Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Hepatitis B lebih mudah berjangkit


Oleh Hafizah Iszahanid


TANPA rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa HBV.

JANGAN culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu melalui pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu.

Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus.

Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus.


Pakar Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius.

Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati.

"Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya.

WANITA hamil perlu mengambil ujian hepatitis B.

Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik.

"Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya.

Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian.

Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juta orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati.

Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi ada yang mengalami jaundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi.

Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juta penduduk.

"Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya.

Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik.

Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum, HBV tidak menunjukkan simptom yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius.

"Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simptom ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya.

Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun.

Rawatan

Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV.

Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. Di Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2002, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan.

Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HBV kronik.

Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak.

Ada pelbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antara yang terbaru ialah Sebivo yang dibangunkan Novartis.

FAKTA : Bagaimana HBV merebak?

  • HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV

  • Virusnya boleh ditemui dalam dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina.

  • HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan.

  • Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan.

  • Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik.

  • Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan.

  • Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah.

  • Lebih daripada 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simptom.

  • Kadangkala jika simptom muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah.

0 comments: