Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.5.09

Kaki diabetik dan pencegahannya


KENCING manis atau diabetes melibatkan 189 juta penduduk dunia dan jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Jangkaan kasar menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat sebanyak 72 peratus menjelang 2025.

Dianggarkan lebih kurang 17 peratus daripada penduduk di Malaysia mengidap diabetes. Jumlah yang sebenar, mungkin sekali ganda lebih tinggi dari jumlah yang dicatatkan.

Seseorang boleh mendapat diabetes apabila badan tidak berupaya untuk memantau kandungan glukosa di dalam darah.

Insulin adalah hormon yang bertanggung jawab untuk mengawal tahap glukosa. Jika penghasilan hormon ini tidak mencukupi atau sel-sel badan tidak peka kepada insulin, diabetes akan berlaku.

Secara amnya, diabetes boleh di klasifikasikan kepada jenis jenis iaitu diabetes jenis pertama (I) dan diabetes jenis kedua (II).

Diabetes jenis I adalah diabetes yang disebabkan oleh kekurangan penghasilan insulin manakala diabetes jenis II adalah disebabkan oleh sel-sel badan menjadi tidak peka terhadap kesan insulin.

Apabila paras glukosa di dalam darah meningkat secara berlebihan, pesakit akan mendapat tanda-tanda seperti selalu dahaga, kerap kencing, kencing malam, selalu letih, penurunan berat badan yang mendadak dan kebas-kebas pada jari kaki atau tangan.

Peningkatan tahap glukosa yang tidak terkawal ini boleh menyebabkan komplikasi seperti penyakit kulit, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, kerosakan mata, kerosakan pada kaki dan sebagainya.

Selalunya, pesakit diabetes jarang mendapat maklumat mengenai kemungkinan kerosakan pada kaki akibat daripada diabetes yang tidak terkawal.

Hasilnya, banyak kes-kes sedemikian yang terdapat di hospital sehingga menjuruskan kepada pembedahan besar pada kaki seperti pemotongan (amputasi) bawah lutut atau atas lutut, bahkan ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius sehingga boleh maut.

Kerosakan kompleks pada kaki yang disebabkan oleh penyakit diabetes ini dinamakan penyakit kaki diabetes (diabetic foot).

Kesan pada kaki

Semua pesakit diabetes berisiko untuk mendapat penyakit kaki diabetes. Kesan daripada diabetes yang kronik pada kaki boleh dilihat seperti kulit kering dan senang merekah akibat kurang berpeluh, kurang atau hilang bulu kaki, peningkatan pigmentasi (hyperpigmentation) pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.

Selain itu, diabetes juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf (neuropati) dan penyakit vaskular.

Dua faktor ini boleh mempercepatkan lagi kerosakan pada kaki sekiranya tahap glukosa tidak terkawal.

Neuropati akan menyebabkan seseorang tidak sedar akan kerosakan pada kakinya sekiranya terdapat luka, pecah atau pun kudis (ulser).

Selain itu, neuropati juga boleh menyebabkan otot-otot kecil (intrinsic) pada kaki menjadi lemah. Ini menyebabkan bentuk kaki menjadi tidak normal dan penampungan berat badan pada kaki menjadi tidak sekata.

Masalah ini menyebabkan ulser mudah terbentuk terutamanya pada bahagian yang terkena atau menampung banyak tekanan.

Penyakit vaskular pula menyebabkan nutrisi dan oksigen tidak sampai pada kaki dan seterusnya menyebabkan luka lambat sembuh.

Penyakit vaskular ini juga adalah komplikasi bagi perokok-perokok tegar. Anda dinasihatkan segera berhenti merokok sekiranya anda disahkan menghidap diabetes.

Antara 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes akan mendapat masalah neuropati pada kaki mereka. Dari jumlah ini, 25 peratus akan mendapat masalah ulser yang kronik.

Dari 25 ini pula, separuh akan mendapat jangkitan kuman yang memerlukan rawatan intensif seperti kemasukan wad, antibiotik intravenus dan pembedahan mencuci luka.

Lebih malang lagi, 20 peratus daripada pesakit terbabit terpaksa melalui amputasi bagi mengawal jangkitan supaya tidak terus merebak.

Agak menakutkan kerana data yang ada juga menunjukkan separuh daripada pesakit yang telah menjalani amputasi besar kemungkinan akan melalui amputasi kaki bersebelahan, dalam tempoh kurang lima tahun.

Malah, kadar kematian juga meningkat bagi pesakit-pesakit yang telah melalui amputasi besar sekiranya cara hidup dan pengawalan glukosa tidak berubah.

Komplikasi pada kaki akibat diabetes yang tidak terkawal ini selalunya berkait rapat dengan cara hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, kurang senaman dan amalan makanan yang tidak seimbang.

Pesakit juga perlu mengikut arahan doktor mengenai penjagaan diabetes seperti mengambil ubat mengawal gula darah, mengikut sukatan dan masa yang betul.

Selain dari kesedaran yang kurang mengenai komplikasi ini, orang ramai juga selalunya takut untuk mendapatkan rawatan awal kerana mengaitkan rawatan kaki diabetes dengan amputasi.

Jangan bimbang untuk berjumpa dengan doktor kerana bukan semua luka atau ulser pada kaki diabetes mesti dipotong. Malah rawatan yang awal akan dapat menyelamatkan kaki anda dari amputasi.

Pencegahan

Penjagaan kaki diabetes ini agak rumit sekiranya ianya sudah berlaku. Oleh itu, pencegahan dan pengawasan adalah dua prinsip asas yang penting bagi mengurangkan risiko berlakunya kaki diabetes.

Bagi pesakit-pesakit yang sudah pun mendapat neuropati atau penyakit vaskular, penjagaan kaki yang betul boleh mengurangkan risiko untuk mendapat ulser atau jangkitan kuman pada kaki.

Walaupun begitu, perlu ditekankan sekali lagi bahawa langkah-langkah tadi hanya berjaya jika langkah utama seperti pengawalan tahap glukosa yang optimum dapat dilakukan.

Pencegahan dan pengawalan kaki diabetik ini memerlukan sokongan dan penglibatan dari berbagai kepakaran seperti pakar endokrin, pakar ortopedik, pakar bedah vaskular, juru-fisioterapi, jururawat diabetik dan pakar pemakanan.

Bagi pesakit yang terpaksa melalui proses amputasi, mereka memerlukan juga khidmat pegawai kebajikan, ahli prostetik dan juru pulih kerja.

Di sesetengah hospital, terutamanya di negara-negara Barat, sudah ada khidmat dari pakar kaki (podiatrist) yang boleh memberikan khidmat dan nasihat yang lebih menyeluruh mengenai penjagaan kaki untuk pesakit-pesakit diabetes.

Pengawalan dan pencegahan kaki diabetes sebenarnya penting bagi mengurangkan risiko morbiditi dan kematian pesakit-pesakit diabetes, sama seperti perlunya tekanan dan kesedaran tentang masalah dan komplikasi diabetes pada sistem atau organ yang lain.

Komplikasi diabetes pada kaki memberikan impak yang besar pada pesakit, keluarga mereka dan masyarakat.

Mereka terpaksa menggunakan wang, masa dan tenaga untuk berubat. Malah kualiti hidup mereka juga terjejas kerana terpaksa berulang alik ke hospital atau dimasukkan ke hospital untuk rawatan yang lebih agresif.

Oleh itu, kesedaran yang menyeluruh penting bagi mengekalkan hidup yang sihat melalui pencegahan, pemantauan pesakit-pesakit yang berisiko, mencegah dari berulangnya komplikasi dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum.

0 comments: