Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

Sakit jiwa tiada kaitan gangguan hantu, saka


Oleh Hafizah Iszahanid


PESAKIT mental adalah golongan yang paling terabai di dunia.

Pemahaman keluarga, rawatan betul mampu kurangkan kesan tekanan dialami pesakit mental

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka yang berhadapan dengan masalah kekacauan mental adalah golongan yang paling terabai dalam dunia.

Ini boleh dibuktikan kerana dalam kebanyakan komuniti, penyakit mental tidak diiktiraf sebagai ‘penyakit’ sebaliknya dilihat sebagai kelemahan karakter individu atau hukuman kepada sikap tidak bermoral. Justeru, walaupun mereka sepatutnya menerima rawatan seperti pesakit penyakit lain, mereka tidak menerima rawatan yang betul dan mencukupi.


Pencabulan hak asasi kepada golongan ini wujud di mana-mana komuniti di dunia ini termasuk di hospital dan doktor.

WHO mendefinisikan masalah mental sebagai ketidakupayaan menangani tekanan normal kehidupan, tidak boleh bekerja secara produktif dan tidak boleh menyumbang kepada masyarakat. Justeru, ia diiktiraf sebagai penyakit dan berupaya untuk pulih jika menerima rawatan yang berkesan dan cepat.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof Dr Hussain Habil, berkata pada kebanyakan negara terutama negara berpendapatan rendah dan sederhana, perkhidmatan kesihatannya kurang sumber - manusia dan kewangan.

Di negara ini, katanya walaupun tidak menghadapi masalah itu, tetapi senario kurang pembabitan dan pengetahuan ahli keluarga dan komuniti menyebabkan pesakit mental tidak mendapat rawatan. Ini ditambah dengan persediaan menangani penyakit mental masih pada peringkat tidak memuaskan.

“Walaupun di negara ini pusat perkhidmatan yang menawarkan rawatan kesihatan mental bertambah tetapi kesemuanya milik kerajaan dan jumlahnya tidak mencukupi berbanding jumlah pesakit mental hari ini,” katanya.

Hari ini, seorang daripada 10 orang di Malaysia berhadapan dengan masalah kesihatan mental manakala di seluruh dunia 450 juta orang berkongsi masalah yang sama.

Bagi kes kemurungan, 120 juta didiagnos dengan kemurungan manakala 24 juta disahkan skizofernia. Bagaimanapun, sesetengah daripada jumlah ini tidak mendapat rawatan yang efektif kerana jurang rawatan akibat kekurangan sumber dan takut mendapatkan bantuan.

“Di Malaysia perubahan budaya yang pantas kebelakangan ini menyebabkan banyak kes gangguan mental yang dikaitkan dengan tekanan dan ia menjadi sebahagian daripada masalah kesihatan umum,” katanya.

Keadaan ini katanya, menyebabkan pesakit menunggu lama untuk rawatan dan kesannya buruk. Ini kerana kelewatan mendapatkan rawatan bukan saja membabitkan pesakit tetapi ahli keluarga dan masyarakat. Bayangkan jika pesakit terpaksa berhenti kerja atau lebih teruk membunuh diri kerana berpenyakit tetapi tidak dirawat.

“Sebagai negara berbilang kaum, ciri penyakit mental yang diutarakan adalah berbeza. Misalnya ramai antara pesakit yang mengalami kemurungan selalunya akan memberitahu doktor ciri fizikal seperti pening kepala atau sakit pada belakang kepala. Keadaan ini mungkin merumitkan doktor mengenalpasti masalah sebenar pada peringkat awal,” katanya.

Malah, katanya, keadaan ini menyebabkan pesakit melalui proses yang panjang sebelum doktor dapat memberi ubat atau menerima rawatan sesuai.

“Ada kalanya kelewatan rawatan berlaku kerana kurang pengetahuan mengenai masalah mental sama ada di kalangan pesakit atau keluarganya. Bagi orang Melayu kebanyakan mereka selalu mengaitkannya dengan gangguan hantu, saka atau sihir,” katanya.

Justeru, antara polisi menangani masalah mental adalah membabitkan ahli keluarga sebagai kumpulan sokongan. Pemahaman mereka banyak membantu dari segi pemulihan diri pesakit.

Bagi WHO, selain pembabitan keluarga dalam proses pemulihan pesakit, lebih banyak pelaburan perlu dibuat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan bagi menangani masalah mental.

FAKTA: Masalah mental

  • Kekacauan mental, neurologikal dan tingkah laku adalah masalah yang biasa kepada mana-mana negara dan menyebabkan penderitaan. Penderitaan mereka diburukkan lagi apabila dipinggirkan oleh masyarakat, tidak berupaya menjalani hidup yang berkualiti dan berisiko meningkatkan jumlah kematian.

  • Masalah mental yang tidak ditangani dengan baik membebankan dari segi ekonomi dan kos sosial.

  • Pada 2002, 154 juta orang di seluruh dunia menderita kemurungan, 25 juta skizofernia, 91 juta terjejas kerana penggunaan alkohol dan 15 juta mengalami masalah ketagihan ubat.

  • Laporan terbaru WHO menunjukkan 50 juta orang menderita epilepsi dan 24 juta orang alzheimer.

  • Sekitar 877,000 orang mati dengan membunuh diri setiap tahun.

  • Seorang daripada empat pesakit yang datang ke hospital mengalami sama ada masalah mental, neurologikal atau kekacauan tingkah laku.

  • Kesihatan mental menjejaskan dan terjejas dengan masalah kronik seperti barah, kardiovaskular selain diabetes dan HIV/Aids.

  • Ada rawatan yang berkesan untuk menangani masalah mental, tetapi selalunya kos menjadi faktor penghalang.

  • Selain kos, peluang mendapatkan rawatan berkesan gagal diperoleh kerana penyakit ini selalu dilihat ‘tidak serius’ selain salah faham mengenainya. Pembuat polisi, syarikat insurans, selain majikan sesetengah hospital swasta mengamalkan diskriminasi kepada pesakit ini.

  • Kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana hanya memperuntukkan satu peratus daripada jumlah peruntukan kesihatan untuk penyakit mental.

0 comments: