7.9.09

Syarat derma paru-paru


Oleh Hafizah Iszahanid


Imbasan sinar-X paru-paru pesakit.

Selain ada pertalian, penderma masih hidup dapat tingkatkan hayat penerima 90 peratus

PENDERMAAN paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan dengan pesakit dilihat pilihan terbaik bagi pesakit yang berdepan dengan masalah paru-paru yang amat serius.

Ini berikutan senario pendermaan organ khususnya paru-paru, di Malaysia yang menyedihkan seperti masalah senarai menunggu organ yang panjang dan memungkinkan ramai pesakit meninggal dunia tanpa rawatan.


Justeru, pendermaan paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan dilihat sebagai pilihan rawatan terbaik.

Pakar Runding Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara, Dr Mohd Ezani Md Taib, berkata pilihan menerima organ daripada penderma hidup yang ada hubungan keluarga adalah antara pilihan perubatan yang cuba diperkenalkan di Malaysia.

“Di Malaysia, senario pendermaan organ terutama paru-paru memang sedikit terkebelakang berbanding jantung misalnya. Jadi, kaedah rawatan ini adalah antara pilihan rawatan yang terbaik.



“Secara asasnya, kaedah ini sama seperti pendermaan buah pinggang. Bezanya, pendermaan paru-paru mesti membabitkan penderma yang mempunyai hubungan keluarga. Kita juga tahu menunggu penderma kadaverik atau yang sudah mati memakan masa terlalu lama,” katanya.

Malah, mungkin ramai tidak menyedari, di negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun serta China, amalan pendermaan paru-paru daripada penderma hidup yang ada hubungan kekeluargaan sudah menjadi amalan perubatan biasa.

Ini diakui Pakar Bedah Torasik Universiti Kyoto, Jepun, Prof Dr Hiroshi Date, pendermaan paru-paru menjadi pilihan rawatan kepada pesakit yang mengalami masalah paru-paru kritikal dan mungkin tidak boleh bertahan lama dalam senarai penerima organ.

Katanya, berbanding senario pendermaan organ yang lain, pendermaan paru-paru sebaliknya memerlukan dua penderma yang sihat iaitu mesti ada pertalian atau hubungan kekeluargaan yang rapat dengan pesakit atau pun suami/isteri pesakit itu sendiri.

Pendermaan membabitkan mereka yang tiada hubungan kekeluargaan, sememangnya tidak dibenarkan.

Bagi pendermaan paru-paru, setiap penderma akan mendermakan sebahagian paru-paru bawah (lobus) di sebelah kanan atau kiri. Proses ini mengambil masa yang agak panjang dan membabitkan penilaian kesihatan penderma terlebih dulu.

Dr Date berkata, idea pendermaan paru-paru daripada dua orang yang berbeza tidak diterima bagi mengelak kemungkinan berlaku penolakan oleh salah satu lobus.

“Setiap orang ada lima lobus paru-paru. Tetapi bagi sesetengah orang, tindakan mendermakan satu lobus boleh mengurangkan fungsi paru-parunya daripada 50 peratus ke 20 peratus.

“Oleh itu, penderma melakukan pengorbanan yang amat besar kepada penerima. Atas alasan itu juga, tahap kesihatan penderma perlu dipastikan. Bagi penderma yang sihat, pengurangan satu lobus tidak menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya.

Katanya, tiada sebarang unsur paksaan dalam pendermaan organ dan setiap satu komplikasi pendermaan organ perlu diberitahu kerana ia membabitkan penderma hidup.

Namun, bukan semua orang boleh menjadi penderma. Hanya mereka yang sihat dan berusia antara 20 ke 60 tahun boleh berbuat demikian.

“Antara cabaran utama pendermaan paru-paru ialah sukarnya mencari saiz lobus yang tepat. Pesakit kanak-kanak boleh menerima paru-paru daripada ibu bapanya, pesakit wanita boleh menerima paru-paru daripada lelaki dewasa, namun pesakit lelaki dewasa sukar mendapat saiz paru-paru yang sesuai. Justeru banyak penilaian dan ujian perlu dilakukan,” katanya.

Berbanding penderma kadaverik, penerima paru-paru daripada penderma hidup terbukti lebih banyak kelebihannya. Antaranya peluang untuk terus hidup adalah 90 peratus dalam tempoh lima tahun berbanding menerima organ daripada penderma kadaverik - 50 peratus dalam tempoh lima tahun.

Selain itu organ yang diterima disifatkan ‘lebih segar’ dan pemindahannya dilakukan dalam prosedur yang lebih berhati-hati dan terancang.

“Prosedur membabitkan penderma kadaverik pula perlu dilakukan secara pantas iaitu bermula daripada saat ia diambil dari penderma,” katanya.

Dr Date berkata, pemindahan organ dilakukan antara ahli keluarga juga mengurangkan kemungkinan berlaku sebarang penolakan disebabkan persamaan genetik.

Ditanya mengenai pesakit yang sesuai melakukan prosedur pemindahan paru-paru, Dr Date berkata, antara kemungkinan yang menyebabkan pesakit memerlukan paru-paru baru ialah masalah hipertensi pada paru-paru (primary pulmanory hypertension) dan masalah fibrosis (idiophatic pulmanory fibrosis).

Di Amerika pada 2005, kebanyakan pembedahan pemindahan paru-paru membabitkan 27 peratus pesakit (sekatan paru-paru kronik - COPD), 16 peratus masalah fibrosis paru-paru, 14 peratus masalah sista fibrosis paru-paru, manakala bakinya disebabkan hipertensi di paru-paru dan radang paru-paru serius.

Di Jepun, pemindahan paru-paru membabitkan penderma hidup lebih popular berbanding menerima organ daripada penderma kadaverik. Malah, Dr Date sudah memulakan prosedur berkenaan sejak 1998.

Info

  • Pemindahan paru-paru membabitkan penderma hidup bermula pada 1990, tetapi ia tidak begitu dikenali.

  • Bagaimanapun, ia mula menjadi pilihan kebanyakan negara memandangkan waktu yang lama untuk menunggu organ daripada penderma kadaverik.

  • Pendermaan paru-paru memerlukan dua penderma. Setiap seorang akan mendermakan satu daripada lobus (sama ada bahagian kiri atau kanan).

  • Dua lobus itu akan dipindahkan kepada pesakit berdasarkan jumlah dan saiz yang berpadanan.

  • Walaupun membabitkan penderma yang memiliki pertalian keluarga, pesakit masih perlu mengambil ubat antipenolakan seumur hidup.
  • 0 comments: