Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27.4.08

Tapak binaan biak aedes


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN


ADNAN Md. Ikhsan (kiri) dan Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr. Abdul Rahim Ahmad memeriksa salah satu tapak pembinaan ketika Operasi Gerak Gempur memerangi aedes di Subang Jaya kelmarin.

SUBANG JAYA 25 April - Tapak pembinaan dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah demam denggi di Selangor sukar diatasi dengan berkesan sejak sekian lama.

Ini terbukti apabila 17 tapak pembinaan di Subang Jaya dan Shah Alam diarahkan tutup selepas dikesan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam Operasi Gerak Gempur yang diadakan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar berkata, daripada jumlah itu, 15 tapak pembinaan terletak di Shah Alam manakala dua lagi di Subang Jaya.

Menurutnya, jumlah itu belum muktamad kerana masih banyak tapak pembinaan di seluruh negeri itu yang masih belum diperiksa.

Beliau berkata, pihaknya tidak menutup lokasi yang disahkan positif pembiakan nyamuk aedes sesuka hati, sebaliknya berpandukan kepada kriteria yang ditetapkan oleh undang-undang.

"Jika pemeriksaan mendapati terdapat lebih tiga lokasi pembiakan aedes, maka tempat terbabit akan dikenakan perintah tutup selama lima hari bagi membolehkan kerja-kerja membersihkan kawasan dijalankan.

"Bagi kawasan yang mempunyai satu lokasi pembiakan nyamuk, kompaun akan dikenakan manakala notis akan diberikan bagi kawasan yang didapati berpotensi membiak nyamuk," katanya.

Xavier menasihatkan semua pihak termasuk pemaju perumahan supaya menjaga kebersihan dan memastikan tiada bahan terbuang boleh dijadikan tempat pembiakan serangga itu.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak 28 tapak pembinaan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diperiksa sementara empat tapak di Subang Jaya.

"Kami dapati kelemahan dari segi pembersihan kawasan selain barangan binaan yang tidak tersusun rapi menjadi punca utama pembiakan nyamuk aedes di kawasan pembinaan," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, notis henti kerja dikeluarkan ke atas tapak pembinaan di USJ 8 dan USJ 9.

Katanya, satu daripada tapak pembinaan itu dikesan mempunyai empat kawasan pembiakan nyamuk manakala satu lagi tapak mempunyai 10 tempat pembiakan nyamuk.

Salah sebuah tapak itu pula merupakan projek di bawah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Pemaju projek itu juga dikatakan pernah diberikan notis yang sama atas kesalahan yang sama pada bulan Februari lalu.

Walaupun pengurus projek itu menyatakan bahawa tapak projek itu disembur kabus (fogging) setiap dua minggu sekali tetapi ia tidak menghalang MPSJ daripada mengeluarkan notis henti kerja itu.

Dalam operasi yang sama, kata Adnan, MPSJ turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap sebuah lagi tapak pembinaan di Jalan SS13 setelah dikesan mempunyai dua kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Pemaju terbabit dikenakan kompaun RM500 bagi setiap tempat pembiakan nyamuk aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Penyakit 1975 (Pindaan 2000).

Bagaimanapun, tapak pembinaan itu 'terselamat' daripada dikenakan notis henti kerja kerana hanya dua kawasan pembiakan nyamuk ditemui.

Katanya, terdapat 44 kawasan pembinaan di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ dengan 31 daripadanya masih aktif manakala 13 yang lain terbengkalai.

Adnan berkata, bagi kawasan pembinaan yang terbengkalai, pemeriksaan tetap dijalankan dan pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap pemaju terakhir tapak binaan berkenaan jika didapati mempunyai kawasan pembiakan nyamuk.

Katanya, operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut zon supaya gejala demam denggi di seluruh MPSJ dan negeri Selangor dapat dikawal.

Dari 1 Januari hingga 19 April lalu, sebanyak 577 kes disyaki demam denggi telah dilaporkan di kawasan MPSJ dengan 341 daripadanya disahkan positif termasuk 39 kes demam denggi berdarah.

Di Shah Alam pula, sejumlah 914 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama dengan 342 daripadanya disahkan positif denggi dengan tujuh kes demam denggi berdarah.

Klang merupakan daerah yang mempunyai jumlah kes positif tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 469 kes daripada 721 kes yang dilaporkan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 3,735 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Selangor sepanjang tempoh tidak sampai empat bulan itu dengan 1,685 kes disahkan positif termasuk 81 kes demam denggi berdarah.

0 comments: