5.1.08

Probiotik baik untuk diet






JIKA anda keliru dengan istilah probiotik yang berbunyi seperti uji kaji kimia berbanding suplemen (makanan tambahan) diet, anda tidak keseorangan. Probiotik, yang bermakna 'untuk kehidupan', digunakan sebagai satu kaedah rawatan untuk pelbagai penyakit gastrousus seperti sindrom kerengsaan usus, intolerans laktosa, diarea kembara dan diarea cetusan antibiotik.

Mengikut sejarah, probiotik sudah digunakan berkurun-kurun lamanya sebagai komponen semula jadi dalam makanan yang berteraskan kesihatan. Ahli fisiologi Rusia dan pemenang hadiah Nobel, Elie Metchnikoff (1845 - 1916) dianggap sebagai pencipta probiotik. Beliau adalah orang pertama yang mengesyorkan bahawa pemakanan bakteria boleh memberi manfaat kepada kesihatan.

Pada 1907, beliau mencadangkan organisma pengeluar asid tertentu boleh mencegah apa yang beliau panggil `fouling’ dalam usus besar dan jika dimakan secara kerap, boleh menjana kehidupan yang lebih lama serta lebih sihat. Penyelidikan mikrobiologikal dan akhirnya penyelidikan asas serta klinikal selama beberapa dekad menyokong teori asal Metchnikoff bahawa probiotik tertentu boleh meningkatkan keupayaan beberapa fungsi usus.


Ekosistem kompleks bakteria yang mendiami trek usus dipanggil mikroflora usus. Apabila kita dilahirkan, kita tidak mempunyai ekosistem bakteria usus. Ia mula terbentuk selepas kita dilahirkan dan menjadi lebih sofistikated selepas makanan ditambah dalam diet.

Masa berlalu, jenis dan bilangan bakteria dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk tekanan, antibiotik, sakit, usia lanjut dan diet anda. Penyelidikan yang dijalankan mengesyorkan bahawa apabila tiada keseimbangan mikroflora usus (bakteria `mesra badan” tidak mencukupi), ia boleh menjejaskan keseluruhan kesihatan kita.

Sebenarnya terdapat kira-kira 100 trilion sel bakteria dalam trek usus. Walau pun kebanyakan bakteria ini tidak berbahaya, mesra badan atau baik (memberi manfaat dan penting untuk tumbesaran normal), ada sebahagiannya yang boleh menyebabkan penyakit (bakteria tidak mesra badan). Dalam keadaan biasa, bilangan bakteria `mesra badan’ jauh mengatasi bakteria `tidak mesra badan’ tetapi sebarang perubahan dalam keseimbangan bakteria `baik’ atau `mesra badan’ dengan `tidak mesra badan’ boleh menjejaskan keupayaan fungsi trek gastrousus kita.

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan probiotik dan manfaat kesihatannya menjadi topik hangat dan ada saranan tegas bahawa setiap orang perlu menambah probiotik dalam diet mereka untuk menjana kesihatan yang baik.

Yang menjadi persoalan bagaimana probiotik berfungsi? Beberapa kajian menunjukkan bahawa apabila probiotik atau bakteria `mesra badan’ dimakan, ia boleh menyekat pertumbuhan bakteria `tidak mesra badan’ atau kuman dalam trek usus.

Kajian lain mencadangkan bahawa bakteria `mesra badan’ memastikan trek usus berada dalam keadaan berasid, satu keadaan yang mana bakteria `tidak mesra badan’ tidak boleh bertahan lama. Trek pencernaan kita dibarisi oleh lebih 400 jenis bakteria `mesra badan’ yang berbeza untuk membantu melawan jangkitan dan menjadikan kita sihat. Dengan memakan probiotik, kita boleh menambah bilangan bakteria `mesra badan’ yang boleh meningkatkan daya ketahanan dan memastikan sistem pencernaan kita sentiasa sihat.

Perlu diingat probiotik bukanlah penyelesaian ajaib untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit. Probiotik menampilkan barisan pertahanan hadapan yang cepat dan mudah di samping diet yang sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai probiotik dan manfaatnya, sila telefon Merck Sdn Bhd di talian 03-74943514.

0 comments: