Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Maklumat pendidikan pemakanan kurang tepat



SEJAK akhir-akhir ini, masyarakat didedahkan mengenai risiko yang dihadapi rakyat Malaysia berkaitan penyakit kronik dan masalah kesihatan yang berpunca daripada makanan dan sikap pemakanan masyarakat.

Berikutan itu, tercetus reaksi menuding jari di kalangan masyarakat untuk mencari punca masalah berkenaan, antaranya mengaitkannya dengan makanan segera dari premis yang banyak di negara ini.

Ada pula yang mengaitkan punca penyakit berkenaan dengan pembukaan restoran dan premis makanan 24 jam yang mendorong pengguna makan di restoran berkenaan, tanpa mengira masa.


Sebenarnya, pendidikan berkaitan pemakanan di Malaysia tidak menyeluruh dan kurang berkesan. Ini dibuktikan dengan pelbagai maklumat yang kurang tepat yang dihebahkan pihak yang terbabit secara langsung dengan makanan; pengeluar produk dan pengiklanan yang mengakibatkan masyarakat keliru mengenai pemakanan.

Sebagai contoh, minyak sawit tanpa kolesterol yang pastinya minyak sawit tidak mengira apa jenama sekalipun tidak mempunyai sebarang kolesterol kerana produk berasaskan tumbuhan tiada sama sekali mengandungi bahan bahan itu. Kolesterol adalah produk yang dihasilkan oleh haiwan dan manusia saja.

Masyarakat perlu disedarkan bahawa penyebab penyakit jantung bukan kolesterol semata- mata, sebaliknya membabitkan banyak faktor lain seperti gaya hidup, tahap kesihatan dan persekitaran hidup yang turut menyumbang risiko penyakit jantung.

Mengenai kaitan penyakit kencing manis dengan gula, memang benar kandungan gula dalam darah yang banyak menyumbang kepada kencing manis. Bagaimanapun, perlu diingat, sumber gula tidak boleh dihadkan kepada gula pasir semata-mata.

Penyumbang gula utama masyarakat Malaysia pastilah nasi kerana nasi adalah sumber karbohidrat yang diubah kepada gula ringkas dalam badan ketika proses pencernaan dan penyerapan nutrien.

Berikutan itu, tiada guna seseorang itu meminum teh tarik kurang manis tetapi memakan nasi lemak sambal udang yang penuh sepinggan; kononnya hendak mengurangkan risiko kencing manis. Malah, lebih menyihatkan meminum air kosong selepas makan kerana sumber gula kompleks terkandung dalam makanan berkarbohidrat memang tinggi, terutama dalam nasi, kuih dan roti.

Kesimpulannya, adalah penting untuk pendidikan pemakanan diperkasakan sepenuhnya supaya masyarakat memperoleh maklumat yang tepat bagi mengatasi masalah kegemukan dan penyakit kronik.

Pendidikan pemakanan ini akan meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat dan menjadi titik permulaan kepada masyarakat yang cergas dan cerdas.

PAK AN,
Kulai, Johor.

0 comments: