Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27.4.08

30 tahun penduduk hidu habuk simen


IPOH 24 April - Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memantau masalah habuk simen yang didakwa mencemari kawasan kediaman di sekitar kilang pengeluar simen terkenal Tasek Cement Corporation (TCC) di Kawasan Perindustrian Tasek di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia, A.Sivanesan berkata, jawatankuasa seramai 11 orang akan diwakili lima wakil penduduk, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), wakil TCC, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

"Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk pulih seperti sedia kala.

"Saya tidak mahu kilang ini ditutup kerana ia mengakibatkan penduduk kehilangan mata pencarian," katanya kepada pemberita selepas melawat TCC di sini hari ini.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif TCC, Tan Kim Meng berkata, pihaknya telah melabur sebanyak RM3.289 juta untuk memastikan persekitaran kilang itu sentiasa bersih dan tidak mendatangkan masalah kepada penduduk.

Antara langkah ialah memasang alat pemantau bagi mengesan kualiti habuk di Taman Wah Keong, Taman Kinta dan Taman Permai sebelum ini di samping mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Sebelum itu penduduk sekitar kawasan kilang itu menyerbu kilang tersebut bagi mendapatkan kepastian mengenai punca habuk simen yang kian banyak berterbangan di sekitar kawasan perumahan berdekatan kilang itu.

Mereka mendakwa TCC tidak membuat langkah pengawalan debu yang terhasil dalam proses pembuatan simen di kilang berkenaan yang dibuka sejak 1964.

Debu kasar terbabit menyerupai kertas pasir dan boleh menyebabkan luka pada tangan sekiranya bergesel di samping mencemarkan kesihatan, dakwa mereka.

Seorang penduduk Fair Park, Tay Heng Choon, 77, berkata masalah habuk simen yang berterbangan itu berlaku sejak 30 tahun lepas.

Katanya, bumbung dan dinding kenderaan mereka juga rosak akibat habuk itu yang dipercayai mengandungi merkuri, arsenik dan zink.

"Kebanyakan penduduk di sini merupakan warga emas dan kami terpaksa membuat pemeriksaan kesihatan yang kerap kerana tidak mahu dijangkiti sebarang penyakit setelah mengidu habuk ini setiap hari.

Sharanjit Singh Guldip Singh, 38, mendakwa TCC hanya akan melepaskan habuk simen semasa penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak bertugas.

"Cat kereta saya rosak teruk akibat habuk ini," katanya.

0 comments: