17.1.10

Cemburu akibat sakit otak



Pakar Perunding Neurologi dan pakar Parkinson, Dr. Chew Nee Kong, Presiden Persatuan Parkinson Negeri Sembilan, Gharizah Hashim dan Dr. Teck Hoe pada majlis pelancaran buku panduan penyakit mental dan Parkinson baru-baru ini yang bertajuk Two Sides of the Same Brain.


SETIAPkali saya menerima panggilan telefon di rumah, suami saya akan bergegas menuju ke arah saya untuk bertanya siapakah yang membuat panggilan telefon. Apabila saya memberitahunya bahawa adik saya yang menelefon, dia menuduh saya menyembunyikan sesuatu daripadanya.

Apa saja yang saya buat di rumah sentiasa menimbulkan perasaan syak wasangka pada suami saya. Setiap hari, dia akan membaca setiap SMS pada telefon bimbit saya. Apabila saya bertanya kenapa dia berbuat demikian, dia terus naik angin dan berkata, "Sebagai suami kamu, saya ada hak untuk tahu siapa yang menghantar SMS kepada kamu." saya amat terkejut apabila diberitahu oleh abang ipar bahawa suami saya mengesyaki ada orang menghantar SMS romantik kepada saya. Suami saya semakin hari semakin ganas. Dia berkeras hendak mengikut saya ke mana-mana sahaja, malah ke pasar, kerana bimbang saya akan bertemu dengan kekasih saya. Setiap kali saya menafikan tentang hubungan sulit ini, kami akan bergaduh siang dan malam.

Pada suatu hari apabila saya tidak dapat bersabar lagi, saya bertanya apakah yang menganggu fikirannya, serta-merta dia menjerkah. "saya sudah tahu tentang hubungan sulit antara kamu dan bekas kekasih di sekolah menengah dulu. Jangan cuba berselindung lagi!"

Saya menjawab, "Apa? Kamu sudah hilang akal! Siapa yang akan jatuh hati dengan seorang wanita berusia 70 tahun macam saya? lagipun, bekas kekasih saya itu sudah berusia 75 tahun dan baru diserang angin ahmar tahun lepas."

Ini antara delusi yang dialami pesakit Parkinson. Pesakit dan keluarga tidak menyedari Parkinson bukan melibatkan simptom motor (fizikal) tetapi turut melibatkan penyakit mental seperti delusi. Menurut Pakar Perunding Psikiatri dan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Yen Teck Hoe, penyakit mental dan Parkinson ialah dua daripada penyakit otak penting di Malaysia, dari segi kekerapan dan impak ke atas masyarakat.

"Secara amnya, penyakit mental ialah salah satu daripada masalah kesihatan yang paling berleluasa di negara ini. Berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Nasional (2006), 11.2 peratus daripada golongan dewasa di Malaysia menghidapi penyakit mental seperti depresi dan keresahan," katanya dalam majlis pelancaran buku panduan penyakit mental dan Parkinson di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor.

Tambah beliau, Parkinson ialah suatu penyakit otak yang biasanya berlaku di kalangan warga emas.

Parkinson ialah penyakit degeneratif yang menyebabkan kerosakan sel-sel otak di ganglia basalis, suatu bahagian otak yang memainkan peranan penting di dalam pergerakan badan manusia.

"Hal ini seterusnya mengakibatkan kekurangan dopamin, suatu 'pembawa utusan kimia' yang penting bagi fungsi normal ganglia basalis. Kekurangan dopamin membawa kepada simptom motor seperti pergerakan badan yang lambat, kekejangan otot dan tremor (tangan atau kaki yang menggeletar),"ujarnya.

Semenjak laporan pertama oleh Dr. James Parkinson (seorang pakar perubatan British) pada tahun 1817, Parkinson telah lama dikenali sebagai sejenis penyakit yang menjejaskan pergerakan badan.

Dalam pada itu, lebih daripada 60 peratus pesakit Parkinson mengalami satu atau lebih simptom mental sepanjang hidup mereka (Aarsland D, 1999). Depresi (kemurungan) ialah komplikasi yang kerap berlaku dalam kalangan pesakit Parkinson iaitu 40 peratus hingga 50 peratus pesakit parkinson, satu peratus lebih tinggi berbanding dengan masyarakat am. Keresahan berlaku dalam kalangan 40 peratus pesakit Parkinson dan merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan masyarakat am. Laporan menunjukkan bahawa 30 peratus pesakit Parkinson mengalami halusinasi manakala 40 hingga 60 peratus mengalami demensia(nyanyuk).

0 comments: