Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

5.1.08

'Siraj' beri hasil tinggi tahan penyakit


Oleh Sariha Mohd Ali


DARI kiri, Kerk, Ariffin dan Dr Othman melihat padi hibrid Siraj di Kampung Tebu Hitam, Rompin.

ROMPIN: Malaysia boleh menjimatkan perbelanjaan import tahunan beras berjumlah kira-kira RM1 bilion apabila tanaman padi menggunakan benih padi hibrid pertama negara dinamakan 'Siraj' diperluaskan ke seluruh negara tahun depan.

Setakat ini, ujian baka padi hibrid atas daya usaha RB Biotech Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di kawasan seluas 160 hektar di Kampung Tebu Hitam, dekat sini, berjaya mengeluarkan hasil lebih lapan tan sehektar.

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Mardi, Ariffin Tawang berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan supaya memperakukan penggunaan benih Siraj bagi penanaman padi di seluruh negara, dalam usaha menghasilkan sendiri keperluan beras dalam negara.


Beliau berkata, benih hibrid Siraj setakat ini berjaya menepati tiga kriteria ditetapkan iaitu mampu memberikan hasil tinggi, mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan musuh padi serta menepati kualiti ditetapkan.

Katanya, selain ujian benih padi hibrid di sini, Mardi turut mempunyai dua lagi kawasan bagi tujuan sama iaitu di Seberang Prai, Pulau Pinang dan Tambun Tulang di Perlis.

"Selepas menjalani pelbagai peringkat ujian selama tiga tahun, kita gembira kerana benih padi hibrid Siraj ini mampu memberi hasil tinggi dengan kos yang rendah, tetapi kita perlu terus melakukan ujian lebih teliti.



"Jika semua kriteria ditetapkan sudah dipenuhi, Mardi akan perluaskan tanaman padi ke seluruh negara, yang dijangka tahun depan bagi menggantikan baka padi sedia ada kerana ia mampu meningkatkan pengeluaran beras negara.

"Setakat ini, nasi beras Siraj ini agak lembut dan dianggap tidak sesuai untuk orang Melayu, tetapi sangat disukai orang Cina dan ujian seterusnya untuk mengurangkan keadaan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak ujian padi hibrid itu, dekat sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Muhammad Ramdan Yusof; COO RB Biotech, Thomas LC Chen; Ketua Pegawai Eksekutif RB Biotech, Kerk Loog Sing dan Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Othman Omar.

Padi hibrid dinamakan 'Siraj' sempena nama bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamallulail dihasilkan menggunakan teknologi dari China, menerusi percantuman antara benih padi dari Jepun dan Basmathi dari India.

Ia berupaya mengeluarkan hasil padi sehingga 15 tan bagi setiap hektar, berbanding empat tan sekarang.

Ariffin berkata, baka padi yang digunakan petani sekarang iaitu MR219, MR220 dan MR232 menggunakan kaedah tanam, tuai dan kemudian ditanam semula menggunakan benih daripada padi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan baka hibrid Siraj agak berbeza kerana ia perlu ditanam dan kemudian dituai tetapi penanaman semula selepas itu memerlukan petani membeli benihnya yang dihasilkan secara saintifik, pada setiap musim.

"Maknanya, padi Siraj tidak boleh ditanam menggunakan benih hasil tuaian, kerana hasilnya akan merosot, sebaliknya ia perlu dibeli daripada pengeluar benih itu yang menghasilkannya menggunakan teknologi tinggi.

"Bagi keluasan sehektar, pengeluar benih Siraj ini mampu menghasilkan antara dua hingga 2.5 tan baka padi hibrid ini.

"Sekarang, petani perlu 150 kilogram baka padi biasa untuk ditanam di kawasan seluas sehektar, tetapi untuk padi Siraj, mereka hanya perlu 20 kilogram saja dan ini menjimatkan kos," katanya.

Padi baka baru henti import beras

ROMPIN: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yakin penggunaan kira-kira dua juta tan beras setahun oleh rakyat Malaysia, mampu dihasilkan dalam negara, sekali gus menghentikan import beras dari Thailand, Vietnam dan Pakistan, tidak lama lagi.

Ini berikutan pencapaian cemerlang hasil ujian dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan RB Biotech Sdn Bhd terhadap baka padi hibrid `Siraj' yang dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Bernas, Muhammad Ramdan Yusof, berkata Malaysia perlu mengimport kira-kira 800,000 tan beras setahun bernilai kira-kira RM1 bilion, sebagai tambahan kepada 1.5 juta tan beras yang dikeluarkan dalam negara.

Beliau berkata, walaupun sasaran ditetapkan supaya Malaysia mengeluarkan 90 peratus keperluan beras negara menjelang 2010, tetapi matlamat itu mampu dicapai lebih awal jika semua petani sedia mengubah minda untuk menggunakan baka hibrid berkenaan.

"Kita ada 280,000 hektar kawasan padi di seluruh Malaysia dan jika kawasan berkenaan digantikan dengan tanaman padi `Siraj', hasil yang dikeluarkan kelak bukan saja mampu menampung sepenuhnya keperluan beras dalam negara, malah boleh dieksport.

"Sebab itu, kita pantau dan meneliti ujian yang dilakukan RB Biotech ini kerana kita nak hasilkan kualiti padi yang terbaik dengan hasil tinggi.

"Padi Siraj ini juga sudah ditanam di sawah padi di Sekinchan, Selangor dan kita yakin kejayaan dihasilkan kelak, dapat membuka mata petani untuk berubah kerana ia memberi pendapatan berganda," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak ujian baka padi hibrid `Siraj' di Kampung Tebu Hitam, dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Tanaman Industri Mardi, Ariffin Tawang; Ketua Pegawai Operasi RB Biotech, Thomas LC Chen; Ketua Pegawai Eksekutif RB Biotech, Kerk Loog Sing dan Pegawai Penyelidik Mardi, Dr Othman Omar.

Sementara itu, Kerk berkata, usaha pihaknya melabur RM7 juta bagi menjalankan pelbagai ujian terhadap baka hibrid `Siraj' nyata berbaloi kerana ia mampu memberi hasil dua kali ganda berbanding baka padi sekarang.

"Kita membelanjakan RM400,000 sebulan untuk kos bagi pelbagai kajian dijalankan dan sekarang, RB Biotech akan mencari jalan supaya beras `Siraj' ini tidak terlalu lembut kerana ia tidak disukai masyarakat Melayu," katanya.

0 comments: