Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27.4.08

HMFD terkawal di Johor


JOHOR BAHRU 25 April – Pemantauan berterusan Jabatan Kesihatan Negeri mendapati penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini terkawal dengan hanya 12 kes dilaporkan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal untuk memastikan penyakit berkenaan tidak merebak.

“Kami sentiasa menitikberatkan amalan penjagaan kebersihan di kalangan kanak-kanak di tadika dan murid-murid.

“Sekiranya penyakit ini dikesan, kami akan mengambil langkah untuk mengawalnya dan memastikan ia tidak berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam agensi berita antarabangsa, Associated Press melaporkan beberapa buah sekolah di Singapura dijangka ditutup buat sementara berikutan jumlah kanak-kanak dan murid yang menghidap HFMD semakin meningkat.

Berdasarkan perangkaan, seramai 7,560 kanak-kanak di Singapura telah dijangkiti penyakit itu pada tahun ini.

Menurut Robia, menerusi pemantauan sepanjang tiga minggu ini, tiada sebarang kes berkaitan HFMD dilaporkan di negeri ini.

“Kami menggerakkan pemantauan dengan melibatkan Jabatan Kesihatan Daerah di samping mendapatkan maklumat daripada klinik-klinik kesihatan dan sehingga kini keadaan adalah terkawal,” katanya.

Jelas beliau, pengawalan penyakit HFMD ditumpukan kepada usaha meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak untuk menjaga kebersihan diri.

“Amalan seperti membasuh tangan dan menjaga kebersihan sememangnya diberi penekanan terhadap golongan kanak-kanak.

“Bagaimanapun, ada kes, kami akan segera mengasingkan pelajar tersebut untuk mengelakkan ia daripada berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya.

Penyakit HFMD secara lazimnya menyerang kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun dengan menyebabkan pesakitnya mengalami demam, ruam pada kulit dan bengkak.

0 comments: