28.5.09

Jangan jauhi matahari


Kekurangan vitamin D punca jisim tulang warga kota menyusut dengan pantas.


MENDEDAHKAN kulit selama 10 minit kepada sinaran matahari pagi dapat menghasilkan vitamin D yang mencukupi.


“KITA mungkin menitikberatkan pengambilan kalsium namun seringkali kita terlupa akan kepentingan vitamin D dalam penjagaan kesihatan harian,” ulas Pakar Nutrisi dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Madya Dr. Winnie Chee.

Ujarnya, tanpa vitamin D, penyerapan kalsium dalam tubuh sukar dilakukan. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ia akan mempercepatkan berlakunya penyusutan jisim dalam tulang atau dikenali sebagai osteoporosis.

Berdasarkan penyelidikan Winnie, tubuh rakyat Malaysia lazimnya tidak menghasilkan vitamin D yang mencukupi kerana mereka gemar menjauhkan diri daripada sinaran matahari.

“Saya akui ramai antara kita terutama wanita suka berjoging dan bersenam. Namun faktor pemilihan tempat dan masa membuatkan mereka tidak sihat secara total,” katanya.

Menurut Winnie, bersenam pada awal pagi iaitu sebelum matahari naik serta lebih selesa dilakukan di dalam gimnasium tertutup membuatkan penghasilan vitamin D secara semula jadi sukar berlaku.

Jelasnya lagi, vitamin D3 yang penting untuk kulit terhasil apabila 7-dehydrocholestrol bertindak balas dengan ultra-violet dalam kiraan gelombang antara 270-300 nanometer (nm).


DR. WINNIE CHEE


“Walaupun kehadiran gelombang ini hanya selama 10 hingga 15 minit semasa matahari terbit, pendedahan terhadapnya amat penting untuk pembentukan vitamin D,” ungkapnya.

Winnie turut mendedahkan bahawa wanita di bandar, terutama di Kuala Lumpur, bukan sahaja mengalami penyusutan jisim tulang malah vitamin D.

Tanpa pendedahan yang secukupnya terhadap matahari, kandungan vitamin D dalam tubuh akan berkurangan dengan pantas.

Faktor ini, secara tidak langsung membuktikan terdapat kaitan antara kehilangan kalsium dalam tubuh dan vitamin D. Tanpa kombinasi antara kedua-duanya, kesihatan tulang mudah terjejas.

“Meskipun terdapat suplemen vitamin D di pasaran, namun mendapatnya secara semula jadi amat penting. Justeru, jangan takut untuk terkena pancaran matahari, terutama pada awal pagi,” tegasnya.

Lebih daripada itu, vitamin D juga didapati mampu menjadi agen pelindung kepada mereka yang menghidap kanser khususnya kanser kolon, prostat, dan payu dara.

Walaupun kajian masih dilakukan, namun keputusan awal menunjukkan terdapat kesan positif dalam membantu melindungi orang ramai daripada risiko kanser.

Dalam pada itu, pengambilan vitamin secara berlebihan juga memberi impak tersendiri pada kesihatan seseorang seperti muntah, pening, lemah anggota badan dan kehilangan berat badan.

“Lebih membimbangkan, dos berlebihan ini akan meningkatkan tahap kalsium dalam darah pesakit termasuk mengakibatkan ritma jantung yang abnormal dan kekeliruan.

“Jadi, amat mustahak vitamin D diambil mengikut dos yang betul dan diawasi serta dinasihati oleh pakar kesihatan,” katanya.

– SHANIKA ABDULLATIB

Sumber vitamin D

MAKANAN:

Daging, ikan

- Salmon, tuna, mackerel
- Minyak ikan adalah sumber terbaik vitamin D iaitu sebanyak 1,360 IU dalam setiap hidangan
- Telur (20IU)
- Keju (12IU)
- Susu tanpa lemak (98IU)
- Bijirin segera (40IU)

Pendedahan pada matahari

Sinaran lembayung (UV) radiasi B dengan gelombang antara 290 hingga 315nm mampu membenam ke dalam kulit lalu menukarkan 7-dehydrocholesterol kepada pravitamin D3 yang akhirnya akan menjadi vitamin D3.

Radiasi UVB tidak dapat melalui cermin. Jadi pendedahan matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak akan menghasilkan vitamin D.

* IU - Unit Antarabangsa

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

0 comments: