Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

19.5.09

Usah malu melasma di muka


KECERAHAN warna kulit adalah salah satu daripada petunjuk yang begitu jelas membezakan penampilan seseorang.

Sama ada gelap atau cerah, warna kulit boleh diubah (lihat sahaja Michael Jackson!). Faktor genetik boleh memainkan peranan penting tetapi faktor-faktor lain juga boleh menjejaskan ton warna kulit, seperti keadaan persekitaran atau dalam kes-kes tertentu, prosedur kosmetik.

Warna kulit

Fakta sains di sebalik penampilan warna kulit ditentukan oleh pigmen dalam kulit atau lebih dikenali sebagai melanin, yang berwarna coklat buah zaitun, perang atau hitam.

Dibentuk oleh sel yang menghasilkan pigmen dinamakan melanosit, melanin ialah punca yang memberi kulit warna semula jadi seseorang.

Seseorang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap mempunyai jumlah melanin yang lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai melanin atau pigmen lebih rendah mempunyai warna ton kulit yang lebih cerah.

Umumnya, masalah pigmentasi kulit berlaku akibat pengeluaran melanin yang meningkat. Ini menyebabkan warna kulit lebih gelap dan mungkin menjadikannya bertompok atau tidak sekata.

Walaupun punca masalah pigmentasi kulit adalah berbeza, termasuklah masalah auto-imun dan tindak balas kepada ubat atau ciri genetik, pendedahan kepada cahaya matahari adalah punca utama kebanyakan masalah pigmentasi kulit.

Beribu-ribu wanita menghadapi masalah pigmentasi kulit yang berkaitan pendedahan kepada matahari dan juga ketidakstabilan tahap hormon.

Salah satu daripada masalah pigmentasi kulit atau rona muka yang kurang diketahui atau diperhatikan di Asia ialah masalah melasma.

Perkara yang menghairankan ialah ramai yang tidak tahu puncanya dan lebih ramai lagi yang tidak tahu bahawa ia boleh dirawat dan dikawal.

Malah, kebanyakan orang tidak pernah mendengar atau mengenali melasma dan secara tidak sedar menerima sahaja masalah kulit mereka. Adakah masalah ini tompok gelap semata-mata?

Melasma

Walaupun orang ramai tidak mengenali dan tidak begitu tahu mengenai melasma, ia merupakan gangguan pigmentasi kulit yang sangat umum di kalangan wanita di serata dunia.

Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat kira-kira 5 hingga 6 juta orang yang mengalaminya, tetapi hanya setengah juta daripada mereka mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar kulit.

Bagi sesetengah pesakit, masalah ini mungkin hanya kewujudan tompokan perang kecil pada bahagian pipi, bibir atas, hidung atau dahi manakala bagi sesetengah pesakit pula, ia merupakan kecacatan muka yang mengaibkan.

Dengan kadar penularan 40 peratus di kalangan wanita dan 20 peratus di kalangan lelaki, melasma umumnya dialami oleh golongan wanita dan lebih ketara di kalangan orang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap secara semulajadi. Justeru, masalah melasma ini agak ketara di Asia Tenggara.

Secara umumnya, melasma boleh dikenal pasti menerusi tompokan perang muda atau perang kelabu pada bahagian kulit yang terdedah kepada matahari seperti dahi, pipi, bibir atas, hidung dan dagu.

Pakar kulit percaya bahawa punca utama permulaan dan penularan melasma ialah pendedahan kepada cahaya ultra ungu matahari.

Statistik sedia ada menunjukkan bahawa melasma bermula semasa di zaman remaja kerana faktor dan ciri genetik.

Ia menjadi lebih buruk akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari dan masalah ini akan kekal sepanjang hidup tanpa dikenal pasti.

Melasma juga sering dikaitkan dengan perubahan tahap hormon wanita ketika mengandung, semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan, semasa penggunaan kontraseptif oral atau terapi penggantian hormon. Kebanyakan wanita mendapati melasma mereka bertambah buruk pada waktu ini.

Justeru, golongan wanita yang sedang mengambil ubat pencegah hamil atau menjalani terapi penggantian hormon mungkin perlu berbincang dengan pakar ginekologi mereka untuk memilih terapi yang mengandungi formulasi estrogen atau progesteron yang lebih rendah.

Faktor lain yang berkait rapat dengan melasma termasuk ketidakstabilan tahap tiroid, barang kosmetik tertentu, ubat foto-toksik dan ubat anti sawan.

Melasma biasanya boleh di diagnosis secara klinikal, dalam kebanyakan kes pemeriksaan klinikal dan sejarah keluarga peribadi seseorang memberi diagnosis yang berkesan untuk masalah melasma.

Biopsi kulit hanya diperlukan untuk membezakan gangguan masalah pigmentasi yang lain daripada melasma.

Walaupun masalah melasma tidak mengancam nyawa seseorang, namun ia memberi kesan kepada interaksi sosial, kerjaya, harga diri dan akhirnya keseronokan dalam kehidupan pesakit.

Dikenali sebagai gangguan pigmentasi biasa yang sukar dirawat, melasma tidak boleh diubati secara kekal.

Perlindungan daripada sinaran cahaya matahari dan rawatan penyenggaraan jangka panjang berkesan untuk mengawal penularannya dan meningkatkan kualiti hidup seseorang yang mengalaminya.

Mengatasi melasma

Rakyat Malaysia terdedah kepada sinar ultraungu (UV) selama 18 jam dalam kegiatan harian. Ramai orang tidak sedar tentang betapa perlunya untuk melindungi diri daripada sinaran cahaya matahari semasa aktiviti di dalam dan di luar bangunan.

Malah, tinjauan soal selidik yang dijalankan oleh Akademi Dermatologi Amerika melaporkan bahawa hampir 86 peratus daripada rakyat Amerika sendiri tidak sedar bahawa mereka perlu mengguna pelindung cahaya matahari setiap hari sepanjang tahun.

Cara yang paling asas dan kemungkinan besar paling penting untuk mengawal masalah melasma ialah menerusi perlindungan cahaya matahari.

Mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari semasa aktiviti harian boleh mencegah melasma sedia ada daripada menjadi semakin serius dan juga pencegahan tompok melasma baru daripada terbentuk.

Ini adalah amat penting kerana melasma ialah sejenis masalah kulit yang kronik dan boleh terbentuk semula terutamanya di bawah pendedahan matahari yang tidak terlindung walaupun selepas berjaya merawatnya.

Langkah mudah seperti menggunakan pelindung cahaya matahari yang memberi perlindungan daripada sinar ultra ungu A dan B yang tinggi (rujuk kepada label UVA dan UVB pada botol) memastikan kulit dilindungi dengan baik.

Langkah mudah yang lain termasuk menggunakan payung apabila berjalan kaki di luar, memakai topi semasa berkebun (satu cadangan perubatan, lebih baik jika topi bertepi lebar sepanjang lapan inci) yang kesemuanya boleh membantu mengawal masalah melasma daripada menjadi lebih serius ataupun tompok baru terbentuk lagi.

Satu cara berkesan untuk merawat masalah melasma ialah penggunaan krim sapu luaran.

Krim sapu luaran menjadi pilihan utama berbanding rawatan pengupasan kulit, rawatan laser dan juga rawatan intense pulsed light (IPL) yang mempunyai risiko tinggi untuk memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan tompok melasma menjadi lebih gelap

Hasil daripada beberapa kajian klinikal telah membuktikan bahawa rumusan krim sapu luaran topikal yang berkesan merawat masalah melasma adalah krim topikal yang satu-satunya mengandungi rumusan tiga kombinasi perubatan tetap berumusan hidrokuinon (4 peratus), tretinoin (0.05 peratus) dan kortikosteriod (0.01 peratus) yang telah menunjukkan keberkesanannya terhadap pesakit semasa rawatan aktif selama lapan minggu.

Krim topikal ini boleh mengurangkan masalah melasma bagi kebanyakan golongan wanita tetapi ia tidak sesuai digunakan bagi para wanita yang sedang mengandung ataupun masih mengamalkan penyusuan badan kepada bayi kerana dua kandungan rumusan krim topikal tersebut adalah ubat kawalan perubatan.

Melasma hanya boleh dirawat dan dikawal, tetapi ia tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, namun dengan pengamalan rawatan penyenggaraan dan penggunaan pelindung cahaya matahari secara konsisten, kemunculan semula tompok melasma akibat pendedahan kepada sinaran UV matahari boleh di atasi untuk sementara waktu.

Golongan wanita yang mengalami masalah melasma harus mendapatkan nasihat daripada pakar perunding kulit untuk menentukan cara terbaik untuk mengatasi dan merawat masalah melasma mereka.

Golongan wanita yang mengalami masalah melasma tidak perlu rasa kurang yakin diri atau malu, kerana pada masa kini terdapat pelbagai kaedah atau cara berkesan untuk mengawal atau merawat masalah ini dan mengurangkan kesannya dengan lebih ketara.

Semenjak beberapa tahun lalu, strategi rawatan melasma juga semakin berkesan, dengan adanya rawatan prosedur yang betul, selamat dan berkesan bagi orang ramai untuk mengawal dan mengurangkan gejala yang timbul.

Dengan pengurusan yang baik, anda tidak perlu lagi terasa malu akibat tompok perang di muka anda.

0 comments: