7.9.09

Serat bantu lambatkan lapar


Oleh Hafizah Iszahanid
y




Aspek pemakanan sihat penting didik kanak-kanak berpuasa

PEMILIHAN makanan yang betul membantu kanak-kanak dalam menjalani ibadah puasa. Walaupun mereka mungkin tidak mampu berpuasa penuh sehari, namun memberi mereka juadah mengikut piramid makanan membantu melambatkan proses lapar.

Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Norlaily Md Nasir, berkata aspek pemakanan sihat dan seimbang penting dalam mengajar kanak-kanak berpuasa.


“Makanan berserat perlu ditekankan kerana ia melambatkan proses lapar,” katanya.

Selain makanan berserat, pilihlah makanan seperti roti, nasi, bijirin dan ubi juga perlu dihidangkan ketika berbuka dan bersahur bagi membekalkan tenaga kepada kanak-kanak.

“Daging, ayam, ikan, kekacang, susu dan hasil tenusu perlu ada dalam penyediaan juadah berbuka puasa kerana ia penting dalam membekalkan sumber protein dan kalsium yang berguna untuk pertumbuhan dan kesihatan tulang mereka.

“Ada persepsi kononnya mengambil makanan berminyak dapat membantu kanak-kanak menjalani ibadah puasa dengan melambatkan rasa lapar. Bagaimanapun, ia salah sama sekali sebaliknya, pengambilan makanan yang berminyak membahayakan kesihatan.

“Makanan berminyak cenderung meningkatkan risiko obesiti dan penyakit. Pilihlah makanan berserat kerana ia berupaya melambatkan rasa lapar,” katanya,

Lebih utama, kata Norlaily, banyak minum air kosong kerana ia bertindak menyingkirkan kotoran dan toksin dalam badan. Selain ia diperlukan bagi mengelak berlaku dehidrasi, ia juga memberi kesan yang buruk pada kesihatan kanak-kanak.

Perkara lain yang perlu diutamakan juga dalam pemilihan diet kanak-kanak sama ada mereka berpuasa atau tidak ialah pengambilan makanan yang membekalkan tenaga seperti roti, nasi, mi, bijirin, ubi dan kentang.

“Makanan berserat melambatkan proses lapar manakala makanan berprotein penting untuk pertumbuhan tisu badan,” katanya.

Norlaily berkata, selain kanak-kanak, ibu yang hamil pertama kali menjalani ibadah puasa juga perlu memberi tumpuan kepada pemilihan makanan.

Ini kerana banyak perubahan fisiologi ketika hamil, sekali gus keperluan kalori, nutrisi seperti protein, kalsium, zat besi dan vitamin serta mineral lain sangat diperlukan.

Pemakanan seimbang dan sihat ketika hamil masih diperlukan berdasarkan piramid makanan yang mengandungi empat aras makanan yang penting. Hidangan makanan yang diambil setiap hari perlulah mengandungi:

  • Aras pertama - nasi, roti, mi, bijirin dan ubi

    Makanan dalam aras ini berfungsi untuk membekalkan tenaga dan perkembangan janin.

  • Aras kedua - sayur-sayuran dan buah-buahan

    Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan vitamin dan mineral untuk mencegah berlaku sembelit ketika kehamilan. Vitamin C, vitamin A serta zat besi juga boleh diperoleh dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

  • Aras ketiga - ayam, daging, ikan, telur, kekacang, susu dan produk tenusu. Makanan dalam aras ini berfungsi membekalkan sumber protein yang penting dalam pertumbuhan tisu. Selain itu, makanan ini juga membekalkan sumber kalsium yang penting dalam pertumbuhan tulang serta zat besi untuk pembentukan darah.

  • Aras keempat - lemak, minyak, gula dan garam

    Makanan dalam aras ini membekalkan vitamin larut lemak (A, D, E dan K) serta asid lemak untuk perkembangan otak.

    Secara mudah, ibu hamil perlu mempelbagaikan pengambilan makanan dan tidak hanya mengambil satu jenis makanan saja kerana ia membekalkan pelbagai jenis nutrien yang diperlukan sepanjang kehamilan.

    Kata Norlaily, selain bertindak melambatkan proses lapar, pemilihan makanan berserat membantu mengelakkan sembelit terutama serat jenis tidak larut yang bertindak sebagai ‘span’ dalam menyerap air di usus.

    Ia membantu melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan. Makanan berserat juga dipercayai boleh menyingkirkan toksin dalam badan yang menyebabkan kita berasa lesu dan letih. Ini kerana kehadiran vitamin dan mineral dalam makanan berserat membantu proses penyingkiran toksin ini.

    Info

    Serat


  • Makanan berserat boleh didapati dalam dua bentuk iaitu serat larut dan serat tidak larut.

  • Serat larut berkesan mengurangkan tahap gula dan tahap kolesterol dalam darah. Ia juga menggalakkan penyerapan nutrien daripada makanan ke dalam badan. Contoh makanan yang mempunyai serat larut adalah sayur-sayuran (peria,kubis), buah-buahan, kekacang, bijirin penuh.

  • Serat tidak larut berfungsi memastikan salur pencernaan bebas halangan. Serat jenis ini menyerap air, sekali gus membantu cepat kenyang. Antara bijirin penuh dan sayur-sayuran.
  • 0 comments: