27.4.08

‘Kahwin’ mesin seawal usia 5 tahun


TIFLI Awadi Hamidi baru berusia lapan tahun, namun terpaksa ‘berkahwin’ sejak tiga tahun lalu dengan PD atau Peritonial Dialisis, sebuah mesin merawat sistem perkumuhan badan yang akan menemaninya tidur buat selama-lamanya.

PD mesti bersama dengan Tifli Awadi selama lapan jam sehari pada hari biasa dan lebih lama lagi sehingga 12 jam ketika hujung minggu.

‘Perkahwinan’ itu adalah ikatan setia yang kekal selama-lamanya kerana Tifli Awadi tidak boleh berkahwin dengan mana-mana gadis apabila dewasa kelak, tiada berdaya untuk mempunyai zuriat dan mereka hanya akan terpisah jika Tifli Awadi menemui ‘cinta baru’.

‘Cinta baru’ tersebut walau bagaimanapun adalah sesuatu yang agak mustahil kerana senarai yang menunggu untuk mendapatkan buah pinggang masih sangat panjang di negara ini, kata ibunya, Norita Senin Abu, 39, yang mempunyai lima orang anak.

Menurut Norita, masalah buah pinggang yang membelenggu hidup satu-satunya anak lelaki beliau itu bermula sejak dari dalam kandungan dan Tifli Awadi menerima rawatan semenjak dia dilahirkan pada 22 Mac 2000 dan setakat ini, menjalani tujuh pembedahan.

“Hati siapa yang tidak terharu melihatkan nasib yang menimpa budak semuda Tifli Awadi yang terpaksa dilekatkan dengan tiub di perut dan tidur bertemankan mesin PD itu pada setiap hari dan harus memakai lencana ‘Sedang Dirawat’ ketika di sekolah.

“Syukur kepada Allah Taala, anak saya itu nampak cergas seperti budak-budak lain walaupun saya tidak pernah berpeluang membawanya dan kakak serta adik-adiknya bersiar-siar ke negeri lain kerana bergantung pada mesin PD itu,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Hamidi Hamid yang berusia 39 tahun.

Mengimbas kembali detik-detik sewaktu Tifli Awadi dilahirkan, ujar Norita, anaknya itu lahir dalam keadaan lemas dan tidak dapat bernafas kerana kegagalan buah pinggang untuk melakukan proses perkumuhan secara normal.

Akibatnya, lebihan air kencing Tifli Awadi itu telah meresap ke bahagian dan organ badan terutama paru-paru, jantung dan menyebabkan kedua-dua buah pinggang menjadi bengkak.

Ekoran itu, Tifli Awadi diberikan oksigen sebagai alat bantuan pernafasan dan dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang Puteri selama dua bulan selepas dilahirkan.

Ketika mula dimasukkan ke ICU, doktor pernah memberitahu bahawa anaknya itu sudah tiada harapan lagi dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan untuk membolehkan Tifli Awadi kembali normal seperti kanak-kanak lain, jelasnya.

“Doktor itu kata anak puan dah tidak ada harapan, harap puan bawa balik dan buat persiapan yang sewajarnya,” kata Norita dengan nada yang sebak dan linangan air mata sambil memeluk erat Tifli Awadi yang tersenyum tanpa menyedari penderitaannya.

Kini, dengan kuasa Allah Taala, lapan tahun telah berlalu dan Tifli Awadi menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain secara luarannya kecuali makan berpantang terutama ayam, kadangkala mengalami lelah dan tidak boleh berjalan jauh termasuk balik kampung di hari lebaran sama ada Perak atau Johor.

Mengenai kos perubatan yang ditanggung, beliau sekeluarga sangat bersyukur dengan bantuan olah Yayasan Buah Pinggang yang menolong meminjamkan mesin PD itu selain bantuan kerajaaan yang mendermakan air perkumuhan secara percuma yang kosnya dianggarkan RM2,000 sebulan.

Menyara

Dengan pendapatan seisi rumah sekitar RM3,500 sebulan, Norita dan suami masih mampu menyara keperluan asas kelima-lima anaknya yang berusia dari setahun lima bulan hingga 13 tahun termasuk Tifli Awadi, walaupun terpaksa berkorban rancangan untuk pergi bercuti atau membeli kereta baru.

Ditanya apa nasihat beliau kepada masyarakat di luar terutama yang senasib dengan Tifli Awadi, Norita berkata, kasih sayang adalah keperluan utama bagi anak yang sakit begitu kerana mereka biasanya lebih sensitif dan lambat berfikir atau bertindak.

Selain memberi perhatian terhadap kerja-kerja merawat menggunakan mesin serta memantau berat badan, tekanan darah dan keceriaan Tifli Awadi setiap masa, ibu bapa dan ahli keluarga yang lain perlu memberi lebih kasih sayang kepada anak ‘istimewa’ ini.

Walaupun sibuk dengan kerja-kerja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak dan merawat Tifli Awadi setiap hari, Norita sanggup berkongsi pengalamannya mengendalikan anak yang bermasalah buah pinggang menerusi e-mel ke norita@iiu.edu.my.

0 comments: