Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

2.5.09

Penjagaan gigi jamin kesihatan mulut



Sebahagian murid-murid sekolah yang hadir sempena majlis perasmian kempen Bulan Kesihatan Oral bersama Dr. Norain Abu Talib (tengah belakang), Dr. S. Sivanesan dan John Hazlin.


KESIHATAN mulut atau oral mempunyai kaitan yang rapat dengan penyakit seperti diabetes, jantung dan bayi dilahirkan kurang berat badan bagi ibu bapa yang menghidap penyakit gusi kronik. Namun ia sering diabai oleh masyarakat.

Kebanyakannya hanya berjumpa doktor gigi setelah timbul masalah seperti kaviti dan penyakit gusi. Ia sudah terlambat kerana banyak kerosakan yang telah terjadi.

Fakta mengenai kesihatan oral menunjukkan bahawa menggosok gigi sahaja tidak cukup untuk menghilangkan plak di dalam mulut. Ini kerana gigi memenuhi kira-kira 23 peratus ruang mulut manusia.

Bahkan, kajian menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai kaviti gigi.

Dalam konteks ini, tidak cukup dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, ia akan hanya dapat membersihkan satu perempat bahagian mulut sahaja.

Justeru, pemeriksaan gigi mulai peringkat kanak-kanak lagi perlu untuk memastikan kesihatan mulut termasuk gigi terjaga.

Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive (Pemasaran) Sdn. Bhd., John Hazlin memberitahu, kesihatan oral bermula dengan penjagaan gigi sejak kanak-kanak lagi.

Oleh itu, ibu bapa perlu memberi didikan kepada anak-anak mereka tentang penjagaan gigi peringkat awal dan membawa mereka berjumpa dengan doktor gigi.

"Memang benar, kebanyakan kerosakan gigi disebabkan makanan tetapi persoalan utama ialah bagaimana kita membersihkan gigi selepas makan.

"Penjagaan gigi yang tepat ialah memberus gigi menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida dan flos gigi," katanya pada majlis pelancaran Bulan Kesihatan Oral di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor.

Turut hadir Pengarah Utama Kesihatan Oral, Kementerian kesihatan, Datin Dr. Norain Abu Talib dan Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. S. Sivanesan.

Dalam pada itu, Dr. S. Sivanesan memberitahu, masyarakat perlu mencegah kerosakan gigi menerusi amalan kesihatan oral yang betul dan dilakukan secara rutin.

"Salah satu cara untuk mengelakkan penyakit oral ialah melalui rutin kesihatan oral harian. Selain itu, berjumpa dengan doktor gigi membantu mengelakkan rawatan pergigian untuk jangka masa yang panjang," katanya.

Bulan Kesihatan Oral merupakan bulan untuk memastikan penjagaan sempurna, gigi, gusi dan mulut.

Sejak enam tahun lalu, Colgate dan Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Malaysia telah bekerjasama untuk meningkatkan tentang isu kesihatan oral.

Salah satu cara untuk mengekalkan kesihatan mulut ialah melawat pakar penjagaan mulut setiap enam bulan. Justeru itu, Colgate telah menawarkan pemeriksaan gigi percuma di lebih 500 tempat di seluruh negara sempena Bulan Kesihatan Mulut. Untuk maklumat lanjut layari www.oralhealthmonth.com.my

0 comments: