Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.5.09

Petugas di sebalik tabir


DI ketika dunia heboh dengan berita virus selesema baru, kakitangan keselamatan dan kesihatan seluruh dunia mula dikerah untuk mencegah dan merawat.

Pegawai-pegawai beruniform bukan sahaja bersedia di hospital, malahan di pintu-pintu masuk utama negara bagi memastikan individu berisiko membawa masuk penyakit berjangkit segera dikesan.

Ini dapat mengelak atau mengurangkan risiko penularan besar-besaran penyakit berjangkit dari satu individu yang dijangkiti kepada orang ramai.

Baris hadapan

Kita perlu menghargai jasa pasukan hadapan negara yang sanggup menghadapi risiko bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia terjamin.

Atas jasa mereka, virus selesema babi belum dikesan di dalam negara, seperti mana juga tindakan pantas mereka berjaya menghalang penyebaran selesema burung sebelum ini.

Dalam pasukan hadapan ini, kebanyakan daripada kita hanya mengenali doktor dan jururawat yang bertugas memantau di pintu masuk negara atau merawat di hospital. Bagaimanapun, baris hadapan ini sebenarnya merangkumi lebih ramai kakitangan keselamatan dan kesihatan, termasuklah pasukan polis, imigresen, pegawai veterinar, pegawai pengurusan bahan berbahaya, kakitangan makmal dan banyak lagi.

Boleh dikatakan sebagai kumpulan hadapan 'di sebalik tabir', mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab tanpa memikirkan nama dan ganjaran. Lebih membanggakan, kebanyakan pakar bidang-bidang yang terlibat kini terdiri daripada warga tempatan yang rata-rata dilatih oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

Bagi Pensyarah Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Shahriman Yushdie Wan Yusoff, ia menjadi kebanggaan pihaknya dan juga negara apabila anak muda yang dilatih sendiri mampu menjalankan tugas dengan baik, setanding atau lebih baik dari pakar asing.

"Kakitangan makmal rata-rata kurang dikenali kerana tidak banyak berinteraksi dengan orang ramai.

"Namun, golongan juruteknologi makmal perubatan (MLT) inilah yang menjalankan ujian diagnostik atau ujian khusus untuk penyakit yang dihadapi," katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai MLT selama tiga tahun sebelum kembali mengajar menjelaskan kerjaya makmal mendedahkan petugas kepada bermacam bahan dan sampel berbahaya.

Tambahnya, menjadi kebiasaan dan tanggungjawab bagi MLT menjalankan ujian untuk menentukan dan mengesahkan penyakit berjangkit mahupun yang kronik.

Seperti mana-mana kerjaya kesihatan dan perubatan lain, Malaysia dan banyak negara lain turut kekurangan kakitangan MLT.

Mungkin disebabkan kurang pendedahan atau risiko tempat kerja, kebanyakan yang kekal dalam bidang ini dilihat mempunyai minat mendalam menyelamatkan nyawa atau keinginan mengembangkan penemuan terkini melalui penyelidikan.

Diagnostik

Seorang MLT boleh menceburi dunia diagnostik ataupun dunia penyelidikan perubatan. Ujian diagnostik melibatkan ujian terhadap tisu atau cecair badan pesakit bagi mengesan sesuatu yang tidak normal dan tahap kesihatan semasa pesakit. Untuk itu, MLT perlu mendapatkan keputusan ujian yang tepat dan secepat mungkin bagi membantu doktor mengesan dan merawat masalah kesihatan, diagnosis dan juga menentukan keberkesanan rawatan yang diberikan.

Wan Shahriman menjelaskan kerjaya sebagai MLT bukan hanya menguji sampel yang diberikan malahan perlu menjaga cara pengambilan dan juga pengangkutan sampel.

"Sebelum analisis, sampel itu perlu diambil dalam bekas bersesuaian (mengikut jenis cecair dan ujian) serta dipindahkan dalam ais atau bahan kimia bersesuaian ke makmal.

"Ini bagi menjamin keputusan ujian tepat dan boleh diperolehi secepat mungkin untuk membantu doktor membuat diagnosis atau memberi rawatan," jelasnya.

Menurutnya lagi, sistem ini serupa walaupun untuk kajian sampel haiwan mahupun dari persekitaran yang mengalami pencemaran.

Penyelidikan

Dalam dunia MLT, semua cecair dan tisu badan dapat diuji untuk mendapatkan maklumat tertentu. Ini bukan sahaja berguna dalam diagnosis dan rawatan penyakit, malahan penting dalam dunia forensik untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.

Kerjaya MLT juga boleh melibatkan penyelidikan perubatan, terutamanya di makmal bertaraf tinggi bagi menjalankan kajian penyakit atau ubat terbaru. Penyelidikan bukan sahaja dapat mengembangkan lagi kaedah ujian yang lebih tepat dan berkesan, mahupun untuk perkembangan teknologi yang digunakan di dalam makmal.

Bidang penyelidikan bagaimanapun akan memerlukan MLT mempunyai lebih kepakaran dan kemahiran dengan melanjutkan pelajaran dari diploma kepada ijazah sarjana muda, sarjana, mahupun ijazah kedoktoran.

Wan Shahriman menyatakan UiTM juga telah mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan.

"Pengenalan program ini diharap dapat membantu memperkembangkan lagi bidang makmal perubatan, sejajar dengan keperluan industri dan negara.

"Selain itu, ia juga membuka peluang MLT menceburi bidang khusus lain kelak, seperti perubatan, sains forensik, pendidikan mahupun penyelidikan perubatan," ujarnya.

Diploma dan ijazah dari UiTM dan kebanyakan institusi pengajian tinggi tempatan juga diperakui dan diterima untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Pemindahan kredit juga bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tempoh pembelajaran, malahan memudahkan penerimaan pelajar ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Kakitangan bidang perubatan dan kesihatan sememangnya tidak mencukupi, bukan sahaja di dalam negara, malahan di kebanyakan negara-negara maju. Peluang pendapatan lebih tinggi di luar negara juga menyebabkan ramai kakitangan perubatan 'dicuri', seterusnya menyebabkan negara kekurangan tenaga pakar.

Ini jelas dilihat hasil bermacam aduan orang ramai mengenai perkhidmatan kesihatan yang kekurangan kakitangan. Bagi pihak berwajib, hargai dan jagalah kakitangan kesihatan sedia ada dan tingkatkan program latihan dan insentif untuk menyertai bidang perubatan dan kesihatan.

Pupuk minat di kalangan pelajar yang mungkin menjadi baris hadapan untuk keselamatan dan kesihatan rakyat Mlaysia kelak. Untuk maklumat lanjut mengenai program perubatan dan kesihatan UiTM, sila layari laman web www.uitm.edu.my.

0 comments: