Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

9.2.10

Penjagaan tulang


TULANG bukan sekadar ketulan kalsium. Ia hidup - sentiasa terhapus dan terbina dengan sendiri. Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang sepatutnya.

Nutrien yang paling penting untuk tulang adalah kalsium. Mineral ini bukan saja diperlukan untuk pembentukan tulang tetapi juga fungsi badan yang lain seperti penjagaan saraf dan otot. Disebabkan badan mengambil kalsium daripada tulang maka kita perlu terus mengisi semula bekalan kalsium untuk mengelakkan tulang kehilangan terlalu banyak mineral tersebut.

Sumber terbaik bagi kalsium adalah susu dan produk berasaskan susu yang lain seperti keju dan tairu. Bagaimanapun, terdapat juga sumber kalsium yang lain sekiranya anda tidak suka minum susu. Anda boleh mendapat kalsium daripada sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu dan taufu fah dan juga ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dan bilis.

Dan jangan pula lupa tentang makanan tidak berasaskan tenusu dan diperkaya dengan kalsium yang boleh didapati di pasaran. Jus oren, minuman malt dan tairu dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti telah diperkaya dengan kalsium. Oleh it, bacalah label makanan dan periksa kandungan kalsiumnya.

Tetapi seperti apa juga dalam hidup ini, kita perlu bersederhana. Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Kumpulan umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan. Berapakah yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh memeriksa cadangan pengambilan nutrien bagi kalsium dalam jadual berikut:

Sebagai tambahan kepada kalsium, anda juga perlu memastikan mendapat vitamin D yang mencukupi setiap hari. Vitamin ini membantu tulang anda menyerap lebih kalsium. Tambahan pula, badan anda akan menghasilkannya sendiri dari pendedahan kepada cahaya matahari. Jadi, janganlah malu berjemur kerana ia baik untuk tulang anda! Tetapi, bagi wanita yang sudah mencapai menopaus, penghasilkan vitamin D dari pendedahan kepada cahaya matahari sahaja mungkin tidak mencukupi, Jadi, selain pengambilan tambahan kalsium, pengambilan tambahan vitamin D juga sangat penting.

Selain kalsium dan vitamin D, tulang kita juga memerlukan senaman. Ini kerana tulang adalah tisu hidup dan ia bertindak balas kepada aktiviti tekanan yang dikenakan manusia ke atasnya. Ia terbina dari kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terdiri daripada kalsium dan fosfat. Matrik kolagen inilah yang membenarkan tulang mengembang dan mengecut tanpa patah.

Dalam kata lain, tulang akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menghadapi tekanan yang kerap dikenakan senaman ke atasnya. Begitulah juga jika tidak aktif secara fizikal, tulang akan menjadi semakin lemah, lalu mendedahkannya kepada risiko keretakan yang lebih besar.

Apa juga senaman yang memerlukan anda membawa berat badan dan melawan graviti akan membantu anda memperbaiki atau mengekalkan jisim tulang. Tekanan akibat membawa berat anda sendiri dan tindak balas tolak dan tarik otot anda akan merangsang pembentukan tulang dan menjadikannya lebih kuat. Contoh senaman menahan berat termasuklah berjalan, berjoging, berlari, tai chi dan bermain permainan seperti badminton, tenis dan golf.

Senaman bukan saja membina tulang kuat, ia juga memperbaiki imbangan dan kordinasi anda. Ini penting bagi mengelakkan jatuh bagi warga tua. Jadi janganlah menghalang ibubapa atau datuk nenek anda bersenam kerana ia bagus untuk mereka. Cuma pastikanlah mereka melakukannya dengan selamat.

Tulang sihat sepanjang hayat adalah satu komitmen seumur hidup. Inilah sebab mengapa penjagaan tulang yang baik tidak seharusnya bermula ketika anda sudah tua atau disahkan menghidap osteoporosis. Kita perlu memastikan tulang mempunyai bahan mentah yang diperlukannya secukupnya. Malah, cara yang paling baik untuk melindungi tulang kita adalah dengan menjaganya dari muda dan sepanjang hayat kita.

l Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.

0 comments: