5.1.08

Kenali Ulam: Mengkudu banyak khasiat


Bersama Ismail Saidin

Mengkudu Morinda citrifolia L.
Famili: Rubiaceae
Nama lain Noni

POKOK Mengkudu dikenali masyarakat Melayu sebagai ubat. Pucuk mudanya dikatakan dapat mengawal batuk, muntah, demam dan dijadikan tonik.

Masyarakat desa sering makan pucuk muda sebagai sayuran selepas dijadikan kerabu atau campuran nasi ulam. Buahnya juga dimakan segar yang dikatakan dapat melawaskan haid, diuretik dan laksatif.


Mengkudu kini dipasarkan sebagai ubat yang dapat merangsang sistem imun dan antioksidan.

Pucuk atau daun muda mengkudu mengandungi khasiat makanan tinggi. Dalam tiap-tiap bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 89.1 gram (g), protein 3.9 g, lemak 0.6 g, karbohidrat 2.2 g, serat 3.o g, kalsium 114 miligram (mg), fosforus 14 mg, ferum 2.8 mg, natrium 18 mg, kalium 234mg, karotena 3619 ug, vitamin A 603 ug, vitamin B1 1.5 mg, B2 0.32 mg niasin 1.0 mg vitamin C 115 mg. Di Malaysia Ada dua spesies mengkudu, iaitu mengkudu besar dan mengkudu kecil (Morinda elliptica )

Mengkudu besar, pokoknya kecil mencapai ketinggian 3 - 8 meter. Batang bengkang-bengkok, berwarna kelabu asap, berdahan banyak membentuk silara agak rimbun terbuka.

Daunnya berukuran 15 - 25 sentimeter (sm) panjang, 6 - 10 sm lebar dan berwarna hijau muda. Bunganya kecil, bentuk cerombong, berwarna putih, tumbuh di kepala bunga. Buahnya bujur, 5 -10 sm panjang , 2 - 4 sm lebar berwarna putih kekuningan. Isinya lembik dan berjus apabila masak, mengandungi biji yang banyak.

Mengkudu kecil mempunyai daun yang runcing, berukuran 12 - 17 sm panjang dan 3 - 4 sm lebar. Buahnya kecil, berukuran 2 - 2.5 sm panjang dan 1 - 1.5 sm lebar, berwarna kehitaman apabila masak.

Pokok Mengkudu mudah ditemui di dusun, kampung dan sekitar pinggir hutan atau belukar. Kebanyakan pokok ini ditanam secara tak formal hasil daripada sebaran biji benih oleh burung.

Penemuan khasiat ubat, pokok mengkudu kini mula ditanam secara perladangan untuk tujuan komersial. Pokok mengkudu mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

0 comments: