19.5.09

Risiko DVT selepas pembedahan


RAMAI yang beranggapan selepas pembedahan pemulihan fungsi sistem rangka serta sendi kaki dapat membantu pergerakan menjadi lebih sempurna. Namun, bagaimana jika anda mendapati tiba-tiba kaki anda membengkak? Kejadian itu cenderung kepada masalah sistem vena trombosis (VTE) di mana darah berubah daripada cecair menjadi pepejal dan membentuk bekuan darah (trombus),

Mungkin ramai yang tidak menyedari antara komplikasi bahaya selepas pembedahan iaitu pembentukan darah beku di bahagian kaki (deepvein thrombosis) atau DVT.

Lebih parah lagi, jika darah beku itu pecah ia akan menyekat salur darah ke paru-paru (pulmonary embolism-PE).

Sekiranya masalah ini tidak diatasi pada peringkat awal, ia boleh menyebabkan kematian.

Penyakit ini adalah disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil daripada aktiviti yang pasif dan rehat berlebihan.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pesakit mengalami DVT seperti faktor umur, jantina khususnya wanita, obesiti, tidak boleh berjalan (lebih dari empat hari), hamil, mengambil estrogen dalam dos yang tinggi, penyakit berkaitan genetik seperti thrombophilia dan mereka yang mengalami masalah VTE .

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat 'rapuh' kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.

Ini disebabkan kebanyakan pesakit yang menjalani pembedahan sebenarnya berisiko mengalami darah beku pada salur darah. Jika darah beku itu pecah ia akan menyekat salur darah ke paru-paru.

Berdasarkan fakta perangkaan di England, DVT membunuh 25,000 pesakit setiap tahun manakala di Amerika Syarikat, 60,000 meninggal dunia akibat penyakit ini.

Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia, Dr Jamal Azmi Mohamad, memberitahu, pesakit yang menjalani pembedahan barah, lutut, pinggul, dan pelvik sebenarnya berisiko mengalami DVT.

Namun, ia tidak melibatkan keseluruhan pesakit kategori ini kerana kebanyakan kes melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan penggantian pinggul.

"Seperti penyakit-penyakit lain, DVT ini boleh dikawal sekiranya orang ramai menyedari pencegahan awal. Bagi yang berisiko, mereka boleh menggunakan ubat-ubatan pencegahan untuk mengurangkan DVT," ujarnya ketika bengkel media sempena minggu kesedaran minggu trombosis anjuran webershandwich di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor.

Berkongsi fakta DVT di Malaysia, Dr Jamal menjelaskan, ia bukan saja tidak banyak dirawat, malah tidak dapat dikesan.

Secara umum, dalam kajian tidak rasmi DVT di Malaysia, 62.5 peratus pesakit yang menjalani pembedahan gantian sendi lutut, gantian sendi pinggul dan patah tulang paha mengalami DVT.

"Umumnya, darah beku dalam salur darah disebut sebagai 'trombus'. Proses pembentukannya disebut 'trombosis'. Trombosis boleh menyekat aliran darah malah sebahagian darah beku boleh pecah menyebabkan salur darah bertambah tersekat hingga menyekat bekalan darah ke organ penting," katanya.

Dalam pada itu, pesakit akan berasa dada seakan-akan dicucuk benda tajam, sesak atau pendek nafas dan batuk darah apabila mengalami DVT. Ia sebenarnya sering terjadi selepas pembedahan dan kawasan yang terjejas sakit, berwarna merah dan membengkak.

Sementara itu. Pensyarah Kanan Jabatan Ortopedik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azhar Merican, berkata, kebanyakan kes darah beku pada salur darah terjadi pada vena di kaki atau pelvis.

"Keadaan DVT menyebabkan kaki pesakit bengkak, tidak selesa, kulit kaki kemerahan dan kaki berasa panas yang menjadi simptom pertama darah beku terbentuk. Walaupun ia tidak semestinya DVT, pesakit perlu berjaga-jaga dengan simptom-simptom ini," katanya.

Hakikatnya, walaupun DVT tidak mengancam nyawa tetapi jika dikaitkan dengan komplikasi lain, ia boleh menyebabkan kematian pesakit.

Antara komplikasi utama DVT ialah PE yang menyaksikan arteri dari jantung ke paru-paru tersekat.

Menyentuh tentang pengaliran dalam sistem badan manusia, darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, iaitu sisa metabolisme.

Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat 'rapuh' kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.

0 comments: