5.1.08

Epal sumber serat, cegah pembentukan kolesterol


Oleh Hafizah Iszahanid

Ramai tidak sedar atau ketahui sumber vitamin C terdapat paling banyak di bawah kulit buah

SEBIJI epal merah menyala bukan saja memukau pandangan malah mudah membuat seseorang itu terliur. Bukan saja warna dan penampilannya yang kelihatan menyelerakan, epal selalu mengingatkan kita pada ungkapan sebiji epal sehari mengelak dari penyakit(an apple a day keep the doctor away).

Walaupun masih belum dapat dipastikan sebiji epal boleh membantu anda sihat tetapi ia menjadi permulaan yang betul untuk sihat. Epal rendah kalori dan mudah ditemui, selain enak dijadikan snek sihat mengisi menu anda.


Sebenarnya, tiada siapa tahu tempat asal sebenar epal dengan tepat, tetapi ramai percaya ia datang dari kawasan antara Laut Caspian dan Laut Hitam. Malah, ada bukti sisa fosil epal ditemui dalam tasik zaman pra sejarah di Switzerland. Ia menunjukkan manusia sudah menikmati epal sejak 750,000 tahun lalu. Malah, epal adalah buah-buahan kegemaran pada zaman Greek purba dan Rom.

Epal diperkenalkan di Amerika oleh pendatang yang membawa benih epal bersama mereka. Rekod di

Massachusetts Bay Company melaporkan epal ditanam di New England seawal 630.

Malah, epal muncul dalam pelbagai tradisi agama dan selalunya dirujuk sebagai buah yang mistik dan terlarang. Zaman dahulu sukar untuk membezakan epal dengan buah-buahan lain sebab itu epal digunakan merujuk kepada semua buah-buahan termasuk kacang dan beri.

Dari sudut kesihatan, epal adalah sumber serat yang mudah dilarut. Ia membantu mencegah pembinaan kolesterol dalam dinding salur darah sekali gus mengurangkan risiko masalah jantung. Bagaimanapun, pada masa yang sama epal adalah sumber serat tidak mudah larut, membantu salur usus membersih dan membuang makanan dengan pantas melalui sistem pencernaan.

Hampir separuh kandungan vitamin C pada sebiji epal berada di bawah kulitnya. Malah, sel kulit epal juga membentuk lebih banyak aroma dan rasa. Justeru, epal bagus dimakan dengan kulitnya sekali.

Sejarah epal yang panjang menyaksikan hari ini terdapat tidak lebih daripada 7,500 jenis epal diusahakan. Setiap jenis hanya sesuai ditanam di negara atau lokasi tertentu berdasarkan suhu dan cuaca.

Selain rasa, tarikan pada sebiji epal juga bergantung kepada kulit dan baunya. Bagaimanapun, rasa epal tidak bergantung pada warnanya. Kadangkala epal yang berwarna merah terang juga tidak sesedap mana.

Satu ketika dulu, bentuk epal tidak sama bulat dan berkulit kasar. Ia juga mempunyai tekstur dan warna yang pelbagai. Bagaimanapun, epal jenis ini dikatakan lebih sedap tetapi kerana masalah komersial seperti mudah diserang penyakit dan busuk untuk proses penyimpanan dan pengangkutan ia tidak begitu popular di pasaran.

Kebanyakan epal yang ada di pasaran sekarang adalah epal jenis baru dan lebih manis, seperti yang boleh ditemui di Amerika Utara dan Eropah. Ada juga epal yang diusahakan hanya untuk masakan seperti pie epal dan untuk membuat cuka epal. Bagi epal yang dijual di pasaran Asia, selalunya epal manis dengan rasa berasid.

Secara umum, kualiti sebiji epal boleh dibahagikan kepada dua faktor tekstur dan rasa. Seperti juga rasa dan jenis yang pelbagai, epal juga memiliki pelbagai nama dan jenama. Antara yang popular Washington Apple yang ditanam di Washington.

INFO: Khasiat sebiji epal

  • Sebiji epal sehari memberi anda sejumlah lima gram serat.

  • Mengandungi anti oksidan yang menurunkan risiko masalah jantung dan barah

  • Membantu kesihatan membran paru-paru

  • Membantu kesihatan tulang dengan menambah bahan kimia (boron) pada mineral tulang

  • Membantu kesihatan sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolesterol darah

  • Membantu mengekalkan berat badan

    FAKTA

  • Sekurang-kurangnya 55 juta tan epal ditanam di seluruh dunia pada 2005 dengan nilai sekitar RM33 juta. China menghasilkan 40 peratus daripada jumlah itu, diikuti Amerika (7.5 peratus) dan selebihnya dari Turki, Perancis, Itali dan Iran.

    Di Amerika, lebih daripada 60 peratus epal yang dijual secara komersial ditanam di Washington State. Ia menerima saingan hebat daripada epal New Zealand dan beberapa negara lain.
  • 0 comments: