19.5.09

Hospis dampingi pesakit



DR. FELICIA Chang Chui Fun dan jururawat, Sharon Victoria Dabi mengadakan lawatan ke rumah pesakit untuk melihat keadaan mak cik Timah.


JIKA anda orang Alor Setar, tentu anda mengetahui mengenai kewujudan sebuah klinik yang popular suatu ketika dahulu iaitu Maha Clinic.

Bagi yang belum mengetahui, klinik tersebut sebenarnya sebelum ini adalah klinik yang dimiliki oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia juga turut disertai oleh isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Istimewanya klinik ini ialah kedua-dua doktor tersebut memberi perkhidmatan rawatan perubatan kepada para pesakit tanpa mengenakan bayaran khusus tetapi terserah kepada keikhlasan masing-masing.

Satu lagi keistimewaan klinik itu ialah Dr. Mahathir ketika menjalankan tugasnya turut meluangkan masanya untuk mengunjungi pesakit yang tidak boleh bergerak di rumah mereka.

Itu yang membuatkan sesiapa sahaja pesakit atau saudara mara mereka yang pernah mendapat rawatan di klinik itu tidak pernah melupai jasa kedua-dua doktor Melayu terawal tersebut.

Walaupun berbeza tujuan tetapi berasaskan konsep yang sama, sebuah pertubuhan sukarela telah ditubuhkan bagi memberikan perkhidmatan mengunjungi pesakit-pesakit tenat dan sukar diubati seperti kanser, AIDS, saraf dan sebagainya di rumah mereka.

Badan amal yang dikenali sebagai Hospis Malaysia itu, kakitangan dan sukarelawannya sanggup mengenepikan semua rintangan untuk memberi sedikit perhatian istimewa kepada pesakit kronik dengan mengunjungi mereka, biarpun menyedari antara mereka tiada pertalian darah.

Badan yang ditubuhkan pada tahun 1991 itu hadir mencurahkan bakti dengan menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh kepada pesakit merangkumi aspek fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit dikunjungi.

Percuma

Menariknya, khidmat yang dicurahkan itu diberikan secara percuma untuk semua lapisan masyarakat terutama di sekitar Lembah Klang tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan umur.

“Pesakit yang menghidapi penyakit yang tenat tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang perhatian. Memang, mereka boleh menjalani pemeriksaan di hospital.

“Tetapi, pihak hospital biasanya tidak membuat susulan di rumah sedangkan ada kalanya timbul masalah baru apabila pesakit sudah keluar hospital.

“Di sinilah, Hospis Malaysia memainkan peranan. Setiap kali kami berkunjung ke rumah pesakit, mereka kami layan seperti orang biasa. Kami tidak hanya menumpukan perhatian kepada penyakit yang dideritai pesakit, sebaliknya mereka dirawat secara menyeluruh termasuk emosi dan kerohanian,” kata Dr. Felicia Chang Chui Fun.

Tiga tahun memberi khidmat di Hospis Malaysia, Dr. Felicia sentiasa meletakkan kepentingan pesakit di tangga teratas dan akan berada di sisi mereka pada bila-bila masa sahaja apabila khidmatnya diperlukan.

Jelas doktor muda ini, setiap tahun sebanyak 1,500 pesakit akan dirujuk ke pusat itu. Angka tersebut tidak termasuk jumlah pesakit sedia ada yang sedang menerima khidmat badan amal tersebut.

Bagaimanapun katanya, pesakit yang ingin mendapatkan khidmat Hospis Malaysia perlu terlebih dahulu mendapatkan surat rujukan daripada doktor yang merawat mereka.

Jelas beliau, rujukan itu adalah bagi memudahkan Hospis Malaysia merujuk kembali kepada doktor yang merawat pesakit seandainya ada masalah atau sebarang kemusykilan berhubung penyakit yang dihidapi pesakit.

“Sebaik pesakit dirujuk pada pusat ini, kita akan menghubungi pesakit untuk mendapatkan persetujuan sama ada mereka berminat atau tidak menerima perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sebabnya, tidak semua pesakit mahukan khidmat kami. Sekiranya pesakit bersetuju, barulah kami memulakan usaha merawat pesakit di mana jururawat paliatif Hospis Malaysia akan bertemu pesakit dan membuat penilaian tentang keadaan pesakit.

“Khidmat kami melibatkan penjagaan paliatif harian dan penjagaan paliatif di rumah. Ini bermaksud, selain pesakit datang ke pusat Hospis Malaysia di Cheras dengan kenderaan khas yang disediakan dan melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan, kami juga akan membuat lawatan ke rumah pesakit,” ujarnya.

Tambah Dr. Felicia, sebenarnya jika pesakit dapat dirujuk lebih awal iaitu pada peringkat awal penyakit adalah lebih baik agar khidmat yang bakal diberikan tidak terbatas kepada aspek fizikal semata-mata.

Sebaliknya pelbagai usaha dapat dilakukan termasuk perihal sosial dan emosi yang turut membantu dalam memberikan satu kehidupan yang lebih baik kepada pesakit.

Mungkin ramai masih keliru terhadap peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh badan amal itu. Ada yang beranggapan hadir ia untuk membantu pesakit ‘pergi’ dengan aman. Tidak kurang yang menyangkakan bahawa mereka menyediakan jururawat bagi menjaga pesakit selama 24 jam di rumah.

Hakikatnya, bukan itu yang dilakukan Hospis Malaysia. Penjagaan paliatif yang ditawarkan memang untuk pesakit yang menghidapi penyakit yang tenat seperti barah, AIDS, penyakit saraf dan ada juga kanak-kanak yang dirujuk kepada pusat itu antaranya mereka yang menghidapi jantung berlubang dan leukemia.

Tetapi, objektif pusat itu adalah membantu pesakit mempertingkatkan kualiti hidup mereka sementara menghadapi penyakit tenat dengan mengambil kira penjagaan dari segi pengurusan kesakitan dan pengawalan gejala penyakit serta pemantauan aspek-aspek psikologi, sosial dan kerohanian.

Kehidupan lebih bermakna

“Sebab itu, sepanjang pesakit bersama Hospis Malaysia, kami cuba membantu mereka dalam menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan yang lebih bermakna dan ceria.

“Sekiranya ada ubatan yang diberikan, ia sebenarnya bertujuan memberi kelegaan daripada kesakitan, bukannya membantu mereka ‘pergi’ dengan aman.

“Biarpun, mungkin mereka (pesakit) akhirnya akan pergi meninggalkan kita, tetapi sebelum itu berilah mereka satu kehidupan bermakna,” kata Dr. Felicia.

Namun jelas Dr. Felicia lagi, penjagaan paliatif yang ditawarkan bukannya untuk memberi harapan yang rawatan itu mampu menyembuhkan mereka, tetapi apa yang penting agar pesakit memperoleh kualiti hidup yang lebih baik sehingga ke akhir hayat mereka.

Dalam pada itu katanya, pesakit juga perlu diberikan maklumat yang mencukupi dan tepat khususnya berkaitan penyakit yang dihidapinya agar mereka mempunyai keyakinan diri untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat.

Berpeluang mengikuti Dr. Felicia bersama jururawat, Sharon Victoria Dabi melawat seorang pesakit yang menerima perkhidmatan badan amal itu, memberi sedikit gambaran tentang tanggungjawab mereka sebagai pasukan perubatan Hospis Malaysia.

Sebagai memberikan satu gambaran baru kepada masyarakat tentang peranan badan amal itu, sengaja mereka memilih seorang pesakit yang sedang melalui proses penyembuhan daripada penyakit barah payu dara yang dihidapinya dan kini melalui kehidupan mendatang dengan lebih ceria dan positif.

Bukannya apa, sebenarnya tidak semua pesakit yang dirujuk kepada Hospis Malaysia menemui ajal, malah sebahagian masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan lebih baik.

Bertolak dari Hospis Malaysia, kami bergerak ke kediaman Timah Wahab, yang bertempat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Ketibaan kami disambut mesra wanita berusia 51 tahun itu. Nyata kemesraan sudah terjalin antara mereka. Malah, menariknya, melihatkan keadaan Timah kala itu sukar menjangkakan bahawa wanita tersebut merupakan pesakit kanser payu dara.

Membahasakan dirinya mak cik, Timah disahkan menghidap barah payu dara lima tahun lalu. Memang, mulanya dia berasa kehidupan dia telah musnah, tetapi mak cik Timah kini lebih yakin untuk menghabiskan masa tuanya dengan sokongan keluarga juga Hospis Malaysia.

Pertemuan dengan badan amal itu pada tahun 2007 membawa kebahagiaan kepada diri mak cik Timah. Apatah lagi selepas menjalani pembedahan, Makcik Timah mengalami sakit di bahagian tulang.

Kesakitan yang dirasai itu disebabkan barah masih ada dan melekat pada bahagian tersebut. Namun, kini ia beransur reda, sebaik meluahkan apa yang dialami serta lalui kepada jururawat Hospis Malaysia yang kerap melawatnya.

“Dulu, sebaik disahkan menghidap kanser, ingatkan hidup saya akan menjadi bertambah teruk. Tetapi, sebenarnya ia menjadi lebih baik daripada sebelumnya apatah lagi dengan adanya sokongan keluarga dan adik-beradik.

“Apatah lagi, jururawat Hospis Malaysia kerap melawat. Sebulan antara dua atau tiga kali mereka akan datang melihat keadaan makcik. Sekiranya timbul masalah baru, mak cik boleh terus menghubungi mereka untuk memberitahu mengenainya,” katanya sambil mengukir senyuman di bibir.

Kehidupannya menjadi lebih bermakna dan dirinya juga seakan-akan mendapat satu semangat baru untuk meneruskan kehidupan.

Biarpun, kala diberitahu mengenai badan amal tersebut, mak cik Timah langsung tidak mengetahui mengenainya, tetapi kini dia bersyukur dipertemukan dengan Hospis Malaysia.

“Selepas pembedahan, makcik merasai sakit tulang hingga susah hendak mengangkat tangan. Tetapi,sebaik mengadu mengenai kesakitan itu kepada Hospis Malaysia, mereka mencari ubat yang boleh mengawal kesakitan tersebut.

“Lima hari sahaja makcik sukar bergerak. Selepas itu, mak cik sudah kembali aktif malah rasanya sekarang lebih aktif berbanding dahulu,” katanya gembira.

Dalam pertemuan itu, mak cik Timah turut mengambil kesempatan bertanya lebih lanjut tentang penyakit barah kepada Dr. Felicia untuk menambahkan lagi pengetahuannya tentang penyakit tersebut.

Sementara itu tambah Dr. Felicia, pesakit sebenarnya perlu mendapat cukup maklumat tentang penyakit yang dihidapi mereka. Andai mereka mengetahuinya, ia akan lebih menenangkan hati mereka. Jika tidak mendapat maklumat yang betul atau langsung tidak diberitahu mengenainya, itu yang menyebabkan timbul runsing di hati mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa. Sekiranya pesakit didapati berada dalam keadaan tenat, lawatan yang lebih kerap akan dilakukan. Tetapi, andai mereka sudah stabil, lawatan dikurangkan dalam dua atau tiga minggu sekali.

Katanya lagi, biasanya lawatan ke rumah pesakit dilakukan oleh jururawat. Dalam pembahagian kerja, pihak Hospis Malaysia telah membahagikan Lembah Klang ini kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian diselia oleh seorang jururawat bertauliah. Semua jururawat di pusat terlatih dengan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh.

“Jururawat inilah yang akan membuat lawatan ke rumah pesakit dan menghabiskan masa mereka dengan pesakit. Tidak semua lawatan akan turut dihadiri oleh doktor.

“Tetapi, semua jururawat yang bertugas dipantau oleh doktor. Bagaimanapun, jika khidmat doktor diperlukan, kita tetap akan pergi bertemu dengan pesakit tersebut,” katanya.

Setakat ini terdapat empat doktor dan sembilan jururawat terlatih yang berkhidmat dengan Hospis Malaysia. Mungkin, bilangan itu tidak mencukupi atau kecil berbanding jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan dan perubatan paliatif. Masalahnya, negara sememangnya kekurangan doktor dan jururawat yang terlatih dalam bidang tersebut.

Justeru, Hospis Malaysia mengalu-alukan mana-mana doktor dan jururawat yang ingin mengikuti latihan penjagaan paliatif anjuran pusat tersebut. Ini demi memastikan pesakit khususnya mereka yang tiada harapan sembuh dapat mempertingkatkan kualiti hidup mereka kala melalui hari-hari terakhir mereka.

0 comments: