Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.12.08

Lebih ramai dapat AIDS kerana seks


Jumlah pesakit AIDS di seluruh dunia kini mencecah 33 juta dengan warga Asia semakin aktif menyumbang kepada kenaikan penyakit itu.




SATU riben merah gergasi telah dipertontonkan kepada awam di stadium Olimpik Sarang Burung di Beijing, China baru-baru ini. Objektif di sebalik tindakan ini jelas. Ia sebagai simbol kesedaran terhadap penyakit AIDS dalam kalangan rakyatnya.

Tindakan ini adalah usaha kerajaan untuk mendapatkan kerjasama semua sektor bagi menangani dan melawan penyakit AIDS dan stigmanya daripada terus menjadi ancaman besar kepada masyarakat.

Namun begitu, usaha ini tidak dilihat berkesan oleh golongan aktivis memandangkan isu seks dan AIDS masih satu topik yang sensitif untuk dibincangkan.

"Saya menyokong tindakan mereka untuk menghapuskan diskriminasi umum terhadap AIDS. Malangnya, ini bukan satu realiti. Pesakit-pesakit AIDS biasanya tidak menerima layanan dan rawatan sewajarnya di hospital dan terpaksa mati disebabkan alasan ini.

"Malah, tanpa tekanan yang besar dari faktor luaran, kebanyakan kanak-kanak yang menghidap AIDS juga tidak dibenarkan ke sekolah," kata Li Fangping, seorang peguam dan juga aktivis AIDS.

Seorang lagi aktivis AIDS, Li Dan berkata, pendidikan masyarakat dan penglibatan orang ramai diperlukan untuk melawan stigma terhadap mereka yang menghidap penyakit ini.

"Ramai yang masih takut untuk menyekolahkan anak mereka kerana bimbang kesan bersekolah dengan anak berpenyakit atau mereka yang ada kaitan dengan dadah," katanya yang juga Pengarah Projek AIDS Orchid China.


PARA sukarelawan membezakan kualiti jenama kondom yang berbeza.


Tahun lalu, pihak berkuasa China mengumumkan bahawa hubungan seks telah menjangkaui penggunaan dadah sebagai punca utama peningkatan kadar jangkitan virus HIV di China.

Setelah bertahun-tahun lamanya mengetepikan AIDS sebagai ancaman besar, pemimpin-pemimpin China kini mempunyai matlamat baru iaitu berdepan dengan penyakit ini secara telus dan menjanjikan rawatan percuma kepada pesakit yang miskin, pemeriksaan percuma serta mengharamkan diskriminasi ke atas pesakit AIDS.

Justeru itu, selain riben besar yang terpampang di stadium tersebut, sebuah penghadang berukuran 20 meter panjang dan lebar 15 meter turut dinaikkan di lokasi terkemuka Olimpik itu.

Niat pihak berkuasa kesihatan China untuk menghapuskan diskriminasi terhadap pesakit yang menghidap HIV/Aids itu juga mendapat kerjasama daripada agensi Aids Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ketakutan terhadap stigma di tempat kerja atau dalam kelompok masyarakat telah menghalang kebanyakan orang yang berisiko di negara tersebut menjalani pemeriksaan.

"Stigma dan diskriminasi adalah halangan utama dalam menangani isu AIDS," kata Chen Zhu, Menteri Kesihatan China.

Sungguhpun begitu, Chen tidak menyatakan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil untuk menangani diskriminasi ini.


UJIAN darah kini diberikan secara percuma di China sebagai usaha menangani penyakit AIDS.


Penyelaras bersama negara untuk agensi AIDS PBB di China, Dr. Bernahard Schwartlander berkata, separuh daripada keseluruhan populasi China enggan berkongsi hidangan dengan seseorang yang menghidap HIV/Aids. Manakala suku lagi akan mengelak daripada berjabat dengan pesakit AIDS.

Biasanya mereka yang diuji positif HIV tidak akan jatuh sakit untuk bertahun-tahun lamanya. Namun, dengan peredaran masa, penyakit itu akan menjejaskan sistem imunisasi pesakit secara beransur-ansur.

Biarpun ubatan untuk melambatkan kesan AIDS ke atas kerosakan sistem imunisasi telah dicipta, malangnya sehingga kini, belum terdapat penawar untuk AIDS.

"Ramai yang enggan tampil untuk menjalani ujian. Mereka tidak akan berbincang tentang topik ini sama ada dengan pasangan atau rakan sekerja ataupun sesiapa yang berisiko dijangkiti HIV," jelasnya.

Malah, topik ini juga kekal sensitif untuk diperdebatkan secara terang-terangan biarpun dengan lebih ramai aktivis dan pesakit cuba mendapatkan sokongan yang memperjuangkan hak mereka.

Sejak penemuan virus HIV/Aids kira-kira tiga dekad lalu, epidemik AIDS telah meragut sekitar 25 juta nyawa di seluruh dunia.

Namun, isu AIDS kekal sebagai satu tabu yang jarang disentuh di negara Asia seperti China biarpun 700,000 rakyatnya telah dijangkiti oleh virus tersebut.

Negara-negara di Asia juga masih berdepan dengan tambahan ancaman penyakit yang tersebar secara meluas di China, Indonesia dan Vietnam ini.

Penyelaras Agensi Aids PBB di Indonesia, Nancy Fee pula memberitahu, pada keseluruhannya, kadar kelaziman AIDS di negara tersebut adalah rendah. Akan tetapi, kadar jangkitan yang tinggi dilaporkan dalam kalangan penagih-penagih dadah dan pekerja-pekerja seks.

"Kami mempunyai hala tuju polisi yang baik dari segi pengurusan AIDS," katanya.

PBB menganggarkan kira-kira lima juta penduduk Asia telah dijangkiti virus HIV dan bilangan tersebut dijangka berganda menjelang tahun 2010.

Salah satu faktor utama yang mendorong epidemik HIV/Aids bertambah teruk di rantau Asia Pasifik adalah lelaki Asia.


ADAKAH dunia boleh bebas daripada ancaman AIDS suatu hari nanti?


Menurut agensi AIDS PBB, kira-kira 75 juta daripada lelaki Asia adalah pelanggan tetap pekerja-pekerja seks.

Pada puratanya, bilangan kes HIV/Aids di tanah besar China telah meningkat kepada 3,000 kes setiap bulan antara Januari 2006 dan Jun 2007.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wang Ning, pada akhir Jun 2007 sahaja, kes-kes HIV/Aids dilaporkan di 74 peratus wilayah di China khasnya di Guangdong, Henan, Xinjiang dan Yunan.

0 comments: