Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27.4.08

30 tahun penduduk hidu habuk simen


IPOH 24 April - Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memantau masalah habuk simen yang didakwa mencemari kawasan kediaman di sekitar kilang pengeluar simen terkenal Tasek Cement Corporation (TCC) di Kawasan Perindustrian Tasek di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia, A.Sivanesan berkata, jawatankuasa seramai 11 orang akan diwakili lima wakil penduduk, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil TCC, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

"Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk pulih seperti sedia kala.

"Saya tidak mahu kilang ini ditutup kerana ia mengakibatkan penduduk kehilangan mata pencarian," katanya kepada pemberita selepas melawat TCC di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif TCC, Tan Kim Meng berkata, pihaknya telah melabur sebanyak RM3.289 juta untuk memastikan persekitaran kilang itu sentiasa bersih dan tidak mendatangkan masalah kepada penduduk.

Antara langkah ialah memasang alat pemantau bagi mengesan kualiti habuk di Taman Wah Keong, Taman Kinta dan Taman Permai sebelum ini di samping mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sebelum itu penduduk sekitar kawasan kilang itu menyerbu kilang tersebut bagi mendapatkan kepastian mengenai punca habuk simen yang kian banyak berterbangan di sekitar kawasan perumahan berdekatan kilang itu.

Mereka mendakwa TCC tidak membuat langkah pengawalan debu yang terhasil dalam proses pembuatan simen di kilang berkenaan yang dibuka sejak 1964.

Debu kasar terbabit menyerupai kertas pasir dan boleh menyebabkan luka pada tangan sekiranya bergesel di samping mencemarkan kesihatan, dakwa mereka.

Seorang penduduk Fair Park, Tay Heng Choon, 77, berkata masalah habuk simen yang berterbangan itu berlaku sejak 30 tahun lepas.

Katanya, bumbung dan dinding kenderaan mereka juga rosak akibat habuk itu yang dipercayai mengandungi merkuri, arsenik dan zink.

"Kebanyakan penduduk di sini merupakan warga emas dan kami terpaksa membuat pemeriksaan kesihatan yang kerap kerana tidak mahu dijangkiti sebarang penyakit setelah mengidu habuk ini setiap hari.

Sharanjit Singh Guldip Singh, 38, mendakwa TCC hanya akan melepaskan habuk simen semasa penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak bertugas.

"Cat kereta saya rosak teruk akibat habuk ini," katanya.

HMFD terkawal di Johor


JOHOR BAHRU 25 April – Pemantauan berterusan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini terkawal dengan hanya 12 kes dilaporkan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal untuk memastikan penyakit berkenaan tidak merebak.

“Kami sentiasa menitikberatkan amalan penjagaan kebersihan di kalangan kanak-kanak di tadika dan murid-murid.

“Sekiranya penyakit ini dikesan, kami akan mengambil langkah untuk mengawalnya dan memastikan ia tidak berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam agensi berita antarabangsa, Associated Press melaporkan beberapa buah sekolah di Singapura dijangka ditutup buat sementara berikutan jumlah kanak-kanak dan murid yang menghidap HFMD semakin meningkat.

Berdasarkan perangkaan, seramai 7,560 kanak-kanak di Singapura telah dijangkiti penyakit itu pada tahun ini.

Menurut Robia, menerusi pemantauan sepanjang tiga minggu ini, tiada sebarang kes berkaitan HFMD dilaporkan di negeri ini.

“Kami menggerakkan pemantauan dengan melibatkan Jabatan Kesihatan Daerah di samping mendapatkan maklumat daripada klinik-klinik kesihatan dan sehingga kini keadaan adalah terkawal,” katanya.

Jelas beliau, pengawalan penyakit HFMD ditumpukan kepada usaha meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak untuk menjaga kebersihan diri.

“Amalan seperti membasuh tangan dan menjaga kebersihan sememangnya diberi penekanan terhadap golongan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, ada kes, kami akan segera mengasingkan pelajar tersebut untuk mengelakkan ia daripada berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Penyakit HFMD secara lazimnya menyerang kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun dengan menyebabkan pesakitnya mengalami demam, ruam pada kulit dan bengkak.

Tapak binaan biak aedes


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN


ADNAN Md. Ikhsan (kiri) dan Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr. Abdul Rahim Ahmad memeriksa salah satu tapak pembinaan ketika Operasi Gerak Gempur memerangi aedes di Subang Jaya kelmarin.

SUBANG JAYA 25 April - Tapak pembinaan dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah demam denggi di Selangor sukar diatasi dengan berkesan sejak sekian lama.

Ini terbukti apabila 17 tapak pembinaan di Subang Jaya dan Shah Alam diarahkan tutup selepas dikesan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam Operasi Gerak Gempur yang diadakan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar berkata, daripada jumlah itu, 15 tapak pembinaan terletak di Shah Alam manakala dua lagi di Subang Jaya.

Menurutnya, jumlah itu belum muktamad kerana masih banyak tapak pembinaan di seluruh negeri itu yang masih belum diperiksa.

Beliau berkata, pihaknya tidak menutup lokasi yang disahkan positif pembiakan nyamuk aedes sesuka hati, sebaliknya berpandukan kepada kriteria yang ditetapkan oleh undang-undang.

"Jika pemeriksaan mendapati terdapat lebih tiga lokasi pembiakan aedes, maka tempat terbabit akan dikenakan perintah tutup selama lima hari bagi membolehkan kerja-kerja membersihkan kawasan dijalankan.

"Bagi kawasan yang mempunyai satu lokasi pembiakan nyamuk, kompaun akan dikenakan manakala notis akan diberikan bagi kawasan yang didapati berpotensi membiak nyamuk," katanya.

Xavier menasihatkan semua pihak termasuk pemaju perumahan supaya menjaga kebersihan dan memastikan tiada bahan terbuang boleh dijadikan tempat pembiakan serangga itu.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 28 tapak pembinaan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diperiksa sementara empat tapak di Subang Jaya.

"Kami dapati kelemahan dari segi pembersihan kawasan selain barangan binaan yang tidak tersusun rapi menjadi punca utama pembiakan nyamuk aedes di kawasan pembinaan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, notis henti kerja dikeluarkan ke atas tapak pembinaan di USJ 8 dan USJ 9.

Katanya, satu daripada tapak pembinaan itu dikesan mempunyai empat kawasan pembiakan nyamuk manakala satu lagi tapak mempunyai 10 tempat pembiakan nyamuk.

Salah sebuah tapak itu pula merupakan projek di bawah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Pemaju projek itu juga dikatakan pernah diberikan notis yang sama atas kesalahan yang sama pada bulan Februari lalu.

Walaupun pengurus projek itu menyatakan bahawa tapak projek itu disembur kabus (fogging) setiap dua minggu sekali tetapi ia tidak menghalang MPSJ daripada mengeluarkan notis henti kerja itu.

Dalam operasi yang sama, kata Adnan, MPSJ turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap sebuah lagi tapak pembinaan di Jalan SS13 setelah dikesan mempunyai dua kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Pemaju terbabit dikenakan kompaun RM500 bagi setiap tempat pembiakan nyamuk aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Penyakit 1975 (Pindaan 2000).

Bagaimanapun, tapak pembinaan itu 'terselamat' daripada dikenakan notis henti kerja kerana hanya dua kawasan pembiakan nyamuk ditemui.

Katanya, terdapat 44 kawasan pembinaan di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ dengan 31 daripadanya masih aktif manakala 13 yang lain terbengkalai.

Adnan berkata, bagi kawasan pembinaan yang terbengkalai, pemeriksaan tetap dijalankan dan pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap pemaju terakhir tapak binaan berkenaan jika didapati mempunyai kawasan pembiakan nyamuk.

Katanya, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut zon supaya gejala demam denggi di seluruh MPSJ dan negeri Selangor dapat dikawal.

Dari 1 Januari hingga 19 April lalu, sebanyak 577 kes disyaki demam denggi telah dilaporkan di kawasan MPSJ dengan 341 daripadanya disahkan positif termasuk 39 kes demam denggi berdarah.

Di Shah Alam pula, sejumlah 914 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama dengan 342 daripadanya disahkan positif denggi dengan tujuh kes demam denggi berdarah.

Klang merupakan daerah yang mempunyai jumlah kes positif tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 469 kes daripada 721 kes yang dilaporkan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 3,735 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Selangor sepanjang tempoh tidak sampai empat bulan itu dengan 1,685 kes disahkan positif termasuk 81 kes demam denggi berdarah.

Spa dalam suasana rimba



RUANG rehat di luar yang menghadap taman dan kolam renang.


SUASANA santai lagi menyamankan dapat dilihat sebaik melangkah kaki ke spa ini yang menggunakan dekorasi bercirikan kerimbaan. Pokok-pokok hutan, buluh dan kayu bakau telah digunakan sebagai bahan utama dalam hiasan dalaman spa yang eksklusif ini.Walaupun usianya setahun jagung, namun RimBa SPA yang terletak di tingkat tiga Royale Bintang Hotel telah pun dianugerahkan Best New Hotel Spa 2007 oleh Malaysia SPA and Wellness Awards 2007 baru-baru ini.

Spa mempunyai keluasan 8,000 kaki persegi ini lengkap dengan bilik rawatan, ruang menunggu, taman dan tempat menyambut tetamu.

Haruman aromaterapi dan alunan muzik lembut memberi kesegaran dan kenyamanan kepada pelanggan yang sedang menunggu giliran bagi menjalani rawatan.

Sambil menunggu, pelanggan boleh menikmati keindahan taman di luar yang bersekali dengan kolam renang. Rimbunan pokok-pokok hijau dan gazebo di samping alunan air yang mengalir mengelilinginya memberi ketenangan.

Memasuki sahaja lorong ke bilik rawatan, pencahayaan daripada lampu-lampu neon dan hiasan pokok-pokok menjalar memberi ilusi seakan memasuki gua yang menyimpan seribu rahsia kecantikan.

Penolong Pengurus Besar JojoBa International, Paul Ng berkata, RimBa SPA adalah antara empat buah spa yang bernaung dalam JojoBa International.

Lain ialah Royale SPA di The Royale Bintang Damansara, JojoBa SPA di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre dan JojoBali SPA di Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Menurutnya, setiap cawangan mempunyai ciri yang tersendiri. RimBA SPA berciri rimba dan dinamakan Truly Malaysia Spa, manakala yang lain berciri Bali, semula jadi dan tropika.

Spa yang dirasmikan pada 6 Oktober 2006 ini mempunyai sembilan buah bilik rawatan. Setiap satunya mempunyai jakuzi dan bilik air serta dua katil. Ia sesuai untuk pasangan suami isteri yang ingin menjalani rawatan bersama. Namun begitu katil-katil itu dibahagikan oleh deretan kayu bakau yang bukan sahaja mewujudkan suasana rimba tetapi satu dekor yang menarik.

Bagi menguatkan ciri tempatan, turut digunakan kain batik sebagai pengalas katil. Setiap bilik dinamakan mengikut negeri di Malaysia bagi mewujudkan suasana mengikut konsepnya iaitu Truly Malaysia Spa.

Katanya, rawatan yang paling popular di sini ialah Rimba Signature yang memakan masa selama 150 minit. Ia dimulai dengan mandian stim dengan aroma serai bagi membantu menyingkirkan toksin dan membaiki pengaliran darah.

Kemudian disertai dengan skrub badan dengan menggunakan betik bagi membantu stimulasi metabolisme dan melambatkan proses penuaan.

Setelah itu, tubuh disapu dengan masker timun yang boleh menyingkirkan toksin.

Pelanggan pula akan menjalani mandi bunga lavender bagi merehatkan minda dan disusuli dengan jakuzi lemon dan bunga-bungaan. Ia akan mencantikkan kulit.

Akhir sekali pelanggan akan diurut dengan minyak kelapa selama 45 minit bagi meningkatkan hipotiroidan yang memecahkan lemak dan seterusnya pelanggan dihidangkan dengan buah-buahan di kawasan taman. Inilah satu keunikan yang terdapat di spa ini yang menjadi tarikan pelanggan.

‘Kahwin’ mesin seawal usia 5 tahun


TIFLI Awadi Hamidi baru berusia lapan tahun, namun terpaksa ‘berkahwin’ sejak tiga tahun lalu dengan PD atau Peritonial Dialisis, sebuah mesin merawat sistem perkumuhan badan yang akan menemaninya tidur buat selama-lamanya.

PD mesti bersama dengan Tifli Awadi selama lapan jam sehari pada hari biasa dan lebih lama lagi sehingga 12 jam ketika hujung minggu.

‘Perkahwinan’ itu adalah ikatan setia yang kekal selama-lamanya kerana Tifli Awadi tidak boleh berkahwin dengan mana-mana gadis apabila dewasa kelak, tiada berdaya untuk mempunyai zuriat dan mereka hanya akan terpisah jika Tifli Awadi menemui ‘cinta baru’.

‘Cinta baru’ tersebut walau bagaimanapun adalah sesuatu yang agak mustahil kerana senarai yang menunggu untuk mendapatkan buah pinggang masih sangat panjang di negara ini, kata ibunya, Norita Senin Abu, 39, yang mempunyai lima orang anak.

Menurut Norita, masalah buah pinggang yang membelenggu hidup satu-satunya anak lelaki beliau itu bermula sejak dari dalam kandungan dan Tifli Awadi menerima rawatan semenjak dia dilahirkan pada 22 Mac 2000 dan setakat ini, menjalani tujuh pembedahan.

“Hati siapa yang tidak terharu melihatkan nasib yang menimpa budak semuda Tifli Awadi yang terpaksa dilekatkan dengan tiub di perut dan tidur bertemankan mesin PD itu pada setiap hari dan harus memakai lencana ‘Sedang Dirawat’ ketika di sekolah.

“Syukur kepada Allah Taala, anak saya itu nampak cergas seperti budak-budak lain walaupun saya tidak pernah berpeluang membawanya dan kakak serta adik-adiknya bersiar-siar ke negeri lain kerana bergantung pada mesin PD itu,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Hamidi Hamid yang berusia 39 tahun.

Mengimbas kembali detik-detik sewaktu Tifli Awadi dilahirkan, ujar Norita, anaknya itu lahir dalam keadaan lemas dan tidak dapat bernafas kerana kegagalan buah pinggang untuk melakukan proses perkumuhan secara normal.

Akibatnya, lebihan air kencing Tifli Awadi itu telah meresap ke bahagian dan organ badan terutama paru-paru, jantung dan menyebabkan kedua-dua buah pinggang menjadi bengkak.

Ekoran itu, Tifli Awadi diberikan oksigen sebagai alat bantuan pernafasan dan dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang Puteri selama dua bulan selepas dilahirkan.

Ketika mula dimasukkan ke ICU, doktor pernah memberitahu bahawa anaknya itu sudah tiada harapan lagi dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk membolehkan Tifli Awadi kembali normal seperti kanak-kanak lain, jelasnya.

“Doktor itu kata anak puan dah tidak ada harapan, harap puan bawa balik dan buat persiapan yang sewajarnya,” kata Norita dengan nada yang sebak dan linangan air mata sambil memeluk erat Tifli Awadi yang tersenyum tanpa menyedari penderitaannya.

Kini, dengan kuasa Allah Taala, lapan tahun telah berlalu dan Tifli Awadi menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain secara luarannya kecuali makan berpantang terutama ayam, kadangkala mengalami lelah dan tidak boleh berjalan jauh termasuk balik kampung di hari lebaran sama ada Perak atau Johor.

Mengenai kos perubatan yang ditanggung, beliau sekeluarga sangat bersyukur dengan bantuan olah Yayasan Buah Pinggang yang menolong meminjamkan mesin PD itu selain bantuan kerajaaan yang mendermakan air perkumuhan secara percuma yang kosnya dianggarkan RM2,000 sebulan.

Menyara

Dengan pendapatan seisi rumah sekitar RM3,500 sebulan, Norita dan suami masih mampu menyara keperluan asas kelima-lima anaknya yang berusia dari setahun lima bulan hingga 13 tahun termasuk Tifli Awadi, walaupun terpaksa berkorban rancangan untuk pergi bercuti atau membeli kereta baru.

Ditanya apa nasihat beliau kepada masyarakat di luar terutama yang senasib dengan Tifli Awadi, Norita berkata, kasih sayang adalah keperluan utama bagi anak yang sakit begitu kerana mereka biasanya lebih sensitif dan lambat berfikir atau bertindak.

Selain memberi perhatian terhadap kerja-kerja merawat menggunakan mesin serta memantau berat badan, tekanan darah dan keceriaan Tifli Awadi setiap masa, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain perlu memberi lebih kasih sayang kepada anak ‘istimewa’ ini.

Walaupun sibuk dengan kerja-kerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak dan merawat Tifli Awadi setiap hari, Norita sanggup berkongsi pengalamannya mengendalikan anak yang bermasalah buah pinggang menerusi e-mel ke norita@iiu.edu.my.

Pendekatan holistik ke arah kesejahteraan


DENGAN gaya hidup yang sibuk serta peranan dan tanggungjawab yang dikendalikan setiap hari, sememangnya tidak hairanlah mengapa kita tidak mempunyai banyak masa untuk makan, apatah lagi untuk makan secara betul. Jadual yang sibuk menyebabkan lebih ramai yang mengabaikan tabiat makan yang betul. Namun demikian, kesuntukan masa bukanlah satu-satunya faktor yang menghalang kita daripada membuat pilihan makanan yang betul.

Pada hari ini, kita juga mempunyai pelbagai jenis pilihan makanan dan tambahan lagi, hampir setiap hari kita juga dihujani dengan maklumat yang tidak benar tentang kesihatan serta pemakanan dan tuntutan tidak benar tentang makanan. Disebabkan semua ini, maka tidak hairanlah kebanyakan orang langsung tidak tahu maksud sebenar makan secara sihat.

Keadaan ini membawa kepada peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang menghidapi penyakit kronik yang berkaitan dengan diet. Jumlah yang semakin meningkat sememangnya menghairankan kerana kita telah menjadi masyarakat yang semakin maju sejak beberapa tahun yang lalu. Tetapi malangnya, inilah yang telah menyebabkan tercetusnya masalah ini.

* Gaya Hidup Tidak Sihat Akibat Pemodenan

Kehidupan dan gaya hidup yang berlandaskan kelengkapan moden membawa kesan negatif seperti tidak mengambil berat tentang kesihatan dan tidak bergiat aktif. Kita lebih suka menonton televisyen atau menatap skrin komputer di rumah daripada menikmati aktiviti di luar rumah. Dengan gaya hidup yang sibuk, kita juga lebih gemar makan di luar daripada menikmati masakan yang dimasak di rumah. Dan kita juga biasanya sedikit sebanyak atau langsung tidak akan memikirkan tentang kesihatan dan nilai pemakanan makanan yang dimakan. Itu pun jika kita ingat atau mempunyai masa untuk makan! Sememangnya terdapat pelbagai jenis pilihan makanan tetapi malangnya, kebanyakan kita akan membuat pilihan yang salah dari segi jenis dan kuantiti yang perlu dimakan.

l Pendekatan Holistik

Diet serta pemakanan yang sihat adalah penting untuk kesejahteraan secara am. Walau bagaimanapun, makan secara sihat hanya merupakan satu daripada komponen ke arah mencapai kesejahteraan dan kehidupan yang bertenaga. Untuk kesejahteraan secara keseluruhan, kita bukan sahaja perlu makan dengan betul malah kita juga perlu menitikberatkan aktiviti fizikal, kesejahteraan sosioemosi dan pencegahan penyakit. Ini merupakan empat perkara utama dalam pendekatan holistik ke arah kesejahteraan pemakanan.

1. Diet yang sihat

Diet yang sihat serta seimbang akan membekalkan nutrien harian dan komponen makanan lain yang membolehkan anda memiliki minda serta tubuh yang sihat dan juga bertenaga untuk menjalani aktiviti-aktiviti harian anda. Sebaiknya, makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada makanan khusus yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Makanan yang berbeza dalam kumpulan yang sama (seperti beras, roti dan bijirin sarapan) membekalkan nutrien yang berbeza dalam jumlah yang berbeza.

Makanlah diet yang seimbang berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak serta kurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.

2. Lebih sihat, lebih gembira!

Menjadi aktif secara fizikal adalah sama pentingnya dengan makan secara sihat. Aktiviti fizikal akan memperbaiki kesihatan kardiovaskular, kekuatan dan kefleksibilan membakar kalori untuk menjadikan anda sentiasa sihat dan langsing serta membuatkan anda kelihatan, rasa dan berfikir dengan lebih baik.

Senaman yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes di mana akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Bersenam pada hari ini akan memanfaatkan anda di kemudian hari, jadi bermatlamatlah untuk bersenam sekurang-kurangnya selama 30 minit untuk kebanyakan hari dalam seminggu. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, maka anda perlu bersenam dengan lebih kerap (dan untuk jangka masa yang lebih lama) untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

3. Urus stres anda

Kehidupan zaman moden boleh mengakibatkan stres tetapi makan secara sihat dan betul membolehkan anda mengendalikan stres serta menguruskan hidup dengan lebih baik. Ia juga meningkatkan harga diri, keyakinan dan membuatkan anda rasa sihat.

Jangan melegakan stres anda dengan makan atau minum mengikut nafsu. Sebaliknya, cubalah pendekatan lain seperti tidak bekerja terlalu kuat, belajar untuk menguruskan masa atau melakukan lebih banyak perkara yang anda gemari.

4. Mencegah penyakit

Pada hari ini, penyakit jantung, kanser dan diabetes semakin meluas. Tidak kira sama ada anda menghidap ataupun tidak penyakit kronik ini, anda masih perlu mengamalkan tabiat makan yang sihat. Pemakanan yang baik yang digandingkan dengan gaya hidup sihat dapat membantu anda kekal sihat dan melambatkan atau mungkin juga terus mencegah sebarang penyakit.

Pastikan anda kerap menjalankan pemeriksaan perubatan yang boleh mengesan serta merawat kes-kes peringkat awal penyakit jantung dan diabetes. Ujilah paras glukosa darah, kolesterol serta tekanan darah anda secara kerap untuk memastikan mereka sentiasa berada pada lingkungan paras yang disyorkan.

Jika anda mengamalkan keempat-empat pendekatan ke arah kesejahteraan yang di sebutkan di atas maka anda sudah pastinya akan terus menikmati kehidupan hari ini, hari esok dan untuk jangka masa yang lebih lama lagi!

Adakah Anda Menuju Ke Arah Kesejahteraan?

Cubalah kuiz ringkas ini untuk mengetahui sama ada anda sedang mengamalkan pendekatan yang holistik ke arah kesejahteraan. Tahniah! Jika anda telah menjawab “Ya” untuk kesemua soalan di sini, kerana anda sememangnya sedang melakukan perkara yang betul!

l Saya memakan diet yang seimbang serta lengkap setiap hari.

l Saya tidak pernah meninggalkan waktu makan. Malah saya makan mengikut waktu yang tetap.

l Saya mengurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.

l Saya meluangkan masa untuk bersenam sekurang-kurangnya selama 30 minit setiap hari untuk kebanyakan hari dalam seminggu.

l Saya lebih suka berjalan daripada memandu jika hendak ke destinasi yang terdekat.

l Berat badan saya kekal sihat serta tetap sejak beberapa tahun yang lalu.

l Saya kerap meluangkan masa untuk melakukan perkara-perkara yang digemari.

l Saya kerap membuat pemeriksaan perubatan dan tahu paras-paras ujian saya (seperti tekanan darah, glukosa darah, kolesterol).

Dialisis kanak-kanak

BAGI kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang, masa depan mereka akan menjadi malap jika tidak menjalani dialisis dan tiada ihsan kemanusiaan.

Airul Mohamad Safie, 14, anak bongsu daripada lima adik-beradik dikenal pasti menghidap penyakit kegagalan buah pinggang sejak berumur sembilan tahun. Dua daripada kakaknya juga menghidapi penyakit ini pada usia yang muda. Salah seorang daripadanya meninggal dunia akibat komplikasi sampingan selepas didiagnosis pada umur empat tahun. Ibunya, Jamilah terpaksa berulang-alik dari Kuala Selangor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan untuk anak-anaknya. Selama 23 tahun, Jamilah terpaksa menanggung beban kos rawatan dan pengangkutan awam.

Rajeswari Mathavam pula didiagnosis menghidap kegagalan buah pinggang peringkat akhir pada usia lima tahun apabila mata dan badannya bengkak. Namun hari ini, pada usia 10 tahun, hidup Rajeswari seperti kanak-kanak lain. Cuma, beliau perlu melakukan dialisis dalam persekitaran bersih setiap hari pada pukul 8 malam.

Tahukah anda kegagalan buah pinggang boleh berlaku kepada kanak-kanak, walaupun seawal tahun pertama kehidupan mereka? Penyakit yang diwarisi merupakan antara punca penyakit buah pinggang di kalangan kanak-kanak dari tahap kelahiran sehingga umur lima tahun. Manakala bagi yang berumur 10 hingga 19 tahun, penyakit glomerular merupakan penyebab utama penyakit buah pinggang. Glomerular berlaku apabila unit penapisan (glomeruli) buah pinggang rosak, menyebabkan protein masuk ke dalam air kencing. Keluaran protein yang meningkat secara berterusan akan menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang juga boleh berlaku semasa pembentukan fetus dalam kandungan disebabkan perkembangan unit perfungsian sel (nefron) yang abnormal dalam buah pinggang. Kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul. Ini mungkin berkaitan ataupun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing. Sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini kronik termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

Tanda-tanda dan pencegahan

Bagaimanakah anda tahu sekiranya seseorang kanak-kanak sedang menderita akibat penyakit buah pinggang, terutamanya apabila kanak-kanak itu tidak tahu menyuarakan ketidakselesaan ataupun perasaannya?

"Ibu bapa harus lebih prihatin atas tumbesaran yang normal bagi kanak-kanak dan tumbesaran mereka tidak terencat. Kanak-kanak cepat membesar dalam dua tahun yang pertama kehidupan.

"Kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang mungkin mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata. Anemia atau kekurangan sel darah merah juga boleh menjadi simtom penyakit buah pinggang kronik," jelas Pakar Pediatrik Nefrologi dari HKL yang juga ahli lembaga Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF), Dr. Lim Yam Ngo.

Dialisis untuk kanak-kanak

Jika penyakit buah pinggang kronik menjadi semakin teruk, ini akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis. Peritoneal dialisis yang terdiri daripada Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Automated Peritoneal Dialysis (APD) adalah jenis rawatan yang biasa digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi penyakit buah pinggang berbanding rawatan hemodialisis.

"Hemodialisis tidak dijadikan pilihan di kalangan kanak-kanak kerana mereka perlu ke pusat dialisis selama empat jam, tiga kali seminggu. Selain daripada itu, kanak-kanak juga takut dengan jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut," kata Dr. Lim.

Untuk kaedah CAPD, pesakit mempunyai satu kateter tetap yang dimasukkan ke dalam badan. Melalui kateter ini, cecair dialisis dimasukkan ke dalam abdomen pesakit. Bahan kumuh dari badan akan disingkirkan melalui cecair dialisis tersebut yang dikeluarkan selepas empat hingga enam jam.

Cecair dialisis yang baru dimasukkan ke dalam badan. Proses untuk pemasangan pertukaran cecair mengambil masa antara 30 hingga 45 minit setiap kali dan dilakukan oleh ibu bapa pesakit atau penjaga. Sesi rawatan pertukaran cecair mesti dijalankan setiap empat hingga enam jam, empat kali sehari. Jumlah masa yang diambil serta kekerapannya dalam sehari tidak mudah untuk kanak-kanak yang bersekolah dan yang kedua-dua ibu bapanya yang berkerja.

"Dengan APD, dialisis bermula pada waktu malam dan berterusan selama 10 jam semasa kanak-kanak tidur. APD membolehkan kanak-kanak menghadiri sekolah dan dapat mengurangkan beban dialisis pada keluarga terutama bagi ibu bapa yang bekerja.

"Kanak-kanak yang menjalani dialisis berkemungkinan mempunyai keyakinan diri yang rendah, kurang tumpuan dalam pelajaran serta kemahiran bahasa dan pergerakan yang lemah. Ibu bapa dan anak seharusnya diberi kaunseling supaya dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi masalah seterusnya.

"Mereka harus belajar tentang penyakit ini dan cara menjalankan rawatan. Ia juga penting untuk ibu bapa berkongsi pengalaman dengan orang lain," kata Dr. Lim.

Penyakit buah pinggang kurang berlaku di kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun dapat membantu mereka selain menghulurkan simpati.

Tetapi syukurlah, kerana terdapat rawatan dialisis untuk mereka tetapi memerlukan kos yang tinggi. Kini NKF membantu 21 kanak-kanak menjalani rawatan di HKL.

"Walaupun kanak-kanak ini mempunyai penyakit buah pinggang pada usia muda, mereka berpeluang membesar seperti biasa. Bantulah NKF supaya kami dapat memberikan harapan dan bantuan kepada pesakit yang mengalami masalah buah pinggang, terutamanya melalui Dana Dialisis Kanak-kanak ini," kata Pengerusi Lembaga Pengarah NKF, Dr.S.S.Gill. Untuk maklumat lanjut, layari www.nkf.org.my atau hubungi NKF melalui talian 1300-88-3110.

Makanan cantikkan kulit


"SAYA ingin memperoleh kulit yang cantik dan berseri. Saya telah mencuba beberapa jenis krim penjagaan kulit yang berjenama tetapi hasilnya kurang memuaskan. Adakah cara lain untuk mencapai hasrat ini?"

JAWAPAN: Wanita mengalami banyak perubahan pada kulitnya seperti kekurangan penghasilan sebum, kehilangan keanjalan dan proses pemulihan semakin lemah akibat perubahan hormon yang bermula sejak usia baligh, kehamilan dan menopaus. Biasanya, kita menjaga kesihatan kulit secara luaran dengan penggunaan krim ataupun mengunjungi salun kecantikan untuk mencantikkan kulit.

Tetapi, mungkin kita tidak sedar bahawa vitamin, mineral dan asid lemak perlu (EFA) yang mencukupi juga diperlukan ke arah memperoleh kulit yang sihat dan cantik. Sebenarnya, apa yang dimakan lebih penting berbanding penggunaan produk secara luaran bagi mengekalkan kecantikan kulit.

Asid lemak Omega 6 daripada minyak evening primrose disarankan untuk kesihatan kulit. Kajian (oleh R.Muggli pada Ogos 2005) yang diterbitkan dalam International Journal of Cosmetic Science menunjukkan bahawa pengambilan tiga gram (gm) minyak evening Primrose Rigel setiap hari selama tiga bulan boleh melambatkan penuaan kulit.

Tumbuhan Rigel juga menghasilkan minyak yang mengandungi 33 peratus lebih Asid Gama Linolenik (GLA) sedangkan hanya dos yang lebih rendah diperlukan untuk pengekalan kulit sihat. Pengambilan minyak evening primrose memberi manfaat kepada kelembapan, kehilangan air, keanjalan, ketegangan, daya tahan dan kekasaran kulit.

kajianDengan itu, sekiranya anda inginkan pelembap dan produk rawatan diserap oleh kulit dengan lebih baik, pengambilan EFA adalah perlu. Beberapa kajian menunjukkan pengambilan EFA bersama antioksida seperti vitamin A, C dan E berkesan bagi memperbaiki kesihatan dan merawat masalah kulit termasuk dermatitis dan ekzema.

Vitamin A penting untuk kesihatan luaran dan dalaman kulit, vitamin C membantu pembentukan kolagen (fiber penyokong kulit) dan vitamin E merangsang pemulihan dan pembaikan tisu. Ia mencegah kerosakan sel dengan menghalang pengoksidaan lemak dan pembentukan radikal bebas. Kekurangan zink boleh melambatkan proses penyembuhan luka atau jerawat. Zink bersama vitamin E pula menggalakkan pemulihan tisu untuk kulit yang muda serta mungkin membantu masalah kulit yang berparut.

Untuk memastikan anda mendapat manfaat yang maksima, pengambilan nutrien antioksida memerlukan kombinasi yang lebih menyeluruh kerana kekurangan sesetengah nutrien akan menjejaskan kulit atau anda tidak akan memperolehi kesan yang sepatutnya. Dengan itu, pengambilan kombinasi beberapa nutrien antioksida yang mengandungi beta karotena, vitamin C, E, selenium dan zink dalam satu tablet merupakan langkah pencegahan daripada kerosakan radikal bebas.

Antioksida lazimnya boleh didapati dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna terang seperti labu, tomato, bayam, sengkuang merah, karot, brokoli, betik dan jambu. Jika tidak pasti dengan diet anda, suplemen tertentu boleh menjadi pilihan.

Menentang demam selesema

HIDUNG tersumbat, berhingus, bersin, batuk dan sakit tekak adalah antara simptom biasa untuk pesakit demam selesema biasa dan juga selesema (flu). Demam selesema biasa dan flu juga sukar untuk dibezakan memandangkan gejala yang dihadapi pesakit hampir sama.

Namun ada sedikit perbezaan antara keduanya dengan flu menyebabkan rasa lemah badan yang teruk dan juga sakit sendi sedangkan simptom tersebut tidak dialami pesakit demam selesema biasa. Flu disebabkan oleh virus influenza (jenis A atau B) sementara demam selesema biasa pula berpunca daripada jangkitan beberapa jenis virus dan dianggarkan terdapat lebih 200 jenis virus di seluruh dunia yang boleh menyebabkan demam selesema kepada manusia.

Kebarangkalian seseorang yang merantau atau melancong ke luar negara membawa pulang virus demam selesema juga tinggi kerana pasti terdapat jenis yang belum pernah menjangkiti rakyat negara ini. Jangkitan virus biasanya tampil dengan simptom hingus yang jernih tetapi warna hingus akan bertukar menjadi kekuningan atau hijau selepas pesakit mendapat jangkitan sekunder bakteria.

Jangkitan bakteria juga dikaitkan dengan kerosakan sistem badan yang lebih teruk, sehinggakan pesakit memerlukan rawatan tambahan dan mungkin juga perlu dimasukkan ke hospital. Jangkitan sama ada virus flu atau demam selesema juga boleh menyebabkan kesan berangkai yang akan menjejaskan kehidupan pesakit, keluarga dan produktiviti negara.

Jangkitan virus berkenaan boleh menyebabkan jangkitan hidung, tekak dan dada (paru-paru). Ini mungkin menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital jika keadaannya teruk, terutamanya bagi golongan kanak-kanak dan warga emas. Ini akan membawa kepada ibu bapa perlu memohon cuti dari bekerja untuk menjaga anak di hospital.

Kanak-kanak yang demam atau mudah menghidap demam selesema juga akan mudah ponteng sekolah atau menghadapi masalah dalam menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Pada 1923, Erich Schaper dan Albert Brummer telah mencipta satu formulasi herba baru untuk menentang demam selesema dan flu, serta simptom-siptom yang dihidapi pesakit. Doktor di Jerman juga telah lebih 50 tahun memberikan preskripsi tablet tersebut kepada pesakit demam selesema dan flu.

Disokong oleh 20 ujian klinikal terhadap formulasi gabungan ekstrak tumbuh- tumbuhan, tablet boleh kunyah ini kini berada di pasaran Malaysia. Formulasi ini mengandungi bahan aktif herba Thujae occidentalis, Radix Baptisiae tinctoriae, Radix Echinaceae purpureae dan Radix Echinaceae pallidae.

Ia membantu meningkatkan keupayaan dan mengimbangkan sistem imuniti badan bagi mempercepatkan pemulihan atau mencegah daripada jangkitan virus demam selesema. Lebih penting lagi, dengan mempercepatkan pemulihan badan pesakit demam selesema atau flu, jangkitan sekunder bakteria yang teruk juga dapat dielakkan.

Tablet ini juga dikatakan dapat membantu masalah resdung yang dilihat banyak dihidapi mereka berbangsa Melayu. Mereka yang menghadapi masalah resdung boleh mencubanya dengan mengambil bilangan tablet yang ditetapkan mengikut usia (baik untuk dewasa atau kanak-kanak) sebaik sahaja hingus mulai keluar dari hidung.

Tablet ini juga berguna untuk penghidap demam selesema kronik yang mudah dan sering menghidap demam selesema atau hidung berair, selang beberapa hari atau bila terkena pendingin hawa. Golongan yang kuat merokok dan sering batuk-batuk juga boleh mencuba tablet ini bagi membantu mengurangkan gejala akibat merokok.

MencegahTablet herba ini juga boleh digunakan untuk mencegah dijangkiti virus demam selesema terutamanya dalam mengelakkan pesakit menjangkiti ahli keluarga lain. Individu yang gemar merantau atau melancong juga mengambil tablet ini sebelum bertolak ke luar negara bagi mengurangkan risiko jangkitan virus atau kesan akibat perubahan cuaca.

Orang ramai juga dapat mengurangkan risiko jangkitan virus yang dibawa masuk dari luar memandangkan terdapat lebih 200 jenis virus demam selesema, ada di antaranya belum pernah ditemui di negara ini. Namun, bagi flu yang tidak dapat dielakkan jangkitan virusnya, tablet ini mungkin dapat membantu mempercepatkan tempoh pemulihan dengan meningkatkan keupayaan sistem imuniti badan.

Tablet herba ini bagaimanapun bukanlah ubat ajaib yang dapat memulihkan penyakit dengan serta-merta dan mempunyai had dalam membantu pesakit menentang jangkitan virus. Peningkatan sistem imuniti dapat mengelakkan jangkitan sesetengah virus atau mempercepatkan pemulihan badan mengikut tahap kemampuan pertahanan badan pesakit individu.

Kecederaan panahan petir


SERING kita mendengar berita manusia cedera atau mati akibat dipanah petir. Walaupun kematian akibat panahan petir jarang berlaku, ia merupakan punca kematian akibat cuaca yang paling banyak berlaku selain daripada banjir.

Di Amerika Syarikat (AS), dilaporkan berlaku 3,000 kematian setahun akibat serangan jantung yang berkaitan dengan panahan petir. Kebanyakan kes orang terkena panahan petir berlaku di luar bangunan, semasa melakukan aktiviti sukan/rekreasi (memancing, berenang, bersukan padang, bermain golf) atau bekerja (pembinaan, pertanian).

Kecederaan akibat panahan petir berlaku dengan beberapa cara:

1. Panahan secara langsung (Direct Strike), tiga hingga lima peratus.

2. Panahan sentuhan (Contact strike), satu hingga dua peratus (seseorang yang menyentuh sesuatu objek yang terkena panahan petir seperti pokok, tiang bendera, tiang lampu jalan).

3. Serpihan (Side splash), 30 peratus (petir yang terkena pada sesuatu objek dan terpantul atau menyerpih ke bumi).

4. Panahan bumi (Ground Strike), 40 hingga 50 peratus (panahan petir ke permukaan bumi dan bergerak dalam lingkaran bulat dari pusat panahan sejauh 50 hingga 70 meter).

5. Petir bumi (Upward streamer) 20 hingga 25 peratus (semasa petir, caj elektrik bertenaga rendah dari permukaan bumi menjalar naik untuk bersambung dengan petir. Caj elektrik ini boleh mencederakan seseorang bila ia terkena walaupun caj ini belum bersambung dengan petir dari langit).

Kecederaan panah petih

Akibat terkena panahan petir seseorang boleh mengalami beberapa kecederaan, bergantung kepada cara mangsa dipanah petir.

Ianya boleh mengakibatkan kecederaan ringan, kecederaan parah dan juga kematian. Kadar kematian akibat panahan petir adalah antara lapan hingga 10 peratus.

Jantung berhenti berdenyut (cardiac arrest) semasa panahan petir menjadi antara punca utama kematian mangsa.

Kecederaan yang boleh berlaku termasuk:

1. Kecederaan pada jantung – cardiac arrest, arithimia, kerosakan alat bantu denyutan (pacemaker).

2. Kecederaan otak – hilang kesedaran, sawan, sakit kepala, perubahan personaliti, hilang tumpuan, pening, permasaalahan saraf seperti sakit dan kebas.

3. Kecederaan letupan (Blunt injury) – seseorang boleh terpelanting akibat letupan yang berlaku di kawasan panahan petir.

4. Kesan terbakar pada permukaan kulit. Kulit terbakar teruk (Deep burn) jarang berlaku (kurang lima peratus).

5. Kecederaan telinga – gegendang telinga koyak atau berdarah, sakit dan kurang pendengaran, vertigo.

6. Kecederaan mata – masalah penglihatan, katarak.

5. Cedera lain akibat kecederaan letupan - patah tulang, terkehel sendi, patah tulang tengkuk, retak tengkorak, paru-paru terkoyak, kecederaan dalam abdomen.

Risiko terkena panahan petir

Terdapat dua faktor utama yang meningkatkan risiko panahan petir iaitu

1. Ketinggian sesuatu objek dari permukaan bumi

2. Jarak seseorang dari objek yang terkena petir. Petir boleh menjalar antara 30 hingga 50 meter secara bulatan daripada objek yang dipanah.

Telefon bimbit, alat muzik mudah alih dan komputer riba tidak meningkatkan risiko dipanah petir.

Tetapi telefon talian tetap, alat elektrik rumah (komputer, alat permainan video yang wayarnya disambung ke TV) meningkatkan risiko dipanah petir.

Tiada tempat di kawasan luar rumah yang selamat dari panahan petir.

Apakah bentuk bantuan kecemasan yang perlu dilakukan untuk mangsa?

1. Jika ingin membantu, pastikan anda tidak berada dalam keadaan yang berbahaya.

2. Alihkan mangsa dari kawasan bahaya.

3. Jika mangsa tidak bernafas, tentukan sama ada mangsa masih mempunyai nadi. Jika tiada nadi, cuba berikan pertolongan CPR (resusitasi jantung dan paru-paru), sekiranya anda tahu.

Jika anda tidak tahu CPR, segera dapatkan pertolongan orang yang tahu dan pada masa yang sama dapatkan orang untuk memanggil ambulans ataupun bawa sendiri mangsa ke pusat perubatan atau hospital.

4. Mangsa perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lebih rapi untuk menentukan tahap kecederaan.

Rawatan di hospital

1. Doktor akan pastikan tahap kecederaan.

2. Mangsa akan menjalani pemeriksaan darah, imbasan sinar-X dada, leher dan tengkorak jika perlu.

3. Ujian EKG (jantung).

4. Mangsa mungkin perlukan CT scan otak dan abdomen untuk pastikan tahap kecederaan.

5. Rawatan khusus akan diberikan mengikut kecederaan yang mangsa alami.

Komplikasi

Disebabkan kecederaan panahan petir boleh mengakibatkan komplikasi tertunda, mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan untuk mengelakkan:

* sawan,

* kerosakan otak

* kelumpuhan (paralysis)

* kerosakan mata (katarak)

* kerosakan telinga (hilang pendengaran)

* kesakitan saraf yang kronik

Pencegahan

1. Semasa waktu petir, elakkan daripada berada di kawasan luar atau kawasan terbuka. Bila kedengaran bunyi guruh, bermakna kita berada di dalam lingkungan kawasan panahan petir. Petir boleh bergerak antara 10 hingga 12 batu ke hadapan sebelum ribut sampai walaupun langit masih cerah.

2. Semasa ribut petir jangan berlindung di kawasan tinggi dan bawah objek yang tinggi seperti pokok atau pondok di atas bukit.

3. Jangan memegang atau membawa objek besi semasa ribut petir seperti payung, kayu golf, alat pancing ikan atau basikal. Jangan pakai topi keledar besi seperti topi keledar bola lisut.

4. Jika tiada tempat berlindung duduk mencangkung dan tutup telinga dengan tangan. Jika berkumpulan, pastikan jarak antara kita adalah 15 kaki dan semua duduk mencangkung.

5. Anda boleh berlindung dalam kenderaan seperti kereta, bas dan lori tetapi jangan sentuh bahagian besi kenderaan. Kenderaan golf (buggy) tidak selamat untuk perlindungan daripada panahan petir.

6. Jika dalam bangunan seperti rumah atau pejabat, tutup dan jauhi dari tingkap. Jangan mengguna telefon talian tetap atau alat elektrik, seperti komputer, melainkan jika ada alat pemisah petir (lightning arresster). Jangan menggunakan paip air kerana arus petir boleh menjalar melalui paip dan wayar dari luar ke dalam bangunan walaupun bila petir terkena di luar bangunan.

7. Tunggu selama 30 minit selepas petir yang terakhir sebelum keluar semula.

8. Petir lazimnya memanah di tempat yang sama sebanyak dua kali.

Anda dinasihatkan menghentikan semua aktiviti luar apabila mendengar guruh di langit. Jangan tunggu berlakunya panahan petir baru mahu tergesa-gesa lari mendapatkan perlindungan. Kebanyakan kecederaan boleh berlaku semasa ribut belum bermula.

Peningkatan jumlah mangsa panahan petir mungkin berlaku disebabkan perubahan iklim dunia akibat pencemaran dan pemanasan global.

Oleh itu, orang ramai perlu belajar menyesuaikan diri dengan perubahan iklim dunia dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan ancaman bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan panahan kilat.

Untuk Iktibar

PNEUMONIA atau radang paru-paru boleh membawa maut, terutamanya bagi kanak-kanak dan warga emas.

BAGI Ritzzamoni Rosli dan suami, Rosaimi Yusoff, pengenalan pertama dengan penyakit pneumokokal hampir menyebabkan mereka kehilangan anak bongsu, Ros Aqidah Rosli Rosaimi.

Ros Aqidah dilahirkan pada 6 Mei 2007 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur secara normal, tanpa sebarang komplikasi dan dengan berat 2.4 kilogram. Mimpi ngeri keluarga ini berlaku tanpa disedari, mengejutkan dan tidak disangka-sangka apabila Ros Aqidah menghidap pneumonia ketika berusia tiga bulan.

Menurut Ritzzamoni, anak kecilnya itu cuma demam sedikit, yang datang dan pergi selama tiga hari tanpa simptom pelik, tiada batuk atau hidung berhingus.

“Pada hari ketiga, Ros Aqidah tidak memberikan tindak balas seperti biasa dan hanya tidur berjam-jam lamanya, tidak menangis dan tidak bangun untuk menyusu.

“Pada mulanya, kami hanya biarkannya tidur, tetapi saya perasan warna kulitnya berubah dan juga kelihatan menghadapi masalah untuk bernafas,” katanya.

Ibu bapa kepada empat orang anak ini kemudian bergegas mencari doktor terdekat sebelum diarahkan doktor tersebut supaya membawa Ros Aqidah ke hospital dengan segera. Ibu bapa mana tidak ketakutan dalam keadaan tidak pasti apa yang berlaku sebenarnya sedangkan anak mereka sihat sepenuhnya sebelum ini.

Ros Aqidah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dipasangkan alat bantuan pernafasan selepas doktor mengesahkannya menghidap pneumonia akibat jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae. Pedih untuk ibu muda ini melihat badan kecil anak tersayang dicucuk jarum dan dimasukkan bermacam jenis tiub.

“Saya fikir hanya orang dewasa yang boleh terkena pneumonia dan hanya dapat berdoa supaya anak sembuh. Syukurlah Ros Aqidah memberi tindak balas positif terhadap rawatan.

“Ros Aqidah menangis tetapi tidak mengeluarkan bunyi kerana dipasang tiub sementara tangannya diikat (elakkan cabut tiub). Saya cuma boleh menyentuh tetapi tidak dapat mendakapnya,” ujar Ritzzamoni.

Mereka menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku dan memikirkan mereka mungkin kurang berjaga-jaga dan patut lebih berhati-hati. Sebagai ibu bapa kepada empat orang anak, Ritzzamoni dan suaminya langsung tidak pernah mendengar mengenai penyakit pneumokokal sama ada daripada doktor atau rakan-rakan. Mereka juga tidak pernah tahu ada vaksin untuk mengelakkannya, tidak diberikan pilihan untuk mengambil vaksin tersebut dan ianya tidak disertakan dalam jadual vaksinasi anak.

Ros Aqidah dibenarkan pulang selepas dua minggu di hospital. Ritzzamoni dan suaminya membuat keputusan untuk terus memberikan vaksin pneumokokal untuk Ros Aqidah dan tiga anak yang lain, Ros Aqilah Rosli, Ros Afiqah Rosli, Muhammad Afiq Rosli serta anak kakak Ritzzamoni.

“Kami juga memaklumkan semua orang yang kami kenali mengenai vaksin tersebut. Walaupun kosnya hampir RM1,000 seorang, nilai ini tidak dapat dibandingkan dengan mimpi ngeri yang terpaksa kami lalui sebelum ini.

“Ia juga harga kecil berbanding terpaksa melihat anak terlantar sakit di hospital, sedangkan penyakit yang boleh membawa maut ini boleh dielakkan,” jelas Ritzzamoni.

Menurutnya lagi, pengalaman tersebut mengubah keluarganya dan dia sendiri memilih untuk berhenti dari kerjaya di sebuah bank untuk menjaga anak-anak.

Ritzzamoni menegaskan keluarga lebih penting daripada kerjaya atau wang dan keluarganya bernasib baik Ros Aqidah berjaya dirawat dan pulih sedangkan ramai anak kecil lain menemui ajal akibat penyakit pneumokokal.

“Anak kepada rakan abang saya juga meninggal akibat penyakit ini. Oleh itu, kami mahu membantu meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit ini dan memaklumkan adanya vaksin untuk melindungi anak,” ujarnya.

Ritzzamoni juga mendakwa terpaksa membayar kos rawatan RM15,000, tidak termasuk kos rawatan susulan, untuk Ros Aqidah menjalani ujian imbasan Sinar-X, fisioterapi dada, sedutan cecair, diberikan morfin dan ujian darah harian.

Selain itu, dia dan suami juga terpaksa mengambil cuti kecemasan dan mengorbankan masa dari tiga anak yang lain untuk menjaga anak bongsunya itu di hospital. Ritzzamoni memohon semua doktor meluangkan masa untuk memaklumkan orang ramai mengenai penyakit ini dan vaksinnya di samping menjelaskan siapa mangsanya, risiko jangkitan, rawatan dan kaedah pencegahan.

“Walaupun tak mampu mendapatkan vaksin tersebut tetapi sekurang-kurangnya ibu bapa yang dimaklumkan boleh mengambil langkah pencegahan.

“Janganlah difikirkan kos sebagai perkara utama dan biar ibu bapa sendiri memilih untuk mengambil vaksin pneumokokal atau tidak,” tegasnya.

Ritzzamoni juga mencadangkan pilihan vaksinasi pneumokokal mungkin boleh disertakan di dalam jadual vaksinasi anak walaupun tidak diwajibkan.

“Nyawa anak tidak ternilai. Lindungilah mereka daripada kuman dalam pergaulan harian dengan orang atau kanak-kanak lain,” katanya.

Pembunuh utama kanak-kanak



MENINGITIS jarang berlaku tetapi boleh menyebabkan maut.


SEJAUH mana anda tahu mengenai bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus?

Bakteria ini menyebabkan penyakit pneumokokal yang merangkumi otitis media (jangkitan telinga), pneumonia (radang paru-paru), bakteremia (kuman dalam darah) dan meningitis (radang selaput otak) di kalangan kanak-kanak dan warga emas. Istilah penyakit pneumokokal (PnD) juga mungkin tidak begitu menakutkan bagi ibu bapa berbanding tetanus, hepatitis, polio, atau demam campak.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa jangkitan bakteria ini merupakan punca utama kematian kanak-kanak, sama ada di bawah umur lima tahun dan juga yang melebihi umur lima tahun. Perangkaan punca kematian kanak-kanak akibat penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan 1.61 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat PnD.

Dari jumlah itu, 716,000 kanak-kanak yang meninggal dunia berumur lima tahun ke bawah sementara 896,000 lagi berumur lima tahun ke atas. Jumlah kematian kini juga dianggarkan mencecah satu juta setiap tahun di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Ini bermakna kira-kira 112 orang kanak-kanak akan menemui ajal akibat PnD setiap jam atau 2,700 kematian setiap hari di seluruh dunia.

* Ancaman

Pakar Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan, kumpulan paling berisiko mendapat PnD adalah bayi di bawah umur 24 bulan terutamanya kerana PnD sukar dikesan di kalangan bayi.

“Dianggarkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus yang boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan harian di tadika atau taman asuhan.

“PnD juga boleh menjadi teruk dengan pantas dan kelewatan dalam mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak atau organ utama lain,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai sistem imuniti lemah seperti pesakit talasemia, anemia sel sabit atau dijangkiti HIV juga mempunyai risiko lebih tinggi menghidap PnD.

Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa jangkitan pneumokokus mungkin berlaku sebagai jangkitan sekunder (kedua) selepas jangkitan virus.

“Bakteria ini boleh masuk melalui salur pernafasan dan seterusnya menyebabkan jangkitan di beberapa bahagian badan termasuk telinga, darah, paru-paru dan otak.

“Ini boleh menyebabkan jangkitan teruk (invasif) seperti meningitis, bakteremia atau pneumonia atau hanya jangkitan ringan seperti sinusitis dan otitis media,” jelasnya.

Menurutnya lagi, otitis media (jangkitan telinga) paling banyak berlaku di kalangan pesakit tetapi paling kurang berbahaya sementara meningitis yang jarang berlaku adalah amat berbahaya dan boleh membawa maut.

* Setempat

Pakar Runding Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan, Dr. Mohd. Suhaimi Ab. Wahab menyatakan tidak banyak maklumat mengenai bilangan kes PnD di Malaysia kerana penyakit ini tidak tergolong dalam jenis penyakit perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan.

“Ujian mikrobiologi cuma dilakukan dalam sebilangan kecil kes PnD sementara amalan pengambilan cecair tulang belakang (CSF) untuk diuji dalam kes meningitis juga amat rendah.

“Namun, kajian tempatan dari 1995 hingga 1996 berjaya merekodkan 273 kes jangkitan pneumokokus dari enam hospital, dengan 31.1 peratus daripada pesakit yang dijangkiti berusia di bawah umur 10 tahun,” katanya.

Menurut beliau, 10 peratus (2.7 juta) daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia berumur bawah lima tahun dan mengikut perangkaan kasar, mungkin terdapat 20,000 kes meningitis pneumokokal di kalangan kanak-kanak berlaku setiap tahun di negara ini.

Dalam satu kajian di Sabah, 70.3 peratus kes meningitis yang disahkan berpunca daripada jangkitan pneumokokus dicatatkan berlaku kepada bayi yang berumur 36 bulan ke bawah, dengan bayi seawal usia dua bulan juga dijangkiti bakteria tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Suhaimi juga membangkitkan isu peningkatan rintangan antibiotik oleh bakteria pneumokokus hasil beberapa kajian sejak 1984 lagi.

“Kajian dari 1984 hingga 1985 menunjukkan hanya empat peratus kes rintangan pneumokokus terhadap antibiotik penisilin.

“Satu lagi kajian dari 1996 hingga 1997 menunjukkan peratusan ini meningkat kepada 10 peratus sementara kajian berasingan dari 1999 hingga 2004 menunjukkan rintangan terhadap penisilin telah meningkat kepada 62 peratus,” jelasnya.

Beliau mengaitkan peningkatan rintangan pneumokokus terhadap penisilin ini akibat pemberian antibiotik secara berleluasa dan tidak mengikut arahan pengambilan antibiotik.

Pengetahuan mengenai PnD di Malaysia secara umumnya masih rendah dengan Tinjauan Kesedaran Penyakit Pneumokokal Global 2006 hanya menunjukkan 31 peratus ibu bapa di negara ini mengetahui mengenai penyakit tersebut.

Tinjauan itu turut mendapati hanya 38 peratus ibu bapa di Malaysia mengetahui adanya vaksin untuk PnD tetapi peratusan ini dijangka telah meningkat hasil pendedahan melalui media.

* Vaksin

Vaksin berkonjugat pneumokokus tiba ke pasaran negara ini pada bulan Oktober 2005 tetapi telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2000 lagi. WHO menamakan penyakit pneumokokal sebagai punca nombor satu kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyarankan vaksin berkonjugat pneumokokus perlu diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam program imunisasi kanak-kanak.

Dr. Zulkifli menjelaskan, setiap kanak-kanak akan memerlukan tiga atau empat dos vaksin, mengikut pendapat doktor dan umur anak, bagi mendapat perlindungan seumur hidup daripada PnD.

“Vaksin ini belum dimasukkan dalam jadual imunisasi wajib kebangsaan tetapi sepatutnya terdapat di setiap hospital swasta dan sesetengah klinik.

“Namun para doktor perlu memaklumkan kepada ibu bapa tentang penyakit dan vaksin ini memandangkan masih ramai yang tidak tahu mengenainya,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk bertanya kepada doktor tentang penyakit dan vaksin tersebut bagi melindungi bayi yang baru lahir.

Tambah beliau, pengambilan vaksin ini juga dapat memberikan imuniti berkelompok iaitu perlindungan kepada individu lain yang tidak menerima vaksin dengan menyekat penyebaran bakteria pneumokokus dalam pergaulan harian.

“Janganlah kita menghukum mereka yang memilih untuk tidak mengambil vaksin ini.

“Bagaimanapun, semua pihak, tidak kira doktor atau ibu bapa, diminta jangan memikirkan PnD dari segi peratusan sahaja kerana ianya bukan lagi peratusan jika anak anda sendiri yang menjadi mangsa,” tegas Dr. Zulkifli.