Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28.5.09

Penemuan Kesihatan


TAHUKAH anda mengenai kebaikan avortemin, penemuan terbaru dalam bidang imbasan ultra bunyi? Bagaimana pula dengan risiko oral seks serta bahaya tempiasan alkohol? Ikuti ruangan Penemuan pada minggu ini untuk jawapannya.

Avortemin hilangkan parut

PENYELIDIKAN dibuat terhadap sejenis ubatan khas untuk menghilangkan kesan parut yang kini terbukti berkesan, menurut penyelidik di United Kingdom.




Ubat tersebut, Avotermin, akan disuntik ke bahagian parut yang akan bertindak mengurangkan kesannya tanpa meninggalkan tanda merah dan kesan jelas.

EKSTRA: Kekurangan pengambilan vitamin A dan C mampu mengundang risiko asma menurut satu kajian yang dijalankan selama 30 tahun. Menurut penyelidik dari Universiti Nottingham, terdapat peningkatan sebanyak 12 peratus berlakunya risiko asma ke atas mereka yang kekurangan dua jenis vitamin tersebut.

Imbas strok kanak-kanak

SATU pengimbas ultra bunyi yang membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit berkaitan darah, sickle, juga didapati mampu mengesan kehadiran strok.

Menurut Dr. Heather J. Fullerton dari Universiti California, semenjak mesin pengimbas ultrabunyi Transcranial Doppler (TCD) itu digunakan, kejayaan mengurangkan kejadian strok pada kanak-kanak mencapai hampir 80 peratus.

EKSTRA: Satu kajian di Perancis yang dikeluarkan dalam jurnal perubatan Lancet Neurology mendapati penggunaan acetaminophen pada suhu tubuh normal mampu mengurangkan risiko serangan strok pada peringkat pertama.

Ubat tersebut turut digunakan bersama Crestor, Lipitor dan Zocor dalam mengurangkan kandungan statin kolesterol.

Seks oral punca kanser tekak

PARA penyelidik memberi amaran bahawa sejenis virus dapat menyebabkan kanser tekak bagi mereka yang gemar melakukan seks oral. Menurut jurnal perubatan New England, risiko virus ini merebak adalah sembilan kali lebih tinggi bagi mereka yang melakukan seks oral dengan enam pasangan atau lebih.




EKSTRA: Wanita yang melahirkan anak ketika usia remaja berisiko menjadi gemuk berbanding rakan mereka yang tidak mengandung dalam usia yang sama. Dr. Erica P. Gunderson dari Kaiser Permanente di Oakland, California, AS berkata, keadaan ini berlaku kerana perkembangan remaja itu ketika melahirkan anak adalah tinggi dan sekali gus mempercepatkan proses kegemukan yang sepatutnya lambat berlaku.

Tempiasan alkohol sebabkan kanser

MENURUT hasil penyelidikan Institut Kebangsaan mengenai Alkohol dan Penyalahgunaan Alkohol Amerika Syarikat, tempiasan alkohol pada muka peminumnya mampu mengundang kanser gullet.




Enzim yang terdapat pada kulit menjadi kemerahan serta kesan ruam serius apabila ia bertindak balas dengan alkohol.

EKSTRA: Kaedah akupuntur yang digunakan bagi menghilangkan rasa panas yang dikaitkan dengan menopaus sebenarnya tidak membantu mengurangkannya, menurut ketua penyelidik dari Institut Perubatan Oriental Korea, Dr. Myeong Soo Lee.

Pil tiroid punca kerosakan hati


PENGGUNAAN pil bagi merawat tiroid pada kanak-kanak boleh menyebabkan kegagalan hati untuk berfungsi. Menurut Donald R. Mattison dari Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan AS, kebanyakan doktor menggunakan propylthiouracil atau methimazole bagi merawat kanak-kanak yang menghidap penyakit Graves di samping pembedahan serta iodin radioaktif.

EKSTRA: Kajian Archives of Pediatrics and Adolescent Medicine mendapati ada hubung kait antara pengawalan diri dan kenaikan berat badan di kalangan kanak-kanak.

Obesiti punca sindrom kaki lenguh





BUKAN saja menjejaskan organ jantung, obesiti juga berupaya memberi risiko terhadap kaki pesakit. Pakar neurologi berpendapat mereka yang menghidap obesiti terutama di bahagian perut berisiko mengalami sindrom kelenguhan kaki atau RLS.

RSL merupakan keadaan di mana kaki pesakit terus berasa lenguh walaupun mereka sedang relaks. Ini disebabkan oleh keadaan saraf yang tidak dapat mengawal pergerakan kaki untuk berehat.

EKSTRA: Hendak membantu kanak-kanak turunkan berat badan? Berikan mereka lebih banyak air kosong berbanding minuman bergas atau soda, kata Dr. Claire Wang dari Universiti Columbia di New York

Jangan jauhi matahari


Kekurangan vitamin D punca jisim tulang warga kota menyusut dengan pantas.


MENDEDAHKAN kulit selama 10 minit kepada sinaran matahari pagi dapat menghasilkan vitamin D yang mencukupi.


“KITA mungkin menitikberatkan pengambilan kalsium namun seringkali kita terlupa akan kepentingan vitamin D dalam penjagaan kesihatan harian,” ulas Pakar Nutrisi dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Madya Dr. Winnie Chee.

Ujarnya, tanpa vitamin D, penyerapan kalsium dalam tubuh sukar dilakukan. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ia akan mempercepatkan berlakunya penyusutan jisim dalam tulang atau dikenali sebagai osteoporosis.

Berdasarkan penyelidikan Winnie, tubuh rakyat Malaysia lazimnya tidak menghasilkan vitamin D yang mencukupi kerana mereka gemar menjauhkan diri daripada sinaran matahari.

“Saya akui ramai antara kita terutama wanita suka berjoging dan bersenam. Namun faktor pemilihan tempat dan masa membuatkan mereka tidak sihat secara total,” katanya.

Menurut Winnie, bersenam pada awal pagi iaitu sebelum matahari naik serta lebih selesa dilakukan di dalam gimnasium tertutup membuatkan penghasilan vitamin D secara semula jadi sukar berlaku.

Jelasnya lagi, vitamin D3 yang penting untuk kulit terhasil apabila 7-dehydrocholestrol bertindak balas dengan ultra-violet dalam kiraan gelombang antara 270-300 nanometer (nm).


DR. WINNIE CHEE


“Walaupun kehadiran gelombang ini hanya selama 10 hingga 15 minit semasa matahari terbit, pendedahan terhadapnya amat penting untuk pembentukan vitamin D,” ungkapnya.

Winnie turut mendedahkan bahawa wanita di bandar, terutama di Kuala Lumpur, bukan sahaja mengalami penyusutan jisim tulang malah vitamin D.

Tanpa pendedahan yang secukupnya terhadap matahari, kandungan vitamin D dalam tubuh akan berkurangan dengan pantas.

Faktor ini, secara tidak langsung membuktikan terdapat kaitan antara kehilangan kalsium dalam tubuh dan vitamin D. Tanpa kombinasi antara kedua-duanya, kesihatan tulang mudah terjejas.

“Meskipun terdapat suplemen vitamin D di pasaran, namun mendapatnya secara semula jadi amat penting. Justeru, jangan takut untuk terkena pancaran matahari, terutama pada awal pagi,” tegasnya.

Lebih daripada itu, vitamin D juga didapati mampu menjadi agen pelindung kepada mereka yang menghidap kanser khususnya kanser kolon, prostat, dan payu dara.

Walaupun kajian masih dilakukan, namun keputusan awal menunjukkan terdapat kesan positif dalam membantu melindungi orang ramai daripada risiko kanser.

Dalam pada itu, pengambilan vitamin secara berlebihan juga memberi impak tersendiri pada kesihatan seseorang seperti muntah, pening, lemah anggota badan dan kehilangan berat badan.

“Lebih membimbangkan, dos berlebihan ini akan meningkatkan tahap kalsium dalam darah pesakit termasuk mengakibatkan ritma jantung yang abnormal dan kekeliruan.

“Jadi, amat mustahak vitamin D diambil mengikut dos yang betul dan diawasi serta dinasihati oleh pakar kesihatan,” katanya.

– SHANIKA ABDULLATIB

Sumber vitamin D

MAKANAN:

Daging, ikan

- Salmon, tuna, mackerel
- Minyak ikan adalah sumber terbaik vitamin D iaitu sebanyak 1,360 IU dalam setiap hidangan
- Telur (20IU)
- Keju (12IU)
- Susu tanpa lemak (98IU)
- Bijirin segera (40IU)

Pendedahan pada matahari

Sinaran lembayung (UV) radiasi B dengan gelombang antara 290 hingga 315nm mampu membenam ke dalam kulit lalu menukarkan 7-dehydrocholesterol kepada pravitamin D3 yang akhirnya akan menjadi vitamin D3.

Radiasi UVB tidak dapat melalui cermin. Jadi pendedahan matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak akan menghasilkan vitamin D.

* IU - Unit Antarabangsa

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Gagal rancang beri tekanan kepada warga tua



KESIHATAN fizikal dan mental mesti dijaga seiring dengan peningkatan usia.



DR. ANG KIM TENG





TIDAK dinafikan, kesedaran terhadap kesihatan fizikal semakin meningkat di kalangan warga emas. Malah, di mana-mana saja, warga emas dilihat semakin menitikberatkan aspek pemakanan serta melakukan senaman secara konsisten bagi menghindari penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Namun tidak begitu apabila bercakap tentang kesihatan mental.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr. Ang Kim Teng, kegagalan menyiapkan benteng pertahanan mental sebelum bersara adalah antara faktor utama warga emas kerapkali mengalami tekanan dan terdedah kepada kemurungan.

“Kesilapan utama ialah selepas bersara baru hendak merancang. Malah menerusi pemerhatian dan kajian saya, ramai yang hanya mengambil berat mengenai kesihatan fizikal berbanding mental,” katanya.

Ujar Kim Teng, sudah tiba masanya kesihatan mental bagi mereka yang menuju ke usia emas ini dititikberatkan. Jelasnya, perkara ini bukan sukar untuk dilakukan walaupun sudah mencecah umur 70 tahun.

Jelasnya lagi, kesihatan mental yang tidak dijaga akan membawa kepada gangguan emosi yang parah berikutan usia mereka yang semakin lanjut.

“Dengan menanam pemikiran positif, secara tidak langsung, warga emas ini menguatkan sistem imunisasi, menjadi lebih gembira dan kuat dalam menghadapi hari tua,” ujarnya pada pelancaran program Golden Third Age (G3A).

Bukan sekadar itu, kurang kesedaran mengenai kekuatan kuasa emosi turut menjadi punca mengapa ramai warga emas di Malaysia mudah menghadapi tekanan serta berasa kesunyian.

Kim Teng juga menambah, jangan terkejut sekiranya idea membunuh diri juga wujud dalam pemikiran warga emas akibat gangguan emosi yang tidak dirawat dari awal.

“Dengan jumlah warga emas yang mencecah dua juta orang, jelas sekali Malaysia sedang menuju ke arah penuaan penduduk yang dijangka melebihi 10 peratus menjelang tahun 2025.

“Justeru, tanpa kekuatan emosi dan fizikal, nescaya kita tidak dapat mengharungi usia emas dengan sempurna,” tegasnya yang berpendapat tiada kerja yang khusus, anak-anak yang telah besar serta berpindah ke persekitaran baru juga menjadi sebahagian faktor kepada kemurungan dan gangguan emosi lain yang dihadapi oleh golongan ini.

Penemuan Kesihatan


MANDI peluntur dan morning sickness ada kebaikannya? Ikuti ruangan Penemuan hari ini untuk jawapannya.

Mandi peluntur pulihkan ekzema

PELUNTUR pakaian yang dicairkan pada paras tertentu menjadi kaedah rawatan paling mudah, murah dan selamat bagi penyakit ekzema di kalangan kanak-kanak.




Sepasukan penyelidik penyakit kulit dari Sekolah Perubatan Universiti Northwestern, Chicago, membuktikan penggunaan setengah penutup peluntur yang dicampur ke dalam tab mandi standard mampu memulihkan penyakit tersebut sebanyak lima kali ganda berbanding rawatan biasa dengan pemantauan doktor.

EKSTRA: Menurut kajian Dr. Raynard Kington dari Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), perubahan dalam gen memberi impak yang cukup besar dalam perkembangan autisme pada diri seseorang, termasuk sel otak.

Kod bar DNA halang jangkitan

KETUA penyelidik dari Universiti Ghana, Profesor Daniel Boakye mendedahkan terdapatnya jalinan DNA yang bertindak sebagai cap jari untuk mengenal pasti dan seterusnya menghalang penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti lymphatic filariasis atau untut.




EKSTRA: Saintis mendakwa berjaya mencipta cip mikro bagi mengesan penyakit malaria dalam tempoh beberapa minit dengan meletakkan sampel darah di atas cip mikro tersebut.

Bahaya pembersih pengilat kuku

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendapati sesetengah pembersih pengilat kuku boleh menyebabkan ruapan kimia dan kini ditarik semula dari pasaran. Produk kecantikan ini yang tidak menepati piawaian kesihatan mengundang bahaya pada jari seperti kelecuran.




EKTRA: Ubatan Procrit dan Aranesp bagi merawat pesakit kanser serta melawan kepenatan akibat anemia dikatakan boleh mengakibatkan darah beku yang serius serta kematian.

Morning sickness jadikan bayi lebih pintar

BAYI yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami alahan pagi atau morning sickness berkembang menjadi kanak-kanak lebih pintar berbanding ibu yang tidak mengalami muntah atau loya.




Kajian Pengarah Program Ibu Berisiko di Hospital bagi Kanak-Kanak Sakit, Toronto, Dr. Gideon Koren mendapati pencapaian dan perkembangan bayi yang ibunya tidak mengalami morning sickness adalah lebih perlahan.

EKSTRA: Menurut Journal of Pediatrics, loya dan muntah ketika hamil merupakan petanda kandungan yang sihat serta mengurangkan risiko keguguran.

Kulit bersisik tidak berjangkit


Satu kes dalam 300,000 kelahiran menjadikan penyakit ini unik.


IRSHAD menghidap penyakit kulit bersisik sejak berusia enam bulan.



DR. CHOY YEW SING






PESAKIT kulit bersisik menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.


"DIPEGANG salah, didukung salah. Yang dia mahu ialah badannya sentiasa sejuk dan digaru selalu," luah Azizan Mohd. Yusof, 50, dari Kampung Siput, Baling, Kedah, mengenai anaknya, Irshad, dua tahun, yang menghidap sejenis penyakit kulit kronik sejak berumur enam bulan.

Malah setiap kali anaknya itu menangis kerana pedih akibat peluh, hati Azizan dan isteri diruntun pilu. Apatah lagi melihat anggota badan permata hati mereka itu penuh dengan kepingan kulit yang mengelupas.

Bukannya sedikit, bahkan setiap inci tubuh anaknya itu, dari hujung kepala ke hujung kaki, mengelupas hingga menegangkan struktur permukaan kulitnya.

Menurut Pakar Runding Genetik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing, penyakit kulit bersisik yang berpunca daripada faktor genetik itu amat jarang berlaku.

"Ichthyosis terjadi dalam satu daripada 300,000 kelahiran. Ia melibatkan gen pesakit yang bermutasi," kata doktor pakar yang merawat Irshad ini.

Yew Sing berkata, perubahan genetik yang berlaku secara spontan atau menerusi salasilah keluarga merupakan antara punca penyakit ini.

Beliau menambah, penyakit berkaitan genetik amat kompleks. Simptomnya juga mungkin atau tidak muncul langsung sewaktu dilahirkan.

"Secara mudahnya, ada sesetengah Ichthyosis dilahirkan bersama-sama pesakit seperti kes Irshad ini," katanya. Beliau, bagaimanapun, berkata, penyakit ini tiada kaitan dengan bangsa, jantina atau umur seseorang.

Keadaan pesakit akan bertambah parah seandainya mereka mempunyai alergi terhadap sesuatu seperti makanan atau persekitaran.

Namun, Pakar Runding Dermatologi, Dr. Koh Chuan Keng menjelaskan, kaedah rawatan yang sistematik dapat mengurangkan kesan penyakit itu.

"Ia adalah penyakit yang perlu ditanggung seumur hidup. Maksudnya, tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya. Namun dengan penggunaan krim dan pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat, pengelupasan kulit tersebut dapat dikurangkan," katanya.

Tambah Chuan Keng, disebabkan gen yang mengawal pengelupasan kulit ini bermutasi, permukaan kulit menjadi kering dan mengelupas pada kadar abnormal.

Secara normalnya, kulit manusia adalah hidup dan diperbaharui dengan 'gugur' secara semula jadi dalam kitaran proses selama 14 hari.

Bagi pesakit Ichthyosis, proses itu tidak mengikut kitaran tersebut. Ia terbentuk dengan lebih pantas dan banyak berbanding keupayaannya untuk 'gugur'.

"Justeru, kulit mengelupas, seolah-olah bersisik serta kering menjadi lumrah pada pesakit Ichthyosis ini," katanya.

Jelas Chuan Keng lagi, salah satu fungsi kulit adalah mengawal suhu dalaman. Namun begitu, bagi pesakit Ichthyosis, mereka menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.

Secara tidak langsung, suhu panas yang melampau merupakan masalah utama mereka. Malah keadaan boleh menjadi lebih serius apabila pesakit ini terlibat atau berada di dalam keadaan yang membuatkan mereka berpeluh walaupun sedikit.

"Dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang tidak menentu, keadaan kulit pesakit akan menjadi lebih parah tanpa penggunaan krim pelembap seperti emolien," katanya yang turut menegaskan Ichtyosis bukan penyakit berjangkit.

19.5.09

Risiko DVT selepas pembedahan


RAMAI yang beranggapan selepas pembedahan pemulihan fungsi sistem rangka serta sendi kaki dapat membantu pergerakan menjadi lebih sempurna. Namun, bagaimana jika anda mendapati tiba-tiba kaki anda membengkak? Kejadian itu cenderung kepada masalah sistem vena trombosis (VTE) di mana darah berubah daripada cecair menjadi pepejal dan membentuk bekuan darah (trombus),

Mungkin ramai yang tidak menyedari antara komplikasi bahaya selepas pembedahan iaitu pembentukan darah beku di bahagian kaki (deepvein thrombosis) atau DVT.

Lebih parah lagi, jika darah beku itu pecah ia akan menyekat salur darah ke paru-paru (pulmonary embolism-PE).

Sekiranya masalah ini tidak diatasi pada peringkat awal, ia boleh menyebabkan kematian.

Penyakit ini adalah disebabkan darah beku yang menyebabkan salur pembuluh darah terutamanya di bahagian peha dan betis tersumbat. Keadaan ini berlaku kerana aliran darah yang tidak baik hasil daripada aktiviti yang pasif dan rehat berlebihan.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pesakit mengalami DVT seperti faktor umur, jantina khususnya wanita, obesiti, tidak boleh berjalan (lebih dari empat hari), hamil, mengambil estrogen dalam dos yang tinggi, penyakit berkaitan genetik seperti thrombophilia dan mereka yang mengalami masalah VTE .

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat 'rapuh' kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.

Ini disebabkan kebanyakan pesakit yang menjalani pembedahan sebenarnya berisiko mengalami darah beku pada salur darah. Jika darah beku itu pecah ia akan menyekat salur darah ke paru-paru.

Berdasarkan fakta perangkaan di England, DVT membunuh 25,000 pesakit setiap tahun manakala di Amerika Syarikat, 60,000 meninggal dunia akibat penyakit ini.

Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia, Dr Jamal Azmi Mohamad, memberitahu, pesakit yang menjalani pembedahan barah, lutut, pinggul, dan pelvik sebenarnya berisiko mengalami DVT.

Namun, ia tidak melibatkan keseluruhan pesakit kategori ini kerana kebanyakan kes melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan penggantian pinggul.

"Seperti penyakit-penyakit lain, DVT ini boleh dikawal sekiranya orang ramai menyedari pencegahan awal. Bagi yang berisiko, mereka boleh menggunakan ubat-ubatan pencegahan untuk mengurangkan DVT," ujarnya ketika bengkel media sempena minggu kesedaran minggu trombosis anjuran webershandwich di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor.

Berkongsi fakta DVT di Malaysia, Dr Jamal menjelaskan, ia bukan saja tidak banyak dirawat, malah tidak dapat dikesan.

Secara umum, dalam kajian tidak rasmi DVT di Malaysia, 62.5 peratus pesakit yang menjalani pembedahan gantian sendi lutut, gantian sendi pinggul dan patah tulang paha mengalami DVT.

"Umumnya, darah beku dalam salur darah disebut sebagai 'trombus'. Proses pembentukannya disebut 'trombosis'. Trombosis boleh menyekat aliran darah malah sebahagian darah beku boleh pecah menyebabkan salur darah bertambah tersekat hingga menyekat bekalan darah ke organ penting," katanya.

Dalam pada itu, pesakit akan berasa dada seakan-akan dicucuk benda tajam, sesak atau pendek nafas dan batuk darah apabila mengalami DVT. Ia sebenarnya sering terjadi selepas pembedahan dan kawasan yang terjejas sakit, berwarna merah dan membengkak.

Sementara itu. Pensyarah Kanan Jabatan Ortopedik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azhar Merican, berkata, kebanyakan kes darah beku pada salur darah terjadi pada vena di kaki atau pelvis.

"Keadaan DVT menyebabkan kaki pesakit bengkak, tidak selesa, kulit kaki kemerahan dan kaki berasa panas yang menjadi simptom pertama darah beku terbentuk. Walaupun ia tidak semestinya DVT, pesakit perlu berjaga-jaga dengan simptom-simptom ini," katanya.

Hakikatnya, walaupun DVT tidak mengancam nyawa tetapi jika dikaitkan dengan komplikasi lain, ia boleh menyebabkan kematian pesakit.

Antara komplikasi utama DVT ialah PE yang menyaksikan arteri dari jantung ke paru-paru tersekat.

Menyentuh tentang pengaliran dalam sistem badan manusia, darah secara konsisten dipam dari kanan jantung ke paru-paru dan kembali ke sebelah kiri jantung. Dalam paru-paru, darah mengambil oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, iaitu sisa metabolisme.

Arteri membawa darah yang kaya oksigen ke seluruh tubuh. Pembuluh darah pula membawa darah kurang oksigen kembali ke jantung. Darah beku yang terjadi dalam pembuluh darah boleh mengalir ke salur darah di kanan jantung sebelum masuk ke arteri paru-paru, di situ sekatan mungkin boleh berlaku.

Sekatan itu boleh terjadi pada arteri yang kecil tetapi paru-paru sangat 'rapuh' kerana semua darah dalam tubuh melalui paru-paru setiap kali diedarkan. Kerap kali, darah beku berisiko untuk terbentuk dan tersebar ke seluruh bahagian paru-paru.

Bahaya bekas plastik biasa



bijak memilih bekas plastik yang ingin digunakan, bakal memberi keuntungan kepada kesihatan.


WANITA memang terdedah dengan pelbagai penyakit, hinggakan jika meminum air dari botol plastik sekalipun boleh menjadi punca kanser payu dara.

Kenyataan ini bukan sengaja diada-adakan tetapi hakikat yang diakui oleh selebriti antarabangsa, Sheryl Crow. Dia mengakui salah satu punca dia mengalami kanser payu dara ialah tabiatnya meminum air mineral yang diletakkan di dalam keretanya. Crow mengatakan demikian ketika tampil dalam satu rancangan bual bicara, Ellen Show tidak lama dahulu.

Pakar perubatan juga bersepakat menyatakan bahawa hawa panas yang memanaskan bahan plastik di dalam botol memiliki bahan kimia tertentu yang dapat menyebabkan kanser payu dara.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Rahmat Awang dari Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia tidak lama dahulu mendapati bahan kimia yang terdapat dari plastik mempunyai kemudaratan.

Beliau berkata, ramai tidak menyedari bahaya plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya.

Walaupun banyak maklumat disebarkan oleh pihak berwajib mengenai kesan kimia yang hadir akibat tindak balas makanan di dalam bahan pembungkusan namun penggunaannya masih berleluasa.

Kebenaran itu memang tidak boleh disangkal, malah penulis juga seringkali membeli makanan di dalam bungkusan plastik. Malah untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk atau bekalan pasti bekas plastik menjadi pilihan.

Sebenarnya banyak alternatif yang boleh kita gunakan selain penggunaan botol atau bekas plastik biasa untuk tujuan menyimpan makanan atau minuman.

Kini telah banyak inovasi plastik. Cuma pengguna perlu bijak memilih bekas yang boleh menghindarkan perkara itu daripada berlaku.

Di atas kesedaran bahawa bekas plastik membahayakan kesihatan, pemilik premis jualan Tupperware, Sahliah Kasmani mengambil inisiatif mengadakan ceramah mengenai bahaya plastik.

"Plastik seperti yang umum ketahui diperbuat daripada pelbagai bahan kimia. Jika kita meletakkan makanan di dalam bekas plastik ini secara tidak langsung akan memberi mudarat apabila dimakan makanan tersebut.

"Bagaimanapun, kesan agak berlainan sekiranya pengguna menggunakan produk keluaran Tupperware.

"Ini kerana Tupperware diperbuat daripada bahan berkualiti yang tidak mengandung racun. Ia selamat digunakan sebagai bekas untuk menyediakan, menghidang dan menyimpan makanan.

"Ia juga memang dikenali sebagai tempat menyimpan makanan untuk tahan lebih lama," ujarnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran premis jualan Tupperware di Aman Suria, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus komunikasi pemasaran Tupperware Brands Malaysia, Wong Ee Ling berkata, manusia dan penggunaan plastik memang tidak dapat dipisahkan.

"Sebagai pengguna, kita perlu mengenalpasti tentang jenis plastik yang kita gunakan. Jika arahan kepada plastik tersebut hanya untuk digunakan sekali, maka janganlah kita menggunakannya berkali-kali. Sebab apabila kita tidak mematuhi arahan, sudah tentu ia akan mendatangkan mudarat kepada diri," ujar beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengambil contoh bekas minuman, Ee Ling memberitahu, bekas air Tupperware memang telah disahkan oleh badan kesihatan sedunia boleh digunakan berkali-kali, tidak kira dalam suhu panas atau sejuk.

"Walaupun begitu, tidak semua produk Tupperware boleh digunakan dalam ketuhar gelombang. Ini kerana ada bahan kimia yang tidak sesuai dikeluarkan dari bekas yang melalui proses pemanasan gelombang. Untuk penggunaan bekas plastik dalam ketuhar, disarankan menggunakan bekas yang dikhaskan untuk ketuhar gelombang sahaja.

"Terdapat juga pengeluar bekas plastik yang mendakwa bekas plastik mereka selamat, namun tidak sesuai digunakan digunakan di dalam ketuhar, oleh itu pengguna harus berhati-hati dan mendapatkan ilmu serta informasi yang betul tentang penggunaan bekas plastik ini," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Sahliah yang telah hampir 20 tahun melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung Tupperware turut mengalu-alukan individu yang ingin mendaftar menjadi ahli dan sekali gus menjadi pengedar.

"Inilah peluang keemasan bagi mereka yang ingin memasuki di alam perniagaan dan sesuai sekali untuk golongan yang telah diberhentikan kerja atau tiada pekerjaan,'' katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami, Abdul Wahid Manan.

Menurutnya, dengan hanya mendaftar sebanyak RM290, ahli akan mendapat kit produk dan boleh menganjurkan parti Tupperware di rumah dengan tunjuk ajar dari pengarah dan ketua organisasi teratas.

"Apa yang penting ialah minat dan semangat, kerana tidak mustahil bagi kita untuk memperolehi jualan sebanyak empat angka sebulan jika kita pandai membina rangkaian dan jualan," ujarnya.

Usah malu melasma di muka


KECERAHAN warna kulit adalah salah satu daripada petunjuk yang begitu jelas membezakan penampilan seseorang.

Sama ada gelap atau cerah, warna kulit boleh diubah (lihat sahaja Michael Jackson!). Faktor genetik boleh memainkan peranan penting tetapi faktor-faktor lain juga boleh menjejaskan ton warna kulit, seperti keadaan persekitaran atau dalam kes-kes tertentu, prosedur kosmetik.

Warna kulit

Fakta sains di sebalik penampilan warna kulit ditentukan oleh pigmen dalam kulit atau lebih dikenali sebagai melanin, yang berwarna coklat buah zaitun, perang atau hitam.

Dibentuk oleh sel yang menghasilkan pigmen dinamakan melanosit, melanin ialah punca yang memberi kulit warna semula jadi seseorang.

Seseorang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap mempunyai jumlah melanin yang lebih tinggi manakala mereka yang mempunyai melanin atau pigmen lebih rendah mempunyai warna ton kulit yang lebih cerah.

Umumnya, masalah pigmentasi kulit berlaku akibat pengeluaran melanin yang meningkat. Ini menyebabkan warna kulit lebih gelap dan mungkin menjadikannya bertompok atau tidak sekata.

Walaupun punca masalah pigmentasi kulit adalah berbeza, termasuklah masalah auto-imun dan tindak balas kepada ubat atau ciri genetik, pendedahan kepada cahaya matahari adalah punca utama kebanyakan masalah pigmentasi kulit.

Beribu-ribu wanita menghadapi masalah pigmentasi kulit yang berkaitan pendedahan kepada matahari dan juga ketidakstabilan tahap hormon.

Salah satu daripada masalah pigmentasi kulit atau rona muka yang kurang diketahui atau diperhatikan di Asia ialah masalah melasma.

Perkara yang menghairankan ialah ramai yang tidak tahu puncanya dan lebih ramai lagi yang tidak tahu bahawa ia boleh dirawat dan dikawal.

Malah, kebanyakan orang tidak pernah mendengar atau mengenali melasma dan secara tidak sedar menerima sahaja masalah kulit mereka. Adakah masalah ini tompok gelap semata-mata?

Melasma

Walaupun orang ramai tidak mengenali dan tidak begitu tahu mengenai melasma, ia merupakan gangguan pigmentasi kulit yang sangat umum di kalangan wanita di serata dunia.

Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat kira-kira 5 hingga 6 juta orang yang mengalaminya, tetapi hanya setengah juta daripada mereka mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar kulit.

Bagi sesetengah pesakit, masalah ini mungkin hanya kewujudan tompokan perang kecil pada bahagian pipi, bibir atas, hidung atau dahi manakala bagi sesetengah pesakit pula, ia merupakan kecacatan muka yang mengaibkan.

Dengan kadar penularan 40 peratus di kalangan wanita dan 20 peratus di kalangan lelaki, melasma umumnya dialami oleh golongan wanita dan lebih ketara di kalangan orang yang mempunyai ton kulit yang lebih gelap secara semulajadi. Justeru, masalah melasma ini agak ketara di Asia Tenggara.

Secara umumnya, melasma boleh dikenal pasti menerusi tompokan perang muda atau perang kelabu pada bahagian kulit yang terdedah kepada matahari seperti dahi, pipi, bibir atas, hidung dan dagu.

Pakar kulit percaya bahawa punca utama permulaan dan penularan melasma ialah pendedahan kepada cahaya ultra ungu matahari.

Statistik sedia ada menunjukkan bahawa melasma bermula semasa di zaman remaja kerana faktor dan ciri genetik.

Ia menjadi lebih buruk akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari dan masalah ini akan kekal sepanjang hidup tanpa dikenal pasti.

Melasma juga sering dikaitkan dengan perubahan tahap hormon wanita ketika mengandung, semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan, semasa penggunaan kontraseptif oral atau terapi penggantian hormon. Kebanyakan wanita mendapati melasma mereka bertambah buruk pada waktu ini.

Justeru, golongan wanita yang sedang mengambil ubat pencegah hamil atau menjalani terapi penggantian hormon mungkin perlu berbincang dengan pakar ginekologi mereka untuk memilih terapi yang mengandungi formulasi estrogen atau progesteron yang lebih rendah.

Faktor lain yang berkait rapat dengan melasma termasuk ketidakstabilan tahap tiroid, barang kosmetik tertentu, ubat foto-toksik dan ubat anti sawan.

Melasma biasanya boleh di diagnosis secara klinikal, dalam kebanyakan kes pemeriksaan klinikal dan sejarah keluarga peribadi seseorang memberi diagnosis yang berkesan untuk masalah melasma.

Biopsi kulit hanya diperlukan untuk membezakan gangguan masalah pigmentasi yang lain daripada melasma.

Walaupun masalah melasma tidak mengancam nyawa seseorang, namun ia memberi kesan kepada interaksi sosial, kerjaya, harga diri dan akhirnya keseronokan dalam kehidupan pesakit.

Dikenali sebagai gangguan pigmentasi biasa yang sukar dirawat, melasma tidak boleh diubati secara kekal.

Perlindungan daripada sinaran cahaya matahari dan rawatan penyenggaraan jangka panjang berkesan untuk mengawal penularannya dan meningkatkan kualiti hidup seseorang yang mengalaminya.

Mengatasi melasma

Rakyat Malaysia terdedah kepada sinar ultraungu (UV) selama 18 jam dalam kegiatan harian. Ramai orang tidak sedar tentang betapa perlunya untuk melindungi diri daripada sinaran cahaya matahari semasa aktiviti di dalam dan di luar bangunan.

Malah, tinjauan soal selidik yang dijalankan oleh Akademi Dermatologi Amerika melaporkan bahawa hampir 86 peratus daripada rakyat Amerika sendiri tidak sedar bahawa mereka perlu mengguna pelindung cahaya matahari setiap hari sepanjang tahun.

Cara yang paling asas dan kemungkinan besar paling penting untuk mengawal masalah melasma ialah menerusi perlindungan cahaya matahari.

Mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari semasa aktiviti harian boleh mencegah melasma sedia ada daripada menjadi semakin serius dan juga pencegahan tompok melasma baru daripada terbentuk.

Ini adalah amat penting kerana melasma ialah sejenis masalah kulit yang kronik dan boleh terbentuk semula terutamanya di bawah pendedahan matahari yang tidak terlindung walaupun selepas berjaya merawatnya.

Langkah mudah seperti menggunakan pelindung cahaya matahari yang memberi perlindungan daripada sinar ultra ungu A dan B yang tinggi (rujuk kepada label UVA dan UVB pada botol) memastikan kulit dilindungi dengan baik.

Langkah mudah yang lain termasuk menggunakan payung apabila berjalan kaki di luar, memakai topi semasa berkebun (satu cadangan perubatan, lebih baik jika topi bertepi lebar sepanjang lapan inci) yang kesemuanya boleh membantu mengawal masalah melasma daripada menjadi lebih serius ataupun tompok baru terbentuk lagi.

Satu cara berkesan untuk merawat masalah melasma ialah penggunaan krim sapu luaran.

Krim sapu luaran menjadi pilihan utama berbanding rawatan pengupasan kulit, rawatan laser dan juga rawatan intense pulsed light (IPL) yang mempunyai risiko tinggi untuk memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan tompok melasma menjadi lebih gelap

Hasil daripada beberapa kajian klinikal telah membuktikan bahawa rumusan krim sapu luaran topikal yang berkesan merawat masalah melasma adalah krim topikal yang satu-satunya mengandungi rumusan tiga kombinasi perubatan tetap berumusan hidrokuinon (4 peratus), tretinoin (0.05 peratus) dan kortikosteriod (0.01 peratus) yang telah menunjukkan keberkesanannya terhadap pesakit semasa rawatan aktif selama lapan minggu.

Krim topikal ini boleh mengurangkan masalah melasma bagi kebanyakan golongan wanita tetapi ia tidak sesuai digunakan bagi para wanita yang sedang mengandung ataupun masih mengamalkan penyusuan badan kepada bayi kerana dua kandungan rumusan krim topikal tersebut adalah ubat kawalan perubatan.

Melasma hanya boleh dirawat dan dikawal, tetapi ia tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, namun dengan pengamalan rawatan penyenggaraan dan penggunaan pelindung cahaya matahari secara konsisten, kemunculan semula tompok melasma akibat pendedahan kepada sinaran UV matahari boleh di atasi untuk sementara waktu.

Golongan wanita yang mengalami masalah melasma harus mendapatkan nasihat daripada pakar perunding kulit untuk menentukan cara terbaik untuk mengatasi dan merawat masalah melasma mereka.

Golongan wanita yang mengalami masalah melasma tidak perlu rasa kurang yakin diri atau malu, kerana pada masa kini terdapat pelbagai kaedah atau cara berkesan untuk mengawal atau merawat masalah ini dan mengurangkan kesannya dengan lebih ketara.

Semenjak beberapa tahun lalu, strategi rawatan melasma juga semakin berkesan, dengan adanya rawatan prosedur yang betul, selamat dan berkesan bagi orang ramai untuk mengawal dan mengurangkan gejala yang timbul.

Dengan pengurusan yang baik, anda tidak perlu lagi terasa malu akibat tompok perang di muka anda.

Kebersihan kunci kawal wabak



PEMBERSIHAN permukaan yang sering disentuh, terutamanya di tempat atau pengangkutan awam dapat membasmi penyebaran kuman.


WABAK menjadi satu perkataan utama di kalangan media cetak dan elektronik bulan ini berikutan kemunculan virus baru di Mexico dan juga kes meningitis di Melaka. Namun, ini bukan kali pertama negara, dan juga dunia, digemparkan dengan berita wabak pandemik dengan kemunculan virus Nipah, Japanese encephalitis (JE) dan selesema burung H5N1.

Apa yang lebih penting untuk difahami umum adalah penularan penyakit berjangkit bawaan virus mahupun bakteria ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi turut berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.

Bersih untuk selamat

Sebelum ini kita dimaklumkan bagaimana selesema burung H5N1 mudah disebarkan melalui bangkai dan najis haiwan dijangkiti. Influenza A H1N1 yang sebelum ini dikenali sebagai selesema babi pula dikaitkan dengan haiwan yang dikenali hidup dalam kotoran, dan menjadi hos kepada bermacam jenis penyakit haiwan dan manusia.

Terbaru, meningitis pula muncul yang berpunca daripada penyebaran kuman pada permukaan yang tercemar, dari pesakit kepada individu lain. Jelas sekali ketiga-tiga penyakit ini berjangkit melalui 'kekotoran', dan lebih penting lagi ia sebenarnya boleh dicegah dan dikawal daripada terus merebak.

Untuk kes selesema (flu) H5N1 atau H1N1, tidak banyak yang boleh dibuat untuk kaedah penyebaran melalui udara virus influenza, tetapi penyebaran melalui sentuhan fizikal dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada bangkai atau najis haiwan yang dijangkiti. Secara mudahnya, jauhkan ladang ternakan haiwan dari penempatan manusia dan pastikan sisa najis mana-mana haiwan sekalipun tidak dibuang berhampiran atau mencemari sumber air. Dari segi pemakanan daging haiwan terbabit, virus tersebut dapat dibunuh jika daging dibersihkan dan dimasak dengan elok.

Meningitis melibatkan isu kebersihan persekitaran yang boleh menyebarkan kuman dari pesakit kepada individu sihat. Beberapa virus dan bakteria punca meningitis boleh dicegah melalui pengambilan vaksin tetapi untuk yang selebihnya, penjagaan kebersihan adalah cara pencegahan terbaik.

Mencegah atau mengubati

Permukaan rata seperti meja, kerusi, peralatan kerja mahupun rel tangga (pejabat, pengangkutan awam, rumah) boleh dicemari kuman dari pesakit melalui cecair badan. Kuman dari cecair badan pesakit boleh memasuki badan individu sihat melalui luka, mata atau melalui salur penghadaman.

Penyakit berjangkit juga tidak semestinya hanya yang menggemparkan dunia tetapi turut melibatkan kuman biasa punca keracunan makanan (salmonella, kolera) mahupun yang disebar air banjir (leptospirosis). Kes keracunan makanan juga sering kali berlaku di sekolah dan juga di gerai atau restoran kotor yang kebanyakannya tidak dilaporkan.

Asas mudah kuman merebak melalui 'kekotoran' menunjuk kepada asas mudah pencegahan iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tindakan membasuh tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit kerana tangan banyak memegang permukaan yang mudah dicemari dan tangan juga memindahkannya ke muka, mata, ke dalam mulut mahupun kepada individu lain.

Namun, membasuh tangan dengan air sahaja mungkin tidak mencukupi. Gunakan sabun antiseptik selagi boleh bagi mempastikan kuman pada permukaan tangan dan juga di bawah kuku dihapuskan. Tabiat mencuci tangan juga perlu dilakukan sebelum dan selepas menjalankan sebarang aktiviti, termasuklah makan, ke tandas, bersenam atau memegang permukaan tertentu di tempat awam.

Pihak berkuasa, pihak pengusaha perkhidmatan awam, pengurusan bangunan dan juga pengusaha restoran juga perlu mengambil langkah yang paling mudah dengan membersihkan sekerap mungkin permukaan yang sering disentuh orang ramai, di samping menyediakan produk antiseptik di tandas dan tempat mencuci tangan. Tempat tumpuan awam bukan sahaja perlu sentiasa dibersihkan dari sampah-sarap malahan dibersihkan dari kuman pada permukaan meja, rel tangan mahupun peralatan untuk kerja dan makan yang boleh menyebarkan virus mahupun bakteria punca penyakit.

Asas mudah kebersihan juga menekankan menjaga adab di tempat awam. Jangan batuk atau bersin ke arah orang lain atau meludah di merata tempat. Gunakan tisu, sapu tangan atau tutup mulut dengan tangan jika batuk atau bersin bagi mengelakkan penyebaran kuman kepada orang di sekitar anda. Dan paling penting, jangan lupa membasuh tangan anda supaya tidak pula disebarkan pada permukaan lain jika hingus di tangan disapu ke rel tangan atau permukaan meja.

Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya juga bukan mustahil untuk dikawal atau dicegah. Pastikan anda memilih kebersihan dalam hidup dengan asas mudah, jaga adab, pilih yang bersih dan basuh tangan anda.

Periksa dan rawat segera



PEMERIKSAAN kesihatan dan saringan penyakit tertentu dapat membantu mengelak atau mengawal perkembangan penyakit kronik atau yang berjangkit.


MINGGU ini menyambut Hari Hipertensi Sedunia dan juga Hari Hepatitis Sedunia 2009. Namun, seperti kebanyakan penyakit kronik lain, masalah hati mahupun tekanan darah tinggi biasanya pasti diiringi atau disusuli bermacam penyakit lain.

Oleh itu, apa yang lebih penting adalah penekanan ke arah pencegahan mana-mana penyakit kronik mahupun penyakit berjangkit, melalui ujian saringan. Jika tidak dapat dielakkan juga penyakit-penyakit tersebut, biarlah ia dikesan dari peringkat awal di mana rawatan lebih mudah, berkesan dan juga tidak terlalu mahal.

Saringan moden

Walaupun dunia semakin maju dan moden, masih ramai yang kurang mementingkan tahap kesihatan semasa mereka. Kebanyakannya cuma mula panik bila munculnya penyakit berjangkit yang mungkin mengancam nyawa diri dan keluarga. Dengan pengesahan kes Influenza A (H1N1) di Malaysia, tentu makin ramai yang bimbang akan tahap kesihatan dan keselamatan dalam negara.

Ujian saringan merujuk kepada pemeriksaan kesihatan individu yang mempunyai risiko penyakit tertentu, kronik mahupun yang berjangkit. Dengan melihatkan pada faktor risiko dan kebarangkalian menghidap penyakit terbabit, doktor dapat menilai jika pesakit akan atau sudah menghidap penyakit tersebut.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Kuala Lumpur Heartcare (KLHC), Profesor Madya Dr. Mohamed Rafiq Ibrahim Marican menjelaskan tahap kesedaran rakyat Malaysia dalam pencegahan penyakit masih boleh ditingkatkan.

"Dengan tahap kesedaran yang tinggi, maklumat faktor risiko dan juga teknologi terkini, penyakit yang hadir boleh dirawat.

"Ramai individu, termasuk golongan pengurus yang menyatakan mereka takut untuk mengetahui hasil keputusan ujian saringan. Tapi mereka perlu faham apa yang tidak diketahui itu yang membunuh," katanya.

Menurut beliau, masih banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

Beliau mendakwa, ramai pesakit di negara ini yang datang mendapatkan rawatan selepas keadaan sudah teruk, terutamanya untuk penyakit kronik.

Dr. Mohamed Rafiq menekankan pentingnya usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit yang boleh dicegah bagi memfokuskan usaha lebih kepada pencegahan daripada rawatan semata-mata.

Pembunuh utama

Penyakit berjangkit bersifat akut dan boleh mengancam nyawa dalam jangka pendek. Namun, pembunuh utama manusia di seluruh dunia masih lagi penyakit kronik seperti penyakit jantung koronari, strok, masalah buah pinggang, kanser mahupun diabetes dan hipertensi.

Dr. Mohamed Rafiq yang mempunyai kepakaran bertahun-tahun di United Kingdom memilih untuk kembali ke Malaysia kerana memikirkan masih banyak yang boleh ditingkat, terutamanya tahap kesedaran rakyat.

"Orang ramai perlu sedar akan faktor risiko yang boleh membawa kepada masalah jantung seperti seperti diabetes, kolesterol, hipertensi, merokok dan juga gaya hidup yang kurang bergerak.

"Penyakit jantung koronari kekal sebagai pembunuh nombor satu di seluruh dunia dan pilihan yang ada cuma pencegahan atau rawatan (jika sudah sakit)," tegasnya.

Menurut beliau, orang ramai perlu mendapatkan nasihat pakar jika tiba-tiba sakit pada dada, terutamanya jika mereka mempunyai risiko tinggi menghidap masalah jantung.

Beliau menyatakan tahap kesedaran mengenai pencegahan menjadi keutamaan seperti mana kesedaran mengenai kanser payudara dan serviks yang semakin tinggi di negara ini.

Cara pemakanan tempatan juga kini lebih banyak bergantung kepada makanan dari luar atau makanan siap diproses menambah beban kepada badan melalui peningkatan bahan kimia, garam, gula dan lemak berlebihan. Kenikmatan hidup yang cuma bertahan beberapa tahun ini biasanya akan disusuli dengan serangan mengejut penyakit kronik yang menjejaskan jantung, paru-paru, buah pinggang, hati, mata dan juga otak.

Saringan dapat memberi peluang kepada mereka yang berada di sempadan penyakit untuk mengubah cara hidup dan mengelak atau melengahkan perkembangan penyakit tersebut. Bagi yang sudah mula menghidap penyakit seperti hipertensi, diabetes mahupun salur darah tersumbat, saringan dapat mengesan masalah tersebut dari peringkat awal supaya rawatan segera dapat diberikan. Ini seterusnya dapat mengelakkan komplikasi teruk yang biasanya melibatkan kerosakan organ dan kepincangan sistem fungsi badan.

Kesan awal

Dr. Mohamed Rafiq memaklumkan ujian saringan dapat mengesan apa yang sukar dikesan melalui gejala penyakit.

"Masalah tekanan darah tinggi (hipertensi), diabetes mahupun kolesterol tinggi sukar dikesan melalui gejala semata-mata.

"Untuk itu, ujian darah, ujian tekanan dan juga imbasan dapat mengesan masalah tersebut dari peringkat awal lagi," ujarnya.

Ini kata beliau, memberi pilihan kepada pesakit sama ada untuk mengubah gaya hidup atau memulakan pengambilan ubat tertentu mengikut perkembangan penyakit yang mereka hadapi.

Tambahnya, sekitar 30 peratus kes jantung yang tidak disaring meninggal dunia sebelum sempat ke hospital.

Perubahan ragam denyut jantung juga dikatakan boleh membunuh jika gagal dikesan segera. Perkara sama juga ditekankan untuk strok yang melibatkan gumpalan darah yang menyumbat saluran darah pada otak atau pendarahan dalam otak yang boleh dicegah. Ujian saringan juga bukan memerlukan semua bentuk ujian dijalankan. Ujian dibuat mengikut faktor risiko pesakit yang berbeza mengikut individu.

Dalam pada itu, Dr. Mohamed Rafiq turut menekankan faktor sentuhan insan antara doktor dan pesakit.

"Doktor perlu meluangkan masa untuk mendengar masalah pesakit sebelum menulis sebarang maklumat atau preskripsi ubat.

"Selain itu, ilustrasi melalui model organ juga dapat membantu menjelaskan situasi sebenar penyakit yang mereka hadapi," jelasnya.

Beliau bagaimanapun memahami terdapat kelemahan dan kelebihan perkhidmatan hospital, terutamanya yang melibatkan jumlah kakitangan dan pesakit.

Katanya, doktor di hospital yang ramai pesakit mungkin sukar meluangkan banyak masa untuk menjelas atau membincangkan masalah pesakit.

Namun, bagi perkara kritikal seperti perkembangan penyakit dan juga ubat untuk rawatan perlu diberikan perhatian rapi supaya pesakit sendiri tidak keliru dengan maklumat yang diberikan.

Bagi mengelakkan kebanjiran pesakit yang hadir untuk rawatan, Dr. Mohamed Rafiq menyarankan kerjasama dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan pihak swasta ditingkatkan ke arah pencegahan. Saringan dan pengesanan awal sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban rawatan di hospital di samping meningkatkan kualiti hidup pesakit serta memberi peluang jangka hayat yang lebih tinggi.

Dapatkan nasihat doktor anda tentang saringan penyakit mengikut faktor risiko yang ada, terutamanya gaya hidup, fizikal badan dan umur. Dapat pemeriksaan dan saringan berkala bagi memastikan penyakit dikesan awal dan tidak dibiarkan melarat sehingga terlalu teruk dan sukar dirawat lagi.

Hospis dampingi pesakit



DR. FELICIA Chang Chui Fun dan jururawat, Sharon Victoria Dabi mengadakan lawatan ke rumah pesakit untuk melihat keadaan mak cik Timah.


JIKA anda orang Alor Setar, tentu anda mengetahui mengenai kewujudan sebuah klinik yang popular suatu ketika dahulu iaitu Maha Clinic.

Bagi yang belum mengetahui, klinik tersebut sebenarnya sebelum ini adalah klinik yang dimiliki oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ia juga turut disertai oleh isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Istimewanya klinik ini ialah kedua-dua doktor tersebut memberi perkhidmatan rawatan perubatan kepada para pesakit tanpa mengenakan bayaran khusus tetapi terserah kepada keikhlasan masing-masing.

Satu lagi keistimewaan klinik itu ialah Dr. Mahathir ketika menjalankan tugasnya turut meluangkan masanya untuk mengunjungi pesakit yang tidak boleh bergerak di rumah mereka.

Itu yang membuatkan sesiapa sahaja pesakit atau saudara mara mereka yang pernah mendapat rawatan di klinik itu tidak pernah melupai jasa kedua-dua doktor Melayu terawal tersebut.

Walaupun berbeza tujuan tetapi berasaskan konsep yang sama, sebuah pertubuhan sukarela telah ditubuhkan bagi memberikan perkhidmatan mengunjungi pesakit-pesakit tenat dan sukar diubati seperti kanser, AIDS, saraf dan sebagainya di rumah mereka.

Badan amal yang dikenali sebagai Hospis Malaysia itu, kakitangan dan sukarelawannya sanggup mengenepikan semua rintangan untuk memberi sedikit perhatian istimewa kepada pesakit kronik dengan mengunjungi mereka, biarpun menyedari antara mereka tiada pertalian darah.

Badan yang ditubuhkan pada tahun 1991 itu hadir mencurahkan bakti dengan menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh kepada pesakit merangkumi aspek fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian pesakit dikunjungi.

Percuma

Menariknya, khidmat yang dicurahkan itu diberikan secara percuma untuk semua lapisan masyarakat terutama di sekitar Lembah Klang tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan umur.

“Pesakit yang menghidapi penyakit yang tenat tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang perhatian. Memang, mereka boleh menjalani pemeriksaan di hospital.

“Tetapi, pihak hospital biasanya tidak membuat susulan di rumah sedangkan ada kalanya timbul masalah baru apabila pesakit sudah keluar hospital.

“Di sinilah, Hospis Malaysia memainkan peranan. Setiap kali kami berkunjung ke rumah pesakit, mereka kami layan seperti orang biasa. Kami tidak hanya menumpukan perhatian kepada penyakit yang dideritai pesakit, sebaliknya mereka dirawat secara menyeluruh termasuk emosi dan kerohanian,” kata Dr. Felicia Chang Chui Fun.

Tiga tahun memberi khidmat di Hospis Malaysia, Dr. Felicia sentiasa meletakkan kepentingan pesakit di tangga teratas dan akan berada di sisi mereka pada bila-bila masa sahaja apabila khidmatnya diperlukan.

Jelas doktor muda ini, setiap tahun sebanyak 1,500 pesakit akan dirujuk ke pusat itu. Angka tersebut tidak termasuk jumlah pesakit sedia ada yang sedang menerima khidmat badan amal tersebut.

Bagaimanapun katanya, pesakit yang ingin mendapatkan khidmat Hospis Malaysia perlu terlebih dahulu mendapatkan surat rujukan daripada doktor yang merawat mereka.

Jelas beliau, rujukan itu adalah bagi memudahkan Hospis Malaysia merujuk kembali kepada doktor yang merawat pesakit seandainya ada masalah atau sebarang kemusykilan berhubung penyakit yang dihidapi pesakit.

“Sebaik pesakit dirujuk pada pusat ini, kita akan menghubungi pesakit untuk mendapatkan persetujuan sama ada mereka berminat atau tidak menerima perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sebabnya, tidak semua pesakit mahukan khidmat kami. Sekiranya pesakit bersetuju, barulah kami memulakan usaha merawat pesakit di mana jururawat paliatif Hospis Malaysia akan bertemu pesakit dan membuat penilaian tentang keadaan pesakit.

“Khidmat kami melibatkan penjagaan paliatif harian dan penjagaan paliatif di rumah. Ini bermaksud, selain pesakit datang ke pusat Hospis Malaysia di Cheras dengan kenderaan khas yang disediakan dan melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan, kami juga akan membuat lawatan ke rumah pesakit,” ujarnya.

Tambah Dr. Felicia, sebenarnya jika pesakit dapat dirujuk lebih awal iaitu pada peringkat awal penyakit adalah lebih baik agar khidmat yang bakal diberikan tidak terbatas kepada aspek fizikal semata-mata.

Sebaliknya pelbagai usaha dapat dilakukan termasuk perihal sosial dan emosi yang turut membantu dalam memberikan satu kehidupan yang lebih baik kepada pesakit.

Mungkin ramai masih keliru terhadap peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh badan amal itu. Ada yang beranggapan hadir ia untuk membantu pesakit ‘pergi’ dengan aman. Tidak kurang yang menyangkakan bahawa mereka menyediakan jururawat bagi menjaga pesakit selama 24 jam di rumah.

Hakikatnya, bukan itu yang dilakukan Hospis Malaysia. Penjagaan paliatif yang ditawarkan memang untuk pesakit yang menghidapi penyakit yang tenat seperti barah, AIDS, penyakit saraf dan ada juga kanak-kanak yang dirujuk kepada pusat itu antaranya mereka yang menghidapi jantung berlubang dan leukemia.

Tetapi, objektif pusat itu adalah membantu pesakit mempertingkatkan kualiti hidup mereka sementara menghadapi penyakit tenat dengan mengambil kira penjagaan dari segi pengurusan kesakitan dan pengawalan gejala penyakit serta pemantauan aspek-aspek psikologi, sosial dan kerohanian.

Kehidupan lebih bermakna

“Sebab itu, sepanjang pesakit bersama Hospis Malaysia, kami cuba membantu mereka dalam menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan yang lebih bermakna dan ceria.

“Sekiranya ada ubatan yang diberikan, ia sebenarnya bertujuan memberi kelegaan daripada kesakitan, bukannya membantu mereka ‘pergi’ dengan aman.

“Biarpun, mungkin mereka (pesakit) akhirnya akan pergi meninggalkan kita, tetapi sebelum itu berilah mereka satu kehidupan bermakna,” kata Dr. Felicia.

Namun jelas Dr. Felicia lagi, penjagaan paliatif yang ditawarkan bukannya untuk memberi harapan yang rawatan itu mampu menyembuhkan mereka, tetapi apa yang penting agar pesakit memperoleh kualiti hidup yang lebih baik sehingga ke akhir hayat mereka.

Dalam pada itu katanya, pesakit juga perlu diberikan maklumat yang mencukupi dan tepat khususnya berkaitan penyakit yang dihidapinya agar mereka mempunyai keyakinan diri untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat.

Berpeluang mengikuti Dr. Felicia bersama jururawat, Sharon Victoria Dabi melawat seorang pesakit yang menerima perkhidmatan badan amal itu, memberi sedikit gambaran tentang tanggungjawab mereka sebagai pasukan perubatan Hospis Malaysia.

Sebagai memberikan satu gambaran baru kepada masyarakat tentang peranan badan amal itu, sengaja mereka memilih seorang pesakit yang sedang melalui proses penyembuhan daripada penyakit barah payu dara yang dihidapinya dan kini melalui kehidupan mendatang dengan lebih ceria dan positif.

Bukannya apa, sebenarnya tidak semua pesakit yang dirujuk kepada Hospis Malaysia menemui ajal, malah sebahagian masih dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan lebih baik.

Bertolak dari Hospis Malaysia, kami bergerak ke kediaman Timah Wahab, yang bertempat di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Ketibaan kami disambut mesra wanita berusia 51 tahun itu. Nyata kemesraan sudah terjalin antara mereka. Malah, menariknya, melihatkan keadaan Timah kala itu sukar menjangkakan bahawa wanita tersebut merupakan pesakit kanser payu dara.

Membahasakan dirinya mak cik, Timah disahkan menghidap barah payu dara lima tahun lalu. Memang, mulanya dia berasa kehidupan dia telah musnah, tetapi mak cik Timah kini lebih yakin untuk menghabiskan masa tuanya dengan sokongan keluarga juga Hospis Malaysia.

Pertemuan dengan badan amal itu pada tahun 2007 membawa kebahagiaan kepada diri mak cik Timah. Apatah lagi selepas menjalani pembedahan, Makcik Timah mengalami sakit di bahagian tulang.

Kesakitan yang dirasai itu disebabkan barah masih ada dan melekat pada bahagian tersebut. Namun, kini ia beransur reda, sebaik meluahkan apa yang dialami serta lalui kepada jururawat Hospis Malaysia yang kerap melawatnya.

“Dulu, sebaik disahkan menghidap kanser, ingatkan hidup saya akan menjadi bertambah teruk. Tetapi, sebenarnya ia menjadi lebih baik daripada sebelumnya apatah lagi dengan adanya sokongan keluarga dan adik-beradik.

“Apatah lagi, jururawat Hospis Malaysia kerap melawat. Sebulan antara dua atau tiga kali mereka akan datang melihat keadaan makcik. Sekiranya timbul masalah baru, mak cik boleh terus menghubungi mereka untuk memberitahu mengenainya,” katanya sambil mengukir senyuman di bibir.

Kehidupannya menjadi lebih bermakna dan dirinya juga seakan-akan mendapat satu semangat baru untuk meneruskan kehidupan.

Biarpun, kala diberitahu mengenai badan amal tersebut, mak cik Timah langsung tidak mengetahui mengenainya, tetapi kini dia bersyukur dipertemukan dengan Hospis Malaysia.

“Selepas pembedahan, makcik merasai sakit tulang hingga susah hendak mengangkat tangan. Tetapi,sebaik mengadu mengenai kesakitan itu kepada Hospis Malaysia, mereka mencari ubat yang boleh mengawal kesakitan tersebut.

“Lima hari sahaja makcik sukar bergerak. Selepas itu, mak cik sudah kembali aktif malah rasanya sekarang lebih aktif berbanding dahulu,” katanya gembira.

Dalam pertemuan itu, mak cik Timah turut mengambil kesempatan bertanya lebih lanjut tentang penyakit barah kepada Dr. Felicia untuk menambahkan lagi pengetahuannya tentang penyakit tersebut.

Sementara itu tambah Dr. Felicia, pesakit sebenarnya perlu mendapat cukup maklumat tentang penyakit yang dihidapi mereka. Andai mereka mengetahuinya, ia akan lebih menenangkan hati mereka. Jika tidak mendapat maklumat yang betul atau langsung tidak diberitahu mengenainya, itu yang menyebabkan timbul runsing di hati mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa. Sekiranya pesakit didapati berada dalam keadaan tenat, lawatan yang lebih kerap akan dilakukan. Tetapi, andai mereka sudah stabil, lawatan dikurangkan dalam dua atau tiga minggu sekali.

Katanya lagi, biasanya lawatan ke rumah pesakit dilakukan oleh jururawat. Dalam pembahagian kerja, pihak Hospis Malaysia telah membahagikan Lembah Klang ini kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian diselia oleh seorang jururawat bertauliah. Semua jururawat di pusat terlatih dengan penjagaan dan perubatan paliatif secara menyeluruh.

“Jururawat inilah yang akan membuat lawatan ke rumah pesakit dan menghabiskan masa mereka dengan pesakit. Tidak semua lawatan akan turut dihadiri oleh doktor.

“Tetapi, semua jururawat yang bertugas dipantau oleh doktor. Bagaimanapun, jika khidmat doktor diperlukan, kita tetap akan pergi bertemu dengan pesakit tersebut,” katanya.

Setakat ini terdapat empat doktor dan sembilan jururawat terlatih yang berkhidmat dengan Hospis Malaysia. Mungkin, bilangan itu tidak mencukupi atau kecil berbanding jumlah pesakit yang memerlukan penjagaan dan perubatan paliatif. Masalahnya, negara sememangnya kekurangan doktor dan jururawat yang terlatih dalam bidang tersebut.

Justeru, Hospis Malaysia mengalu-alukan mana-mana doktor dan jururawat yang ingin mengikuti latihan penjagaan paliatif anjuran pusat tersebut. Ini demi memastikan pesakit khususnya mereka yang tiada harapan sembuh dapat mempertingkatkan kualiti hidup mereka kala melalui hari-hari terakhir mereka.

5.5.09

Petugas di sebalik tabir


DI ketika dunia heboh dengan berita virus selesema baru, kakitangan keselamatan dan kesihatan seluruh dunia mula dikerah untuk mencegah dan merawat.

Pegawai-pegawai beruniform bukan sahaja bersedia di hospital, malahan di pintu-pintu masuk utama negara bagi memastikan individu berisiko membawa masuk penyakit berjangkit segera dikesan.

Ini dapat mengelak atau mengurangkan risiko penularan besar-besaran penyakit berjangkit dari satu individu yang dijangkiti kepada orang ramai.

Baris hadapan

Kita perlu menghargai jasa pasukan hadapan negara yang sanggup menghadapi risiko bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia terjamin.

Atas jasa mereka, virus selesema babi belum dikesan di dalam negara, seperti mana juga tindakan pantas mereka berjaya menghalang penyebaran selesema burung sebelum ini.

Dalam pasukan hadapan ini, kebanyakan daripada kita hanya mengenali doktor dan jururawat yang bertugas memantau di pintu masuk negara atau merawat di hospital. Bagaimanapun, baris hadapan ini sebenarnya merangkumi lebih ramai kakitangan keselamatan dan kesihatan, termasuklah pasukan polis, imigresen, pegawai veterinar, pegawai pengurusan bahan berbahaya, kakitangan makmal dan banyak lagi.

Boleh dikatakan sebagai kumpulan hadapan 'di sebalik tabir', mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab tanpa memikirkan nama dan ganjaran. Lebih membanggakan, kebanyakan pakar bidang-bidang yang terlibat kini terdiri daripada warga tempatan yang rata-rata dilatih oleh institusi pengajian tinggi tempatan.

Bagi Pensyarah Jabatan Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Shahriman Yushdie Wan Yusoff, ia menjadi kebanggaan pihaknya dan juga negara apabila anak muda yang dilatih sendiri mampu menjalankan tugas dengan baik, setanding atau lebih baik dari pakar asing.

"Kakitangan makmal rata-rata kurang dikenali kerana tidak banyak berinteraksi dengan orang ramai.

"Namun, golongan juruteknologi makmal perubatan (MLT) inilah yang menjalankan ujian diagnostik atau ujian khusus untuk penyakit yang dihadapi," katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai MLT selama tiga tahun sebelum kembali mengajar menjelaskan kerjaya makmal mendedahkan petugas kepada bermacam bahan dan sampel berbahaya.

Tambahnya, menjadi kebiasaan dan tanggungjawab bagi MLT menjalankan ujian untuk menentukan dan mengesahkan penyakit berjangkit mahupun yang kronik.

Seperti mana-mana kerjaya kesihatan dan perubatan lain, Malaysia dan banyak negara lain turut kekurangan kakitangan MLT.

Mungkin disebabkan kurang pendedahan atau risiko tempat kerja, kebanyakan yang kekal dalam bidang ini dilihat mempunyai minat mendalam menyelamatkan nyawa atau keinginan mengembangkan penemuan terkini melalui penyelidikan.

Diagnostik

Seorang MLT boleh menceburi dunia diagnostik ataupun dunia penyelidikan perubatan. Ujian diagnostik melibatkan ujian terhadap tisu atau cecair badan pesakit bagi mengesan sesuatu yang tidak normal dan tahap kesihatan semasa pesakit. Untuk itu, MLT perlu mendapatkan keputusan ujian yang tepat dan secepat mungkin bagi membantu doktor mengesan dan merawat masalah kesihatan, diagnosis dan juga menentukan keberkesanan rawatan yang diberikan.

Wan Shahriman menjelaskan kerjaya sebagai MLT bukan hanya menguji sampel yang diberikan malahan perlu menjaga cara pengambilan dan juga pengangkutan sampel.

"Sebelum analisis, sampel itu perlu diambil dalam bekas bersesuaian (mengikut jenis cecair dan ujian) serta dipindahkan dalam ais atau bahan kimia bersesuaian ke makmal.

"Ini bagi menjamin keputusan ujian tepat dan boleh diperolehi secepat mungkin untuk membantu doktor membuat diagnosis atau memberi rawatan," jelasnya.

Menurutnya lagi, sistem ini serupa walaupun untuk kajian sampel haiwan mahupun dari persekitaran yang mengalami pencemaran.

Penyelidikan

Dalam dunia MLT, semua cecair dan tisu badan dapat diuji untuk mendapatkan maklumat tertentu. Ini bukan sahaja berguna dalam diagnosis dan rawatan penyakit, malahan penting dalam dunia forensik untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.

Kerjaya MLT juga boleh melibatkan penyelidikan perubatan, terutamanya di makmal bertaraf tinggi bagi menjalankan kajian penyakit atau ubat terbaru. Penyelidikan bukan sahaja dapat mengembangkan lagi kaedah ujian yang lebih tepat dan berkesan, mahupun untuk perkembangan teknologi yang digunakan di dalam makmal.

Bidang penyelidikan bagaimanapun akan memerlukan MLT mempunyai lebih kepakaran dan kemahiran dengan melanjutkan pelajaran dari diploma kepada ijazah sarjana muda, sarjana, mahupun ijazah kedoktoran.

Wan Shahriman menyatakan UiTM juga telah mengorak langkah sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan.

"Pengenalan program ini diharap dapat membantu memperkembangkan lagi bidang makmal perubatan, sejajar dengan keperluan industri dan negara.

"Selain itu, ia juga membuka peluang MLT menceburi bidang khusus lain kelak, seperti perubatan, sains forensik, pendidikan mahupun penyelidikan perubatan," ujarnya.

Diploma dan ijazah dari UiTM dan kebanyakan institusi pengajian tinggi tempatan juga diperakui dan diterima untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Pemindahan kredit juga bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tempoh pembelajaran, malahan memudahkan penerimaan pelajar ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Kakitangan bidang perubatan dan kesihatan sememangnya tidak mencukupi, bukan sahaja di dalam negara, malahan di kebanyakan negara-negara maju. Peluang pendapatan lebih tinggi di luar negara juga menyebabkan ramai kakitangan perubatan 'dicuri', seterusnya menyebabkan negara kekurangan tenaga pakar.

Ini jelas dilihat hasil bermacam aduan orang ramai mengenai perkhidmatan kesihatan yang kekurangan kakitangan. Bagi pihak berwajib, hargai dan jagalah kakitangan kesihatan sedia ada dan tingkatkan program latihan dan insentif untuk menyertai bidang perubatan dan kesihatan.

Pupuk minat di kalangan pelajar yang mungkin menjadi baris hadapan untuk keselamatan dan kesihatan rakyat Mlaysia kelak. Untuk maklumat lanjut mengenai program perubatan dan kesihatan UiTM, sila layari laman web www.uitm.edu.my.

Kaki diabetik dan pencegahannya


KENCING manis atau diabetes melibatkan 189 juta penduduk dunia dan jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Jangkaan kasar menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat sebanyak 72 peratus menjelang 2025.

Dianggarkan lebih kurang 17 peratus daripada penduduk di Malaysia mengidap diabetes. Jumlah yang sebenar, mungkin sekali ganda lebih tinggi dari jumlah yang dicatatkan.

Seseorang boleh mendapat diabetes apabila badan tidak berupaya untuk memantau kandungan glukosa di dalam darah.

Insulin adalah hormon yang bertanggung jawab untuk mengawal tahap glukosa. Jika penghasilan hormon ini tidak mencukupi atau sel-sel badan tidak peka kepada insulin, diabetes akan berlaku.

Secara amnya, diabetes boleh di klasifikasikan kepada jenis jenis iaitu diabetes jenis pertama (I) dan diabetes jenis kedua (II).

Diabetes jenis I adalah diabetes yang disebabkan oleh kekurangan penghasilan insulin manakala diabetes jenis II adalah disebabkan oleh sel-sel badan menjadi tidak peka terhadap kesan insulin.

Apabila paras glukosa di dalam darah meningkat secara berlebihan, pesakit akan mendapat tanda-tanda seperti selalu dahaga, kerap kencing, kencing malam, selalu letih, penurunan berat badan yang mendadak dan kebas-kebas pada jari kaki atau tangan.

Peningkatan tahap glukosa yang tidak terkawal ini boleh menyebabkan komplikasi seperti penyakit kulit, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, kerosakan mata, kerosakan pada kaki dan sebagainya.

Selalunya, pesakit diabetes jarang mendapat maklumat mengenai kemungkinan kerosakan pada kaki akibat daripada diabetes yang tidak terkawal.

Hasilnya, banyak kes-kes sedemikian yang terdapat di hospital sehingga menjuruskan kepada pembedahan besar pada kaki seperti pemotongan (amputasi) bawah lutut atau atas lutut, bahkan ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius sehingga boleh maut.

Kerosakan kompleks pada kaki yang disebabkan oleh penyakit diabetes ini dinamakan penyakit kaki diabetes (diabetic foot).

Kesan pada kaki

Semua pesakit diabetes berisiko untuk mendapat penyakit kaki diabetes. Kesan daripada diabetes yang kronik pada kaki boleh dilihat seperti kulit kering dan senang merekah akibat kurang berpeluh, kurang atau hilang bulu kaki, peningkatan pigmentasi (hyperpigmentation) pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.

Selain itu, diabetes juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf (neuropati) dan penyakit vaskular.

Dua faktor ini boleh mempercepatkan lagi kerosakan pada kaki sekiranya tahap glukosa tidak terkawal.

Neuropati akan menyebabkan seseorang tidak sedar akan kerosakan pada kakinya sekiranya terdapat luka, pecah atau pun kudis (ulser).

Selain itu, neuropati juga boleh menyebabkan otot-otot kecil (intrinsic) pada kaki menjadi lemah. Ini menyebabkan bentuk kaki menjadi tidak normal dan penampungan berat badan pada kaki menjadi tidak sekata.

Masalah ini menyebabkan ulser mudah terbentuk terutamanya pada bahagian yang terkena atau menampung banyak tekanan.

Penyakit vaskular pula menyebabkan nutrisi dan oksigen tidak sampai pada kaki dan seterusnya menyebabkan luka lambat sembuh.

Penyakit vaskular ini juga adalah komplikasi bagi perokok-perokok tegar. Anda dinasihatkan segera berhenti merokok sekiranya anda disahkan menghidap diabetes.

Antara 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes akan mendapat masalah neuropati pada kaki mereka. Dari jumlah ini, 25 peratus akan mendapat masalah ulser yang kronik.

Dari 25 ini pula, separuh akan mendapat jangkitan kuman yang memerlukan rawatan intensif seperti kemasukan wad, antibiotik intravenus dan pembedahan mencuci luka.

Lebih malang lagi, 20 peratus daripada pesakit terbabit terpaksa melalui amputasi bagi mengawal jangkitan supaya tidak terus merebak.

Agak menakutkan kerana data yang ada juga menunjukkan separuh daripada pesakit yang telah menjalani amputasi besar kemungkinan akan melalui amputasi kaki bersebelahan, dalam tempoh kurang lima tahun.

Malah, kadar kematian juga meningkat bagi pesakit-pesakit yang telah melalui amputasi besar sekiranya cara hidup dan pengawalan glukosa tidak berubah.

Komplikasi pada kaki akibat diabetes yang tidak terkawal ini selalunya berkait rapat dengan cara hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, kurang senaman dan amalan makanan yang tidak seimbang.

Pesakit juga perlu mengikut arahan doktor mengenai penjagaan diabetes seperti mengambil ubat mengawal gula darah, mengikut sukatan dan masa yang betul.

Selain dari kesedaran yang kurang mengenai komplikasi ini, orang ramai juga selalunya takut untuk mendapatkan rawatan awal kerana mengaitkan rawatan kaki diabetes dengan amputasi.

Jangan bimbang untuk berjumpa dengan doktor kerana bukan semua luka atau ulser pada kaki diabetes mesti dipotong. Malah rawatan yang awal akan dapat menyelamatkan kaki anda dari amputasi.

Pencegahan

Penjagaan kaki diabetes ini agak rumit sekiranya ianya sudah berlaku. Oleh itu, pencegahan dan pengawasan adalah dua prinsip asas yang penting bagi mengurangkan risiko berlakunya kaki diabetes.

Bagi pesakit-pesakit yang sudah pun mendapat neuropati atau penyakit vaskular, penjagaan kaki yang betul boleh mengurangkan risiko untuk mendapat ulser atau jangkitan kuman pada kaki.

Walaupun begitu, perlu ditekankan sekali lagi bahawa langkah-langkah tadi hanya berjaya jika langkah utama seperti pengawalan tahap glukosa yang optimum dapat dilakukan.

Pencegahan dan pengawalan kaki diabetik ini memerlukan sokongan dan penglibatan dari berbagai kepakaran seperti pakar endokrin, pakar ortopedik, pakar bedah vaskular, juru-fisioterapi, jururawat diabetik dan pakar pemakanan.

Bagi pesakit yang terpaksa melalui proses amputasi, mereka memerlukan juga khidmat pegawai kebajikan, ahli prostetik dan juru pulih kerja.

Di sesetengah hospital, terutamanya di negara-negara Barat, sudah ada khidmat dari pakar kaki (podiatrist) yang boleh memberikan khidmat dan nasihat yang lebih menyeluruh mengenai penjagaan kaki untuk pesakit-pesakit diabetes.

Pengawalan dan pencegahan kaki diabetes sebenarnya penting bagi mengurangkan risiko morbiditi dan kematian pesakit-pesakit diabetes, sama seperti perlunya tekanan dan kesedaran tentang masalah dan komplikasi diabetes pada sistem atau organ yang lain.

Komplikasi diabetes pada kaki memberikan impak yang besar pada pesakit, keluarga mereka dan masyarakat.

Mereka terpaksa menggunakan wang, masa dan tenaga untuk berubat. Malah kualiti hidup mereka juga terjejas kerana terpaksa berulang alik ke hospital atau dimasukkan ke hospital untuk rawatan yang lebih agresif.

Oleh itu, kesedaran yang menyeluruh penting bagi mengekalkan hidup yang sihat melalui pencegahan, pemantauan pesakit-pesakit yang berisiko, mencegah dari berulangnya komplikasi dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum.

Kaki diabetik dan pencegahannya


KENCING manis atau diabetes melibatkan 189 juta penduduk dunia dan jumlah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Jangkaan kasar menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat sebanyak 72 peratus menjelang 2025.

Dianggarkan lebih kurang 17 peratus daripada penduduk di Malaysia mengidap diabetes. Jumlah yang sebenar, mungkin sekali ganda lebih tinggi dari jumlah yang dicatatkan.

Seseorang boleh mendapat diabetes apabila badan tidak berupaya untuk memantau kandungan glukosa di dalam darah.

Insulin adalah hormon yang bertanggung jawab untuk mengawal tahap glukosa. Jika penghasilan hormon ini tidak mencukupi atau sel-sel badan tidak peka kepada insulin, diabetes akan berlaku.

Secara amnya, diabetes boleh di klasifikasikan kepada jenis jenis iaitu diabetes jenis pertama (I) dan diabetes jenis kedua (II).

Diabetes jenis I adalah diabetes yang disebabkan oleh kekurangan penghasilan insulin manakala diabetes jenis II adalah disebabkan oleh sel-sel badan menjadi tidak peka terhadap kesan insulin.

Apabila paras glukosa di dalam darah meningkat secara berlebihan, pesakit akan mendapat tanda-tanda seperti selalu dahaga, kerap kencing, kencing malam, selalu letih, penurunan berat badan yang mendadak dan kebas-kebas pada jari kaki atau tangan.

Peningkatan tahap glukosa yang tidak terkawal ini boleh menyebabkan komplikasi seperti penyakit kulit, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, kerosakan mata, kerosakan pada kaki dan sebagainya.

Selalunya, pesakit diabetes jarang mendapat maklumat mengenai kemungkinan kerosakan pada kaki akibat daripada diabetes yang tidak terkawal.

Hasilnya, banyak kes-kes sedemikian yang terdapat di hospital sehingga menjuruskan kepada pembedahan besar pada kaki seperti pemotongan (amputasi) bawah lutut atau atas lutut, bahkan ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius sehingga boleh maut.

Kerosakan kompleks pada kaki yang disebabkan oleh penyakit diabetes ini dinamakan penyakit kaki diabetes (diabetic foot).

Kesan pada kaki

Semua pesakit diabetes berisiko untuk mendapat penyakit kaki diabetes. Kesan daripada diabetes yang kronik pada kaki boleh dilihat seperti kulit kering dan senang merekah akibat kurang berpeluh, kurang atau hilang bulu kaki, peningkatan pigmentasi (hyperpigmentation) pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.

Selain itu, diabetes juga boleh menyebabkan kerosakan pada saraf (neuropati) dan penyakit vaskular.

Dua faktor ini boleh mempercepatkan lagi kerosakan pada kaki sekiranya tahap glukosa tidak terkawal.

Neuropati akan menyebabkan seseorang tidak sedar akan kerosakan pada kakinya sekiranya terdapat luka, pecah atau pun kudis (ulser).

Selain itu, neuropati juga boleh menyebabkan otot-otot kecil (intrinsic) pada kaki menjadi lemah. Ini menyebabkan bentuk kaki menjadi tidak normal dan penampungan berat badan pada kaki menjadi tidak sekata.

Masalah ini menyebabkan ulser mudah terbentuk terutamanya pada bahagian yang terkena atau menampung banyak tekanan.

Penyakit vaskular pula menyebabkan nutrisi dan oksigen tidak sampai pada kaki dan seterusnya menyebabkan luka lambat sembuh.

Penyakit vaskular ini juga adalah komplikasi bagi perokok-perokok tegar. Anda dinasihatkan segera berhenti merokok sekiranya anda disahkan menghidap diabetes.

Antara 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes akan mendapat masalah neuropati pada kaki mereka. Dari jumlah ini, 25 peratus akan mendapat masalah ulser yang kronik.

Dari 25 ini pula, separuh akan mendapat jangkitan kuman yang memerlukan rawatan intensif seperti kemasukan wad, antibiotik intravenus dan pembedahan mencuci luka.

Lebih malang lagi, 20 peratus daripada pesakit terbabit terpaksa melalui amputasi bagi mengawal jangkitan supaya tidak terus merebak.

Agak menakutkan kerana data yang ada juga menunjukkan separuh daripada pesakit yang telah menjalani amputasi besar kemungkinan akan melalui amputasi kaki bersebelahan, dalam tempoh kurang lima tahun.

Malah, kadar kematian juga meningkat bagi pesakit-pesakit yang telah melalui amputasi besar sekiranya cara hidup dan pengawalan glukosa tidak berubah.

Komplikasi pada kaki akibat diabetes yang tidak terkawal ini selalunya berkait rapat dengan cara hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, kurang senaman dan amalan makanan yang tidak seimbang.

Pesakit juga perlu mengikut arahan doktor mengenai penjagaan diabetes seperti mengambil ubat mengawal gula darah, mengikut sukatan dan masa yang betul.

Selain dari kesedaran yang kurang mengenai komplikasi ini, orang ramai juga selalunya takut untuk mendapatkan rawatan awal kerana mengaitkan rawatan kaki diabetes dengan amputasi.

Jangan bimbang untuk berjumpa dengan doktor kerana bukan semua luka atau ulser pada kaki diabetes mesti dipotong. Malah rawatan yang awal akan dapat menyelamatkan kaki anda dari amputasi.

Pencegahan

Penjagaan kaki diabetes ini agak rumit sekiranya ianya sudah berlaku. Oleh itu, pencegahan dan pengawasan adalah dua prinsip asas yang penting bagi mengurangkan risiko berlakunya kaki diabetes.

Bagi pesakit-pesakit yang sudah pun mendapat neuropati atau penyakit vaskular, penjagaan kaki yang betul boleh mengurangkan risiko untuk mendapat ulser atau jangkitan kuman pada kaki.

Walaupun begitu, perlu ditekankan sekali lagi bahawa langkah-langkah tadi hanya berjaya jika langkah utama seperti pengawalan tahap glukosa yang optimum dapat dilakukan.

Pencegahan dan pengawalan kaki diabetik ini memerlukan sokongan dan penglibatan dari berbagai kepakaran seperti pakar endokrin, pakar ortopedik, pakar bedah vaskular, juru-fisioterapi, jururawat diabetik dan pakar pemakanan.

Bagi pesakit yang terpaksa melalui proses amputasi, mereka memerlukan juga khidmat pegawai kebajikan, ahli prostetik dan juru pulih kerja.

Di sesetengah hospital, terutamanya di negara-negara Barat, sudah ada khidmat dari pakar kaki (podiatrist) yang boleh memberikan khidmat dan nasihat yang lebih menyeluruh mengenai penjagaan kaki untuk pesakit-pesakit diabetes.

Pengawalan dan pencegahan kaki diabetes sebenarnya penting bagi mengurangkan risiko morbiditi dan kematian pesakit-pesakit diabetes, sama seperti perlunya tekanan dan kesedaran tentang masalah dan komplikasi diabetes pada sistem atau organ yang lain.

Komplikasi diabetes pada kaki memberikan impak yang besar pada pesakit, keluarga mereka dan masyarakat.

Mereka terpaksa menggunakan wang, masa dan tenaga untuk berubat. Malah kualiti hidup mereka juga terjejas kerana terpaksa berulang alik ke hospital atau dimasukkan ke hospital untuk rawatan yang lebih agresif.

Oleh itu, kesedaran yang menyeluruh penting bagi mengekalkan hidup yang sihat melalui pencegahan, pemantauan pesakit-pesakit yang berisiko, mencegah dari berulangnya komplikasi dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat umum.

Kawal kolestrol untuk jantung sihat



Khazali Din (tiga dari kanan) bersama-sama peserta program Walk A Mile anjuran Yayasan Jantung Negara dan Nestle Omega dengan kerjasama akhbar Mingguan Malaysia bersedia untuk berjalan sejauh 1.5 kilometer yang bermula di Dataran Pahlawan Jalan Tunku Bendahara Alor Star baru-baru ini.


KOLESTROL ialah bahan lembut seperti lilin yang terdapat dalam aliran darah dan sel badan kita. Ia penting untuk membantu badan berfungsi dan pembentukan membran sel dan hormon yang dibawa melalui lipoprotein.

Lipoprotein Densiti Tinggi (HDL) adalah kolestrol baik yang mampu mengelakkan endapan kolestrol. Selain itu, Lipoprotein Densiti Rendah (LDL) merupakan kolestrol tidak baik yang boleh berkumpul pada dinding arteri dan membentuk plak yang menyumbat arteri.

Ini akan menyempitkan aliran darah dan oksigen yang membuatkan seseorang diserang sakit jantung atau strok. Justeru itu, amat penting bagi anda mengawas tahap kolestrol dan mengawalnya demi kesihatan jantung.

Salah satu caranya mengawal kolestrol dengan mengambil makanan serta minuman sihat seperti susu yang mengandungi sterol tumbuhan.

Namun, kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan pengambilan susu sebagai diet tambahan masih rendah berbanding negara-negara lain.

Hakikatnya, susu mempunyai kalsium tinggi untuk membantu tulang yang kuat.

Menurut Penjenamaan Kanan, Unit Perniagaan Susu Nestle Products Sdn. Bhd, Lam Pui Yuee, negara-negara Barat kerana masyarakat di sana menjadikan amalan meminum susu sebagai makanan utama dalam kehidupan harian mereka.

"Meminum susu merupakan cara terbaik dan paling mudah untuk mendapatkan bekalan kalsium yang mencukupi.

Amalan ini memperlahankan kehilangan kalsium dalam tulang sekali gus mengelak daripada masalah osteoporosis," katanya yang ditemui di pejabat Nestle yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Perlu diingatkan bahawa semakin meningkat usia kita, tulang akan kehilangan lebih banyak kalsium dan ketika itu akan berlaku pelbagai penyakit kerana ketahanan badan turut berkurangan.

Tambah Pui Yuee, dua gelas sehari membekalkan 100 peratus saranan pengambilan kalsium setiap hari untuk orang dewasa yang berumur 19 hingga 50 tahun.

"Misalnya susu Nesvita Omega Plus Acticol dihasilkan melalui serat tumbuhan yang boleh didapati secara semula jadi di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, legum, kacang dan bijian.

Bahan-bahan ini menghalang penyerapan kolestrol dari usus kecil ke dalam aliran darah.

Kajian membuktikan, dua gelas susu ini membekalkan 1.2 gram sterol tumbuhan dan boleh mengurangkan kolestrol LDL sebanyak tujuh peratus dalam 30 hari," ujarnya.

Sementara itu, lebih 500 orang membanjiri kawasan Dataran Pahlawan pada 25 April lalu bagi memeriahkan kempen Walk A Mile anjuran bersama Yayasan Jantung Negara (YJN), Nestle Omega Plus dan akhbar Mingguan Malaysia.

Kempen itu turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Program berjalan kaki itu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir pukul 11 pagi.

Ia menarik perhatian warga bandar raya itu termasuk pelajar sekolah serta warga emas yang prihatin dengan kesihatan jantung.

Program yang masuk tahun ke-9 itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din yang bersama-sama Pengarah YJN, Datuk Gurbakhash Singh; Pengurus Acara Nestle Products Sdn. Bhd., Yang Kalsom Omar dan Ooi Lee Beng.

Bagi memeriahkan lagi program berkenaan, pelbagai acara sampingan diadakan seperti pertandingan mewarna kategori kanak-kanak serta pameran dan pemeriksaan kesihatan selain cabutan bertuah.

Peserta juga dihiburkan dengan persembahan artis, Fazli Zainal.

Kedah merupakan negeri pertama Walk A Mile diadakan pada tahun ini dan ia diikuti Melaka (24 Mei), Kuantan (21 Jun), Pulau Pinang (26 Julai) dan lokasi terakhir Kuala Lumpur (18 Oktober).

Perlu sedia menghadapinya





SEKALI lagi virus selesema influenza menimbulkan kebimbangan penduduk dunia. Di ketika pemantauan terhadap selesema burung masih diteruskan, timbul pula 'saudara dekatnya', selesema babi dan sekali lagi kita semua disampaikan berita kemungkinan wabak pandemik virus selesema terbaru ini.

Untuk orang ramai yang kurang atau tiada ilmu perubatan, asas utama menghadapi situasi sebegini adalah untuk tidak panik dan mengelakkan mengambil tindakan melulu. Ketahui bahawa kesemua sumber dan kepakaran negara kita sedang dan telah digerakkan sepenuhnya bagi menyekat dan menangani ancaman terbaru ini.

Kenali pandemik

Pandemik merujuk kepada epidemik (wabak) besar-besaran yang melibatkan satu kawasan besar atau seluruh dunia. Sejarah mencatatkan virus influenza telah menyebabkan beberapa pandemik yang membunuh berjuta-juta manusia sebelum ini. Gejala biasa jangkitan virus selesema pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.

Kesemua wabak influenza pada 1918 (Eropah), 1957 (Asia) dan 1968 (Hong Kong) tidak menyebabkan kematian di merata dunia tetapi di dalam satu kawasan atau benua sahaja. Amerika Syarikat (AS) yang gempar dengan kemunculan selesema babi di New Jersey pada 1976 akhirnya berdepan misteri bagaimana ia bermula dan kenapa ia tiba-tiba hilang begitu sahaja.

Kebanyakan pakar mengakui bahawa virus influenza, yang amat mudah mengalami mutasi, sukar diramal kesan dan tindak balasnya pada manusia. Seperti juga wabak influenza terdahulu, kebanyakan kes selesema, termasuk selesema burung, datang dan pergi dalam keadaan yang agak misteri.

Wabak terbaru selesema babi (H1N1) yang dikatakan bermula di Mexico sekitar dua minggu lalu juga menunjukkan ciri-ciri misteri keluarga virus ini. Pegawai kesihatan di sana masih sukar mengesan dari mana punca jangkitan pertama (babi ke manusia) dan corak jangkitan serta kematian berbeza mengikut kawasan. Apa yang telah dipastikan adalah virus baru ini sememangnya boleh dan mudah berjangkit antara manusia tetapi kadar kematiannya agak rendah (kecuali jika terdapat komplikasi).

Rantau Asia, lebih-lebih lagi Malaysia, diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih bersedia dari segi pemantauan dan tindak-balas segera dalam mengawal penularan penyakit berjangkit selepas menghadapi ancaman Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung H5N1.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga mengesahkan tindakan pemantauan rapi selesema babi bersama WHO telah bermula bagi mengekang kemasukan virus tersebut ke dalam negara. Selain pemantauan sepenuh masa, beliau turut menyarankan orang ramai yang mempunyai tanda selesema (flu) supaya segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan nasihat pakar.

Perkembangan

Sehingga 30 April lalu, pesakit di 12 negara (termasuk AS dan Mexico) disahkan dijangkiti virus selesema babi H1N1, dengan 15 negara lagi di Eropah dan Asia disyaki mempunyai kes jangkitan. Sebanyak 177 kematian juga disahkan akibat virus tersebut sementara lebih 3,000 yang lain disyaki atau disahkan dijangkiti H1N1.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican juga memaklumkan WHO telah meningkatkan amaran Influenza Pandemik (wabak) selesema babi dari Fasa 3 kepada Fasa 4 berikutan peningkatan bilangan kes yang disahkan di seluruh dunia. Beliau bagaimanapun menegaskan perubahan itu bukan bermakna ia tidak dapat dibendung dan sehingga kini belum ada kes berkenaan dikesan dalam negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga kini dibantu Jabatan Imigresen dengan penggunaan alat pengesan suhu badan di pintu-pintu masuk utama negara, terutamanya di lapangan terbang.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula akan memberi kerjasama dengan memantau perkembangan ternakan babi di seluruh negara bagi memastikan tiada penyebaran virus yang boleh berjangkit kepada manusia.

Influenza dan babi

Buat masa ini, H1N1 dianggap tidak boleh menjangkiti manusia melalui daging babi, selagi dimasak dengan elok. Bagaimanapun, apa yang membimbangkan adalah virus ini mungkin dapat menjangkiti babi yang masih hidup dan seterusnya mampu menjangkiti manusia semula.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memaklumkan virus selesema babi kebiasaannya disebarkan melalui hubungan terus dengan bangkai atau babi hidup yang dijangkiti. Virus H1N1 yang baru pula menunjukkan kemampuan baru untuk merebak terus dari manusia (yang dijangkiti) kepada manusia lain.

Kebiasaannya, virus selesema babi biasa hanya mengancam pekerja ladang babi dan jangkitannya tidak berbahaya jika tiada komplikasi. Namun, H1N1 versi baru menunjukkan ia boleh disebarkan lebih jauh dan lebih mudah melalui hubungan terus antara manusia.

Ditambah keupayaan adunan genetik dan mutasi yang tinggi ahli keluarga virus ini, risiko pembentukan virus baru yang lebih berbahaya meningkat jika babi diternak dalam kumpulan besar bersama haiwan lain, dan berhampiran penempatan manusia. Babi sebelum ini dikenalpasti sebagai perumah dan punca kepada Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah. Haiwan ini juga menjadi inkubator untuk virus influenza dari spesies berlainan (termasuk manusia dan unggas) yang memudahkan adunan bahan genetik dari virus berlainan untuk membentuk satu virus baru. Ini yang dipercayai berlaku di Mexico dengan adunan genetik virus influenza babi, unggas dan manusia.

Oleh itu, fokus bukan sahaja penting terhadap kemasukan virus H1N1 dari luar negara tetapi juga kemungkinan pembentukan dan penyebaran di kalangan ternakan babi dalam negara. Negara juga menghadapi risiko lebih besar jika terdapat penternak yang menternak terlalu banyak babi dalam satu kawasan sempit atau diternak bersama banyak spesies haiwan lain.

Ternakan besar dalam satu kawasan bukan sahaja membolehkan 'adunan genetik virus', malahan memudahkan lagi penyebaran virus baru kepada ternakan lain, penternak dan juga penduduk setempat. Selain itu, isu kebersihan yang jelas dilihat di kebanyakan ladang ternakan, terutamanya ladang haram, perlu dipantau kerana ini akan meningkatkan risiko penyebaran virus, terutamanya melalui pembuangan najis ke dalam sungai.

Kajian sebuah universiti tempatan bersama JPV dari 2005 hingga 2007 menunjukkan sekitar 12 peratus ternakan babi tempatan mempunyai antibodi terhadap H1N1 (pernah dijangkiti virus selesema babi). Namun, tiada jangkitan pada manusia dalam tempoh tersebut menunjukkan virus berkenaan berbeza dengan H1N1 di Mexico.

Dengan 797 ladang babi yang beroperasi secara sah di seluruh negara, tindakan membunuh semua ternakan babi (seperti di Mesir) atau mengharamkan jualan dagingnya, mungkin tidak sesuai untuk masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia. Bagaimanapun, pemantauan dan tindakan tegas amat penting terhadap penternak yang tidak menjaga kebersihan ladang, mahupun penternak haram yang bukan sahaja membahayakan penduduk setempat tetapi seluruh negara.

Arahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar supaya penternak melaporkan masalah kesihatan ternakan dan pekerja juga perlu diutamakan. Jangan dibiarkan pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan masalah kesihatan seperti JE atau virus Nipah berulang dengan nama berbeza, selesema babi H1N1.

Jangan panik dan utamakan kebersihan diri dan persekitaran anda bagi melindungi diri dan keluarga daripada penyakit seperti selesema burung atau babi atau mana-mana penyakit berjangkit lain. Maklumat lanjut mengenai selesema babi H1N1 boleh diperolehi dengan melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia www.moh.gov.my atau melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 (waktu pejabat sahaja).