi kerana kemalangan dan sangat rendah kecacatan terjadi disebabkan kelahiran," ujar beliau.

Kos pembedahan bergantung kepada keadaan pesakit. Kebanyakan kes memerlukan perbelanjaan RM 15,000 hingga RM 200,000 dan setengah rawatan memerlukan 12 pembedahan. bagi setengah kes, ada juga pesakit yang perlu memakai kaki palsu selepas pembedahan.

Pembedahan bayi kaki bengkok

Pembedahan biasanya dilakukan semasa bayi berumur antara enam bulan hingga satu tahun. Ia bertujuan untuk memanjangkan otot-otot yang pendek serta memotong ligamen-ligamen yang ketat.

Sekiranya dengan rawatan simen otot kanak-kanak tersebut masih ketat, doktor akan menjalankan pembedahan memanjangkan otot-otot tumit.

Jika rawatan menunjukkan perubahan pada kaki, pesakit diberi splint plastik iaitu alat yang dapat mengekalkan posisi kaki dalam tempoh antara enam bulan hingga satu tahun.

Sekiranya dalam tempoh tersebut juga tidak menunjukkan sebarang perubahan, doktor akan melakukan pembedahan yang lebih besar.

Pembedahan ini biasanya dilakukan sekiranya kaki agak keras dan bengkok amat sukar diperbetulkan dengan simen.

Prognosis selepas pembedahan

Bayi atau kanak-kanak yang menjalani pembedahan membetulkan bentuk kaki mereka yang bengkok perlu mengikuti pemeriksaan dan rawatan susulan sehingga umur mereka mencecah tujuh tahun.

Rawatan susulan ini bertujuan untuk memastikan kaki kanak-kanak terbabit menjadi sehampir normal dan keadaan kaki yang bengkok tidak berulang.

Bagi kes-kes di mana hanya salah satu kaki sahaja yang bengkok, kebiasaannya kaki ini bersaiz agak kecil sedikit berbanding kaki yang sebelah (normal).

Namun, keadaan ini sedikit pun tidak akan menjejaskan aktiviti harian kanak- kanak terbabit. Malah, mereka boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

Komplikasi

Sekiranya kanak-kanak yang menghadapi masalah ini dibiarkan tanpa rawatan, tulang kanak-kanak tersebut akan bengkok. Kesannya, kanak-kanak tersebut akan berjalan di atas bahagian tepi kaki mereka.

Jika dibiarkan lama-kelamaan kulit bahagian tepi kaki mereka akan rosak. Pada masa yang sama mereka juga tidak dapat memakai kasut seperti individu lain.

Panduan

Ibu bapa yang mendapati anak-anak mereka menghadapi masalah ini dinasihatkan supaya segera membawa anak-anak untuk mendapatkan rawatan doktor.

Ini kerana dengan rawatan awal dapat membantu anak terbabit memiliki dan menjalani kehidupan yang normal.

l Hasil satu kajian menganggarkan kanak-kanak yang menghadapi masalah ini dinisbahkan 1 dalam 1,000 orang atau 1:1,000.

l Clubfoot atau dalam bahasa Latinnya congenital talipes equinovarus ini berlaku sejak bayi masih berada dalam kandungan lagi di mana keadaan kaki kelihatan seolah-olah bengkok ke dalam.

21.9.09

Trend baru HIV/Aids


Oleh Hafizah Iszahanid

Faktor hubungan seks tidak selamat atasi penagihan dadah di Malaysia

TREND peningkatan kes HIV/Aids di Malaysia ketika ini bukan lagi disebabkan masalah penagihan dadah dan penggunaan jarum suntikan, sebaliknya hubungan seks yang tidak selamat lelaki dengan perempuan serta aktiviti homoseksual.

Sejak 1994, kes jangkitan HIV membabitkan wanita mencatat peningkatan kepada 104 berbanding 66 kes pada tahun sebelumnya, manakala kes Aids tertinggi dicatatkan pada 2006 membabitkan 222 kes. Pada 2007, 745 kes baru HIV dicatatkan di kalangan wanita, manakala 131 kematian direkodkan untuk tahun sama.


Mungkin ada yang mengaitkan peningkatan itu disebabkan ‘perkhidmatan’ pekerja seks. Namun, perangkaan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 1986 hingga 2007 menunjukkan hanya 482 kes membabitkan golongan itu.

Sebaliknya, kes jangkitan HIV paling ramai dikesan membabitkan suri rumah sepenuh masa atau 2,438 kes, manakala kes Aids untuk suri rumah pula sebanyak 497 kes.

Setakat akhir Disember 2008, sejumlah 704 kes baru HIV dikesan di kalangan wanita, manakala 114 kematian wanita disebabkan Aids dicatatkan untuk tahun sama bagi wanita ialah sebanyak 114. Malah di negara ini, lebih 80,000 orang positif dengan HIV dikesan sejak 1986.

Senario membimbangkan dan mengejutkan kerana menyaksikan perubahan trend itu turut diakui Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.

“Trend ini sudah berubah. Jika dulu, sebut saja kes HIV/Aids di Malaysia, ia pasti dikaitkan dengan penagihan dadah, tetapi pada masa sekarang, faktor hubungan seksual antara suami isteri serta golongan homoseksual juga menjadi punca meningkatnya kes HIV/Aids,” katanya.

Hakikatnya, peningkatan HIV/Aids disebabkan hubungan seks tidak selamat sudah bermula sejak pertengahan 1990 dan semakin ketara sejak kebelakangan ini. Sebagai perbandingan, bagi 2003, 70.2 peratus kes HIV di Malaysia disebabkan hubungan heteroseksual, 23.2 peratus penggunaan jarum suntikan dan selebihnya faktor lain.

Bagi 2006 pula, 875 kes baru jangkitan HIV dicatatkan di kalangan wanita dengan 222 kes Aids, manakala setakat Disember lalu, kurang 10 peratus daripada keseluruhan 84,630 kes yang dilaporkan, membabitkan wanita dan gadis. Secara purata, 19 peratus kes baru membabitkan wanita - jumlah tertinggi dilaporkan sejak HIV mula dikesan di Malaysia.

Malah sejak permulaan epidemik HIV/Aids di negara ini, penyebab utamanya ialah penggunaan jarum yang tercemar di kalangan penagih dadah, diikuti faktor golongan heteroseksual. Bagaimanapun sejak lima tahun kebelakangan ini, trend baru peningkatan kes HIV dicatat dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Untuk tahun lalu saja, golongan wanita dan kanak-kanak adalah satu per lima atau 20 peratus daripada keseluruhan kes baru di seluruh negara.

Di seluruh Asia misalnya, sejumlah lima juta orang disahkan HIV positif pada 2007. Namun pasti ramai terkejut apabila mengetahui Malaysia menjadi antara negara tertinggi mencatat kes HIV/Aids di Asia Tenggara.

Bagi rantau Asia, penggunaan jarum suntikan masih menjadi faktor utama, misalnya di China, India, Pakistan dan Vietnam. Apa yang pasti, faktor hubungan heteroseksual dan homoseksual semakin meningkat, khususnya di India, Indonesia, Pakistan dan Afghanistan. Kajian di Bangkok, Thailand dan Ho Chi Minh di Vietnam turut menunjukkan peningkatan kes HIV/Aids berkait rapat dengan hubungan golongan homoseks.

Pengarah Institut Kesihatan Global Antarabangsa, sebuah agensi di bawah Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata walaupun HIV dan Aids sudah dikenali sejak dua dekad lalu tetapi ia masih kekal sebagai masalah yang belum lagi berkesudahan.

Walaupun ada antiviral yang melewatkan Aids di kalangan pesakit yang positif HIV tetapi usaha mengawal HIV daripada tersebar dilihat masih mencabar.

Di seluruh dunia, jumlah mereka yang positif HIV meningkat, begitu juga kematian disebabkan Aids. Malah 33 juta penduduk dunia hidup dengan HIV. Bagi 2007, sejumlah 2.7 juta orang yang positif HIV adalah golongan dewasa dan kanak-kanak.

Hari ini di Malaysia, walaupun kes baru yang positif HIV berkurangan berbanding lima tahun lalu, namun peningkatan kes baru pula, kebanyakannya membabitkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita, selain lelaki dan lelaki. Ia perkembangan yang menakutkan kerana membabitkan golongan isteri dan kanak-kanak.

“Kebanyakan golongan ini tidak didiagnosis. Mereka tidak tahu status HIV mereka. Ada yang sudah sakit tetapi tidak tahu masalah kesihatan yang mereka hadapi. Sebenarnya, kembali kepada pegangan agama adalah jalan terbaik. Bagi golongan agama, membuang stigma dan bersikap terbuka untuk membantu mereka kembali pada agama memberi dimensi baru bagi pencegahan HIV/Aids di Malaysia,” kata Dr Mohamed Salleh.

Pengerusi PT Foundation, Hisham Hussien, berkata jalan terbaik mengekang penularan HIV/Aids ialah dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing. Namun, jika ia terlalu berat untuk dilakukan, mengamalkan seks selamat adalah cara terbaik.

Katanya, dengan peningkatan kes HIV/Aids di kalangan wanita dan kanak-kanak, ia sebenarnya menzalimi mereka yang tidak berdosa.

“Sayangi isteri dan keluarga, amalkan seks selamat dan ketahuilah setiap orang berpotensi dijangkiti HIV/Aids,” katanya.

Katanya, walaupun isteri setia dengan suami dalam hubungan intim, suami mungkin tidak jujur dalam perhubungan. Selain itu faktor suami penagih dadah juga memungkinkan isteri dijangkiti HIV.

Seperti yang kerap ditekankan kerajaan, setiap orang perlu memahami bagaimana HIV/Aids berjangkit kerana ia tidak merebak melalui sentuhan atau duduk berdekatan dengan pesakit, sebaliknya berjangkit melalui jarum suntikan dan hubungan seks tidak selamat.

Justeru, sesiapa saja yang tidak berhati-hati seperti kerap bertukar pasangan dan tidak mengamalkan seks selamat, perlu menyedari mereka bukan lagi berdepan risiko jangkitan penyakit kelamin, tetapi juga dijangkiti HIV/Aids.

Sokongan keluarga bantu pesakit

PENGHIDAP HIV, Narina Ali (bukan nama sebenar) disahkan positif HIV ketika berusia 29 tahun.

Pada usia itu, apalah sangat diketahuinya mengenai penyakit itu kecuali nasib dirinya yang dijangkiti HIV bukan kerana tindakan sendiri, tetapi bersuamikan seorang penagih dadah.

Beliau yang kini berusia 38 tahun juga tidak menyalahkan suaminya yang sudah disahkan menghidap HIV beberapa tahun lebih awal daripadanya.

Namun, seperti juga kebanyakan yang lain, jauh di sudut hatinya, Narina tidak menyangka beliau boleh dijangkiti HIV.

Menyedari kehidupan perlu diteruskan, Narina berfikiran positif. Malangnya, akibat terlalu kerap menukar kerja berikutan keadaan suami yang tiada pendapatan tetap, membuatkan wanita itu kurang prihatin terhadap kesihatan dirinya.

Akibatnya, tubuhnya terlalu lemah dan beliau tiada daya untuk ke tempat kerja, jauh sekali melakukan pekerjaan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Pada mulanya saya mendapatkan rawatan kerana masalah seperti kerap demam serta keadaan tubuh yang lemah. Namun, ujian darah mengesahkan saya positif dengan HIV.

“Tuhan saja tahu betapa remuknya hati ini apabila disahkan penghidap HIV. Tetapi rasa sedih itu hadir seketika saja kerana saya tahu, saya harus reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Ketika disahkan menghidap HIV, Narina sudah dikurniakan seorang cahaya mata. Malah anak keduanya lahir selepas beliau bergelar penghidap HIV. Bagaimanapun, Narina bersyukur kerana kedua-dua anaknya bebas HIV.

Jika orang lain sudah pastinya tertekan apabila disahkan positif HIV, Narina sebaliknya menerima berita itu dengan tenang. Beliau tidak berasa tertekan atau marah pada suaminya, sebaliknya beranggapan semua kejadian itu ada hikmahnya.

“Saya menerima dengan penuh reda. Mungkin antara sebabnya saya mampu tenang adalah faktor keluarga yang tidak pernah putus-putus memberi sokongan. Mereka tidak pernah menyisihkan saya.

“Malah selepas kematian suami, mereka tetap setia memberi semangat, selain sudi menjaga anak-anak dan saya.”

Ternyata, dugaan Nurina tidak setakat itu. Ketika mengharungi kehidupannya, Narina diuji lagi apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu ketika pulang dari kerja.

Kemalangan itu menyebabkan Narina lumpuh. Sejak itu, semua kebajikan dirinya dan anak-anak dijaga oleh keluarganya. Kehidupannya disara sepenuhnya oleh adik beradiknya yang lain.

“Saya sentiasa berfikiran positif untuk terus hidup. Apa lagi yang boleh saya katakan. Suami sudah meninggal dunia, hendak salahkan beliau pun tidak berbaloi. Saya kini hanya mahu mendidik anak-anak sehingga berjaya dan bersyukur mereka bebas HIV,” katanya.

INFO: Kategori wanita yang dijangkiti HIV/Aids di Malaysia

  • Pengguna jarum suntikan - wanita membentuk dua peratus daripada populasi penagih dadah.
  • Suri rumah - paling tinggi dilaporkan di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan 300 kes baru setiap tahun adalah golongan ini.
  • Pekerja seks - 543 pelacur dijangkiti HIV hingga Disember 2008
  • Remaja - semakin ramai gadis remaja yang memulakan aktiviti seks di luar perkahwinan dan sebelum usia 18 tahun.

Penyakit golongan pekerja


Oleh Hafizah Iszahanid




Seramai 135,000 rakyat Malaysia pada usia produktif hidap sakit sendi rheumatoid arthritis

ARTHRITIS dan penyakit yang berkaitan dengan otot, adalah antara punca utama morbiditi atau masalah kesihatan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Malangnya, tidak ramai yang tahu secara mendalam mengenai penyakit ini sehinggalah ia dialami oleh diri sendiri atau ahli keluarga.

Tidak kurang juga yang mungkin memandang ringan terhadap penyakit ini dan menganggapnya sekadar sakit sendi biasa biarpun hakikatnya ini boleh menjejaskan kualiti hidup individu itu serta kegiatan sehariannya.


Secara umumnya, arthritis berpunca disebabkan radang pada sendi dan perubahan struktur sendi yang kemudian menjejaskan kehidupan pesakit. Kebanyakan pesakit menghidapnya bagi tempoh yang lama atau ia mungkin terjadi sebagai penyakit kronik.

Penyakit arthritis yang biasa adalah rheumatoid arthritis (RA), osteoarthritis dan ankylosing spondylitis (masalah struktur tulang belakang). Walaupun lazimnya ia dikenali arthritis atau radang sendi, setiap penyakit memiliki manifestasi sendiri dan dialami kumpulan usia berbeza.

RA misalnya menyebabkan kesakitan, menyekat keupayaan fizikal dan menjejaskan kehidupan pesakit mahu pun ahli keluarganya.

Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA.

Presiden Yayasan Arthritis Malaysia, Dr Amir Azlan Zain, berkata kebanyakan pesakit yang menghidap RA adalah dalam usia bekerja dan kesakitan itu mula ketara apabila pesakit mencecah usia persaraan.

“RA tidak hanya menjejaskan sendi, tetapi turut dialami kira-kira satu peratus penduduk Malaysia. Malah ada kira-kira 135,000 penghidap RA di Malaysia.

“Penghidap tidak hanya mengalami sakit sendi dan sukar bergerak, malah turut menjejaskan mutu kerja, sentiasa cuti sakit dan terpaksa bergantung pada orang lain,” katanya.

Malah ia turut memerlukan kos rawatan tinggi terutama di kalangan pesakit yang menderita bagi jangka masa yang lama. Jumlah wang dibelanjakan bukan hanya untuk ubat-ubatan dan bil hospital tetapi meliputi rawatan pemulihan dan menggaji pengasuh.

Imej imbasan jari jemari yang diserang RA.

Maklumat Statistik Ubat Malaysia 2005 mendapati, kos ubat untuk RA ialah RM50.7 juta manakala jumlah kos tidak langsung dianggarkan kira-kira RM202.8 juta atau empat kali ganda berbanding kos langsung.

Justeru, pengesanan dan rawatan awal RA amat penting dan ini boleh dilakukan melalui pemeriksaan imbasan ultrasound atau imbasan resonan magnetik (MRI). Namun, kos imbasan MRI menelan belanja yang tinggi.

Satu pilihan untuk pesakit RA adalah melakukan imbasan ultrasound rangka otot. Kosnya murah berbanding MRI dan ia boleh mengesan sendi yang radang. Diagnosisnya lebih tepat terutama di peringkat awal penyakit, sekali gus membantu petugas perubatan memantau kesan rawatan ke atas pesakit.

Pakar Rheumatologi, Universita Politecnica delle Marche, Itali, Prof Walter Grassi berkata, dalam dunia perubatan rheumatologi, teknologi imbasan sudah dikenal pasti membantu pesakit. Imbasan ultrasound rangka otot (MSUS) membantu diagnos dan merawat keadaan kesihatan dengan memberi imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

“Melalui MSUS, perubahan struktur sendi pada peringkat awal dapat dikesan. Mesin imbasan ultrasound membantu mengesan sendi bermasalah serta tisu lembut di sekelilingnya. Kaedah ini disifatkan tidak mahal dan mengelak pendedahan radiasi,” katanya.

Pengesanan dan rawatan awal RA penting untuk mencegah penyakit daripada menjadi kronik dan mengurangkan beban sosio ekonomi negara.

“Imbasan ultrasound rangka otot adalah satu cara mengesan RA pada peringkat awal. Kemajuan mesin pengimbas membantu pakar rheumatologi memberi maklumat lebih baik dan tepat. Ia juga memberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengawal penyakit,” katanya.

Grassi berkata, MSUS dapat membantu terutama bagi mengesan hakisan awal pada sendi, menilai keradangan pada tisu kenyal sinovia pada sendi, memantau kesan rawatan selain menilai keadaan radang antara otot tulang dan tulang.

Sebenarnya, bagi dunia perubatan antarabangsa, mesin imbasan rangka otot ini sudah lama diperkenalkan dan terbukti membantu petugas perubatan melihat imej otot, tendon, ligamen, sendi dan tisu lembut di seluruh tubuh.

Cuma di Malaysia, MSUS agak asing kerana baru diperkenalkan. Ia bagaimanapun sudah ditempatkan di beberapa hospital utama di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak dan Sabah. Antaranya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Selayang dan Hospital Seremban.

RA cenderung berlaku kepada wanita

RA adalah penyakit autoimun yang terjadi apabila sistem imun tubuh tidak normal dan menyerang sel atau tisu sihat dalam badan. RA sifatnya progresif dan lazimnya ia menyerang sendi kecil khusunya jari (tangan dan kaki) dan pergelangan tangan. Ia kemudian menyebabkan sendi radang begitu juga tulang sekelilingnya dan akhirnya menyebabkan pesakit hilang kualiti dalam hidup.

Ada 23.7 juta penghidap RA di seluruh dunia manakala di Malaysia pula dianggarkan seramai 135,000 pesakit.

RA antara dua hingga tiga kali lebih cenderung terjadi pada wanita berbanding lelaki. Umumnya, RA muncul antara usia 40 ke 60 tahun. Namun RA juga boleh menyerang kanak-kanak dan mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Tiada ubat untuk RA. Cuma, dengan rawatan yang teratur sendi boleh dilindungi daripada sendi mengalami kerosakan kekal. Biasanya mengubah gaya hidup, makan ubat dan menjadikan hidup lebih produktif antara pelan mengurus RA.

RA yang progres sifatnya menyebabkan sel synovial (sel antara tulang dan sekitar sendi yang menghasilkan cecair melincirkan sendi) menjadi tidak normal. Ia masuk ke dalam rawan sendi dan menjejaskan otot, ligamen juga tendon di sekeliling sendi yang secara lazimnya bekerja menyokong dan menstabilkan sendi.

Radang sendi yang kronik disebabkan RA boleh menyebabkan otot, ligamen dan tendon menjadi lemah menyebabkan ia tidak boleh berfungsi.

Setakat ini RA tidak boleh diubati. Rawatan RA tertumpu pada mengurangkan keradangan pada sendi bagi memperlahankan kerosakan sendi dan melegakan kesakitan. Selain ubat-ubatan, rawatan RA juga mungkin membabitkan pembedahan bagi kes kerosakan sendi yang serius.

INFO

Simptom RA


  • Sakit sendi

  • Sendi bengkak

  • Sendi sakit apabila disentuh

  • Tangan bengkak dan merah

  • Ada benjol keras di lengan

  • Penat

  • Kekejangan pada sendi sekurang-kurangnya 30 minit pada waktu pagi dan mula surut apabila hari mula meninggi

  • Demam

  • Berat badan turun
  • Cuci tangan elak kuman


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    AIDILFITRI yang bakal disambut seminggu lagi sudah terasa kemeriahannya. Beberapa hari lagi sanak saudara mula berkumpul dan ketika ini banyak perkara perlu diberi perhatian, terutama aspek kebersihan.

    “Setiap hari kita dikelilingi hampir 60,000 jenis kuman tetapi hanya satu hingga dua peratus yang berbahaya kepada orang yang mempunyai daya ketahanan badan normal,” kata Pengarah Mikrobiologi dan Imunologi Klinikal, Universiti New York, Philip Tierno,

    Tidak kira berapa kerap anda membersihkan rumah, kemungkinan mendapat jangkitan sentiasa ada, terutama apabila bilangan isi rumah bertambah secara mendadak dan banyak pergerakan keluar masuk seperti pada musim perayaan.

    Tahukah anda, banyak barang kegunaan harian mempunyai potensi besar menjadi tempat pengumpulan dan pembiakan kuman berbahaya, termasuk virus yang boleh mendatangkan masalah kesihatan seperti selesema dan influenza.



    Antara pengumpul kuman itu ialah:

  • Lap dapur — Di seluruh dunia, kain lap dapur adalah ‘peralatan’ rumah paling kotor, tercemar dan mengandungi banyak kuman. Kajian menunjukkan lebih 89 peratus rumah di seluruh dunia mengandungi bakteria pada tahap tidak memuaskan, manakala 78 peratus lagi dikategorikan sebagai tercemar dan kotor.

    Kajian Kebersihan Rumah Antarabangsa mendapati 100 peratus rumah responden Malaysia mempunyai kain lap dapur yang sangat kotor dan tercemar. Kita boleh mengubah keadaan ini dengan menukar kain lap dapur sekerap mungkin dan gunakan kain lap berlainan bagi tujuan berbeza.

    Contohnya, kain lap tangan mestilah hanya untuk mengeringkan tangan dan tidak digunakan untuk membersihkan permukaan dapur atau papan pemotong. Menggunakan satu kain lap untuk semua kegunaan sebenarnya membantu menyebarkan bakteria seperti Escherichia coli (E coli) ke seluruh dapur.

    Cuci kain lap dengan sabun dan jemur hingga kering. Jangan guna kain lap yang lembap kerana kelembapan dan cuaca hangat seperti di negara kita memberi persekitaran terbaik untuk pembiakan bakteria.

  • Papan pemotong — Menurut pensyarah mikrobiologi Universiti Arizona, Profesor Charles Gerba, secara purata papan pemotong mengandungi 200 kali ganda bakteria berbanding penutup tandas. Ini kerana kebanyakan orang hanya membilas papan pemotong dan bukan mencuci dengan sabun, terutama jika ia digunakan untuk memotong buah atau sayur-sayuran.

    Ganti papan pemotong yang usang dan mempunyai tompok hitam. Untuk mengelak jangkitan silang, guna papan pemotong berbeza untuk bahan mentah dengan makanan yang sudah dimasak.

  • Alat kawalan jauh — Biasanya apabila berkumpul, televisyen ‘bertugas’ lebih lama daripada biasa kerana masing-masing ada rancangan kegemaran tersendiri. Ketika musim perayaan, alat kawalan jauh paling kerap bertukar tangan dan kemungkinan ia dicemari adalah sangat tinggi, khususnya apabila ia lebih banyak dikuasai kanak-kanak.

    Rasanya tidak ramai membersihkan alat kawalan jauh. Bagaimanapun pada musim perayaan ini adalah masa terbaik untuk memulakan tabiat membersihkan alat kawalan jauh sekurang-kurangnya seminggu sekali sebagai langkah berjaga-jaga mengelak jangkitan, terutama pada kanak-kanak kecil.

    Bersihkan alat ini dengan lebih kerap jika ada ahli keluarga diserang selesema atau demam. Pada masa sama minta anak tidak makan di depan televisyen dan jika ia tidak dapat dielakkan, pastikan mereka tidak menyentuh alat kawalan jauh. Ini kerana jika mereka menyentuh alat kawalan jauh dengan tangan kanan, perjalanan kuman dari alat berkenaan ke mulut menjadi lebih cepat.

  • Telefon bimbit atau rumah — Siapa yang pernah membersihkan telefon mereka dengan pencuci anti kuman? Kuman yang terkumpul pada telefon datang dari dua sumber iaitu tangan dan mulut (percikan air liur). Dalam satu kajian dijalankan di Israel mendapati, sekurang-kurangnya 20 peratus telefon bimbit kakitangan hospital ada beberapa jenis bakteria berbahaya.

  • Dompet duit — Walaupun fungsinya sama, dompet duit wanita dan lelaki mengumpul kuman dengan cara berbeza. Wanita biasanya membimbit dompet mereka jika tidak membawa beg tangan. Kerap juga dompet diletakkan di atas lantai. Walaupun selalu dibersihkan, lantai masih tidak bebas daripada kuman berbahaya, apatah lagi jika ada anak rancak bermain keluar-masuk rumah.

    Malah bagi keluarga yang ada anak kecil, pastikan anda membentangkan lapik khas ketika menukar lampin. Bersihkan lapik ini menggunakan sabun dan air serta jemur hingga kering sebelum disimpan. Elak membaringkan anak di atas lantai tanpa lapik kerana cara ini memindahkan bakteria atau virus daripada lampin ke lantai yang akhirnya boleh menjangkiti orang lain.

    Duit adalah benda paling cepat bertukar tangan dan dompet lelaki boleh menjadi medan pembiakan kuman. Suhu badan yang menghangatkan dompet adalah suhu ideal untuk bakteria membiak dan keadaan menjadi lebih teruk jika ada wang kertas lembap disimpan bersama.

  • Troli beli-belah — Kalau anda perhatikan, ramai orang meletakkan anak di dalam troli bagi memudahkan mereka membeli barang. Dalam satu kajian didapati hampir 50 peratus troli beli-belah mempunyai bakteria E coli yang boleh berpindah dengan mudah kepada pengguna, kanak-kanak dan barang yang dibeli. Ini mungkin sedikit berbeza dengan troli mempunyai tempat duduk khusus bagi kanak-kanak, tetapi risiko jangkitan tetap ada.

    Tidak kira apapun anda lakukan, penyebaran bakteria dan virus berbahaya boleh dicegah dengan mudah melalui amalan mencuci tangan sama ada menggunakan sabun mahupun cecair anti kuman tanpa bilas.

    Mencuci tangan adalah kaedah paling mudah, murah dan berkesan untuk menyekat penularan penyakit, terutama ketika semua ahli keluarga berkumpul pada musim perayaan.
  • Pulih mata


    Oleh Hafizah Iszahanid

    Rawatan Lasek, Lasik rawat masalah penglihatan dalam beberapa saat

    PENGGUNAAN kanta lekap atau menggunakan kaca mata adalah antara pilihan bagi memperbaiki penglihatan yang terjejas. Namun, satu lagi pilihan untuk anda yang 'letih' menggunakan kaca mata dan kanta lekap adalah dengan menjalani rawatan pemulihan penglihatan dengan kaedah laser.

    Ada dua jenis kaedah laser yang boleh anda pilih, iaitu Lasik (Laser-assisted In Situ Keratomileusis) dan Lasek (Laser-assisted Subephithelial Keratomileusis).


    Pakar Mata, Pusat Pakar Mata Optimax, Dr Norazlina Bachik, berkata masalah seperti rabun jauh, rabun dekat, penuaan mata (presbyopia) dan silau misalnya, boleh juga dipulihkan melalui pembedahan laser.

    “Berbanding dulu, teknik terkini dalam rawatan menggunakan laser semakin baik dengan penemuan teknologi terkini. Hari ini rawatan dengan laser hanya hanya mengambil masa beberapa saat saja,” katanya.

    Berbanding Lasek, Lasik lebih popular. Namun, Lasek adalah pilihan jika seseorang itu memiliki kornea yang tebal.

    Lasik prosedur dengan laser eksimer yang bertindak secara kekal bentuk kornea. Sedikit tisu kornea dikeluarkan bagi membentuk flap (lapisan nipis di permukaan kornea). Dua teknik yang ada bagi membentuk flap adalah microkeratome atau femtosecond. Walaupun tujuannya menghasilkan flap, namun kedua-duanya ada sedikit perbezaan.

    Microkeratome memerlukan sedikit tisu di bawah kornea dibuang menggunakan laser excimer, iaitu sejenis laser yang menggunakan cahaya ultra ungu untuk membuang dan membentuk tisu kornea.

    Apabila kornea dibentuk semula, ia mampu memfokus cahaya ke dalam mata dan retina sekali gus memberi penglihatan yang jelas. Flap kornea akan diletakkan ke tempatnya untuk menutup kawasan tisu kornea yang dibuang.

    Dalam teknik laser femtosecond pula, flap kornea dihasilkan dengan panahan laser berpandukan komputer. Sinar laser akan bergerak di kornea, menghasilkan lapisan buih nipis di laluannya. Bagaimanapun, buih itu cepat hilang dan tisu di bawah buih membentuk flap kornea yang mudah dimanipulasikan oleh pakar bedah.

    Jelas Dr Norazlina, walaupun Lasik dijalankan di bawah permukaan tisu pelindung kornea, risiko kekaburan kornea sangat sedikit manakala risiko ketidakselesaan pasca-pembedahan sedikit atau tiada langsung. Tempoh perubahan pasca perubahan juga pendek.

    Untuk Lasek, Dr Norazlina menjelaskan ia sebenarnya pengubahsuaian pada kaedah sedia ada PRK (Photo Refractive Keratectomy).

    Dalam prosedur ini lapisan atas kornea tidak dikeluarkan sebelum rawatan sebaliknya dilonggarkan dengan larutan alkohol dan dilipat sebelum rawatan laser dibuat. Lasek adalah pilihan yang baik kepada kaedah Lasik, jika ketebalan kornea menjadi isu.

    Beberapa titik alkohol dititiskan ke atas kornea selama 20 ke 30 saat, epitalium kemudian dilipat ke belakang sama dalam prosedur Lasik dan dijauhkan daripada pancaran laser. Tisu epitelial kemudiannya dikembalikan ke tempat asal dan doktor akan meletakkan kanta sentuh sebaik pembedahan selesai.

    Kanta ini bertindak seperti pembalut luka dan mempercepatkan proses pemulihan dan menjadikan tempoh pemulihan itu lebih selesa. Lazimnya, ia akan dikeluarkan antara empat ke tujuh hari berikutnya.

    Penting untuk tidak mengeluarkan pembalut berupa kanta sentuh sebelum masa kerana tanpanya, epitelium yang separa sembuh akan terdedah dan mata akan lebih sakit.

    Begitupun, Lasek mengalami masa pemulihan yang lebih lama berbanding Lasik. Manakala fungsi penglihatannya tidak akan pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

    Satu lagi kaedah rawatan yang ditawarkan, adalah Epi-lasik. Epi-lasik ( Epithelial Laser In-Situ Keratomileusis) satu lagi pilihan bagi mereka yang tidak mahu memilih Lasik atau Lasek. Umumnya, ia Epi-lasik tidak jauh beza antara Lasik dan Lasek.

    Namun, Epi-lasik biasanya disarankan kepada mereka yang memiliki kornea yang nipis dan tisu yang tidak sesuai untuk dibuat flap menerusi kaedah Lasik.

    Ia juga mungkin pilihan mereka yang terbabit dalam sukan lasak misalnya gusti atau di kalangan pegawai keselamatan.

    Sama seperti Lasik dan Lasek, Epi-Lasik adalah rawatan pemulihan permukaan kornea terkini bagi menangani masalah rabun jauh, dekat atau silau (astigmatism).

    Dalam prosedur epilasik, microkeratome membuat satu flap nipis pada lapisan kornea (epithelium). Ia dilakukan tanpa sebarang pemotongan. Malah tiada solusi alkohol digunakan bagi melonggarkan atau menanggalkan permukaan epithelium seperti dalam Lasek.

    Jadi bagaimana anda tahu rawatan mana yang terbaik untuk anda?

    Disebabkan mata berubah mengikut usia, jenis pembedahan laser dan pemulihan penglihatan juga harus sepadan. Ada sesetengah pilihan rawatan lebih sesuai digunakan oleh orang muda. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan rawatan kaedah laser adalah;

    • 1) Mereka yang berusia bawah 20 tahun tidak boleh menggunakan rawatan kaedah laser kerana mata mereka masih dalam proses tumbesaran seiring dengan sistem badan
    • 2) Penghidap diabetes atau penyakit yang menjejaskan proses penyembuhan luka
    • 3) Ukuran ketebalan kornea anda
    • 4) Manakala wanita mengandung atau menyusukan badan tidak boleh melakukan rawatan pemulihan mata dengan kaedah laser disebabkan perubahan hormon boleh menjejaskan rawatan.

    • 5) Gaya hidup dan jenis kerjaya juga berperanan penting dalam memilih jenis rawatan. Misalnya mereka yang banyak menggunakan komputer memerlukan penglihatan tahap sederhana berbanding juruterbang.

    Lampin bantu ibadat


    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


    SYAWAL baru bermula tetapi sudah ada bakal jemaah haji mula membuat persediaan untuk ke Makkah, terutama daripada segi ibadat dan penjagaan kesihatan.

    Namun, lebih membimbangkan kebanyakan jemaah wanita, khususnya yang berumur, ialah masalah terkencing sedikit apabila mereka batuk, bersin, ketawa atau bangun daripada duduk.

    Masalah ini membelenggu jemaah wanita kerana akan membatalkan air sembahyang dan menjejaskan tumpuan untuk beribadat.

    Dianggarkan satu daripada empat wanita di Malaysia berumur 35 tahun ke atas mengalami masalah pundi kencing lemah.



    Perkara ini bukan saja menyebabkan wanita enggan terbabit dalam kegiatan masyarakat, malah tidak mahu keluar rumah kerana malu.

    Masalah pundi kencing lemah atau inkontinens disebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal kebocoran air kencing dan sering mengalami desakan memuncak untuk pergi ke tandas walaupun baru saja buang air kecil.

    Walaupun ia biasanya berlaku pada orang berumur, kajian menunjukkan 10 hingga 30 peratus masalah ini dilaporkan dialami wanita dalam lingkungan usia 15 hingga 64 tahun. Kadar kelaziman masalah pundi kencing lemah di kalangan wanita dua kali lebih tinggi berbanding lelaki.

    Ada beberapa perkara boleh merangsang masalah inkontinens iaitu:

  • Otot pundi kencing terlalu aktif

  • Otot pelvik (yang menyokong pundi kencing, rahim dan rektum) lemah

  • Gangguan sistem saraf

    Punca kelemahan pundi kencing boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu:

    a. Punca jangka pendek:

  • Jangkitan saluran kencing (sangat lazim)

  • Jangkitan atau keradangan vagina

  • Sembelit

  • Kehamilan dan melahirkan anak

    b. Punca jangka panjang:

  • Selepas menopaus (akibat perubahan hormon)

  • Berlaku perubahan akibat penuaan

  • Pernah menjalani pembedahan atau kecederaan pelvik

  • Menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, strok, Alzheimer atau Parkinson

  • Kecacatan sejak lahir

    Inkontinens boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  • Tekanan — Pelepasan beberapa titik air kencing sewaktu pergerakan fizikal (batuk, bersin, bersenam)

  • Desakan — Pelepasan air kencing pada kadar yang banyak di luar jangkaan, termasuk sewaktu tidur

  • Pundi kencing terlalu aktif — Kerap dan tidak dapat menahan air kencing, sama ada dengan atau tanpa kawalan

  • Batasan fungsi — Kencing tidak teratur disebabkan kecacatan fizikal, halangan luaran atau masalah pemikiran atau berkomunikasi yang menghalang seseorang daripada sampai ke tandas

  • Melimpah — Pelepasan kecil air kencing di luar jangkaan kerana pundi kencing penuh

  • Gabungan — Biasanya berlaku disebabkan tekanan dan kegagalan mengawal kencing

  • Tidak tetap — Pelepasan berlaku secara sementara (disebabkan jangkitan, pengambilan ubatan yang baru, demam dan batuk)

    Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membebaskan air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah (umumnya disebabkan kelahiran anak) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar.

    Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, obesiti, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan menopaus.

    Masalah inkontinens bukan saja memalukan, tetapi membuatkan seseorang berasa rendah diri, tidak selesa, tertekan dan murung, malah menjadi isu penting dalam aspek kebersihan, terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat.

    Namun, masalah inkontinens tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mengerjakan haji atau umrah kerana ia boleh diatasi.

    Allah mewajibkan setiap umatnya mengerjakan haji dan mengunjungi Baitullah bila sampai waktunya, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, kata pendakwah bebas, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood.

    Menurutnya, mendapat haji mabrur adalah lebih utama daripada dunia dan isinya.

    Masalahnya, bagaimana hendak mendapat haji mabrur jika hati sentiasa bimbang berlaku ‘kebocoran’ menyebabkan mereka sentiasa rasa ibadat tidak sah dan tidak diterima Allah.

    “Wanita yang ada masalah begini tidak perlu bimbang, asalkan mereka bersih daripada hadas kecil dan besar serta sentiasa mempunyai wuduk. Soalnya, bagaimana wanita inkontinens boleh sentiasa dalam keadaan bersih? Jawapannya mudah iaitu dengan memakai lampin atau pelapik seluar pakai buang supaya pakaian tidak terkena najis.

    “Sebelum berangkat lagi, semua jemaah yang ada masalah ini perlu mendapatkan pelapik khas yang direka khas untuk menampung air kencing. Ini penting bagi mengelak mengalami kesukaran menukar pakaian dan menjejaskan tumpuan beribadat,” katanya.

    Kata Nor Bahyah, dalam keadaan ini Islam memberi kelonggaran kepada wanita. Contohnya terbatuk ketika mengerjakan tawaf dan terkencing sedikit, jemaah boleh meneruskan tawaf hingga selesai; dengan syarat mereka memakai lampin pakai buang yang mampu menyerap air kencing dan melindunginya daripada terkena seluar dalam atau pakaian.

    “Konsep sama juga digunakan untuk ibadat harian seperti solat. Syaratnya, anda perlu membersihkan diri dulu, pakai lampin pakai buang yang baru, ambil wuduk dan terus menunaikan solat atau ibadat fardu yang lain.

    “Bagaimanapun perlu diingat, wuduk yang diambil sebelum terkencing sedikit tadi hanya untuk satu ibadat fardu. Maknanya anda perlu membersihkan diri, menukar lampin pakai buang dan ambil wuduk baru sebelum menunaikan ibadat fardu lain. Dalam keadaan ini, anda dimaafkan dan ibadat anda dikira sah,” katanya.

    Bagi wanita yang ada masalah ini, sebelum berangkat, carilah lampin atau pelapik seluar dalam yang direka khusus untuk menyerap air kencing.

    Lampin ini berbeza dengan lampin wanita biasa kerana berupaya menyerap air dengan lebih baik, sedangkan lampin wanita biasa direka untuk menyerap darah haid yang lebih pekat.

    Malah, lampin pakai buang penyerap air kencing dilengkapkan dengan granul khas penyerap bau supaya jemaah berasa lebih bersih dan selesa.

    Ia sepatutnya bebas daripada sebarang bau atau wangian sebagai syarat sah mengerjakan haji atau umrah.

    “Apabila anda bertekad menunaikan haji atau umrah, kena buat pengorbanan. Pengorbanan ini termasuk persediaan sebelum pergi, terutama daripada segi kebersihan. Jangan sia-siakan peluang untuk beribadat sebanyak mungkin kepada Allah. Pada masa sama, banyakkan berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan untuk beribadat dan antara doa yang boleh diamalkan ialah surah Hud ayat 44 supaya masalah anda dihentikan,” katanya.

    Wanita boleh melakukan senaman untuk menguatkan lantai pelvik dan otot pada pundi kencing iaitu senaman Kegel atau kemut.

    Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Caranya, bernafas seperti biasa ketika anda ‘mengecutkan’ otot. Tarik nafas dan ‘kecutkan’ otot faraj ketika anda menghembuskan nafas dan bernafas seperti biasa. Jangan tahan nafas kerana ia akan menekan lantai pelvik ke bawah dan memburukkan keadaan.

    Senamannya sama seperti ketika kita menahan kencing. Ia boleh dilakukan di atas katil (sebaik bangun daripada tidur), sambil duduk atau ketika anda berdiri.

    Sebaik-baiknya buat 10 hingga 20 kali kali bagi satu sesi senaman dan ulang dua kali sehari atau seberapa kerap yang anda mahu. Bagi wanita yang melahirkan anak, sebaik-baiknya buat empat sesi setiap hari.
  •