21.4.09

Gynaecomastia



INDIVIDU dengan berat badan berlebihan atau obes juga menghadapi risiko gynaecomastia yang melibatkan pengumpulan lemak di dada.


PERKATAAN gynaecomastia berasal daripada perkataan Greek gynae (seperti perempuan) dan mastia (payudara).

Gynaecomastia boleh didefinisikan sebagai pembesaran payudara di kalangan kaum lelaki yang tidak normal dan menyerupai payudara wanita.

Gynaecomastia kerap berlaku di kalangan remaja lelaki. Walaubagaimanapun, 90 peratus daripada mereka akan pulih dengan sendiri dalam beberapa bulan atau apabila mereka mengakhiri zaman remaja. Keadaan ini juga boleh berlaku di kalangan anak yang baru lahir dan orang tua.

Punca

Ada beberapa punca yang boleh menyebabkan gynaecomastia. Asas utama terjadi gynaecomastia adalah ketidakseimbangan hormon wanita, oestrogen (yang berlebihan) dan kekurangan hormon lelaki, testosteron.

Kadangkala, tindak balas berlebihan tisu terhadap hormon wanita boleh juga menyebabkan gynaecomastia.

Namun, 25 peratus daripada mereka yang mengalami keadaan ini tidak mempunyai sebab yang tertentu dan digolongkan sebagai jenis idiopatik.

Punca-punca lain termasuklah:

1. Fisiologi

Ini adalah proses semula jadi di mana terdapat hormon wanita berlebihan pada bayi yang baru lahir atau ketidakseimbangan hormon di kalangan remaja yang mula cukup umur (baligh). Ia juga berlaku di kalangan orang tua akibat kekurangan hormon testosteron.

2. Ubat-ubatan

Pengambilan ubat-ubat tertentu dalam jangka panjang juga boleh menyebabkan gynaecomastia. Ubat terbabit bertindak mengubah payudara secara terus atau dengan menganggu aktiviti biasa kelenjar pituitari.

Antara ubat-ubat ini ialah:

a. cimetidine, omeprazole, spironolactone, imatinib mesylate, finasteride dan ubat antipsikotik.

b. Rawatan kanser prostat dengan anti-androgen dan analog GnRH akan menyebabkan gynaecomastia.

c. Androstenedione - terdapat dalam makanan tambahan untuk rangsangan badan.

3. Obesiti

Walaupun gynaecomastia kerap berlaku di kalangan orang gemuk, entiti ini tidak boleh disamakan dengan gynaecomastia yang sebenar.

Ini kerana pembesaran payudara golongan ini berpunca dari lemak berlebihan. Lebih tepat lagi, ia dipanggil lipomastia atau pseudogynaecomastia.

4. Penyakit Kronik

Beberapa penyakit kronik dikenal pasti boleh menyebabkan gynaecomastia seperti:

- Penyakit genetik seperti Sindrom Klinefelter (Sindrom XXY)
- Ketumbuhan dalam zakar
- Hyperthyroidism
- Sirosis hati
- Ketumbuhan dalam kelenjar adrenal
- Penyakit yang menyebabkan kekurangan hormon testosteron saperti penyakit pada kelenjar pituitari atau hypothalamus.
- AIDS

5. Lain-lain punca

Penyalahan gunaan bahan kimia atau ubatan untuk tujuan tertentu

- Steroid anabolik dan androgen
- Alkohol
- Amphetamine
- Marijuana
- Heroin

Diagnosis

Gynaecomastia biasanya dapat dikenalpasti dengan pemeriksaan fizikal oleh pengamal perubatan.

Walaubagaimanapun, pemeriksaan tertentu seperti imbasan CT, ultrasound dan ujian darah mungkin diperlukan untuk memastikan punca terjadinya penyakit ini.

Perlu diingat, 25 peratus daripada mereka dengan keadaan ini tidak mempunyai sebab yang tertentu dan digolongkan sebagai idiopatik.

Rawatan

Gynaecomastia tidak menyebabkan sebarang risiko penyakit fizikal. Walaubagaimanapun, ia boleh menyebabkan gangguan perasaan yang mungkin memberi impak kepada kehidupan harian.

Kebanyakan masa, gynaecomastia tidak memerlukan sebarang rawatan. Apa yang diperlukan ialah pemeriksaan berjadual untuk mengetahui perkembangan penyakit ini. Sebilangan besar gynaecomastia akan hilang dalam masa dua hingga tiga tahun.

Untuk kes gynaecomastia yang berpunca dari sebab tertentu seperti ubat dan penyakit, keadaan pesakit akan lebih baik apabila penyakit itu dirawat atau ubat tersebut dihentikan atau diganti dengan ubat lain.

Penggunaan beberapa jenis ubat saperti tamoxifen, clomiphene dan letrozol mungkin dapat membantu mengubah kesan ketidakseimbangan hormon. Walaubagaimanapun, rawatan sebegini belum di terima secara menyeluruh.

Rawatan secara endokrin pula hanya berkesan pada dua hingga tiga tahun pertama. Selepas itu gynaecomastia akan menjadi keras akibat fibrosis.

Buat masa ini, rawatan menggunakan ubat tidak berkesan dan ia memerlukan pembedahan untuk mengembalikan payudara kepada keadaan asal.

Pembedahan yang di lakukan termasuklah liposuction, gland excision, skin sculpture atau reduction mammoplasty.

Oleh kerana pembedahan ini berbentuk kosmetik, kebiasaannya ia tidak ditanggung oleh pihak insurans.

Gynaecomastia boleh didefinisikan sebagai pembesaran payudara di kalangan kaum lelaki yang tidak normal dan menyerupai payudara wanita.

Kebanyakan kes gynaecomastia tidak menyebabkan sebarang risko penyakit fizikal tetapi ia boleh menyebabkan gangguan perasaan yang mungkin memberi impak kepada kehidupan harian.

Sekiranya ia tidak berpunca dari penyakit atau ubatan tertentu, rawatan pada awalnya berbentuk konservatif. Pembedahan mungkin dilakukan selepas dua atau tiga tahun.

Terdapat juga pesakit yang tidak melakukan sebarang rawatan dan menerima hakikat hidup dengan keadaan yang ada.

0 comments: