5.1.08

Dr Shirota pelopor hasilkan bakteria sihatkan manusia


Oleh Ziauddin Sharuddin

GAYA kehidupan moden dan tabiat pemakanan tidak sihat menyebabkan perut yang melalui sistem penghadaman menjadi sarang penyakit.

Ini yang menyebabkan hari ini, probiotik menjadi istilah penting dalam penjagaan kesihatan kerana peranannya yang menyeimbangkan flora usus dalam organ ini supaya memberi kesan positif kepada tubuh manusia.

Probiotik? Perkataan yang berasal dari bahasa Greek bermaksud `untuk kehidupan’. Dari segi saintifik, probiotik adalah mikro organisme hidup yang apabila dikendalikan dalam jumlah mencukupi memberi manfaat kesihatan kepada perumah.


Antara syarat keperluan probiotik ialah selamat, menghasilkan kesan yang boleh dipercayai, tiba ke usus dalam keadaan hidup dan berkembang, boleh dimakan sebagai makanan dan harga yang berpatutan.

Antara pelopor probiotik terkemuka dunia ialah Yakult, sebuah syarikat pengeluar produk makanan dari Jepun.

Memperkatakan probiotik dan Yakult tidak dapat dipisahkan dengan pelopor probiotik, Dr Minoru Shirota yang dilahirkan di Nagano pada 1899.

Menarik mengenai Dr Shirota ialah beliau membuat kajian selepas melihat keadaan sekelilingnya. Kira-kira 100 tahun lalu, Jepun bukan negara kaya seperti sekarang. Banyak kematian berlaku di kalangan kanak-kanak akibat jangkitan penyakit seperti keracunan makanan dan taun.

Beliau membuat kajian terhadap probiotik selepas mendapati mikro organisme menyebabkan pelbagai penyakit di kalangan penduduk Jepun.

Doktor perubatan dari Universiti Kyoto itu berpandangan bahawa walaupun mikro organisme boleh membahayakan kesihatan, ia juga memberi manfaat kepada manusia menyebabkannya membuat kajian untuk mencegah penyakit merebak di kalangan manusia.

Penyelidikan Dr Shirota juga didorong oleh penyelidikan saintis terdahulu seperti Elie Metcnikoff dari Bulgaria pada 1907 yang membuat kajian mengenai mengenai kesan yogurt terhadap memanjangkan hayat manusia.

Dr Shirota membuat kajian mengenai asid bakteria laktik yang kehadiran dalam usus mempunyai hubungan simbiotik.

Pada 1933, Dr Shirota muncul sebagai orang pertama di dunia berjaya mengkulturkan probiotik istimewa yang memberi manfaat kepada manusia yang dinamakan Lactobacillus casei Shirota strain.

Antara manfaatnya termasuk menjadikan usus lebih sihat, menyekat pertumbuhan bakteria jahat dalam usus dan menolong mengaktifkan kuasa imunisasi semula jadi tubuh manusia.

Dua tahun selepas penemuan itu, minuman Yakult diperkenalkan di pasaran Jepun dengan falsafah Shirotaisme bahawa manusia mampu hidup lebih lama dengan menjaga kesihatan usus, iaitu tempat makanan diserap dalam tubuh.

Selain itu, Dr Shirota menekankan perubatan pencegahan dengan keutamaan terhadap usaha mencegah penyakit berbanding merawat selepas penyakit dihidapi.

Beliau juga mahu menyediakan kesihatan yang baik, yang diperlukan oleh semua orang dan seramai mungkin dengan harga berpatutan.

Antara fakta menarik berhubung Yakult ialah Lactobacillus casei Shirota strain melepasi pelbagai ujian keselamatan dan mempunyai sejarah penggunaan yang selamat sepanjang 70 tahun lalu.

Penyelidik kanan di Institut Yakult Pusat, Dr Masaaki Watanuki, menyatakan bahawa satu kajian membuktikan terdapat hubungan antara pengambilan secara lazim Yakult dan risiko kanser pundi kencing.

Kajian itu meliputi 180 pesakit kanser pundi kencing yang dirawat di hospital di tujuh wilayah Jepun dalam tempoh tiga tahun. Seramai 445 orang yang sihat dijadikan perbandingan dari segi umur dan jantina.

Orang yang minum Yakult, perokok dan pelbagai tabiat lain dalam tempoh antara 10-15 tahun diselidik dengan menemubual pesakit dan kumpulan yang sihat.

Hasil kajian menunjukkan, mereka yang mengambil Yakult mencatatkan penurunan risiko menghidap kanser pundi kencing, manakala mereka yang merokok meningkat peluang menghadapi penyakit itu.

Secara keseluruhan, L casei strain Shirota, memperbaiki mikro flora usus, mencegah jangkitan usus, mengurangkan mutagen dan karsinogen, menghalang usus membusuk, mengurangkan tekanan darah tinggi, kecelaruan sistem imunisasi dan mencegah barah.

Fakta menarik di Jepun yang mempunyai piawaian produk kesihatan yang tinggi, Yakult mendapat pengiktirafan Foshu atau makanan khusus untuk kegunaan kesihatan selepas melalui pelbagai ujian yang membuktikan mempunyai kesan positif dari segi pemakanan dan perubatan.

0 comments: