Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.4.09

Tebuk leher ganti lamina



Dr. Mohd. Saffari Mohd. Haspani


SEGALANYA bermula tanpa disengajakan. Asalnya batuk yang tidak henti-henti, demam dan tidak selesa di seluruh badan. Pemeriksaan terakhir rupa-rupanya memberi berita yang cukup mengejutkan.

Tidak tahan dengan kesakitan yang sering membataskan pergerakannya, Abdul Razak Yunus, 59, mendapatkan rawatan termasuk menjalani beberapa ujian dan imbasan di bahagian tulang belakangnya.

Malah, jika tidak kerana desakan anaknya, pastinya sehingga hari ini Abdul Razak akan menganggap apa yang dialaminya itu hanya simptom demam biasa.


PEMBEDAHAN hanya melibatkan kawasan sepanjang 10 sentimeter.


“Apabila jari tangan tiba-tiba membengkok dan kadangkala kebas, anak saya menggesa saya berjumpa dengan doktor pakar. Setelah pemeriksaan dan imbasan MRI dilakukan, mereka mendapati cakera (disk) tulang belakang saya telah beralih tempat.

“Menurut doktor, pergerakan cakera yang menyokong tulang belakang tersebut telah mengakibatkan saraf tunjang saya dihimpit,” katanya yang semasa ditemui baru saja menjalani pembedahan.

Disebabkan himpitan tersebut, tangan dan kakinya menjadi kejang malah menyentap-nyentap pada masa tertentu.

Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Pembedahan Saraf Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Saffari Mohd. Haspani, berkata simptom tersebut telah mengganggu kawasan leher atau torasik. Justeru, tanpa pembedahan, suara pesakit kemungkinan akan hilang.

Bukan itu sahaja, keupayaan pesakit untuk menelan makanan juga akan terjejas kerana kesakitan dialami setiap kali berlakunya pergerakan di kawasan antara leher dan tulang belakang.


KEDUDUKAN plat titanium setelah siap dipasang di kedudukannya.


Bagi memulihkan pesakit, pembedahan dilakukan dengan membuka lamina sebelum cakera pada enam dan tujuh tulang belakang digantikan dengan plat bagi menstabilkan leher.

“Bahagian leher merupakan anggota yang paling banyak bergerak. Lebih lama dibiarkan, cakera tersebut akan terus menipis serta menekan saraf tunjang yang akhirnya melumpuhkan pesakit,” jelasnya sambil menunjukkan gambar sinaran X pesakit.

Ujarnya lagi, plat yang menggantikan lamina akan disokong dengan penggunaan pelindung leher dalam tempoh tertentu. Ia memberi peluang kepada saraf di sekeliling lamina yang ditukar supaya serasi.

Tempoh pemulihan bagi pembedahan ini juga cukup singkat. Dalam kes Abdul Razak, ia mengambil masa tidak sampai 24 jam untuknya kembali berjalan dan makan seperti biasa.


PLAT titanium yang fleksibel ini mampu menyokong kedudukan saraf tunjang.


“Rawatan fisiologi akan membantu anggota tangan serta kakinya yang sedikit terjejas akibat himpitan saraf sebelum ini untuk kembali normal,” katanya.

Mohd. Saffari juga menambah, plat titanium khas yang menggantikan lamina tersebut adalah selamat untuk digunakan. Malah ia tidak perlu dilaras atau dibuka lagi.

Mohd. Saffari menjelaskan penipisan cakera pada lamina berlaku tanpa mengira usia dan jantina. Malah, golongan muda juga tidak terlepas daripada mengalaminya.

“Simptomnya juga berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Namun secara asasnya, ia melibatkan kekejangan dan kesakitan pada tulang belakang ketika melakukan aktiviti tertentu seperti mengangkat barang,” jelasnya.

0 comments: