19.5.09

Periksa dan rawat segera



PEMERIKSAAN kesihatan dan saringan penyakit tertentu dapat membantu mengelak atau mengawal perkembangan penyakit kronik atau yang berjangkit.


MINGGU ini menyambut Hari Hipertensi Sedunia dan juga Hari Hepatitis Sedunia 2009. Namun, seperti kebanyakan penyakit kronik lain, masalah hati mahupun tekanan darah tinggi biasanya pasti diiringi atau disusuli bermacam penyakit lain.

Oleh itu, apa yang lebih penting adalah penekanan ke arah pencegahan mana-mana penyakit kronik mahupun penyakit berjangkit, melalui ujian saringan. Jika tidak dapat dielakkan juga penyakit-penyakit tersebut, biarlah ia dikesan dari peringkat awal di mana rawatan lebih mudah, berkesan dan juga tidak terlalu mahal.

Saringan moden

Walaupun dunia semakin maju dan moden, masih ramai yang kurang mementingkan tahap kesihatan semasa mereka. Kebanyakannya cuma mula panik bila munculnya penyakit berjangkit yang mungkin mengancam nyawa diri dan keluarga. Dengan pengesahan kes Influenza A (H1N1) di Malaysia, tentu makin ramai yang bimbang akan tahap kesihatan dan keselamatan dalam negara.

Ujian saringan merujuk kepada pemeriksaan kesihatan individu yang mempunyai risiko penyakit tertentu, kronik mahupun yang berjangkit. Dengan melihatkan pada faktor risiko dan kebarangkalian menghidap penyakit terbabit, doktor dapat menilai jika pesakit akan atau sudah menghidap penyakit tersebut.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Kuala Lumpur Heartcare (KLHC), Profesor Madya Dr. Mohamed Rafiq Ibrahim Marican menjelaskan tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam pencegahan penyakit masih boleh ditingkatkan.

"Dengan tahap kesedaran yang tinggi, maklumat faktor risiko dan juga teknologi terkini, penyakit yang hadir boleh dirawat.

"Ramai individu, termasuk golongan pengurus yang menyatakan mereka takut untuk mengetahui hasil keputusan ujian saringan. Tapi mereka perlu faham apa yang tidak diketahui itu yang membunuh," katanya.

Menurut beliau, masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

Beliau mendakwa, ramai pesakit di negara ini yang datang mendapatkan rawatan selepas keadaan sudah teruk, terutamanya untuk penyakit kronik.

Dr. Mohamed Rafiq menekankan pentingnya usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit yang boleh dicegah bagi memfokuskan usaha lebih kepada pencegahan daripada rawatan semata-mata.

Pembunuh utama

Penyakit berjangkit bersifat akut dan boleh mengancam nyawa dalam jangka pendek. Namun, pembunuh utama manusia di seluruh dunia masih lagi penyakit kronik seperti penyakit jantung koronari, strok, masalah buah pinggang, kanser mahupun diabetes dan hipertensi.

Dr. Mohamed Rafiq yang mempunyai kepakaran bertahun-tahun di United Kingdom memilih untuk kembali ke Malaysia kerana memikirkan masih banyak yang boleh ditingkat, terutamanya tahap kesedaran rakyat.

"Orang ramai perlu sedar akan faktor risiko yang boleh membawa kepada masalah jantung seperti seperti diabetes, kolesterol, hipertensi, merokok dan juga gaya hidup yang kurang bergerak.

"Penyakit jantung koronari kekal sebagai pembunuh nombor satu di seluruh dunia dan pilihan yang ada cuma pencegahan atau rawatan (jika sudah sakit)," tegasnya.

Menurut beliau, orang ramai perlu mendapatkan nasihat pakar jika tiba-tiba sakit pada dada, terutamanya jika mereka mempunyai risiko tinggi menghidap masalah jantung.

Beliau menyatakan tahap kesedaran mengenai pencegahan menjadi keutamaan seperti mana kesedaran mengenai kanser payudara dan serviks yang semakin tinggi di negara ini.

Cara pemakanan tempatan juga kini lebih banyak bergantung kepada makanan dari luar atau makanan siap diproses menambah beban kepada badan melalui peningkatan bahan kimia, garam, gula dan lemak berlebihan. Kenikmatan hidup yang cuma bertahan beberapa tahun ini biasanya akan disusuli dengan serangan mengejut penyakit kronik yang menjejaskan jantung, paru-paru, buah pinggang, hati, mata dan juga otak.

Saringan dapat memberi peluang kepada mereka yang berada di sempadan penyakit untuk mengubah cara hidup dan mengelak atau melengahkan perkembangan penyakit tersebut. Bagi yang sudah mula menghidap penyakit seperti hipertensi, diabetes mahupun salur darah tersumbat, saringan dapat mengesan masalah tersebut dari peringkat awal supaya rawatan segera dapat diberikan. Ini seterusnya dapat mengelakkan komplikasi teruk yang biasanya melibatkan kerosakan organ dan kepincangan sistem fungsi badan.

Kesan awal

Dr. Mohamed Rafiq memaklumkan ujian saringan dapat mengesan apa yang sukar dikesan melalui gejala penyakit.

"Masalah tekanan darah tinggi (hipertensi), diabetes mahupun kolesterol tinggi sukar dikesan melalui gejala semata-mata.

"Untuk itu, ujian darah, ujian tekanan dan juga imbasan dapat mengesan masalah tersebut dari peringkat awal lagi," ujarnya.

Ini kata beliau, memberi pilihan kepada pesakit sama ada untuk mengubah gaya hidup atau memulakan pengambilan ubat tertentu mengikut perkembangan penyakit yang mereka hadapi.

Tambahnya, sekitar 30 peratus kes jantung yang tidak disaring meninggal dunia sebelum sempat ke hospital.

Perubahan ragam denyut jantung juga dikatakan boleh membunuh jika gagal dikesan segera. Perkara sama juga ditekankan untuk strok yang melibatkan gumpalan darah yang menyumbat saluran darah pada otak atau pendarahan dalam otak yang boleh dicegah. Ujian saringan juga bukan memerlukan semua bentuk ujian dijalankan. Ujian dibuat mengikut faktor risiko pesakit yang berbeza mengikut individu.

Dalam pada itu, Dr. Mohamed Rafiq turut menekankan faktor sentuhan insan antara doktor dan pesakit.

"Doktor perlu meluangkan masa untuk mendengar masalah pesakit sebelum menulis sebarang maklumat atau preskripsi ubat.

"Selain itu, ilustrasi melalui model organ juga dapat membantu menjelaskan situasi sebenar penyakit yang mereka hadapi," jelasnya.

Beliau bagaimanapun memahami terdapat kelemahan dan kelebihan perkhidmatan hospital, terutamanya yang melibatkan jumlah kakitangan dan pesakit.

Katanya, doktor di hospital yang ramai pesakit mungkin sukar meluangkan banyak masa untuk menjelas atau membincangkan masalah pesakit.

Namun, bagi perkara kritikal seperti perkembangan penyakit dan juga ubat untuk rawatan perlu diberikan perhatian rapi supaya pesakit sendiri tidak keliru dengan maklumat yang diberikan.

Bagi mengelakkan kebanjiran pesakit yang hadir untuk rawatan, Dr. Mohamed Rafiq menyarankan kerjasama dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak swasta ditingkatkan ke arah pencegahan. Saringan dan pengesanan awal sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban rawatan di hospital di samping meningkatkan kualiti hidup pesakit serta memberi peluang jangka hayat yang lebih tinggi.

Dapatkan nasihat doktor anda tentang saringan penyakit mengikut faktor risiko yang ada, terutamanya gaya hidup, fizikal badan dan umur. Dapat pemeriksaan dan saringan berkala bagi memastikan penyakit dikesan awal dan tidak dibiarkan melarat sehingga terlalu teruk dan sukar dirawat lagi.

1 comments:

armouris said...

info tentang strok kat sini - Awasi Tanda-tanda Strok