2.5.09

Kosmetik daripada ramuan budu


SEBAHAGIAN besar masyarakat Malaysia khususnya di Pantai Timur hanya mengenali budu sebagai pembuka selera.

Ramuannya cukup mudah, iaitu ikan bilis yang diperam pada kepekatan garam yang tinggi. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa proses penapaian ini melibatkan aplikasi bioteknologi tradisional menggunakan mikroorganisme halofilik.

Selain berfungsi sebagai penambah perisa makanan budu juga dikenalpasti berpotensi untuk pelbagai kegunaan.

Di Sirim Berhad, sekumpulan penyelidik dari Pusat Alam Sekitar dan Teknologi Bioproses yang diketuai oleh Hamidah Sidek telah mengambil inisiatif untuk meneroka keupayaan ekstrak budu sebagai bahan aktif di dalam produk kosmetik.

Katanya, kajian aktiviti biologi secara in-vitro ke atas ekstrak budu telah dijalankan secara saintifik dan didapati ia berpotensi sebagai agen kosmeseutikal.

Beliau menjalankan penyelidikan itu bersama kumpulannya terdiri daripada Noorullhamezon Mohd Noor, Rozanida Abd Rahman, Suzaini Badrudin, Harmayumi Wahid, Mohd. Helme Mohd. Helan, Jaafar Abdullah dan Yap Say Moi.

Ujian keselamatan ke atas ekstrak budu seperti kandungan logam berat, ujian mikrob serta toksikologi menunjukkan ia selamat digunakan.

Beliau memberitahu, bahan aktif utama yang terkandung di dalam ekstrak tersebut adalah gluthathione yang memang terkenal sebagai agen pencerahan dan anti-penuaan.

Dari penemuan di atas formula produk kosmetik berasaskan ekstrak budu telah dibangunkan yang mana rangkaian produk penjagaan kulit tersebut terdiri daripada

l Refreshing Cleanser

l Renewal Skin Crème

l Regenerative Serum

Produk di atas diklasifikasikan sebagai selamat iaitu tidak merengsakan kulit dan mata.

Hamidah berkata, ujian klinikal secara in-vivo ke atas 30 peserta berumur antara 25 hingga 55 tahun menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi kelembapan, keanjalan dan pencerahan kulit.

Kelebihan ekstrak budu:

l Melawan radikal bebas

l Merangsang pertumbuhan sel kulit

l Menggalakkan penghasilan kolagen

l Merencat pengekspresan melanin

l Melindungi kulit daripada sinaran ultra lembayung

0 comments: