5.1.08

Kenali ulam: Geti, ulam raja ubati batuk, bersih darah


Bersama Ismail Saidin


ULAM raja herba semusim yang digemari ramai.

Turi Sesbania grandiflora
Famili: Papilionaceae
Nama Lain: Geti Sasban

Turi atau geti adalah sayur tradisional yang kurang diminati lagi. Pucuk atau daun mudanya kadang-kadang dijual di pasar malam atau di pekan sehari. Masyarakat desa gemar memakan sayur ini dan biasanya dimasak lemak atau masak manis.

Masyarakat desa juga menganggap pucuk geti sebagai laksatif. Jus dan bunganya dikatakan boleh mengurangkan inflamasi dan gatal hidung serta mengubati batuk. Air rebusan akar dikatakan dapat mengurangkan batuk dan mengeluarkan kahak.


Analisis khasiat makanan, pucuk turi mengandungi khasiat yang tinggi, terutama vitamin C. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 77.2 g, protein 8.4 g, lemak 1.1 g, karbohidrat 9.7 g, serat 1.8 g, kalsium 181 miligram (mg), fosforus 29 mg, ferum 0.3 mg, natrium 23 mg, kalium 356 mg, karotena 5022 ug vitamin A 837 ug, vitamin B1 0.06 mg, B2 0.71, niasin 2.4 mg, vitamin vitamin C 114 mg.

Pokok Turi berasal dari Asia Tenggara dan bersaiz kecil. Tingginya 3 hingga 5 meter, batang lurus, berdahan banyak dan lateral membentuk silara yang rendang. Daunnya majmuk pinat, kira-kira 20 - 30 sentimeter (sm) panjang, terdiri daripada 20 - 40 pasang anak daun yang berbentuk oblong, 2.5 - 3.5 sm panjang dan 1.5 - 2 sm lebar, berwarna hijau muda.

Infloresennya rasem yang pendek tumbuh pada aksil daun dan bunganya 2 � 3 kuntum pada satu rasem. Bunga ini berbentuk seperti paruh burung, 7 - 9 sm panjang, 1 - 1.5 sm lebar, berwarna putih atau merah mengikut kultivarnya.

TURI semakin dilupakan.

Lenggainya seakan-akan kacang panjang, 20 - 60 sm panjang, 1 - 1.5 lebar, berwarna hijau kekuningan, bertukar perang apabila masak dan mengandungi biji yang banyak

Pokok Turi mudah dibiakkan dengan cara keratan batangnya. Keratan boleh ditanam terus ke tanah. Ia amat mudah hidupnya dan tidak memerlukan jagaan yang rapi. Di kampung, pokok ini ditanam sekitar rumah sebagai tanaman parak (dapur). Pokok ini juga mula ditanam sebagai tanaman hiasan dan bunganya yang berwarna putih dan merah sangat menarik

Ulam raja
Cosmos caudatus
Famili: Compositae

Ulam raja adalah herba semusim, berasal dari Amerika Tropika. Orang Sepanyol memperkenalkan herba ke Filipina, Indonesia dan Malaysia.

Herba ini adalah herba semusim mencapai ketinggian hampir satu meter. Batangnya berwarna hijau tua dan keunguan sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas.

Daunnya bergaris bentuk ovat atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning keunguan. Daun herba ini mengeluarkan bau apabila diramas.

Ulam raja tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu. Herba ini semakin popular sebagai ulam. Pucuk atau daunnya yang muda dimakan sebagai ulam dan biasanya digaul atau dicolek dengan sambal udang kering atau kelapa di samping nasi.

Ulam raja juga dicampur dengan pucuk ulaman lain sebagai ramuan nasi ulam atau nasi kerabu. Sebagai sayuran tradisional, herba ini dimasak lemak atau dicelur.

Masyarakat desa mengenali Ulam raja sebagai ubat dan amalan memakan ulam ini dikatakan dapat membersihkan darah dan menguatkan tulang.

Secara kebetulan, Ulam raja mengandungi khasiat makan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 93.1 g, protein 3 g, lemak 0.4 g, karbohidrat 0.6 g, serat 1.6 g, kalsium 270 miligram (mg), fosforus 37 mg, ferum 4.6 mg, natrium 4 mg, kalium 426 mg, karotena 3568 ug, vitamin A 595 ug, vitamin B1 0.13 mg, vitamin B2 0.24 mg, niasin 0.2 mg dan vitamin C 64.6 mg

Ulam raja mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih. Biji yang cukup masak boleh disemai terus ke batas. Ulam raja sering ditanam di sekitar rumah. Herba ini mudah hidupnya dan tidak memerlukan jagaan yang rapi.

0 comments: