27.4.08

Spa dalam suasana rimba



RUANG rehat di luar yang menghadap taman dan kolam renang.


SUASANA santai lagi menyamankan dapat dilihat sebaik melangkah kaki ke spa ini yang menggunakan dekorasi bercirikan kerimbaan. Pokok-pokok hutan, buluh dan kayu bakau telah digunakan sebagai bahan utama dalam hiasan dalaman spa yang eksklusif ini.Walaupun usianya setahun jagung, namun RimBa SPA yang terletak di tingkat tiga Royale Bintang Hotel telah pun dianugerahkan Best New Hotel Spa 2007 oleh Malaysia SPA and Wellness Awards 2007 baru-baru ini.

Spa mempunyai keluasan 8,000 kaki persegi ini lengkap dengan bilik rawatan, ruang menunggu, taman dan tempat menyambut tetamu.

Haruman aromaterapi dan alunan muzik lembut memberi kesegaran dan kenyamanan kepada pelanggan yang sedang menunggu giliran bagi menjalani rawatan.

Sambil menunggu, pelanggan boleh menikmati keindahan taman di luar yang bersekali dengan kolam renang. Rimbunan pokok-pokok hijau dan gazebo di samping alunan air yang mengalir mengelilinginya memberi ketenangan.

Memasuki sahaja lorong ke bilik rawatan, pencahayaan daripada lampu-lampu neon dan hiasan pokok-pokok menjalar memberi ilusi seakan memasuki gua yang menyimpan seribu rahsia kecantikan.

Penolong Pengurus Besar JojoBa International, Paul Ng berkata, RimBa SPA adalah antara empat buah spa yang bernaung dalam JojoBa International.

Lain ialah Royale SPA di The Royale Bintang Damansara, JojoBa SPA di Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre dan JojoBali SPA di Palace of The Golden Horses, Kuala Lumpur.

Menurutnya, setiap cawangan mempunyai ciri yang tersendiri. RimBA SPA berciri rimba dan dinamakan Truly Malaysia Spa, manakala yang lain berciri Bali, semula jadi dan tropika.

Spa yang dirasmikan pada 6 Oktober 2006 ini mempunyai sembilan buah bilik rawatan. Setiap satunya mempunyai jakuzi dan bilik air serta dua katil. Ia sesuai untuk pasangan suami isteri yang ingin menjalani rawatan bersama. Namun begitu katil-katil itu dibahagikan oleh deretan kayu bakau yang bukan sahaja mewujudkan suasana rimba tetapi satu dekor yang menarik.

Bagi menguatkan ciri tempatan, turut digunakan kain batik sebagai pengalas katil. Setiap bilik dinamakan mengikut negeri di Malaysia bagi mewujudkan suasana mengikut konsepnya iaitu Truly Malaysia Spa.

Katanya, rawatan yang paling popular di sini ialah Rimba Signature yang memakan masa selama 150 minit. Ia dimulai dengan mandian stim dengan aroma serai bagi membantu menyingkirkan toksin dan membaiki pengaliran darah.

Kemudian disertai dengan skrub badan dengan menggunakan betik bagi membantu stimulasi metabolisme dan melambatkan proses penuaan.

Setelah itu, tubuh disapu dengan masker timun yang boleh menyingkirkan toksin.

Pelanggan pula akan menjalani mandi bunga lavender bagi merehatkan minda dan disusuli dengan jakuzi lemon dan bunga-bungaan. Ia akan mencantikkan kulit.

Akhir sekali pelanggan akan diurut dengan minyak kelapa selama 45 minit bagi meningkatkan hipotiroidan yang memecahkan lemak dan seterusnya pelanggan dihidangkan dengan buah-buahan di kawasan taman. Inilah satu keunikan yang terdapat di spa ini yang menjadi tarikan pelanggan.

0 comments: