Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.12.08

Ikan atau sayuran?


Pengeluar produk omega-3 kini berdebat yang manakah sumber terbaik nutrisi itu, ikan atau sayuran?


KHASIAT omega-3 melindungi seseorang daripada serangan kardiovaskular.


CUBA masuk ke sebuah pasar raya dan lihat apa produk yang dipamerkan untuk jualan. Adakah produk itu menjanjikan manfaat kesihatan omega-3 kepada pengguna? Omega-3 boleh datang daripada roti, susu dan jus.

Tetapi adakah pengguna mendapat 'makanan super' yang mereka bayar?

"Pengguna tidak memahami apa sebenarnya manfaat itu," kata Vivian Tysse, pengurus jualan produk minyak ikan Norway, Denomega pada satu pameran perdagangan di Paris baru-baru ini.

Makanan diproses dilabelkan dengan asid lemak berkhasiat omega-3 boleh terdiri daripada minyak ikan bilis Peru, minyak ikan kod Norway atau flaxseed prairi.

Ditambah ke makanan lain, omega-3 menjanjikan manfaat kesihatan minyak ikan tanpa bau atau rasa ikan.

Malah, penulisan-penulisan saintifik mengaitkan asid tersebut dengan perlindungan kardiovaskular dan kesihatan jantung, otak dan mata yang lebih baik.

Namun begitu, industri nutrisi mendakwa terdapat kekeliruan berterusan mengenai bahan tambah itu.

"Sehingga ia diperjelaskan, dunia akan terus berhadapan dengan risiko tinggi penyakit kronik yang menyebabkan sistem penjagaan kesihatan kerugian berjumlah trilion ringgit," kata Adam Ismail, Pengarah Eksekutif Organisasi Global untuk EPA dan DHA Omega-3 (Goed).

Satu kumpulan perdagangan di Salt Lake City, Amerika Syarikat, mendakwa, omega-3 merupakan terma kabur yang memperdaya pengguna kerana ia merujuk kepada tiga asid lemak berbeza iaitu EPA, DHA dan ALA yang tidak bertindak dalam cara yang sama.

"Pengguna tidak memahami perbezaannya. Tetapi EPA dan DHA merupakan keperluan sebenar badan," kata Ian Lucas, Timbalan Presiden Eksekutif Inovasi dan Strategi Ocean Nutrition Canada, sebuah syarikat pengeluar minyak ikan omega-3.

"Keseimbangan khasiat boleh dicapai dengan memakan sekitar dua sajian minyak ikan, mengandungi kedua-dua EPA dan DHA setiap minggu," tambah Tysse.

Namun, katanya, ramai yang tidak memakan ikan yang mencukupi. Justeru itu, makanan yang ditambah dengan omega-3 adalah yang kedua terbaik.

Pengeluar minyak ikan omega-3 menyambut baik keputusan Sweden baru-baru ini yang pada dasarnya mengharamkan penggunaan terma omega-3 di bungkusan makanan. Ini bermakna, pengeluar makanan kini harus memaklumkan yang manakah di antara ketiga-tiga asid lemak itu boleh didapati di dalam produk mereka.

"Pengguna perlu dididik dan membuat pilihan mereka sendiri," kata Philip Fass, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Industri dan Komersial Martek Biosciences Corporation, sebuah pengeluar minyak daripada mikro alga yang kaya dengan DHA.

Martek telah mengelakkan kekeliruan mengenai omega-3 yang wujud dengan melabelkan ramuan yang digunakan sebagai DHA di label-label jenama makanan terkemuka, daripada Yoplait ke Minute Maid.

Bertentangan dengan mesej yang dikeluarkan oleh pengeluar minyak ikan, Martek contohnya mendakwa DHA berkesan secara sendiri sebagai satu nutrien.

"Kami percaya DHA membekalkan manfaat kesihatan yang diperlukan," kata Fass.

Sementara itu, para pembekal omega-3 daripada tumbuh-tumbuhan mendakwa ramuan mereka lebih menarik minat pengguna dan lebih selamat berbanding produk berasaskan ikan.

Pengeluar minyak ikan membalas dengan mengatakan masalah bahan cemar di dalam ikan diasingkan daripada minyak tersebut dan teknologi baru seperti pengkapsulan mikro yang mengubah minyak ikan kepada serbuk yang tahan lama.

"Kini, anda boleh meletakkan minyak ikan di dalam makanan tanpa memberikan kesan terhadap rasanya," kata Lucas. -

0 comments: